Wednesday, July 03, 2013

Wanita Malaysia Paling Mudah Ditipu


Kegiatan penipuan Internet sering menghantui pengguna ‘online’ apatah lagi pelbagai laporan penipuan boleh anda baca di dada akhbar setiap hari yang membuka persoalan sejauh mana pengetahuan kita sebagai pengguna.

Gambar hiasan

Jelas sekali era siber me­nguasai kehidupan masyarakat dunia. Dalam situasi masa kini, di mana-mana jua, Internet dijadikan medium untuk berinteraksi tidak kira apa jua golongan umur atau status kehidupan, mahupun organisasi.

Pada masa sama, kegiatan penipuan Internet seperti ‘scam’, jualan barang palsu dan sebagainya yang dikategorikan sebagai ‘fraud’ menjadi sebahagian perjalanan online di kalangan pengguna.

Internet dijadikan tempat berinteraksi, menyampaikan maklumat dan propaganda, ruangan iklan, mencari rakan lama, interaksi keluarga, bertukar pendapat serta sebagai wadah pembelajaran interaktif dan kreatif.

Ciri-ciri yang ada pada Internet seperti mudah, cepat dan mampu menyampaikan maklumat secara terus melonjakkan popularitinya sebagai platform paling mudah untuk berurusan berbanding platform lain.

Justeru, dalam keghairahan masyarakat menggunakan Internet sebagai keperluan hidup, amatlah penting adanya rasa tanggungjawab sosial dan kejujuran dalam jiwa pengguna yang menyedarkan mereka untuk tidak menyalah gunakan media sosial untuk merosakkan dan menjatuh­kan individu lain serta melakukan jenayah siber.

Satu laporan penyelidik pasaran AC Nielsen sebelum ini mendapati kebanyakan penduduk Britain memilih Internet sebagai medium untuk berbelanja bagi pelancongan, membeli pemain MP3, telefon bimbit atau memohon pinjaman bank, sekali gus menjadi trend terbaru membeli-belah mereka.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut sekurang-kurangnya 50 peratus peng­guna masih suka ke kedai untuk membeli pakaian, barang kemas dan jam ­tangan.

Tidak dinafikan, peranan Internet dalam membentuk pilihan pengguna bersama iklan, mulut ke mulut, ‘window shopping’, pengalaman lalu dan jenama memberi impak kuat dalam menentukan kuasa pembeli.

Manakala laporan agensi pembayaran online, PayPal dengan kerjasama penyelidik Nielsen Company mendedahkan pada 2010 saja kira-kira 1.1 juta rakyat Malaysia sanggup berbelanja dengan nilai purata RM2,461 untuk pembelian produk online.

Kira-kira tiga tahun lalu, perbelanjaan online di seluruh Malaysia mencapai angka RM1.8 bilion bagi pembelian produk dan perkhidmatan dengan perbelanjaan terbesar dihabiskan untuk percutian seperti bayaran tiket penerbangan, pakej percutian dan pengangkutan yang berjumlah RM435 juta atau 24 peratus.

Sementara itu, perbelanjaan besar lain yang dihabiskan rakyat negara ini termasuk bayaran bil RM329 juta atau 18 peratus; hiburan dan gaya hidup (RM255 juta, 14 peratus); peralatan elektronik dan teknologi maklumat (RM218 juta, 12 peratus), insurans (RM205 juta, 11 peratus), fesyen dan kecantikan (RM181 juta, 10 peratus) dan hadiah dan koleksi (RM68 juta atau empat peratus).

Angka terbabit dijangka jauh lebih besar tiga tahun kemudian meskipun tiada statistik rasmi memandang­kan laporan masih belum diperoleh yang menunjukkan keghairahan pengguna membeli-belah.

Pada masa sama, ia membuka peluang kepada penjenayah mencium peluang untuk menipu dengan pelbagai taktik termasuk:
  1. Menjual barang tipu di laman e-dagang.
  2. Barang yang dijual tidak menyamai spesifikasi dipaparkan di Internet.
  3. Tidak menghantar barang yang dibeli meskipun bayaran dibuat.
  4. Menghantar e-mel menawarkan produk pada harga murah.
  5. Menghantar e-mel memaklumkan tawaran peng­guna memenangi hadiah tertentu.

Walaupun secara umumnya Internet sebagai lokasi beli-belah online banyak menjurus ke arah kebaikan, tidak dinafikan ada segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab dan terlalu mementing­kan diri sendiri menggunakannya untuk tujuan negatif menjadikannya medan untuk menipu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dalam artikel sebelum ini memaklumkan Internet yang digunakan masyarakat untuk mencari, berkongsi maklumat dan berkomunikasi ­disalahgunakan untuk ­aktiviti jenayah seperti penipuan ­Internet.

“Ia untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

“Jika dilihat daripada statistik kes penipuan penghantaran bungkusan di negara ini, wanita adalah golongan paling ramai menjadi mangsa. Malah sindiket ini bukan sahaja menyasarkan warga tempatan malah warga asing,” kata­nya.

Bagi tahun 2011, PDRM menerima 876 kes penipuan penghantaran bungkusan yang membabitkan kerugian RM18.9 juta. Pada 2012 pula, jumlah kerugian meningkat kepada RM34.6 juta walaupun jumlah kes yang dilaporkan menurun kepada 814 kes.

Bagi tempoh Januari-Mei 2013, sebanyak 381 kes telah dilaporkan dengan kerugian RM14.1 juta.

Masih ramai yang tidak tampil untuk membuat laporan polis mungkin kerana malu atau sebab-sebab lain dan lebih menghairankan ialah terdapat mangsa yang berkelulusan tinggi, seperti golongan profesional atau pensyarah.

Bagi mengatasi dan membendung peningkatan kes penipuan penghantaran bungkusan ini, selain daripada menjalankan pembanterasan, PDRM juga mengadakan kempen pencegahan jenayah siber melalui forum terbuka, di samping me­nyampaikan mesej kesedaran tentang trend jenayah siber melalui ceramah di agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).


Kerjasama juga diwujud­kan dengan agensi lain bagi membantu PDRM menangkap penjenayah membabit­kan kes penipuan penghantaran bungkusan ini seperti Unit Keselamatan Siber, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara dan syarikat telekomunikasi.

Manakala pengguna pula sebagai manusia biasa kadang-kadang tewas dengan sifat tamak dan cepat teruja dengan tawaran lumayan dalam Internet seperti skim cepat kaya yang dikenal pasti menjadi punca utama menyebabkan jenayah siber semakin bermaharajalela.

Malah, sesiapa saja boleh menjadi mangsa dan me­ngalami kerugian dalam sekelip mata.

Penyelidikan agensi keselamatan online negara, CyberSecurity Malaysia, mendapati sifat tamak sesetengah individu menjadi penyumbang besar kepada kes jenayah siber.

Individu yang mudah teruja, ditambah dengan sifat ingin cepat senang dan kaya dalam tempoh singkat tanpa usaha sewajarnya boleh menyebabkan semakin tinggi peluangnya untuk menjadi mangsa kepada penipuan di alam siber.

Ia menjadi punca utama kita dieksploitasi dan membuka peluang kepada penjenayah siber untuk menipu, lebih-lebih lagi bagi individu yang gagal mendisiplinkan dirinya.

CyberSecurity ialah sebuah agensi bawah kementerian berkenaan yang memberikan tumpuan kepada keselamatan dan bantuan dalam sektor teknologi maklumat, termasuk penelitian kes jenayah siber yang dirujukkan kepadanya secara serius.

Lebih-lebih lagi, ­dengan pertambahan bilangan peng­guna Internet, bermakna semakin tinggi juga kadar peningkatan jenayah siber.

Meskipun pelbagai taktik digunakan penjenayah, cara tradisiona iaitu penipuan online iaitu sebaran e-mel masih menjadi taktik paling popular digunakan.

Seperti biasa, sebilangan pelanggan bank di Malaysia menerima e- mel meminta mereka memberikan butiran akaun mereka. Menurut e-mel itu, jika mereka gagal berbuat demikian bagi tujuan mengemaskini data peribadi, akaun mereka akan ditutup.


E-mel itu yang konon dihantar bank berkenaan kelihatan amat tulen, tetapi hakikatnya ia palsu. Apabila menyedari perkara itu, bank berkenaan segera mengeluarkan amaran pihaknya tidak bertanggungjawab menghantar e- mel terbabit dan meminta pelanggannya berhati-hati.

Walaupun kebanyakan bank turut mengingatkan pelanggannya berwaspada terhadap e-mel yang dikirim pihak tertentu bertujuan mendapatkan kata laluan, peliknya masih ramai tertipu dan memberikan perincian akaun buta-buta kepada penjenayah.

Ketua Perniagaan Pelanggan dan Keselamatan Internet Norton Asia, Symantec, Effendy Ibrahim, berkata kecanggihan teknologi maklumat kini banyak disalah guna untuk pelbagai tujuan tidak baik.

“Golongan paling terdedah terhadap ancaman menerusi dunia siber ialah wanita,” katanya.

Beliau berkata, wanita yang melayari Internet perlu lebih berhati-hati dan pastikan menggunakan perisian keselamatan terbaik bagi melindungi diri daripada ancaman yang tidak diingini.

“Wanita yang menggunakan Internet untuk membeli-belah jangan mudah memberi maklumat kewangan terutama kad kredit kepada syarikat atau individu yang tidak dikenali.

“Amalkan penggunaan Internet yang selamat, lindungi kata laluan dan ­jangan lupa menambah ilmu pengetahuan mengenai Internet,” katanya.

Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan Internet, anda dinasihatkan:
  1. Dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keselamatan membeli-belah dalam talian, ‘chatting’, e-emel dan mesej remeh (spam), dan penipuan dalam talian.
  2. Hadkan pembelian dalam talian dan pastikan laman web yang dilawati menggunakan piawaian keselamatan seperti SSL (Secure Socket Layer), iVEST dan tandatangan digital.
  3. Selain itu, pengguna dinasihatkan supaya membaca penyata penafian (disclaimer) sebelum mengisi sebarang borang dalam talian kerana sebarang urusan atas talian yang sah mesti disertakan penyertaan ini.

BACA INI JUGA: Video Blind Date Yang Melucukan

[Sumber]

3 comments

  1. Fuyooo...negro-negro...paling ramai pujaan wanita Msia...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jgn lupa abg Bangla jugak..huhu

      Delete
  2. abang melayu malas. tak romantik. sapa nak? mohon terasa sikit

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon