Tuesday, January 24, 2017

Gambar Majlis Resepsi Perkahwinan Awie Dan Sharifah Ladyana

Gambar Majlis Resepsi Perkahwinan Awie Dan Sharifah Ladyana

Penyanti Awie yang baharu sahaja bergelar Datuk, baru-baru ini mengadakan satu majlis resepsi perkahwinan bertempat di Tadom Hill Resorts, Banting bagi meraikan perkahwinannya dengan isteri, Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin.

Awie

Majlis yang berlangsung meriah itu turut dihadiri anak-anak Awie hasil perkahwinan terdahulu.

Anak Awie

Rakan artis juga tidak ketinggalan menyerikan majlis keraian tersebut dan antara yang hadir ialah aktor Beto Kusyairy, A. Galak dan pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam, selain ahli keluarga serta sahabat handai kedua-dua mempelai.

Awie

Awie dan Ladyana bernikah Oktober tahun lalu di Thailand dan ini merupakan perkahwinan ketiga buat penyanyi yang popular dengan lagu Ratuku ini.

BACA INI JUGA: Kisah Perceraian Dan Kontroversi Selebriti Malaysia 2016

Awie

Sumber: mynewshub

10 Manusia Paling Pintar Yang Pernah Hidup Di Dunia Selain Albert Einstein

10 Manusia Paling Pintar Yang Pernah Hidup Di Dunia Selain Albert Einstein

Konsep IQ pertama kali diketengahkan oleh seorang psikologis, William Stern, di dalam satu siri ujian yang diterbitkan pada 1912 bagi mengukur tahap genius dan kepintaran seseorang.

Albert Einstein

95% daripada mereka yang mengambil ujian kepintaran ini memperoleh skor antara 70 dan 130.

IQ genius Albert Einstein adalah 190 dan walaupun namanya dikaitkan dengan perkataan “genius”, ada ramai lagi sebenarnya individu yang memperoleh skor melebihi Einstein.

Mari kita lihat siapa 10 manusia paling pintar yang pernah hidup di dunia selain Albert Einstein dibawah.

Kim Ung-Yong
IQ Level: 210

Kim Ung-Yong

Pelajar jemputan di Universiti Hanyang pada usia 3 tahun. Meninggalkan NASA pada usia 16.

Christopher Langan
IQ Level: 195-210

Christopher Langan

Dikenali sebagai lelaki paling pintar di Amerika, dia memperoleh markah penuh di SAT, walaupun dia selalu tertidur semasa mengambil ujian.

Rick Rosner
IQ Level: 192

Rick Rosner

Seorang penulis TV dari US.

Garry Kasparov
IQ Level: 190

Garry Kasparov

Seorang pemain catur dari Russia dan pemain catur termuda pernah dinobatkan sebagai Juara Catur Sedunia pada usia 22 tahun. Telah dikalahkan oleh Judit Polgar (IQ Level- 170).

Sir Andrew Wiles
IQ Level: 170

Sir Andrew Wiles

Ahli Matematik yang telah memenangi anugerah ini telah menyelesaikan Fermat’s Last Theorem yang berusia 358 tahun.

Guinness Book of World Records telah merekodkan teorem itu sebagai “masalah matematik tersukar” di dunia.

Judit Polgar
IQ Level: 170

Judit Polgar

Menjadi juara Grandmaster termuda di dunia ketika berusia 15 tahun, dan masih memegang rekod itu. Dia telah menewaskan ranking nombor satu dunia Garry Kasparov di dalam satu perlawanan.

Paul Allen
IQ Level: 170

Paul Allen

Pengasas bersama Microsoft dan antara manusia terkaya di dunia.

Stephen Hawking
IQ Level: 160

Stephen Hawking

Dikenali ramai sebagai penulis popular, beliau juga adalah seorang psikologis dan kosmologist.

William James Sidis
IQ Level 250-300

William James Sidis

Dilahirkan di bandar New York pada satu April 1898, William mampu menyelesaikan masalah matematik dengan sangat baik dan menguasai pelbagai bahasa.

Rekod William mengambil ujian IQ telah hilang dalam lipatan sejarah, namun selepas kematiannya, kakak William mendedahkan skor IQ William adalah yang tertinggi pernah diperoleh, iaitu 250 ke 300.

Pada usia 6 tahun, beliau telah memasuki sekolah tatabahasa dan dalam 7 bulan telah berjaya tamat persekolahan.

Pada usia 11 tahun dia telah memasuki Harvard dan menguasai 40 bahasa.

Selepas graduasi, dia memberitahu wartawan yang dia inginkan kehidupan yang sempurna, yang pada beliau, kehidupan yang terasing.

Kemudian, dia telah menjadi pembantu guru matematik di Texas selepas dia telah diancam secara fizikal oleh sekumpulan pelajar dari Harvard.

Tidak lama selepas itu, dia telah berhenti kerja tersebut dan memulakan karier politik. Beliau telah ditahan ketika bersama dalam perarakan May Day oleh Parti Sosialis di Boston.

Terence Tao
IQ Level: 225-230

Terence Tao

Terence dilahirkan pada 17 Julai 1975 di Adelaide, Selatan Australia dan tinggal di Los Angeles.

Terence telah mengajar kanak-kanak berusia 5 tahun cara mengeja dan cara menambah angka ketika usianya 2 tahun!

Terence mempunyai kebolehan matematik yang luar biasa ketika usianya masih terlalu hijau dan memasuki Universiti untuk mengambil jurusan Matematik pada usia 9 tahun.

Terence adalah peserta termuda di acara Olimpik Matematik Antarabangsa, pada usia 10 tahun, memperoleh emas, perak dan gangsa. Dia kekal pemenang termuda dalam sejarah acara itu.

Pada usia 16 tahun, Terence telah memperoleh Ijazah dan Master dan pada usia 20 tahun memperoleh Phd.

Beliau adalah profesor termuda di UCLA.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Anak Boleh Diasuh Menjadi Seorang Genius?

Sumber: MRC

Monday, January 23, 2017

Apa Itu Money Game, Skim Ponzi Dan Skim Cepat Kaya?

Apa Itu Money Game, Skim Ponzi Dan Skim Cepat Kaya?

Money game, skim ponzi atau skim cepat kaya adalah kegiatan mengumpul dan menggandakan wang dalam bentuk pemberian bonus atau komisen.

Money Game

Bonus atau komisen itu datang dari penambahan atau pengrekrutan anggota, ahli baharu dan bukanlah dari penjualan produk atau servis.

Walaupun ada penjualan produk pada skim-skim money game tertentu, hal ini hanyalah sebagai helah manakala pendapatan utama ahli pada hakikatnya adalah dari kutipan yuran atau lesen ahli baharu.

Money game juga sering dikenali sebagai skim cepat kaya, skim piramid atau skim ganda wang.

Antara contoh dan ciri-ciri utama skim cepat kaya adalah:

1. Untuk menyertai, kita harus membayar yuran atau lesen yang agak mahal (lesen perniagaan adalah berbeza kerana dibayar kepada pihak ketiga seperti pihak berkuasa tempatan, kerajaan atau badan pengelola dan lesen ini juga murah dan tidak membebankan).

2. Setelah menyertai, kita ada hak untuk menjual sesuatu (mungkin berupa produk dagangan atau servis, tapi itu hanyalah helah).

3. Setelah menyertai, kita telah mendapat hak untuk merekrut orang yang akan bertindak sama seperti kita (mencari orang lain untuk direkrut dan begitulah seterusnya).

4. Pulangan dibayar kerana kita merekrut ramai orang, bukan kerana jualan produk atau servis kepada bukan ahli.

Penganjur money-game ini sentiasa kreatif dan cuba sedaya-upaya untuk menggambarkan money-game ini sebagai satu skim yang tidak menyalahi undang-undang, halal dan sebagai satu peluang keemasan yang tak patut dilepaskan begitu saja.

Format money-game

Money Game

Antara format dan ciri-ciri money-game yang biasa dianjurkan adalah “Anda beri duit untuk keahlian atau lesen, kemudian anda pulak suruh peserta-peserta lain memasukkan duit seperti anda (anda sebagai upline atau sponsor).

Anda pula akan suruh mereka ulang proses ini sampai level maksimum.

Anda dijamin duit akan dapat semula setelah peserta join bawah anda dan setelah itu anda akan kaya raya seperti upline anda.

Hindari Money-Game

Bagaimana untuk mengelakkan daripada terjebak dengan money game?

Bersikap kritikal dan waspada terhadap semua tawaran perniagaan atau pelaburan yang menjanjikan keuntungan-keuntungan tidak masuk akal.

Bukan senang nak kaya. Kalau ada orang kata, “nak kaya senang saja, labur saja duit pada skim saya nanti duit anda akan berganda” – lari jauh-jauh daripada orang seperti ini.

Fahami ciri-ciri money-game seperti tersenarai di atas untuk mengelakkan daripada terkeliru dengan helah dan kreativiti penganjur skim yang sentiasa mencari idea baharu.

Untuk memudahkan anda menapis dan menepis skim-skim ini, cuba tanya soalan-soalan ini sebelum terjebak:

1. Adakah produk (atau servis) sebenar yang dijual kepada orang ramai? Adakah produk ini sudah dikenali ramai, benar-benar berbaloi atau sekadar helah?

2. Adakah sumber pulangan yang diterima datang dari jualan barang (atau servis) atau pun sebenarnya daripada keahlian baharu?

3. Adakah pelaburan ini mempunyai sijil patuh syariah (iaitu sudah ada panel penasihat syariah rasmi bertauliah dan mengikut garis panduan JAKIM dan sudah mengeluarkan pernyataan rasmi patuh syariah)?

Perniagaan yang patuh syariah bermaksud sudah dipantau daripada terlibat dengan riba dan penipuan. Jadi perniagaan ini boleh disertai tanpa ragu-ragu.

4. Jika aktiviti merekrut dihentikan hari ini, adakah akan berlaku kesukaran untuk membayar pulangan kepada ahli seperti yang dijanjikan?

Antara skim-skim di Malaysia yang mempunyai unsur money game atau ponzi adalah;
  • DanaNiaga2u
  • OG1Asean
  • Krubal
  • Affiliate Junction
  • MGSB (iComey)
  • Phytoscience
  • MamaCaptain (MMC)
  • MFace
  • GMJ4U
  • Bookcoins
  • THWGlobal
  • T1Fx
  • Coince
  • i-Tijari
  • Bio Niaga Abu Nur
  • ABN Network (AviaBitCoin)
  • ARBA Network
  • FXUnited
  • VenusFX
  • Mymi1
  • Pok Din Empire
  • BitClub Network
  • Bitkingdom
  • Mon Space
  • Zenith Gold
  • YSLM
  • Highway Group
  • Wadiah Trading
  • GWGFX
  • Geneva Gold

Banyak lagi skim money game terbaru mahupun yang sudah lingkup dan tidak tersenarai di sini kerana mudah bercambah dengan kemajuan teknologi internet masa kini.

Ingat, sudah menyertai mana-mana money game tidak bermaksud ianya bukan money game tapi kerana anda sudah terlanjur menyertainya. Masih belum terlambat untuk berundur jika anda sudah terlanjur.

Elakkan dari terjerat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Ketahui Manipulasi Popular Bisnes MLM Dan Skim Cepat Kaya Elak Tertipu

Sumber: peraduan

Jangan Lakukan Ini Dalam WhatsApp Group Sekolah Anak!

Jangan Lakukan Ini Dalam WhatsApp Group Sekolah Anak!

Anda pening dengan group WhatsApp anak-anak? Misalnya anda ada 3 anak, semua ada group - pening!

WhatsApp

Apa-apa pun, di mana-mana pun, bila-bila masa pun, ibu bapa kenalah berakhlak dengan semua orang. Akhlak dijunjung, budi disanjung.

Ibu bapa dalam group tu bukan semua kita kenal. Jadi berbudilah dalam berbicara. Berhati-hatilah dalam tingkah laku dan kata-kata.

Ada beberapa perbuatan yang selalu dilakukan oleh ibu bapa yang sebenarnya 'kurang elok' dilakukan dan cubalah jangan buat 6 perkara ini dalam Whatsapp group sekolah anak anda.

1. Berniaga dalam group

Jangan iklankan perniagaan sendiri mahupun orang lain di dalam group. Itu group untuk makluman sekolah dan kelas sahaja.

2. Jangan beri arahan kepada cikgu dengan lagak seorang bos

Jangan beri arahan macam-macam kepada guru seperti:
"Tolong tengokkan anak saya"
"Tolong tengokkan dia bawa buku ke tak"

Dan lain-lain lagi yang ibu bapa boleh fikirkan sendiri

Hantarlah mesej personal jika anda perlukan pertolongan. Bukannya hantar mesej dalam group. Adakalanya menjengkelkan bagi orang lain.

3. Tunjukkan kematangan sebagai ibu bapa

Jangan menerjah group jika berlaku kes yang tidak diingini seperti kita menyangka ada kes buli dalam kelas. Kita pun tanya dalam group macam-macam.

Sila PM tepi, serahkan kepada guru untuk membuat siasatan, bukannya ambil tindakan sendiri.

4. Guru bukan penjaga mesej group

Jangan mengharapkan guru membalas atau respon pada mesej anda secepat mungkin. Guru juga ada banyak tugas yang perlu dibuat di sekolah. Nak layan 30-40 pelajar dalam satu kelas. Beri mereka masa.

5. Jangan overshadow guru

Guru belum jawab lagi tetapi dia dah jawab dulu. Sekali salah pula jawapan yang diberi.

Kalau nak tolong respon, biarlah dengan cara yang berhemah dan sopan, "Saya tolong jawabkan untuk cikgu ya.."

6. Ingat, ini group formal

Jangan buat group macam group jiran tetangga atau group mesyuarat tingkap jiran belakang. Ini group formal, tak semua ibu bapa di dalam group itu kita kenal.

Semoga memberi manfaat. Sekian.

BACA INI JUGA: 7 Sifat Riak Ibu Bapa di Laman Sosial

Sumber: thereporter

Senarai Lengkap Harga Barang Kawalan Tahun Baru Cina 2017

Senarai Lengkap Harga Barang Kawalan Tahun Baru Cina 2017

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 13 jenis barangan kawalan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 bagi membendung peniaga daripada menaikkan harga barangan itu melebihi harga siling ditetapkan.

Barang kawalan

Penjualan 13 jenis barangan di bawah skim kawalan harga berkenaan berkuat kuasa mulai 22 Januari hingga 3 Februari 2017.

Barangan kawalan berkenaan termasuklah ayam standard, ayam super, telur awam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kubis bulat import (Indonesia dan China), bawang putih (China), ikan bawal, udang putih besar daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

KPDNKK juga memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan menjelang Tahun Baharu Cina adalah mencukupi dan pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

Semua peniaga yang menjual barangan kawalan berkenaan diingatkan agar meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakannya daripada barangan bukan kawalan bagi memudahkan pengguna membuat pilihan dan pembelian.

Kompaun serta-merta boleh dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Senarai Barangan Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baru Cina 2017
  • Tarikh Perayaan: 28-29 Januari 2017
  • Tarikh Kuatkuasa: 23 Januari hingga 3 Februari 2017
  • Tempoh Kuatkuasa Bagi Perayaan: Selama 12 Hari (5 Hari Sebelum, 1 Hari Perayaan, 6 Hari Selepas)
Kawalan-CNY-2017
Kawalan-CNY-2017
Kawalan-CNY-2017
Kawalan-CNY-2017

BACA INI JUGA: Sejarah Dan Asal Usul Perayaan Tahun Baru Cina

Sumber: SH

Sunday, January 22, 2017

Khasiat Dan Kegunaan Garam Bukit Untuk Kesihatan Yang Ramai Tak Tahu

Khasiat Dan Kegunaan Garam Bukit Untuk Kesihatan Yang Ramai Tak Tahu

Garam bukit juga dikenali sebagai Garam Kristal Gunung Himalaya adalah garam yang berasal dari kawasan gunung Himalaya dan berada dalam bentuk asalnya, namun pasti masih ramai yang tak tahu apa itu garam bukit kan?

Garam Bukit

Garam bukit adalah garam organik yang paling berkhasiat, paling bersih dan mempunyai struktur geomatrik kristaline yang amat sempurna. Ia mengandungi semua unsur yang terdapat dalam tubuh manusia.

Berbeza dengan garam biasa

Garam Gunung Himalaya berbeza daripada garam halus biasa yang diproses yang mana kandungan sodiumnya adalah sodium pasif yang menyebabkan tekanan darah naik.

Garam memudaratkan apabila proses “pembersihan” turut menyahkan unsur potassium, kalsium, magnesium dan besi yang perlu bekerjasama dengan sodium.

Namun, garam merupakan satu rahmat daripada Allah SWT yang boleh dinikmati dan tidak semestinya ditakuti kemudaratannya.

Kebaikan garam bukit

Kalau anda perasan, ada ketenangan, nyaman, selesa bila ditempat-tempat seperti hutan, bukit-bukau, kawasan pergunungan, air terjun, tepi pantai atau pun selepas hujan lebat.

Ini kerana di tempat tersebut dan juga selepas hujan lebat, kandungan ion negative adalah lebih tinggi pada ketika itu yang menghasilkan elektrikal balance atau dipanggil ionic balance.

Garam bukit menambah kualiti segala sesuatu yang dicampur dengannya

Garam bukit berfungsi sebagai pemangkin dalam tindak balas kimia, oleh itu garam bukit sangat diperlukan dalam proses penghadaman dan pencernaan makanan, mengurangkan masalah angin dan gastrik.

Ia sangat cekap melancarkan pengaliran darah, merangsang kalenjar untuk merembes hormon, asid amino, mineral dan vitamin oleh organ tubuh.

Ia kaya dengan iodin dan mampu mengimbangi kalsium dalam tubuh iaitu mineral yang penting untuk mencegah osteoporosis.

Kebaikan lain garam bukit

Garam bukit juga dipercayai mengandungi banyak lagi khasiat, antaranya;
  • Meneutral dan meningkatkan kualiti udara
  • Mengurangkan pencemaran udara
  • Mempercepatkan tahap pemulihan pesakit asma
  • Mempercepatkan proses penyembuhan luka akibat terbakar
  • Memberikan kesan positif keatas tindakan kita terhadap perangsang deria
  • Mengurangkan sebahagian besar bakteria yang terkandung di dalam udara rumah
  • Digunakan sebagai bahan terapi penyinaran untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh
  • Melegakan resdung, migrain, pening kepala, demam panas dan serangan selsema
  • Meningkatkan tahap produktiviti kerja/kosentrasi
  • Meningkatkan kapasiti denyutan jantung
  • Mengurangkan perasaan cemas/bedebar-debar
  • Mempengaruhi tahap serotomin dalam aliran darah

Apa Itu Ion Positif Dan Ion Negatif?

Garam Bukit
Garam Bukit Himalaya.

Garam bukit dipercayai mampu melepaskan ion-ion yang baik untuk tubuh manusia dan juga tumbuhan sekelilingnya.

Secara amnya, ion negatif adalah molekul oksigen yang dicajkan secara elektronik manakala ion positif dalam udara adalah molekul yang telah kehilangan elektronnya melalui proses pencemaran udara.

Dr Albert P. Krueger, seorang ahli mikrobiologi dan ahli patologi ujikaji di Universiti California, mendapati bahawa kuantiti Ion Negatif yang kecil boleh membunuh dan menyingkir bakteria dalam udara dengan cepat.

Dengan itu, Ion Negatif dapat mengurangkan kemungkinan jangkitan kepada seseorang. Kajian saintifik menunjukkan Lampu Garam Bukit boleh meningkatkan Ion Negatif (vitamin udara) sehingga 300 atau 3 kali ganda.

Kajian saintifik Institut penyelidikan Bio-Fizikal Jerman mendapati pelepasan haba daripada batu garam kristal mampu memulihkan kualiti udara.

Garam bersifat semulajadi (neutral) kerana permukaan garam akan menyerap lembangan dari udara.

Apabila dipanaskan, garam bukit akan melepaskan semula zarah-zarah ion negatif ke udara.

Ion-ion negatif ini mampu membunuh bakteria dan membersihkan udara walaupun dalam kuantiti yang kecil.

Produk Garam Bukit

Mandian

Anugerah istimewa ini juga boleh dijadikan air mandian. Ia dipercayai dapat menaikkan seri wajah dan membunuh bakteria.

Rendaman Kaki

Garam Bukit boleh dijadikan air rendaman kaki. Ia dapat melancarkan perjalanan darah dan membuang toksin. Dalam masa yang sama, amalan ini dapat meredakan tekanan. Rendaman garam bukit boleh dilakukan antara 15 hingga 30 minit.

Sabun

Sabun Garam Bukit digunakan di spa untuk membersih dan membantu merawat pelbagai masalah kulit seperti jerawat dan alahan.

Produk garam bukit ini juga boleh digunakan secara rutin oleh pelanggan di rumah kerana ia mudah didapati di pasaran.

Skrub

Skrub Garam Bukit dikatakan dapat membuang sel kulit mati dan menghaluskan kulit.

Lampu Garam

Khasiat garam bukit untuk memberi ketenangan dan sebagai terapi, lampu garam diletakkan di rumah terutama bilik tidur. Energy yang terdapat pada garam ini akan menwujudkan persekitaran yang positif.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 11 Rahsia Khasiat Garam Sebagai Penawar Kepada Penyakit

Sumber: zikrihusaini

Asal Usul Dan Adat Pemberian Ang Pau

Asal Usul Dan Adat Pemberian Ang Pau

Angpau, juga sering disebut ang pau, angpao atau ang pow, adalah sampul merah atau paket merah sebagai hadiah berbentuk wang yang ditukarkan ketika musim perayaan atau peristiwa khas dalam masyarakat Cina.

ang pau

Angpau sering diberikan pada majlis sosial dan keluarga seperti jamuan perkahwinan Cina atau ketika perayaan seperti Tahun Baru Cina.

Salah satu konteksnya adalah bahawa angpau dikenali sebagai yāsuì qián (Cina Tradisional: 壓歲錢, Cina Ringkas: 压岁钱) yang bererti "duit ditekan" atau "duit menahan umur".

Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Jumlah wang yang terkandung dalamnya lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian (Bahasa Cina: 帛金; pinyin: bó jīn; secara harfiah "wang sutera").

Jumlah wang yang diberi pada majlis perkahwinan biasanya adalah untuk melitupi perbelanjaan hadirin serta membantu pasangan pengantin baru.

Pada perayaan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia.

Asal-usul Ang pau

Tiada sumber bertulis jelas yang menyatakan tarikh angpau julung kali digunakan. Ketika zaman Dinasti Qing, para warga tua menguntai syiling dengan benang merah. Benda ini dipanggil yāsuì qián dan dipercayai melindungi orang tua daripada keuzuran dan kematian.

Tradisi ini berubah menjadi sampul merah moden setelah mesin percetakan semakin laris di China setelah penubuhan Republik China pada tahun 1911.

Adat-adat lain berkaitan Ang pau

Dalam budaya-budaya Asia lain juga wujudnya adat-adat lain. Di Vietnam, angpau digelar lì xì, serupa dengan sebutan Kantonis laisee.

Di Jepun, sejenis hadiah wang dipanggil otoshidama diberikan kepada kanak-kanak oleh saudara-mara ketika sambutan Tahun Baru.

Namun, sampul putih digunakan di Jepun dan Korea, dengan nama penerimanya ditulis pada muka hadapan.

Di Thailand, orang Cina Thai menggunakan sampul merah bergelar Ang Pow atau Tae Ea.

Di Myanmar (Burma), orang Cina Burma menggunakan sampul yang dikenali sebagai "an-pao".

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Perbezaan Sambutan Tahun Baru Cina Di China Dan Malaysia

Sumber: wikipedia

Jangan Biarkan Isteri Stress Walaupun Sedikit Selepas Bersalin!

Jangan Biarkan Isteri Stress Walaupun Sedikit Selepas Bersalin!

Kalaulah anda tahu bahawa betapa bahayanya penyakit 'gila meroyan' ataupun dengan nama lain 'angin beranak', pasti anda tidak akan membiarkan seorang isteri atau ibu yang baru melahirkan anak menghadapi perasaannya seorang diri.

Gila+Meroyan
Gambar hiasan.

Seorang ibu sanggup menikam anaknya sendiri bertubi-tubi sebanyak 28 tikaman dan salah satu tikaman itu menyebabkan usus anaknya terburai keluar! Ngeri? Tapi apa puncanya dan kenapa suami wajib tahu?

Dalam dunia perubatan, perkara ini sebenarnya memang wujud. Penyakit ini dinamakan Pospartum Psychosis. Kita biasa menyebutnya, 'meroyan'.

Dalam dunia perubatan ada tiga peringkat penyakit yang kita biasa sebut meroyan ini.

1. Baby Blues

Baby blues adalah level meroyan paling rendah dan biasanya berlaku dua tiga hari selepas bersalin, namun boleh berlanjutan sehingga dua minggu lamanya.

Perkara ini agak biasa bagi ibu yang baru bersalin buat kali pertama.

Dengan jadual waktu tidur ibu yang entah ke mana dan ditambah lagi dengan suami yang tak reti nak membantu, memanglah seorang ibu itu mudah menjadi stress.

Suami yang nampak tahi hijau baby pun dah nak termuntah, memang membuatkan seorang ibu bertambah stress.

Tanda-tanda ibu terkena baby blues adalah:
  • Mood swing
  • Mudah cemas
  • Selalu menangis
  • Kurang selera makan
  • Susah tidur

2. Pospartum Depression

Ini adalah level meroyan pertengahan. Penyakit ini seperti baby blues juga tetapi simptomnya lebih teruk dan lebih lama.

Biasanya boleh berlaku sehingga enam bulan selepas bersalin. Ibu yang terkena Pospartum Depression biasanya nak jaga baby dia sendiri pun tak berapa nak mampu.

Antara tanda-tandanya:
  • Mood swing yang teruk dan menangis yang melampau-lampau
  • Susah nak bonding dengan baby. Kadang-kadang ada rasa benci pada baby sendiri
  • Rasa tiada tenaga dan tak boleh tidur
  • Rasa nak hempas ataupun cederakan baby
  • Rasa diri tak berguna

3. Pospartum Psychosis

Ini adalah level meroyan yang paling dahsyat. Biasanya yang terkena penyakit ini akan berhalusinasi.

Kalau isteri yang dalam pantang mula merepek dan bercakap yang bukan-bukan atau dia cakap dia nampak benda yang bukan-bukan, sila berhati-hati.

Kesabaran Tinggi Suami Diperlukan

Pretty

Seperti kes Pretty yang sanggup membunuh anaknya sendiri bila disoal siasat, boleh pula dia cakap cuma mahu membunuh perompak sahaja.

Ibu yang terkena penyakit Pospartum Psychosis ini tidak boleh menjaga anaknya sendiri sebab masa itu fikirannya sudah tidak rasional.

Sebab itu suami yang ada isteri baru lepas bersalin, sila jaga fizikal dan mental isteri baik-baik. Jangan bagi isteri stress walaupun sedikit.

Jangan bagi isteri fikir kain di jemuran sudah angkat ke belum. Jangan bagi isteri fikir pinggan di dapur sudah cuci ke belum.

Biarlah isteri kita fokus pada baby yang baru lahir saja. Biarlah dia menyusu dengan penuh tenang dan tenteram.

Isteri kita baru saja mengalami kesakitan fizikal yang sangat dahsyat semasa melahirkan zuriat kita.

Janganlah kita menambahkan lagi kesakitan pada jiwanya pula, lebih-lebih lagi ketika isteri dalam tempoh berpantang.

Jom bantu isteri kita!

BACA INI JUGA: Punca Dan Rawatan 'Angin Beranak' Selepas Bersalin

Sumber: thereporter

30 Kesukaran Dan Cabaran Bakal Anda Lalui Apabila Travel Di India

30 Kesukaran Dan Cabaran Bakal Anda Lalui Apabila Travel Di India

India adalah sebuah negara yang sangat cantik dan indah dengan pelbagai pertembungan budaya dan permandangan yang menakjubkan.

Taj Mahal

Dan kepada sesiapa yang hendak datang kat India, adakah anda bersedia untuk mengalami sendiri cabaran kat india?

Bagi yang sudah biasa mengunjungi negara-negara maju, India merupakan destinasi pertama bagi mereka untuk mengembara, mungkin pengalaman anda akan berbeza bila pertama kali menjejakkan kaki di sini.

Dibawah ini adalah 30 kesukaran dan cabaran yang bakal dihadapi oleh travellers di India terutamanya di wilayah utara India.

1. Keselamatan

Isu keselamatan sangatlah penting bila berada di India atau di mana-mana kita berada. India bukanlah negara yang sangat berbahaya sepanjang masa tapi perlulah kita berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling.

Di India sendiri, kebanyakan wanita di sana tidak bergerak secara sendiri terutama di kawasan terpencil. Bagi mereka di sana, ia umpama memberi lampu hijau kepada lelaki untuk mengganggu wanita-wanita ni jika berseorangan.

Tetapi ini bukan bermakna solo traveller untuk wanita tidak boleh di India tetapi anda perlu lah bijak ketika berada di sana. Be a smart girl.

2. Tidak digalakkan bergerak sendiri terutama waktu malam

Jangan kedekut untuk sewa teksi, menempah kereta (saya di sana menggunakan aplikasi OlaCabs yang sangat membantu) atau naik auto rickshaw ke tempat destinasi pilihan. Cuba pergi ke tempat di mana ramai pelancong asing lain untuk lebih selesa dan selamat.

3. Abaikan segala usikan atau segala yang datang mengacau

Kalau boleh jangan pandang muka kepada mereka. Angguk kepala dan terus beredar. Jangan senyum atau bagi peluang orang mendekati anda.

Ye nampak sangat sombong. Tapi itulah yang akan menyelamatkan diri dari kena tipu atau sebarang perkara yang tidak di ingini.

4. Anda akan menjadi tarikan pada semua orang

Terutamanya yang gebu-gebu dari Malaysia. Orang sekeliling akan pandang terutama lelaki tenung perempuan macam nak makan.

Yang lain ada yang minta bergambar, ada yang berani cuba pegang dan ada yang hanya cuba untuk bercakap dengan anda.

Sekiranya ada kejadian seperti ini, just cool, abaikan tenungan mereka dan kalau tak selesa bergeraklah segera. Itu sahaja perkara yang selamat untuk anda walaupun nampak sangat biadap.

5. Enjoy dan terimalah hakikat bahawa adalah selebriti di sana

Kebanyakan mereka hanya sekadar cuba untuk berkawan, bersalaman dan ada yang nak bergambar dengan anda. Apa-apa pun berwaspadalah. Jangan nak bangga sangat jadi selebriti segera.

6. Sekiranya ada yang bertindak aggressive dengan anda, jangan pandang dan beredarlah dengan segera

Jangan buat pasal dengan negara mereka. Mereka tu ramai. Kadang-kadang mereka itu sengaja nak tengok reaksi kita dan bila kita beredar, mereka tertawa.

7. Tandas

Tandas perkara yang sangat mustahak kalau nak pergi ke mana-mana. India terkenal dengan tandas terbuka di mana lelaki boleh kencing kat tempat tandas terbuka di tepi jalan yang disediakan.

Tetapi masih ramai rakyat yang suka kencing dan berak merata-rata. Pengalaman melihat orang berak berjemaah di rail keretapi sangat la menakjubkan.

Lebih 30 ke 40 orang berjemaah, beratur dan mencangkung ditengah-tengah rail kereta api sambil membuang hasil.

Bagi pelancong untuk mendapatkan tandas yang selesa untuk membuang hajat sangatlah sukar. Paling selesa tandas restoran berhawa dingin atau pun kawasan-kawasan elit berkasta tinggi

8. Tisu basah/wet tissue

Jangan lupa bawa wet tissue atau toilet tissue ke mana-mana ketika berjalan. Kebanyakan tandas tidak menyediakan tisu dan alasan lainnya boleh la gunakan tisu untuk tutup hidung semasa melabur.

9. Bawa pakaian yang sesuai

Beberapa kawasan di India sangat panas. Oleh itu pemakaian yang sesuai perlu diambil perhatian. Baju yang longgar, nipis dan dry fit sangatlah sesuai.

Tapi jangan la pakai yang kelihatan mewah sampai menarik perhatian orang tempatan untuk tengok.

10. Kalau boleh pakai la ala-ala rakyat tempatan

Boleh menyamar dan rasa sangat selamat. Tak perlu pakai kurta dan sari sepanjang masa. Tapi kena la bersesuaian dengan persekitaran.

11. Scammer atau penipuan memang terkenal di India

Walau berhati-hati macam mana pun, kalau silap pencaturan memang akan terjerat dengan kata-kata manis mereka. Tetapkan tujuan anda dan jangan percaya dengan kata-kata manis mereka.

12. Berbagai jenis manusia

Rajpath

Sekiranya mereka melihat kita sebagai pelancong, berbagai manusia akan datang terutama ejen pelancongan.

Mereka dengan tiba-tiba dari jauh dan akan bertindak sangat baik dan memberi pelbagai tips untuk anda enjoy di India.

But please beware. Itu adalah taktik mereka untuk menjerat. Jangan layan, jangan bersuara atau jangan pandang mereka dan cepatkanlah langkah anda untuk beredar.

13. Tawar menawar sewaktu membeli belah

India terkenal dengan syurga membeli belah sari dan barang kraft unik. Kenalah pandai tawar menawar. Kalau ada dalam kumpulan anda kaki shopping yang pandai tawar menawar, you are lucky one.

Jangan terima tawaran untuk kali pertama. Go with the half first then pandai-pandailah tawar dan minta kurangkan harga dari situ.

Kalau mereka memang tak nak turunkan harga, cuba ugut pergi kedai lain. For sure harga yang anda hendak akan dapat.

14. Kemiskinan di India sangat teruk

Jurang kemiskinan sangat jauh jika dibandingkan dengan orang yang berduit di India.

Dari melihat anak kecil merayu mintak duit untuk makan, orang buta dan kudung meminta sedekah, si ibu terbaring tepi jalan menidurkan anak hinggalah KEPADA golongan India yang memakai handbang LV, lepak minum kat starbucks dan hardrock cafe, membeli belah kat mall ala-ala Starhill Gallery kat Bukit Bintang tu dan membawa kereta Lambo dan Ferrari dan parking depan mall.

15. Elakkan daripada menderma wang

Rakyat Malaysia memang sangat prihatin. Naluri kita untuk membantu bila melihat orang kesusahan tu memang ada dalam diri.

Tapi ingat, kebanyakan orang di India mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak dan wanita untuk meminta sedekah dan meraih simpati.

Wang yang diberi kepada mereka belum tentu untuk kegunaan mereka sendiri. Ia mungkin menyumbang terhadap organizasi jenayah sama seperti dalam filem slumdog millionaire.

16. Jika nak derma juga, berikan makanan

Sekiranya anda sangat bermurah hati untuk membantu golongan miskin di India, lebih elok anda bagi makanan je golongan ni. Tetapi kebanyakan mereka tak terima makanan. Pernah saya bagi Rs50 tetapi ada yang meminta lebih.

17. NGO di India

Sebenarnya di India banyak badan-badan kebajikan yang membantu golongan miskin di India. Kalau anda mempunyai kesempatan masa, boleh la join mereka.

18. Kesesakan jalan raya

India mempunyai populasi ke 2 tertinggi selepas China. Kepadatan penduduk di bandar-bandar besar menyumbang pelbagai masalah. Jalan raya sangat sesak dengan kereta, teksi, beca dan orang berjalan.

Peraturan lampu isyarat macam tak berfungsi dan kebanyakan pemandu di India sangatlah tidak beretika.

Kalau anda rasa kesesakan di Bukit Bintang sudah sangat teruk di Malaysia, di Delhi itu adalah perkara biasa dan di mana-mana keadaan sama sahaja dan kadang kala lebih teruk.

19. Kesesakan di stesen keretapi

Train

Bukan sahaja di jalan raya, di stesen keretapi kesesakan sangat jelas. Orang ramai tidur beramai-ramai di platform kereta api dn berpusu-pusu untuk naik kereta api.

Tipsnya ‘go with the flow’ dan jangan menentang arus. Tarik nafas dan turut serta untuk masuk ke sesuatu terutama di dalam kereta api.

20. Jangan berikan giliran beratur anda

Sekiranya anda beratur untuk membeli atau mendapatkan sesuatu, jangan sesekali bermurah hati bagi giliran anda. Di sini tiada unsur belas kasihan.

Anda akan jumpa beberapa orang yang akan memotong barisan. Bukan seorang tetapi ramai dan inilah budaya mereka. Ini tempat mereka dan tak perlu nak marah sebab mentaliti mereka dah macam tu.

21. Bunyi bising

India sangat bising dengan bunyi kenderaan dan hon kenderaan. Budaya memandu mereka adalah sebelah tangan pegang steering sebelah lagi tekan hon. Bunyi ini berpanjangan sampai lewat malam.

Sekiranya anda inginkan keamanan ketika tidur, jangan menginap di lokasi yang padat seperti area main bazaar pahargaj berdekatan New Delhi Railway station. Bagi kami lokasi ini sangat strategik sebab stesen dekat dan hotel murah dan berkualiti di sini.

22. Masalah kebersihan

Kebersihan sangat mengecewakan di India. Semua benda yang boleh di pegang seperti tombol pintu, suis lampu, dinding atau apa-apa pun sangat meragukan. Belum lagi lantai.

Buat pengetahuan, di India mereka tak buka kasut walaupun di dalam bilik hotel. Jadi jangan la yakin lantai yang dipijak tu bebas daripada ‘unsur-unsur’ yang tidak bersih.

23. Sangat berdebu

India sangat berdebu dan berjerebu. Kita tak tau apa yang da bercampur dengan debu tu. So berwaspada dengan apa yang kita hidu, bau dan pegang.

24. Sentiasa membawa tisu basah

Gunalah wet tissue atau sanitizer sebelum nak pegang apa-apa atau letak apa-apa. kebanyakan restoran menyediakan sabun untuk cuci, tetapi ada yang takda. Standby je.

25. Jangan lupa bawa pemotong kuku bila travel ke India

Anda akan melihat kehitaman kuku anda umpama orang kerja bengkel kereta. Basuh la tangan beribu kali sebelum dan selepas makan. Alhamdulillah selama kami di India, perut kami tak pernah buat hal.

26. Bukan semua air mineral kat India dipercayai bersih

Jenama yang kami percaya adalah Bisleri dan aquafina.

27. Kekotoran di India adalah perkara biasa

Sampah, najis manusia, air kencing, najis haiwan, longkang bocor adalah pemandangan biasa di India terutama di Bandar New Delhi.

28. Buang sampah merata-rata adalah perkara biasa bagi mereka di sini

Tak kira la golongan cerdik pandai atau pun golongan bawahan. Pengalaman kami melihat pasangan (nampak macam terpelajar) membuang tray makanan keluar tingkap kereta api sangat tak disangka. No wonder la India sangat kotor. Mentaliti masyarakat mereka memang sukar diubah.

29. Sediakan minda anda sebelum datang ke India

India sangat padat dengan penduduk dan anda perlu menerima pemandangan sampah dan najis berada di mana-mana.

Walaupun bandar yang paling bersih kami kunjungi seperti Chandigarh dan Shimla (bandar yang bersih berbanding bandar lain) tetapi masih lagi tidak mencapai tahap bersih seperti di Kuala Lumpur.

30. Bawalah amalan baik dari Malaysia, simpan dan kumpul sampah anda dan buang di tong sampah

Shimla

Jangan menyumbang kepada kekotoran negara itu lagi, mungkin ada orang di sana terlihat dan boleh mengikut amalan tersebut.

Walaupun India bukan destinasi utama golongan traveller dan backpackers, tetapi India sangat unik dan sangat menakjubkan. Pelbagai pengalaman boleh dirasai dan setiap hari banyak dugaan baru boleh dialami.

India adalah destinasi paling “win” bagi saya dan rakan-rakan dan banyak lagi tempat yang bakal kami diterokai di India. Jangan stress and enjoy your journey.

BACA INI JUGA: Google Destinations Dilancar Sebagai Panduan Percutian Anda!

Sumber: thevocket

Saturday, January 21, 2017

20 Kelab Bola Sepak Paling Kaya Di Dunia 2016

20 Kelab Bola Sepak Paling Kaya Di Dunia 2016

Juara 20 kali Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, memperoleh pendapatan sebanyak 689 juta Euro (RM3.2 bilion) hasil daripada hak komersial yang meningkat kepada 100 juta Euro (RM4.7 juta) pada sesi 2015/2016.

Richest clubs

Manchester United menikmati perolehan pendapatan tertinggi oleh sesebuah kelab bola sepak apabila penjanaan pendapatan melonjakkan mereka dalam senarai teratas kelab bola sepak terkaya di dunia yang dikeluarkan oleh 'Deloitte Football Money League' sejak Real Madrid menguasai carta itu pada 2004.

Real Madrid tergelincir di tangga ketiga di belakang Barcelona yang kekal di tangga kedua dan kesemua tiga kelab terbesar itu melepasi pendapatan 600 juta Euro, musim 2015/2016.

Manchester City mendaki ke tangga kelima buat julung kalinya untuk berada di belakang Bayern Munich manakala Leicester City memasuki kelompok 20 pasukan terbaik buat kali pertama berikutan kejayaan meraih trofi EPL dan layak ke saingan Liga Juara-Juara.

Sebanyak 20 pasukan bola sepak dengan pendapatan tertinggi dunia itu menghasilkan pendapatan sebanyak 7.4 bilion Euro pada 2015/16, peningkatan sebanyak 12 peratus daripada musim sebelumnya.

Lapan kelab EPL yang berada dalam kelompok 20 pasukan teratas menjana separuh daripada perolehan itu (3.2 bilion Euro).

Rakan kerjasama Sports Business Group di Deloitte, Dan Jones, berkata, "Manchester United perlu menunggu sehingga 11 tahun untuk kembali di posisi mereka sebagai peneraju penjanaan pendapatan kelab dan perkembangan komersial telah membantu mereka meraih pencapaian ini.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemampuan mereka dalam memastikan kerjasama komersial sebagai faktor penting untuk mereka kembali meraih kedudukan puncak 'Money League'.

"Mereka akan berdepan cabaran sengit daripada Barcelona dan Real Madrid untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam edisi tahun depan, susulan daripada ketiadaan aksi dalam Liga Juara-Juara, kelemahan nilai mata wang Pound berbanding mata wang Euro selain dalam jangka masa panjang, kelab-kelab lain akan merujuk kepada perjanjian pasaran komersial mereka."

Pengurus kanan Deloitte, Tim Bridge, percaya kedudukan terbaru itu mencerminkan kekuatan kewangan pasukan EPL, namun kedudukan Leicester yang melonjak ke tangga ke-20 membuktikan nilai kejayaan sesebuah pasukan.

"Money League terus menunjukkan kewangan EPL yang kukuh," katanya.

"Leicester City membuktikan kejayaan di atas padang akan memberikan mana-mana pasukan EPL untuk berada dalam kelompok 20 teratas.

"Dengan Leicester sudah pun layak ke pusingan ke-16 dalam saingan Liga Juara-Juara musim 2016/2017, kami menjangkakan mereka akan mengekalkan posisi mereka di kelompok 20 pasukan teratas dan berpotensi untuk terus mendaki beberapa anak tangga lagi."

Senarai 20 Kelab Terkaya Di Dunia Bagi Sesi 2015/2016

1. Manchester United
  • pendapatan: €689 juta euro

2. Barcelona
  • pendapatan: €620.2 juta euro

3. Real Madrid
  • pendapatan: €620.1 juta euro

4. Bayern Munich
  • pendapatan: €592 juta euro

5. Manchester City
  • pendapatan: €524.9 juta euro

6. Paris Saint-Germain
  • pendapatan: €520.9 juta euro

7. Arsenal
  • pendapatan: €468.5 juta euro

8. Chelsea
  • pendapatan: €447.4 juta euro

9. Liverpool
  • pendapatan: €403.8 juta euro

10. Juventus
  • pendapatan: €341.1 juta euro

11. Borussia Dortmund
  • pendapatan: €283.9 juta euro

12. Tottenham
  • pendapatan: €279.7 juta euro

13. Atletico Madrid
  • pendapatan: €228.6 juta euro

14. Schalke 04
  • pendapatan: €224.5 juta euro

15. AS Roma
  • pendapatan: €218.2 juta euro

16. AC Milan
  • pendapatan: €214.7 juta euro

17. Zenit St Petersburg
  • pendapatan: €196.5 juta euro

18. West Ham
  • pendapatan: €192.3 juta euro

19. Inter Milan
  • pendapatan: €179.2 juta euro

20. Leicester City
  • pendapatan: €172.1 juta euro

BACA INI JUGA: Faiz Subri Muncul Pemain Pertama Asia Menang Anugerah Puskas Fifa

Sumber: AA