Tuesday, July 26, 2016

Perompak Berkebajikan Tetap Perompak!

Perompak Berkebajikan Tetap Perompak!

A bayar ke B, B pula bayar ke C, C bayar ke D, dan D ialah kawan-kawan karib yang ada hubungan dengan pengurus besar A.

Perompak 1MDB

A dengan mudahnya menegaskan tiada salah laku dan tiada duit yang hilang. Bagi A, urusannya hanya dengan B, tak kisahlah sama ada B ini syarikat kosong ataupun tidak.

Pendek kata, apa yang B buat dengan duit A, bukan masalah A, walaupun duit yang dibayar ke B akhirnya pulang ke mereka yang rapat dengan pengurus besar A melalui C dan D.

Akhirnya yang berhutang hanyalah A. Pihak B, C dan D menikmati gaya hidup termewah di dunia.

Meskipun demikian, masih ada yang memuji bahawa syarikat A banyak membuat kebajikan. Namun, perompak berkebajikan tetap perompak.

Tidak perlu saya menamakan siapa syarikat A, sebagaimana "Malaysian Official 1”.

Apa yang berlaku hari ini?

Kegagalan agensi-agensinegara, ditambah dengan kongkongan kuasa politik yang menyebabkan ada sebilangan mereka yang terlibat dengan penyiasatan diberhentikan, telah membuat rakyat terasa negara tidak berupaya membongkar kes 1MDB.

Akibatnya, apabila ada negara lain yang sudi membongkar isu 1MDB, seperti Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan juga negara-negara lain, rakyat terus mempercayai apa yang didedahkan penyiasatan mereka.

Jangan salahkan rakyat. Rakyat tiada pilihan kerana alasan-alasan yang bukan sahaja kurang logik malah tidak konsisten yang diberikan pihak berkuasa selama ini bercanggah dengan akal mereka.

AS mahu menjaga negaranya daripada dijadikan tempat mencuci wang haram, atau wang rompakan daripada negara lain.

Mereka yang dinamakan perlu menjawab di mana datangnya sumber kewangan mereka, apakah sumber itu halal dan telah dicukai?

Sekiranya jawapan ialah hadiah, maka siasatan akan dilakukan kepada si pemberi hadiah, di mana soalan yang sama akan ditanya, di mana datangnya sumber hadiah tersebut?

Semua ini akan disiasat berterusan sehingga lubuk, kerana masing-masing akan mencari jalan untuk menyelamatkan diri sendiri.

Sebagai contoh, bayangkan kalau tuduhan bahawa duit 1MDB disonglap sebagai modal perjudian beberapa individu terbukti betul?

Bukankah ini satu penghinaan sedangkan ramai rakyat yang sedang bergelut membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN)?

Namun begitu, ada yang was-was dengan siasatan DOJ, kerana sejarah dan sikap AS yang suka mencampuri urusan negara lain yang bermasalah dalaman. Apakah rasional pandangan ini terhadap isu 1MDB?

Walaupun begitu, jangan ada pihak yang mencemuh pihak yang was-was ini. Kebimbangan mereka terhadap sikap suka campur tangan kuasa asing khasnya AS ke atas negara umat Islam ada asasnya perlu diberi perhatian.

Kerana sejarah membuktikan permasalahan dalaman negara, penindasan dan kezaliman akan membuka ruang campur tangan asing.

Kerajaan yang bertindak zalim menyebabkan rakyat mula terasa ingin memberontak secara dalaman. Akan tetapi, dengan sistem demokrasi yang ditempangkan untuk menjaga kekuasaan kerajaan yang zalim, rakyat terasa tertekan dan hilang harapan untuk menukar kerajaan.

Ketika itu, kuasa asing akan mengambil kesempatan kerana sebarang bantuan yang datang akan disambut rakyat, termasuklah bantuan daripada pihak asing.

Presiden PAS di rumah hari tRaya terbuka PAS di Kedah menyebut bahawa:

"1MDB ini satu kes yang perlu disiasat dan tidak boleh dibiarkan. Jangan dedah ruang kepada pihak asing untuk campur tangan.

"Kalau pihak asing campur tangan, itu silap kita sendiri. Apa yang penting kes ini perlu disiasat dengan adil dan telus oleh kita sendiri, jangan biar sampai orang boleh campur hal kita. Itu bukan kerja PAS, itu kesilapan pihak berkenaan..."

Teguran beliau mudah. Beliau mendesak agar mereka yang berkuasa hari ini mengambil tindakan sewajarnya menyiasat 1MDB dengan sendiri supaya pihak asing tiada ruang untuk campur tangan.

Kalau pihak asing dapat campur tangan kerana kegagalan pihak berkuasa bertindak, dosa di tangan mereka yang berkuasa.

Penegasan presiden PAS dan beberapa pihak yang lain adalah peringatan penting bahawa sebarang campur tangan asing mesti dielak dalam apa jua kemelut yang berlaku dalam negara.

Saya dengan ini menyarankan agar Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bersatu, dan menubuhkan satu suruhanjaya diraja yang turut dianggotai Majlis Raja-Raja bagi membuka balik segala siasatan terhadap 1MDB.

Kerajaan tidak harus berlengah lagi untuk menghidupkan suruhanjaya diraja ini, malah ia masih selari dengan seruan kenyataan Raja-Raja Melayu sebelum ini yang menggesa kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Kepada pihak berkuasa tempatan, jangan dibiarkan kesilapan-kesilapan kerajaan zalim di serata dunia sehingga menyebabkan negara tergadai berulang di Malaysia.

Hutang negara sudah pun mencecah RM847 bilion di 2015. Jangan biarkan keadaan ini melarat ke satu hari ini nanti, di mana Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menanti untuk menghulurkan bantuan.

Ketika itu, sudah terlambat bagi negara untuk menghalang campur tangan asing.

Kepada yang bimbang dengan campur tangan asing dalam isu 1MDB, penyelesaiannya mudah - bersatulah mendesak agar suruhanjaya diraja terhadap 1MDB dibuka dan teruskan desakan sehingga agensi-agensi berkuasa berani berdikari dan melakukan pendakwaan kepada mereka yang terlibat dalam merompak harta negara, dan berusahalah untuk membuat pengorbanan ke arah menukar kerajaan.

Nota: Penulis adalah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man timbalan presiden PAS.

BACA INI JUGA: 17 Senarai Aset Didakwa Dari 1MDB Akan Dirampas Jabatan Kehakiman AS?!

Sumber: Mkini

#RevivalTourMalaysia, Pakaian Selena Gomez Lebih Sopan Daripada Artis Tempatan!

#RevivalTourMalaysia, Pakaian Selena Gomez Lebih Sopan Daripada Artis Tempatan!

Selena Gomez tampil berpakaian sopan dengan menggayakan baju lengan panjang dan berseluar panjang warna hitam dalam menjayakan konsert jelajah Asia Revival World Tour yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Selena_Gomez

Menerusi twit di Selena Gomez News, adminnya menulis, “Pakaian baharu bagi menghormati budaya dan agama di Malaysia.”

Selena Gomez in Malaysia
Selena Gomez in Malaysia [2]

Sebelum ini kedatangan Selena ke Malaysia dikritik hebat segelintir pihak yang mendakwa imej seksi penyanyi berusia 24 tahun itu tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat Malaysia.

Keadaan terkawal di konsert Selena Gomez #RevivalTourMalaysia walaupun ada desas-desus di media sosial mengatakan akan berlaku protes.

Sopan

Sementara itu, ramai pengguna media sosial memuji cara pemakaian penyanyi, Selena Gomez yang dilihat sopan dan menghormati budaya Malaysia.

Selena Gomez in Malaysia [4]
Selena Gomez in Malaysia [5]
Selena Gomez in Malaysia [6]

Konsert ini menjadikan impian peminat Selena untuk melihat beliau beraksi di Malaysia menjadi realiti, selepas beliau membatalkan konsert 'Stars Dance Tour', sebelum ini.

Selena mempertaruhkan lagi ‘Same Old Love’ sebagai tirai pembukaan konsert.

Sebaik sahaja habis lagu tersebut, Selena terus memikat hati peminat Malaysia, dengan lagu ‘Come And Get It.’

Jeritan peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Selenators’ terus menggegarkan Stadium Malawati dengan jeritan tanpa henti sepanjang konsert berlangsung.

Antara lagu lain yang dinyanyikan oleh penyanyi yang mempunyai 91.5 juta pengikut di Instagram itu termasuk, ‘Love You Like A Love Song’, ‘Who Says’, dan ‘Hand To Myself.’

Selepas Malaysia, Selena dijadualkan akan meneruskan konsert jelajah di Singapura, Filipina, Thailand dan Jepun.

#RevivalTourMalaysia merupakan antara konsert jelajah Selena di Asia Tenggara.

BACA INI JUGA: Sokongan Selena Gomez Kepada Gaza Dikecam Peminat!


Sumber: Mynewshub/Astroawani

Jangan Mandikan Anak Dengan Air Sejuk Ketika Demam! - Dr. Abdul Rahim

Jangan Mandikan Anak Dengan Air Sejuk Ketika Demam! - Dr. Abdul Rahim

Ada ibu bapa yang apabila anak demam atau mengalami panas badan memandikan mereka dengan air sejuk atau membiarkan anak bergerak aktif untuk bermain sewaktu demam agar dapat mengeluarkan peluh dan sebagainya.

Dr Rich DrRahim

Malangnya, tindakan ibu bapa ini  merupakan cara yang tidak betul untuk menangani masalah anak kecil yang menghidap demam atau panas badan.

Persoalannya, bolehkah cara ini dilakukan? Atas rasa tanggungjawab, Dr. Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Dr. Rich Dr. Rahim di laman sosial membuat penjelasan mengenai perkara ini.

Tips Penting, Jangan Mandikan Anak Ketika Demam

“Doktor, boleh tak anak saya mandi ketika demam?”

Soalan di atas banyak disoal ketika saya merawat pesakit di klinik. Saya rasa adalah tanggungjawab saya memberikan penjelasan di bawah agar anak bangsa saya pandai menjaga anak ketika mereka demam.

InshaAllah. Jangan pengaruh orang keliling, tetapi saya berharap anda bertindak dengan ilmu dan amal serta cara yang betul. Okay?

1. APA ITU DEMAM?

Demam adalah naiknya suhu badan dari suhu normal 36-37.5’C iaitu lebih 37.5’C. Demam sebagai pertahanan badan si bayi jika ada serangan bakteria/virus.

Ketika ini, suhu badan naik automatik sebab si comel sedang bergusti sendiri melawan infeksi itu.

Itulah kita sebagai ibu bapa relax sajalah jika bayi itu tetap aktif bermain, minum dan makannya okay. Tak perlu berikan ubat penurun panas. Biarkan saja tubuhnya bekerja secara alami.

2. CARA MENURUNKAN SUHU TUBUH BADAN BILA DEMAM

a) Gunakan kain tuala kecil dibasahkan dengan air panas suam (Tapid Sponging) lalu diletakkan di dahi, perut, leher, ketiak dan celah paha.

Air hangat suam ini dapat membantu pembuluh darah di kulit mengembang lalu membuka pori-pori dan memudahkan mengeluarkan suhu panas dari dalam tubuh.

b) Adalah satu kesilapan jika anda:

Menggunakan air sejuk, air ais atau ketul ais sebab hal ini bukannya menurunkan suhu tubuh badan tetapi meningkatkan lagi suhu badan kerana air dingin menyebabkan pembuluh darah di kulit mengecut sehingga panas dibawa darah ke kulit, terhalang.

Apatah lagi bila demam, ada yang suruh mandikan anak dengan air sejuk. Kasihan si anak lagi menggigil serta lagi naiklah demamnya.

Kalau nak buat ekspirimen, jika kita ibu bapa demam, cuba terus pergi mandi air sejuk. Pijak lantai bilik air pun dah menggeletar. Apatah lagi nak mandi air sejuk?!

Kalau periuk panas dibasuh pun akan berasap. Biar periuk itu sejuk terlebih dahulu, baru basuh. Kan?

3. BERSELIMUT KETIKA DEMAM

Hindari menyelimuti si comel yang demam atau memakaikan baju yang tebal seperti jaket atau pakaian ketat yang boleh meningkatkan suhu badan.

Sebaiknya gunakan pakaian yang tipis dan longgar, yang dapat menyerap peluh sehingga suhu badan si comel menurun ke paras normal

4. KERAP MINUM AIR

Demam paksa badan mengeluarkan cairan lebih banyak seperti peluh dan kencing. Maka rajin-rajinlah menyusu atau beri air yang banyak kepada bayi anda untuk mengelakkan dehidrasi.

Lagi banyak cairan diberi, maka lagi banyaklah cairan yang keluar melalui urin yang juga menolong menurunkan suhu badan yang panas.

5. JANGAN GUNA AIR SEJUK!

Kalau nak dimandikan juga bayi/kanak-kanak yang panas, dibolehkan tetapi air yang digunakan haruslah air yang hangat suam. Jangan gunakan air sejuk.

Dengan begitu, tubuh menjadi segar dan nyaman. Setelah mandi, keringkan tubuh dengan kain tuala dan terus cepat tutup badan dengan pakaian.

6. TAK PERLU MAKAN UBAT JIKA ANAK MASIH AKTIF

Anak tidak perlu makan ubat jika ia demam tetapi boleh makan, minum seperti biasa. Hanya jeram jelum anggota badannya dengan air panas suam. Ubat diberikan jika suhu badannya mencapai lebih dari 38’C.

Kalau anak anda demam berpanjangan lebih dari dua hari, kelihatan lesu, hilang selera makan minum, panas kejang, susah bernafas, muncul bintik merah atau biru di tangan, muntah, cirit birit, ini tanda infeksi kuman/virus yang tubuh badan bayi tidak berupaya melawan.

Segeralah bawa anak berjumpa dengan doktor. Doktor akan siasat punca panas dan infeksi tersebut. Mungkin antibiotik diperlukan.

Nasihat saya, segera rawat demam anak. Elakkannya daripada menjadi sawan panas tarik ‘Fibrile Fit’.

BACA INI JUGA: Bahaya Virus Zika Kepada Bayi Dan Kesihatan

Sumber: mynewshub

'Riza Aziz Tuai Apa Disemainya Kerana Jual Diri Kepada Syaitan'

'Riza Aziz Tuai Apa Disemainya Kerana Jual Diri Kepada Syaitan'

Anak tiri Najib Razak, Riza Aziz menuai apa yang disemainya kerana 'menjual diri kepada syaitan', tulis adiknya di Facebook.

Azrene+Soraya

Riza yang dinamakan dalam saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana didakwa menggunakan wang yang dicuri daripada firma pelaburan negara, 1MDB.

"Jika Riza menjual dirinya kepada syaitan untuk memiliki apa yang tidak sepatutnya miliknya, bayangkan hutangnya yang dikumpul bersama syaitan dan yang bakal mereka kumpul lagi itu,” tulis Azrene Soraya Abdul Aziz, seorang perunding imej.

Seperti Riza, Azrene adalah anak tiri Najib, yang lahir hasil perkahwinan pertama, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya.

Bagaimanapun beliau berkata, Riza masih dan adalah seorang yang dikasihi oleh keluarganya, walaupun kasih mereka 'tidak cukup untuk beliau' dan orang sekelilingnya.

"Dia memilih, seperti orang lain sebelumnya, untuk memiliki kemasyhuran, kekayaan dan sanjungan," katanya.

Azrene mendakwa abangnya kini membayar harga kerana dosa yang dilakukannya walaupun Malaysia tidak bersedia untuk memberi keadilan seperti didoakan rakyat tetapi Amerika Syarikat memberikannya.

"Mereka yang mengenali saya tahu bahawa saya kambing hitam keluarga - tetapi itu tidak bermakna saya tidak sayang keluarga saya.

Azrene+Ahmad

"Orang ramai boleh mengatakan saya kejam untuk apa yang saya tulis hari ini tetapi saya sentiasa menegakkan apa yang sepatutnya dan melakukan apa yang betul, demi kebenaran dan keadilan walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi dan ini bermakna melakukan perkara yang tidak popular.

"Saya sering menegaskan bahawa jika Riza menggunakan dan mendapat keuntungan daripada dana yang dicuri dia perlu membayar apa yang dilakukannya itu.

"Jika dia berdiri sebagai proksi atau sebagai pemegang amanah untuk apa yang bukan miliknya atau mana-mana individu yang meminta beliau menjadi 'anak berbakti', dia perlu membayar untuk itu," katanya.

Tidak kira apa alasan yang diberikan untuk mewajarkan apa yang dilakukan oleh abangnya, Azrene berkata jika tindakannya itu menjejaskan negara dan rakyat maka ia adalah salah, dan perlu diperbetulkan.

"Bagi mereka yang fikir saya tidak berhati perut hari ini, sila ingat, doa saya adalah untuk kebenaran dan keadilan.

"Sama seperti rakyat Malaysia yang lain, telah dijawab hari ini dan akan terus dijawab," tulis perunding imej itu lapor Mkini.

Sengketa keluarga

Rizal+Mansor

Mengulas kritikan pedas dan tajam oleh anak perempuannya yang kini berpisah dengannya, Azrene Soraya Abdul Aziz di laman media sosial baru-baru ini, Rosmah hanya mampu bergenang air mata, kata pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor.

“Maka bertanyalah saya kepada si ibu...

“Tiada kata yang terbit daripada mulut si ibu... tidak lama kemudian saya dapat melihat air matanya bergenang..

“Apa yang dapat saya simpulkan, tiada sedetik pun dibenak fikiran si ibu mahu mengeluarkan kata-kata yang tidak elok buat si anak..

"Dapat saya gambarkan perasaan ibu terhadap anak yang dikandung selama 9 bulan,” katanya dalam satu posting Facebook penuh emosi.

Bagaimanapun dalam posting itu, Rizal tidak membuat rujukan langsung kepada Azrene Soraya mahupun Rosmah tetapi sekadar menyebutnya sebagai "si anak" dan "si ibu".

Katanya, sejak lapan tahun mengenali Rosmah, beliau tidak pernah mendengar isteri Datuk Seri Najib Razak itu mengeluarkan kata-kata tidak elok berhubung anak perempuannya.

“(Oleh) kerana kata-kata ibu adalah doa, jauh sekali mahu mengungkit kesakitan yang ditanggung waktu melahirkan juga menyusukan mereka..

“Si ibu memilih untuk memendam sahaja perasaan daripada mengeluarkan kata-kata kerana kasih ibu tiada sempadan.

“Tugas dan tanggungjawab ibu bapa membesarkan anak dan memberi pelajaran secukupnya. Sekarang si anak telah memilih jalan hidupnya. Didoakan si anak bahagia dengan dunianya,” tulisnya lagi.

DOJ memohon untuk merampas lebih AS$1 bilion aset termasuk keuntungan yang diperolehi oleh syarikat penerbitan filem milik Riza, Red Granite yang menghasilkan 'The Wolf of Wall Street' itu.

Aset-aset lain yang dinamakan dalam tindakan undang-undang itu termasuk hartanah kediaman mewah Riza di Beverly Hills, New York dan London.

Riza menafikan sebarang salah laku dan mendakwa wang yang diterimanya dan firmanya adalah "hadiah" lapor Mkini.

BACA INI JUGA: Rasuah Halal Dan Rasuah Haram Di Malaysia?

Monday, July 25, 2016

'Kini Adira Rasa Apa Yang Saya Rasa..'

'Kini Adira Rasa Apa Yang Saya Rasa..'

Syarifah atau lebih dikenali sebagai Datin Red berkata, dia kini langsung tidak ambil pusing mengenai hal-hal negatif yang dikaitkan dengan suaminya.

Datin Red

Isteri pertama Datuk Seri Adnan Abu ini mendedahkan bahawa dia sudah masak benar dengan perangai suaminya yang turut dikenali sebagai Dato Red.

Suaminya baru-baru ini dikaitkan dengan pelakon wanita yang semakin meningkat naik, Ruhainies.

Dato Red turut mengeluarkan kenyataan bahawa dia menyukai aktres muda itu selepas tersebar sebuah video memaparkan aksi mesra mereka di sebuah pusat beli belah.

“Apa yang berlaku di luar sana biarlah suami saya sahaja selesaikan, dia yang mula cari masalah. Mengapa saya perlu pening kepala fikirkan masalah dia?

Dato Red - Ruhainies

“Saya tidak tahu pasal orang luar mengecam atau marah dia, yang pasti hubungan saya dengan dia bahagia,” katanya memetik sebuah akhbar tempatan.

Bercerita mengenai hal bermadu, Datin Red berkata, “Saya percaya kepada jodoh, selagi ada jodoh saya akan bersama dia.

"Soal bermadu, saya rasa mana-mana wanita juga sama. Macam mana hancurnya hati saya ketika dia berkahwin dengan Adira, mungkin Adira juga merasai perkara yang sama kini.

“Cumanya selagi dia suami, saya akan pastikan menjadi isteri yang baik buat dirinya,” katanya lagi.

Datin Red berkahwin dengan Dato Red 10 tahun lalu, ketika suaminya bekerja sebagai pemandu lori sayur.

Dato Red - Adira

“Saya berkahwin ketika berumur 19 tahun, memang selepas 10 tahun tiada apa yang saya dapat rasakan selain sayang kepada dirinya, mungkin juga sebab anak-anak.

“Kami mula mengalami kehidupan yang lebih senang sejak tiga tahun lalu, apabila perniagaan suami semakin baik,” katanya.

Dato Red berkahwin kali kedua dengan Adira di Songkhla, Thailand pada 3 Disember lalu.

BACA INI JUGA: Skandal Jean Harlow Kekal Misteri Di Pentas Hollywood

Sumber: Mynewshub.cc