Thursday, September 05, 2013

Kontroversi Pemilihan Hadiah Keamanan Nobel

Kontroversi Pemilihan Hadiah Keamanan Nobel

Kenapa gerangan Hadiah Keamanan Nobel kadang kala mencetuskan kontroversi berpanjangan seperti berlaku kepada penerima terakhir sebelum ini, Liu Xiaobo dari China?

Nobel Prize

Dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Oslo, Norway tanpa kehadiran beliau dan tidak disertai oleh sekurang-kurangnya 19 negara, termasuk beberapa negara Islam - Arab Saudi, Mesir, Pakistan, Iran, Iraq, Afghanistan, Sudan, Maghribi dan Kazakhastan.

Juga tidak hadir ialah Russia, Vietnam, Filipina, Ukraine, Cuba dan Venezuela. Beberapa nama negara-negara lain tidak dicatat oleh sesetengah akhbar.

Ertinya, beberapa negara komunis, bukan komunis dan Islam sama-sama tidak hadir di majlis penyampaian Hadiah Nobel yang kini berumur 111 tahun.

Segalanya bermula dari wasiat Alfred Nobel (1833-1896) yang mencipta bahan letupan setelah memiliki kilang membuat pelbagai senjata perang yang menjadikannya begitu terkenal.

Berikut cerita dari laporan Wikipedia:

"Pada tahun 1888, Alfred terkejut bila membaca berita kematiannya, berjudul The Merchant of Death is Dead dalam sebuah akhbar Perancis.

Walhal yang meninggal itu ialah abangnya Ludwig dan berita kematiannya itu lapan tahun lebih awal. Alfred berasa kecewa kerana ia tidak mahu dikenang sebegitu rupa.

Lalu beliau meminda wasiatnya. Ramai kemudian terkejut kerana wasiat akhir itu memutuskan supaya kekayaannya digunakan untuk mereka yang menghasilkan faedah terbesar pada manusia.

Nobel mewariskan lebih 90 peratus daripada kekayaannya (sejumlah dollar Amerika $186 juta menurut kiraan tahun 2008) untuk lima Hadiah Nobel.

Antara para penulis yang menerima hadiah ialah Rudyard Kipling, Rabindranath Tagore, Anatole France, George Bernard Shaw, Pearl S. Buck, Bertrand Russel, Ernest Hemingway, Jean-Paul Sartre, Pablo Neruda, Wole Soyinko, Naguib Mahfouz (dari Mesir pada tahun 1988), V.S. Naipaul, Orhan Pamuk (dari Turki, pada tahun 2006).

Antara penerima Hadiah Keamanan pula ialah: Presiden Barack Obama, George Marshall (dari Amerika), Dag Hammarskjold (Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu 1961), Henry Kissinger dari Amerika dan Le Duc Tho dari Vietnam kerana perjanjian damai Perang Vietnam 1973, Aung San Sun Kyi dari Myanmar, Yasser Arafat dari Palestin, Shimon Peres dan Yitzhak Rabin dari Israel pada 1994, Dalai Lama, 1989 dan Liu Xiaobo dari China tahun 2010.

Pemilihan Liu seorang tokoh pembangkang dan penentang dari negeri China mencetuskan kemarahan pemerintah China.

Laporan Xinhua, agensi berita China menyatakan: "Liu telah melakukan pelbagai tindakan subversif terhadap kerajaan China dan ini selaras dengan strategi sesetengah organisasi dan pihak-pihak dunia Barat terhadap negara China.

Itulah sebabnya sesetengah pihak di dunia Barat serta-merta mengalu-alukan dan dengan itu melancarkan serangan baru terhadap negara China".

Liu telah dijatuhkan hukuman 11 tahun penjara kerana kegiatan-kegiatan subversif. Beliau seorang penulis yang melancarkan manifesto pro demokrasi.

Seperti dilaporkan waktu dahulu kontroversi tercetus manakala Dalai Lama menerima Hadiah Nobel. Beliau antara lain memperjuangkan nasib warga Wilayah Tibet dan pergeserannya dengan kerajaan China berlanjutan.

Majlis penyampaian hadiah kepada Liu menyaksikan kehadiran beberapa rakan Liu semasa berlaku demonstrasi di Tiananmen Square di Beijing pada tahun 1989. Antara mereka ialah Yang Jiangli yang dipenjarakan selama setahun dan kini bermastautin di Amerika.

Antara analisa politik ialah pojok Geoff Dyar, ketuai biro akhbar Financial Times di Beijing. Antara lain beliau menulis: "Di kalangan warga China yang berpelajaran, hadiah kepada Liu berupa penghinaan kerana menurut mereka ia tidak menghiraukan perubahan-perubahan pada kebebasan individu.

Para belia China kini bebas bekerja di mana saja, berkahwin dengan sesiapa saja dan berkunjung ke mana saja, yang dahulunya mustahil bagi ibu bapa mereka".

Pertanyaan: Adakah tokoh-tokoh yang menamatkan pertelingkahan berlarutan Palestin - Israel akan menerima Hadiah Keamanan nanti? Bolehkah berdamai dan wujud negara Palestin yang merdeka? -Utusan

Lelaki Bosnia Saman Teman Wanita Banyak Kes Jenayah

Lelaki Bosnia Saman Teman Wanita Banyak Kes Jenayah

Wanita tempatan yang disaman RM600,000 oleh seorang lelaki Bosnia, kelmarin kerana didakwa memperalatkan lelaki itu untuk sperma berkualiti tinggi sebelum ini pernah mengadu kepada Biro Pengaduan Awam MCA, mendakwa dia dipukul.

Lelaki Bosnia Saman Teman Wanita Banyak Kes Jenayah

Pengerusi biro itu, Datuk Seri Michael Chong berkata, wanita termpatan terbabit yang berusia 29 tahun ada bertemu dengannya di pejabatnya sebanyak dua kali selepas membuat laporan polis mendakwa dia dipukul lelaki berkenaan yang ketika itu kekasihnya, Mac lalu.

“Memang wanita itu ada membuat aduan kepada kami berhubung kekerasan dan salah laku lelaki terbabit terhadap dirinya namun, memandangkan kes itu sudah dibawa ke mahkamah saya enggan mengulas lanjut,” katanya.

(Baca: Wanita Warga Malaysia Disaman Kerana Mahukan Seks Enam Kali Sehari!)

Harian Metro semalam melaporkan lelaki warga Bosnia terbabit, Ervin Ahbabovic, 41, selaku plaintif memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menuntut RM600,000 daripada bekas teman wanitanya kerana mendakwa dipergunakan wanita itu.

Dalam penyata tuntutannya, Ervin mendakwa dia dipergunakan defendan bagi memperoleh cahaya mata lebih baik berbanding sperma warga tempatan atas persepsi genetik orang Eropah mempunyai kualiti tiada tandingan, juga dipandang hebat.

Sementara itu, Chong berkata, sebelum ini, pihaknya juga pernah mengendalikan kes bekas isteri lelaki itu yang memohon bantuan pihaknya selepas lelaki terbabit membawa lari dua anaknya pulang ke negara asalnya (Bosnia) pada 14 April 2006.

“Lelaki terbabit dikatakan memujuk bekas isterinya untuk membawa anak mereka pulang bercuti ke negaranya, namun apabila berada di negara itu, kanak-kanan berkenaan dikurung dan dihalang daripada pulang ke Malaysia.

“Berikutan itu, kami melalui Wisma Putra dan Pejabat Kedutaan Malaysia di Bosnia bekerjasama dan berjaya membawa pulang kedua-dua kanak-kanak itu untuk dipertemukan dengan ibu mereka yang juga warga tempatan dengan selamat pada 22 Julai tahun sama,” katanya.

Chong berkata, lelaki itu juga pernah disabitkan kesalahan dengan jenayah gangguan seksual. Malah, beberapa wanita lain juga pernah membuat laporan sama terhadap lelaki terbabit.

Sementara itu, menurut sumber, lelaki yang memiliki taraf penduduk tetap (PR) itu dipercayai mempunyai lebih 20 laporan polis berhubung jenayah keganasan rumah tangga selain pernah dipenjara atas kesalahan berkenaan.

“Terdapat beberapa mangsa yang juga wanita tempatan yang sudah membuat laporan polis selepas mereka mendakwa menjadi mangsa keganasan lelaki itu,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi pula mengesahkan ada laporan berkenaan dibuat ke atas lelaki itu di sekitar Kuala Lumpur membabitkan kes keganasan rumah tangga.

Ervin ketika dihubungi semalam pula menafikan dia terbabit kes keganasan rumah tangga dan gangguan seksual, sebaliknya memberitahu wujud satu akaun sosial palsu yang menggunakan namanya berserta pengakuan jenayah yang konon dilakukannya. -Hmetro

Kongsi Gelap Bersaing Hebat Merebut Kawasan!

Kongsi Gelap Bersaing Hebat Merebut Kawasan!

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan mendedahkan kumpulan kongsi gelap di negara ini kini bersaing hebat sesama sendiri bagi menjadi taikun dadah di sesebuah kawasan.

Kongsi Gelap

Beliau berkata `perang’ di antara kongsi-kongsi gelap itu, yang kini mencetuskan kegusaran orang ramai ekoran penggunaan senjata api secara berleluasa, berlaku kerana mereka mahu menakluk sesebuah kawasan bagi tujuan pengedaran dadah selain menjadi pusat operasi mereka.

“Geng-geng ini berperang sekarang kerana mereka nak merebut kawasan, nak jadi ‘gabenor’ dadah…jadi mereka akan menghapuskan musuh-musuh mereka yang cuba memasuki kawasan mereka dengan senjata api,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya kebanyakan kongsi gelap yang aktif di negara ini telah dibekalkan dengan senjata api oleh sindiket dadah antarabangsa, yang dipercayai turut membekalkan pistol dan bom tangan kepada kumpulan itu.

Ditanya mengapa polis sukar membanteras kongsi-kongsi gelap itu, Zaman Khan berkata sejak dahulu lagi, kekangan yang dihadapi polis ialah keengganan saksi tampil memberikan maklumat kepada polis kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Beliau berkata ada sesetengah kes, orang awam menjadi mangsa kekerasan senjata api oleh kongsi gelap kerana mungkin dipercayai cuba menjadi ‘hantu polis’ (pemberi maklumat polis).

“Semasa saya jadi pengarah dahulu, perkara ini yang menjadi kekangan polis untuk memerangi kongsi gelap kerana keengganan saksi untuk memberikan maklumat. Jadi, polis perlu memikirkan kaedah untuk mendapatkan maklumat dengan melindungi saksi-saksi ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan kegiatan kongsi gelap bukan sahaja tertumpu kepada pengedaran dadah, malah mereka meminta wang perlindungan daripada setiap premis perniagaan yang dijalankan di `kawasan’ mereka.

Zaman Khan tidak menafikan bahawa selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat dimansuhkan, bekas-bekas tahanan jenayah berat dipercayai menubuhkan geng mereka dan bergerak aktif meneruskan kegiatan lama selain membalas dendam terhadap musuh-musuh mereka.

“Perkara ini perlu diperangi habis-habisan oleh pihak polis…ini untuk mengelakkan rasa takut dalam kalangan rakyat,” katanya.

Minggu lepas, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan sebanyak 49 kongsi gelap dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, membunuh, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Dalam Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas bagi membanteras kongsi gelap dan individu terbabit jenayah berat di seluruh negara, PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, satu bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.

Zaman Khan secara sinis juga menempelak sesetengah pihak yang mengkritik tindakan polis menembak mati lima anggota kongsi gelap Geng ’04′ di Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 19 Ogos lepas.

Sambil mempertahankan tindakan Polis Pulau Pinang itu, beliau berkata pihak berkuasa berbuat demikian setelah diancam dengan senjata api.

KDN kenal pasti anggota kongsi gelap sertai politik

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri sudah mengenal pasti individu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam bidang politik di negara ini, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

"Sekiranya ahli politik ini adalah bekas anggota kongsi gelap, mungkin mereka sudah bertaubat dan tidak adillah untuk mengaitkan mereka lagi dengan kongsi gelap.

"Tapi, jika siasatan mendapati mereka masih mempunyai kaitan dengan kongsi gelap, maka kami akan dedah nama mereka dan mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 56 anggota pasukan keselamatan.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas pendedahan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan bahawa seorang bekas banduan yang pernah menjadi ketua kongsi gelap, kini menjadi pemimpin peringkat rendah sebuah parti politik di Pulau Pinang. -Bernama

Dr. Mahathir Yakin AS Tidak Akan Menyerang Syria

Dr. Mahathir Yakin AS Tidak Akan Menyerang Syria

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya Amerika Syarikat (AS) tidak akan melakukan serangan ke atas Syria kerana tindakan itu disifatkan boleh memakan diri.


Dr. Mahathir berkata, ketegasan kerajaan pimpinan Barack Obama kononnya mahu menyerang Syria hanya bertujuan mengelak negara itu menanggung malu atas kenyataan sebelum ini.

Menurut beliau, AS sebelum ini mengugut akan menyerang Syria sekiranya negara itu menggunakan senjata pemusnah dan perkara tersebut sudah terbukti selepas beribu-ribu rakyat negara berkenaan dikatakan terbunuh kerana serangan senjata kimia baru-baru ini.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

"Jadi negara itu mahu mencari jalan keluar dengan menyatakan mahu bertanya kepada Kongres. Kongres AS mungkin membantah, rakyat AS sendiri tidak menyokong pembabitan negara mereka di Syria.

"Obama mahu lari sebab rakannya, Perdana Menteri Britain, David Cameron menyebut mahu menyerang Syria, tetapi Parlimen negaranya tidak setuju," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, serangan AS ke atas Iraq dan Afghanistan sebelum ini memberi pengajaran perang jangka pendek adalah mustahil.

Menurut beliau, AS ketika menyerang Iraq mendakwa mampu menjalankan misi itu dalam tempoh hanya tiga bulan namun berlanjutan hingga lebih 10 tahun.

"Tetapi kini mereka mahu menyerang Syria pula. Apa sebenarnya yang mahu dilakukan di Syria? Mereka mendakwa mahu berperang secara terhad, tetapi bagaimana mahu mengehadkan perang?" katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir menasihatkan rakyat menyelaraskan cara hidup berikutan kenaikan harga minyak.

"Sekarang naik 20 sen, mula-mula rasa pedih tetapi buatlah sedikit penyelarasan. Minyak di Britain dijual dengan harga RM7 seliter," katanya.

Ditanya cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdialog dengan kerajaan, beliau berkata, dialog seperti itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. -Utusan

Rita Rudaini Dan Aidil Zafuan Disahkan Bercerai

Rita Rudaini Dan Aidil Zafuan Disahkan Bercerai

Mahkamah Rendah Syariah di sini mensabitkan lafaz cerai luar mahkamah yang dibuat pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 24, terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 36.

Rita Rudaini

Hakim, Hamizan Mohd Nor memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan keterangan yang diberikan Rita dan Aidil semasa prosiding berlangsung.

Aidil dalam keterangannya mengaku menghantar satu SMS kepada Rita pada 4 Ogos lalu bahawa dia menceraikan isterinya itu dengan talak satu kira2 antara jam 4 hingga 5 petang.

Aidil turut mengaku SMS itu dihantar dalam keadaan waras dan sedar tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

Rita dalam keterangannya juga mengaku menerima SMS itu dan membalasnya dengan perkataan ‘Alhamdulillah’ berserta simbol senyum. -Hmetro

Syria Tidak Gentar Biarpun Perang Dunia Ketiga Bakal Berlaku!

Syria Tidak Gentar Biarpun Perang Dunia Ketiga Bakal Berlaku!

Syria menegaskan negara itu tidak gentar berdepan dengan kemungkinan serangan tentera Barat yang diketuai Amerika Syarikat (AS) berikutan dakwaan penggunaan senjata kimia meskipun berlakunya Perang Dunia Ketiga.

Perang Dunia Ketiga

Dalam temu bual eksklusif AFP dengan Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Muqdad, beliau berkata negara itu sudah mengambil langkah sepatutnya untuk mempertahankan negara itu daripada serangan luar.

Beliau juga menegaskan bahawa Russia tidak akan menyokong tindakan Barat untuk menyerang Syria meskipun Presiden Vladimir Putin mengesyorkan agar Barat mempertimbangkan tindakan itu dengan sebaik-baiknya.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

“Amerika sedang menggerakkan tenteranya dan Damsyik juga melakukan perkara sama dan sekutu kita juga menawarkan bantuan yang diperlukan," katanya.

“Iran, Russia, Afrika Selatan dan beberapa negara Arab sudah menolak sebarang tindakan untuk menyerang Syria dan mereka bersedia untuk berdepan dengan peperangan yang akan disytiharkan Amerika dan sekutunya termasuk Perancis," katanya.

“Kerajaan Syria tidak akan mengubah sebarang kedudukan walaupun berlakunya Perang Dunia Ketiga. Tiada satupun rakyat Syria sangup mengorbankan kemerdekaan negara mereka," katanya.

Ketika ini, Presiden AS, Barack Obama sedang bertungkus-lumus untuk menyakinkan ahli Kongres bagi menyerang rejim Presiden Bashar al-Assad.

Obama Akhirnya Dibenarkan Serang Syria

Krisis Syria

Presiden Amerika Syarikat (AS) akhirnya diberi lampu hijau untuk memulakan tindakan ketenteraan ke atas rejim Bashar al-Assad di Syria.

Sebuah panel Dewan Senat AS memberi kebenaran selepas undi membenarkan 10 manakala tujuh undi menolak.

Undian penuh Senat dijangka dilakukan pada minggu depan.

Resolusi itu nanti akan membenarkan Obama menyerang Syria, tetapi dengan syarat serangan itu tidak boleh melebihi 90 hari dan tidak melibatkan sebarang anggota untuk peperangan di darat.

Undian ini menjadikan ia kali pertama berlaku di kalangan ahli politik AS selepas kali terakhir undian sebegitu diberikan pada Oktober 2002 memberi kebenaran kepada Presiden George W Bush untuk menyerang Iraq.

Memetik laporan Metro UK, Obama dalam satu sidang media di Stockholm, Sweden berkata kuasa barat mesti komited dengan apa yang diperkatakan mereka.

“Bukan kredibiliti saya yang dipertaruhkan di sini tetapi, kredibiliti masyarakat antarabangsa yang dipertaruhkan,” katanya.

“Kredibiliti AS dan Kongresnya juga dipertaruhkan kerana selama ini, Amerika yang memperjuangkan dengan kata-kata tentang isu-isu antarabangsa begini adalah penting.

Serangan AS itu nanti bakal menelan belanja yang besar kepada Obama.

Setiusaha Pertahanan AS Chuck Hagel berkata pihaknya telah melihat kos-kos belanja berbeza untuk tindakan ini dan ia mungkin berjumlah berpuluh juta Dollar Amerika. -mStar/Mynewshub