Saturday, November 29, 2025

Bukti Sejarah Pembersihan Etnik Di Palestin Dari Tahun 1947

Bukti Sejarah Pembersihan Etnik Di Palestin Dari Tahun 1947

Zionisme yang muncul pada akhir abad ke-19 di Eropah, sebagai gerakan nasionalis Yahudi, bertujuan untuk membina sebuah negara Yahudi di wilayah Palestin (dikenal sebagai Eretz Israel), yang ketika itu masih dibawah Kesultanan Uthmaniyah, juga untuk menjamin keselamatan, identiti dan kedaulatan Yahudi setelah berabad-abad diusir di Eropah.

Pembersihan Etnik Di Palestin

Zionisme bukan agama Yahudi, tetapi gerakan politik dan ideologi. Tidak semua Yahudi Zionis dan tidak semua Zionis adalah Yahudi.

Zionisme dan Kepercayaan Kepada Tuhan:
  • Zionisme Aliran Agama - Mempercayai Tuhan, mengaitkan hak atas tanah Israel dengan janji Tuhan dalam Alkitab.
  • Zionisme Sekular/Politik - Fokus kepada aspek nasional dan keselamatan, Tuhan tidak menjadi faktor wajib.
  • Zionisme Sosialis - Fokus pada pembangunan masyarakat, ekonomi dan komuniti; Tuhan tidak relevan untuk tujuan ideologi.
  • Zionisme Kanan - Kadang-kadang menggabungkan nasionalisme dengan kepercayaan agama, tetapi tetap menekankan politik.

Berikut adalah ringkasan lengkap, kronologi dan bukti sejarah mengenai pembersihan etnik di Palestin dari 1947 hingga 2025, berdasarkan penyelidikan sejarah, laporan NGO hak asasi manusia dan kajian ilmiah yang diiktiraf (Benny Morris, Ilan Pappé, Rashid Khalidi, Amnesty International, HRW, B’Tselem, UN OCHA, dll).

FASA 1: 1947–1949: NAKBA (Pembersihan Etnik Utama)

Inilah fasa paling besar pembersihan etnik.

APA BERLAKU?
  • Militia Zionis (Haganah, Irgun, Lehi) menyerang ratusan kampung Palestin.
  • Pengusiran lebih 750,000 rakyat Palestin.
  • Pemusnahan lebih 500 kampung dan bandar Palestin.
  • Pembantaian yang memaksa penduduk lari (contoh: Deir Yassin).

TUJUAN?

Mengosongkan kawasan bagi menubuhkan negara Yahudi dengan majoriti demografi.

ISTILAH YANG DIGUNAKAN OLEH SARJANA BARAT:

  • Ethnic cleansing (Ilan Pappé).
  • Transfer (istilah yang digunakan pemimpin Zionis sendiri).
  • Forced displacement (UN).

Rumusan:

1947–49 adalah pembersihan etnik utama yang mengubah Palestin selama-lamanya.

FASA 2: 1950–1966: Pengusiran & Rampasan Tanah Sistematik

Dalam Israel (garis sempadan 1948).

APA BERLAKU?
  • Palestin yang kekal di Israel dikenakan perintah tentera, tidak boleh bergerak bebas.
  • Tanah mereka dirampas di bawah undang-undang "Absentees' Property Law."
  • Ratusan kampung Palestin dihapuskan dari peta.

TUJUAN?

Menjadikan Palestin minoriti tanpa tanah dalam negara sendiri.

FASA 3: 1967: Pendudukan dan Pengusiran Baharu

Perang 1967 membawa Israel menakluk:
  • Tebing Barat
  • Gaza
  • Baitulmaqdis Timur
  • Golan Heights

APA BERLAKU?

  • 250,000–300,000 Palestin diusir sekali lagi.
  • Rumah-rumah berhampiran tembok Buraq (Western Wall) dirobohkan untuk membuka kawasan Yahudi.

TUJUAN?

Menetapkan kawalan ke atas seluruh Palestin bersejarah.

FASA 4: 1970–1993: Penempatan Haram & "Slow Ethnic Cleansing"

Menurut PBB, penempatan Israel di Tebing Barat & Baitulmaqdis Timur melanggar undang-undang antarabangsa.

APA BERLAKU?
  • Penubuhan ratusan penempatan haram.
  • Ribuan Palestin kehilangan tanah akibat "perintah ketenteraan" & "kawasan tertutup."
  • Pelan jangka panjang: memecahkan wilayah Palestin agar tidak bersambung (fragmentation).

FASA 5: 1993–2000 (Era Oslo): Kawalan Tanah Bertambah Ketat

Oslo tidak menghentikan pembersihan etnik — malah mempercepatkan.

APA BERLAKU?
  • Kawasan Palestin dibahagi kepada A, B, C.
  • 62% Tebing Barat (Kawasan C) jatuh sepenuhnya di bawah Israel.
  • Ratusan rumah Palestin dirobohkan atas alasan "tiada permit."

(Sedangkan permit hampir mustahil untuk rakyat Palestin diperoleh.)

FASA 6: 2000–2020: Tembok Apartheid & Pengusiran Besar-besaran

UN, ICJ, Amnesty, HRW dan B’Tselem menyebutnya sebagai apartheid sistematik.

APA BERLAKU?
  • Pembinaan tembok apartheid memotong kampung Palestin.
  • Rampasan tanah untuk penempatan Yahudi meningkat mendadak.
  • Pengusiran berterusan di: Sheikh Jarrah, Silwan, Hebron dan Lembah Jordan.

STATISTIK:
  • 100,000 rumah Palestin dirobohkan sejak 1967.
  • 700,000 pelampau penempatan Yahudi kini tinggal di tanah Palestin.

FASA 7: 2021–2023: Ketegangan Terburuk Sebelum Gaza Dibom

Sebelum perang Gaza 2023:

APA BERLAKU?
  • Peningkatan ekstremisme pelampau penempatan.
  • "Pogrom" anti-Palestin di Huwara oleh pendatang.
  • Pengusiran keluarga Palestin di Baitulmaqdis meningkat.

FASA 8: 2023–2025: Gaza — Fasa Pembersihan Etnik Paling Besar

Inilah fasa paling dahsyat sejak 1948.

Apa yang berlaku di Gaza selepas Oktober 2023?

1. Pemusnahan besar-besaran

PBB: 70–80% Gaza musnah atau rosak. Bandar seperti Gaza City, Khan Younis, Beit Hanoun, Rafah hampir tinggal runtuhan.

2. Pengusiran 1.9 juta orang
  • 85% penduduk Gaza diusir secara paksa.

Ini selari dengan definisi ethnic cleansing menurut undang-undang antarabangsa.

3. Sekatan makanan/air/elektrik

Pakar PBB menyebutnya: "Collective punishment" dan "kondisi pembunuhan perlahan."

4. Tuduhan Genocide

Pelapor khas PBB mengatakan Israel melakukan tindakan yang "memenuhi empat elemen genocid."

5. Pengusiran kekal?

Beberapa menteri Israel secara terbuka menggesa:
  • "memindahkan orang Gaza ke negara lain."
  • "menyelesaikan masalah dengan mengeluarkan mereka."

Ini adalah tanda jelas hasrat pembersihan etnik.

RUMUSAN 1947–2025

Selama 78 tahun:
  • Pengusiran
  • Rampasan tanah
  • Pembunuhan awam
  • Pemusnahan kampung
  • Penempatan haram
  • Apartheid
  • Pengepungan Gaza
  • Pengusiran besar-besaran 2023–2025

Semua ini digelar oleh para sejarawan dan institusi hak asasi sebagai:
  • "Pembersihan etnik berterusan"
  • "Kolonialisme penempatan"
  • "Apartheid"

Dan sejak 2023: "Genosid terhadap penduduk Gaza" (menurut beberapa laporan PBB & NGO besar).

DOA QUNUT NAZILAH

Ya Allah, Tuhan yang Maha mendengar suara hati hamba-Nya, kurniakanlah kami pengampunan, sesungguhnya kami adalah hamba-hamba-Mu yang sering alpa dan melakukan kesilapan. Ampunilah dosa-dosa kami yang terdahulu dan terkemudian, yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, yang kecil dan sedikit mahupun yang seluas lautan. Dan janganlah Kau jadikan dosa tersebut menjadi penyebab terhijabnya setiap permintaan.

Wahai Tuhan yang memperkenan permohonan hamba-Nya, pada hari dan saat yang penuh keberkatan ini, kami tunduk dengan insaf dan tawaduk, mengemis secebis rahmat-Mu Ya Rahman, bantulah saudara saudari kami yang tertindas di setiap tempat, khususnya Palestin.

Ya Allah Ya Mannan, Kau ringankanlah bebanan mereka, lindungilah mereka dari ancaman kekerasan dan bahaya, sembuhkanlah yang sakit dan terluka, dan kurniakanlah rezeki-Mu bagi yang lapar dan dahaga.

Ya Latiff Ya Hannan, dakapilah mereka dengan rahmat-Mu, tempatkan mereka dalam kasih sayang-Mu, teguhkan semangat mereka dengan keyakinan pada bantuan-Mu.

Ya Allah Ya Dzal ‘Izzi was-Sultan, gantikan ketakutan mereka dengan keamanan, kesempitan dengan kelapangan, keresahan dengan ketenangan, dan kesedihan dengan kegembiraan.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia. Kurniakanlah bagi kami juga kebaikan di akhirat, serta lindungilah kami dari azab api neraka.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 230: Wanita Berkaki Ikan

SBDJ Siri 230: Wanita Berkaki Ikan

Keadaan ini membuat saya resah semacam. Rasanya ingin menjerit sekuat hati untuk menarik perhatian datuk. Biar dia tau apa ang sedang kami alami. Tetapi, bila memikirkan keadaan itu akan menimbulkan masalah pada datuk, saya tidak jadi melakukannya.

Toyol jadi-jadian

Dalam perasaan yang kacau bilau itu, kulit kepala terasa perit dan pedih. Tiba-tiba Ali Usman mengeluh kecil dan batuk berkali-kali. Saya rasa ini merupakan usaha untuk menarik datuk pada kami berdua. Helai-helai rambut terus jatuh ke lantai.

Saya kira kalau keadaan ini berlanjutan lebih dari satu jam. Tidak mustahil kepala saya dan Ali Usman akan botak. Entah mengapa saya jadi marah lalu menghentakkan kaki ke lantai.

"Jangan banyak karenah, bertenang dan terus tunduk," tutur datuk lantang.

"Tengkuk rasa tak selesa," balas Ali Usman.

"Jangan membantah," herdik datuk.

Saya dan Ali Usman menarik dan melepaskan nafas. Rambut atas kepala terus luruh, bagaikan daun kering.

Sekumpulan anai-anai dalam jumlah yang besar bersama bunyi mengaum, macam bunyi lebah, keluar dari bawah tulang selonggok.

"Dari mana datangnya binatang ni?" Saya bertanya.

"Bukankah dari anai-anai, jadinya kalkatu," sahut datuk

"lya." balas Ali Usman.

"Bila kalkatu tak ada sayap, dia pun jadi anai-anai semula," sebuah penjelasan dari datuk yang membunuh keraguan hati saya.

Seperti kalkatu tadi, kumpulan anai-anai ini bergerak menuju ke arah saya dan Ali Usman.

Kerana bergerak dalam kumpulan yang banyak, bunyi kaki kumpulan anai-anai itu jelas kedengaran, macam bunyi orang menarik kertas di lantai papan. Saya dan Ali Usman jadi cemas dan takut.

Macam-macam yang saya fikirkan, apakah nasib kami berdua seperti nasib wanita hodoh. Seluruh daging yang melekat di tulang akan menjadi habuan anai-anai.

Kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan, saya dan Ali Usman pasrah saja.

Sungguh mengejutkan, bila kumpulan anai-anai itu, mendekati rambut yang berserakan di lantai entah mengapa, kumpulan anai-anai itu berpatah balik ke arah tulang selonggok.

Tetapi, hanya separuh jalan, kumpulan anai-anai itu mencari rekahan papan lantai lalu menyelinap dan hilang dari pandangan kami berdua.

"Sekarang luruskan badan kamu berdua," ungkap datuk.

Arahannya segera kami patuhi. Rasa lenguh di batang leher mula beransur hilang. Dua tiga kali leher saya pusingkan ke kiri dan ke kanan. Datuk senyum.

"Begini," datuk sandarkan badan ke dinding.

"Sebenarnya yang jatuh atas lantai itu bukan rambat kamu. Itu bulu kabung, memang sumpah dan pantang makhluk jadian berdepan dengan bulu kabung," sambung datuk tenang.

Tanpa membuang masa datuk terus mengambil bulu kabung atas lantai. Dengan tenang dimasukkan ke dalam pundi kecil yang dibuat dari kain hitam. Dan pundi itu dimasukkan ke dalam saku baju sebelah dalam.

"Aku rasa selepas ini tak ada lagi hal-hal yang menakutkan. Semuanya sudah sampai penghujung," lemah benar suara datuk.

Dia terus duduk di lantai. Tetapi, kami masih berdiri terpacak.

"Saya juga berharap begitu," Ali Usman meluahkan rahsia hati.

"Terus terang saya katakan, saya dah tak larat," saya mengeluh.

"Huummmm..." suara datuk terkulum.

"Zuuummmm..."

Enam biji mata tertumpu ke arah bunyi tersebut, tidak jauh dari longgokan tulang.

Kepulan asap nipis muncul dan terus mengelilingi tulang selonggok dalam tempoh waktu kurang dari lima minit, asap nipis itu bersatu.

Kemudian asap itu naik menegak menuju ke arah tulang bumbung rumah.

HARUM

BAU harum bercampur dengan bau kemenyan dan kayu cendana mula menyumbat lubang hidung kami bertiga. Kalau tadi lubang telinga saya disumbat dengan bunyi deru angin dan suara lebah, tetapi kali ini diasak dengan suara binatang liar.

"Ada cubaan lagikah datuk," tanya saya hiba.

"Bertenang Tamar," balas datuk.

Saya terlihat bahagian lantai yang pecah dan membentuk bulatan seperti telaga yang bersimen, kian jelas kelihatan.

Saya juga terdengar bunyi kocakan air telaga yang diiluti dengan suara perempuan bercakap sesuatu.

"Telaga buta dalam rumah." Ali Usman terkejut.

"Iya," jawab datuk.

"Kita tengok apa yang akan terjadi."

Sekarang di hadapan tertonggok sebuah perigi lama. Asap yang menjulang ke arah tulang bumbung bergerak perlahan-lahan menuju ke arah bibir telaga yang bahagian tepinya bersimen.

Dan dalam sekelip mata permukaan telaga lama tidak kelihatan hilang dalam pelukan asap nipis yang sudah menjadi tebal. Begitu juga dengan longgokkan tulang, hilang entah ke mana.

Harum kemenyan dan cendana masih dapat kami hidu. Sungguh mengejutkan, rasanya tidak percaya dengan apa yang ada di depan mata. Dua tiga kali mata saya gosok dan pejam celikan.

"Aku bermimpikah Ali," tanya saya.

"Maksud kamu Tamar?"

"Barangkali kamu tidak melihat apa yang aku lihat Ali."

"Maksud kamu bayang-bayang perempuan."

"Iya"

"Kalau begitu kita melihat benda yang sama," nada suara Ali Usman cemas dan takut.

Kami melihat objek yang sama. Di tempat asap berkepul yang memanjang ke atas segera diisi dengan bebayang tubuh wanita yang memberahikan.

Sebagai orang muda, berdebar juga hati dan makin lama, bebayang itu makin jelas kelihatan. Akhirnya wujud di depan kami seorang wanita.

Berkulit putih, berambut panjang hingga paras pinggang dengan sepasang mata bundar yang menarik. Telaga lama yang hilang wujud kembali di depan mata. Si wanita memberikan senyuman bersama jelingan yang tajam menggoda.

Pada saat itu saya segera mengingati wajah beberapa orang pelakon wanita filem Melayu dan Hindustan. Memang tiada seorang pun yang menyamai kecantikan paras, ketinggian dan bentuk tubuh wanita tersebut.

Dengan langkah yang bergaya, goyang punggung yang mendebarkan serta gerak payu dara yang lembut membuat saya menarik nafas.

Pada hemat saya, datuk yang tua juga tergugat. Ali Usman usah disebut, gelora rasanya tetap macam saya.

Si wanita cantik terus melangkah hingga sampai ke bibir telaga lama. Dia menoleh ke arah kami lalu melemparkan senyuman dan jelingan tajam.

Semasa kaki kanannya diangkat untuk memijak bibir telaga yang dibuat dari simen, lagi sekali hati saya berdebar. Buah betisnya yang putih merah nampak terserlah.

Mungkin untuk menggoda atau memang terpaksa, kain batik jawa yang dipakai terus diselak hingga ke pangkal paha. Entah mengapa rasa geram dan berahi terus mengegar kalbu.

Serta merta tubuh saya menggeletar. Antara sedar dengan tidak, saya dapati wanita itu sudah berada betul-betul di tengah-tengah mulut telaga.

Dari segi logiknya, tubuh itu mesti jatuh ke dalam perut telaga. Kenyataan di depan bagaikan menafikan kelojikan tersebut. Si wanita cantik masih berdiri di situ seperti berada di awang–awanngan.

TERANGKAT

Beberapa saat berikutnya, tubuh wanita cantik secara perlahan-lahan terangkat melepasi tembok telaga lama. Dari bahagian pinggangnya hingga hujung kaki terbuai-buai, macam daun pisang dirempuh angin.

Pada peringkat awal gerakannya nampak perlahan-lahan dan lembut. Kemudian bertukar kencang beserta dengan deru angin.

Bila bunyi deru angin terhenti, bahagian tubuh yang terbuai-buai juga berhenti. Sukar untuk mempastikan dari arah mana bunyi deru angin itu datang.

Dan dengan secara mengejut bunyi deru angin terus mati. Bahagian bawah tubuh wanita itu terus kaku, tidak bergoyang lagi.

Tetapi, ada perubahan terjadi di bahagian tubuh yang kaku itu. Dari pinggang hingga ke kaki keadaannya sudah bertukar menjadi badan ikan. Manakala separuh lagi (bahagian atas) dalam keadaan tubuh manusia biasa.

“Manusia ganjil,” kata saya.

“Separuh manusia, separuh ikan,” sahut Ali Usman.

"Jangan banyak cakap, tengok saja," sergah datuk.

Saya dan Ali Usman berpandangan dan wanita separuh ikan, separuh manusia masih berada ditempatnya, terawang-awangan.

Masih mempamirkan senyuman yang menyenangkan. Masih berkesempatan memberikan jelingan yang mempesonakan mengundang rasa geram dalam hati saya.

"Kamu puteri duyung," kalbu bertanya sama sendiri.

Wanita cantik menggelengkan kepala. Dia bagaikan tahu apa yang bergelora dalam hati.

Dalam erti kata lain wanita itu dapat membaca suara hati saya secara batin. Mungkin gerak tubuh juga dapat ditafsirkannya. Kalau begitu ada baiknya berdialog dalam hati.

"Kamu puteri duyung?"

Wanita cantik gelengkan kepala.

"Jadi siapa kamu yang sebenarnya"

Wanita cantik itu memusingkan tubuhnya, membelakangi kami bertiga sambil menggerak-gerakkan pinggangnya.

“Hussss.......”

Ali Usman mengeluh dan pada masa itu juga, wanita cantik kembali kepada kedudukan asalnya. Berhadapan dengan saya dan Ali Usman.

Datuk bagaikan tahu, apa yang bakal dilakukan oleh wanita cantik. Datuk segera mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia membelakangi wanita cantik itu.

Memang, sejak kemunculan wanita cantik itu, datuk kelihatan tidak berapa senang. Dia lebih banyak memejamkan mata dari celik.

Kain yang membalut tubuh si wanita terlalu nipis, semua liku tubuh nampak dengan jelas. Cara ini memang menghiburkan hati saya dan Ali Usman. Tetapi, mengundah-gelanakan hati datuk.

"Ahhhhhhhh..."

Mulut Ali Usman terlopong. Si wanita cantik menjatuhkan kain yang membalut bahagian atas tubuhnya.

Saya sesak nafas, dua ketul daging mentah yang tumbuh di dada, turun naik mengikut gerak nafasnya. Tubuh saya menggeletar menahan ghairah nafsu yang membakar.

Saya tidak tahu perasaan Ali Usman ketika itu. Walaupun tidak melihat ke arah datuk, tetapi saya yakin orang tua itu sedang merapatkan kedua-dua belah kelopak matanya.

Mungkin juga dia menggunakan kedua belah telapak tangannya untuk menutup mata.

"Kamu berdua mahu tahu tentang diri aku. Inilah aku yang sebenarnya."

Sebaik saja wanita cantik menamatkan kata, paras rupanya terus bertukar menjadi hodoh. Dia kelihatan amat tua sekali.

Seluruh kulitnya barkedut. Ada bahagian-bahagiannya berbonjol-bonjol. Bau hapak dan busuk mula menyumbat lubang hidung saya dan Ali Usman.

Bahagian badan dari pinggang hingga ke kaki yang tadi bertukar menjadi ikan, kembali pada keadaan asal. Tetapi, kulit bahagian itu kelihatan bersisik macam sisik ular sawa.

Dia masih berada diawang-awangan. Rambut putihnya yang lebat dan panjang menutup sebahagian daripada wajahnya.

Proses yang berlaku cukup cepat. Semuanya secara mengejut dan tiba-tiba.

RAMBUT

Kadang-kadang perkara yang tidak terfikir, berlaku secara sepontan. Contohnya, rambut yang hitam pendek, menjadi panjang dan memutih hingga ke kaki.

"Ehem."

Saya dan Ali Usman segera merenung ke arah datuk. Biasanya, ada sesuatu yang mahu datuk katakan bila dia bersuara sedemekian.

"Berhati-hati dengan tipu helahnya," amaran dari datuk. Dan kami pun segera anggukkan kepala.

"Silap bertindak, buruk padahnya," Datuk menambah.

"Tak adakah cara lain untuk keluar dan rumah neraka ni tuk," saya memberanikan diri bertanya.

"Kita mesti sabar," nada suara datuk lemah.

"Heeeheeeeee..."

Wanita cantik bertukar hodoh mengilai panjang terasa seram dan bulu roma segera tegak. Kalau tadi perhatian tertumpu ke arah datuk. Kali ini terpaksa diarahkan semula kepada wanita cantik bertukar hodoh.

"Dia orang tua yang pandai," ucap si wanita sebaik saja ketawanya yang menakutkan itu berhenti. Datuk tidak memberikan sebarang komen.

Berada dalam suasana yang tidak menentukan, ibarat berada di tepi unggun api yang membara besar. Sentiasa takut dan cemas.

Bau busuk dan hapak yang mencucuk lubang hidung membuat tekak terasa loya dan mahu muntah.

"Huuuuuhhhhhhhh..."

Si wanita di depan kami menggeliat. Kulitnya yang berkedut dan bersisik kelihatan relai, satu persatu. Macam daun tua lekang dari ranting.

Dari hujung dagu, pipi dan mata keluar melilih air menyerupai minyak kelapa. Terus terjatuh ke dalam mulut telaga yang ternganga.

"Ahhhh....uuuuhhh..."

Dari gerak badan dan kerut muka. Ternyata wanita cantik bertukar hodoh sedang menahan rasa sakit yang amat sangat.

Memang ada usaha darinya untuk menyembunyikan apa yang dialami dari pengetahuan kami. Tetapi, rintihan dan keluhan yang terkeluar dari mulutnya membuka rahsia dirinya.

"Jangan sampai terpedaya."

Datuk terus mengingatkan kami. Si wanita yang terawang-awangan di permukaan mulut telaga lama, kurang senang dengan tindakan datuk itu.

Kemarahannya di sampaikan dengan jelingan yang tajam. Penuh rasa benci dan dendam kesumat yang tiada akhirnya.

"Kerana bapa saudara kamu..."

Wanita cantik bertukar hodoh tidak meneruskan kata-katanya. Renungannya bertukar dari wajah datuk ke wajah Ali Usman yang berada di sisi.

Renungan itu bagaikan ada kuasa yang menyebabkan sepasang kepala lutut Ali Usman menggeletar.

"Tenang Ali, aku ada di sini," datuk memberikan semangat.

Wajah Ali Usman yang pucat kembali merah berdarah. Dengan tenang dia menggigit bibir dan menggenggam penumbuk. Ali Usman sedang berusaha membina sebuah keyakinan dalam dirinya.

"Kerana bapa saudara kamu," si wanita mengulangi dan menyambung percakapan yang terputus.

"Kerana bapa saudara kamu memelihara aku dan dipergunakan untuk wanita-wanita lain hingga membolehkan aku tidak kelihatan tua. Setiap orang yang dipasang susuk oleh bapa saudara kamu, aku dapat mencuri kecantikan asal orang itu, aku dapat menikmati darah manisnya."

Bibir dan mulut si wanita itu tidak bergerak. Tetapi, suaranya yang tersekat-sekat dan termengah-mengah dapat kami dengar dengan jelas. Pada saat itu juga terdengar suara tangisan kanak-kanak seperti baru dilahirkan.

"Sekarang biarlah aku pulang ke tempat asal aku," kata wanita cantik bertukar hodoh.

"Silakan," sahut datuk.

"Sial," kutuk si wanita.

Seiring dengan itu, rumah terasa bergoncang dengan kuatnya. Saya dan Ali Usman saling berpaut bagi menghindari tubuh jatuh di lantai.

"Drummmmm..."

Satu ledakan kuat bergema. Saya terpana sebentar seperti berada di awang-awangan. Badan rasa terbuai ke sana dan ke mari.

Dalam keadaan yang tidak menentu itu, saya lihat papan lantai yang terkopak bertaut kembali.

Telaga lama yang muncul secara tiba-tiba terus hilang entah ke mana.

Tempat di mana telaga itu muncul segera diganti dengan api kecil, seperti api sumbu pelita minyak tanah. Melintuk-liuk mengikut arah angin yang bergerak dalam kawasan sekitar.

Dalam sekelip mata api yang kecil menjadi besar.

BESAR

Api itu terus marak dan bergerak dengan pantas mengelingi kami. Tidak tahu apa yang mesti dilakukan. Paling mengejutkan, datuk berada di luar lingkaran api. Tidak tahu macamana datuk masih berada di luar.

Apakah semasa api menjalar datuk sudah bersedia menyelamatkan diri atau api sendiri tidak mahu mendekati datuk.

Selain dari itu, saya juga teerfikir bagaimana boleh terjadi lingkaran api, kenapa api itu tidak merebak ke tempat lain.

Apakah sebelum api itu datang, sekitar tempat kami berdiri sudah disimbah dengan minyak petrol.

Saya mula terasa susah untuk menarik dan melepaskan nafas. Api yang marak terus melepasi kepala kami berdua. Haba panas membuat kulit pedih. Asap tebal membuat kami hampir lemas, tersedak dan batuk.

Kerongkong terasa kering, sukar untuk memanggil datuk. Tetapi, dicelah-celah lidah api yang sebentar meninggi dan sebentar menurun, datuk masih dapat dilihat.

Datuk masih berdiri di tempatnya. Nampak cemas dan bimbang sekali. Bibirnya bergerak mebaca sesuatu. Tetapi, hasilnya masih kosong.

Datuk membuka silat, bergerak ke kiri dan ke kanan, sambil menarik dan melepaskan nafas. Setiap kali nafas ditarik dan dilepaskan mulutnya tetap bergerak. Seluruh kulit mukanya nampak tegang dan berpeluh.

Semua kerja-kerja yang dilakukan oleh datuk menjurus pada kehampaan dan kekecewaan.

Barangkali, kerana tidak ada cara lain atau datuk sudah kehabisan usaha dia terus melaungkan azan.

Saya dan Ali Usman mengalami kejutan. Punggung terasa seperti dipukul dengan benda keras.

Tubuh kami terangkat ke udara dan melayang-layang tidak tentu arah. Saya berusaha untuk menjerit dengan sekuat hati, bila menyedari tubuh kami di tolak angin ke arah sebatang pokok besar.

Belum pun suara jeritan keluar, tubuh kami terus melanggar batang pokok besar. Setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 230/284

BACA: SBDJ Siri 229: Sedut Tulang Bayi
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, November 28, 2025

Ahli Politik Punca Perpecahan Kaum Di Malaysia

Ahli Politik Punca Perpecahan Kaum Di Malaysia

Kita sering diperlihatkan betapa sempitnya tahap pemikiran sebilangan besar anggota masyarakat di negara ini, sering menzahirkan warna sebenar kita yang semakin hari semakin menebal dengan sikap prejudis dan perkauman.

Ahli Politik Punca Perpecahan Kaum Di Malaysia

Semuanya berpunca dari fahaman ahli politik berfikiran cetek dan nafsu serakah yang di kawal iblis dan syaitan.

Yang kalah berusaha untuk menang, yang menang menjadi sombong dan tamak haloba.

Yang berilmu merasa bongkak, yang gagah mempergunakan yang lemah.

Yang beragama, agama ditunggang. Mulut manis mengalahkan puak Yahudi.

Yang dulunya asal pembangkang, kini terus-terusan berlagak seperti pembangkang. Bodoh sombong.

Ada yang dulu kononnya para pejuang rakyat, kini pengundi yang pernah menyokong diburu seperti hanjing.

Ahli politik sememangnya sentiasa perasan bagus, tamak, rakus, bodoh dan lupa diri.

Debat Terbuka

Kalau dulu isu yang menyentuh soal agama dan bangsa sering ditakrifkan sebagai persoalan sensitif dan tidak diperdebatkan secara terbuka, tapi pada hari ini ia semakin menjadi kelaziman dalam masyarakat kita.

Situasi pada hari ini amatlah mengecewakan apabila semua perkara dilihat dan dikupas dalam konteks agama dan bangsa yang sempit.

Semua yang berlaku dijadikan alasan dan sebab untuk mencetuskan perbalahan antara kaum.

Terimalah kenyataan bahawa tahap perhubungan kaum semakin mencemaskan, dan kini ia boleh diumpamakan senipis kulit bawang.

Selepas lebih berpuluh tahun merdeka, adakah ini yang hendak kita bangga dan mahu wariskan kepada generasi akan datang?

Jangan lupa betapa para pejuang kemerdekaan bersusah payah untuk membina jambatan perpaduan yang kuat untuk mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara ini selepas merdeka.

Janganlah kita mengkhianati apa yang mereka tinggalkan kepada kita.

Memasuki era Malaysia Baru, sepatutnya perubahan landskap politik negara membawa kita kepada dimensi segar dalam konteks perhubungan kaum.

Adakah bosan hidup aman?

Inisiatif untuk membina dan membangunkan bangsa Malaysia wajar menjadi agenda serta matlamat setiap individu di negara ini.

Malangnya, naratif perhubungan kaum pascapilihan raya umum yang sedang dicorak cukup membimbangkan.

Jelas sekali apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan atas tiket kebebasan bersuara sehingga menganggu gugat perpaduan kaum yang dibanggakan selama ini.

Isu-isu sensitif yang membabitkan agama dan bangsa terus didendangkan, dibahas dan diperdebatkan secara terbuka sehingga mengundang pelbagai persepsi dan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat terutamanya yang masih mencintakan keamanan dan kedamaian.

Akibatnya, sikap prejudis terhadap rakan-rakan dari agama dan bangsa lain semakin membuak.

Pertelagahan Kaum

Buktinya, kita boleh membaca komen-komen dalam media sosial yang umpama sudah menjadi medan pertelagahan antara kaum secara terbuka.

Komen dan ulasan yang dibuat adalah sangat sensitif sehingga ada yang tergamak mengeji agama dan bangsa lain dan ia kian menjadi lazim.

Sampai bila kita mahu membiarkan perkara ini berterusan? Apakah kita sanggup membiarkannya begitu saja sehingga ia bertukar menjadi pergaduhan sebenar?

Dan satu lagi soalan klise yang hendak kita utarakan ialah, apakah kita sudah bosan hidup dalam keadaan aman, tenang, tenteram dan selamat sehingga giat mencipta sebab untuk bergaduh?

Tangkap dan hukum

Ayuh rakyat Malaysia, ini bukan sikap yang kita mahukan. Hargailah segala nikmat yang kita ada. Jangan esok menyesal apabila semuanya hilang begitu saja angkara tangan kita sendiri.

Ambil iktibar dengan pergaduhan dan perang saudara di negara luar yang menghancurkan mereka.

Kita sudah merasai keperitan dijajah lebih 400 tahun, jadi sekarang adalah masa untuk kita membangunkan tamadun bangsa Malaysia.

Jangan biarkan sikap dan tindak tanduk kita sendiri menjadi penghalang kepada impian tersebut.

Soal agama dan bangsa adalah isu sangat sensitif. Hentikan perdebatan secara terbuka sebaliknya sentiasa berbaik sangka dan mengutamakan kaedah rundingan dan perbincangan untuk menyelesaikan sebarang masalah atau ketidakpuasan hati.

Jangan biarkan mana-mana pihak dengan mudah mengambil kesempatan dan mencetuskan adu domba sehingga menjejaskan hubungan antara kaum.

Kita juga berharap pihak kerajaan akan lebih tegas dalam menangani isu perpaduan kaum ini.

Tangkap dan jatuhkan hukuman yang setimpal kepada semua pihak terutamanya ahli politik yang cuba bermain api dan menghancurkan perpaduan yang ada.

Mari kita membina bangsa Malaysia yang terus bersatu padu, saling hormat menghormati dan sentiasa berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan juga kontrak sosial.

-Sentiasapanas.com

Selepas Beribu Tahun, Kenapa Negara Haram Israel Hanya Wujud Pada Tahun 1948?

Selepas Beribu Tahun, Kenapa Negara Haram Israel Hanya Wujud Pada Tahun 1948?

Walaupun sebahagian negara dan umat Islam menyebutnya negara haram, dari sudut fakta geopolitik, Israel diisytiharkan pada tahun 1948, mempunyai kerajaan, tentera, sempadan de facto, menjadi ahli PBB sejak 1949 dan mempunyai hubungan diplomatik dengan banyak negara.

Negara haram israel

Namun persoalannya, kenapa negara Israel moden hanya muncul pada tahun 1948, bukan ribuan tahun sebelumnya?

Mari kita huraikan secara jelas dan ringkas.

1. Kerajaan Israel purba sudah lama hilang

Ya, pada zaman Nabi Daud & Sulaiman, memang ada Kerajaan Israel dan Kerajaan Yehuda.

Tetapi kerajaan-kerajaan itu musnah ribuan tahun lalu:
  • 722 SM: Kerajaan Israel dihancurkan oleh Asyur.
  • 586 SM: Kerajaan Yehuda ditaklukkan Babylon, Baitulmaqdis musnah.
  • Yahudi diusir ("Diaspora") dan berselerak ke Eropah, Asia Barat dan Afrika Utara.

Selepas itu — selama lebih 2,000 tahun — tiada negara Yahudi di Palestin.

2. Palestin ditakluk oleh banyak empayar

Selepas kejatuhan kerajaan purba itu, Palestin diperintah oleh:
  • Babylon
  • Parsi
  • Yunani/Seleucid
  • Rom
  • Byzantium
  • Umayyah
  • Abbasiyah
  • Fatimiyah
  • Ayyubiyah
  • Uthmaniyyah (Ottoman), selama 400 tahun (1517–1917)

Sepanjang tempoh ini, Yahudi tidak mempunyai negara sendiri. Mereka hanya hidup sebagai komuniti kecil dalam kerajaan yang lebih besar.

3. Zionisme abad ke-19: idea mencipta negara Yahudi moden

Pada akhir 1800-an, muncul gerakan baru bernama Zionisme, dipimpin oleh Theodor Herzl.

Faktor yang mendorong Zionisme:
  • Antisemitisme di Eropah
  • Pembunuhan, pogrom, diskriminasi
  • Keinginan membina "tanah air nasional Yahudi"

Tapi waktu itu Palestin masih di bawah kerajaan Uthmaniyyah, jadi Zionis tidak dapat mendirikan negara.

4. Perang Dunia I mengubah segalanya

Selepas Perang Dunia I, Empayar Uthmaniyyah runtuh dan Palestin dijadikan Mandat British.

Pada tahun 1917, Britain mengeluarkan Deklarasi Balfour yang menyokong pembentukan "National Home for the Jewish People" di Palestin. Ini membuka pintu besar migrasi Yahudi Eropah ke Palestin.

5. Ketegangan meningkat antara Yahudi Zionis & penduduk Palestin

Pada tahun 1920–1940-an:
  • Migrasi Yahudi besar-besaran
  • Pembelian tanah
  • Pengusiran penduduk Palestin
  • Konflik dengan masyarakat Arab tempatan
  • Kekacauan bersenjata (Irgunc, Haganah, Lehi)

Namun tiada negara Yahudi lagi. Palestin masih di bawah Britain.

6. Holocaust mempercepat sokongan antarabangsa

Selepas Perang Dunia II dan tragedi Holocaust, sokongan dunia Barat terhadap penubuhan negara Yahudi meningkat drastik. Hal ini membuka jalan kepada PBB.

7. 1947: PBB meluluskan Pelan Pembahagian (Partition Plan)

PBB mencadangkan:
  • Separuh tanah Palestin → negara Yahudi
  • Separuh lagi → negara Arab Palestin
  • Baitulmaqdis → kawasan antarabangsa

Penduduk Palestin menolak pelan ini kerana:
  • Mereka adalah 70% populasi
  • Zionis diberikan 55% tanah

Yahudi Zionis menerima. Orang Arab Palestin menolaknya.

8. 1948: British keluar → Zionis mengisytiharkan Negara Israel

Pada 14 Mei 1948, David Ben-Gurion mengisytiharkan: "Negara Israel kini wujud."

Sejurus selepas itu:
  • Perang meletus antara Israel dan negara Arab.
  • Lebih 750,000 rakyat Palestin diusir (Nakba).
  • 500+ kampung Palestin dimusnahkan.

Inilah sebabnya negara haram Israel moden baru muncul pada tahun 1948 — bukan ribuan tahun sebelumnya.

Rumusan

Israel moden terbentuk pada 1948 kerana gabungan:
  • Gerakan Zionisme moden (akhir abad ke-19)
  • Kejatuhan Uthmaniyyah
  • Sokongan Britain & Balfour Declaration
  • Migrasi Yahudi besar-besaran
  • Holocaust & simpati global
  • Pelan pembahagian PBB

Kesombongan Bangsa Israel

1. Merasa Istimewa

Al-Qur'an menyebut bahawa sebahagian Bani Israel bersikap sombong kerana merasa istimewa.

"Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?" QS. Al-Baqarah [2]:87

"Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya." QS. Al-Baqarah [2]:83]

2. Menolak Kebenaran/Wahyu

Selain sombong, Bani Israel juga menolak kebenaran yang dibawa para nabi, termasuk wahyu Allah.

"Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman." QS. Al-Baqarah [2]:88

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?" QS. Al-Baqarah [2]:91]

"Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkar) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya? Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur-adukkan yang benar dengan yang salah dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?" QS. Al-Imran [3]:70-71]

PENGAKHIRAN

Tidak berlaku peperangan antara umat Islam dengan Bani Israel beberapa kurun sejak zaman Nabi SAW sehinggalah perjanjian Balfour pada 1917 yang memberi hak kepada Yahudi mendirikan kerajaan haram Israel di bumi Palestin.

"Dan Kami telah menyatakan kepada Bani Israel dalam kitab Taurat, "Sesungguhnya kamu akan melakukan dua kali kerosakan di bumi dan melakukan kezaliman yang melampau." (al-Isra': 4)

"Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku." (al-Isra': 5)

"Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya." (al-Isra': 6)

"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya." (al-Isra': 7)

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 229: Sedut Tulang Bayi

SBDJ Siri 229: Sedut Tulang Bayi

Wanita hodoh itu menggunakan kekuatan ilmu aliran nadi yang disalurkan kearah tumit kakinya yang bercantum pada sekeping papan lantai yang secara kebetulan dipijak oleh sepasang kaki Ali Usman. Andainya sebelah kaki Ali Usman memijak papan lantai yang lain, pasti aliran nadi hitam wanita hodoh tidak akan berhasil meresap ke urat darah Ali Usman.

Toyol jadi-jadian

Seluruh tubuh Ali Usman jadi lembik dan perlahan-lahan mahu rebah ke lantai. Sepatutnya dia rebah ke kiri dan ke kanan tetapi yang anehnya, dia seakan-akan rebah terus ke atas papan lantai sekeping yang dipijak oleh wanita hodoh.

Bayi dalam dakapan wanita hodoh ketawa kegelian seperti digelitik. Malah bayi itu bertepuk tangan.

Saya menarik nafas kecewa, beberapa detik lagi seluruh tubuh Ali Usman yang lembik akan terbaring di papan lantai sekeping. Kejadian seterusnya susah sungguh mahu diramalkan. Wanita hodoh mula ketawa, tergambar kepuasan dan kegembiraan yang amat sangat di mukanya.

"Allahu hu Akbar."

Datuk bertempik, melompat hampir mengenai lelangit bilik dengan kedua-dua belah kakinya terkangkang dan sepasang tangannya berkembang. Bila tubuh yang melambung itu kembali berada di lantai, tanpa membuang masa datuk terus menumbuk papan lantai di hadapannya.

Aneh sungguh, papan lantai yang ditumbuk tidak pecah, sebaliknya papan lantai yang menjadi tempat wanita hodoh dan Ali Usman berdiri patah dua dan tercabut dari paku.

Papan yang patah jatuh ke tanah lalu terbentuk ruang atau lubang yang panjang. Cahaya dari luar menyelinap masuk.

Ketawa si bayi dalam dakapan wanita hodoh terhenti dan wajah wanita hodoh yang ceria menjadi keruh dan cemas.

"Kubur untuk kau," kata datuk.

"Belum tentu," sahut wanita sambil menjenguk ke arah lubang lantai yang ternganga, macam mulut buaya lapar menanti monyet turun dari pokok bakau.

Saya pastikan, sebaik selesai menjengah ke lubang yang terpelohong itu, wanita hodoh termenung seketika. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.

"Mungkin juga untuk aku, mungkin juga untuk orang yang mungkir janji," sindir wanita hodoh sambil menjeling tajam ke arah Ali Usman yang sudah boleh berdiri dengan betul, sebaik saja papan yang di pijaknya patah dan menjadi lubang.

"Bertenanglah Ali Usman. Aku tidak akan membiarkan kamu sengsara," sebuah ikrar terpancar dari kelopak bibir datuk.

Ali Usman yang sudah memperolehi kekuatan semangat dan fizikal mengukir sebuah senyum keyakinan buat dirinya dan datuk.

"Hai, orang tua nak mampus, usah masuk campur dalam urusan ini. Biarlah hal ini diselesaikan oleh anak saudara orang terbabit dalam perkara ini," satu permintan yang keras dari wanita hodoh untuk datuk.

Di Sebalik permintaan yang keras itu, wanita hodoh terus menjadikan datuk sasaran kemarahannya unuk kali kedua.

Kalau tadi matanya merah menyala dan kedua belah bahu mengeluarkan asap, tetapi kali ini dari mata yang merah itu terpancar cahaya kebiruan yang panjang dan tajam, macam pancaran laser.

Setiap benda yang terkena pancaran cahaya akan cair dengan sendiri, manakala dari kiri dan kanan bahu sudah bertukar daripada asap mengeluarkan percikan bunga api seperti yang selalu dimainkan oleh kanak-kanak ketika menyambur hari raya.

GAGAL

Berkali-kali sorotan pancaran cahaya itu diarahkan kepada datuk. Semuanya gagal, pancaran itu seolah-olah ditolak oleh angin ke arah lain.

Dalam masa yang sama terdengar suara datuk membaca surah Al-Kursi dengan fasih dan lancar sebutannya.

Selagi ayat-ayat itu terkeluar dari mulut datuk, kedudukan sorotan cahaya tidak mengikut seperti apa yang di arahkan oleh wanita hodoh, malah sorotan cahaya menjadi lintang pukang dan saling tindih menindih.

Setiap kali sorotan cahaya itu berpatah ke arah wanita hodoh dan mengenai tubuhnya, wanita hodoh akan menjerit kesakitan dan hujung rambutnya akan terbakar lalu mengelurakan bau hangit yang amat sangat.

"Bodoh sial," Wanita hodoh cuba menimbulkan kemarahan datuk.

Dalam perkiraanya, bila datuk marah, datuk tidak dapat mengawal perasaan. Mudahlah baginya mencari kekurangan atau kelemahan diri datuk. Dengan itu mudahlah dia menewaskan orang tua yang menjadi batu penghalang cita-citanya.

Segala usha yang dilakukan tidak menjadi. Datuk tetap tenang dan dingin. Tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Sebaliknya terus mendekati Ali Usman.

Bahu kiri anak saudara raja pukau itu ditepuknya beberapa kali. Ternyata tindak tanduk itu menyemarakkan kemarahan yang sedia ada dalam dada wanita hodoh.

Dengan serta merta pancaran cahaya yang menyerupai pancaran laser itu dimatikan.

"Kraaakkkkk..."

Seluruh perhatian kami tertumpu ke arah bunyi tersebut. Beberapa keping papan lantai turut patah (terutama di kiri kanan papan yang patah pada mula-mula tadi) membentuk permukaan yang bulat seperti permukaan perigi yang seluasnya lebih dari empat kaki dalam bentuk bulat.

Dari permukaan papan yang bulat itu terhulur secara perlahan-lahan ketulan batu-bata tua yang penuh lumut dan rumput-rumput. Ketulan batu lama tersusun rapi mengelilingi lubang yang tersedia di lantai.

"Telaga timbul dalam bilik," itu komen saya melihat kejadian di depan mata yang tidak masuk di akal.

"Itu bukan telaga, tetapi kubur untuk kamu bertiga," wanita hodoh membalas komen saya.

Datuk hanya diam. Sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Wanita hodoh terus berusaha dengan menimbulkan bermacam-macam bunyi yang lebih menakutkan daripada tadi di dalam bilik.

Malah dengan kuasa sihir yang ada padanya, wanita hodoh mendatangkan ular bisa dan beribu-ribu kala jengking di atas lantai.

Semua binatang berbisa menuju ke arah kami bertiga tetapi berpatah balik ke arah wanita hodoh lalu menjadi dedaun kering, bila datuk menjentik papan lantai dengan kuku jari hantunya.

PERUT

Jalan terakhir yang dilakukan wanita hodoh untuk melunaskan rasa marah hatinya, bayi dalam pangkuannya dibalingkan ke pangkal tiang. Kepala bayi itu bekecai dengan otak bersemburan. Tempurung kepalanya terbelah dua.

Apa yang menakjubkan bayi itu tidak menangis langsung. Darah bertebaran di lantai.

Memang tidak disangka, kejadian yang ngeri dan menakutkan itu berlaku di depan mata. Saya kecut perut. Wanita hodoh melangkah ke tiang tempat dia menghempaskan bayi kesayangannya. Sekujur tubuh bayi terkapar dilantai, dikelilingi darah merah segar.

"Daripada hidup menderita, tidak bertuan lebih baik kamu mati," terdengar ratapan dari wanita hodoh.

Sungguh mendebarkan bila sepasang kaki wanita hodoh memijak-mijak tubuh si bayi. Darah memancut-mancut dari tubuh bayi yang malang. Wanita hodoh duduk mencangkung di depan tubuh bayi yang terkapar.

Sepasang matanya bersinar garang. Kemudian perlahan-lahan membongkok tubuh lalu menjilat darah bayi di lantai serta menelan tulang-temulang yang ada di situ. Lidahnya yang agak luar biasa panjangnya itu di penuhi dengan darah.

Sebahagian daripada darah merah yang segar itu melekat di kiri kanan pipi. Beberapa bahagian tulang yang besar seperti tulang paha, kaki dan lenan tidak dimamah atau ditelan tetapi disedut dengan penuh nafsu.

Semasa menjilat darah dan menghisap tulang temulang bayi terdengar hembusan nafasnya yang kencang, macam hembusan atau dengkur orang tidur yang amat keletihan.

Tidak sampai sepuluh minit lantai yang berdarah nampak bersih. Begitu juga dengan tulang-tulang yang bertaburan terus hilang entah kemana.

Kerana terlalu kekenyangan wanita hodoh itu tersandar di dinding dalam keadaan yang tidak senonoh. Satu persatu wanita hodoh memerhatikan wajah-wajah kami dengan rasa geram.

"Kamu sebenarnya tidak diingin disini," tutur datuk.

"Kedatangan aku kerana janji."

"Orang yang berjanji sudah mati."

"Dia sudah menyediakan gantinya," tingkah wanita hodoh.

"Gantinya tidak bersedia," jawab datuk.

Wanita hodoh terdiam, daging di jari jemarinya kelihatan membengkak. Perlahan-lahan sepasang tangannya diangkat separas dada. Daging dijari-jemari berguguran di lantai, cuma yang tinggal ialah tulang jari.

Bermula dari jari melarat sedikit demi sedikit hingga kedua-dua belah daging sikunya relai.

"Kakinya," kata saya.

Ali Usman dan datuk terus memandang ke arah kaki wanita yang telah tinggal tulang. Tiada seorang pun daripada kami yang menyedari perubahan yang berlaku pada kedua-dua belah kaki wanita hodoh.

Wajahnya nampak bersahaja, tidak membayangkan rasa sakit walaupun daging kaki dan tangannya relai di lantai.

Daging yang berguguran dilantai segera dihurungi semut-semut merah berukuran sebesar semut api. Terdengar bunyi suara meresik memanjang mengiringi pergerakan semut-semut merah itu. Tdak tahu dari arah mana semut-semut itu datang.

Apa yang nyata, dalam beberapa minit saja semua daging wanita hodoh yang relai dan bersepah dilantai hilang entah kemana.

Pada hemat saya mungkin daging wanita hodoh itu enak rasanya. Sesuai dengan selera semut-semut merah yang kelihatan masih belum puas.

Bunyi suara meresik memanjang yang membingitkan anak telinga hilang secara mendadak.

"Pelik."

Kerana yakin, suara itu milik datuk saya segera merenung ke arahnya. Jelas kelihatan dahinya berkedut. Dua tiga kali gigi atas dengan gigi bawah di lagakannya. Macam ada sesuatu yang difikirkan.

Ali Usman menarik dan melepaskan nafas dengan tenang.

Perhatian kembali ditumpukan pada semut-semut merah di lantai. Semut-semut merah yang berserakan itu berkumpul lalu membentuk barisan memanjang dan terus bergerak, macam gerabak keretapi berjalan atas landasan menuju kearah bahagian kaki yang masih berdaging.

PAHA

Bila sisa daging di kaki habis semut-semut itu bergerak ke bahagian paha. Sebahagian yang lain berpecah kebahagian lengan, meraap ke dada.

Seluruh badan wanita hodoh sudah dikuasai semut-semut merah. Bunyi suara meresik yang memanjang mula kedengaran.

"Dari mana semut itu datang."

Ali Usman tujukan pertanyaan kepada datuk. Dengan tenang datuk mengangkat kedua-dua sayap bahunya sambil menggelengkan kepala.

"Ganjil sungguh," keluh Ali Usman.

Datuk mengukir senyum sinis di kelopak bibir.

Saya tidak ambil kisah apa yang dikatakan oleh datuk dan Ali Usman. Sesungguhnya saya lebih berminat melihat gerak geri semut-semut mearh yang bagaikan berpesta makan besar di tubuh wanita hodoh yang terkedang di lantai.

Dia masih bernafas. Matanya yang masih belum diserbu semut-semut merah masih bergerak. Renungannya sayu ke arah saya. Seolah minta bantuan agar menghalau atau membunuh semut-semut merah yang menyelimuti seluruh tubuhnya.

Daya melawan masih ada dalam dirinya dan wanita hodoh cuba berusaha menghalau kumpulan semut dengan menggeliat dan menggerakkan tubuhnya. Usaha itu tidak berhasil sepenuhnya. Hanya sebahagian sahaja semut-semut itu yang jatuh di lantai.

Perbuatan wanita hodoh itu merangsang kemarahan sebahagian dari semut-semut merah yang masih berada di badannya.

Kumpulan yang tinggal itu semakin agresif mencarik-carik daging tubuh wanita hodoh. Dari kaki hingga paras leher, tidak ada daging yang tersisa. Sudah tinggal tulang.

Kumpulan semut merah terus bergerak dan merayap ke bahagian leher. Wanita hodoh mengerang menahan kesakitan dan kumpulan semut merah sudah pun mendarat di wajahnya.

Dari situ merangkak ke telinga. Suara keluhan dari wanita hodoh kian lemah dan lenyap begitu saja.

Dan akhirnya, seluruh muka, kepala, hilang dalam timbunan kumpulan semut merah. Si wanita hodoh juga hilang entah kemana. Terdengar bunyi deru angin yang amat kencang di luar rumah.

Ekor mata saya terus menjeling ke arah datuk dan Ali Usman. Mereka masih seperti tadi, masih termenung dan terkejut dengan apa yang mereka lihat.

"Allah hu Akbar."

Itu yang berbunga dalam kalbu, bila melihat seluruh tubuh wanita bertukar menjadi rangka. Kaku di tengah ruang bilik macam patung. Kaki (tulang) terkangkang. Tangan terkedang, tengkorak (bahagian muka) mendongak ke langit.

Siling bilik yang bertentangan dengan tengkorak terbuka sendiri. Begitu juga dengan atap di bahagian tersebut sudah terkopak.

Cahaya matahari segera menerkam tengkorak dan tulang-temulang di lantai yang nampak seakan-akan memancar sinar berkilat.

Lebih mengejutkan, kumpulan semut merah yang tadi berpesta riang memamah daging tubuh wanita dengan rakus hilang entah kemana. Deru angin di luar rumah tidak kedengaran lagi.

Sinar matahari yang jatuh pada longgokan rangka wanita hodoh tidak secerah tadi. Tetapi dari lubang bumbung yang ternganga itu kelihatan beberapa helai daun kering melayang-layang di udara sebelum jatuh ditepi longgokan tulang rangka.

"Semuanya macam tidak masuk akal," Ali Usman memberikan komentar.

"Susah nak cakap," balas datuk.

Dan seluruh perhatian, saya tumpukan ke arah dua manusia tersebut. Datuk menggaru hujung dahi sebelah kiri dua tiga kali. Barangkali, dia juga merasa takjub berhadapan dengan suasana yang tidak pernah difikirkannya.

"Kruuuuuupppppp."

Tulang-tulang rangka bergerak sendirian. Beberapa detik berikutnya perlahan-lahan tulang rangka wanita hodoh yang dalam keadaan duduk itu jatuh satu persatu dan berserakan di lantai.

Sinar matahari yang masuk ikut lubang bumbung terus menyorot ke arah tulang yang bertaburan.

BERJALAN

"EH, tulang rangka berjalan?"

Serentak ungkapan itu terpancut dari kekopak bibir datuk dan Ali Usman. Tulang-temulang yang berserakan bergerak dan berkumpul menjadi satu longgokan.

Bagaikan ada kuasa tertentu atau angin yang menggerakkan tulang temulang tersebut menjadi selonggok.

Susunannya juga menarik, tulang-tulang kaki dan tangan berada di bahagian bawah. Diikuti dengan tulang kering, tulang paha dan punggong. Lapisan ketiga untuk tulang dada, belakang, tulang bahu dan tengkuk.

Tempat paling atas untuk tengkorak. Lubang mata yang terpelohong, hidung dan mulutnya, letaknya mendongak ke arah lubang bumbung. Lebih tepatnya mengadap ke langit.

Kami bertiga bagaikan terpukau dengan apa yang berlaku. Dari sebelah kanan bucu bilik, di bahagian papan yang terkopak sedikit muncul dua tiga ekor kalkatu.

Ganjil sekali, biasanya kalkatu muncul waktu malam. Keganjilan kalkatu muncul siang, turut dirasakan oleh datuk dan Ali Usman.

"Ini bukan sebarang kalkatu," datuk luahkan suara hatinya.

Ali Usman anggukkan kepala. Setuju dengan datuk.

Kalkatu itu terbang ke arah longgokkan tulang temulang. Dalam sekelip mata saja jumlahnya bertambah lalu bergabung dengan kalkatu yang mula-mula muncul tadi yang (jumlahnya tidak lebih dari tiga ekor) sedang berlegar-legar atas tulang selonggok.

Kerana jumlahnya sudah banyak, kumpulan kalkatu yang berlegar-legar itu melahirkan bunyi berdengung yang kuat. Setelah puas berlegar-legar kumpulan tersebut membentuk satu bulatan seperti bentuk piramid.

Kumpulan pertama berada di tempat paling atas sekali. Dua tiga ekor yang berada di bahagian bawah jatuh atas longgokan tulang yang hilang.

Sebahagian dari kalkatu yang berada dalam bentuk susunan piramid keluar, terutama di bahagian tengah.

Kumpulan yang terkeluar itu terbang menuju ke arah saya dan Ali Usman. Keadaan itu membuat saya cemas. Kumpulan yang datang itu bukan sedikit, nampak hitam seperti sebiji bantal guling.

"Tunduk," jerit datuk.

"Jangan sampai kepaknya jatuh atas badan kamu berdua. Jangan biarkan badan kamu digigit kalkatu siang. Bisanya boleh membawa maut," sambung datuk.

Arahan datuk kami patuhi. Malah kami terus meniarap di permukaan lantai.

"Siapa suruh kamu meniarap, kamu berdua nak mati katak. Aku suruh kamu tunduk saja," datuk meledakkan kemarahan. Dengan segera kami bangun dan tunduk.

Kumpulan kalkatu yang datang menyerang itu melepasi kepala kami berdua. Sebahagian yang terlajak, tidak sempat berpusing balik lalu melanggar dinding.

Akibatnya jatuh bergelimpangan di lantai dan segera menjadi butir-butir pasir yang halus. Sebahagian yang terselamat terus menyelinap ke dalam lubang dinding.

Kerana tidak mendapat arahan selanjutnya dari datuk, saya dan Ali Usman terus tunduk hingga batang leher terasa tidak selesa.

Secara mengejut kulit di tempurung kepala terasa seperti disikat-sikat. Rambut hitam saya gugur di lantai. Begitu juga dengan rambut Ali Usman.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 229/284

BACA: SBDJ Siri 228: Dendam Wanita Hodoh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Saturday, August 30, 2025

Bilakah 2 Kerosakan Bani Israel Dan Siapa Yang Membalas Kerosakan Tersebut?

Bilakah 2 Kerosakan Bani Israel Dan Siapa Yang Membalas Kerosakan Tersebut?

Firman Allah Taala, "Dan Kami menyatakan kepada Bani Israel dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau." (Surah Al-Israa: 4)

2 Kerosakan Bangsa Israel

Dalam ayat-ayat berikutnya Allah SWT jelaskan setiap kali mereka lakukan kerosakan tersebut akan ada pembalasan daripada Allah SWT.

Soalannya ialah, bilakah dua kerosakan yang dilakukan oleh Bani Israel dan siapakah yang membalas kerosakan tersebut?

Ramai ahli tafsir yang menyatakan dua kerosakan tersebut telah berlaku.

Sheikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan kerosakan pertama berlaku di mana yahudi mengubah kitab Taurat dan menyalahinya serta membunuh para nabi. Kerosakan kedua adalah membunuh Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan cubaan membunuh Nabi Isa a.s.

Allah SWT membalas kerosakan pertama mereka dengan satu bangsa yang datang menjajah mereka dengan beberapa peperangan. Mereka adalah tentera Babylon yang dipimpin oleh Bukhtunnasar. Pendapat ini dipegang oleh Ibn Abbas r.a.

Qatadah pula menyatakan mereka adalah tentera dari Parsi. Sheikh Wahbah Zuhaili memilih pendapat Ibn Abbas r.a. dan menyatakan bahawa yang penting ialah mengambil ibrah dan pengajaran iaitu penguasaan kumpulan yang kuat ke atas kumpulan yang melampau. Tidak penting siapakah peribadi mereka dan kumpulan mereka.

Balasan kepada kerosakan kedua ialah diutus kepada mereka musuh-musuh yang masuk ke Masjid Aqsa. Mereka masuk secara ganas menghancurkan dan membakar kitab Taurat sehingga tidak meninggalkan kesan pembangunan serta merosakkan tanaman.

Mereka ialah Raja Babylon yang bergelar Birdus atau Khirdus sebagaimana disebut oleh al-Baidhawi.

PANDANGAN SHEIKH SYA'RAWI

Mengikut Sheikh Sya'rawi dalam ayat keempat ini Allah SWT memberi hukuman kepada Bani Israel dan memaklumkan kepada mereka berkaitan melakukan kekeliruan dalam menerima manhaj Allah yang disampaikan oleh para rasul.

Adakah Bani Israel melakukan hanya dua kerosakan? Sedangkan mereka telah melakukan banyak kali kerosakan tetapi kenapakah Allah menyatakan dua kali kerosakan?

Ramai ulama membicarakan dua kali kerosakan ini dan bilakah ia berlaku. Mereka berpendapat ia berlaku sebelum datangnya Islam.

Kerosakan pertama ialah Bani Israel membunuh Nabi Zakaria. Kemudiannya mereka dihukum dengan dikuasai oleh Raja Nebuchadnezzar dari kerajaan Babilon

Kerosakan kedua ialah Bani Israel membunuh Nabi Yahya. Kemudiannya mereka dihukum dengan dikuasai juga oleh seorang raja dari kerajaan Babilon.

Namun begitu bagi orang yang memerhatikan dengan teliti surah Isra' mereka mendapati ia diikatkan dengan Islam.

Oleh itu yang dikehendaki dengan dua kali kerosakan ialah mereka lakukan kerosakan selepas kedatangan Islam.

Kronologi ayat ini ialah bermula dengan cerita berkaitan Israk Nabi SAW ke Masjid Aqsa dan kemudian Allah SWT menyatakan kisah Bani Israel. Ini menunjukkan Islam merentasi hingga ke tempat suci Bani Israel iaitu Baitulmaqdis.

Ia menjadi kiblat pertama umat Islam dan destinasi terakhir Israk Nabi SAW.

Sebenarnya, Baitulmaqdis termasuk dalam kawasan Islam di mana Islam datang untuk menjaga semua agama samawi dan Islam adalah untuk seluruh manusia.

Bagi yang mengkaji penyelewengan oleh Bani Israel akan mendapati terlalu banyak yang mereka lakukan sama ada buat-buat lupa manhaj Allah, menyembunyikan manhaj Allah atau mengubah manhaj yang Allah turunkan dengan tangan-tangan mereka. Kemudian menyatakan ia adalah daripada Allah.

Apakah terdapat kerosakan yang lebih besar daripada mengubah manhaj yang Allah turunkan?

Menurut Sheikh Sya’rawi, kerosakan pertama berlaku selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan melakukan perjanjian dengan tiga kumpulan Yahudi iaitu Bani Quraizah, Bani al-Nadhir dan Bani Qainuqa’.

Mereka mencabuli perjanjian tersebut dan melanggar dengan melakukan perkara yang dilarang. Lantas Nabi SAW menghukum mereka. Sebahagian mereka ada yang dibunuh dan sebahagian lagi dihalau ke Syam dan Khaibar.

Maksud "Hamba-hamba Kami" ialah Rasulullah SAW dan para sahabatnya iaitu ketika Rasul dan para sahabatnya telah masuk ke penempatan mereka, membunuh, menawan dan mengeluarkan mereka daripada bumi Madinah.

Makna "Yang gagah perkasa dan ganas serangannya" ialah keadaan orang beriman ketika itu di Madinah. Mereka menjadi kerajaan yang kukuh dan kuat, mampu menghadapi orang yang menceroboh perjanjian.

Tidak berlaku peperangan antara umat Islam dengan Bani Israel beberapa kurun sejak zaman Nabi SAW sehinggalah perjanjian Balfour pada 1917 yang memberi hak kepada Yahudi mendirikan kerajaan Israel di bumi Palestin.

Maksud "Kami kembalikan kepada kamu (Yahudi) kekuasaan" ialah kekuasaan Yahudi ke atas umat Islam diberikan pada tahun 1967.

Umat Islam tidak selama-lamanya kalah dengan Yahudi


Kumpulan ulama yang berpendapat bahawa dua kerosakan tersebut berlaku ketika Zaman Nabi Muhammad SAW hidup dan pada zaman kini di mana pada zaman yang sedang menyaksikan penjajahan Negara Haram Israel terhadap Palestin.

Majoriti mereka adalah ulama yang hidup pada zaman kini seperti Syeikh Thantawi, Dr Wahbah Zuhaili, Syeikh Sya’rawi, Dr Solah Al-Khalidi, Dr Abdul Muiz Abdul Sattar dan ramai lagi.

Bagi mereka, dua kerosakan tersebut adalah seperti dalam perenggan berikut:

Kerosakan pertama adalah di Madinah. Yahudi daripada sebilangan suku kaum cuba beberapa kali untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, membunuh sebilangan para sahabat dan penduduk Madinah yang tidak bersalah, berkomplot dengan Quraisy dan Munafiqin untuk menghapuskan kerajaan Islam pertama dalam sejarah Islam, memungkiri perjanjian Madinah, menyeleweng agama yang mereka diperintahkan untuk menganutinya sebelum Rasullah SAW diutuskan, selepas baginda diutuskan, mereka memusuhi pula baginda walaupun mengetahui kebenarannya adalah apa yang dibawa oleh baginda SAW. Kerosakan ini telah berakhir dengan keluarnya mereka dari bumi Madinah.

Kerosakan kedua adalah di bumi Palestin pada zaman kini. Jelas dan tidak perlu lagi diperincikan. Semenjak jatuhnya kerajaan Othamaniah 1922 sekitar tahun 1922 dan pengiktirafan penjajah British Zionis di atas bumi Palestin, ia telah membuka pintu seluas-luasnya untuk Yahudi Zionis menjajah Palestin. Ia bukan sejarah, ia masih berlaku. Kerosakan ini masih berlaku di hadapan mata umat Islam.

Tuntasnya, majoriti ulama zaman silam mengatakan dua kerosakan Bani Israel adalah pada zaman sebelum Nabi Muhammad SAW, ia telah berlaku dan telah berakhir dan ia berlaku di bumi Palestin.

Bagi pendapat ulama zaman kini atau kontemporari, mejoritinya mereka mengatakan dua kerosakan ini berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW dan pada zaman kini.

BERGEMBIRALAH WAHAI UMAT ISLAM

Firman Allah SWT: "Oleh itu, apabila menjelang waktu hukuman pembalasan kezaliman yang kedua." (Isra’:7) maknanya akan datang kerosakan kedua kepada mereka.

Ayat ini memberi berita gembira kepada umat Islam supaya kita kembali sebagaimana umat Islam terdahulu.

Hendaklah kita sedar, bangkit dan kembali kepada manhaj Allah maka ketika itu umat Islam akan menang ke atas yahudi. Umat Islam akan memasuki Masjid al-Aqsa dan menyelamatkanya daripada tangan-tangan Yahudi.

Jika diperhatikan kepada firman Allah "Mereka memasuki Masjid Baitulmaqdis sebagaimana mereka memasukinya kali pertama".

Kali pertama umat Islam memasuki Masjid Aqsa ialah pada zaman khalifah Umar al-Khattab r.a.

Pada ketika itu Masjid Aqsa berada dalam tangan Nasara berbangsa Roman bukan Yahudi. Tapi kali ini umat Islam yang memasuki Masjid Aqsa yang berada di bawah penguasaan Yahudi.

Umat Islam akan menghancurkan mereka dan membersihkan Masjid Aqsa daripada kotoran Yahudi.

Al-Quran tidak akan berkata, "sebagaimana mereka memasukinya kali pertama" kecuali ia berlaku dua kali memasuki Masjid al-Aqsa dengan sekali mereka iaitu Yahudi dikeluarkan.

Apa yang berlaku sekarang iaitu pengumpulan Yahudi di bumi Palestin yang bermula dengan Deklarasi Balfour pada 1917 dan sokongan kuat kuasa besar dunia terhadap Yahudi dan mereka memusuhi Islam, sebenarnya adalah memudahkan untuk menjatuhkan hukuman kepada mereka.

Kemenangan terakhir adalah milik Islam dan umatnya.

Jarak untuk mencapai janji kemenangan ini bergantung kepada umat Islam sendiri sejauh manakah mereka berpegang kepada manhaj Allah.

Penulis:
Dr Khairul Anuar Mohamad,
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM

-Sentiasapanas.com

Friday, August 29, 2025

SBDJ Siri 228: Dendam Wanita Hodoh

SBDJ Siri 228: Dendam Wanita Hodoh

Dan dalam sekelip mata juga, rangka tersebut kembali kepada keadaan asal. Kemudian bertukar semula menjadi rangka. Bertukar balik menjadi tubuh manusia. Begitulah seterusnya, sering bertukar ganti rupa dan bentuk. Semasa proses penukaran itu suasana dalam ruang bilik diterangi dengan kilaun cahaya merah dan hijau, gerakan cahaya itu tidak ubah macam pancaran kilat.

Toyol jadi-jadian

Bila terpancar warna hijau, tubuh wanita hodoh menjadi rangka, tengkorak kepalanya putih berkilat, lubang mata dan hidungnya terpelahang. Bila bergerak seluruh sendinya berbunyi macam bunyi tayar lori melanggar batu kerikil dijalan baru.

Bila pancaran hijau bertukar merah, rangka wanita bertukar menjadi tubuh manusia yang cukup sempurna. Pancaran warna yang sering bertukar menyebabkan pandangan menjadi silau. Mata menjadi pedih dan perit.

Seiring dengan pancaran warna itu, terdengar suara lelaki mengerang, merintih menahan rasa sakit yang amat sangat serta diselang seli dengan suara perempuan ketawa dan mengilai panjang.

Apa yang terdaya kami lakukan adalah pasrah pada keadaan. Bersedia menghadapi apa saja yang datang. Jauh di sudut hati, masih berbunga harapan yang datuk tidak akan berdiam diri, jika terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Ali Usman kelihatan tidak tenang sekali. Wanita hodoh terus mengusap-usap kepala bayi yang dipangkunya. Suara lelaki merintih dan perempuan mengilai terus bergema.

"Kita hadapi apa saja yang terjadi," dalam keadaan yang tidak menentu itu, datuk masih sempat melafazkan pesanan.

"Saya faham dan bersedia," balas Ali Usman.

Dan saya hanya angguk kepala.

Tiba-tiba secara mengejut, pancaran cahaya hijau merah berhenti. Sekujur tubuh wanita berwajah hodoh kembali dalam bentuk asal, tidak lagi bertukar menjadi rangka. Suara lelaki merintih dan perempuan mengilai turut lesap. Keadaan kembali tenang.

"Kenapa senyap dan sunyi," bergema persoalan dalam kalbu, bila berdepan dengan situasi yang saya kira cukup ganjil sekali. Rasa sepi menguasai sekitar.

Ruang bilik yang tadi riuh rendah dengan berbagai-bagai bunyi, bertukar rentak terasa sunyi dan kosong.

Gegendang telinga bagaikan hilang kuasa untuk menangkap sebarang kesan bunyi yang terjadi dalam bilik. Rasa cemas dan takut bersarang di dada.

Kami saling berpandangan dan mengharapkan salah seorang daripada kami dapat memberikan idea utuk memecahkan kebuntuan yang sedang dialami.

Wanita berwajah hodoh tahu masalah yang sedang kami hadapi. Dia tersenyum dan akhirnya ketawa. Dia melafazkan sesuatu ke arah kami.

Sayang, apa yang dituturkan tidak mampu ditangkap oleh anak telinga kami. Wanita berwajah hodoh makin menjadi-jadi, dia menari-nari sambil mengoyang-goyangkan punggungnya.

"Allahu Akbar."

Datuk bertempik sambil tangan kirinya memukul lantai bilik. Serentak dengan itu gegendang telinga kami berfungsi kembali, semuanya dapat didengar dengan jelas dan terang.

Rasa sepi yang menguasai segera berakhir. Bunyi bising dan hinggar binggar datang kembali.

SENYUM

Muka Ali Usman segera saya lihat. Ada senyum berlari di kelopak bibir. Datuk juga saya renung, orang tua itu masih membongkok, telapak tangannya kelihatan melekat di lantai seperti kena gam.

Datuk kerah seluruh tenaganya untuk memisahkan telapak tangannya yang melekat. Urat leher dan dilengannya nampak timbul.

"Dia mula memperdayakan aku," cetus datuk dengan muka berkerut.

"Itu satu permulaan," wanita berwajah hodoh menyindir.

"Aku tahu, jangan fikir aku mahu menyerah begitu saja," keras nada suara datuk.

Benih-benih peluh mula meruap di dahi dan pangkal leher. Tidak ada tanda-tanda datuk mahu menyerah. Segala kekuatan tenaga dan ilmu mula dimanfaatkan.

"Allahu Akbar."

Suara kemenangan menguasai seluruh ruang bilik. Telapak tangan yang melekat di lantai terpisah. Datuk berdiri gagah dan wanita berwajah hodoh tercengang, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Mengapa aku harus menjadi mangsa kamu," satu pertanyaan yang garang dari datuk.

"Tanpa kamu, semua angkara ini tidak terjadi."

"Aku sekadar menolong."

"Pembohong, kamu mahu menjahanamkan apa yang ada pada aku."

"Biar aku jelaskan."

"Diam..." jerit wanita berwajah hodoh.

Datuk terdiam tetapi, sepasang bola matanya tidak bergerak dari menatap seluruh tubuh wanita tersebut. Datuk tahu, kalau renungannya dialihkan ke arah lain dia akan menerima akibat buruk.

Jeritan yang bergema sebentar tadi bertujuan untuk mengalihkan perhatian datuk.

Secara lojiknya, tidak ada sebab wanita tersebut mesti menjerit kerana datuk bercakap dalam nada suara yang lembut, penuh persahabatan.

"Kamu orang tua sial."

Jari telunjuk wanita hodoh menuding ke arah batang hidung datuk. Darah saya tersirap kerana datuk tidak bertindak balas. Masih tenang, seolah-olah kata-kata itu tidak memberikan sebarang kesan pada dirinya.

"Bummmmmmm...."

Satu ledakan kecil terjadi di depan wanita berwajah hodoh. Seluruh ruang bilik mula dikuasai bau hangit dan hapak. Kepulan asap kecil dan nipis muncul di kiri kanan wanita tersebut.

Asap nipis sedikit demi sedikit bertukar warna menjadi hitam tebal hingga tubuh wanita yang memangku bayi hilang dari penglihatan kami.

"Kita keluar dari rumah neraka ni," satu usul dari Ali Usman.

"Ayuh," sahut saya.

Tdak ada sebarang bantahan dari datuk. Serentak kami memusingkan tubuh menghala ke pintu untuk keluar.

Sebelum langkah sulung dimulakan, terdengar bunyi deru angin yang cukup kuat. Badan terasa bergegar dan terangkat secara perlahan-lahan.

TERHEMPAS

Sebelum pun sempat kami mengatur strategi, tubuh kami berpusing-pusing dalam ruang bilik yang hangit dan hapak.

Akhirnya terhempas ke dinding dengan kuat, seluruh sendi bagaikan mahu tercabut rasanya. Sakitnya tidak boleh di ceritakan. Lebih dari lima minit kami terkapar di situ.

"Hei kamu semua, mahu ke mana?"

Wanita berwajah hodoh tercegat di depan kami. Bayi yang dipangku berubah tempat. Kini berada di atas bahu dengan kedua belah kakinya terjuntai ke dada hampir mencecah hujung puting payu dara. Kedua dua belah tangan bayi memeluk dahi ibunya.

"Bagaimana? Masih macam tadi juga?"

Ternyata pertanyaan itu ditujukan kepada Ali Usman yang baru saja menyandar tubuh ke dinding. Datuk terus memicit hujung sikunya. Bunyi deru angin sudah mati, digantikan dengan bunyi bising yang tidak menentu.

"Bagaimana, masih mahu berkeras?"

Suara wanita berwajah hodoh bertambah lantang. Mungkin dia marah kerana pertanyaan tidak dijawab oleh Ali Usman. Bunyi bising hilang secara mengejut.

Datuk sudah pun berdiri, saya masih terkial-kial berusaha untuk duduk macam Ali Usman.

"Tak dapat nak buat keputusan," ulang wanita berwajah hodoh.

Ali Usman terus membisu.

"Kamu menolak peluang yang baik ini?"

"Iya, aku menolak," tingkah Ali Usman penuh yakin.

"Kamu mengkhianati perjanjian yang dibuat antara aku dan bapa saudara kamu."

"Heii, aku tidak masuk campur dalam perjanjian dengan syaitan, perkara itu memang aku tidak tahu. Macam mana, aku kamu babitkan."

"Kamu pengkhianat."

Wanita berwajah hodoh tidak mampu mengawal kemarahannya. Mukanya nampak merah. Dua tiga kali dia menghentakkan kaki kirinya ke lantai bilik. Rumah terasa bergegar seketika.

Dalam keadaan yang begitu kritikal, Ali Usman dapat berdiri lalu menghadapkan wajahnya ke muka wanita hodoh.

"Jangan tentang anak matanya Ali," terpancut kata dari kelopak bibir datuk.

"Kekuatannya sekarang berkumpul di situ, dia akan menggunakan segala kebolehannya menunduk kamu."

"Hai orang tua, ini bukan urusan kamu," dengan segera wanita hodoh mengalihkan pandangannya ke arah datuk.

"Aku sekadar menolongnya, memenuhi permintaannya," balas datuk dalam nada suara yang lembut dan tenang.

HODOH

Saya lihat wanita hodoh menarik nafas dalam-dalam. Bayi yang berada di tengkuk diturunkan lalu dipangku dan dihayunkannya ke kiri dan ke kanan.

Sepasang tangan dan kaki bayi bergerak-gerak. Terdengar suara bayi merengek kegelian. Sebaik sahaja suara rengekan itu berhenti, bayi dalam pangkuan segera didakap erat ke dada. Kedua-dua belah pipi wanita hodoh nampak kembung, macam perut ikan buntal.

"Puuuhhhhh...."

Saya melihat ke arah mulut wanita hodoh, baju dan seluar datuk nampak bergerak, begitu juga rambutnya. Datuk terpaksa membongkok melawan arus angin yang keluar dari mulut wanita hodoh.

Andainya datuk berdiri tegak sudah tentu badannya bergerak dan terhumban ke dinding seperti tadi. Sebelum kejadian pertama berulang untuk kali kedua, datuk sudah pun mempersiapkan diri.

Wanita hodoh kelihatan panik, hembusan angin dari mulut yang selama ini mempunyai kekuatan untuk menjatuhkan pokok dan manusia, ternyata kali ini tidak berfungsi.

Datuk masih bertahan dalam keadaan yang cukup selesa. Wanita hodoh yang tak kenal erti putus asa terus berusaha. Kali ini dia dibantu oleh bayi dalam pangkuannya. Tetapi, tidak mendatangkan sebarang kesan pada datuk.

"Dia lelaki tua yang hebat," keluh wanita hodoh.

Rasa kecewa dan hampa tergambar diwajahnya kerana gagal menghempaskan tubuh datuk ke dinding melalui hembusan angin dari mulut.

Bayi dalam pangkuan bersuara seperti katak memanggil hujan. Wanita hodoh tumpukan seluruh perhatian pada nada dan irama bunyi suara tersebut.

Dua tiga kali dia anggukkan kepala, menandakan faham dan mengerti dengan erti bunyi tekanan nada suara si bayi dalam pangkuan.

"Itu satu arahan," tutur datuk.

"Bukan urusan kamu," balas wanita hodoh.

Datuk tersenyum sinis. Ali Usman menggigit jari manis dan saya ingin memastikan apakah kata-kata datuk itu tepat atau sebaliknya.

Ramalan datuk menjadi kenyataan. Nada suara si bayi yang menyerupai bunyi katak memanggil hujan adalah satu arahan.

Sebaik suara itu berhenti. Wanita hodoh menundukkan kepalanya ke lantai, kemudian diangkat perlahan-lahan, hingga tegak 90 darjah, menentang anak mata hitam datuk.

Dengan pantas datuk membengkokkan kepala lututnya yang sekali gus merendahkan tubuh hingga anak matanya berada di paras dada wanita hodoh. Dalam erti kata lain, mata datuk tidak berlaga dengan anak matanya.

Tindakan selanjutnya, wanita hodoh meluruskan kedua-dua belah tangannya ke depan dan turut merendahkan tubuh seperti datuk buat seketika.

Berdiri kembali dan kali ini bayi dalam pangkuan menghulurkan sepasang tangannya ke arah wanita hodoh.

Tanpa membuang masa wanita hodoh mematahkan jari telunjuk kiri dan kanan bayi dengan tenang. Setiap batang jari telunjuk yang dipatahkan itu dicabut, bayi dalam pangkuan ketawa macam digelitik.

Kedua-dua jari telunjuk yang dicabut itu diramas-ramas sehingga menjadi berkeping-keping. Kemudian diuli hingga bulat sebesar buah guli kaca. Dan guli dari jari kelingking itu dibalingkan ke arah datuk.

Kerana datuk sentiasa bergerak dan pantas mengelak, tidak ada satu pun yang singgah di tubuh datuk.

Semuanya terhempas ke dinding bilik akhirnya menghasilkan ledakan kecil-kecilan yang membingitkan anak telinga.

Saya dan Ali Usman menyaksikan semua kejadian aneh itu dengan penuh teliti di samping berjaga-jaga. Bimbang kalau kami berdua akan menjadi mangsa kemarahan wanita hodoh.

"Huuuuhhhh," jerit wanita hodoh sambil menampar-nampar dada dan meramas-ramas kepala bayi dalam dakapan. Dia bagaikan tahu, bahawa datuk bukanlah lawannya.

Dia perlu mengatur strategi lain hingga kejayaan berada di pihaknya. Apa yang pasti si wanita hodoh memang tidak kenal erti putus asa. Tidak kenal erti kekalahan. Apa yang dia tahu ialah kemenangan harus berada di pihaknya.

JALAN

Satu-satunya jalan menuju kemenangan ialah mempergunakan kelemahan Ali Usman. Untuk kesekian kalinya anak matanya mencari anak mata Ali Usman.

Pesan datuk tidak dilupakan. Ali Usman segera berusaha dengan sedaya yang boleh agar anak matanya tidak bertembung dengan anak mata wanita hodoh.

Di saat Ali Usman dan wanita hodoh berlawan, datuk mengambil peluang meluruskan tangan. Kemudian dengan tenang datuk berdiri seperti biasa, mengeliat untuk menghilangkan lenguh-lenguh di sendi akibat terlalu lama membongkok.

Di samping itu datuk membuka langkah silat-silat yang agak ganjil. Dengan menggunakan kekuatan kedua-dua belah ibu jari kakinya datuk mengatur langkah silat.

Silat yang menggunakan ibu jari kaki kiri dan kanan untuk mengawal pergerakan badan dan langkah silat, jarang digunakan oleh datuk.

Malah dia tidak pernah mengajar ilmu silat yang disebut SILAT SABUI kepada saya.

Silat yang banyak menggunakan kekuatan ibu jari kaki dan ibu jari tangan itu, lebih tertumpu pada kekuatan mental dan gerak cepat bahagian lengan.

Betis kaki yang menggerakkan jari jemari kaki dan tangan untuk mencakar bahagian dada, muka dan belakang lawan hingga terkoyak dan sekali gus menarik dan tulang pihak lawan terkeluar dari bahagian tubuh.

Silat Sabui ini berlandaskan kerohanian yang tidak lari dari hukum agama. Tetapi, kalau salah bawa boleh terpesong jauh dari hukum-hukum agama malah boleh terkeluar dari akidah.

Itulah salah satu sebab datuk tidak mahu menurunkan ilmu silat itu kepada anak muridnya kecuali hal-hal pengetahuan agama. Tidak boleh diajarkan kepada sebarang orang.

Apa yang saya tahu cuma ada tiga orang sahaja anak muridnya di Tanah Semenanjung, seorang di Benut-JOHOR dari suku Bugis, seorang di kawasan Padang Terap-Kedah dari suku Acheh dan seorang lagi di Kawasan Pulau Kerengge-Terengganu.

Anak murid di Benut lepasan Sekolah Al-Junid-Singapura, seorang lagi AL-Mashoor, Pulau Pinang dan yang akhir tamat pengajian dari Arab Saudi.

Mereka adalah tokoh agama ulama tempatan dan tidak ramai yang tahu tentang kebolehan ketiga-tiga insan tersebut.

Sebabnya, mereka ditegah memperlihatkan kebolehan atau ketangkasan ilmu yang dimiliki pada khalayak ramai.

Silat Sabui, hanya boleh dimanfaatkan bila keadaan terdesak. Tetapi wajib digunakan demi mempertahan agama dan maruah bangsa terutama bila diancam oleh puak bukan Islam yang bertujuan mempersendakan agama Allah.

Andainya, anggota silat Sabui tidak memanfaatkan ilmu yang ada untuk mempertahankan maruah dan kesucian agama Islam, mereka dianggap dayus dan tidak keterlaluan boleh dicap sebagai pengkhianat agama.

"Berhenti."

Saya dan Ali Usman terkejut. Suara wanita hodoh cukup kuat. Rupa-rupanya dia sedang menuangkan kemarahannya ke arah datuk yang sedang menyusun tapak langkah silat sabui.

Matanya merah menyala, macam biji saga dan dari kedua-dua belah bahunya keluar asap. Telinga kiri dan kanannya sekejap mengembang, sekejap mengecut mengikut tarikan nafasnya.

"Kamu biadap, ambil ini."

Wanita hodoh mencampakkan bayi dalam pangkuannya yang sudah menjadi seketul bara ke arah datuk.

Kerana sudah menjangka apa yang akan berlaku, datuk sudah bersedia, dengan meluruskan kedua belah tangan dan mengembangkan telapak tangan dan jari jemari ke arah ketulan bara besar yang menuju ke arahnya.

Tiba-tiba kelajuan ketulan bara terhenti di tengah-tengah antara datuk dan wanita hodoh, berlegar-legar di situ sambil mengeluarkan bunyi letupan kecil yang membentuk bunga api halus dan tajam.

Tiba-tiba wanita hodoh terjatuh di lantai dan ketulan bara yang berada di awang-awangan kembali menjadi bayi lalu kembali ke pangkuan wanita hodoh.

"Hiss..." nyaring suara wanita hodoh.

Dalam sekelip mata dia sudah berdiri. Semua rambutnya menutup muka. Biji matanya tidak dapat dilihat kerana dilindungi rambut yang hitam. Saya kira ini juga merupakan taktik.

Dengan berbuat demikian, kami bertiga menyangka matanya di tutup rambut tidak dapat melihat kami, padahal dari celah-celah rambut hitam itu dia dapat melihat anak mata kami bertiga dengan jelas.

JELAS

Dengan demkan dia dapat melakukan sesuatu atau melemahkan kami melalui renungan matanya yang bertembung dengan mata kami.

Dan kali ini bayi dalam dakapan yang sejak tadi diam, tiba-tiba menangis dengan semahu-mahunya.

Ini juga merupakan satu helah, bagi menarik perhatian saya, Ali Usman dan datuk. Bila kami terleka atau terlalai dia akan melakkan sesuatu untuk membinasakan kami.

"Aaaaaa...."

Itu tanda isyarat dari datuk agar kami berhati-hati dan berjaga-jaga. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan tipu helah wanita hodoh itu. Kerana isyarat sudah diberikan, maka kami pun lebih bersedia.

Perhatian saya dan Ali Usman tertumpu ke arah tubuh wanita hodoh yang menggerakkan tubuhya dari kiri ke kanan secara perlahan-lahan.

Bila bahagian dadanya berdepan dengan dada Ali Usman, gerakan tubuhnya terus terhenti. Rambut hitam yang menutup muka sebelah kiri dikuaknya lalu disangkutkan ke telinga. Dengan sebelah mata dia memandang ke arah Ali Usman.

"Kau manusia pendusta, pengkhianat. Tidak sebaik bapa saudara kamu. Kamu yang mungkir janji, tidak akan aku lepaskan begitu saja," satu amaran keras dari wanita hodoh untuk Ali Usman yang nampak terkejut.

"Tapi..."

"Jangan bertapi lagi, kamu terimalah akibat dari perbuatan kamu," wanita hodoh memotong cakap Ali Usman dengan pantas sekali.

Dan kali ini Ali Usman nampak cemas, entah mengapa tiba-tiba badannya menggigil semacam, tidak boleh berdiri. Semua urat urat sendinya bagaikan terasa mahu bercerai.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 228/284

BACA: SBDJ Siri 227: Di Pintu Kematian
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, June 17, 2025

Iran Serang Kilang Penapisan Minyak Haifa Di Hari Ke 4 (Video)

Iran Serang Kilang Penapisan Minyak Haifa Di Hari Ke 4 (Video)

Pada hari keempat konflik, Iran kembali melancarkan serangan misil besar-besaran ke wilayah utara Israel, termasuk Haifa. Beberapa misil menimpa kawasan kilang minyak Bazan di Haifa, memicu kebakaran hebat dan kerosakan signifikan pada paip serta infrastruktur transmisi. Akibatnya, operasi keseluruhan kilang terhenti sepenuhnya.

Iran Serang Kilang Minyak Haifa

Kilang milik Bazan Group, kilang terbesar di Israel, telah ditutup operasi sementara untuk penilaian dan pembaikan—kerosakan terutama pada pembangkit elektrik dan sistem wap.

Nilai ekonomi Kilang Penapisan Minyak Haifa

Penting untuk memahami bahawa Bazan Group yang mengendalikan Kilang Penapisan Minyak Haifa merupakan komponen utama dalam ekonomi Israel — terutamanya di utara negara tersebut.

Kapasiti & Sumbangan Ekonomi
  • Kapasiti penapisan: Mengendalikan hampir 197,000 tong sehari (~66 juta tong setahun), menjadikannya kilang terbesar di Israel.
  • Pengeluaran tahunan: Lebih kurang 9–10 juta tan metrik produk petroleum setahun. Bahan yang dihasilkan meliputi bahan bakar (gasolin, diesel, kerosen), aspal, bahan mentah untuk industri petro-kimia dan produk plastik seperti parafin.
  • Kilang dan bahan kimia tambahan: Melibatkan jenama seperti Gadiv, yang menghasilkan lebih 500,000 tan bahan petro-kimia setiap tahun.

Peranan Sosio-Ekonomi & Pekerjaan
  • Tenaga kerja: Bisnes penapisan dan petrokimia ini mengupah sekitar 1,500–1,800 pekerja tetap, selain 2,000 kontraktor.
  • Pendapatan: Pada 2015, BAZAN melaporkan pendapatan sebanyak $13.52 bilion, pertumbuhan operasi kira‑kira $4.47 bilion aset. Ia menyokong sekitar 40% jualan domestik dan pengeksport bahan mentah ke industri di luar Israel.

Impak Keseluruhan Ekonomi
  • Sumbangan kepada GDP & perdagangan: Kilang ini merupakan tulang belakang tenaga Israel, membekalkan bahan bakar pengguna, industri dan bahan masukan bagi sektor kimia & plastik.
  • Penyedia tenaga dan sumber domestik: Sebelum pembangkitan elektrik diubah suai, ia turut mengeksport stim dan elektrik kepada pelanggan industri.
  • Industri sekitarnya: Lokasinya yang bersebelahan dengan Pelabuhan Haifa menyokong logistik, eksport dan import; kilang ini menyumbang kepada penciptaan rantaian pengeluaran dan perkhidmatan sokongan.

Berdasarkan laporan terbaru, berikut adalah kerugian ekonomi akibat hentinya operasi Kilang Penapisan Minyak di Haifa (Bazan) selepas serangan roket Iran:

1. Penutupan dan kerosakan infrastruktur kilang

Pada 16 Jun 2025, kilang utama milik Bazan di Haifa terpaksa ditutup selepas stesen kuasa berkaitan mengalami kerosakan dari serangan peluru berpandu Iran; tiga pekerja maut dalam insiden tersebut

Laluan paip dan kemudahan hiliran turut rosak, menyebabkan hampir keseluruhan kompleks berhenti beroperasi.

2. Gangguan dalam rantaian bekalan domestik

Penutupan ini menyebabkan gangguan besar terhadap penggunaan petrol, diesel, bitumen dan bahan kimia yang dihasilkan tempatan, sehingga memberi tekanan kepada kebergantungan terhadap import.

Penutupan juga memberi kesan kepada penggunaan bahan asas untuk industri lain seperti pembuatan plastik dan semen di isi rumah Israel.

3. Kenaikan harga minyak dunia

Serangan tersebut menaikkan harga Brent kepada sekitar $74 setong (naik ~7%), satu lonjakan yang mempengaruhi kos pengimportan tenaga secara global

Sekalipun harga kemudiannya sedikit stabil, kos bahan bakar domestik sejak awal insiden ini sudah bertambah, menjejaskan pengguna dan perniagaan tempatan.

4. Impak dalam output dan eksport tenaga

Dua daripada tiga ladang gas utama Israel (Leviathan dan Karish) ditutup, mengurangkan bekalan gas domestik sebanyak hampir dua pertiga dan menjejaskan eksport gas ke Jordan dan Mesir

5. Kesan sosial dan ekonomi tempatan

Selain kecederaan nyawa dan kehilangan peluang pekerjaan sementara, aktiviti industri dan perniagaan di sekitar Haifa turut terhenti, mengganggu ekonomi tempatan.

Industri sekitar kilang berkait, termasuk 10,000 pekerja dan ratusan syarikat pengedaran, turut terkesan

6. Kos pembaikan & potensi pelaburan semula

Kerugian segera termasuk kos untuk membaiki stesen janakuasa, paip, sistem elektrik, dan menghasilkan semula stok produk.

Kos membaiki dan menggantikan kapasiti yang hilang dianggarkan dalam ratusan juta USD, dan menambah lagi beban ke atas ekonomi Israel.


Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Saturday, June 07, 2025

Ajaibnya Keikhlasan

Ajaibnya Keikhlasan

Apabila disebut perkataan ajaib, tentunya ada kaitan dengan sesuatu perkara yang tidak terjangkau oleh pemikiran kita yang terbatas kerana tiada penerangan saintifik mampu menjelaskan situasi berkenaan.

Kisah Amir Naik Haji
Kisah Amir.

Tidak kira sama ada mempunyai pegangan agama atau tidak, berpendidikan atau tiada, apabila berlaku keajaiban, kesemuanya cukup gembira dan terharu dengan kejadian tersebut.

Namun, ada juga yang berduka dengan kelalaiannya sendiri setelah ditarik nikmat yang dikecapi selama ini.

Sebetulnya, keajaiban boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ada ketikanya seseorang yang telah koma berpuluh tahun telah sedar dan pulih, serta dapat hidup seperti sediakala.

Ada juga yang berjaya mengandung anak pertama setelah usianya begitu lanjut dan hampir berputus harap untuk mendapatkan zuriat.

Begitu juga dengan pelajar yang begitu lambat dan cukup lemah dalam pelajaran sewaktu di sekolah rendah akhirnya boleh menjadi seorang doktor pakar.

Malah, ada juga yang bertemu jodoh dengan kekasih lama setelah begitu lama berpisah.

Selain itu, keajaiban juga boleh berlaku dalam proses perkembangan kehidupan manusia. Kalau dahulu mereka hidup susah dan miskin, namun telah menjadi kaya-raya hanya kerana bekerja sebagai tukang kebun kepada seorang jutawan yang tidak mempunyai anak untuk mewarisi hartanya.

Begitu juga dengan orang yang bergelar super jutawan boleh jatuh miskin kerana ditipu oleh rakan baik sendiri.

Kisah tentang keajaiban juga diceritakan dalam satu hadis sahih oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Seorang pelacur diampuni oleh ALLAH. Wanita itu lalu berhampiran seekor anjing di sebuah perigi. Anjing itu hampir mati kerana kelaparan. Lalu wanita itu menanggalkan seliparnya, kemudian mengikat dengan tudung kepalanya, lalu mengambil air untuk anjing tersebut. Wanita itu diampuni dosanya kerana hal tersebut." (Hadis Riwayat Bukhari)

Hakikatnya, keajaiban berlaku bukan disebabkan oleh pemberian daripada pelacur itu, namun disebabkan oleh keikhlasan yang ada dalam hati wanita itu yang menyebabkan perbuatan tersebut diangkat begitu tinggi di sisi ALLAH SWT.

Isu keikhlasan juga pernah dikongsi cerita oleh Mufti Menks dari Zimbabwe berkaitan doa seorang wanita yang dimakbulkan ALLAH untuk bertemu dengan seorang doktor di Pakistan yang mempunyai kepakaran dalam bidang neurologi.

Kesan doa wanita tersebut menyebabkan kapal terbang kecil yang dinaiki oleh doktor itu seperti 'dipaksa' untuk mendarat cemas di perkampungan beliau.

KISAH AMIR NAIK HAJI

Amir adalah seorang rakyat Libya yang pergi ke lapangan terbang untuk berangkat menunaikan haji, namun semasa dia sedang menyelesaikan urusan imigresen, pihak keselamatan mendapati ada masalah keselamatan yang berkaitan dengan namanya.

Pegawai keselamatan berkata kepadanya, "Kami akan cuba selesaikan, tapi kamu perlu tunggu sekejap."

Dalam masa itu, semua jemaah haji lain telah selesai urusan mereka, menaiki kapal terbang, pintu ditutup, dan selepas masalah Amir diselesaikan, malangnya juruterbang menolak untuk membuka pintu semula. Kapal terbang itu pun berlepas tanpanya.

Pegawai keselamatan di lapangan terbang berkata, "Apa boleh buat, nampaknya bukan rezeki kamu untuk pergi haji tahun ini."

Tapi Amir tetap bertegas dan berkata, "Saya takkan balik. Saya sudah berniat untuk haji dan insyaAllah saya akan tetap pergi."

Tiba-tiba mereka menerima laporan bahawa pesawat itu mengalami kerosakan teknikal dan terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang. Kapal terbang itu dibaiki, tetapi juruterbang masih enggan membuka pintu.

Pegawai keselamatan kembali berkata, "Nampaknya bukan rezeki kamu juga kali ini."

Namun Amir dengan penuh keyakinan menjawab, "Niat saya tetap untuk haji dan InsyaAllah saya akan tetap pergi."

Tidak lama selepas itu, pesawat yang sama mengalami kerosakan sekali lagi dan terpaksa kembali semula.

Ketika itu, juruterbang akhirnya berkata, "Saya takkan berlepas selagi Amir belum naik pesawat ini."

Akhirnya, Amir menaiki pesawat itu, berlepas ke Arab Saudi dan kemudian memuat naik video dari sana dengan wajah yang benar-benar gembira dari lubuk hati.

"Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: Jadilah! Maka jadilah ia." (Surah Yasin: 82)

Niat yang ikhlas tidak akan pernah disia-siakan oleh Allah SWT.

YAKIN PERTOLONGAN ALLAH

Justeru, niat yang benar-benar ikhlas kepada ALLAH dalam melakukan kebajikan dan sentiasa berdoa kepada ALLAH dengan penuh pengharapan akan membantu kita memperoleh apa yang tidak terfikir untuk diperoleh.

Pupuklah niat yang ikhlas dalam diri sepanjang masa agar sentiasa mendapat keberkatan ALLAH SWT.

Umar bin al-Khattab r.a. telah berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat." (Hadis Riwayat Bukhari)

Selain itu, kesabaran dan ketabahan kita mendepani setiap ujian serta cabaran akan menjadikan kita lebih kuat dan diangkat darjat yang lebih tinggi oleh ALLAH SWT.

Pun begitu, bagi mereka yang masih menganggap bahawa nikmat yang diperoleh bukannya ujian untuk mereka, menyebabkan segala nikmat yang dikecapi selama ini akan ditarik dengan begitu mudah oleh ALLAH SWT.

Keajaiban yang dikurniakan kepada kita disebabkan tiga perkara penting iaitu; sentiasa menanamkan perasaan ikhlas dalam diri, bersabar dan jangan mudah berputus harap dengan ujian yang diterima serta sentiasa menyedari bahawa segala nikmat dikurniakan ALLAH SWT, sebenarnya adalah ujian yang lebih besar kepada kita.

Biasakan lidah sentiasa menyebut ungkapan 'Cukuplah ALLAH bagiku' supaya kita sentiasa terlindung dan mendapat bimbingan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com