Thursday, February 04, 2016

Garis Panduan Mencegah Virus Zika

Garis Panduan Mencegah Virus Zika

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam telah mengeluarkan garis panduan langkah-langkah pencegahan virus Zika yang disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes.

Mencegah Virus Zika

Langkah-langkah itu termasuk menangguhkan perjalanan ke 24 negara di rantau Amerika Selatan yang telah melaporkan jangkitan Zika, khususnya wanita yang mengandung.

Negara yang terlibat ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Curacao, Republik Dominica, Ecuador, El Salvador, Guiana Perancis, Guadaloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Surinam, Virgin Islands (Amerika Syarikat) and Venezuela.

Jika terpaksa juga melakukan perjalanan tersebut, perlulah mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit nyamuk Aedes seperti memakai pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan secara tetap.

Selain itu, jika terdapat rakyat negara ini yang menghidap gejala demam dan tanda-tanda jangkitan Zika setelah kembali dari negara yang ada rakyatnya dijangkiti, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta rakyat Malaysia juga perlu melakukan langkah-langkah pencegahan, antaranya memastikan kawasan persekitaran terutama tempat-tempat awam dan swasta bersih daripada tempat pembiakan nyamuk.

Orang ramai juga perlu melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan mencegah berlakunya jangkitan kepada orang lain seperti menggunakan ubat pencegahan gigitan, memakai pakaian yang menutupi anggota badan, menggunakan kelambu dan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa.

Masyarakat perlu melakukan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu di premis masing-masing.

Disaran juga untuk memasang jejaring pada tingkap untuk mengelakkan nyamuk masuk ke dalam rumah.

Virus Zika disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi dan keadaan di negara ini adalah amat sesuai untuk berlakunya jangkitan virus Zika.

Oleh itu, jika jangkitan Zika tersebar ke negara ini, ia boleh menjadi wabak yang serius seperti wabak demam denggi.

Terbaru, virus Zika dilaporkan telah dikesan di Indonesia dan Australia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan penyakit itu sebagai "Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC)."

Virus Zika hanya menyebabkan demam ringan dan bintik-bintik di badan, sakit sendi serta tidak menyebabkan kematian, namun ia dikaitkan dengan kejadian mikrosefali iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil serta gejala saraf iaitu sindrom "Guillain-Barre".

Mikrosefali merupakan kecacatan otak atau kepala kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa. -Bernama

BACA INI JUGA: Bahaya Virus Zika Kepada Bayi Dan Kesihatan

Blog Terbaik Malaysia Januari 2016

Blog Terbaik Malaysia Januari 2016

Assalaamualaikum dan salam sejahtera, bertemu lagi kita diruangan blog terbaik Malaysia bagi bulan Januari 2016 di blog ini.

Jan_2016

Buat rakan-rakan blogger, saya ucapkan sekali lagi jutaan terima kasih kerana sentiasa sudi bertandang ke blog ini untuk berkomentar.

Kepada para pembaca yang sentiasa dihargai dan amat disayangi, semoga sokongan anda terus berterusan, tanpa 'peminat' sekalian, siapalah kami ini..:(

Anda semua juga dijemput untuk bertandang ke blog-blog dibawah ini, banyak sangat info dan perkongsian yang boleh dimanfaatkan disana.

Adminnya ramah-tamah, disoal satu, dijawap tiga..;)

Pada entri kali ini juga, penghargaan khusus buat Blogger Cikgu Etuza (Madey09) diatas kesudian memberikan hadiah yang sungguh berharga kepada saya, sekotak minuman kesihatan Chocolate with Milk dan sebungkus Nescafe yang sungguh sedap produk Elken.

Dapat hadiah hanya kerana berkomentar di blog beliau. Terima kasih Cikgu Etuza yang hensem. Lain kali bagi lagi ya haha..

BLOGGER+ETUZA
Hadiah istimewa Blogger Etuza.

Kalau nak dapat hadiah istimewa macam ni, datang la selalu berkomentar di blog Cikgu Etuza, tapi khusus buat pengomen yang ada blog saja.

Siapa tahu, mungkin nanti ada segmen khusus untuk pembaca pula..:)

Sebelum ditunda coretan tinta buat kali ini, sekali lagi buat semua, terima kasih..:)

SENARAI BLOG TERBAIK MALAYSIA JANUARI 2016

1. Khir Khalid - Khirkhalid.com

2. Etuza Etuza - Madey09.blogspot.my

3. MNH - Sayapejuangbahasa.blogspot.my

4. Nao Mei - Sweetyzhanieyz83.blogspot.my

5. aRz MoHa - Arzmoha.com

6. Lokmanamirul - Lokmanamirul.blogspot.my

7. Azlan Strider - Striderbuzz.com

8. Mrs. A - Mrsablogstori.blogspot.my

9. Anajingga - Anajingga.com

10. Hero Borneo - Heroborneo.com

11. Ummar Farouk - Nukeufo89.com

12. Matdin - Notabelajarsaya.blogspot.my

13. Abam Kie - Zukidin.com


BACA INI JUGA: MALAYSIA BEST BLOG

Wednesday, February 03, 2016

Keunikan Air Terjun Hitam Svartifoss

Keunikan Air Terjun Hitam Svartifoss

Air terjun Svartifoss merupakan sebuah air terjun yang terletak di Skaftafell, dalam taman negara Vatnajokull, Iceland.

Svartifoss waterfall [2]

Jika dilihat daripada mata kasar, tiada bezanya air terjun ini dengan kebanhyakan air terjun lain.

Namun, air terjun Svartifoss yang membawa maksud air terjun hitam mendapat perhatian pengunjung kerana kawasan persekitarannya yang sangat unik.

Tebing air terjun ini berbentuk kubikel-kubikel segi empat sama berwarna hitam.

Bukan itu sahaja, bahagian dasar air terjun dimana air terjun jatuh menghempas juga berbentuk begitu.

Svartifoss waterfall

Kubik blok yang seperti dibentuk menggunakan acuan ini dipercayai terhasil sewaktu zaman purba lagi.

Batu-batu yang dipanggil Kolum Basalt ini terbentuk kerana satu proses yang berpunca daripada letusan gunung berapi yang bertemu dengan air sungai yang dingin, mengakibatkan perubahan suhu yang mendadak.

Lava tersebut akhirnya membeku dan membentuk batuan yang sangat unik.

Svartifoss waterfall [3]

Air terjun ini telah menjadi inspirasi bagi arkitek di Iceland untuk membina bangunan dengan bentuk batu yang serupa di kawasan air terjun tersebut.

Salah satunya ialah Hallgrimskirkja, sebuah gereja yang terletak di Reykjavik, ibu kota Iceland.

BACA INI JUGA: Top 10 Air Terjun Paling Cantik Di Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

Kritik 1MDB Punca Sebenar Mukhriz Disingkir?

Kritik 1MDB Punca Sebenar Mukhriz Disingkir?

Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan penyingkirannya selaku menteri besar Kedah berpunca daripada kritikan lantangnya terhadap skandal membabitkan perdana menteri berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir

Dalam pengumuman peletakan jawatannya hari ini, Mukhriz berkata, isu-isu yang dibangkitkan tersebut merupakan alasan sebenar beliau disingkirkan.

"Sesungguhnya alasan sebenar tindakan ini diambil ke atas saya ialah kerana kritikan yang saya suarakan terhadap perdana menteri seperti yang beliau sendiri akui.

"Kritikan yang dimaksudkan adalah mengenai skandal 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion dan meningkatnya bebanan sara hidup rakyat akibat GST (cukai barang dan perkhidmatan)," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman pagi ini lapor The Malaysian Insider

Sementara itu menurut Malaysiakini, Mukhriz juga telah ditawarkan jawatan Timbalan Menteri oleh Najib agar melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah, namun beliau menolaknya..

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata usaha untuk menyingkirkannya sebagai menteri besar Kedah tidak akan mendiamkan beliau daripada mengkritik isu sumbangan RM2.6 bilion dan 1MDB.

"Tetapi sekarang saya rasa merdeka dan bebas dan tidak akan berdiam diri," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan bersara daripada politik, Mukhriz berkata: "Tidak, ia darah daging saya. Jika rakyat masih mahukan saya, saya akan teruskan.

Beliau juga memberitahu sidang media di pejabat pentadbiran negeri di Wisma Darul Aman bahawa beliau menolak tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan timbalan menteri.

BN Bakal Hilang Pengundi Muda?

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, situasi yang melanda Umno Kedah hari ini membuatkan orang muda di negeri itu tersinggung.

“Saya rasa memang ada kemungkinan besar berlaku keadaan itu (hilang sokongan pengundi muda). Sebelum ini pun kita lihat sambutan terhadap Mukhriz ketika hadir ke stadium berjumpa ramai orang muda dan kita tahu dulu masa PRU13, apabila dia umum sebagai menteri besar, ada berlaku ‘swing’ yang agak besar dalam kalangan pengundi muda yang menyokong BN ketika itu.

Mohd Azizuddin turut mengakui di Kedah tiada pemimpin yang dapat menandingi ketokohan yang ada pada anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, buat masa ini.

“Mukhriz pun kita tahu bukan sepenuhnya pengaruh dia yang mendapat sokongan...pengaruh bapanya juga mainkan peranan yang kuat. Jadi, kalau pemimpin yang lain nak naik, mungkin mengambil masa juga untuk mencapai tahap Mukhriz.

“Sebab pemimpin muda selalunya, dalam kajian sebelum ini, kecenderungan pengundi muda akan menyokong calon muda.” katanya.

Menurutnya lagi, pemimpin lain perlu mencari mekanisme yang unik untuk menarik golongan muda selain meneruskan pendekatan yang diamalkan Mukhriz selama ini.

“Mukhriz tidak menonjolkan diri, dalam berpakaian pun biasa sahaja, pergi pasar malam, masuk dalam masyarakat untuk jumpa orang, media sosial juga digunakan, tapi pendekatan dia lebih banyak bersemuka, jumpa orang di bawah.

“Jadi, rakyat ini mahukan perhatian. Jika ada pemimpin bagi perhatian, mereka sukalah. Jadi, itu kelebihan yang ada pada Mukhriz. Orang lain kena buat begitu jugalah, mungkin ada cara yang lebih menarik untuk menarik orang di peringkat bawah. Mereka kena fikir mekanisme untuk tarik orang muda dan saya rasa orang muda akan tertarik jika kena caranya,” katanya.

“Mukhriz ketika itu berada di taraf populariti yang begitu tinggi disebabkan oleh pembawaan beliau itu sendiri dan juga pembaharuan yang cuba dibawa oleh beliau.

"Itu yang menyebabkan BN berjaya menumbangkan Pas. jadi, sebahagian sokongan itu dari orang muda.”

BACA INI JUGA: 'Malaysia Antara 10 Negara Paling Rasuah Di Dunia' Tun Mahathir

Sumber: Darisungaiderhaka/Sinarharian

Demi Perpaduan Kaum, Harimau Malaya Ditukar Harimau Malaysia

Demi Perpaduan Kaum, Harimau Malaya Ditukar Harimau Malaysia

Pasukan bola sepak kebangsaan yang sebelum ini digelar ‘Harimau Malaya’, kini dikenali dengan jolokan ‘Harimau Malaysia’.

HARIMAU+MALAYSIA

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengumumkan perkara itu, hari ini berharap gelaran baharu itu dapat menyuntik semangat pemain dan penyokong agar skuad negara mampu mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

“FAM berasa gelaran Harimau Malaya tidak lagi sesuai diguna pakai kerana perkataan Malaya itu sendiri tidak dipakai secara menyeluruh di negara ini selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

"Saya berharap gelaran ini bertepatan untuk menggambarkan skuad kebangsaan adalah milik seluruh rakyat Malaysia.

“Jadi, saya tidak mahu nama sahaja baharu, malah mahu pemain mempunyai semangat baharu untuk mencapai kejayaan.

"Harimau Malaysia yang lebih garang dan boleh menggaum berdepan pasukan lain, sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara,” katanya pada majlis pengenalan penaja skuad kebangsaan di sini.

Beliau turut berharap skuad kebangsaan yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee secara rasminya bermula 18 Jan lepas, tidak akan mengulangi prestasi memalukan selepas ini.

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani penajaan skuad kebangsaan yang diwakili Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Telekom Malaysia, Nike, 100 Plus dan Bank Islam.

Telekom Malaysia yang merupakan penaja utama pasukan kebangsaan sejak 2011, telahpun memeterai pembaharuan perjanjian penajaan selama lima tahun sehingga 2020, namun jumlah penajaan tidak didedahkan.

Naib Presiden FAM Datuk Sudarsono Osman berkata keputusan menukar gelaran skuad kebangsaan itu, turut dapat mempamerkan perpaduan nasional di samping menghargai sumbangan penduduk Sabah dan Sarawak kepada pasukan negara.

“Saya gembira dengan keputusan ini, kerana sebelum ini pernah ada penyokong Sabah dan Sarawak yang mempersoalkan perkara ini. Saya berharap mereka akan gembira selepas ini,” katanya.

Pada tahun lepas, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pernah menyuarakan saranan supaya gelaran Harimau Malaysia diguna pakai untuk merujuk kepada skuad kebangsaan berbanding Harimau Malaya, yang seolah-olah seperti penyokong dari Sabah dan Sarawak tidak terlibat langsung.

Selain itu, FAM juga melancarkan peraduan mencipta logo Harimau Malaysia, bagi mencipta imej baharu pasukan kebangsaan yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 serta pengalaman bersama skuad kebangsaan pada Kejohanan AFF Suzuki pada akhir tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai peraduan itu boleh diperoleh di laman sesawang rasmi FAM, www.fam.org.my atau Facebook, Football Association of Malaysia (Official) dan juga akaun Twitter @FAM_Malaysia. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Persoalan Terjawab! Kenapa Bolasepak Bermain 45 Minit!