Khamis, Mei 30, 2013

Tanda-tanda Hati Yang Mati Dan Cara Untuk Merawatnya

Suatu hari, Imam Fath Al-Musili berkata kepada murid-muridnya, "Bukankah seorang pesakit jika tidak diberi makan, minum dan ubat selama tiga hari ia akan mati?" Murid-muridnya menjawab, 'Ya..'

Hati Yang Mati

Guru yang bijak ini melanjutkan, "Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan hikmah selama tiga hari, ia akan mati."

Setiap amalan bersumber daripada hati. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan yang baik. Dan hati yang rosak hanya akan melahirkan perbuatan yang buruk.

Meskipun ia melakukan kebaikan, namun tersimpan niat buruk di sebaliknya. Oleh itu, hati sangat menentukan kualiti amalan seseorang.

Rasulullah SAW bersabda, "Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, daging itu adalah hati". (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hati manusia sangat ajaib. Ia selalu berubah-ubah. Ia juga sangat mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.

Apa-apa yang dilihat ataupun didengar dapat merubah suasana hati. Oleh yang demikian, seorang mukmin wajib selalu menjaga pancainderanya daripada maksiat agar terjaga kejernihan hati.

Sebagaimana tubuh badan, hati boleh sihat ataupun sakit. Tanda hati yang sihat adalah ia giat melakukan ibadat dan amalan kebajikan.

Setiap amalan ibadah dan zikir terasa nikmat untuk dikecapi. Sama seperti seseorang yang tengah sihat tubuhnya, ia akan nikmat menyantap makanan dan minuman.

Adapun tanda hati tengah sakit adalah ia tidak dapat merasakan manisnya ibadat. Ia tidak tahan berlama-lama dalam aktiviti ibadah.

Sebaliknya, ia sangat seronok melakukan maksiat. Seperti orang yang tengah sakit kulit, perkara yang paling nikmat adalah menggaruk gatalnya hingga melukai diri sendiri.

Imam Tabiin di Basrah yang bernama Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik semak kesihatan hati.

Beliau berkata, "Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup."

Hati orang kebanyakan seperti kita tidak berapa sihat. Kita sedari ataupun tidak, pelbagai penyakit tersimpan di dalam hati kita seperti hasad dengki, dendam, tamak, kedekut, meragukan janji Allah dan lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza. Ada yang masih ringan, ada juga yang sudah parah.

Oleh itu, kita perlu segera mengubati hati kita. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti ia lakukan di dunia sebagai hamba Allah. Semua itu boleh didapatkan apabila kita bercampur dengan orang-orang yang "berhati sihat."

Berkata Ibrahim Al-Khawas, "Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang-orang saleh."

Jika kita tidak segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, ia bahkan boleh mati. Orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati jasad boleh segera dikuburkan.

Namun orang yang mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan masyarakat, namun tidak boleh dibuang ataupun ditanam.

BACA INI JUGA: Bagaimana Sebenarnya Menilai Orang Itu Baik Atau Tidak?

Sumber: utusan

12 ulasan

  1. Assalamualaikum..saya nk tanye..adakah hati yang mati masih boleh dirawat sepenuhnya??

    BalasPadam
    Balasan
    1. Boleh..yg pnting istiqamah melakukan amal kebaikan sebagai tanda syukur kita kpda-NYA..agar dikurniaankan kerahmatan di dunia dan di akhirat.

      Padam
    2. Mulakan dengan solat 5 waktu, banyakkan istighfar dan zikir. Solat taubat. Kemudian barulah kita akan merasakan begitu manisnya iman.

      Padam
  2. Sama2 kita amalkan..

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum...saya x pasti hati sy sdg pedih/sakit/sebak. Berkecil hati dgn suami. Sy cuba muhasabah diri tp blm mampu hingga salam tgnnye pun sy x mampu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Allah sebaik-baik tempat mengadu. Selebihnya sabar..

      Padam
  4. Bagaimana nk kekalkan consistency dlm melakukan ibadah?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bersederhana. Tunaikan yang wajib sekuatnya..

      Padam
  5. Hati sy seakan mati.. Sehingga kurang merasai nikmat ibadah.. Sy xnak berterusan begini... Tolonglah sy

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pada setiap rukuk dan sujud, ulang bacaan sebanyak 3 kali. Insyaa Allah hati menjadi lebih khusyuk.

      Padam
  6. jauh sgt dgn Allah skrg sbb byak brgaul dgn kawan2 yg jenis tak solat .. smpai sy pon trikut..3 tahun duk main solat jarang2.. nak start blik konsisten susah nya.. dahh byk kli try tpi still xdpt..ap yg prlu sy buat ??

    BalasPadam
  7. Saya pun ingin berubah. Kalau berbicara ttg ilmu agama saya mampu berbicara. Dulu saya sombong dengan amal ibadatku (tahjjud, Quran,kuliah) sekarang Allah tarik nikmat iman, hatiku sudah mati. Aku ingin berubah...

    BalasPadam

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon