Friday, June 14, 2024

Hadis-hadis Sahih Kemunculan al-Mahdi Menurut Pandangan Ahlus Sunnah

Hadis-hadis Sahih Kemunculan al-Mahdi Menurut Pandangan Ahlus Sunnah

Berkata guru kami Fadhilat al-Syaikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad hafizahullah: Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya: Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi).

Hadis-hadis Sahih Kemunculan al-Mahdi

Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Sama ada ia sahih lizaatih atau sahih lighayrih. Begitu juga sama ada ia hasan lizaatih atau hasan lighayrih dan demikian jugalah hadis-hadis dhaif yang apabila ia digabungkan akan menguatkan antara satu sama lain maka ia juga turut menjadi hujah di sisi para ulama.

Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaal al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman.

Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut.

Berikut kami nyatakan beberapa hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang kemunculan al-Mahdi dan kekhalifahannya:

1. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku." Riwayat al-Tirmizi (2230) (Beliau berkata: Hasan Sahih)

2. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman." Riwayat Abu Dawud (4282)

3. Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun." Riwayat Abu Dawud (4285)

4. Dari Ummu Salamah R.Anha berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi dari itrah (keturunan) ku dari anak Fathimah." Riwayat Abu Dawud (4284)

5. Dari Saidina Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi dari kalangan kami - ahli bait - yang Allah perbaiki dirinya pada satu malam." Riwayat Ibn Majah (4085)

Kata al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah: "Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya." Lihat Al-Nihayah fil Fitan wal Malahim (1/29).

6. Diriwayatkan daripada Thauban R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi." Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/502)

Demikianlah hadis-hadis di atas merupakan antara hadis-hadis sahih yang diriwayatkan berkaitan dengan al-Mahdi dan kemunculannya. Hadis-hadis tersebut telah disepakati dan dikuatkan kesahihannya oleh majoriti para ulama Islam.

Pada keseluruhan hadis di atas, ia merupakan tanda penguat dari Rasulullah SAW bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya.

Beliau akan keluar dan menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama.

Kekuasaannya juga selama tempoh tujuh tahun sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis.

Kata Samahah al-Syaikh Abd Al-Aziz bin Abd Allah bin Baaz Rahimahullah: "Isu al-Mahdi adalah perkara yang diketahui. Hadis-hadis yang berkaitan dengannya sangat banyak bahkan ia mutawatir yang saling menguatkan. Kebanyakan ulama telah menyatakan bahawa ia sampai ke tahap mutawatir dan mutawatirnya ia adalah mutawatir maknawi disebabkan banyaknya jalan periwayatannya. Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa individu yang dijanjikan ini akan benar-benar muncul pada akhir zaman kelak. Beliau adalah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anhum. Imam ini (al-Mahdi) adalah di antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghalang kezaliman dan kejahatan. Allah akan menaburkan dengannya panji kebaikan ke atas umat serta menjadi hidayah dan taufiq serta memberi petunjuk kepada sekalian manusia.

Kelahiran Al-Mahdi

Para Ulama telah berbeza pendapat tentang tempat kelahiran Imam Mahdi kepada beberapa pendapat. Di dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib.

Sebahagian pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. Adapun pendapat yang paling tepat dan sahih ialah pendapat yang diriwayatkan dari Abu Nu’aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anh bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah.

Tanda-Tanda Al-Mahdi

Berikut merupakan beberapa ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi:
  • Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
  • Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa a.s. dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
  • Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
  • Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.

Sifat-Sifat Keperibadian Imam Al-Mahdi

Di antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi A.S adalah seperti berikut:
  • Beliau merupan seorang anak Adam.
  • Dahinya luas dan hidungnya mancung.
  • Kedua-dua matanya bercelak.
  • Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
  • Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
  • Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
  • Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
  • Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW.

Waktu Keluarnya Imam al-Mahdi

Di dalam kitab al-Fitan wal- Malahim, al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah berkata: Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa a.s.

Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abd Allah Radhiallahu anhu beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: "Isa bin Maryam SAW turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini." Riwayat Muslim (247)

Beberapa Pendapat Tentang Imam Mahdi

Di dalam membicarakan berkenaan kemunculan Imam al-Mahdi, para ilmuan terbahagi kepada beberapa pendapat:

Pendapat pertama

Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) sesama mereka dalam isu al-Mahdi. Akidah mereka sama dan bertepatan dengan hadis-hadis sahih yang telah kita nyatakan.

Di sisi Ahli Sunnah, Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.

Berkata al-Allamah Ibn Khaldun: "Ketahuilah bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya, bahawa tidak boleh tidak di akhir zaman kelak akan kemunculan seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan, dan diikuti oleh kaum muslimin, dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan-kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya."

Pendapat kedua

Terdapat juga golongan yang menisbahkan diri mereka kepada Ahli Sunnah akan tetapi mereka tidak mempunyai tangan yang panjang (keluasan ilmu) dalam mentahqiqkan nas-nas serta mengetahui selok beloknya dengan baik. Justeru, mereka menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman.

Beberapa Contoh Individu Yang Pernah Mendakwa Mereka Adalah Al-Mahdi

Dalam sejarah Islam, telah terlalu banyak golongan pembohong yang mendakwa mereka adalah Al-Mahdi al-Munthazar (yang dinantikan).

Justeru, tidak pelik jika terdapat mana-mana individu dari seberang atau dari negara kita sendiri yang mengeluarkan dakwaan seperti ini.

Di antara individu yang membuat dakwaan batil tersebut adalah:

1. Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah

Lahir pada tahun 259 H dan meninggal pada tahun 322 H. Datuknya merupakan seorang Yahudi yang dinisbahkan kepada keluarga Majusi.

Dinisbahkan secara palsu dan jahat bahawa mereka dari keturunan Rasulullah SAW.

Mereka adalah pembesar Rafidhah al-Qaramithah al-Bathiniyah yang memusuhi agama yang berselindung di sebalik penisbahan kepada keluarga Rasulullah. Dia juga merupakan pengasas Daulah Fathimiyah.

2. Muhammad bin Tumart

Lahir pada tahun 485 H dan meninggal dunia pada tahun 524 H. Seorang lelaki munafik lagi pembohong. Dia membuat dakwaan jahat lagi dusta bahawa dirinya adalah al-Mahdi al-Muntazhar. Dia juga merupakan seorang yang sangat zalim.

3. Mahdi kelompok Kaisan

Mereka menyangka bahawa al-Mahdi adalah Muhammad bin al-Hanafiah. Dia dikatakan sedang hidup dan bermukim di bukit Radhwa. Dia juga dikatakan berada di tengah-tengah dua ekor singa yang menjaganya.

Malangnya, ada juga umat Islam di nusantara ini yang mengaku sebagai Imam Mahdi.

Fatwa Institusi Agama Di Malaysia Tentang Dakwaan Sebagai Imam Mahdi

1. Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-81 pada 19 April 2012 telah membincangkan dan memutuskan bahawa ciri-ciri ajaran sesat yang disenaraikan di bawah ini adalah merupakan amalan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ia adalah sesat dan menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar serta haram dilakukan.

Antaranya ialah: Mendakwa sebagai Imam Mahdi.

2. Di Malaysia, setiap individu yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi telah difatwakan sebagai ajaran sesat, seperti dalam kes pengharaman ajaran sesat Qadiani, Al-Arqam atau Rufaqa dan juga kelompok Syiah yang mengatakan Muhammad bin Hasan al-Askari sebagai Imam Mahdi.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita perbaharui tekad dan azam kita untuk mempelajari ilmu dan beriltizam dengan syariat Islam yang sebenar. Amin.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, June 05, 2024

SBDJ Siri 202: Perempuan Berekor Harimau

SBDJ Siri 202: Perempuan Berekor Harimau

Sebuah kereta warna hitam masuk ke kawasan rumah balu lama dan berbenti di depan pintu. Seorang lelaki berbadan tegap, tingginya hampir enam kaki. Berkulit merah dengan rambut berombak disikat lurus ke belakang. Sekali pandang macam orang Belanda.

Toyol jadi-jadian

Mia dan Haji Basilam segera menyambutnya. Mereka beriringan masuk ke ruang tamu. Datuk diperkenalkan oleh Haji Basilam dan Mia kepada lelaki tersebut. Mia beredar ke niang dapur. Tinggallah Haji Basilam, lelaki gagah dan datuk di situ. Mereka bercakap dan berbincang dengan serius.

Setengah jam kemudian, Haji Basilam keluar dari ruang tamu terus ke tempat basikal. Saya berlari ke arahnya.

"Mahu ke mana naik basikal ni?" Tanya saya.

"Aku nak jemput orang kampung berdekatan. Lepas Isyak nak ada kenduri sikit."

"Siapa yang datang tadi," saya menyoal.

"Itulah abang si Mia."

"Abang Mia?" ulang saya dengan rasa terkejut.

"Kenapa terperanjat? Usah banyak cerita. Bagi tahu Andi perkara ini, kamu berdua kena pakai kemas sikit."

"Baik pak aji."

Haji Basilam dorong basikal kemudian melompal ke atasnyu. Dan basikal pun dikayuh menghala ke kampung berhampiran. Sebaik sahaja Haji Basilam hilang dari pandangan saya, Mia keluar dari pintu dapur.

"Mahu ke mana Mia?" tanya saya sebaik sahaja dia melintas di depan saya.

"Mahu menjemput Haji Simpul datang ke rumah malam ni, ada kenduri aku juga nak pergi ke rumah Kak Sun," Mia meneruskan langkah yang terhenti.

Sejam kemudian, Mia kembali bersama Kak Sun dan beberapa orang wanita. Tidak lama selepas itu Haji Basilam pula balik. Dan keluar semula bersama datuk dan abang Mia dengan kereta berwarna hitam.

Saya tidak mahu ambil tahu ke mana mereka pergi. Itu bukan urusan saya. Tugas yang dibebankan oleh Haji Basilam pada saya ialah untuk mencari Andi Kamarool. Tugas itu masih belum saya laksanakan. Malah rasanya mahu menyusuri tepi bukit mencari Andi Kamarool.

Dengan rasa separuh hati, saya melangkah menuju ke arah kaki bukit. Kira-kira lima belas minit meninggalkan pokok bunga tanjung dan bangku antik, saya terserempak dengan Andi Kamarool yang terbaring di tepi busut jantan. Nafasnya, tercunggap-cunggap dan badannya dibasahi peluh.

Andi Kamarool bagaikan tidak nampak batang tubuh saya yang berdiri tegak dihadapannya.

"Andi," sergah saya.

Andi tidak menunjukkan sebarang reaksi. Walaupun sepasang biji matanya menyorot muka saya.

"Andi," jerit saya sambil mengoncang-goncangkan bahunya.

"Ahh..."

LETIH

ANDI Kamarool seperti tersintak. Renung kiri, renung dengan wajah yang cemas dan takut-takut. Tiba-tiba dia melompat dan membuka silat. Saya diserangnya bertalu-talu. Berpeluh-peluh dibuatnya. Terpaksa melompat, meniarap dan ada ketikanya melompat tinggi.

Saya terpaksa bertindak demikian, kalau tidak berusaha mengelak. Pasti tubuh saya dihentak dengan penumbuk, ditendang atau ditampar. Mengelak dan bertahan tanpa bertindak balas, adalah cara terbaik menghadapi Andi Kamarool yang saya kira sudah dipengaruhi oleh sesuatu yang luar biasa.

Cara yang saya buat, berjaya meletihkan Andi Kamarool. Kekuatannya mula berkurangan Kalau tadi sinar matanya lembut, kini nampak garang dan merah. Urat-urat dileher bagaikan menonjol. Daging pipinya bagikan tersembul. Nafas yang dihembus, macam nafas kerbau jantan. Andi Kamarool rebah tersandar dibusut jantan.

Sebelum menyentuh bahunya semula, kedua belah telapak tangan saya gosok berkali-kali hingga terasa panas sambil membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas tujuh kali berturut-turut.

Dengan penuh yakin terhadap kekuasaan Allah yang Maha Besar, bahu Andi Kamarool saya tampar.

Dengan sekali tampar, Andi Kamarool terkulai rebah. Tidak sedarkan diri buat seketika.

Tidak lama berselang, sepasang kaki dan tangannya bergerak-gerak, tersintak-sintak macam ditarik sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Saya terkejut, bila melihat semacam asap nipis keluar dari celah kuku jari tangan dan kaki.

Lebih daripada sepuluh minit kaki dan tangan Andi Kamarool tersentap-sentap. Daripada kerap beransur kurang dan akhirnya berhenti kaku. Asap yang keluar dari celah-celah jari kuku tangan dan kaki juga beransur hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya lenyap terus.

Perlahan-lahan Andi Kamarool duduk, renung kaki renung kanan. Dengan rasa terkejut anak matanya menatap muka saya dengan rasa hairan. Dia mula senyum dan saya dapat merasakan senyuman itu adalah senyuman yang sebenar. Rasa bimbang dan takut segera hilang dari hati.

"Aku di mana Tamar?"

"Cuba kamu fikir sendiri, kamu berada di mana?"

Saya pula mengajukan pertanyaan sambil ketawa kecil. Lucu sekali seorang kawan tidak tahu di mana dia berada. Pada hal sebelumnya, dia sendiri yang memilih tempat ini.

"Iya, nanti aku fikir dulu Tamar."

Andi Kamarool terus berdiri sambil mengaru-garu pangkal lehernya. Mundar-mandir didepan busut jantan sambil berfikir sesuatu.

"Iya aku ingat sekarang Tamar."

"Apa yang kamu ingat Andi?" tanya saya.

"Dari tepi jalan, aku mendengar suara burung merbuk, aku cari hingga sampai ke tebing sungai. Akhirnya aku dapat melihatnya rupanya. Burung merbuk itu sungguh luar biasa bentuk badannya, berbeza dengan merbuk biasa, entah macamana burung itu hilang daripada pandangan aku."

Andi Kamarool kerutkan dahi. Wajahnya, nampak cemas dan dia jadi resah tidak menentu. Gerak-geri yang diperlihatkan membuat saya tidak senang hati.

"Kenapa Andi?"

"Kita balik, ubah tempat atau bercerita, sambil berjalan."

"Kenapa pula?"

"Marilah."

TUNGGUL

TIADA pilihan bagi saya, melainkan memenuhi permintaannya. Dan tempat yang dipilih oleh Andi Kamarool untuk menyambung ceritanya ialah sebuah kawasan lapang yang dipenuhi dengan tunggul-tunggul kayu dan bebatu besar yang boleh dijadikan tempat duduk.

Di sekeliling kawasan tanah lapang ditumbuhi pepokok renik setinggi paras lutut. Di sudut tanah lapang pula terdapat rumpun buluh kuning yang diselang-seli dengan pokok petai cina. Suasana sekitar terasa aman dan lapang. Angin bertiup lembut terasa menyentuh kulit pipi.

Sebaik sahaja saya duduk di salah sebuah batu, hidung saya menghidu bau hamis, pepokok renik berdekatan dengan rumpun buluh kuning bergerak hebat macam dirempuh sesuatu. Burung murai berkicau hebat, macam diganggu sesuatu.

"Andi," kata saya lemah.

"Ada apa Tamar," Andi Kamarool menoleh ke arah saya.

"Aku tercium bau harimau," itu yang saya bisikkan ke telinga Andi Kamarool.

Wajahnya nampak berubah, jadi pucat.

"Kita balik saja Tamar," cepat benar Andi Kamarool membuat keputusan.

"Terpulang, aku mengikut saja Andi," sahut saya lemah.

"Mari," katanya.

Saya pun mengekori langkah tetapi, setelah melintasi pokok besar yang berdaun lebat, kami mula melangkah bersaingan.

Semasa itulah, Andi Kamarool menyambung kembali cerita yang terputus.

Kata Andi Kamarool, walaupun burung itu hilang dari pandangannya tetapi, suara burung merbuk yang memikat hatinya masih dapat didengarnya Andi Kamarool terus mencarinya.

Semasa bergerak dari pokok ke pokok dan adakalanya terpaksa membongkok menyusup dibawah-bawah rimbunan rumpun buluh dan melangkah di antara batang-batang kelubi yang patah bagi mengelakkan telapak kaki memijak durinya.

Dan pada masa itu juga suara burung merbuk tidak segalak tadi berbunyi. Andi Kamarool segera berfikir, mesti ada sesuatu yang mcnganggu burung tersebut.

Disaat dia melayani fikirannya, bahunya diciut seseorang dari belakang. Secepat kilat Andi Kamarool menoleh. Dia tidak melihat apa-apa pun. Perhatian ditumpukan kembali kepada burung merbuk.

JANTINA

BAHU Andi Kamarool diculik untuk kali yang kedua dan kali ini dia menoleh ke kanan (tidak ke belakang), ada bebayang manusia menyelinap dan dengan serta merta Andi Kamarool menoleh ke kiri.

Dilihatnya ada manusia berdiri yang sukar ditentukan jantinanya. Seluruh tubuh manusia itu dibalut dengan kain berjalur yang menyerupai belang harimau.

"Siapa kamu? Manusia atau syaitan?" Tanya Andi Kamarool.

Tiada jawapan yang diterimanya. Andi Kamarool bertambah resah.

"Siapa kamu?" Ulang lagi.

Hasilnya, tetap macam tadi.

Tetapi, kali ini ekor mata Andi Kamarool dapat mengesan ada sesuatu yang bergerak dalam kain berjalur, terutama di bahagian belakang.

Dan seluruh perhatiannya ditumpukan ke arah tersebut. Entah macam mana, benda yang bergerak dalam kain berjalur itu terkeluar. Dan Andi Kamarool yakin, apa yang dilihatnya adalah seekor harimau.

Rasa cemas dan takut mula menguasai hatinya. Macam-macam perkara buruk terbayang dalam kotak fikirannya. Dia kesal dengan dirinya.

Kalaulah aku tidak asyik dengan bunyi dan burung merbuk itu, pasti aku tidak berhadapan dengan masalah ini, fikir Andi Kamarool.

"Tadi kamu tanya siapa aku?" suara dari dalam kain berjalur menendang gegendang telinga Andi Kamarool. Dia bertambah panik.

"lya," suara Andi Kamarool mengeletar.

"Jangan tanya siapa aku, jangan ambil tahu siapa aku faham."

"Faham." balas Andi Kamarool.

"Kamu bakal menjadi suami kepada cicit aku, jagalah dia baik-baik dan jangan kamu khianati dirinya," datang lagi suara dari dalam kain berjalur harimau. Andi Kamarool terpaku diam.

"Aku yakin, kamu lelaki yang baik dan boleh menjaganya serta hidup bahagia. Antara kamu dengannya masih ada keturunan. Tidak akan berlaku sebarang sengketa, aku doakan kamu berdua hidup bahagia." datang lagi suara dari dalam kain beijalur.

LEMBAGA

ANDI Kamarool mengigit bibir dan hatinya bertanya, bagaimanakah rupanya manusia yang membalut tubuhnya dengan kain tebal berjalur ini?

Tiba-tiba kain berbelang yang menyelimuti lembaga dihadapan Andi Kamarool jatuh perlahan-lahan ke bumi.

Andi Kamarool berhadapan dengan seorang perempuan tua, bongkok tiga. Sebatang tongkat daripada buluh kuning berada di tangan kirinya. Rambut putih yang panjang sampai ke paras pinggang menutup wajahnya.

Dari celah-celah juntaian rambut, Andi Kamarool dapat melihat sinar matanya berkilau-kilau kemerahan. Bila perempuan tua itu menggelengkan kepalanya ke kiri atau ke kanan, rambut yang menutup mukanya turut bergerak.

Dan Andi Kamarool dapat mengesan wajahnya yang menyerupai muka harimau. Badannya seperti manusia biasa dan ekor yang terjalur dipunggung adalah ekor harimau.

Dalam sekelip mata sahaja Andi Kamarool mendapati dirinya dikelilingi oleh sekumpulan harimau. Semuanya mengangakan mulut, mempamirkan lidah yang merah dan gigi yang tajam.

Badan Andi Kamarool mengeletar, kematian terbayang di mata. Tidak dapat digambarkan bagaimana sakitnya bila daging tubuhnya berpisah dari tulang-temulangnya akibat disiat-siat oleh gigi kumpulan harimau yang mengelilinginya.

Seluruh anggota sendi Andi Kamarool terasa lemah dan longgar. Pandangannya mula berpinar-pinar. Andi Kamarool rebah di tanah.

Beberapa detik berikutnya, dia merasakan tubuhnya diusung ke kawasan padang yang luas sebelum memasuki ke ruang sebuah istana besar dan luas, lalu dihidangkan dengan makanan yang sedap serta lazat.

Sambil menikmati juadah. Andi Kamarool dihiburkan dengan tarian dan nyanyian merdu. Pukulan gendangnya bagaikan mahu memecahkan anak telinga.

Andi Kamarool diarak ke satu sudut istana di mana sudah tersedia sebuah pelamin. Andi Kamarool disuruh duduk atas pelamin tersebut.

"Tiba-tiba aku rasakan seperti ada sesuatu yang mengoyang-goyangkan badan aku dengan kasar sekali, bila aku bukakan mata, aku lihat kamu tertonggok di depan aku," tutur Andi Kamarool tenang.

Dia sudah menceritakan pengalaman singkat yang dialaminya semasa pengsan. Meskipun singkat tetapi, amat mencemaskan. Aneh dan pelik.

Kami terus melangkah melepasi sempadan kawasan kaki bukit menuju ke arah rumah batu lama. Sebelum memasuki kawasan rumah khas yang disediakan kami terpaksa melintasi bahagian hadapan halaman rumah batu lama.

"Kenapa nampak sibuk di rumah Mia, Tamar."

Andi Kamarool berhenti melangkah di sudut halaman. Sepasang anak matanya tertumpu ke arah rumah batu lama yang kelihatan sibuk dengan orang keluar masuk rumah.

"Abang Mia nak adakan kenduri," kata saya sambil memulakan langkah yang terhenti seketika.

"Tadi aku jumpa Mia, dia tak cerita pula tentang abangnya. Setahu aku abang Mia tak ada di sini. Kenduri apa Tamar."

"Kenduri apa, aku tak tahu. Untuk pengetahuan kamu Andi, abang Mia memang ada di sini, sebelum aku mencari kamu tadi, aku sendiri tengok abangnya balik."

"Mustahil kamu tak tahu kenduri apa Tamar?"

"Sumpah, aku memang tidak tahu. Cuma Haji Basilam kata...."

"Dia kata apa Tamar?" Dengan pantas Andi Kamarool memotong.

"Dia mewakili diri Mia, menjemput kita makan kenduri. Haji Basilam surah kita memakai baju cantik," saya memberikan penjelasan.

JELAS

ANDI Kamarool terdiam. Kening dan dahinya berkedut, macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Agaknya, Mia dah nikah," tutur Andi Kamarool spontan. Wajahnya nampak gusar sekali. Dan kami pun sampai ke kaki tangga rumah penginapan khas.

"Kalau Mia kahwin, melepaslah aku, manalah nak cari gadis secantik dia," saya berjenaka. Andi Kamarool membisu tidak meluahkan sebarang komentar.

Tetapi, apa yang jelas, Andi Kamarool tidak dapat menyembunyikan rasa resah dan cemas yang bergolak dalam hatinya.

"Aku cuma bergurau saja Andi, aku tahu kamu sayangkan Mia,"saya menambah.

Seperti tadi juga, Andi Kamarool tidak memberikan sebarang reaksi. Fikirannya melayang jauh entah ke mana. Sukar untuk saya duga.

Bila sudah begini keadaannya, biarkan sahaja Andi Kamarool dengan masalahnya, fikir saya.

Serentak kami masuk ke rumah. Masing-masing segera membersihkan tubuh. Saya yakin, dalam jangka waktu, tidak kurang daripada sepuluh minit seluruh kawasan kampung akan beransur gelap maghrib akan menghadirkan diri.

Haji Basilam muncul di muka pintu. Kami sambut dengan senyum dan dibalas dengan senyum. Haji Basilam dibangku menghadap meja bulat.

"Apa yang berbungkus tu?" Tanya saya, sebaik sahaja dia meletakkan bungkusan empat segai atas meja.

PERSOALAN

"PAKAIAN baju Melayu untuk kamu berdua, aku pinjam. Cuba kamu pakai, aku nak tengok sesuai atau tidak. Kalau tak sesuai aku pinjam yang lain," Haji Basilam membuka bungkusan, dia pasangan baju dan seluar warna merah jambu, lengkap dengan sampin dan tajak terlambak atas meja bulat

"Cuba pakai," katanya.

Dan cakapnya segera kami patuhi. Bagaikan diukur, bagaikan disukat pakaian dibadan kami memang sesuai.

"Buka dan simpan balik," perintah Haji Basilam kami patuhi.

Ada persoalan bermain dalam rongga dada. Kenapa saya disuruh memakai pakaian Melayu Tradisional yang serba lengkap.

Andainya, Andi Kamarool yang dijodohkan, biarlah dia seorang sahaja yang memakainya? Apa tujuan Haji Basilam menyuruh saya memakainya. Sungguh ganjil dan membinggungkan.

Malangnya, apa yang menjadi persoalan. tidak pula menjadi seketul pertanyaan untuk diajukan kepada Haji Basilam yang masih tertonggok di hadapan saya.

Andi Kamarool masih termenung panjang, sekali-sekala merenung ke arah rumah balu lama yang nampak agak sibuk. Orang sering sahaja keluar masuk. macam ada sesuatu perkara yang besar akan berlaku.

"Kita pergi ke rumah Mia selepas sembahyang Isyak, maksud aku, bila, orang masjid tiba, kita pergilah. Abang Mia mahu mengadakan kenduri kesyukuran. Dia mahu kamu berdua berpakaian cantik dan kemas," satu penerangan ringkas yang membuat hati saya berdebar.

Saya kira, Andi Kamarool juga mengalami seperti apa yang saya alami.

"Datuk si Tamar macam mana?" Andi Kamarool bertanya.

"Dia ikut orang masjid, kita berjemaah maghrib dan Isyak di rumah."

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 202/284

BACA: SBDJ Siri 201: Tak Dapat Kawal Perasaan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, May 21, 2024

Benarkah Orang Yang Syahid Tidak Merasakan Sakit Mati?

Benarkah Orang Yang Syahid Tidak Merasakan Sakit Mati?

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Seorang yang mati syahid tidak mendapati rasa sakit dibunuh melainkan sepertimana seseorang daripada kamu merasai rasa qarsah." (hadis ini dinilai Sahih oleh al-Tirmizi, al-Suyuthi, Ahmad Syakir dan al-Albani)

Kesakitan Mati Syahid

Qarsah ialah rasa dicubit berdasarkan pengertian yang diberikan di dalam al-Qamus al-Muhith yang menyebut: أخْذُكَ لَحْمَ الإِنْسَانِ بإصْبعَيْكَ حتى تُؤْلِمَهُ yang bermaksud: "Kamu mengambil daging seseorang dengan dua jari kamu sehingga menyakitkannya." Ada juga ulama yang mengatakan ia seperti gigitan semut.

Ibn Hibban di dalam kitabnya menyenaraikan hadis ini di bawah tajuk: ذِكْرُ وَصْفِ مَا يَجِدُ الشَّهِيدُ مِنْ أَلَمِ الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ جَلَّ وَعَلَا "Sebutan sifat apa yang diperolehi oleh seseorang syahid dari kesakitan terbunuh di jalan Allah Jalla wa 'Ala."

Perletakan bab oleh Ibn Hibban ini menunjukkan keistimewaan ini diperolehi oleh mereka yang syahid terbunuh di dalam jihad fisabilillah sahaja, tidak merangkumi semua jenis mati syahid.

Kelebihan Mati Syahid Di Medan Peperangan

Malaikat khas akan didatangkan untuk mensyahidkan (menyaksikan) mereka yang mati syahid di medan peperangan. Mati syahid yang besar ialah mereka yang terbunuh dalam pertempuran di medan peperangan kerana mendaulatkan Islam, menegakkan perintah atau hukum Allah dan mempertahankan negeri Islam daripada serangan musuh.

Mereka Tidak Mati

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Ali-Imran:169)

Dalam mazhab Syafie, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyangkan jenazah mereka kerana segala dosa mereka telah gugur (dihapuskan).

Dalam mazhab Hanbali pula, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyang jenazahnya kerana mereka sebenarnya masih hidup dan tidak mati berdasarkan firman Allah.

Baqarah [154], "Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya."

Mereka Bersukacita di Syurga

"(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Ali-Imran:170)

"Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman." (Ali-Imran:171)

Ingin Kembali Ke Dunia Dan Mengulanginya Hingga 10 Kali

Para Syuhada ini menerima ganjaran yang sangat istimewa sehingga sanggup kembali ke dunia untuk mengulangi kematian berbanding golongan lain seperti para wali dan orang soleh yang tidak sanggup lagi kembali ke dunia yang penuh dengan syirik, maksiat dan kezaliman.

Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya: "Tidak ada seorangpun yang telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang yang mati syahid." (Muslim)

MATI SYAHID PERLU ADA KEBERANIAN

"Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri)." (Ali-Imran:143)

Dalam suatu riwayat ada diceritakan bahawa beberapa orang berkata: "Alangkah baiknya kalau kita mati syahid seperti orang-orang yang berjuang di perang Badar atau mendapat kesempatan seperti pada perang Badar dengan mengalahkan kaum musyrikin, tabah dalam ujian, mati syahid dengan memperolehi syurga atau hidup mendapat rezeki." Maka Allah memberikan kepada mereka kesempatan untuk ikut serta dalam perang Uhud. Akan tetapi ternyata mereka tidak tabah dan bertahan di dalam peperangan itu kecuali sebahagian kecil di antara mereka yang dikehendaki Allah.

Rasulullah SAW bersabda, "Wahai manusia, janganlah kamu bercita-cita untuk bertemu musuh, tetapi apabila kamu bertemu musuh maka jangan lari (bertahanlah). Berdoalah meminta kesihatan dan apabila bertemu dengan mereka, maka bersabarlah. Dan ketahuilah oleh kamu bahawa syurga itu terletak di bawah bayangan pedang. Wahai Allah Tuhan yang menurunkan Al-Quran, dan yang mengiringi awan serta yang menghancurkan golongan yang bersekutu (Ahzab), kalahkanlah mereka dan tolonglah kami dalam menghadapi mereka." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah mengatakan kepada seorang pemuda yang bercita-cita untuk bertemu dengan tentera musuh supaya "jangan mencari musuh tetapi jika musuh datang menyerang, janganlah lari."

Anfal [15]: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka."

Malaikat khas akan didatangkan untuk mensyahidkan (menyaksikan) mereka yang mati syahid di medan peperangan. Mati syahid yang besar ialah mereka yang terbunuh dalam pertempuran di medan peperangan kerana mendaulatkan Islam, menegakkan perintah atau hukum Allah dan mempertahankan negeri Islam daripada serangan musuh.

Dari Sahl bin Hunaif r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memohonkan kepada Allah akan kesyahidan – yakni supaya mati syahid – dengan hati yang sebenar-benarnya, maka Allah akan menyampaikan orang itu ke tempat kediaman para syuhada – yakni pahalanya disamakan dengan mereka, sekalipun dia mati di atas tempat tidurnya." (Riwayat Muslim)

PERINTAH TENTANG JIHAD

"Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran agama-Nya); dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Baqarah:244)

"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan." (Baqarah:245)

Hukum Jihad (khususnya perang) ialah Fardhu kifayah iaitu wajib bagi sekumpulan lelaki seperti tentera atau Fardhu Ain bagi lelaki dewasa bila terdapat kerahan tenaga daripada pemerintah.

Namun, hanya dikira jihad sekiranya diistiharkan perang oleh ketua negara bagi mempertahankan Islam, negara dari serangan musuh. Tanpa perisytiharan oleh ketua negara tidak dikira jihad.

Selain itu wajib bagi negara orang Islam melengkapkan persiapan senjata setakat yang termampu untuk menakutkan golongan musuh (kafir).

Orang Islam sanggup mati untuk agamanya tetapi Kafir tidak berani kerana mereka tiada tunjang keimanan.

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya." Anfaal [60]

AMALAN YANG LEBIH HEBAT DARI MATI SYAHID

Ada satu perkongsian oleh Ustadz Abdul Somad mengenai satu amalan yang lebih hebat dari mati syahid, jihad dan haji mabrur.

"Ada satu amal yang lebih hebat daripada mati syahid, lebih hebat daripada jihad, lebih hebat daripada haji mabrur, lebih hebat daripada puasa sunnah, lebih hebat daripada membangun masjid, apa amal itu? Iaitu Redha menerima takdir Allah SWT." Ustadz Abdul Somad menjelaskan.

"Orang yang masuk syurga belum tentu dapat redha Allah, tapi orang dapat redha Allah pasti dapat syurga," ungkap Ustadz Abdul Somad.

Dengan redha menerima seluruh takdir yang diberikan oleh Allah SWT, maka kita akan dapat syurga-Nya.

"Kalau terasa sempit di dunia, satu-satunya yang boleh kita lakukan adalah dengan menghembuskan nafas panjang, tarik nafas panjang dan katakan 'Allah' tak ada lain daripada itu. Kalau terasa sempit dunia, tak ada yang boleh melapangkannya kecuali Allah dengan cara mendekatkan diri kepada-Nya," Ustadz Abdul Somad menambah.

Mengapa kita harus redha menerima takdir yang diberikan oleh Allah SWT? Kerana jika kita tidak redha pun, kejadian atau hasil itu pun tetap terjadi. Untuk itu, apapun yang terjadi, maka kita harus bersikap redha.

Allah telah memberikan wahyu kepada Nabi Musa AS, "Wahai Musa, siapa yang tidak redha dengan keputusan-Ku, tidak sabar dengan ujian-Ku dan tidak mensyukuri nikmat-nikmat-Ku, maka hendaklah ia pergi dari bumiku dan langitku dan hendaklah ia mencari Tuhan selain Aku. Terimalah takdirmu dengan redha."

Demikian penjelasan Ustadz Abdul Somad tentang amalan yang lebih hebat dari mati syahid. Semoga kita semua selalu diberi perlindungan Allah SWT.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 201: Tak Dapat Kawal Perasaan

SBDJ Siri 201: Tak Dapat Kawal Perasaan

Sepanjang perjalanan hati jadi terhibur dengan telatah si pemandu. Bila melintasi sesuatu kawasan tanpa diminta, dia akan memberi penerangan tentang kawasan tersebut. Apa hasil utama tempat itu dan sejarahnya. Mata pencarian yang menjadi sumber rezeki penduduk di sini.

Toyol jadi-jadian

Andainya, kawasan atau daerah tersebut mempunyai tarian tradisional sendiri, dia akan mengerak-gerakkan leher meniru gaya tarian penduduk di situ. Begitu juga bila menyanyi, tanpa segan silu dia akan mendendangkan lagu asli daerah mengikut loghat bahasa disitu.

Habis bercerita tentang sejarah, ada budaya atau kawasan yang kami lalui. Dia akan bercerita tentang dirinya. Si pemandu bagaikan bernostalgia dengan dunia pelaut yang ditinggalkannya. Mulutnya tidak mengenal penat menceritakan kota pelabuhan yang disinggahinya.

Pelabuhan Singapura, Pulau Pinang, Kemaman, Kelang tetap tersenarai dalam ingatannya. Di samping beberapa buah pelabuhan terkenal di Eropah dan Afrika.

Setiap pelabuhan dia akan mengakhiri waktu malamnya dengan mendakap wanita cantik. Berjudi dan mabuk, perkara lumrah buatnya.

"Seronok jadi pelaut bang," kata Andi Kamarool.

"Dunia pelaut penuh cabaran, keimanan dan hukum Allah dilanggar secara terang-terangan," jawabnya sambil memulas setering mengikut selekoh jalan ke kanan.

"Tetapi, kamu dapat pengalaman yang berharga. Dapat melihat dunia orang putih, dunia orang hitam dan dunia orang yang kulitnya serupa dengan kulit kita," Haji Basilam masuk campur dalam percakapan.

Datuk hanya pasang telinga saja. Saya, terhibur dengan dialog-dialog yang dihamburkan oleh mereka.

"Betul, tapi..." si pemandu tidak meneruskan kata-kata.

Dia menumpukan sepenuh perhatian terhadap kereta yang dipandunya. Sebuah lori datang dari depan dengan laju dan terpaksa berselisih disuatu selekoh yang sempat.

DIHIMPIT LORI

Akibat dihimpit oleh lori, dia terpaksa ke tepi dan empat tayar keretanya masuk ke dalam rumput. Melanggar lopak dan lubang tepi jalan. Semua yang berada dalam perut kereta tersengguk-sengguk.

"Drebar yang mementingkan diri sendiri, tak mahu fikir langsung tentang keselamatan diri orang lain," runggut pemandu sebaik sahaja kereta yang dipandunya berada semula diatas jalan raya.

"Jangan marah, syukur pada Allah kerana kita semuanya terselamat," datuk memberikan komentar. Semua yang ada dalam perut kereta anggukkan kepala.

"Kita sambung cerita saya tadi," cetus pemandu.

"Silakan," balas Haji Basilam.

"Memang betul jadi pelaut banyak pengalaman. Tapi, saya tidak mahu anak cucu saya jadi pelaut," tambahnya dengan wajah yang cukup tenang.

"Kenapa pula?" soal Andi Kamarool.

"Panjang ceritanya, cukuplah saya seorang saja yang mengalaminya. Biarlah kisah pahit manis pelaut menjadi rahsia diri saya," katanya dan terus mematikan cerita tentang dirinya.

Memang Adi Putra terjumlah dalam lelaki yang suka bercerita. Sikapnya itu, menjadikan dirinya popular dan amat disenangi oleh para penumpang keretanya.

Buktinya, habis cerita tentang dunia pelaut, dia bercerita tentang pengalaman-pengalaman lucu yang pernah dialaminya.

Saya dan Andi Kamarool ketawa terbahak-bahak dibuatnya. Walaupun tidak ketawa macam kami tetapi, Haji Basilam dan datuk tcrsenyum juga.

"Hidup ni, kalau terlalu serius cepat mati, kalau selalu ketawa tanpa sebab, nanti orang fikir kita gila pula," katanya.

HIDUP

"JADI, dalam hidup ini saya fikir kita buat sesuatu yang berpatutan, tidak melebihi had kebiasaan orang normal," saya cuba melibatkan diri.

"Betul, cakap kamu tu," sipemandu menegakkan ibu jarinya lalu berpaling ke arah saya.

"Tengok jalan, Adi," pekik Haji Basilam bila menyedari yang dipandu oleh Adi Putra makan jalan.

"Bertenang," jawabnya sambil menentukan haluan kereta yang dipandu berada di jalannya.

Telatah pemandu kereta Fiat yang agak gila-gila basa itu memang menghiburkan dan ada kalanya mencemaskan. Kerana sifat semulajadinya perjalanan yang jauh terasa dekat.

Sampai saja di Sungai Penuh, kami dibawa oleh Adi Putra ke sebuah restoran milik orang Minang. Besar dan luas, ada replika "rumah gadang" disudut restoran di samping lukisan minyak "Gunung Singgalang".

Setiap meja penuh dengan pelanggan. Restoran tersebut terletak di kawasan paling sibuk dan strategik. Tidak hairan, kenapa restoran tersebut jadi tumpuan.

"Ayuh kita makan pagi, sambung makan tengahari, semuanya percuma," Adi Putra berjenaka, meniru gaya loghat orang Minangkabau. Haji Basilam agak keberatan mahu masuk ke restoran.

"Bawa saja kami makan di warung," kata Haji Basilam.

"Tak boleh." Adi Putra membeliakkan biji mata.

"Kenapa pula? Ada pantang larangnya," sergah Haji Basilam.

"Tak ada pantang, apa yang saya buat ini atas arahan."

"Siapa pula yang mengarah kamu? Pandai-pandai nak mengatur makan minum kami," datuk masuk campur.

Mungkin kerana tekanan suara datuk agak tinggi dan keras membuat Adi Putra tersintak dan terkejut. Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan dengan harapan perkara ini tidak akan menjadi besar.

"Atas arahan ketua kampung, dia sudah beritahu tuan punya restoran, orang kampung kami, ada hubungan keluarga dengan isteri ketua kampung. Semua bayaran makan, Syam yang uruskan."

Penjelasan dari Adi Putra mengembirakan Haji Basilam dan datuk. Keraguan dan kesangsian yang terpamir di wajah, tidak kelihatan lagi.

"Kalau dah begitu, kita masuk saja," Haji Basilam cuit bahu datuk.

"Jum..." jawab datuk.

Semua melangkah ke perut restoran. Meja panjang di sudut restoran yang kosong segera kami isi.

Macam biasa, datuk hanya minum air putih. Haji Basilam dengan kopi pekatnya. Saya dan Andi Kamarool tidak melepaskan peluang. Kami makan dengan semahu-mahunya. Makanan yang disediakan memang menyelerakan.

Semasa kami menikmati makan pagi Adi Putra menemui seseorang di belakang restoran. Kemudian orang itu, (anak muda berusia sekitar tiga puluhan) diperkenalkan kepada kami sebagai pemilik restoran. Dia merasa bangga dan megah atas kedatangan kami.

PINGGIR

SEBAIK keluar dari restoran Minang, kami dibawa oleh Adi Putra ke sebuah perkampungan orang Melayu, etnik Batu Bahara di pinggir kota Sungai Penuh. Kami diturunkan didepan sebuah rumah papan (bentuknya macam rumah orang Melayu-Melaka).

Di hadapan rumah tersebut tersadai sebuah kereta FORD lama berwarna hitam. Adi Putra membunyikan honnya beberapa kali. Seorang lelaki berkulit hitam, berkepala separuh botak keluar dari rumah lalu mendekati Adi Putra.

"Kamu dah tahu Jamal."

"Tahu Adi, semalam aku diberitahu oleh orang perantaraan Kiai Musroh. Ada kamu bawa orangnya."

"Ada," jawab Adi Putra.

Cara mengejut saja datuk keluar dari perut kereta. Bila datuk keluar yang lain pun turut keluar sama.

Semasa bersalaman, Adi Putra mengambil kesempatan memperkenalkan kami dengan lelaki, separuh botak, berkulit hitam. Namanya, Jamal anak jati Kuala Tungkal, ayahnya berdarah India, ibunya melayu tulin.

"Jamal akan menguruskan perjalanan selanjutnya," Adi Putra memberitahu kami.

Jamal anggukkan kepala sambil tersenyum. Muka kami satu persatu ditatapnya.

"Jangan bimbang saya disuruh oleh Kiai Musroh membawa awak kesenya kemana yang awak suka."

“Lagi apa yang dia beritahu awak." tanya datuk.

Tak ada apa-apa. Cuma itu saja.”

”Bayaran sewa dia tak cakap?” Haji Basilam bertanya.

Semuanya ditanggung oleh pihak Kiai.”

“Begitu,” suara datuk lemah.

Haji Basilam segera menarik tangan datuk ke arah pokok sawo matang. Berbincang sesuatu di situ. Bila datuk dan Haji Basilam berpatah balik pada Jamal, Adi putra minta didi untuk pelang ke kampungnya.

Datuk mengucapkan ribuan terima kasih dan mendoakan semuga perjalanannya tidak akan berhadapan dengan sebarang kecelakaan.

Ketika kereta Adi Putra bergerak dan membelok di halaman rumah jamal kami melambai-lambaikan tangan kepadanya.

“Saya diberitahu semuanya mahu ke Jambi.” Dengan ramah jamal bersuara.

“Betul,” balas saya.

“Sila masuk”

“Tapi, kami tidak mahu terus ke sana Jamal.”

“Mahu ke mana pula?” Terbeliak biji mata Jamal renung muka Haji Basilam.

“Turunkan kami ke rumah yang besar tepi jalan sebelum sampai ke Jambi,” tambah Haji Basilam.

“Ha..." mulut Jamal terlopong, mukanya nampak pucat. Dan dia mula ragu-ragvu dengan apa yang diucapkan oleh Haji basilam.

“Kenapa kamu terkejut?” Tanya Haji Basilam.

Tiada jawapan dari Jamal.

“Kamu sangsi dengan kami?” Andi Kamarool mula menyoal.

Macam tadi juga, tiada jawapan dari Jamal.

“Kamu tak mahu menghantar kami ke tempat tersebut?” Datuk minta kepastian. Jamal nampak serba salah. Sekejap renung muka saya, sekejap renung muka Haji Basilam.

“Cakap terus terang, mahu hantar atau tidak,” tekan datuk.

“Tidak pula berniat macam itu, masuklah.”

Tanpa membuang masa, saya dan Andi Kamarool segera menyelinap ke dalam perut kereta.

KERETA

Tidak lama berselang Jamal mengambil tempatnya sebagai pemandu. Datuk duduk disebelahnya. Haji Basilam duduk di kanan saya manakala sebelah kiri Andi Kamarool.

Kalaulah saya tahu saya terpaksa duduk di tengah, tidaklah saya berebut-rebut masuk ke kereta.

Jamal segera menghidupkan enjin kereta. Dan sebuah perjalanan yang agak panjang tetapj, tidak menjemukan pun bermula.

Seperti selalu saya lebih senang dan merasa bahagia menikmati keindahan alam semula jadi yang mempersonakan.

Rupa-rupanya kegembiraan yang saya miliki tidak dapat mengatasi keriangan yang menyanyi dalam gelodak batin Andi Kamarool. Dia asyik tersenyum sahaja.

Barangkali secara diam-diam dia membayangkan dalam tempurung kepalanya yang Mia menanti ketibaannya di halaman rumah.

"Senyum saja nampaknya," usik saya.

Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan oleh Andi Kamarool. Mungkin dia segan dengan Haji Basilam di sebelah saya atau dengan datuk di sebelah Jamal.

"Seronok jumpa Mia," bisik saya ketelinganya.

Perlahan lahan Andi Kamarool angguk kepala. Ertinya, dia tidak marah. Saya hadiahkan senyuman untuknya. Tanpa diduga Andi Kamarool menyiku pangkal belikat saya.

Lucu sekali tindakan Andi Kamarool dan saya tidak dapat menahan ketawa. Datuk pun menoleh ke arah saya tanpa bersuara.

"Kenapa ketawa," tegur Haji Basilam.

"Tak ada apa-apa," balas saya lemah.

Kereta yang dipandu oleh Jamal terus meluncur tenang. Pepokok dan bukit bukau dikiri kanan jalan raya menjadi mangsa mata saya.

HALAMAN

Sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh Jamal melepasi pintu gerbang, memasuki kawasan rumah batu lama, kelihatan Mia berdiri di halaman rumah, dia memakai pakaian gaya puteri Acheh. Andi Kamarool di sebelah mula resah.

Dari jauh Mia nampak cantik dan ayu sekali. Angin yang bertiup mengerakkan kain tudung kepalanya.

"Siapa perempuan itu?" Tanya Jamal ragu-ragu.

"Pemilik rumah batu ini," jawab datuk di sebelahnya.

"Hummmmmmm..."

Dari nada suara itu, datuk dan Haji Basilam dapat rasa bimbang yang bergolak dalam dada Jamal.

"Gadis itu manusia, bukan hantu atau jambalang. Agaknya, kamu banyak mendengar cerita yang kurang baik tentang rumah batu lama ini," Haji Basilam cuba mendamaikan perasaan Jamal.

"Memang, cerita tentang rumah ini memang menakutkan. Semua orang kata, penghuninya bukan manusia."

Datuk tersenyum mendengar cakap Jamal.

“Aku buktikan cakap mereka tak benar,” Haji Basilam menepuk bahu kiri Jamal penuh mesra.

Jamal hentikan keretanya betul-betul dihadapan Mia. Dengan cepat Mia menerkam lalu membuka pintu dan mempersilakan datuk turun. Tanpa diduga Andi Kamarool mendahului datuk. Tanpa membuang masa menghulurkan tangan dan Mia menyambutnya.

Tindakan Andi kamarool mengejutkan datuk dan dianggap kurang sopan. Tetapi,sebagai orang yang kaya dengan pengalaman mereka hanya tersenyum.

Menyedari perbuatannya ketertaluan, perlahan-lahan Andi Kamarool beredar dari sisi Mia mendekati saya yang tercegat dekat bonet kereta Fiat.

“Kamu ni tak sabar Andi," saya mengusik. Andi Kamarool menelan air liur. Kemudian tunduk merenung rerumput di halaman. Rasa kesal terbayang dimukanya.

"Jangan marah, aku bergurau saja," saya menambah.

"Tak jadi hal, tak apa Tamar. Aku dapat mengawal perasaan. Entah mengapa, sejak di Sungai Penuh lagi aku terbayang-bayangkan mukanya," satu pengakuan yang jujur dan ikhlas dari Andi Kamarool.

Sesungguhnya, keikhlasan dan kejujurannya membuat saya terasa akan kehilangan sesuatu yang saya idamkan dalam hidup ini. Mia kian jauh dari saya.

Mia mengiringi datuk masuk ke ruang tamu, semasa melintas didepan kami, Mia berhenti melangkah.

"Andi masuklah, jangan segan-segan," pelawa Mia.

Wajah Andi Kamarool kembali ceria. Dia segera mengekori datuk dan Mia masuk ke ruang tamu. Kerana Haji Basilam masih bercakap-cakap dengan Jamal, saya membatalkan hasrat mengekori mereka. Sebaliknya, saya mendapatkan Haji Basilam dan Jamal.

"Kamu sudah melihat dengan mata kepala kamu," Haji Basilam renung muka Jamal. Perlahan-lahan Jamal anggukkan kepala.

"Dia manusia, macam aku dan kami," tambah Haji Basilam,"

"Jadi kamu jangan percaya dengan cakap-cakap orang, dia anak buah aku."

"Maafkan saya kerana beranggapan buruk," Jamal memegang bahu kiri Haji Basilam. Mereka berpelukan. Gelagat dua manusia itu dalam perhatian saya.

"Masuk dulu, minum kopi."

Saya menoleh ke arah Mia di belakang. Tidak sedar waktu bila dia tiba.

"lya, masuk minum dulu, Jamal," Haji Basilam mengajak.

'Terima kasih, biarlah saya balik ke Sungai Penuh. Tugas saya habis di sini."

Jamal masuk ke kereta lalu menghidupkan enjinnya.,Kereta bergerak dan membuat pusingan menuju ke pintu gerbang.

"Selamat jalan," kata saya sambil melambaikan tangan ke arah Jamal.

"Selamat tinggal, terima kasih."

Jamal membalas lambaian tangan kami. Sepasang anak mata hitamnya yang nakal menyorot wajah Mia yang kemerah-merahan dipanah matahari.

Kereta Fiat pun melepasi pintu gerbang. Berbeluk ke kanan menuju ke Sungai Penuh. Saya Haji Basilam, Mia melangkah menuju ke ruang tamu. Datuk dan Andi Kamarool menanti kami di situ.

ASAR

BILA sudah duduk semeja, bermacam-macam cerita timbul. Orang yang paling rancak sekali bercerita ialah Haji Basilam. Setiap peristiwa yang dilalui diungkap kembali kepada Mia.

Sesekali Andi Kamarool mencelah. Walaupun tidak ada kisah, menarik disampaikan oleh Andi Kamarool, Mia tetap ketawa.

Setelah menunaikan sembahyang Asar, saya berehat di bangku antik dibawah pokok bunga tanjung. Andi Kamarool menghabiskan masa dengan bersiar-siar di kaki bukit menikmati kemerduan suara burung merbuk.

Kedatangan kali ini, saya terasa macam ada sesuatu perkara yang tidak diduga akan berlaku.

Sejak tiba, datuk dan Haji Basilam nampak sibuk sekali. Tidak putus-putus bercakap dan berbincang dengan Mia diruang tamu. Saya dan Andi Kamarool tidak pula diundang. Mereka seperti merahsiakan sesuatu daripada kami.

Dari bawah pokok bunga tanjung saya merenung ke arah ruang tamu. Mereka masih berbincang. Didorong oleh rasa ingin tahu, secara sembunyi-sembunyi saya bergerak ke arah tepi tingkap, mengikuti perbincangan mereka.

"Sudah kamu sampaikan pesan aku pada abang kamu," tanya Haji Basilam pada Mia.

"Sudah ayah alang."

"Apa katanya?"

"Dia mengikut saja, baik kata ayah alang, baiklah untuknya."

"Kamu bagaimana, setujukah?" Haji Basilam tatap anak mata hitam Mia. Ada senyum nipis di wajahnya dan akhirnya Mia mengangguk lembut. Haji Basilam dan datuk berbalas senyum.

"Sebenarnya, sepanjang minggu ini abang saya ada disini, minggu depan dia nak ke Jakarta," Mia membuka rahsia. Haji Basilam cukup gembira dengan berita tersebut, begitu juga dengan datuk.

"Di mana dia?" tidak sabar Haji Basilam ingin tahu.

"Pergi ke Sungai Penuh, sekejap lagi dia baliklah."

"Semuanya bagaikan diatur, bila ada abang kamu di sini semuanya jadi mudah. Malam ini kita selesaikan semuanya," Haji Basilam memberi kata muktamad.

Sebelum perbincangan itu selesai, saya segera lari ke bawah pokok bunga tanjung. Duduk di bangku antik. Fikiran saya kacau. Saya tidak dapat menangkap apakah perkara yang mereka bincangkan.

Bagi mencari jawapannya saya terpaksa menunggu hingga waktu malam. Sementara menanti waktu tersebut dada saya terus berdebar.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 201/284

BACA: SBDJ Siri 200: Berakhirnya Sebuah Kutukan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, May 17, 2024

Apa Itu Berkat?

Apa Itu Berkat?

"Berkat" (barakah) bermakna bertambah (al-ziyadah) dan berkembang, kata yang digunakan untuk menunjukkan "kebaikan yang banyak" seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud, "Kitab penuh berkat" dan "Malam penuh berkat", yakni dipenuhi dengan kebaikan yang banyak.

Apa Itu Berkat

Rasulullah SAW juga sering kali mendoakan para sahabatnya agar Allah memberkati mereka, seperti doa Baginda untuk Abu Qatadah, "Ya Allah, berkatilah kulit dan rambutnya." Sejak itu, kulit dan rambut Abu Qatadah tidak pernah beruban meskipun usianya bertambah.

Al-Hafiz Ibn 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq bercerita bahawa Abu Qatadah wafat pada usia 70 tahun namun kulit dan rambutnya seperti remaja berusia 17 tahun.

Oleh itu, keberkatan dalam sesuatu bermakna kualiti sesuatu itu berkembang sehingga melampaui kuantitinya.

Jika sebelum makan kita meminta Allah memberkati makanan kita, bermakna kita meminta agar makanan itu bermanfaat untuk kesihatan tubuh dan ibadah kita.

Kuantiti, bentuk dan rasa makan itu mungkin tidak berubah, namun kesan positif yang diakibatkannya akan segera dirasakan oleh orang yang memakannya.

Tubuhnya semakin kuat dan terhindar daripada penyakit, jiwanya terasa lebih ringan untuk melakukan perkara yang bermanfaat bagi dunia dan akhiratnya.

Keberkatan Waktu

Keberkatan yang paling penting ialah keberkatan dalam hidup dan keberkatan dalam waktu. Yakinilah, kita diciptakan untuk suatu tugas maha penting dan waktu ialah modal yang penting untuk dapat menunaikan tugas tersebut dengan baik.

Tanpa keberkatan dan pengurusan waktu yang baik, kita tidak akan dapat menunaikan tugas tersebut dengan sempurna.

Oleh sebab itu, bagi hamba-hamba Allah yang sejati, waktu jauh lebih mahal dan lebih berharga daripada wang dan harta benda apa pun di dunia ini.

Keberkatan waktu dan rezeki hanya datang melalui kekuatan iman dan tunduknya perintah dan larangan.

Dalilnya firman Allah Taala yang bermaksud, "Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi." (Surah al-A’raf 7: 96)

Imam Abu Bakar bin 'Ayasy berkata, "Andai kata seseorang kehilangan sekeping emas, ia akan menyesal dan memikirkannya sepanjang hari. Ia mengeluh, 'Inna lillah wa inna ilaihi raji'un, emas saya hilang. Namun belum pernah kita mendengar seseorang mengeluh: "Sehari telah berlalu, namun apa yang aku lakukan sepanjang tempoh itu?"

Imam al-Ghazali yang hidup hanya 55 tahun dan Imam al-Nawawi yang hidup hanya 45 tahun, namun berjaya menulis banyak buku berharga yang kebanyakan tebalnya berjilid-jilid.

Orang yang pernah menulis buku pasti tahu betapa besar keberkatan yang Allah berikan kepada waktu para ulama ini.

KISAH

Al kisah suatu ketika, Syeikh Ibrahim bin Adham r.a. pernah terlibat dialog dengan salah seorang kafir zindiq (orang yang menolak perkara penting dalam agama) yang tidak percaya akan kewujudan berkat.

Si Zindiq itu berkata bahawa, "Yang namanya berkat itu jelas tidak ada, (hanya sekadar mitos)."

Mendengar itu, Syeikh Ibrahim lantas bertanya kepadanya.

"Pernahkah kamu melihat anjing dan kambing?"

Zindiq menjawab, "Ya, tentu. Aku sering melihatnya."

Lalu Syeikh Ibrahim bertanya lagi kepadanya, "Menurutmu, mana di antara keduanya yang lebih banyak membiak dalam melahirkan anak?"

Dan si Zindiq menjawab, "Pastinya anjing kerana anjing boleh melahirkan sampai 7 anak anjing sekaligus. Sedangkan kambing hanya mampu melahirkan setidaknya, hanya 3 anak saja."

Kemudian bertanya lagi Syeikh Ibrahim, "Cuba kamu perhatikan lagi di sekelilingmu, manakah yang lebih banyak populasinya antara anjing dan kambing?"

Si Zindiq menjawabnya, "Aku lihat kambing jauh lebih banyak. Bahkan jumlahnya lebih banyak dibandingkan anjing."

Syeikh Ibrahim berkata, "Bukankah kambing itu sering disembelih? Ada yang untuk keperluan tetamu, sembelihan korban musim perayaan, untuk aqiqah atau jualan istimewa dan hajat lainnya. Namun ajaibnya, kambing tidak pupus bahkan jumlahnya menjadi lebih banyak melebihi anjing."

Dan berkata si zindiq, "Iya, iya, betul sekali."

Dan berkata lagi Syeikh Ibrahim, "Maka begitulah gambaran BERKAT."

Si Zindiq menjawab, "Jika begitu, apakah sebabnya kambing yang mendapat berkat, bukan anjing?"

Syeikh Ibrahim menjawab dan kemudian menutup dialog itu, dengan jawapannya yang menyentap si Zindik.

"Kerana kambing lebih memilih tidur awal pada waktu malam tetapi ia selalu bangun sebelum datang waktu fajar maka di saat itulah, ia mendapati waktu yang penuh dengan rahmat-Nya sehingga akhirnya turunlah keberkatan kepadanya."

"Berbeza halnya dengan anjing yang sibuk menyalak sepanjang malam tetapi ketika di saat menjelang waktu fajar, ia pergi tidur sampai melepaskan saat-saat turunnya cucuran rahmat-Nya dan ia pun tidak mendapat keberkatan.

Saidina Sakhr pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi mereka." (Tirmizi, Abu Daud)

Sikap Kita

Jika kita menyedari bahawa keberkatan telah hilang, maka sungguh rugi jika kita membuang-buang waktu yang memang sudah sedikit itu.

Sebaliknya, kita harus bertekad menggunakan waktu ini dengan baik untuk meningkatkan prestasi di dunia dan mengumpulkan bekal hidup di akhirat.

Abu Hazim Salamah bin Dinar berkata, "Segala sesuatu yang ingin kau bawa ke akhirat, siapkanlah dari sekarang. Dan sesuatu yang tidak ingin kau bawa, tinggalkanlah dari sekarang."

Apa lagi Rasulullah SAW menyatakan bahawa keadaan ini akan bertambah buruk pada masa akan datang.

Diriwayatkan al-Bukhari daripada Anas bin Malik, "Tidaklah datang kepadamu suatu zaman, melainkan zaman yang setelahnya lebih buruk daripada itu, hingga kamu berjumpa dengan Tuhanmu."

Baginda juga bersabda yang bermaksud, "Cepatlah kamu beramal sebelum datang berbagai-bagai fitnah seperti kegelapan malam. Pada waktu itu, seorang beriman pada pagi hari dan kafir pada petang harinya. Ia beriman pada petang hari tetapi kafir pada pagi harinya. Ia menjual agamanya demi sedikit harta dunia." (Riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Abu Hurairah).

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Thursday, May 16, 2024

SBDJ Siri 200: Berakhirnya Sebuah Kutukan

SBDJ Siri 200: Berakhirnya Sebuah Kutukan

Di saat saya terjaga malam, kira-kira pukul dua. Perlahan-lahan saya buka pintu bilik, saya dapati datuk sedang melakukan sembahyang tahajud di ruang rumah. Setelah daun pintu bilik dirapatkan, terdengar dengkur Andi Kamarool.

Toyol jadi-jadian

Syam tidak berdengkur tetapi, saya yakin dia tidur dengan nyenyak sekali. Syukur, saya tidak mengalami sebarang kejadian tidak diingini sepanjang malam.

PATUH

BEGITULAH, semua syarat dan nasihat yang dianjurkan oleh Kiai Musroh dipatuhi oleh Datuk dan Haji Basilam tetap mengawasinya. Kalau ada yang salah dibetulkan, kalau ada yang terlupa diingatkan.

Pokoknya, sama ada Syam, Haji Basilam, datuk malah saya dan Andi Kamarool berusaha mahu membebaskan Syam dari kehidupannya yang serba tidak kena. Dalam erti kata lain, hidupnya terseksa dan tertekan.

Sudah diputuskan oleh Haji Basilam dan datuk, saya dan Andi Kamarool diberikan tugas, setiap pagi mesti menemani Syam pergi ke rumah arwah isterinya.

Sebelum pergi, saya diwajibkan mengerak-gerakkan otot-otot sendi serta memanaskan badan dengan melakukan senaman silat bersama Andi Kamarool. Bila badan sudah berpeluh dan tubuh terasa segar, barulah boleh menemani Syam. Tugas ini dilakukan setelah membaca yassin pada sebelah malamnya di masjid.

Andainya, ada perkara-perkara baru atau tambahan yang mesti kami lakukan, Pak Kiai Musroh akan memberitahu datuk atau Haji Basilam untuk disampaikan kepada kami berdua (Saya dan Andi Kamarool) tanpa pengetahuan Syam.

Pagi pertama mendatangi rumah arwah isteri Syam, ternyata tidak terdapat sebarang perubahan. Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai masih banyak. Tidak ada tanda-tanda akan berkurangan.

Malah anai-anai yang melata di lantai nampak agresif sekali, bersedia menyerang kami, andainya terpijak lantai yang dikuasainya.

Pagi yang kedua, keadaannya seperti pagi yang pertama. Pagi yang ketiga terdapat sedikit perubahan, jumlah serangga mula berkurangan, tidak ganas seperti pagi-pagi sebelumnya. Serangga yang menjijikkan itu bagaikan muncul dari perut bumi atau datang bersama hembusan angin.

Pagi Keempat dan kelima jumlahnya bertambah susut. Pada pagi keenam, jumlahnya boleh dihitung dan pada pagi yang ketujuh serangga tersebut tidak kelihatan langsung. Hilang entah ke mana. Seolah-olah hukuman itu telah berakhir untuk keluarga Syam.

Keikhlasan dan niat baik dihati Syam, agaknya diberkati oleh Allah, maka ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai terus lenyap.

Pada sebelah petang hari yang ketujuh, Kiai Musroh mengajak kami semua meninjau keadaan sekitar kawasan rumah arwah isteri Syam. Terbayang kepuasan di wajah Pak Kiai Musroh dan dia yakin dengan kuasa Allah, kejadian yang menakjubkan itu tidak akan hadir lagi dalam hidup Syam.

"Jangan kamu lupa atau lalai membahagi-bahagikan harta bekas isteri kamu seperti yang telah diputuskan," Kiai Musroh renung muka Syam, dibawah sinar matahari petang yang kian meredup. Syam tunduk merenung tanah.

"Sesungguhnya, apa yang kita lihat mungkin merupakan gambaran nyata hukuman bagi seseorang yang sangat kedekut atau enggan menyumbangkan sedikit hartanya untuk beramal ke jalan Allah," Haji Basilam bersuara tenang.

"Entahlah, Wallah hu alam. Itu semuanya kerja Allah yang maha mengetahui dan maha kuasa. Tetapi, kamu semua nampak, keadaan rumah ini sudah seperti sediakala."

"Iya, Pak Kiai," jawab kami serentak.

"Jadikan semuanya ini sebagai pedoman. Ingatlah, Allah itu maha benar dengan segala janji-janjiNya. Apa juga yang dikehendakinya akan nyata terjadi didepan mata kita selaku makhluk ciptaan-NYA," kata kiai Musroh sambil mengajak kami semua meninggalkan kawasan halaman rumah arwah isteri Syam.

"Bila semua syarat sudah ditunaikan, bolehkah saya tinggal di situ," sambil melangkah Syam kemukakan pertanyaan.

"Sudah tentu boleh, tapi..." Kiai Musroh berpaling ke arah Haji Basilam.

"Tapi dengan syarat, kamu mesti bergaul dengan orang-orang kampung, selalu berjemaah di masjid. Rajin bersedekah ke jalan Allah," sambung Kiai Musroh.

"Lagi?" Datang lagi pertanyaan dari Syam.

"Buangkan semua barang-barang yang digunakan oleh bekas isteri kamu sebagai tempat pemujaan. Kalau kamu takut melakukannya, minta tolong pada orang lain."

"Pada siapa Pak Kiai," Syam bagaikan tidak sabar.

"Dengan dua orang ini," jari telunjuk Kiai Musroh menuding ke arah datuk dan Haji Basilam.

"Dengan izin Allah, kami bersedia membantunya," datuk meluahkan sebuah ikrar.

"Tolong dan bantu dia sebelum kamu balik ke tempat asal kamu," sudah jelas kata-kata yang dituturkan oleh Kiai Musroh untuk Datuk.

Buktinya, sambil bercakap Kiai Musroh terus menepuk bahu datuk berkali-kali.

"InsyaAllah...." janji datuk yang disambut dengan ceria oleh kawan-kawan dikelilingnya.

ARAHAN

MENGIKUT jadual berikutnya, (hari yang ketujuh belas) Syam boleh tidur di rumah bekas isterinya tanpa ditemani oleh sesiapa.

Tetapi, atas permintaan Syam serta arahan datuk, saya dan Andi Kamarool diperintahkan supaya Syam bermalam di rumah bekas isterinya selama satu minggu. Macam selalu, arahan datuk tidak ditentang.

Setiap pagi, bila pulang ke rumah penginapan, saya terpaksa berhadapan dengan Haji Basilam dan datuk. Mesti menjawab segala pertanyaan yang diajukan kepada kami.

Memang membosankan. Kenapa tidak ditanya kepada Syam? Bukankah ini masalah dirinya? Mengapa saya dan Andi Kamarool mesti terkena getahnya.

Sayangnya, persoalan itu hanya berlegar-legar dalam nada, tidak pernah diluahkan kepada datuk atau Haji Basilam.

Antara pertanyaan yang sering diajukan kepada kami pada setiap pagi ialah, "Apa yang kamu kamu berdua rasakan semasa berada di dalam rumahnya waktu malam?"

"Apa benda-benda pelik yang mengganggu kamu berdua?"

"Apakah Syam tidak buat perangai yang menakutkan?"

"Dia tidak mengigau atau berjalan malam?"

"Ada tetamu malam yang tidak diundang datang?"

Jawapan pasti yang kami berikan atas pertanyaan tersebut ialah: TIDAK ADA. Memang benar, kami tidak mengalami sebarang kejadian yang tidak diingini, semasa berada dirumahnya sepanjang malam.

Saya yakin (mungkin Andi Kamarool juga sama seperti saya) jawapan itu akan menamatkan tugas kami menemani Syam. Apa yang saya harapkan tidak menjadi kenyataan.

"Sambung tugas tu lagi," kata datuk.

Biji mata saya dan Andi Kamarool terbeliak. Tiba-tiba saja saya rasakan dahi berpeluh dingin di bawah sinar matahari pagi yang meninggi segalah.

Memang diluar dugaan, dipagi terakhir tugas, menyusul pula arahan atau tugas baru.

"Sampai bila?" Tanya Andi Kamarool dalam nada protes.

"Dua minggu lagi."

"Dua minggu lagi," Andi Kamarool terkejut.

"Iya," angguk datuk.

Saya dan Andi kamarool saling berpandangan. Bila saya alihkan pandangan ke arah Haji Basilam, dia tersenyum lebar. Pasti dua manusia tua dihadapan kami sudah berpakat, fikir saya dalam hati.

"Andi, Tamar dengan sini."

Lagi sekali wajah Haji Basilam jadi sasaran biji mata saya dan Andi Kamarool. Macam selalu, sebelum melanjutkan kata-kata dia senyum mesra ke arah kami.

"Ada apa Pak Haji," kami menyoal serentak.

Haji Basilam yang masih duduk di anak tangga ketiga meluruskkan kaki kananya. Manakala datuk yang berdiri disisi merenung ke arah matahari pagi yang kian meninggi.

"Ini juga pengalaman, sesuatu yang baik untuk kamu berdua. Bila banyak pengalaman boleh dijadikan contoh teladan dalam hidup. Boleh dijadikan bahan cerita untuk anak cucu kamu," kata Haji Basilam yang diakhiri dengan ketawa kecil.

Sesungguhnya Andi Kamarool kurang senang dengan cara ketawa Haji Basilam itu. Pada pendapatnya, ada unsur-unsur mengejek. Andi Kamarool menyatakan protesnya dengan menjuihkan bibirnya ke depan.

ALASAN

TIDAK ada sebarang alasan yang boleh dikemukakan kepada datuk bagi menolak perintah barunya itu. Melainkan menerima sahaja dengan mengangguk, tanda setuju sambil menyifatkan perkara tersebut adalah sebuah cabaran yang mesti dijawab.

Syukur pada Allah, tempoh dua minggu yang ditetapkan, kami lalui dengan aman dan jaya sekali. Semuanya berjalan lancar.

Syam makin berani, makin percaya pada diri sendiri. Dia tidak mahu kami menemaninya lagi, pada malam-malam berikutnya.

"Mula malam esok, tak payahlah Andi dan Tamar menemani saya bermalam di rumah," secara terang-terangan Syam memberitahu datuk dan Haji Basilam.

"Kamu berani?" Sergah Haji Basilam.

"Berani."

"Kamu tak takut, makhluk halus."

"Tidak."

"Habis apa yang kamu takut?"

"Apa yang saya takut ialah Allah. Dia maha besar dan berkuasa, pada-NYA saya minta perlindungan."

"Alhamdulillah," pekik Haji Basilam sambil meluru ke arah Syam.

Tubuh Syam dipeluknya dengan kemas. Beberapa minit kemudian datuk juga turut berbuat demikian. Meskipun Syam sudah pulih dari gangguan makhluk halus, akibat dari perbuatan bekas isterinya.

Datuk tidak mahu terburu-buru meninggalkan Syam. Hasrat hati segera dinyatakan kepada Haji Basilam.

"Kenapa? Kurang yakin dengan dirinya?"

"Hati aku macam keberatan meninggalkannya. Kalau aku berbuat begitu macam ada sesuatu yang tidak sempurna dalam tugas aku, macam ada sesuatu yang buruk menanti," datuk berterus terang dengan Haji Basilam.

"Jadi apa yang mahu sahabat lakukan?"

"Begini haji, aku nak duduk dua minggu lagi, agaknya kamu tak marah rancangan aku ni."

"Kenapa nak marah kalau tujuannya baik, kurang tapak tangan nyiru saya tadahkan," Haji Basilamnampak serius.

"Dalam masa dua minggu itu, aku minta kamu membantu aku mengawasi gerak-geri si Syam, secara terperinci."

"Perkara itu, tidak menjadi masalah," kata Haji Basilam sambil menepuk bahu datuk. Kemudian serentak minum kopi petang yang saya sediakan.

Masa dua minggu itu dimanfaatkan oleh datuk dengan sebaik mungkin. Dua puluh empat jam, semua gerak-geri Syam diawasi dengan teliti.

Rupa-rupanya rancangan datuk itu direstui oleh Kiai Musroh. Apa juga yang bakal dilakukan oleh mereka bertiga (Datuk, Haji Basilam dan Kiai Musroh) tidak dihebahkan kepada saya dan Andi Kamarool.

Dengan ditemani Haji Basilam, Kiai Musroh, Datuk sanggup pergi ke rumah Syam menjelang dinihari. Bertahan di situ hingga terbit bintang timur di kaki langit. Mereka gembira sekali, Syam sudah berubah.

Setiap malam bangun lalu melakukan sembahyang tahajud, menjelang subuh membaca Quran. Kemudian turun ke masjid berjemaah bersama orang-orang kampung. Namanya, mula disebut-sebut sebagai manusia yang pemurah.

Besok berakhirlah tempoh yang ditetapkan oleh datuk. Dalam rencana yang di atur, datuk akan meninggalkan kampung halaman Syam, selepas sembahyang subuh atau sebelum matahari pagi terbit, menuju ke Sungai Penuh. Dari situ bersama Haji Basilam akan menuju ke rumah Mia (gadis harimau).

Bagi melancazkann perjalanan, ketua kampung dan Pak Imam sudah pun mengatur kenderaan yang bakal digunakan.

DOA

MALAM itu, selepas sembahyang Isyak diadakan majlis doa selamat jalan dengan jamuan bubur kacang dan teh. Semuanya ini atas inisiatif ketua kampung dan Pak Imam. Doa selamat dibaca oleh Kiai Musroh.

"Sepatutnya, Haji Basilam tak perlu ikut mereka, tinggallah disini dua tiga bulan lagi, ini kampung laman awak. Buat apa ke mana-mana lagi," kata ketua kampung.

"Saya ada hal dengan anak angkat saya si Mia," jawab Haji Basilam sambil menghirup kopi.

Serentak Pak Imam, Ketua kampung dan Kiai Musroh goyangkan kepala. Mereka menerima alasan yang diberikan oleh Haji Basilam. Saya perhatikan, sejak dari sembahyang maghrib hingga ke waktu Isyak.

Syam bagaikan tidak mahu berenggang dengan datuk dan Haji Basilam. Wajahnya tidak begitu ceria. Tetapi, sering bertanya sesuatu sama ada kepada datuk atau Haji Basilam.

Penduduk setempat yang ikut dalam majlis doa selamat jalan itu, memperlihatkan sikap ramah kepada saya dan Andi Kamarool, terutama pemuda yang sebaya. Malah mereka secara terang-terang menyatakan rasa senang hati terhadap saya dan Andi Kamarool.

"Begini saja, orang yang mahu meninggalkan kampung ini, diminta berdiri di muka pintu masjid. Tujuannya bukan apa-apa, bagi memudahkan orang yang berada dalam masjid bersalaman, sebaiknya mereka berdiri sederet," ketua kampung menghamburkan cadangan.

"Satu cadangan yang baik, kami setuju," sahut seorang jemaah dari sudut sebelah kanan masjid.

"Allahu akbar," kata seorang jemaah lagi lalu disambut beramai-ramai oleh jemaah yang lain.

Saya lihat ketua kampung tersenyum puas. Anak buahnya tidak menolak cadangan yang dianjurkannya.

Di tengah-tengah gema suara takbir yang menguasai ruang masjid, saya terus menyelinap ditengah-tengah para jemaah menuju ke pintu masjid dan berdiri di situ.

Tidak lama kemudian, datuk, Haji Basilam dan Andi Kamarool menyusul. Seorang demi seorang para jemaah bersalaman dengan kami, malah ada yang memeluk kami.

Semuanya mendoakan semoga perjalanan yang bakal kami lalui akan terhindar dari sebarang malapetaka.

Akhirnya, ruang masjid terus kosong dan orang terakhir menghulurkan salam kepada datuk ialah ketua kampung.

"Semuanya sudah diaturkan, lepas subuh ada kereta yang akan membawa kamu ke Sungai Penuh," kata ketua kampung.

"Bagaimana dengan bayarannya?" Haji Basilam bertanya, buat seketika ketua kampung kerutkan dahi, renung ke arah Pak Imam dan Kiai Musroh yang berdiri di sisinya.

Bila ketua kampung renung ke arah Syam, saya lihat Syam anggukkan kepala, terukir senyum di kelopak bibir ketua kampung.

"Semuanya ditanggung oleh si Syam, tugas saya cuma mencarikan kereta saja."

"Dia tak mahu awak semua susah," Pak Imam mencelah.

"Subuh nanti jemaah di masjid bersama kami," Kiai Musroh renung muka Haji Basilam, seolaholah minta sebuah kepastian yang tepat.

"Rasa-rasanya tidak, kami berjemaah di rumah," jawab Haji Basilam dengan rasa yakin.

"Kalau begitu, saya suruh drebar ambil awak di rumah, elok saja satu kereta, awak duduk di depan sebelah drebar," ketua kampung tepuk bahu kiri datuk.

"Haji Basilam, Tamar dan Andi Kamarool duduk di belakang," sambung ketua kampung. Dia mengatur kami duduk dalam kereta.

"Drebarnya orang muda ke atau orang tua?" Pertanyaan saya itu membuat Pak Imam ketawa kecil.

"Kalau orang muda kenapa pula, kalau orang tua apa pula lebihnya," Kiai Musroh menghalakan pertanyaan kepada saya. Kemudian dia senyum sinis.

"Orang muda bawa laju, cepat naik darah tak fikir keselamatan penumpang. Orang tua sabar bawa kereta berhati-hati," itu alasan yang saya berikan.

Semuanya mengangguk. Alasan saya memang lojik dan dapat diterima oleh semua pihak.

BERANGKAT

SETELAH menunaikan fardhu subuh, kami pun berangkat meninggalkan kampung halaman Syam.

Pemandu kereta Fiat, berwarna merah hati, memperkenalkan dirinya sebagai ADI PUTRA, berusia sekitar lima puluhan.

Berbadan kecil tetapi, raut wajahnya membayangkan dia seorang lelaki yang memiliki semangat waja. Ada hubungan keluarga dengan Pak Imam. Anak saudara Pak Imam jadi isterinya.

Bekas pelaut yang kini membuka kedai makan, kadangkala menjalankan khidmat kereta sewa di kalangan penduduk untuk perjalanan jauh. Tiada bayaran tetap yang dikenakan.

Terpulang pada keikhlasan penyewa tetapi, minyak harus ditanggung oleh penyewa.

Di pagi yang dingin dengan kabus tebal yang menutup puncak gunung-ganang. Bukit-bukau Tanah Kerinci, kereta terus dipandu dengan cermat dan hati-hati oleh Adi Putra.

Memang mempesonakan melihat matahari pagi muncul dicelah-celah pergunungan. Awan yang berarak lembut, bagaikan emas terhampar akibat terkena pancaran matahari yang kian membesar.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 200/284

BACA: SBDJ Siri 199: Makhluk Halus Dalam Darah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, May 15, 2024

Kemuliaan Mati Syahid

Kemuliaan Mati Syahid

"Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Surah Ali ‘Imran: 169)

Kemuliaan Mati Syahid

Pada asasnya, kita tidak boleh menentukan dengan khusus atau mengatakan seseorang itu mati syahid kecuali mereka yang telah dipersaksikan oleh Rasulullah SAW atau yang telah disepakati oleh umat atas kesyahidannya, kerana hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid atau sebaliknya.

Syahid itu terbahagi kepada tiga jenis mengikut pandangan jumhur ulama, iaitu:

Pertama: Syahid Dunia dan Akhirat

Iaitu orang-orang beriman yang ikhlas berjuang di jalan Allah untuk meninggikan syiar agama dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata serta mati di medan peperangan. Mereka tidak lagi berada dalam keadaan hayah mustaqirrah (masih hidup) sebelum berakhirnya peperangan dengan golongan musyrikin (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/164; Al-Iqna’, 1/414-415)

Dia dianggap syahid akhirat kerana di sisi Allah mereka mendapat pahala syahid dan dianggap sebagai syahid dunia kerana mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Bahkan mereka ditanam secara terus bersama dengan darah dan pakaian mereka. (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/164; Al-Iqna’, 1/414)

Hal ini berdasarkan hadis daripada Saidina Jabir R.A bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Nabi SAW pernah menghimpunkan dua lelaki dari mereka yang telah dibunuh di (peperangan) Uhud seraya baginda bertanya kepada mereka siapakah antara mereka yang mempelajari lebih banyak Al-Qur'an? Dan ketika salah seorang dari mereka ditunjuk, baginda mengarahkannya agar diletakkannya di lahad (kubur) terlebih dahulu. Baginda bersabda "saya saksi ke atas mereka." Maka baginda memerintahkan supaya mereka dikebumikan dengan darah mereka, tidak boleh disolatkan, dan mereka tidak boleh dimandikan." Riwayat al-Bukhari (1347)

Kedua: Syahid Dunia

Sesiapa yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah tetapi dalam masa yang sama melakukan mawani’ al-syahadah (perkara yang menghalang daripada mendapatkan syahid) seperti berjuang di jalan Allah kerana inginkan ghanimah (harta rampasan) semata-mata atau berjuang untuk dikatakan berani atau untuk mendapatkan kedudukan di sisi manusia atau seumpamanya (dengan tujuan keduniaan), maka dia dianggap syahid dunia iaitu tidak disolatkan, dikafakankan dan dimandikan. Sementara itu dia tidak dianggap sebagai syahid akhirat iaitu tidak mendapat pahala syahid yang sempurna dan urusannya di akhirat adalah antara dia dengan Allah SWT. (Rujuk: Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/164; Syarh Mukhtasar al-Kharqi, 72/14)

Ketiga: Syahid Akhirat

Adapun syahid akhirat ialah selain daripada golongan yang telah disebutkan di atas, iaitu sesiapa yang syahid bukan di medan peperangan akan tetapi disebutkan dalam hadis dengan istilah syahid.

Contohnya seperti orang yang meninggal dunia kerana penyakit perut, taun, ditimpa runtuhan bangunan dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis sebagai syahid.

Mereka dikurniakan dengan pahala dan ganjaran sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang pertama (syahid dunia dan akhirat).

Adapun hukumnya di dunia adalah sama seperti kebiasaan orang yang meninggal dunia iaitu wajib dimandikan, dikafankan dan disolatkan. (Rujuk: Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/164; Syarh Mukhtasar al-Kharqi, 72/14).

Di samping itu, terdapat juga hadis-hadis lain yang tidak dapat kami sebutkan di sini kerana jumlahnya yang banyak.

Secara ringkasnya, di sini kami simpulkan beberapa golongan yang diberi pahala syahid akhirat berdasarkan banyaknya hadis sahih yang menyebutkan sebab-sebab kesyahidan (tersebut) serta ia merupakan ciri-ciri yang masyhur dalam kalangan para ulama, antaranya seperti berikut:
  1. Orang yang mati kerana penyakit berjangkit.
  2. Orang yang mati kerana penyakit perut.
  3. Orang yang mati lemas.
  4. Orang yang mati dihempap bangunan.
  5. Orang yang mati kerana kebakaran.
  6. Orang yang mati kerana dizalimi.
  7. Orang yang mati kerana berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim.
  8. Orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu.
  9. Wanita yang mati ketika bersalin.
  10. Orang yang mati kerana mempertahankan agamanya, nyawanya, hartanya dan keluarganya.
(Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/62-63; Fath al-Bari, 6/51-52)

Kelebihan mati syahid

Daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya; "Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 1) Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, 2) melihat tempatnya didalam syurga, 3) dilindungi dari azab kubur, 4) terjamin keamanannya dari malapetaka besar merasakan kemanisan iman, 5) dikahwinkan dengan bidadari, 6) diperkenankan memberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya."

Kesimpulan

Namun, kita hendaklah sedar bahawa hakikat sebenar seseorang mendapat ganjaran syahid atau sebaliknya hanyalah Allah SWT sahaja yang mengetahui kerana mati syahid merupakan satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang terpilih sahaja.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 199: Makhluk Halus Dalam Darah

SBDJ Siri 199: Makhluk Halus Dalam Darah

WALAUPUN waktu solat maghrib masih jauh, lebih kurang tiga jam lagi. Tetapi, saya dan Andi Kamarool sengaja pergi awal ke masjid kami berpendapat dari duduk di rumah, terlentang tertiarap, lebih baik duduk di masjid. Boleh juga membelek-belek kitab lama tulisan jawi.

Toyol jadi-jadian

Dengan berbuat demikian, dapat menambahkan pengetahuan tentang hukum-hukam yang ada hubungkaitnya dengan ilmu agama. Mana yang tidak faham atau ada perkara yang meragukan, bolehlah dirujukkan kepada datuk atau Haji Basilam.

"Bahasa kitab lama berbelit-belit. Ejaannya masih ejaan lama," tutur Andi Kamarool.

"Datuk dan Haji Basilam, boleh menolong," sanggah saya sambil menghayunkan langkah di bawah sinar matahari petang yang kian redup.

"Betul cakap kamu Tamar."

"Mereka berdua orang tua yang banyak pengalaman."

"Kita ni orang apa Tamar."

"Kita orang muda yang serba tak tahu, mesti belajar supaya tahu," kata saya. Dan kami segera ketawa.

Langkah menuju ke masjid dipercepatkan. Bila sampai di halaman masjid, apa yang direncanakan dalam kepala menjadi sebaliknya. Kami, berhadapan dengan kumpulan anak-anak muda dengan kegiatan masing-masing.

"Andi!"

Langkah Andi Kamarool terhenti, begitu juga dengan langkah saya.

"Kenapa Tamar."

"Kita patah balik, aku takut terjadi sesuatu yang tidak baik Andi."

"Aku tidak berfikir begitu, kita mencari persahabatan, bukannya musuhnya Tamar."

"Aku bimbang Andi."

"Lapangkan hati, otak dan perasaan kamu Tamar. Ayuh."

Andi Kamarool menyambung kembali langkah yang terhenti. Saya tiada pilihan lain, terpaksa akur dengan kemahuan Andi Kamarool. Dan kami kian menghampiri kawasan masjid.

Di halaman masjid yang berumput pendek, sekumpulan anak muda sedang bermain sepak raga. Mereka menyambut kehadiran kami dengan ramah sekali. Malah mempelawa kami agar turut serta dalam kumpulan mereka.

Manakala di sudut kanan surau, kelihatan sekumpulan anak muda menjalankan kegiatan latihan ilmu mempertahankan diri atau seni silat dengan diawasi oleh seorang guru berbadan tegap.

Si guru duduk atas tunggul kelapa, tidak memakai baju. Kedua-dua belah lengannya dililit dengan secebis kain berwarna kuning. Wajahnya serius bercampur bengis.

Ketika saya merenung ke arahnya, secara tidak sengaja pandangan kami bertembung. Dia meluahkan senyuman keramahan, wajah yang serius dan bengis tenggelam dalam senyuman yang manis macam senyum P. Ramlee dalam filem Bujang Lapok.

Senyum yang diberi saya sambut dengan anggukkan. Kerana tertarik dengan langkah dan buah silat yang dipamerkan oleh anak-anak muridnya, saya memutuskan untuk berada di tepi gelanggang. Duduk bersila di bangku panjang yang disediakan di situ.

"Kamu mahu duduk di sini, Tamar?" Tanya Andi Kamarool.

Saya segera anggukkan kepala.

"Aku mahu ke gelanggang sepak raga," susul Andi Kamarool lagi.

"Silakan."

"Jadi, kamu tak mahu ikut aku Tamar."

"Tak mahu," kata saya tegas.

Andi Kamarool pun ubah haluan, dia melangkah lemah menuju ke gelanggang sepak raga. Saya tahu, dia memang minat dengan permainan tersebut. Biarlah Andi Kamarool dengan halnya sendiri, bisik batin saya.

BERAKHIR

SELURUH perhatian, saya tumpukan ke gelanggang silat. Dari hujung mata saya dapat mengesan gerak geri si guru di atas tunggul kelapa.

Di samping melihat anak-anak muridnya, dia juga melihat gerak-geri saya, terutama cara saya duduk bersila, gerak badan saya pada setiap kali anak muridnya melakukan serangan. Saya cuba menghadkan gerak-geri, agar jangan ketara dimata guru silat. Ternyata usaha itu kurang berhasil.

Latihan di gelanggang pun berakhir, tanpa saya duga, setelah anak-anak muridnya bersurai. Si guru silat mendekati saya. Pasti, perasaan saya jadi gementar dan cemas. Bermacam-macam perkara buruk muncul dalam kepala.

"Anak tahu silat?" Tanyanya.

Saya gelengkan kepala.

"Jangan berbohong, cara anak duduk bersila serta gerak mata melihat orang bersilat. Juga bentuk tubuh anak ini, sudah cukup menerangkan yang anak ada isi," tambahnya dalam nada suara yang lembut.

"lya, tahu sikit-sikit saja," saya menjawab.

"Begitulah, bersikap jujur."

"Ilmu saya tidak setinggi mana."

"Tapi, cukup untuk diri saya."

Perlahan-lahan saya anggukkan kepala. Si guru silat senyum sambil memusingkan tubuhnya membelakangi saya. Kami melangkah mengikuti tujuan masing-masing. Pandai dia membaca rahsia diri, bisik batin sambil mempercepatkan langkah untuk mendapatkan Andi Kamarool di gelanggang sepak raga.

Dalam suasana langkah yang rancak itu. Gerak hati bagaikan memberitahu ada sesuatu yang bakal muncul cara mendadak. Jadi, harus berhati-hati. Bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sukar untuk menduga dari arah mana bencana akan menjelma. Secara mendadak, saya bagaikan mendengar bunyi gumpulan ombak yang dutung dari arah belakang.

Dengan secepat kilat menoleh. Memang diluar dugaan dan mengejutkan. Guru silat melakukan serangan. Kerana belum bersedia, membuat saya jadi kelam-kabut.

Tetapi, saya berjaya mengelak dan menolak buah silat yang ditujukan betul-betul ke arah dada.

Kalau sasaran itu tepat, pasti jatuh terlentang dan darah keluar dari mulut. Akibatnya, saya boleh mengidap penyakit batuk darah. Mujurlah serangan itu dapat saya atasi.

Guru silat tersasar ke kanan, tidak berjaya mengimbangi kedudukan badannya. Dia jatuh, bagaikan kilat dia bangun, seolah-olah tidak jatuh tetapi, bagi orang yang tajam pandangan dan tahu gerak silat dapat mengesan kelemahan itu.

Apa yang berlaku menarik perhatian beberapa orang anak muda di gelanggang sepak raga. Andi Kamarool segera meluru ke arah saya.

"Kenapa Tamar?" Tanyanya cemas.

"Aku diuji Andi."

"Siapa yang menguji kamu, Tamar."

"Akulah yang mengujinya," sahut si guru silat yang berdiri di kanan.

Dia menghulurkan tangan. Saya sambut dengan ikhlas. Kemudian dia memeluk tubuh saya kemas-kemas. Orang-orang yang berada di sekeliling segera bertepuk tangan.

"Maafkan saya kerana menyusahkan kawan awak," si guru silat renung muka Andi Kamarool.

Saya lihat Andi Kamarool anggukkan kepala. Beberapa detik kemudian mereka berjabat salam.

"Saya tahu awak cuma mahu menguji, bukan begitu?" Tanya Andi Kamarool.

"Iya, memang betul apa yang awak kata, orang berilmu harus diuji, barulah boleh disukat tinggi rendah ilmunya," tingkah guru silat.

Saya dapat menerima alasan yang diberikan, saya tidak marah malah tidak menyimpan rasa dendam dalam hati.

"Anak memang cekap memanfaatkan gerak hati pemberian Allah untuk melindung diri. Memang, serangan yang dibuat, serangan maut. Kalau kepalang orang, pasti terima padahnya. Sengaja serangan itu aku atur dari arah yang baik, tujuannya sekadar menguji, kalau aku tewas, tidak membawa maut, begitu juga dengan kamu," siguru silat memberikan penjelasan.

"Saya faham, cuma untuk menguji, kalau betul-betul maut saya," nada suara saya lemah yang diakhiri dengan senyum. Serentak Andi Kamarool dan guru silat ketawa.

CERAMAH

SETELAH menunaikan sembahyang maghrib, kami berpeluang mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh Kiai Musroh berhubung dengan seksa kubur.

Sungguh memikat dan berkesan di hati cara Kiai Musroh menyampaikan ceramah. Pandai sungguh dia memainkan emosi pendengar. Dia boleh membuat pendengar menangis dan ketawa.

Selepas menunaikan sembahyang Isyak, lagi sekali Kiai Musroh membuat kejutan.

Dia mengumumkan pada para jemaah, mulai malam esok akan diadakan pembacaan yassin selama tujuh malam yang dituruti dengan solat Qiamullail yang bertujuan untuk pengampunan dosa arwah isteri Syam.

Terbukti, pengumuman tersebut menyebabkan Syam jadi marah. Dia merasa malu.

Pada hemat saya perkara itu, adalah masalah peribadi yang tidak wajar dihebahkan kepada umum, meskipun niatnya baik.

"Kurang ajar, kiai ini mahu memalukan aku," bentak Syam dan bersedia untuk melakukan sesuatu kepada Kiai Musroh.

"Jangan Syam," tahan datuk.

"Kenapa pakcik tahan saya, dia dah keterlaluan. Saya tak dapat terima perkara macam ni."

"Syam kawal perasaan kamu, memang inilah caranya untuk menolong dan menyelamatkan harta benda arwah isteri kamu."

"Ikut saja cakap Kiai tu, Syam. Niatnya baik, bukan mahu menjahanamkan kamu," Haji Basilam turut menenangkan keadaan.

Syukur pada Allah, Syam anggukkan kepala. Dia terima nasihat datuk dan Haji Basilam. Tiada seorang pun para jemaah di dalam masjid membangkang cadangan Kiai Musroh. Semuanya setuju.

Para jemaah pun meninggalkan masjid dengan wajah yang tenteram.

"Tunggu."

Datuk menoleh ke arah suara itu. Belum pun sempat datuk membuka mulut, ketua kampung segera menerkam ke arahnya. Serentak dengan itu juga Kiai Musroh menghampiri datuk.

"Jangan bagi budak itu balik, bermalam di rumah arwah isterinya. Aku yakin kamu boleh mengawalnya," bisik Haji Musroh.

"Berapa lama?" Tanya datuk.

Tiada jawapan dari Kiai Musroh, dia renung muka ketua kampung dan Pak Imam, seolah-oalah minta bantuan bagi mengatasi masalah sekecil ini.

"Begini saja," ketua kampung tepuk bahu Pak Imam.

"Kamu (pak imam) Kiai Musroh pergi ke rumah mereka, di sana boleh bercakap panjang, bercakap disini tidak berapa baik, ramai orang yang mendengarnya, malu pula si Syam," sambung ketua kampung sambil merenung muka datuk, Haji Basilam, Syam, Andi Kamarool dan saya.

"Satu cadangan yang baik," celah Syam tanpa rasa malu.

"Saya setuju dengan cadangan itu, banyak perkara yang mahu saya cakapkan," Kiai Musroh meluahkan rahsia hatinya.

"Kalau begitu, kita berpisah saja di sini. Biar saya balik dulu," ketua kampung minta diri.

"Silakan tuk ketua," bersama senyum ketua kampung bersuara.

Ketua kampung pun keluar dari kumpulan kami, melangkah pulang ke rumah ikut jalan pintas di rusuk kanan masjid. Kami pun turut bergerak meninggalkan halaman masjid.

Sepanjang jalan pulang, kami tidak banyak bercakap tetapi langkah kami tidak mengenal perkataan perlahan atau lambat.

Saya kira bila sampai di rumah, banyak perkara yang akan dilakukan oleh Kiai Musroh untuk menangani masalah diri Syam.

Setidak-tidaknya dia akan bercakap panjang dengan Syam di samping membaca doa mentera untuk menghalau makhluk halus yang diduga sudah bersatu dengan darah dan semangat Syam.

Apa yang saya andaikan tidak pula menjadi kenyataan. Kiai Musroh hanya memberikan beberapa potong ayat suci untuk dibaca oleh Syam semasa mahu tidur, ketika terkejut dari tidur (jaga malam) serta semasa mahu bangun tidur.

HUJUNG

"TOLONG tengokkan dia, tegur dan betulkan bacaannya yang salah."

"InsyaAllah, Pak Kiai," datuk anggukkan kepala.

"Saya nak tanya Pak Kiai" Haji Basilam bersuara.

"Silakan haji."

"Berapa lama si Syam tak boleh balik dan tidur di rumahnya?"

"Inilah yang mahu saya terangkan. Dia boleh balik ke rumah tetapi, mesti ditemani, tidak boleh balik seorang diri. Masa yang boleh dia balik ke rumah arwah isterinya pada sebelah pagi."

"Pukul berapa Pak Kiai," datuk ajukan pertanyaan.

"Antara pukul tujuh membawa ke pukul lapan pagi. Dia tidak boleh tidur di rumah sendirian, mesti berkawan. Larangan ini berjalan selama tujuh hari tujuh malam."

"Ertinya, selama pembacaan yassin diadakan?" Tingkah Pak Imam.

"lya," angguk Pak Kiai.

"Kalau dah macam itu peraturannya, apa gunanya saya balik ke rumah waktu pagi, tak dapat nak buat apa-apa. Buang masa saja," Syam memperlihatkan sikap panas barannya.

Kiai Musroh mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Syam. Dengan perlahan-lahan hujung jari kelingking Kiai Musroh mengaru hujung dagunya yang nampak berlekuk.

Perlahan-lahan dia mengangkat muka, hingga sepasang anak matanya bertemu dengan sepasang anak mata Syam. Saya lihat Syam agak tergamam dengan apa yang berlaku.

Kiai Musroh tetap tenang dan senyum. Anak matanya tetap terpaku ke wajah Syam.

"Begini Syam."

Kiai Musroh memperkemaskan silanya. Semua yang berada diruang rumah menumpukan perhatian ke arah Kiai Musroh. Berdebar, menanti ungkapan yang bakal diluahkan oleh si Kiai yang satu ini.

"Tujuannya untuk kamu melihat apakah ulat-ulat dan anai-anai itu bertambah atau kekurangan. Kalau kurang, ertinya usaha kita diberkati Allah, kalau bertambah atau tidak kurang, ertinya tidak diberkati dan kita terpaksa berikhtiar. Sebagai orang Islam, kita disuruh berusaha dan berikhtiar. Kita ditegah berputus asa," dalam nada suara yang lembut Kiai Musroh meluahkan penerangan.

"Hummmm. begitu," berkali-kali Syam anggukkan kepala.

"Kamu faham dan puas hati sekarang Syam membayangkan keyakinan yang tidak berbelah bagi. Semua yang berada dalam rumah menarik nafas lega mendengar pengakuan daripada Syam. Jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah semakin cerah.

DINGIN

SHAKA cengkerik di luar rumah, jelas kedengaran. Begitu juga deru angin yang menyentuh dedaun pokok. Dingin malam kian terasa mengigit kulit. Andi Kamarool panjangkan leher, melihat jam tua yang tergantung di dinding.

"Dah pukul dua belas," dia bersuara.

Saya mengangguk.

"Ada lagi perkara yang mesti dibuat," ujar Kiai Musroh yang berjanggut sejemput, bermata tajam dengan sepasang kening yang berbulu lebat. Biji mata datuk dan Haji Basilam terpaku ke wajahnya, begitu juga dengan Pak Imam.

"Apa dia yang lagi satu tu, Pak Kiai?" Syam bertanya.

"Satu perlima dari harta peninggalan si mati harus digunakan ke jalan Allah," jawab Kiai Musroh dengan wajah serius. Matanya tetap menyorot muka Syam yang tunduk merenung lantai.

Lebih dari tiga minit suasana dalam rumah terasa sepi sekali. Tiada sesiapa pun yang membuka mulut.

Kerana tiada sesiapa yang bertanya, Kiai Musroh menganggap kerjanya sudah selesai. Perlahan-lahan Kiai Musroh membuka sila dan terus bangun. Beberapa detik kemudian Pak Imam juga turut bangun.

"Maafkan saya, biar kami balik dulu. Pak Imam dah mengantuk nampaknya," sambil memicit-micit pergelangan tangan kanan Kiai Musroh bersuara.

Seluruh perhatian tertumpu kepada Pak Imam yang menggeliat semacam. Sungguh lucu serentak dengan itu berderai suara ketawa, menjadikan suasana dalam rumah agak meriah.

Akhirnya, semua yang duduk segera bangun, lalu mengiringi Pak Imam dan Kiai Musroh melangkah ke muka pintu. Dan berdiri di situ.

TAMAK

"SEMASA hayatnya, si mati terlalu tamak mengumpul harta hinggakan hak orang di rampas, kedekut pula tu. Tidak mahu membagi-bagikan hartanya walaupun sedikit untuk tujuan amal, menolong orang susah jauh sekali," tanpa diduga Kiai Musroh mengungkapkan kata-kata yang ditujukan untuk Haji Basilam dan datuk.

Dan untuk sekian kalinya, Haji Basilam dan datuk angguk kepala, macam belatuk mematuk batang pokok yang mati meragam.

Kiai Musroh dan Pak Imam pun melangkah bendul rumah. Akhirnya, mereka hilang daripada pandangan. Hilang ditelan kegelapan malam yang kian mengisut ke dinihari.

Saya diarahkan oleh datuk supaya tidur sebilik dengan Andi Kamarool dan Syam.

Sebilik dengan Andi Kamarool, tidak menjadi masalah, perkara begitu sudah biasa dilakukan. Tetapi, dengan Syam menimbulkan bermacam-macam persoalan dan prasangka yang bukan-bukan.

Apakan daya, arahan datuk tidak mampu dibantah. Sama ada suka atau tidak mesti diterima.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 199/284

BACA: SBDJ Siri 198: Terkapar Di Halaman Rumah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com