Thursday, October 31, 2013

Seorang Lagi Pengawal Keselamatan Rompak Kedai Emas!

Seorang Lagi Pengawal Keselamatan Rompak Kedai Emas!

Seorang pengawal keselamatan yang memiliki senjata api merompak sebuah kedai emas di KL Festival City Mall, dekat Setapak pada Khamis.

Rompak Kedai Emas
Gambar hiasan.

Rompakan berkenaan berlaku pada pukul 9 pagi dan sumber polis mengesahkan suspek merupakan rakyat Sabah yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Pengawal keselamatan berkenaan telah bekerja kurang dua daripada dua bulan, mengacukan pistol kepada pemilik kedai emas berkenaan dan melarikan diri dengan satu dulang barang kemas pada pagi Khamis.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Asisten Supritendan, Khairi Ahrasa berkata ketika kejadian pemilik kedai dan tiga pekerjanya sedang bersiap sedia untuk membuka kedai.

"Mereka telah membaca mengenai apa yang berlaku di sebuah bank dan segera menyerahkan dulang berisi barang kemas kerana berasa takut kejadian sama akan berulang kembali," katanya.

Pengawal keselamatan tersebut, yang ketika kejadian memakai pakaian seragam segera mengambil dulang berisi barang kemas itu dan dengan selamba keluar daripada pusat membeli belah berkenaan.

"Ia berlaku sangat pantas, dan tiada siapa menyangka ia akan berlaku kepada kami," kaanya sambil menambah pihak polis masih menyiasat nilai barang kemas yang dicuri.

Polis juga sedang menyiasat sama ada pistol yang digunakan dalam rompakan tersebut dikeluarkan kepada suspek oleh syarikat kawalan keselamatan tempatnya bekerja atau milik peribadi.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ada kemungkinan pengawal keselamatan tersebut merupakan perompak yang meniru aksi rompakan yang berlaku di sebuah bank baru-baru ini.

"Ada kemungkinan pengawal keselamatan itu mendapat idea daripada pengawal keselamatan yang merompak Ambank.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa kes melibatkan pengawal keselamatan merompak majikan mereka," katanya.

Justeru, beliau menggesa syarikat kawalan keselamatan menyemak dengan teliti latar belakang kakitangan mereka terlebih dahulu.

"Sekiranya mereka ada rasa ragu-ragu mengenainya, tolong hubungi pihak polis dan kami akan membantu anda," katanya.

Khalid berkata pihak polis sedang memberi perhatian serius kepada pengawal keselamatan dan semakan secara rawak turut dijalankan di seluruh negara.

Ketika dihubungi, syarikat kawalan keselamatan yang mengambil pengawal keselamatan itu berkata suspek dikenalpasti sebaai warga Sabah melalui kad pengenalannya.

Namun pihaknya enggan mengulas sama ada pihaknya ada melakukan pemeriksaan terhadap latar belakang suspek atau dia mempunyai lesen untuk membawa senjata api.

Pada 23 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank Norazita Abu Talib selepas dia membuka pintu bilik kebal sebuah bank di Subang Jaya.

Suspek berjaya melarikan diri dengan wang rompakan berjumlah RM450,000 daripada bilik kebal bank berkenaan.

Bagaimanapun, polis berjaya menemui semula wang bernilai RM20,000 selepas menahan tiga ahli keluarga suspek dan usaha mengesan pengawal keselamatan berkenaan masih giat dijalankan.

Suspek juga dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu dengan menggunakan alamat terakhir di Tawau, Sabah.

Sumber: mStar

Sambutan Halloween Melampau Pasaraya Norway Dikecam

Sambutan Halloween Melampau Pasaraya Norway Dikecam

Kebiasaannya, Halloween yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun di negara Barat akan dimeriahkan dengan aktiviti mengumpul gula-gula dan memakai kostum yang menakutkan, khususnya di kalangan kanak-kanak.


Selain itu, dekorasi rumah akan bertukar menjadi rumah hantu yang menyeramkan.

Sebuah pasaraya di Norway, Europris telah mengambil inisiatif yang lebih ‘ngeri’ dengan meletakkan potongan tubuh dan organ manusia palsu yang dibuat dari plastik dalam peti sejuk beku mereka dan dinamakan ‘Chop Shop’.

Ia bukan sahaja dibalut dengan plastik, malah turut ditampal dengan maklumat nutrisi, sekaligus menambahkan elemen ngeri padanya.

Meskipun pihak pasaraya beranggapan ia hanya sebagai gurauan, ramai pelanggan tidak setuju kerana dianggap melampau dan menakutkan anak-anak kecil yang melihatnya.

Pelanggan tetap Europris, Mona Urfjell menulis di laman Facebooknya:

“Tidak ada kesangsian lagi. Anak-anak akan berasa takut dengan apa yang mereka saksikan. Memalukan kerana kita membawa budaya Amerika yang sangat kejam.”

Europris bagaimanapun mengeluarkan ‘Chop Shop’ dari peti sejuk tersebut selepas menerima pelbagai kritikan dan aduan dari orang ramai.

Sumber: Mynewshub

Mahu Ke Granada Tapi Dihantar Ke Grenada!

Mahu Ke Granada Tapi Dihantar Ke Grenada!

Hajat seorang nenek ke Granada, Sepanyol tidak kesampaian apabila pesawat beliau mendarat di Grenada, Pulau Caribbean.

Lamenda Kingdon, 62

Lamenda Kingdon, 62, penghidap kanser payudara dan tumor otak dari Playmouth berkata, beliau mahu ke istana Alhamra di Granada bagi menunaikan hajat terakhirnya.

“Saya terkejut apabila kru pesawat mengatakan penerbangan itu bukan ke Sepanyol tetapi ke Grenada, Caribbean,” katanya.

Menurutnya, jangka masa ke Granada di selatan Sepanyol hanya mengambil masa dua jam berbanding ke Grenada yang mengambil masa 10 jam termasuk merentas Atlantik.

“Saya mengambil pesawat dari Gatwick menerusi pesawat British Airways dan kesilapan itu hanya disedari selepas dua jam berada dalam pesawat. Tempahan penerbangan dilakukan melalui telefon. Ketika melihat tiket berkenaan, saya fikir destinasi itu mempunyai perbezaan waktu dan saya hanya membiarkan sahaja,” katanya.

Sejurus mendarat di Caribbean, beliau diberi layanan kelas pertama dan mengambil penerbangan keesokannya dari St Lucia, Malaga untuk ke Granada dengan dibiayai penuh oleh syarikat penerbangan tersebut, laporan dipetik dari DailyMail.

Cubaan Memadam Cahaya Allah

Cubaan Memadam Cahaya Allah

Alhamdulillah, sekali lagi dalam ruangan ini dapat dikemukakan berkaitan dengan cubaan memadam cahaya Allah oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya cubaan mereka berlangsung sejak Allah mengutuskan rasul-Nya sehingga dunia dikiamatkan. Perlawanan antara kebenaran dan kebatilan pasti berlangsung dengan hebatnya.

Cubaan Memadam Cahaya Allah

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka dan Allah menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai". (al-Taubah: 32)

Syeikh al-Maraghi berkata: Orang Yahudi dan Nasrani berhasrat memadam cahaya Allah SWT yang dibawa oleh seluruh utusan-Nya yang dilimpahkan kepada manusia melalui Nabi Musa as, Nabi Isa as dan para rasul yang lainnya. Kemudian ia disempurnakan oleh Nabi Muhammad SAW, penutup para nabi.

Mereka memadam cahaya itu dengan mencemuh Islam, menghalang manusia dengan cara yang batil, seperti melontar fitnah terhadap Uzair dan bidaah yang dibuat oleh para pemimpin mereka, seperti membuat syariat, sehingga tauhid menjadi syirik dan marbub (sesuatu yang dimiliki) menjadi rabb (yang memiliki).

Demikianlah, ahli kitab memusuhi Islam sejak perutusan Nabi Muhammad SAW. Mereka sengaja ingin melenyapkan Islam dengan perang di suatu pihak dan merosakkan akidah di pihak yang lain. Kedua-dua usaha ini dimaksudkan untuk memadam cahaya Islam.

Allah SWT berkehendak menyempurnakan cahaya-Nya dengan mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai penutup nabi, yang diutuskan kepada seluruh makhluk dengan menjadikan baginya mukjizat yang paling besar, iaitu al-Quran bersifat ilmiah dan terpelihara hingga ke akhir zaman.

Di dalam al-Quran, Allah SWT menerangkan segala yang mereka perlukan yang berupa akidah yang dikuatkan oleh keterangan dan membatalkan penyembahan manusia terhadap manusia, lebih-lebih lagi terhadap patung dan berhala.

Allah SWT juga menerangkan ibadah yang dapat menyuci dan membersihkan jiwa daripada segala kotoran. Menjadikan pemberian orang kaya kepada orang miskin sebagai hak Ilahi dan membatalkan pahala pemberian itu kerana menyebut perkataan yang menyakitkan.

Dalam ayat ini juga, digariskan adab yang menyatakan keutamaan dalam jiwa dan tashri' yang memadukan kasih-sayang, keadilan dan persamaan antara seluruh manusia.

Para ahli tafsir dan ahli sejarah mengatakan: Qarun datang dengan peti yang sangat besar. Lalu dia berkata kepada seorang perempuan penzina: Apabila manusia telah berkumpul dan Nabi Musa as berdiri memberikan ceramah, berdirilah kamu dan menangislah, robek-robeklah pakaianmu, kusut masaikanlah rambutmu dan bersumpahlah bahawa Nabi Musa as telah berzina denganmu.

Cahaya Allah

Manusia pun berkumpul dan Nabi Musa as mulai menyampaikan ceramahnya tentang tauhid dan keimanan. Dan Qarun hendak membenamkan dakwah Nabi Musa as ke dalam bumi hingga manusia tiada yang percaya dengannya lagi dan membenarkannya.

Ini kerana cahaya itu adalah cahaya Allah, ajaran itu adalah ajaran Allah, risalah itu adalah risalah Allah dan Rasul adalah Rasul Allah. Ketika Nabi Musa sedang berpidato, tiba-tiba terdengarlah suara tangisan seorang perempuan sambil mencakar-cakar mukanya.

Maka bermulalah sebuah konspirasi yang sangat jahat dan jijik, iaitu pembohongan yang dibuat oleh mereka yang dengki terhadap Islam, para ulama dan terhadap para daienya.

Nabi Musa as berhenti dan terdiam, lalu Baginda menoleh ke arah perempuan itu, Baginda pun merasa gugup untuk berbicara dan menangis. Nabi Musa as yang diutus oleh Allah dengan risalah-Nya, mungkinkah melakukan perbuatan yang keji itu? Nabi Musa as pun berhenti menangis, tetapi Baginda tetap tabah dan mengetahui bahawa ini semua adalah ujian.

Baginda pun mengangkat tongkatnya dan berdiri di hadapan perempuan tersebut dan bertanya: "Aku ingin bertanya kepadamu dengan nama Zat Allah yang memecah-belahkan laut untukku. Apakah benar aku melakukan perbuatan tersebut (zina)? Perempuan itu menjawab: Tidak. Kemudian perempuan itu menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa, maka Allah membersihkannya daripada tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah. (al-Ahzab: 69)

Maka Nabi Musa as semakin bertambah kekuatan diri dan berkeyakinan terhadap ajaran Allah kerana kejujuran Baginda itu. Sejak awal lagi Baginda telah mengetahui siapa yang berdusta.

Mereka mahu memadamkan cahaya Allah SWT yang telah digariskan untuk membimbing para hamba-Nya dengan mentauhidkan Allah SWT pada sifat rububiyyah dan uluhiyyah. Kemudian mereka berpaling daripada tauhid kepada syirik dan paganisme. Semoga Allah kurniakan kita sifat-sifat yang soleh.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Pelik! Wanita Tertidur Di Dalam Air!

Pelik! Wanita Tertidur Di Dalam Air!

Info Pelik. Pihak polis di bandar Wenling, Wilayah Zhejiang, China telah dibanjiri panggilan telefon dari orang ramai yang telah melihat mayat terapung di dalam sungai.

Chinese Woman Falls Asleep Into River

Polis yang bertindak cepat dan tiba di lokasi yang dilaporkan mendapati tubuh seorang wanita muda terapung di atas air.

Dan yang peliknya, wanita itu sebenarnya tidak mati, hanya tertidur di atas permukaan air. Dan yang paling menarik, dia sudah tertidur di situ selama 40 minit.

Seperti yang dilaporkan oleh Rocketnews, insiden itu berlaku selepas wanita tersebut bertengkar dengan suaminya di rumah.

Di tengah kerisauan, wanita itu menelan 20 butir ubat dan kemudian berjalan sendirian untuk meredakan kemarahannya.

Malangnya, wanita tersebut tidak mengambil kira faktor kesan sampingan yang ada. Ketika berjalan-jalan, dia mengalami perasaan mengantuk yang sangat luar biasa.

Kerana tidak mampu menahan perasaan mengantuknya itu, dia terjatuh ke dalam sungai yang kebetulan dilaluinya.

Perkara terakhir yang diingatinya mengenai insiden itu adalah perasaan tercekik di leher selepas jatuh ke dalam air, tapi oleh kerana perasaan mengantuk yang terlalu kuat, dia pun terlelap.

Namun, wanita itu sangat beruntung kerana ketika tertidur tubuhnya mampu terapung di atas air dengan tenang dan mencegahnya dari tenggelam.

Ramai saksi menyatakan bahawa wanita tersebut berada dalam kedudukan tersebut selama 40 minit sebelum polis tiba dan menyelamatkannya.

[Sumber][Edited by SP]

Inikah Padahnya Projek IC Di Sabah?

Inikah Padahnya Projek IC Di Sabah?

Warga asing Filipina banyak menggelisahkan warga Sabah malah mereka yang juga pemegang projek IC telah menolong Pendatang Tanpa Izin (PATI).

Pembunuh AmBank

Pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram tidak mendatangkan kesan dan gagal menangani lambakan warga asing di Sabah.

Tinjauan mendapati warga Sabah melahirkan kebimbangan mengenai hal ini malah Semenanjung juga berhadapan hal ini.

“Generasi pertama projek IC yang telah beranak pinak. Mempunyai anak-anak yang bekerja dengan kerajaan sama ada negeri atau persekutuan. Jadi mereka ini yang menjadi orang tengah kepada PATI yang baru sampai dari seberang,” dakwa Mansau Ansau.

Gustavo Romero pula bertanya, “Pulau Gaya, Sepanggar, 1 Borneo, belakang Telipok, kawasan tersebut ada banyak PATI, tetapi tak ada pulak ambil tindakan seperti Ops Cantas?”

Sementara itu, Alex Kulleh menambah, “Bukan semua PATI itu jahat. Tetapi yang membimbangkan ada di antara mereka berani membuat masalah kerana mereka tahu mereka boleh lari.”

Insiden tembakan yang berlaku di Ambank Subang Jaya sudah cukup membimbangkan kerana kad pengenalan suspek didapati tidak wujud dalam rekod.


Suspek, yang juga Pengawal Keselamatan berusia 37 tuhan itu melepaskan tembakan ketika dua pekerja wanita sedang membuka pintu peti besi berkenaan malah sempat melarikan sejumlah wang.

Sehingga kini, suspek masih bebas.

Susulan kes tersebut, tindakan cepat telah dilakukan pihak berkuasa mendapati kebanyakan pengawal keselamatan terutama sekali di Kuala Lumpur kebanyakan mereka adalah warga asing.

Rakyat Sabah menggesa kerajaan lebih bersungguh-sungguh menangani isu PATI ini.

“Adakah PATI dan golongan pemegang mykad ini tidak mengancam negara Malaysia terutama sekali Sabah?

“Begitu lemah sistem penguatkuasaan di Malaysia sehingga ada PTI yang mengaku telah tinggal lama di Sabah dari tahun 1991 dan tanpa ada sebarang tindakan,”kata Lan Rh.

“Terbuktilah terlalu banyak penyelewengan di jabatan tertentu yang mengakibatkan masalah PATI tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang.

“Walau bertukar ganti ketua jabatan tetapi masalah PATI terus menghantui sabah tanpa sebarang penyelesaian konkrit,” tegas beliau.

[Sumber]

Saman Fitnah RM1 Juta Bekas Isteri Hattan Selesai, OhBulan Mohon Maaf

Saman Fitnah RM1 Juta Bekas Isteri Hattan Selesai, OhBulan Mohon Maaf

Kes saman fitnah RM1 juta yang difailkan bekas isteri penyanyi popular Hattan berhubung satu artikel, berjaya diselesaikan dengan baik selepas pemilik blog hiburan OhBulan! membuat permohonan maaf di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.


Hakim Datuk Nor Bee Ariffin merekodkan pernyataan bersama itu dengan dihadiri peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili plaintif, Noorfarashikin Othman dan peguam Andrew Suresh bertindak bagi pemilik blog itu, Driven Communications Sdn Bhd.

Pada 3 Julai tahun lepas Noorfarashikin, 33, yang bercerai dengan Hattan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Shukri Sahabuddin selepas dua bulan berkahwin menfailkan saman itu atas dakwaan defendan telah menerbitkan satu artikel yang menfitnahnya melalui laman web hhtp:/www.ohbulan.com/.

Andrew semasa membacakan pernyataan bersama itu berkata defendan sangat menyesali berhubung penerbitan artikel itu dan ingin secara ikhlas menghulur kemaafan kepada plaintif.

Beliau berkata defendan menerima bahawa dakwaan-dakwaan di dalam artikel itu adalah tidak benar dan tanpa asas.

Amer Hamzah ketika membacakan pernyataan itu berkata defendan bersetuju untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat terhadap plaintif dan defendan membuat aku janji untuk tidak mengulangi dakwaan-dakwaan itu dan juga telah membuang artikel yang dipertikaikan itu dari laman webnya.

Amer Hamzah berkata sehubungan itu anak guamnya merasakan dakwaan terhadapnya telah disangkal dan merasa lega untuk membiarkan perkara ini berakhir.

Noorfarashikin dalam writ samannya berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau merupakan seorang yang curang, tidak boleh dipercayai dan isteri yang tidak setia.

Dalam pernyataan tuntutannya, wanita itu antara lain memohon ganti rugi am berjumlah RM1 juta, ganti rugi khas, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau berkata reputasi peribadi dan profesionalnya telah rosak dan beliau mengalami kesedihan, rasa malu dan tersinggung perasaan akibat penyiaran artikel itu.

Amer Hamzah ketika ditanya pemberita mengenai terma-terma penyelesaian berkata bahawa pihaknya tidak boleh mendedahkannya.

Sumber: BERNAMA

Brad Pitt Cemburu, Mengamuk Di Set Penggambaran Angelina Jolie?!

Brad Pitt Cemburu, Mengamuk Di Set Penggambaran Angelina Jolie?!

Rasa cemburu Brad Pitt memang terserlah apabila dia dikatakan marah kerana lakonan Angelina Jolie dalam filem Unbroken bersama Takamasa Ishihara.


Pitt mendakwa muka wanita berkenaan adalah mirip rupa bekas kekasih lesbian Angelina. Mungkin sebab itu, Pitt berhak bersikap panas baran. Namun, sikapnya itu yang muncul secara tiba-tiba boleh merosakkan perhubungannya dengan Jolie yang sudah berusia tujuh tahun.

Takut pula dengar, nanti masalah itu akan semakin besar dan menghimpit perhubungan mereka.

Menurut laporan Showbizspy, rasa cemburu itu bermula apabila Pitt melihat Jolie digandingkan bersama Ishihara.


“Ishihara memainkan peranan sebagai Miyavi dalam filem terbaharu arahan Jolie.

“Walaupun tidak memiliki pengalaman dalam lakonan, Jolie tanpa ragu memilih wanita itu sebagai gandingannya.

“Jolie seolah-olah begitu teruja dengan wanita itu sehingga membuatkan Pitt cemburu," kata sumber itu kepada Showbizspy.

Bintang filem Gia itu pernah menjalinkan hubungan dengan pasangan sejenis iaitu Jenny Shimizu dan tidak hairanlah Pitt cemburu dengan wanita Jepun itu.

Sumber: Utusan

Rahsia Pengintipan AS Ke Atas Negara-negara di Asia Tenggara Terbongkar!

Rahsia Pengintipan AS Ke Atas Negara-negara di Asia Tenggara Terbongkar!

Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mencuri dengar perbualan telefon dan memantau rangkaian komunikasi dengan menggunakan fasiliti pengintipan elektronik di kedutaan dan konsulat AS yang terdapat di Asia Timur dan Asia Tenggara, lapor akhbar Sydney Morning Herald kelmarin.

X-Keyscore_NSA

Pendedahan itu dibuat berdasarkan maklumat yang dibocorkan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), Edrward Snowden yang juga warga AS.

Satu senarai peta rahsia turut mendedahkan 90 fasiliti tersebut yang terdapat di seluruh dunia termasuk kemudahan pengintipan komunikasi yang terdapat di Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.

Bertarikh 13 Ogos 2010, peta itu menunjukkan tiada fasiliti berkenaan di lokasi di Australia, New Zealand, Britain, Jepun dan Singapura yang merupakan sekutu rapat AS.

Australia mengetahui sepenuhnya berhubung pengintipan elektronik AS ke atas negara-negara rantau di Asia Tenggara dan rakan perniagaannya.

Negara itu juga telah mengakses sebahagian besar data yang dikumpulkan oleh AS.

Menurut peta itu yang disiarkan oleh majalah Jerman, Der Spiegel semalam, operasi pengintipan itu dilakukan secara bersama oleh Agensi Perisikan Pusat dan NSA menerusi unit yang dikenali sebagai Perkhidmatan Pengumpulan Khas (SCS).

Peta tersebut yang pada mulanya disiarkan secara penuh di laman web Der Spiegel tetapi kemudian diganti dengan versi yang ditapis telah menyenaraikan fasiliti SCS di 90 buah lokasi di seluruh dunia termasuk 74 premis dan 14 fasiliti yang dikawal dari jauh.

Ia juga memaparkan dua pusat sokongan teknikal SCS.

Peta tersebut mendedahkan AS memiliki fasiliti pengintipan komunikasi di Jakarta, Kuala Lumpur, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.

Kedutaan AS di Bangkok juga merangkumi pasukan sokongan teknikal dan digunakan untuk mengendalikan premis pengintipan di Konsulat AS di bandar Chiang Mai.

Di Asia Timur, usaha pengintipan AS tertumpu kepada China dengan fasiliti tersebut dibina di Kedutaan AS di Beijing dan Konsulat AS di Shanghai dan Chengdu.

Sebuah fasiliti serupa berada di pejabat diplomatik tidak rasmi AS di Taipei.

Peta itu mengesahkan bahawa operasi pengintipan komunikasi AS melangkaui ke seluruh dunia dengan fasiliti seumpamanya berada di bandar raya utama di setiap benua.

Terdapat lapan fasiliti itu di Asia Selatan termasuk di Kedutaan AS di New Delhi dan Islamabad.

Rantau Asia Barat dan Afrika Utara pula dilitupi oleh tidak kurang daripada 24 fasiliti pengintipan manakala rantau Sahara mempunyai sembilan fasiliti serupa.

Sebelum ini program pengintipan NSA, X-Keyscore telah dibocorkan oleh Snowden.

Program itu merupakan sistem komputer yang digunakan oleh NSA dan rakan perisikannya, FVEY bagi mencari dan menganalisis data internet di seluruh dunia.

Menurut dokumen yang disiarkan oleh akhbar Britain, Guardian, X-Keyscore membolehkan NSA memantau hampir segala aktiviti pengguna internet termasuk e-mel, enjin pencarian internet dan penggunaan laman sosial.

Beberapa sumber perisikan Australia mengesahkan kepada agensi media Fairfax baru-baru ini bahawa fasiliti itu digunakan untuk mengumpulkan maklumat risikan diplomatik, politik dan ekonomi selain keganasan serta keselamatan.

Operasi pengintipan di fasiliti-fasiliti tersebut berlaku di sebuah bilik bangunan kedutaan melibatkan perbuatan mencuri dengar mana-mana perbualan telefon yang disasarkan. -Agensi

Wednesday, October 30, 2013

Album Terbaru Yuna Mendapat Pujian Produser Terkenal Hollywood

Album Terbaru Yuna Mendapat Pujian Produser Terkenal Hollywood

Dalam diam, penyanyi dan komposer Yuna bikin panas lagi. Terbaharu, pelantun lagu Lelaki ini telah diberi lagi pengiktirafan antarabangsa apabila Ryan Seacrest memujinya di laman web rasmi hos TV dan produser Hollywood terkenal itu.

Yuna

Laman blog itu menulis tentang album Inggeris terbaru Yuna berjudul Nocturnal, album kedua penyanyi itu sejak menandatangani kontrak bersama syarikat Verve Records.

Album pertama penyanyi itu berjudul, Yuna diedarkan pada April tahun lalu.

Menurut Seacrest di blognya, “Nocturnal is a strong sophomore effort, full of smooth indie pop production seamlessly paired with Yuna’s angelic voice.”

Nocturnal merupakan album kedua yang cukup unggul dan padat dengan produksi pop indie bersesuaian dengan kelembutan suara Yuna.”

Antara selebriti dari benua Asia yang pernah mendapat pengiktirafan di laman rasmi Seacrest ini termasuk artis kelahiran Filipina, Charice.

Memuatkan 11 buah lagu, 'Nocturnal' turut mendapat sentuhan Yuna sendiri sebagai penulis lirik dan komposer selain menyaksikan kolaborasinya dengan ramai lagi penerbit terkenal dari Amerika Syarikat.

Nocturnal mengetengahkan konsep pop organic, R&B soul dan akustik. Yuna turut melancarkan single pertama dari album tersebut berjudul Falling yang diterbitkan oleh komposer terkenal Robin Hannibal.

'Nocturnal' bakal diedarkan di Ameika pada Oktober 29.

Bintang penghibur berusia 27 tahun itu mula menyinar di Amerika pada tahun 2012 dan muziknya telah berjaya mendapat pengiktirafan di negara Uncle Sam itu apabila majalah hiburan terkenal, Rolling Stone melabelnya “bintang yang bakal menyinar”.

Satu demi satu pengiktirafan mula mengejar Yuna. Akhbar The New York Times menyifatkan karyanya “sangat segar” dan menyuntik pembaharuan dan “edge” terhadap lanskap muzik di negara berkenaan.

Pada bulan September lalu, Yuna telah menjayakan persembahan bertenaga selama beberapa malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Persembahan bertenaganya itu menampilkan Yuna sebagai “a wholesome entertainer” dan boleh dijadikan sebagai testimoni perjalanan kariernya berjalan semakin lancar di peringkat tanahair dan antarabangsa.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com