Thursday, August 15, 2013

Dunia Mengutuk Pembunuhan Beramai-ramai Di Mesir!


Ketika angka korban keganasan pasukan keselamatan Mesir terus meningkat komuniti antarabangsa menggesa pihak yang bertelagah segera menamatkan pertumpahan darah.

Seorang pemuda menangis melihat mayat yang disusun di sebuah rumah mayat.

Turki yang selama ini tidak mengiktiraf kerajaan sementara Mesir mengutuk Kaherah kerana menggunakan keganasan bagi membersihkan kubu penyokong Mohamed Mursi dan Ikhwanul Muslimin.

Pejabat Perdana Menteri Turki berkata, komuniti antarabangsa mesti bertindak serta-merta selepas polis mengganasi penunjuk perasaan yang menuntut Mohamed Mursi dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden Mesir.

“Komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab mesti menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.

WANITA tempatan menunjukkan mayat yang belum diangkat selepas polis memulakan keganasan menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya.

Presiden Turki Abdullah Gul mengingatkan Mesir mungkin terjebak dalam huru-hara dan membandingkan situasi itu dengan tindakan rejim Syria menekan kebangkitan rakyat mereka sehingga memerangkap negara itu dalam perang saudara.

Jurucakap Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Peter Stano berkata perkembangan di Mesir diikuti dengan “kebimbangan mendalam.”

“Konfrontasi dan keganasan bukan jalan untuk maju dan laporan mengenai kematian serta kecederaan sangat membimbangkan,” katanya.

Sehingga awal malam tadi sekurang-kurangnya 124 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan menyuraikan penunjuk perasaan yang berkubu di dua tempat utama di Kaherah.

Seorang daripada mangsa yang terbunuh ialah seorang remaja perempuan, Asmaa, 17, yang juga anak pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed el-Beltagy.

Stesen al-Jazeera pula melaporkan seorang jurugambar Sky News Michael Douglas terbunuh ketika membuat laporan di Rabaa al-Adaweya.

Ketua Parlimen Eropah, Martin Schulz berkata kematian yang berlaku “tidak dapat diterima.”

Kementerian Luar Iran pula mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu dan menggesa semua pihak menahan diri daripada terus menumpahkan darah.

“Pendekatan ini mungkin mencetuskan perang saudara di Mesir,” katanya.

Turut mengutuk keras keganasan pasukan keselamatan Mesir ialah Qatar dan Britain. -AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon