Wednesday, May 08, 2024

SBDJ Siri 197: Rahsia 4 Peti Hitam

SBDJ Siri 197: Rahsia 4 Peti Hitam

Pada mulanya, saya tidak yakin Syam boleh menunaikan kata-katanya itu. "Boleh kami buat," ulang datuk yang meragui kemampuan Syam. "Boleh pakcik," suaranya meninggi, penuh semangat. Saya senyum sinis, mana mungkin dia boleh melakukannya, bisik hati kecil saya sambil menatap batang tubuh Syam dari atas ke bawah berkali-kali.

Toyol jadi-jadian


"Sekarang pakcik."

"Iya, sekarang, jangan bertangguh," kata datuk.

Saya terpampan, Syam melaksanakan apa yang dikatanya. Dia berlari pantas atas simen hingga sampai ke bucu dapur rumah. Semasa Syam berlari (atas simen) ulat-ulat pemakan bangkai bermunculan di kiri kanan landasan simen.

Ulat-ulat pemakan bangkai yang melompat agak tinggi, jatuh atas permukaan landasan simen yang panas. Ulat-ulat itu menggelepar lalu mati.

Sambil berlari, Syam cuba dengan sedaya upaya mengelak dari memijak hangkai-bangkai ulat atas simen. Syam berpatah balik ke arah saya dan datuk.

Cukup pantas dia bergerak dan saya kagum dengan kemampuannya yang diluar dugaan. Tiba-tiba sahaja dia sudah terpacak dihadapan kami.

"Mari Pakcik." Syam memegang pergelangan tangan kanan datuk.

"Ayuh," sahut datuk.

Dengan tenang datuk mengangkat kaki kanan, melangkah ke atas permukaan landasan simen. Saya lihat tanah dikiri kanan landasan simen berombak dan merkah.

Dari rekahan tanah itu, ulat-ulat pemakan bangkai menghulurkan kepala. Saya jadi cemas, berat rasa kaki mahu melangkah.

"Mari Tamar," Datuk segera menarik tangan kanan, saya tidak ada pilihan dan terpaksa patuh.

Atas nasihat datuk, kami terpaksa berlari sambil melompat, agar tidak terkena ulat-ulat yang cuba melompat ke atas landasan simen.

Saya merasa lega kerana ulat-ulat pemakan bangkai, mati serta merta bila jatuh atas simen yang panas. Makin hampir ke kawasan rumah, rekahan tanah makin menjadi-jadi.

Kepala ulat pemakan bangkai dengan mata yang tertonjol tersembul dalam jumlah beratus-ribu dari rekahan tanah lalu bersatu, berkeliaran dalam barisan yang rapat. Bergerak dan meloncat mengikut bunyi atau irama hentakkan kaki kami bertiga.

Akhirnya, kami sampai ke kawasan rumah yang bahagian bawah serta bahagian kaki limanya diturap dengan simen. Mungkin ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai tidak mampu menolak simen menyebabkan kumpulan ulat dan anai-anai tidak kelihatan di kawasan tersebut.

Sebelum memasuki rumah besar, saya dan datuk mengelilinginya terlebih dahulu.

Gegendang telinga menangkap bunyi berdenggung macam bunyi nyamuk, suara yang berdenggung halus itu datang dari dinding, lantai, gelegar dan tiang rumah. Semuanya itu membuat saya jadi resah.

"Jangan cakap apa-apa, Tamar." Itu yang datuk bisikan ke telinga, saya anggukan kepala sambil terus bergerak dari bucu ke bucu rumah.

Syam yang mengekori di belakang, tidak bersuara sepatah apa pun. Secara mengejut datuk berhenti melangkah, saya hampir-hampir saja melangar belakang datuk, begitu juga dengan Syam.

"Kenapa Tuk?"

"Lihat tu."

Mulut saya separuh terbuka dengan sepasang biji mata terbeliak melihat ke arah rekahan simen yang memanjang bermula dari hujung dapur kerana rekahan itu terlalu kecil dan sempit, saya yakin ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai tidak akan bermunculan disitu.

"Tak mungkin ulat-ulat itu boleh keluar dari sini."

Rupa-rupanya datuk sependapat dengan saya dan rekahan itu tidak kami pedulikan. Kami meneruskan pemeriksaan tetapi, kali ini kami berpecah.

Datuk menuju ke arah dapur, saya ke arah tangga tengah dan Syam ke tangga depan. Semuanya melangkah tunduk dengan berhati-hati merenung kepermukaan simen.

Dalam bahang panas yang kian menyengat itu, badan kami terus berpeluh.

"Pakcik mari lihat ini," jerit Syam yang berdiri kaku didepan tangga depan.

Tanpa mahu menanti arahan dari datuk, saya segera mendekati Syam. Tidak lama kemudian, datuk bergabung dengan saya dan Syam.

"Kenapa Syam?" Tanya datuk.

"Kita naik ke rumah," kata Syam.

"Naik....," datuk tidak meneruskan kata-kata. Dia gosok hujung hidung berkali-kali, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

Angin yang bertiup mengurangkan rasa panas yang mengigit tubuh.

"Kita selamat, binatang laknat tu, tak ada di sini," Syam memberikan semangat dan bunyi berdenggung hilang secara tiba-tba saja. Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

"Ayuh pakcik." Syam terus mendesak dan menarik tangan datuk.

Sepasang matanya tertumbuk ke wajah datuk. Dalam hati, saya mengharapkan datuk tidak akan memenuhi permintaan Syam.

"Iya Syam, kita naik sekarang." Datuk bagaikan dipukau tanpa mengucapkan sesuatu, tanpa toleh kiri kanan, datuk pun memijak mata tangga.

Saya gigit bibir sambil mengharapkan supaya tidak terjadi sebarang keburukan.

PIJAK

Saya terpaksa mengikuti kerenah mereka (datuk dan Syam). Dengan penuh debar mata tangga saya pijak dengan penuh hati-hati, saya menduga dalam kayu tangga itu penuh dengan anai-anai dan boleh patah atau relai bila dipijak.

Mata tangga pertama Mata tangga kedua dan mata tangga ketiga, selamat dipijak dan dilangkah. Tidak ada bahaya menghalang, tidak ada kecelakaan yang terjadi saya bertambah yakin dan berani melangkah dan memijak tangga hingga mata terakhir.

Bila melangkah masuk ke ruang rumah, baru hati saya benar-benar tenang. Semua kayu dan papan yang digunakan memang jenis yang baik, kerawang dan ukiran yang terdapat pada setiap pintu bilik memang menarik, penuh dengan ukiran tradisional.

Syam segera menjenguk setiap bilik dalam rumah. Datuk pula memeriksa dan menjentik jentik tiang seri, setiap kali dijentik terdengar suara seperti denggung nyamuk.

Saya bergerak dari jendela ke jendela meninjau-ninjau keadaaan pemandangan diluar. Cara kebetulan ditingkap terakhir, saya terus meninjau ke bawah ke arah kaki lima dekat sudut bahagian dapur.

Saya tersentak, dua tiga kali kelopak mata saya gosok, tidak begitu yakin dengan apa yang terpamer di depan mata. Ada sesuatu yang keluar dan bergerak dalam jumlah yang banyak dari rekahan simen.

Kerana ingin mengetahui lebih terperinci tentang benda yang bergerak itu, saya pun tidak mengalih pandangan ke arah lain.

"Allahhu akhbar." Terpancut dari kelopak bibir, degup jantung, bertambah kencang. Benda hitam halus yang bergerak itu adalah kepala ulat pemakan bangkai.

Rekahan yang kecil menjadi lebar. Ulat-ulat pemakan bangkai itu sudah berhasil meluluskan diri dari lubang (rekahan) simen lalu bergerak menuju ke arah tiang, ke arah tangga tengah dalam jumlah yang banyak hinggakan permukaan simen bagaikan dibalut dengan ulat-ulat tersebut.

Tidak lama kemudian, muncul pula barisan anai-anai, bergerak bagaikan riak air. Semuanya menuju ke arah tiang dan tangga tengah.

"Oh Tuhan, kenapa semuanya ini berlaku didepan mata saya," batin saya mula dihimpit ketakutan.

"Mungkin ada maksud tertentu dari semua kejadian ini," oleh batin saya lagi.

Rasa cemas dan takut bergolak dalam diri, cukup sukar untuk dilukiskan dengan kata-kata.

"Pakcik." Pekik Syam dari ruang tengah.

Saya segera berlari ke arahnya dan saya dapati datuk sudah pun berada disisinya.

"Lihat tu." Jari telunjuk Syam mengarah ke dinding. Biji mata datuk dan saya tertumpu ke arah tersebut.

Apa yang datuk dan saya lihat sungguh mengejutkan. Berjuta-juta anai-anai dan ulat pemakan bangkai memanjang dinding bilik, memutih dan nampak sekata.

Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai yang lemah berjatuhan dilantai. Wajah Syam cemas sekali. Datuk nampak tenang dan keresahan terus memukul tali gantung saya.

Entah apa yang mendorongnya, secara tiba-tiba Syam jadi tidak tentu arah. Sambil berlari dia memukul-mukul kepala dan dadanya, mengoyak-goyakkan baju yang dipakai.

"Syam, bawa bertenang." Datuk cuba mendamaikan perasaan Syam yang bercelaru.

Ternyata usaha datuk itu tidak berhasil, tidak diendahkan oleh Syam. Dia terus mengubah haluan, kali ini Syam berlari ke arah ruang dapur.

Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai, tindih menindih memanjat dinding bilik. Mana yang jatuh atas lantai terus berlompatan seolah-olah berpesta ria.

"Bagaimana tuk?" Tanya saya.

"Bersabar Tamar, bilik ini agak istimewa keadaannya, kau lihat keadaan di dalamnya," bisik datuk pada saya.

"Iya," saya mengangguk.

Melihat keadaan atau susunan dalam bilik itu, saya segera meramalkan bilik yang dikuasai olah ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai ini, bukannya sebarang bilik, memang bilik istimewa.

Tetapi, siapa yang tinggal di dalamnya? Adakah Syam atau bekas isterinya? Timbul persoalan dalam hati kecil saya.

PETI

Saya lihat ada empat peti yang berukuran lebar sekitar dua kaki setengah dan panjangnya kira empat kaki.

Dicat dengan warna hitam dan terletak pada setiap sudut bilik, beralaskan dengan kain dua warna, separuh hitam dan separuh merah, bahagian yang bersambung dijahit dengan benang besar berwarna kuning. Setiap peti dikunci dengan mangga tembaga besar.

Di tengah-tengah bilik terdapat sebuah pangkin (tempat tidur) yang dibuat daripada kain belacu. Ada dua biji bantal biasa dan sebiji bantal panjang yang sarungnya dari kain dua warna, hitam dan merah.

Terdapat dua dupa yang terletak di kaki pangkin di bahagian kepala bersama dengan arang. Di tepi dupa terdapat beberapa ketul kemenyan putih dan biasa.

Saya merasa pelik, lantai dibawah pangkin tidak dihampiri oleh ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai. Begitu juga dengan lantai sekitar peti hitam.

Antara jelas dengan tidak, sayup-sayup terdengar suara perempuan merintis.

"Itu suara isteri saya," kata Syam.

Dia terus merempuh saya dan datuk, hampir saja saya mahu jatuh dibuatnya.

"Pelik perangainya," saya merunggut.

"Jaga mulut," kata datuk yang dapat menangkap rungutan saya itu.

Syam terus meluru dan masuk ke bilik sebelah kanan. Tetapi, dia bagaikan tercampak keluar, macam ada sesuatu yang menendangnya dari dalam. Dia jatuh terduduk atas lantai.

Cepat-cepat Syam bangun lalu berdiri di muka bilik dengan kedua tangannya memegang jenang pintu.

Saya dan datuk segera mendekatinya. Datuk di kanan, manakala saya disebelah kiri.

"Pakcik dengarsuara isteri saya." Datuk dan saya berpandangan.

"Itu suara isteri saya," ulangnya lagi.

Bila sepasang matanya menghala ke wajah saya, cepat-cepat saya alihkan pandangan ke arah jendela yang terdedah. Ternyata diluar panas terlalu terik, tidak ada angin yang bertiup. Dedaun nampak kaku dalam sinaran matahari yang menyengat.

"Dengar suaranya pakcik," kali ini sepasang mata Syam tertumpu ke wajah datuk.

Saya nampak datuk mengangguk lemah. Memang saya mendengar suara perempuan merintih, tenggelam timbul bersama suara anai-anai dan ulat pemakan bangkai.

"Ulat-ulat dan anai-anai memakan daging isteri saya pakcik. Tolong dia pakcik," Syam merayu bersama isak tangis memanjang.

Tubuhnya menggeletar. Matanya merenung tajam ke arah anai-anai dan ulat-ulat pemakan bangkai yang merayap didinding bilik.

"Bertenang Syam, kami tak nampak apa-apa, melainkan ulat dan anai-anai memakan dan memanjat papan dinding," kata datuk.

"Huuuhhhhhh..." Syam terus mengeluh, bersama sedu, bersama air mata.

Ulat-ulat dan anai-anai yangmerayap didinding menimbulkan bunyi suara berdecut decut yang halus dan nyaring membuat saya menggigil.

"Isteri saya lari ke bilik sebelah."

Syam segera menerkam ke bilik yang menempatkan ranjang dan peti kayu yang bercat hitam. Kali ini, dia tidak terus masuk, sekadar berdiri dimuka pintu. Saya dan datuk mengekorinya.

"Ini bilik isteri saya." Tanpa diminta Syam memberi penerangan.

"Bilik untuk apa?" Secara tidak sengaja saya meningkah.

"Untuk beramal, di malam-malam tertentu dia bersemadi disini." Keterangan yang datuk ungkapkan membuat datuk menarik nafas panjang.

Saya kedutkan dahi sambil merenung ke dalam bilik. Keadaannya, tidak banyak berubah dari tadi. Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai masih berkeliaran. Malah ada yang sudah menghampiri lantai dibawah pangkin dan peti kayu hitam.

Empat penjuru dinding bilik terus dikuasai ulat-ulat pemakan mayat dan anai-anai. Apa yang berlaku di depan mata menimbulkan seribu persoalan dalam kepala saya.

BANYAK

Dari manakah datangnya binatang yang menjijikkan ini? Pertanyaan ini, bagaikan tidak mahu lekang dari dalam kepala saya.

Mungkin sudah berjuta-juta ulat dan anai-anai mati akibat tindih menindih dan berebut-rebut untuk memamah papan dinding. Namun jumlahnya, tidak juga berkurangan malah bertambah banyak.

"Pakcik tak dapat menolong kamu Syam."

Sepasang anak mata datuk tertumbuk ke wajah Syam yang nampak panik dan kecewa. Dia melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah berkali-kali.

"Habis, pakcik mahu biarkan saya begini? Pakcik mahu membiarkan mata saya digigit ulat dan anai-anai ganjil ni."

Kata-kala yang Syam luahkan membuat datuk resah, keningnya berkedut, sekali sekala dia mengaru hujung dagu tidak gatal. Datuk bagaikan berada di dalam dilema.

"Jadi pakcik mahu balik sekarang?" Menyusul pertanyaan dari Syam, sinar matanya nampak layu.

"Begitulah kira-kiranya," jawab datuk dalam keriuhan suara ulat pemakan bangkai dan anai-anai mengunyah papan dinding.

Saya tersentak, kain dua warna penutup keempat-empat peti kayu hitam bergerak sendiri macam ada tangan halus yang menariknya.

Kain penutup terbang dari penjuru ke penjuru dinding dan akhirnya bercantum bergulung-gulung menjadi seketul tanah merah seperti kubur lalu jatuh ditengah-tengah pangkin. Terus diam disitu.

Dan tanpa berkata sesuatu Syam terus berlari ke arah dapur. Kemudian datang ke arah kami dengan sebilah parang ditangan kanan. Tangan kirinya membawa sebotol penuh minyak tanah bersama sekotak mancis.

Sudah tentu perbuatan Syam itu membuat saya jadi resah dan datuk bertambah binggung. Tetapi, kami tidak memberikan sebarang komentar terhadap tindak tanduknya itu.

"Tak mengapa, kalau pakcik nak balik, baliklah. Biar saya bunuh ulat dan anai-anai ni. Saya nak bakar sampai mampus, mana yang hidup saya nak cincang," tutur Syam, nada suaranya keras.

Dia pun menyiram minyak tanah ke atas lantai bilik, semasa mancis api dinyalakan, datuk segera menepis sehingga anak mancis bertaburan dilantai, manakala kotak mancis terpelanting ke tengah bilik.

Dalam sekelip mata, kotak mancis terus dikerumuni anai-anai. Tidak sampai lima minit, kotak mancis hancur lebur dimamah anai-anai.

"Perbuatan kamu membahayakan diri sendiri, Syam."

"Saya tak boleh tahan lagi pakcik, biar saya bunuh ulat dan anai-anai laknat ini."

"Sabar Syam." Sebaik saja Syam mengakhiri kata-kata, dia mengadu kepalanya terasa pening.

Syam segera dipimpin ke suatu sudut rumah yang belum didatangi ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai. Syam segera didudukkan di situ, datuk pun memulakan rawatan singkatnya.

Sebaik sahaja telapak tangan kiri datuk menjamah batang leher Syam, terdengar bunyi dentuman yang kuat dari bilik yang menempatkan empat peti hitam.

Syam yang kurang sihat segera bingkas lalu menerpa ke arah bilik yang berdentum. Saya dan datuk turut bergerak ke arah yang sama.

Sungguh mengejutkan, dinding bilik roboh sendiri. Seluruh ruang bilik dikuasai asap nipis bersama bau kemenyan yang semerbak. Kami bertiga tergamam.

Syam yang tadi mengadu sakit kepala nampak sihat dan bertenaga sekali. Bila bau kemenyan dan asap hilang, segala-galanya menjadi jelas.

Papan dinding yang roboh menghempap semua peti hitam hingga pecah berderai. Saya menarik nafas dalam-dalam.

"Emas," kata saya perlahan-lahan.

Dan biji mata saya menatap barang-barang kemas yang bertaburan atas lantai, begitu juga dengan kain baju dan barang-barang yang lain.

Semua barang-barang tersebut terus dikerumuni anai-anai serta ulat pemakan bangkai.

"Itu harta bekas isteri saya pakcik, mesti diselamatkan sebelum hancur," Syam segera mengangkat kaki kanannya.

"Jangan Syam," tegah datuk sambil memegang bahu Syam yang kelihatan tidak keruan. Syam patuh dengan permintaan datuk.

"Semuanya punah," Syam bagaikan mengeluh.

"Sabar," datuk terus memujuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 197/284

BACA: SBDJ Siri 196: Dikejar Ulat Bangkai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, May 07, 2024

SBDJ Siri 196: Dikejar Ulat Bangkai

SBDJ Siri 196: Dikejar Ulat Bangkai

Bagi memastikan apa yang berada di dalam perut bumi, datuk segera mengambil sepotong kayu yang panjangnya kira-kira tiga kaki. Pada pengamatan saya, kayu tersebut adalah dahan pokok manggis yang patah. Dengan dahan kayu manggis itu juga, datuk menekan permukaan tanah yang berombak.

Toyol jadi-jadian


Sungguh mengejutkan, dalam sekelip mata saja dahan manggis yang dibenamkan terus hancur. Bagi menggelakkan kehancuran itu melarat ke bahagian atas, datuk terus menyentap bahagian dahan yang terselamat.

Dari lubang kayu yang dicabut, muncul beratus ribu anai-anai dan ulat pemakan bangkai.

"Pelik," datuk merunggut.

"Memang pelik tuk," secara tidak sengaja saya bersuara.

"Humm..." datuk seperti mengeluh.

Bahagian kayu yang berada ditangan segera dilemparkan ke arah kumpulan anai-anai dan ulat pemakan bangkai yang keluar membuak-buak dari lubang.

Merayap dipermukaan bumi, kemudian berebut-rebut masuk ke lubang, saling tindih-menindih, gigit-mengigit. Akibatnya, ada yang mati.

Sebaik saja puntung kayu yang dilemparkan oleh datuk jatuh atas tanah milik bekas isteri Syam, ulat pemakan mayat dan anai-anai membuak-huak keluar dari lubang, berkejaran menuju ke arah puntung kayu yang tersadai lalu menghurungnya.

Dalam sekelip mata, puntung kayu itu hilang tanpa kesan. Dan anai-anai serta ulat pemakan mayat kembali berebut-rebut masuk ke lubang.

Semua yang terjadi didepan mata, memang tidak masuk di akal. Sukar untuk dipercayai oleh orang lain.

"Lihat saja Tamar, jaga mulut jangan celupar," datuk mengingatkan saya sambil merenung ke tanah yang kembali berombak, beralur memanjang menuju ke arah rumah arwah isteri Syam.

Bunyi anai-anai dan ulat pemakan bangkai jelas kedengaran seperti desiran angin. Adakalanya, memekakkan anak telinga.

"Belum pernah aku melihat kejadian seperti ini," terkeluar ungkapan dari kelopak bibir datuk, matanya tidak berkedip melihat tanah yang beralun dan berombak.

KERING

Semua pepokok yang tumbuh di kawasan tanah tersebut kelihatan mati kekeringan. Dedaun yang mati kering berguguran, kulit pohon merkah dan terkoyak.

Setiap kali dahan atau ranting yang kering jatuh ke bumi terus hilang dimamah anai-anai dan ulat pemakan bangkai.

Saya yakin, sama ada di rempuh angin atau tidak pokok-pokok yang mati kekeringan itu akan rebah ke bumi untuk habuan ulat pemakan bangkai dan anai-anai dibumi.

"Sejak bila keadaan jadi begini?" Sepasang anak mata datuk meraut tajam ke wajah Syam.

Sebelum meluahkan jawapan, Syam mengedutkan dahi seolah-olah mengingati sesuatu ditengah-tengah pancaran matahari yang terik.

"Selepas berpisah dengan pakcik di jalan besar, saya terus balik. Tapi, sepanjang malam tu, saya tak dapat tidur."

"Kenapa pula?" Soal datuk.

"Pintu bilik saya diketuk orang bertalu-talu, bila dibuka tak ada apa-apa. Perkara macam tu berlaku setiap malam hingga ke subuh."

"Selalunya, pukul berapa pintu bilik kamu mula diketuk?"

"Kira-kira pukul sebelas malam, pada kebiasaannya ada tanda-tanda dulu."

"Apa tanda-tandanya," datuk memintas.

"Saya terdengar suara anjing menyalak panjang. Sayup-sayup. Kemudian saya terasa seram, bulu roma saya tegak dan saya tercium bau hapak, macam bau bangkai kering. Bila semuanya hilang, barulah pintu bilik saya diketuk. Bila gangguan itu hilang..." Syam tidak meneruskan ceritanya.

Syam terus mengigit ibu jari kanan dan menghisapnya macam budak kecil menghisap puting. Biji matanya terbeliak, bila pokok durian dibucu sempadan yang mati kering, cara mendadak tumbang ke bumi.

Dalam sekelip mata, anai-anai dan ulat pemakan bangkai menghurungi batang durian hingga hilang tanpa meninggalkan sebarang bekas.

Sesungguhnya, apa yang berlaku membuat kami (datuk, saya dan Syam) terpegun kehairanan. Perlahan-lahan datuk gelengkan kepala.

Saya tidak dapat menangkap maksud dari gelenggan kepada datuk itu, sama ada bermaksud kagum atau menafikan kejadian yang dilihatnya.

"Pedulikan apa yang terjadi, sambung cerita kamu yang terputus tadi, Syam," perlahan sekali nada suara datuk.

Tetapi, senyuman untuk Syam bertali arus dikelopak bibirnya.

"Bila gangguan itu hilang, saya terdengar macam ada sejenis binatang mengigit kayu yang ada di dalam rumah seperti papan dinding, kayu tingkap, palang pintu. Pendek kata mana-mana alat-alat atau perkakas rumah yang dibuat dari kayu. Bila saya ketuk bahagian kayu yang dijangka ada binatang kecil, bunyi bising itu terus hilang."

"Masa bila bunyi bising dalam kayu itu betul-betul berhenti?" Tanya datuk.

"Bila matahari terbit."

"Kamu tidak cuba mengesannya, Syam."

"Tidak pula, kerana saya tak perlu. Sebabnya, semua kayu dalam rumah nampak teguh dan utuh."

MANGSA

"Habis macamana, secara tiba-tiba saja kamu datang mencari aku dengan Haji Basilam?" Pertanyaan yang membuatkan Syam membeliakkan biji mata ke arah datuk.

Saya tumpukan seluruh perhatian ke arah Syam kerana saya mahu mendengar apa jawapan yang akan diberikan oleh Syam terhadap pertanyaan yang diajukan oleh datuk padanya sebentar tadi.

Peluh yang meleleh dihujung kening kiri, segera dikesatnya dengan jari telunjuk. Panas semakin terik dan angin kering yang bertiup menerbangkan dedaun kering.

Burung helang mula terbang diangkasa sambil berbunyi mengintai mangsa yang terdiri dari tikus atau anak ayam.

"Pada mulanya, saya ambil sikap tunggu dan lihat. Saya tidak mahu menyusahkan pakcik. Saya mula pada pakcik dengan kejadian ditepi jalan besar," Syam gosok pangkal telinga.

"Teruskan," desak datuk.

"Bila saya nak buka reban ayam, saya lihat semua ayam peliharaan arwah isteri saya mati, padahal sebelum itu semua ayam sihat segar," sambung Syam lagi.

Saya kira, cerita selanjut dari Syam pasti menarik dan memikat. Sudah sewajarnya, saya menumpukan perhatian pada diri Syam dan datuk, demikian saya merumuskan dalam hati kecil.

KERING

Angin kering yang tadi bertiup agak lemah kini bertukar menjadi agak kencang. Rerumput yang kering berterbangan diudara dan dedebu bergerak bebas.

Suara helang kian gamat di angkasa, sesekali menjunam ke bumi menyambar mangsa. Tidak dinafikan, angin kencang memberikan rasa sejuk pada diri saya.

"Kamu tak siasat, kamu tak cari puncanya Syam?" Sepasang anak mata datuk tertumpu ke arah sepasang mata milik Syam.

"Saya siasat pakcik."

"Apa puncanya?"

"Saya lihat beribu-ribu ulat dalam reban."

"Dari mana ulat-ulat itu datang?" Soal datuk.

"Ulat-ulat itu keluar dari dalam tanah. Saya tengok dengan mata kepala saya sendiri ulat-ulat itu menghurung ayam yang masih bernyawa. Ulat-ulat itu masuk ke dalam badan ayam melalui dubur, telinga, mulut. Dalam masa beberapa saat saja seekor ayam lenyap dari pandangan, bulunya juga tidak kelihatan."

"Dahsyatnya serangan ulat itu, berapa jumlah ayam ada dalam reban tu, Syam?" sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya, datuk mengemukakan pertanyaan pada Syam.

Syam mengaru-garu batang lehemya beberapa kali sambil merenung ke arah bucu sempadan, mata berkedip dan keningnya kelihatan berkedut dan bergaris. Agaknya, dia cuba mengingati jumlah ayam peliharaan arwah isterinya.

"Kalau tak silap saya, jumlah ayam dalam reban tu lebih dari enam puluh ekor," mendadak saja Syam bersuara.

"Semuanya habis dimakan ulat?"

"Iya pakcik, tidak sampai satu jam semuanya ranap hinggakan sehelai bulu pun tak tinggal. Badan ulat yang sudah kekenyangan itu nampak kemerah-merahan bila kena cahaya matahari. Ulat-ulat itu terus masuk ke dalam tanah. Besar ini badannya," Syam terus menegakkan jari kelingkingnya. Diwajahnnya, tergambar rasa jijik dan ngeri yang amat sangat.

Saya dapat membayangkan bagaimana rupa atau bentuk ulat yang sudah kenyang. Tidak jauh bezanya dengan lintah atau pacat yang sudah buncit dengan darah, sukar untuk membawa badan dengan pantas, bergerak dalam keadaan mengisut atau berguling-guling dengan ekor terkedik-kedik macam ekor babi.

Hodoh rupanya dan mengelikan, boleh membuat tekak menjadi loya. Kalau tidak tahan boleh muntah dibuatnya.

"Bala apa yang menimpa saya pakcik," Syam bersuara minta simpati.

Tidak ada jawapan atau pertanyaan susulan dari datuk. Dia asyik termenung saja. Barangkali ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Saya takut pakcik," secara mengejut Syam bersuara.

Anehnya, kata-kata itu tidak diteruskan, sebaliknya dia menelan air liur berkali-kali.

"Apa yang kamu takutkan?" saya memberanikan diri mengambil alih tugas datuk untuk menyoal Syam.

Saya tidak peduli, sama ada perbuatan itu direstui oleh datuk atau sebaliknya. Pokoknya, saya tidak mahu Syam kerap sangat berhenti, semasa bercerita. Dia harus meneruskan ceritanya hingga tamat.

"Bila semua ulat-ulat masuk ke dalam tanah, saya jadi binggung kerana lantai, dinding, tiang, bumbung reban dipenuhi dengan anai-anai yang bentuknya agak berbeza dengan anai-anai biasa, badannya sebesar anak mancis muncungnya macam muncung belalang. Suaranya macam kumbang kayu. Tidak sampai sepuluh minit, seluruh reban hancur hilang dari pandangan saya, tidak ada sebarang kesan atau tanda yang dikawasan itu pernah didirikan reban ayam," cukup lancar Syam bercakap.

Dan dia berjaya menarik perhatian datuk.

"Kerana kamu tidak tahu, apa yang harus kamu lakukan, jadi kamu cari aku dan Haji Basilam."

"Iya pakcik," Syam anggukkan kepala.

"Macamana kamu memijak tanah yang berombak ni?" Tanya datuk.

"Semasa saya meninggalkan kawasan rumah ni, keadaan tanah macam biasa, tidak macam ini. Cuma saya terdengar bunyi berdengggung halus dan nyaring, macam bunyi nyamuk di setiap sudut tanah milik arwah isteri saya." Syam tersedak.

BANGKAI

Datuk menggelengkan kepala, kemudian merenung daun dan ranting pokok pauh. Angin yang bertiup menggugurkan daun pauh yang tua.

Dan saya mula merasa resah serta bosan yang berpanjangan dalam menghadapi masalah yang kira tiada penghujungnya.

"Kita balik saja, tuk."

"Jangan pergi pakcik, tolonglah saya," Syam merayu dengan wajah penuh kehibaan.

Datuk jadi serba salah.

"Kamu nak suruh aku buat apa, Sham?"

"Tolong selamat rumah dari anai-anai, selamatkan saya dari jadi korban ulat pemakan bangkai."

"Kalau kamu nak selamat dari semuanya ini, ikut aku ke Tanah Melayu."

"Tak mungkin pakcik," Syam gelengkan kepala.

Datuk termenung panjang. Dia berhadapan dengan masalah yang sulit. Dari gerak matanya, saya dapat menduga yang datuk memang berhasrat mahu melepaskan Syam dari masalah yang melingkari dirinya.

"Hidup mati saya mesti disini, itulah wasiat arwah isteri saya. Tolong selamatkan barang-barang bekas isteri saya," tambah Syam, kelopak matanya mula digenangi air jernih.

Tiba-tiba saja muncul rasa marah dan benci terhadap Syam. Rayuan dan permintaannya pada datuk memang berat. Kalau dipenuhi pasti membawa kecelakaan pada datuk.

Siapalah yang berani memperjudikan diri memijak tanah yang dibawahnya penuh anai-anai dan berjuta-juta ulat pemakan bangkai yang kehausan darah dan daging busuk.

"Apa yang ada dirumah bekas isteri kamu Syam?" Datuk sandarkan tubuh ke pohon pauh.

"Ada emas, ada berlian, mutiara dan intan permata disimpan dalam kotak-kotak khas, selain dari kain baju, wang ringgit. Arwah isteri berpesan supaya saya menjaga barang-barang tersebut dengan sebaik mungkin. Saya boleh menggunakannya bila saya susah."

"Berapa kotak emas berlian tu Syam?" Saya lihat Syam menggaru pangkal telinga kanannya. Dua tiga kali dia mundar mundir didepan datuk.

Mungkin ada keraguan dalam dirinya, kenapa datuk bertanya jumlah intan dan emas berlian peninggalan isterinya.

"Aku cuma nak tahu saja, bila tahu jumlahnya senanglah kita membuat perhitungan untuk membawa barang-barang itu keluar dari rumah," datuk menekan akar pauh dengan tumit kaki kanan.

"Banyak, lebih dari dua ratus kotak pakcik."

"Banyak tu."

"Iya pakcik," angguk Syam sambil matanya merenung ke arah tanah yang berombak.

Beberapa ekor ulat pemakan bangkai melompat-lompat dipermukaan tanah sebelum masuk ke perut bumi kembali.

"Macammana kita nak masuk ke rumah, kalau kita pijak tanah arwah isteri kamu, hancurlah tubuh badan kita, nanti kita tinggal nama saja Syam. Cuba kamu fikirkan, bagaimana caranya kita boleh sampai ke sana," ucap datuk dengan tenang.

"Iya, bagaimana caranya?" ulang Syam dalam nada suara yang amat lemah sekali.

Dia kembali berlegar-legar dihadapan datuk dan saya. Syam terus duduk, kedua belah kakinya dilunjurkan dan badan disandarkan ke pangkal perdu pauh. Sepasang kelopak matanya dirapatkan dan dahinya mula berkerut.

Datuk masih bersandar diperdu pokok pauh, mungkin dia mencari ketenangan. Sepasang tangan datuk memeluk tubuh dengan erat, kicau burung diranting pauh jelas kedengaran, matahari terus bersinar.

"Ada satu jalan selamat," pekik Syam sambil melompat kegirangan.

Saya dan datuk tercenggang dengan perubahan sikap Syam yang mendadak itu.

"Ikut saya pakcik," sambungnya lalu menarik tangan datuk sambil matanya merenung ke arah saya, seolah-olah memberitahu bahawa saya harus ikut serta.

"Ke mana Syam," ada keraguan bersarang dalam hati datuk.

"Ikut saja pakcik, ini jalan selamat untuk kita semua."

"Jangan banyak tapi lagi pakcik, kita ada jalan selamat. Cuma dengan cara ini saja pakcik boleh menolong saya, boleh menyelamatkan harta benda arwah isteri saya," cukup riang suara Syam.

SAMBIL

Sambil berlari Syam terus menarik tangan datuk menuju ke arah kawasan sempadan tanah. Sebaik saja sampai diperdu pisang nangka, Syam berhenti berlari.

"Kita mulakan dari sini," Jari telunjuk Syam menuding ke arah tanah yang diturap dengan simen.

Lebamya kira-kira dua kaki dan panjangnya bermula dari bahagian tanah orang lain dan berakhir dibahagian dapur bekas isteri Syam.

"Kamu ada jalan rahsia?" Tanya datuk.

"Tak ada jalan rahsia pakcik, ini simen penutup longkang yang mengalirkan air dari rumah ke parit besar dan terus ke sungai," Syam terus mengaiskan-ngaiskan daun-daun yang menutup permukaan simen dengan reranting kayu bercabang lima hingga sampai kawasan parit besar yang bersambung dengan sebatang anak sungai, airnya mengalir kotor.

"Tuan tanah yang bersempadan dengan tanah arwah isteri kamu, tidak marah tanahnya dikorek untuk dijadikan saluran air. Agak luas juga tanahnya digunakan," risik datuk lagi.

"Begini pakcik, dari tempat sempadan tanah orang lain hingga sampai ke parit besar, panjangnya lebih kurang dua kaki dan lebarnya kira-kira dua kaki. Tanah yang seluas itu diberi sagu hati hampir dua ribu oleh isteri saya," kata Syam dengan wajah yang bangga.

"Begitu, isteri kamu memang pemurah Syam."

"Kira-kiranya, begitulah pakcik," muka Syam bertambah kembang.

"Hum..." Datuk anggukkan kepala.

Setelah puas berlegar-legar diperdu pisang nangka, Syam tersenyum ke arah saya dan datuk.

"Ada apa Syam?" Tanya datuk.

"Biar saya uji dulu, kalau saya selamat baru pakcik ikut."

"Silakan Syam dengan syarat."

"Apa syaratnya pakcik."

"Bila kamu sampai ke bahagian belakang rumah, kau berpatah balik ke sini."

"Boleh pakcik," sahut Syam.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 196/284

BACA: SBDJ Siri 195: Terkapar Di Pangkal Pokok
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, February 27, 2024

SBDJ Siri 195: Terkapar Di Pangkal Pokok

SBDJ Siri 195: Terkapar Di Pangkal Pokok

"SUBHANALLAH, Allahhu akbar." Itu yang terkeluar dari kelopak bibir Datuk. Dia yakin benar, pandangannya memang tidak salah lagi. Pengusung jenazah itu bergerak serta terangkat separas pinggangnya.

Toyol jadi-jadian

"Ini semua permainan syaitan," rungut datuk sambil meludah sebelah kiri. Dan dia terus mempersetankan tentang pengusung jenazah tersebut.

Perjalanan diteruskan, setiap lima atau enam minit, datuk akan menoleh ke belakang, ternyata pengusung jenazah itu masih mengekorinya.

Datuk mengambil keputusan nekad, tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan dia sanggup menerima sebarang risiko dari tindakkannya itu.

Bila sampai di gigi jalan besar yang keadaannya tidak sesamar keadaan di kawasan perkuburan, barulah datuk menoleh ke belakang untuk mempastikan apakah pengusung jenazah itu masih mengekorinya.

Sungguh mengejutkan, pengusung jenazah misteri itu ghaib entah ke mana.

"Ke manapula menghilangnya?" Hati kecil datuk bergolak. Dahinya berkerut.

"Lupakan saja, banyak perkara lain yang mesti aku fikirkan," datuk membuat keputusan nekad. Dan di tepi jalan itu juga, tugas Pak Imam sebagai kepala jalan segera berakhir.

Anak buah ketuakampung berpecah dari barisan membawa haluan dan matlamat masing-masing. Ada yang terus pulang ke rumah, ada pula yang menuju ke kedai.

"Kalau begitu, kami minta diri, pulang dulu. Lagi pun hari dah dekat maghrib," serentak Pak Imam dan ketua kampung bersuara.

"Silakan," jawab Haji Basilam.

Mereka pun segera beredar. Tinggallah datuk, Haji Basilam dan Syam di situ dengan wajah yang nampak agak resah.

"Macamana dengan kamu Syam? Nak balik ke rumah atau nak ikut kami," datuk mengajukan pertanyaan kepada Syam yang tercegat ditepi jalan, mendonggakkan muka ke langit melihat gumpulan awan yang bergerak ke arah barat daya.

Tiada jawapan yang diluahkan oleh Syam. Dia nampak resah semacam. Tindakannya itu kurang disenangi oleh Haji Basilam.

Kalau dia memberi jawapan segera, ertinya Haji Basilam tidak perlu berada lama di sini. Boleh pulang terus ke rumah.

"Macam mana Syam, beri keputusan cepat, kami tak boleh lama-lama disini," Haji Basilam terus mendesak.

Syam masih macam tadi, masih membisu dan merenung awan di dada langit. Mungkin kerana waktu maghrib sudah hampir atau tidak mahu melayani kerenah Syam, Haji Basilam dan datuk mengambil keputusan yang mengejutkan.

Mereka terus meninggalkan Syam sendirian disitu.

"Budak tu memang pelik," kata Haji Basilam.

"Biarkan dia," sahut datuk sambil mempercepatkan langkah.

BAWAH

SEMASA datuk dan Haji Basilam melintasi bawah pokok besar, mereka terdengar suara jeritan dari Syam.

Langkah terpaksa diberhentikan dan serentak mereka menoleh ke belakang. Datuk dan Haji Basilam mengalami kejutan besar.

Sambil menjerit Syam menerkam ke arah mereka, ditangan kanannya terhunus sebilah keris berluk tujuh.

"Dari mana dia dapat keris tu?"

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, Haji Basilam masih sempat mengajukan pertanyaan.

"Itu tak penting, apa yang penting selamatkan diri kamu," balas datuk sambil mencari tempat yang difikirkan selamat untuk berlindung.

Syam yang bagaikan dirasuk hantu terus menerpa ke arah datuk dan Haji Basilam. Dengan tangkas datuk melompat ke kanan, Haji Basilam melompat ke kiri.

Syam terlajak ke depan dan kaki kirinya tersepak akar pokok besar yang berselirat di muka bumi.

Akibatnya, Syam tersungkur ditanah tetapi, secepat kilat dia bangun. Berdiri tegak dengan sepasang anak mata liar merenung kirikanan.

Keris berluk tujuh tergenggam erat dalam tangannya.

"Kamu, jeritnya dengan wajah geram.

Sepasang biji mata yang kemerah-merahan tertumbuk ke wajah datuk. Memang tidak salah dugaan Haji Basilam, Syam menjadikan datuk sebagai sasaran utamanya.

Serangan yang bertalu-talu, memaksa datuk mengelak dan berlindung di balik pokok besar.

Seboleh-bolehnya, datuk tidak mahu bertindak balas, kecuali kalau sudah terdesak. Datuk juga tidak mahu Haji Basilam turun tangan dalam pertarungan ini.

"Haji..."

"Kenapa?"

"Jaga diri kamu, perhatikan gerak-gerinya kalau-kalau dia menyerang kamu," dalam keadaan yang kelam-kabut itu datuk masih mengingatkan kawan karibnya.

"Jangan campur dalam urusan ni, biar aku selesaikan sendiri," tambah datuk sambil merendahkan tubuhnya separas tunggul (yang tingginya kira-kira tiga kaki) bagi mengelakkan serangan Syam yang dibuat secara terkaman terbang bersama dengan tendangan kencang serta tikaman bertubi-tubi.

Taktik yang dilakukan oleh datuk berhasil, tendangan yang dilepaskan oleh Syam terkena batang pokok renek.

Haji Basilam mengkerutkan dahi kehairanan, walaupun sudah berkali-kali jatuh dan menendang tunggul dan pepokok renek, Syam tidak kelihatan letih, tubuhnya tidak calar-balar. Cuma seluar dan bajunya saja yang koyak rabak.

"Hati-hati haji," untuk sekian kalinya datuk mengingatkan Haji Basilam.

"Iya, aku faham," jawab Haji Basilam sambil berusaha menjauhkan eliri dari Syam, terutama ketika Syam melakukan serangan atau terjatuh.

TANDA

HAMPIR dua puluh minit masa berlalu, tidak ada tanda-tanda keletihan pada diri Syam. Malah dia nampak kian bertenaga dan bersemangat. Tidak putus-putus menyerang bersama tikaman bertubi-tubi.

Sayangnya, serangan yang dilakukan tidak ada satu pun mengenai tubuh datuk.

Syam tidak kecewa dengan semuanya itu. Dia terus menyerang dan menyerang, bagaikan ada tenaga ghaib yang bersatu dalam dirinya.

Ketika matahari kian mengecil di kaki bukit dan suara kuang bertalu-talu, hari bertambah gelap menandakan waktu maghrib sudah hampir benar, ketika itu serangan Syam beransur kurang, makin lama, kekuatannya makin beransur lemah.

Keris berluk tujuh dalam genggaman terlepas jatuh terpacak dibumi. Dia sudah kehabisan tenaga.

Akhirnya, Syam jatuh longlai dipangkal pokok besar. Terlentang dengan nafas turun naik, matanya merenung langit. Dedaun tua dari pokok besar jatuh menimpa tubuhnya. Datuk segera mendekatinya.

"Kamu balik saja ke rumah," bisik datuk ke telinganya.

Sepasang biji matanya mengerakkan lehernya untuk merenung muka datuk. Dia mengeluh kesakitan.

"Kau pulang saja, Syam," bisik datuk lagi.

Perlahan-lahan dia anggukkan kepala.

"Maafkan saya pakcik," suaranya lemah sekali.

"Aku maafkan kamu, apa yang kamu buat diluar kebolehan kamu Syam."

"Tadi, saya semacam terdengar suara isteri saya menyuruh membunuh pakcik. Saya tak tahu macamana keris boleh berada dalam tangan saya," tutur Syam tercunggap-cunggap.

Datuk menghela nafas dalam-dalam sambil melihat tubuh Syam yang calar balar dan berdarah. Haji Basilam yang berada disisi datuk mengeleng-gelengkan kepala.

Waktu maghrib sudah tiba. Sayup-sayup terdengar suara azan dari menara masjid.

"Sudahlah, kami balik dulu," Haji Basilam memberi kata penamat.

"Silakan, lepas pakcik berdua balik, saya balik sendiri ke rumah saya," tutur Syam tersangkut-sangkut.

Haji Basilam dan datuk segera meninggalkan Syam yang terkapar diperdu pohon besar.

Hari bertambah gelap dan senjakala pun menutup pandangan. Sampai di rumah datuk dan Haji Basilam membersihkan tubuh dan kemudian mereka tergesa-gesa menuju ke masjid untuk solat Maghrib.

AKHIR

BEGITULAH, Haji Basilam mengakhiri cerita tentang penghuni kubur misteri yang dipanah petir. Seram dan menakutkan. Saya dan Andi Kamarool bertukar pandangan.

"Sungguh menakjubkan," jawab Andi Kamarool.

"Itulah kuasa Allah," jawab Haji Basilam.

Saya tidak memberikan sebarang komen kerana saya menumpukan perhatian pada cahaya matahari yang bersinar terang, menerangi sebahagian daripada ruang tamu yang kami duduki.

Saya menggeliat, pinggang mula terasa lenguh dan daging punggung terasa macam kebas, mungkin disebabkan terlalu lama duduk.

Bagi mengatasi masalah tersebut, saya terus bangun dan bergerak ke ambang pintu dan berdiri disitu, merenung ke halaman rumah.

Dan saya dikejutkan dengan kedatangan tetamu yang tidak diundang, seorang lelaki bermata tajam.

"Pakcik berdua ada di rumah," dia mengajukan pertanyaan sambil tercunggap-cunggap di kaki tangga.

"Ada."

Sekujur tubuhnya saya tatap. Dia nampak resah semacam dan tidak mahu merenung muka saya.

Entah macam mana, secara mendadak saya teringat lelaki itulah yang mengacukan buku lima ke batang hidung saya, semasa berada dikubur yang dipanah petir tempoh hari.

"Saya Syam."

Dia memperkenalkan diri, mungkin dia berbuat demikian kerana saya bersikap tidak ambil berat tentang kehadirannya.

"Humm...." balas saya.

"Saya nak jumpa pakcik berdua."

Saya segera mengangkat kedua belah sayap bahu sambil gelengkan kepala. Dia nampak kecewa sekali dengan tindak-tanduk saya itu. Dia bagaikan tahu yang saya tidak mahu memberikan kerjasama padanya.

Tanpa diduga, Haji Basilam muncul dan berdiri di sebelah kanan.

"Haaa, inilah Syam yang aku ceritakan pada kamu Tamar," wajah Haji Basilam nampak ceria sekali.

Antara mahu dengan tidak, saya mengangguk lemah.

"Naiklah dulu, Syam," pelawa Haji Basilam.

"Tak payah pakcik, mana dia pakcik lagi satu."

"Ada di dalam, kenapa? Kamu nak jumpa dia?" Haji Basilam minta kepastian.

"Iya, ada hal mustahak, saya perlukan pertolongannya."

"Baiklah Syam, biar aku panggil dia." Haji Basilam segera beredar mendapatkan datuk.

Tergesa-gesa datuk keluar dari bilik lalu berdiri dimuka pintu. Andi Kamarool juga turut muncul dan berdiri disebelah datuk. Saya menyorot setiap kejadian dengan penuh teliti sekali.

"Apa halnya Syam?" soal datuk.

Syam segera mengkedutkan dahi, menjeling tajam ke arah saya dan Andi Kamarool Resah tidak menentu dan agak keberatan untuk meluahkan kata-kata.

Haji Basilam membisikkan sesuatu kepada datuk, perlahan-lahan datuk mengganguk dan ada perubahan diwajahnya.

Mereka berdua segera memperkemaskan kedudukan masing-masing, seolah-olah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Cakap terus terang Syam, budak berdua ni anak buah aku," lanjut datuk lagi.

Ada senyuman bermain dikelopak bibir Syam, ketenangan mula tergambar dimukanya. Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan.

Tetapi, dia masih belum bersedia meluahkan tujuan sebenarnya untuk menemui datuk.

"Cakaplah Syam," nada suara datuk mula meninggi.

"Saya tak mahu cakap di sini."

"Habis mahu cakap di mana? Kamu jangan main-mainkan kami. Buruk padahnya nanti," Haji Basilam seperti hilang sabar.

"Saya tak niat nak mainkan pakcik berdua. Saya tak mahu cakap disini, ikut saya ke rumah." Haji Basilam dan datuk saling berpandangan.

Serentak mereka memandang tajam ke arah Syam bagaikan mahu mencari kepastian dari wajah anak muda yang tercegat di kakitangga.

Tanpa memberitahu saya dan Andi Kamarool, datuk dan Haji Basilam masuk ke tengah ruang rumah. Saya dan Andi Kamarool termanggu-manggu dimuka pintu. Syam turut merasa hairan.

Tidak sampai sepuluh minit, datuk dan Haji Basilam kembali ke muka pintu.

"Baik, kami boleh ikut dengan syarat," cukup lantang Haji Basilam bersuara.

"Apa syaratnya?"

"Budak berdua ni mesti ikut sama," tingkah datuk.

Syam termenung sejenak, hujung kakinya mengkuis-kuis tanah dikaki tangga. Kemudian merenung sejenak ke arah matahari dan awan. Dia nampak begitu sukar untuk menunaikan permintaan Haji Basilam.

"Boleh," katanya dengan tiba-tiba. Datuk dan Haji Basilam senyum panjang.

BERPELUH

PERJALANAN dibawah matahari yang memancar terik, penuh dengan cabaran. Syam mendahului kami semua, langkah cepat sekali tanpa mahu menoleh ke belakang (ke arah kami).

Panas yang terik membuat badan saya segera berpeluh.

"Sahabat."

Saya segera menoleh ke arah Haji Basilam, saya lihat dia rebah ditepi jalan dalam keadaan tertiarap. Saya menjadi panik, bila Andi Kamarool turut rebah seperti Haji Basilam.

Datuk berhenti melangkah, menoleh dan menerpa ke arah Haji Basilam, saya pula menerkam ke arah Andi Kamarool tetapi, Syam tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku, dia tetap meneruskan perjalanannya.

Dalam situasi yang kelam-kabut itu, saya terus memicit badan Andi kamarool hingga tenaganya pulih dan boleh duduk.

Tanpa mengharapkan bantuan sesiapa Haji Basilam boleh duduk sendiri dan membuat senaman mengendurkan urat saraf.

Seluruh badan mereka (Haji Basilam dan Andi Kamarool) dibasahi peluh, macam orang mandi.

"Kamu berdua balik saja ke rumah, biar aku dengan Tamar saja ke rumah si Syam," satu cadangan daridatuk dan Haji Basilam nampak seperti keberatan mahu menerima cadangan itu.

"Saya tak ada apa-apa, cuma kepala terasa pening, perut memulas dan tekak terasa loya."

Datuk menarik nafas panjang mendengaz penjelasan dari Haji Basilam itu. Anehnya, Andi Kamarool juga memberi alasan yang sama.

Syam sudah lesap entah ke mana. Saya mengigit bibir, kalau masalah ini tidak dapat diatasi, pasti sulit jadinya, fikir saya dalam hati.

Datuk mengambil keputusan untuk mengadakan perbincangan singkat bagi mengatasi masalah tersebut.

Akhirnya kata putus diambil Haji Basilam dan Andi Kamarool mesti berpatah balik ke rumah demi keselamatan dan kesihatan diri.

Ternyata saranan itu dipatuhi oleh Haji Basilam dan Andi Kamarool.

"Hati-hati dengan budak tu, dia banyak helah," Haji Basilam mengingatkan.

"Aku yakin, dia tak akan membuat helah lagi. Kali ini dia jujur dan memerlukan pertolongan."

"Barangkali pendapat kamu tu memang benar. Tetapi, beringat dan berwaspada tidak merugikan diri kita."

"Aku setuju dengan cakap kamu tu. Kali ini aku yakin dia jujur dan ikhlas, dia memerlukan pertolongan kita," sebuah keyakinan yang tidak berbelah bagi datuk luahkan.

"Aku harap kamu selamat."

Telapak tangan kanan datuk dan Haji Basilam bercantum. Mereka bersalam penuh mesra dan berpelukan bagaikan mahu berpisah beratus tahun.

Saya dan datuk pun meneruskan perjalanan ke rumah Syam. Dengan senyum lebar Syam menyambut kedatangan kami dibawah pokok pauh yang menjadi sempadan antara tanah milik arwah isterinya dengan tanah penduduk kampung yang lain.

Perbuatan Syam itu mengundang pertanyaan dalam hati saya, kenapa dia tidak menyambut kami di kakitangga rumahnya? Mungkin ini taktiknya untuk memperdayakan kami.

"Kenapa tunggu di sini? Agak jauh dari rumah awak?." Pertanyaan yang dihamburkan oleh datuk tidak dijawab oleh Syam.

Dia membisu matanya merenung tajam ke muka saya. Sudah tentu perbuatannya itu menimbulkan rasa kurang senang dalam diri saya.

"Aku tak mahu bincang masalah kamu dibawah pokok ni, Syam. Carilah tempat lain."

"Dimana pakcik?"

"Dirumah kamu?" Syam terpempan, bila melihat datuk mengangkat kaki kanan untuk melangkah sempadan, belum pun sempat telapak kaki kanan datuk memijak tanah bekas isterinya, Syam segera memeluk tubuh datuk sambil menarik ke belakang.

Kedua-duanya rebah diperdu pohon pauh serentak pula mereka bangun.

"Maafkan saya pakcik," Syam tersenggih.

"Kenapa kamu buat macam ni pada aku, Syam."

"Keselamatan diri pakcik."

"Keselamatan diri aku, apa yang kau cakap ni Syam," datuk bertambah terkejut dan hairan dengan sikap yang ditunjukkan oleh Syam.

"Aku tak faham dengan kamu, selalu membuat perkara yang tidak diduga," tambah datuk dengan nada suara yang keras.

"Mari saya tunjukkan buktinya, pakcik bertinggung disini, renung ke arah tanah milik bekas isteri saya, nanti pakcik nampak perbezaan antara tanah milik bekas isteri saya dengan tanah orang lain yang kita pijak. Dengan itu juga pakcik akan dapat jawapan kenapa saya menjatuhkan pakcik."

Datuk bertambah binggung dengan penerangan yang diluahkan oleh Syam.

Antara rasa percaya dengan tidak, arahan yang disebut oleh Syam dipatuhi oleh datuk. Saya juga tidak mahu ketinggalan, cakap Syam saya turuti.

BOHONG

TERNYATA Syam tidak berhelah, juga tidak berbohong.

Tanah milik arwah isterinya nampak seperti berombak, turun naik dalam paras antara satu dan dua inci, macam ada sesuatu yang menolak dari dalam bumi, lama juga datuk merenung pergerakkan tanah yang dianggap pelik dan aneh.

Belum pernah saya melihat tanah bergerak seperti itu. Dada saya berdebar dan rasa cemas mula bersarang dalam dada. Tetapi, kerana datuk berada disebelah rasa takut menjadi kurang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 195/284

BACA: SBDJ Siri 194: Terapung Di Atas Kubur
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, November 15, 2023

SBDJ Siri 194: Terapung Di Atas Kubur

SBDJ Siri 194: Terapung Di Atas Kubur

Setelah berjaya menawan anak muda dalam jumlah yang ditetapkan. Dia (wanita yang mahu mengekalkan kecantikan) akan mandi air halia pada waktu tengah malam, selama tiga bulan disamping makan jenis-jenis pucuk tertentu. Selama tiga bulan juga tidak boleh menjamah nasi kecuali buah-buahan terutama pisang, betik, mentimun bendang.

Toyol jadi-jadian


Pokoknya, jangan makan buah-buahan yang terlalu masam atau terlalu manis. Apakah simati mengamalkan semuanya ini?

Sebelum Sham, entah berapa ramai anak muda belia menjadi suaminya. Ke mana dia membawa sejumlah wang yang begitu banyak.

Barangkali wang tersebut digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mempengaruhi anak-anak muda supaya tertarik padanya yang sekaligus menjadi suaminya.

Kenapa wajahnya begitu menakutkan setelah nyawanya bercerai dengan badan. Semua persoalan yang berlegar-legar dalam kepala Datuk, tidak menemui jawapan yang khusus.

"Kita buat di sini saja. Itulah permintaan suaminya."

"Ahh..." sahut Datuk.

Dan semua yang bermain dalam tempurung kepalanya lenyap. Pak Imam segera mengatur persiapan, menentukan di mana jenazah harus diletakkan. Di mana pula para jemaah harus berdiri.

Apa yang direncana dan disusun oleh Pak Imam tidak mendapat bantahan daripada Datuk.

"Kalau sudah setuju, biar saya jenguk ke dalam, apakah jenazah sudah dimandikan dan dikafankan."

"Jangan begitu kawan," kata Pak Imam sambil merenung biji mata Datuk. Mereka segera berbalas senyum.

Tanpa membuang masa, Pak Imam segera menghilangkan diri di balik kain tabir yang memisahkan ruang tengah dan ruang dapur. Di situlah jenazah dimandikan.

"Kenapa Imam?" Suara Datuk cemas melihat kemunculan Pak Imam dari balik tabir dengan wajah yang pucat.

"Tak ada apa-apa."

"Mustahil tak ada apa-apa, muka kamu pucat. Gerak geri kamu lain macam saja nampaknya."

"Begini," Pak Imam tepuk bahu Datuk.

Kemudian, mereka bergerak ke tepi jalan jendela. Sama-sama merenung ke luar, melihat cuaca petang yang kian redup.

Orang-orang kampung duduk berserakan di halaman, bersedia memberi bantuan bila diperlukan.

"Apa yang mahu kamu cakapkan imam?" Tanya datuk.

"Begini, Hajah Safiah beritahu, semasa jenazah dimandikan, dari lubang hidungnya keluar semacam nanah. Dari lubang pusatnya pula keluar dari sejenis benda halus sebesar benang, berwarna hitam bila jatuh atas batang pisang terus bergerak-gerak macam cacing tanah masuk ke batang pisang dan keluar semula lalu menggigit kulit mayat dalam jumlah yang banyak. Bila kena air, benda aneh itu hancur menjadi air yang berwarna hitam, macam air limbah dan baunya sungguh busuk. Dari mulutnya keluar buih ombak laut. Mujurlah, semuanya berjaya di atasi oleh Hajah Safiah dan kawan-kawannya," jelas Pak Imam sambil menelan air liur.

Wajahnya nampak gusar sekali.

"Sudah dikafankan?" Tanya datuk.

"Sudah."

"Syukurlah, diharapkan selepas ini, tidak ada kejadian yang ganjil terjadi," Datuk melahirkan harapan.

"Saya harap pun begitu juga."

"Sekarang ni, bolehlah Pak Imam buat pengumuman menjemput sesiapa yang sudi ikut sembahyang jenazah."

"Terima kasih kerana mengingatkan saya." balas Pak Imam.

PELAWA

Dari muka jendela Pak Imam buat pengumuman, mempelawa sesiapa yang sudah untuk bersama-sama menyembahyangkan jenazah.

Pelawaan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dan sembahyang jenazah pun bermula.

Suami simati menangis, dia tidak menyangka orang-orang kampung masih mahu menolongnya. Selama ini, dia beranggapan orang-orang kampung memandang serong padanya dan dia datang ke masjid kerana mahu mencari dukun atau pawang bagi mengubati sakit isterinya.

"Kenapa menangis, relakan isteri kamu pergi. Dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali," Kata ketua kampung pada suami simati yang menangis tersedu.

"Iringkan pemergiannya dengan doa," sambung ketua kampung.

Suami si mati segera memeluk tubuh ketua kampung.

"Saya menjauhkan diri dari orang-orang kampung kerana menurut kata isteri saya," Suami simati mengadu pada ketua kampung.

"Apa katanya?" desak ketua kampung.

"Katanya, orang kampung memulaukan dirinya dan saya."

"Sekarang kamu lihat sendiri, siapa yang betul. Sudahlah, mari kita tunggu jenazah turun," pujuk ketua kampung. Suamisimati pun akur dengan nasihat ketua kampung.

Jenazah pun diturunkan dari rumah dan terus diletakkan dalam pengusung. Penutup pengusung yang dibalut dengan kain bertulis dengan ayat-ayat suci.

Ketua kampung memilih dua belas orang pemuda yang berbadan tegap dan sasa. Mereka akan mengusung jenazah secara bergilir-gilir hingga sampai ke liang kubur.

Suami simati tidak membantah dengan kumpulan pemuda yang dipilih oleh ketua kampung.

"Cuma ada satu permintaan saya tuk ketua," Sham mula bersuara di bawah sinar matahari yang kian mengecil.

Di kaki langit kelihatan tompok-tompok awan yang menandakan, dalam tempoh waktu kira-kira dua jam lagi, matahari akan jatuh di kaki langit dan senja pun akan berlenggang turun.

"Apa dia permintaan kamu, cakap cepat."

"Dalam jarak lebih kurang dua rantai mahu sampai ke lubang kubur, saya mahu memikul pengusung jenazah sebelah kanan."

"Kenapa dah dekat baru nak usung jenazah tidak dari mula-mula lagi."

"Itu amanat isteri saya tuk ketua. Kalau saya tak tunaikan, buruk padahnya nanti."

"Kalau itu amanat arwah isteri kamu, kami tak menghalangnya," kata ketua kampung.

Sham tersenyum panjang, kepuasan tergambar diwajahnya. Dialog antara Sham dengan ketua kampung diikuti oleh Datuk dan Haji Basilam dengan teliti.

Bagi Datuk, semacam ada sesuatu yang ganjil di atas permintaan suami simati. Mungkin ada muslihat yang tersembunyi, Datuk membuat kesimpulan tersendiri.

Pak Imam segera mendekati ketua kampung, mereka berbincang tentang sesuatu. Beberapa minit kemudian, ketua kampung mengarahkan empat pemuda gagah berdiri di empat penjuru pengusung.

Pak Imam segera mengambil tempat di kepala tangga, kedua-dua belah kelopak bibimya bergerak. Barangkali dia membaca al-Fatihah.

Sebaik saja kelopak bibir Pak Imam berhenti bergerak, ketua kampung terus bersuara.

"Angkat pengusung perlahan-lahan, jangan sampai mayat di dalamnya bergerak atau bergegar."

Serentak empat pemuda berbadan sasa terus membongkok, menjalankan tugas yang dibebankan atas bahu mereka Pengusung tidak bergerak dari tempatnya. Mereka terus mencuba dan hasilnya tidak memberangsangkan.

BERKERUT

Muka empat pemuda gagah mula berkerut, urat-urat leher timbul. Seluruh tenaga dan kekuatan telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Tetapi entah apa sialnya tiga kali mencuba dan berusaha, semuanya gagal. Muka sudah merah padam dan peluh mula membintit di dahi dan pipi.

Orang yang berada di sekeliling pengusung mula merasa pelik. Beberapa orang daripada mereka secara sukarela turut membantu. Tetapi, hasilnya tetap gagal.

"Berat sungguh Pak Imam macam ada batu gunung di dalamnya," adu seorang pemuda sambil menunjukkan telapak tangannya yang sudah merah dan terasa pedih.

"Sabar," kata Pak Imam.

Ketua kampung segera mendekatinya. Mereka berbincang sebentar. Haji Basilam dan Datuk turut dipanggil untuk untuk berbincang sama.

Keputusannya, mereka mengambil alih tugas mengusung jenazah dari empat pemuda gagah.

Orang ramai yang berada di situ menduga semuanya akan berakhir kerana empat orang tua yang kaya dengan pengalaman dan ilmu dijangka akan berhasil mengangkat pengusung.

Dugaan mereka meleset, empat orang tua tersebut nampaknya tercungap-cungap.

Malah Haji Basilam, ketua kampung dan Pak Imam nampak terhoyong hayang macam mahu pitam. Cuma datuk saja tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Macammana pun dahinya berkerut juga.

"Kita tak boleh membiarkan keadaan terus begini, kalau kita tidak bertindak, mungkin sampai maghrib jenazah tidak dikebumikan," kata Datuk.

"Habis, apa yang patut kita buat?" Tanya Haji Basilam.

"Semua yang ada di sini, sama-sama mengusungnya hingga ke tanah kubur," Datuk memberikan formula.

Ternyata saranan Datuk diterima sebulat suara tanpa ada sebab yang membangkangnya.

Setelah lebih dari seratus orang berpadu tenaga, barulah pengusung berisi mayat itu berjaya dipikul.

Semakin hampir dengan tanah perkuburan, pengusung semakin berat. Lebih dari sepuluh orang yang memikul pengusung mengadu bahu terasa sakit.

Ada juga yang mengadu tulang bahu terseliuh. Tidak kurang juga yang merasa pening dan muntah-muntah.

Ketua kampung menyuruh orang yang berhadapan dengan masalah tersebut supaya pulang saja ke rumah. Di khuatiri, bila sampai tanah perkuburan mereka akan menghadapi masalah yang lebih serius lagi.

Ketika memasuki jalan kecil menuju kawasan perkuburan, hari semakin suram. Cahaya matahari bagaikan sudah tidak ada lagi, kerana dikiri kanan jalan kecil itu ditumbuhi pokok-pokok besar yang rimbun menyebabkan keadaan sekitar agak samar-samar.

Terdengar bunyi murai tanah yang selang dengan suara gagak dan cengkerik yang seolah-olah memberitahu tidak lama lagi senjakala akan menjelma.

Dari kejauhan dalam keadaan yang samar-samar batu nisan yang tegak kaku boleh dilihat. Beberapa ekor burung malas terbang dari satu nisan ke satu nisan sambil berbunyi.

Sesungguhnya suasana begini kurang disenangi oleh ketua kampung, tetapi apakan daya jenazah wanita itu mesti dikebumikan dengan segera. Kalau dilewatkan atau ditangguhkan hingga esok akan menimbulkan masalah pada orang ramai.

Dalam jarak beberapa ela mahu sampai ke lubang kubur, ketua kampung segera memanggil suami simati yang sejak tadi mengekori dari belakang.

"Sila tunaikan amanat isteri kamu," beritahu ketua kampung.

"Terima kasih tuk ketua."

Suami simati mengambil tugasnya. Sebaik saja kayu pengandar berada di atas bahunya. Wajah suami simati yang muda nampak bertukar menjadi wajah seorang tua yang berusia antara tujuh puluh hingga lapan puluh tahun.

Tidak ada sesiapa yang berani menegur tentang perubahan yang terjadi pada suami simati.

"Turunkan di sini." Pak Imam mengarahkan supaya pengusung diletakkan agak jauh dari lubang kubur bagi mengelakkan lubang di situ rebak.

Bila pengusung diletakkan di tanah, wajah suami simati berubah seperti sediakala.

Kain penutup pengusung segera dibuka dan mayat dikeluarkan dengan hati-hati sekali.

"Sambut baik-baik," Pak Imam mengingatkan orang yang menyambut mayat di dalam lubang kubur.

"Baik Pak Imam, jawab mereka serentak.

Dan semua orang yang berada di tanah kubur berbisik sama sendiri, mereka masih memperkatakan tentang diri suami simati.

CEMAS

Setelah dipastikan oleh Pak Imam bahawa kedudukan mayat dalam kubur adalah betul, tanpa membuang masa tanah ditebing kubur pun dijatuhkan secara perlahan-lahan.

Sebaik saja tanah dijatuhkan menimpa papan keranda secara mendadak papan keranda terbuka. Dan mayat terus terangkat ke permukaan macam ada kuasa ghaib yang menolaknya dari bawah.

Semasa mayat itu terangkat, batu-batu gunung yang sebesar ibu jari kaki orang dewasa muncul dari sebelah kanan dan kiri lubang kubur, seiring dengan itu terdengar bunyi deru angin yang kuat.

Apa yang peliknya, dedaun dipepohon yang terdapat dikawasan kubur tidak bergerak.

Dalam suasana yang semakin beransur gelap itu, keadaan di tanah perkuburan menjadi agak kelam kabut. Mayat terus terapung-apung dipermukaan lubang kubur.

Sebahagian daripada orang ramai yang turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan mula cemas dan takut.

Kerana tidak mahu menanggung risiko yang lebih buruk mereka segera meninggalkan kawasan perkuburan.

Melihat keadaan yang haru biru itu, Datuk segera menyuruh Pak Imam mengepalkan tanah sebesar penumbuk. Pak Imam patuh dengan arahan Datuk. Tanah kubur yang sudah dikepalkan itu segera diserahkan kepada Datuk.

"Dari tanah asalmu kepada tanah juga kamu dikembalikan. Sesungguhnya, tiada siapa yang dapat mengatasi kuasa Allah. Tiada siapa yang berhak atas roh ini melainkan Allah jua."

Dan orang ramai yang berdekatan dapat mendengar kata-kata yang datuk ucapkan itu. Kerana mayat yang terapung di udara itu agak hampir dengannya, amat mudah bagi Datuk meletakkan tanah yang sudah dikepalkan itu ke atas pusat simati (mayat).

Dengan izin Allah, secara perlahan-lahan mayat yang terapung diudara mulai menurun. Bunyi deru angin turut berkurangan. Akhirnya, mayat kembali pada kedudukan asalnya dalam lubang kubur.

"Tutup..." kata ketua kampung.

Seorang anak muda yang secara kebetulan berada di tepi kubur segera mengambil papan (Penutup) lalu menutup mayat.

"Timbus dengan tanah cepat-cepat," Datuk mengeluarkan arahan.

"Iya, kita segerakan kalau lambat-lambat nanti ada masalah lain yang datang. Lagipun hari sudah beransur gelap, sudah senja," sahut ketua kampung sambil mengambil cangkul.

Dia turut mengkais tanah, merata kubur. Tidak sampai satu jam, kubur tersebut berjaya ditimbus. Keadaan sekitar semakin beransur gelap. Nyamuk mula menyerang, bunyi cengkerik makin menjadi jadi.

Gerak geri Haji Basilam, Datuk, ketua kampung dan Pak Imam jadi perhatian orang sekitar. Kerana wajah empat insan tersebut nampak tenang dan bersahaja, memberi keyakinan pada orang lain, bahawa tidak akan berlaku perkara yang buruk.

Tidak banyak reaksi simati yang diperlihatkan oleh suami simati. Dia hanya diam membatu.

"Sham bentangkan tikar di situ."

Tanpa membuang masa Sham terus membentangkan tikar mengkuang seperti yang diarahkan oleh ketua kampung.

"Eloklah Pak Imam membacanya," kata Haji Basilam.

"Saya pun fikir macam itu juga," sahut Datuk.

"Baiklah."

Pak Imam pun melabuhkan punggungnya di tikar mengkuang. Haji Basilam segera mengambil tempat disebelah kirinya. Datuk di sebelah kanan. Sebelah Datuk pula ialah ketua kampung.

HIMPIT

Orang yang jumlahnya sekitar lima belas orang (yang lain semuanya sudah angkat kaki, berikutan dengan peristiwa mayat terangkat) segera duduk berhimpit-himpit.

Masing-masing tidak mahu berada jauh dari tempat insan (Datuk, Haji Basilam, Pak Imam dan Ketua Kampung) yang dianggap sebagai manusia yang mempunyai kebolehan tersendiri. Boleh menyelesaikan masalah yang timbul secara mendadak.

"Sebelum talkin dibaca, saya nak pacak ranting dibahagian kepala dan kaki," suami simati mengemukakan permintaan.

"Silakan," jawab Pak Imam.

Suami simati segera mematahkan ranting kemboja di sisinya. Dengan hati-hati dipacakkan di bahagian kepala dan kaki. Tidak sampai lima minit dipacak, daun diranting terus layu terbakar.

"Jangan pedulikan, jika Sham minta buat itu, jangan dilayan."

Bisik datuk ke telinga pak Imam.

"Kenapa?"

"Banyak buruk dari baiknya," balas datuk.

"Baik," angguk Pak Imam.

Disaat pembacaan talkin mahu dimulakan, Sham segera mendekati Pak Imam. Dia mengemukakan permintaan untuk meletakkan sekuntum bunga di atas kubur isterinya.

"Minta maaf Sham," kata Pak Imam.

"Tapi ini amanat isteri saya."

Pak Imam jadi serba salah. Kalau permintaan dipenuhi, ertinya dia membelakangi pesanan Datuk.

"Bagaimana?" Pak Imam renung muka Datuk.

"Jangan dilayan, dia sengaja mahu melambat-lambatkan kerja kita, dia ada muslihat," kata datuk dengan nada suara yang tinggi.

"Kamu dengar apa yang dikatakan olehnya Sham."

"Dengar," bentak Sham sambil memandang muka Pak Imam dengan rasa benci yang amat sangat.

Pak Imam membaca talkin. Suaranya yang nyaring bagaikan berlawan dengan suara cengkerik, katak, ungka, kera, burung gagak dan puyuh yang mahu pulang kesarang.

Sebaik sahaja talkin selesai dibaca, hari sudah senja. Keadaan sekitar bertambah gelap. Nyamuk kian ganas menyerang.

"Terima kasih pada yang menolong."

Semua biji mata tertumpu ke batang tubuh suami simati yang tegak berdiri dibahagian belakang sekali. Suaranya cukup lantang.

"Terima kasih," jawab ketua kampung mewakili anak buahnya.

Sebelum meninggalkan kawasan tanah perkuburan, ketua kampung memastikan anak buahnya yang hadir ditanah perkuburan cukup bilangannya. Tidak ada yang kurang.

Bagi menghilangkan rasa takut dihati anak buahnya, ketua kampung membuat peraturan sendiri. Mereka harus berjalan sebaris.

"Saya minta Haji Basilam menolong saya," Ketua kampung cuit bahu kanan Haji Basilam.

"Bantu apa tuk ketua?"

"Jadi kepala jalan."

"Ah perkara mudah," Haji Basilam terus berdiri dihadapan.

"Pak Imam di tengah," ketua kampung renung muka Pak Imam.

"Boleh," Pak Imam segera mengambil tempatnya.

Bila semuanya selesai ketua kampung menentukan tempatnya iaitu dibelakang suami simati. Manakala Datuk berada dibelakangnya (ketua kampung), dengan erti kata lain, Datuk adalah orang yang berada di barisan terakhir.

"Sekarang kita bergerak Pak Imam," jerit ketua kampung.

"Ok," balas Pak Imam.

Barisan yang diketuai Pak Imam pun bergerak meninggalkan kawasan perkuburan. Kerana Datuk berada di belakang sekali, sebelum melangkah Datuk menoleh ke arah kubur untuk kali terakhir.

Datuk melihat pengusung jenazah yang dibuat dari buluh nampak bergerak-gerak. Kerana kurang yakin dengan apa yang dilihatnya, datuk merenung untuk kali kedua.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 194/284

BACA: Siri 193: Daging Pipinya Relai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, October 31, 2023

SBDJ Siri 193: Daging Pipinya Relai

SBDJ Siri 193: Daging Pipinya Relai

Akhirnya, saya mengetahui juga nama pemuda misteri yang menjemput Datuk dan Haji Basilam datang ke rumah pesakit. Nama sebenarnya, Shamsul Anuar tetapi, dipanggil SHAM saja.

Toyol jadi-jadian


Kata Haji Basilam, orangnya kacak dan tinggi, berkulit putih kemerah¬merahan. Rambut kerinting berombak. Kerana keistimewaan yang dimiliki tidak hairanlah Sham menjadi pilihan janda tua yang dikelilingi wang ringgit.

Dua jam setelah berada di rumah (kira-kira pukul lima petang), Datuk dan Haji Basilam dikejutkan oleh kedatangan Sham.

"Ada apa hal Sham?" Tanya Haji Basilam dari muka pintu.

"Dia sudah meninggalkan kita," ada kesedihan terpamer di wajah Sham.

Datuk segera berdiri di kanan Haji Basilam, mereka saling berpandangan.

"Pukul berapa dia mati?" Tanya Datuk.

"Kira-kira setengah jam, selepas pakcik berdua meninggalkan rumah."

"Sudah kamu beritahu orang lain tentangkematian tu," keluar lagi pertanyaan dari mulut Haji Basilam.

"Sudah tapi, tak ada yang datang."

"Saudara mara kamu yang terdekat bagaimana? Apa mereka juga tak datang?"

"Mereka datang, malangnya tak tahu nak buat apa. Mereka tak tahu nak uruskan jenazah, tak pandai baca Quraan, tak pandai baca yassin. Jadi, saya datang ni, nak minta tolong jasa baik pakcik berdua uruskan jenazah isteri saya. Panggil orang kampung, mereka macam, tak mahu datang," adu Sham dengan wajah yang sayu, penuh kehibaan.

Dia begitu setia menunggu di kepala tangga menanti jawapan dari Datuk dan Haji Basilam. Datuk dan Haji Basilam memang bersimpati dengan Sham.

Tetapi, dalam masa yang sama mereka terfikir, mengapa jiran tetangga (orang kampung) keberatan memberi kerjasama pada Sham.

Andainya, mereka mengambil peranan menguruskan perkara tersebut, apa pula kata orang kampung.

"Kami berdua bersimpati dengan kamu. Masalahnya, tentu tidak elok kami membelakangi orangorang disini. Kami hanya pendatang untuk sementara waktu disini. Kalau kami mendahului mereka akan menimbulkan kesulitan pula," dalam nada suara tersangkut-sangkut Datuk memberikan pendapat. Sham, tunduk merenung kami.

"Tolonglah saya," Sham terus merayu.

"Saya yakin, bila pakcik datang ke rumah, orang-orang kampung juga akan datang. Kalau cara ini tidak berjaya, saya minta pakcik berdua jemput mereka."

Serentak dengan itu, Haji Basilam dan Datuk menarik nafas dalam-dalam. Dan dalam usahanya meraih simpati dari Datuk dan Haji Basilam, Sham terus duduk bersila dikaki tangga.

Usaha Syam itu berhasil, rasa belas simpati terhadapnya, kian mengunung dihati Datuk dan Haji Basilam.

"Pelik, dalam keadaan sekarang, masih ada orang yang tak tahu baca Quraan atau Yassin," bisik Datuk ke telinga Haji Basilam, tiada ungkapan yang Haji Basilam lahirkan, kecuali menggelengkan kepala, tanda kesal.

"Begini saja, kamu balik dulu. Biar aku jumpa Pak Imam, minta jasa baiknya, beritahu pada orang kampung tentang perkara ini," itulah janji yang diluahkan oleh Haji Basilam kepada Sham.

Ternyata, janji itu amat menyenangkan hatinya. Wajahnya, nampak ceria sekali.

"Baiklah," sambutnya sambil bangun, lalu melangkahkan kaki kanan meninggalkan halaman rumah.

Sebaik sahaja batang tubuh Sham hilang dibalik liku jalan, Datuk dan Haji Basilam segera bertindak. Dengan serta merta mereka berangkat untuk menemui ketua kampung dan pak imam.

"Kalau mereka berdua tak mahu bagaimana?" Datuk bersuara.

"Kita pujuk hingga berjaya, perkara begini tak boleh dibuat main¬main," balas Haji Basilam.

"Iya, kita pujuk," Datuk memberi sokongan dan mereka mempercepatkan langkah.

CERAH

Ketibaan Datuk dan Haji Basilam disambut oleh ketua kampung dan Pak imam dengan wajah yang cerah. Cara kebetulan rumah ketua kampung bersebelahan dengan rumah Pak imam.

Haji Basilam segera menyampaikan berita dan tujuan kedatangan mereka.

Meskipun tidak ada kata-kata yang diluahkan oleh Ketua Kampung dan Pak imam tetapi, Datuk dapat membaca keengganan mereka untuk memenuhi permintaan Haji Basilam melalui gerak-geri dan mimik muka mereka berdua.

"Bagaimana? kita pergi sekarang," Datuk cuba menguji.

"Tak baik begitu, melihat dan mengurus jenazah, jadi tanggungjawab orang yang hidup, fardhu kifayah hukumnya. Tidak boleh dibuat ringan. Kalau jenazah tidak disempurnakan satu kampung tanggung dosa, satu kampung ditanya di akhirat kelak," secara sambil lalu Datuk mengingatkan.

"Kalau ada apa-apa yang tidak baik, eloklah kita lupakan saja, lagi pun dia dah mati," Haji Basilam bagaikan memujuk dan merayu.

Buat beberapa ketika, Ketua Kampung dan Pak imam membatu. Akhirnya, serentak mereka gelengkan kepala.

"Kenapa?" Tanya Haji Basilam sambil membeliakkan biji mata.

"Masa hayatnya, mati hidup orang sekeliling tak pernah mahu ambil tahu. Kenduri kendara orang kampung, tak mahu campur. Dijemput pun tak datang," Ketua Kampung meluahkan suara hatinya.

"Lupakan saja perkara yang remeh temeh," Datuk cuba menenangkan keadaan.

"Kita kena tunjuk perkara yang baik pada orang lain, kalau kita ikutkan perasaan marah dan benci, kita juga yang rugi. Silap-silap cara orang lain tuduh kita pendek akal," lagi sekali Haji Basilam mengeluarkan komentarnya.

"Betul juga cakapnya," ketua kampung renung muka Pak Imam.

"Saya belum bersedia, kalau nak pergi, saya kena tukar pakaian dulu," Pak Imam mengaru cuping telinga. Pendiriannya mula berubah.

"Saya juga begitu, belum bersedia," balas ketua kampung.

"Itu perkara mudah, kami tunggu. Pergilah tukar baju dan kain kamu berdua."

Ada keriangan bermain di wajah Haji Basilam. Sementara menanti Pak imam dan ketua kampung menukarkan pakaian, datuk dan Haji Basilam duduk dibangku panjang di bawah pokok manggis disudut rumah.

Kira-kira lima minit kemudian Pak imam dan Ketua kampung muncul, mereka memakai baju melayu teluk belangga, berkain pelekat samarinda. Kedua-duanya memakai songkok putih.

Datuk dan Haji Basilam tersenyum gembira kerana berjaya memujuk dan melembutkan hati orang yang dianggap penting dalam kampung tersebut.

"Mari," kata ketua kampung.

"Jum kita pergi," sahut Haji Basilam dan datuk serentak.

Di bawah sinar matahari petang yang kian condong ke barat, empat insan melangkah serentak dipermukaan jalan enam kaki menuju ke rumah besar di hujung kampung.

Ketika mereka sampai di halaman rumah papan besar beratap genting, mereka terhidu bau kemenyan.

Beberapa orang anak muda duduk berlonggok di bawah rumpun kemboja, kumpulan anak-anak muda itu berborak kosong sambil menghisap rokok, ada juga di antara mereka sedang main catur.

Gerak-geri kumpulan anak-anak muda itu ternyata menarik perhatian Ketua kampung.

"Kamu kenal mereka?" Tanya Haji Basilam pada ketua kampung.

"Bukan anak muda kampung ni."

"Habis dari mana?"

"Barangkali dari kampung lain."

"Hum..." Haji Basilam anggukkan kepala dan dia tidak meneruskan pertanyaan berhubung dengan kumpulan pemuda tersebut.

Selain dari kumpulan anak-anak muda tersebut, tidak ada orang lain yang datang mengunjungi rumah simati.

Keadaan sekeliling rumah, tidak mengambarkan yang di dalam rumah besar itu ada sekujur mayat.

SEKITAR

Melihat keadaan sekitar, ketua kampung tidak senang hati. Dia pun mengambil inisiatif yang drastik.

Ketua kampung pergi mengetuk pintu rumah penghuni kampung dan mengesa mereka datang ke rumah orang mati. Usaha ketua kampung tidak mengecewakan. Rumah besar beratap genting di hujung kampung mula didatangi oleh para penduduk.

"Terima kasih, usaha awak tidak sia-sia, bila orang dah ramai, senanglah kita buat kerja," kata Haji Basilam sambil menepuk bahu Ketua kampung.

"Pengaruh awak memang kuat, sepuluh minit awak tinggalkan kami disini, lebih dari seratus penduduk kampung dah datang," Datuk pula memuji.

Ketua kampung tersenyum dan merasa agak kesal kerana meninggalkan Datuk, Haji Basilam dan pak imam dihalaman rumah.

"Suami simati tak nampak," Ketua kampung merenung ke kiri dan ke kanan.

"Tak nampak pula," Datuk menjawab.

"Agak, dia sibuk di dalam rumah," tingkah pak imam.

"Kalau begitu, kita naik saja, setidak-tidaknya kita boleh membaca yassin," Datuk mengeluarkan usul.

Ternyata tidak ada yang membantah. Semuanya akur dengan cadangan datuk. Sebaik sahaja sampai di kaki tangga, langkah datuk terhenti. Macam ada sesuatu yang menarik kakinya dari dalam bumi.

Pandangannya mula berpinar-pinar dan samar-samar. Kepala sebelah kiri terasa amat sakit seperti ditusuk dengan besi tajam.

Urat leher terasa tegang dan Datuk tidak dapat mengimbangi badan hampir sahaja Datuk mahu jatuh di kaki tangga.

"Kenapa ni?" Haji Basilam segera menerpa dan memeluk tubuh Datuk.

Ketua kampung dan Pak imam segera membantu. Dan Datuk pun dibawa ke satu sudut lalu didudukan atas bangku panjang.

Mereka pun merawat Datuk dengan memicit dan mengurut bahagian belakang. Perbuatan itu tidak dibenarkan oleh Datuk berlanjutan lebih dari tiga minit.

Pantang bagi Datuk, urat ditubuhnya di jamah atau diurut sesuka hati. Dia mempunyai formula tersendiri dalam menanggani masalah sakit ditubuhnya.

"Sudahlah, aku boleh bangun," Datuk mula terasa tenaganya sudah pulih seperti tadi.

Datuk segera berdiri dan berjalan ke kiri dan ke kanan didepan bangku panjang.

"Kenapa dengan kamu?" Tanya Haji Basilam secara berbisik.

"Aku semacam ternampak bayangan arwah suami wanita itu duduk berjuntai kaki dimuka tangga. Ditangannya ada tempurung, dia berpakaian compang-camping, macam peminta sedekah. Bila aku lihat lama-lama dia membalingkan tempurungnya ke arah aku, membuat badan aku terasa lemah dan kepala jadi pening," penjelasan Datuk itu membuat Haji Basilam mengkerutkan kening.

Pak imam dan Ketua kampung yang tidak dapat menangkap apa yang dicakapkan oleh datuk pada Haji Basilam turut tersenyum.

"Bagaimana? mahu kita teruskan?" Belum pun sempat datuk menjawap pertanyaan yang diajukan oleh Haji Basilam, secara mendadak Sham muncul dimuka pintu.

"Silakan naik," jemputnya dengan wajah damai.

Datuk dan kawan-kawan mengucapkan terima kasih dan terus naik ke rumah dan duduk menghadap mayat.

"Buka, saya tenguk mukanya," Pak Imam mengkemukakan permintaan. Tanpa membuang masa Sham terus menunaikan.

Sebaik sahaja kain yang menutup bahagian mukanya dibuka, Datuk dan Haji Basilam mengalami kejutan yang amat sangat. Mereka bagaikan tidak percaya, wajah wanita yang dilihat beberapa jam sebelumnya sudah berubah sama sekali.

Kulit dan daging di bahagian pipi sudah relai, begitu juga dengan bahagian hidung dan dagu. Tulang-¬tulang dibahagian tersebut jelas menonjol. Keadaannya amat ngeri dan menakutkan.

"Tutup."

Sham segera menutup muka mayat isterinya.

"Apa yang patut saya buat pakcik?" Tanya Sham.

"Kita uruskan macam mayat-mayat yang lain," sahut Haji Basilam.

"Jadi, pakcik berdua uruskan."

"Ramai orang boleh uruskan, kita ada pak imam, kita ada Ketua kampung, mereka sanggup menolong," tingkah Datuk sambil merenung wajah Haji Basilam, Pak imam dan Ketua kampung.

"Tapi, hubungan saya dengan mereka tak begitu baik," Sham seperti tergagap.

"Lupakan perkara yang lalu," Ketua kampung mula masuk campur. Serentak Pak imam, Haji Basilam dan Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang disuarakan oleh ketua kampung.

Sham tunduk seribu bahasa.

DOA

Setelah menghadiahkan doa pendek pada simati, Datuk dan kawan-kawan terus membaca surah yasin.

Semasa yasin dibaca, Datuk dapat merasakan sepasang kaki mayat bergerak-gerak dalam kain. Datuk buat tidak kisah dengan kejadian itu.

Dia terus membaca tetapi, kali ini sepasang tangan mayat pula bergerak seolah-olah seperti minta tolong supaya dibangunkan. Datuk mempersetankan semuanya itu, dia terus membaca.

Bila kepala mayat bergerak-gerak, pembacaan datuk jadi terganggu. Buat beberapa ketika datuk merenung sekujur mayat yang sedang terbaring didepan matanya.

Semuanya macam biasa, tiada sesuatu yang ganjil. Bila pembacaan diteruskan mayat mula buat hal. Kaki, tangan, kepala dan lutut turut bergoyang.

Datuk tidak tahu, apakah Pak imam, Ketua kampung dan Haji Basilam turut mengalami seperti apa yang dialaminya.

Apa yang pasti, Datuk berusaha dengan sedaya upaya menghadapi suasana yang menakutkan itu dengan perasaan yang tenang.

Nasib baik, sehingga pembacaan yasin berakhir, tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

"Bagaimana Pak imam? Pada hemat saya, mayat ini harus dikebumikan dengan segera. Sebaiknya, dikebumikan petang ini juga," beritahu datuk pada Pak imam, semasa mereka bergerak ke ruang anjung dan berlabuh disitu.

"Perkara ni dah saya beritahu pada suami arwah, saya dah suruh dia sediakan barang keperluan untuk mengkebumikan jenazah," kata Pak imam.

"Oh, begitu cepat awak bertindak," Datuk anggukkan kepala lalu merenung ke arah halaman rumah.

Datuk menarik nafas lega, bila dia melihat Ketua kampung mengetahui beberapa orang penduduk membuat keranda. Haji Basilam menyediakan batang pisang untuk dijadikan mandi mayat.

Beberapa orang anak muda sudah disuruh pergi ke tanah perkuburan untuk mengali lubang mayat.

Nampaknya, semua berjalan dengan lancar dan baik sekali.

"Siapa yang menguruskan mandi jenazah?" Sepasang anak mata Datuk tertumpu ke wajah Pak imam yang kelihatan tenang.

Datuk mengalihkan pandangannya kembali ke halaman rumah. Semuanya nampak sibuk dengan tugas masing-masing.

"Tak apa, biar saya uruskan," Pak imam segera bangun lalu menemui suami simati yang berada dibawah rumah.

Ada sesuatu yang dicakapkan oleh pak imam. Suami simati mencatat dikertas apa yang dicakapkan oleh Pak imam.

Tidak lama berselang, suami simati segera beredar menuju ke pekan kecil. Barangkali mencari sesuatu.

Pak Imam segera beredar menuju ke arah sekumpulan wanita yang duduk diruang yang agak tersorok dekat bahagian dapur. Rata-rata mereka berusia antara 50 hingga 60 tahun.

Setelah bercakap sebentar dengan mereka, Pak imam mendekati datuk.

"Semuanya selesai. Hajjah Safiah dan kawan-kawan menguruskan mandi mayat dan mengkafankannya. Kalau kesuntukan masa kita kebumikan lepas Isyak."

"Tak kira, lepas maghrib atau isyak, pokoknya jenazah ini tidak boleh dibiarkan lama-lama dirumah. Nampaknya awak berjaya menguruskannya dengan baik," Datuk memuji Pak Imam.

"Saya sekadar menjalankan perintah hukum-hakam agama."

"Tak apalah imam, kita kena fikirkan dimana jenazah ini mahu disembahyangkan di rumah atau di masjid."

"Iya, sementara menanti kerja mereka selesaikan, kita harus memikirkan perkara yang awak sebut tu. Nanti saya jumpa suami simati," kata Pak imam.

"Silakan imam," datuk memberi jalan.

Pak imam segera beredar meninggalkan Datuk sendirian disitu. Bila bersendirian, macam-macam yang tergambar dalam otak Datuk, semuanya ada hubungkait dengan simati.

Tetapi, usahanya itu tidak berhasil, sambil merenung langit petang menerusi jendela yang terdedah, Datuk terus mengeluh.

ANAK

Mengapa dia bersuamikan Sham yang boleh dijadikan anak? Mungkin ada tujuan tertentu. Barangkali, dia mahu dirinya sentiasa kelihatan muda, itulah sebabnya dia menikah dengan Sham yang muda belia.

Biasanya, wanita yang mahu kulit wajahnya tidak mengecut atau runtuh akan menikah atau bersama dengan anak-anak muda yang berusia antara 20 hingga 25 tahun dalam jumlah paling kurang tiga puluh orang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 193/284

BACA: SBDJ Siri 192: Makhluk Aneh Usung Mayat
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, September 28, 2023

SBDJ Siri 192: Makhluk Aneh Usung Mayat

SBDJ Siri 192: Makhluk Aneh Usung Mayat

"Apa sakitnya Pak Aji?" Tanya saya ingin tahu. Tiada jawapan dari Haji Basilam.

"Apa sakitnya, Pak Aji?" ulang saya.

"Doktor pun tak tahu apa jenis penyakitnya. Begitu juga dengan dukun dan pawang. Seluruh badannya bengkak-bengkak, dari liang roma keluar peluh bercampur darah."

Toyol jadi-jadian

"Dah berapa lama dia sakit macam tu?" Andi Kamarool memintas.

"Khabarnya, dah hampir enam bulan. Dia berselera mahu makan, bila makan apa yang disuap semuanya keluar."

"Kasihan," kata saya lemah.

Suasana kembali sepi. Saya terharu dengan penderitaan yang ditanggung oleh lelaki tersebut.

Andi Kamarool mengigit bibir, pada hemat saya dia juga berfikir seperti apa yang saya fikirkan. Haji Basilam menggeliat dan meluruskan sepasang kakinya untuk menghilangkan rasa lenguh-lenguh sendi.

"Semasa sakit itulah," suara Haji Basilam memecah kesepian.

"Dia memberitahu ketua kampung, pak imam dan kadi yang dia mahu mewakafkan sebahagian dari tanahnya yang berpuluh-puluh ekar untuk mendirikan masjid, surau, sekolah agama.

"Tanah ladang getah dan tanah sawah juga diwakafkan bagi membiayai masjid, surau, sekolah agama serta tenaga pengajar. Hanya, sebahagian kecil saja yang diberikan kepada isterinya."

"Orang bergelar dan kaya yang baik hati," saya memberi komen.

"Tetapi..." Haji Basilam tidak menyambung kata.

Wajah kata dan Andi Kamarool direnung tajam.

"Kenapa Pak Aji?" Saya terus menyoal.

"Sebaik saja dia mati dan selamat dikuburkan, keadaan menjadi sebaliknya." Haji Basilam berhenti lagi.

Dia menarik nafas sambil melepaskan keluhan kecil. Pandangannya, tertumpu ke arah tingkap yang terbuka lebar. Anak mata menangkap gerakan dedaun ciku yang disentuh bayu pagi.

Tindak-tanduk Haji Basilam itu mengundang keresahan dan tanda tanya dalam hati.

"Apa yang terjadi Pak Aji? cerita Pak Aji terputus-putus."

Ungkapan yang dihemburkan oleh Andi Kamarool membuat Haji Basilam tersentak. Sepasang anak matanya, kembali tertumpu ke wajah saya dan Andi Kamarool.

"Isterinya.."

"Kenapa dengan isterinya Pak Aji?" tanya saya tidak sabar.

"Dia melanggar wasiat arwah suaminya yang sudah diberitahu pada ketua kampung, tuan kadi dan pak imam. Dia menafikan yang suaminya membuat wasiat semacam itu."

"Perempuan tamak." Andi Kamarool meledakkan kemarahannnya.

"Semua harta benda yang diwakafkan itu dijual kepada orang kaya bukan Melayu yang berasal dari Nibung Tebal, Seberang Perai.

"Kemudian, secara diam-diam si janda tamak itu menghilangkan diri, membawa wang yang banyak." Haji Basilam senyum sambil mengaru pipi kirinya.

"Kenapa dia lari, Pak Aji?" Saya tidak berdaya melawan sabar.

"Kaum kerabat arwah suaminya yang tahu keadaan sebenar mula bertindak, mula mengutuknya. Mereka mahu patah-patahkan batang leher si janda."

"Kemana dia lari Pak aji?" Andi Kamarool pula bertanya Haji Basilam termenung sambil mengkedutkan kening, macam mengingati sesuatu.

"Ramai yang mengesyaki dia lari ke Kuala Tungkal di daerah Riau, kerana datuk neneknya berasal dari situ. Bila dicari oleh kaum kerabat arwah suaminya ke tempat tersebut, ternyata dia tak ada disitu," tutur Haji Basilam bersahaja.

"Memang, licin dan cekap orangnya," kata saya.

"Datuk kamu juga turut mencarinya ke sana. Usahanya sia-sia saja."

"Tanah yang dijual macamana?" Andi Kamarool menyoal.

"Tanah yang dibeli oleh orang kaya dari Nibong Tebal terus terbiar mejadi belukar. Bila mahu diusahakan atau dimajukan oleh pemiliknya, macam-macam kejadian pelik berlaku.

"Pernah pembeli datang melawat ke kawasan tersebut waktu siang, diburu gajah liar. Terpaksa lari lintang pukang dan akhirnya jatuh sakit. Berbulan-bulan duduk di hospital, bila sembuh terus jadi gila."

"Agaknya si wanita tu lepaskan penunggu," saya beri komentar.

"Entahlah, aku sendiri tak berani nak kata apa-apa. Terpulanglah kepada kamu berdua buat tafsiran," Haji Basilam senyum panjang lalu menyandarkan tubuhnya ke dinding.

PERSOALAN

Cerita yang diluahkan oleh Haji Basilam menimbulkan seribu pertanyaan dan persoalan dalam hati saya.

Diri Andi Kamarool saya tidak tahu tetapi, bukan sesuatu yang aneh jika dia juga berfikir seperti apa yang saya fikirkan.

Dua tiga kali saya lihat Andi Kamarool melagakan gigi atas dengan gigi bawah. Pada saat itu juga, saya segera terfikir kenapa manusia sanggup menafikan perkara yang sebenar.

Kenapa wasiat suami yang baik rela dikhianati oleh si isteri? Barangkali didorong oleh nafsu tamak haloba membuat manusia lupa diri.

"Apa yang kamu menungkan? Apa yang kamu fikirkan Tamar?"

"Tak ada apa-apa pak aji, tetapi apa yang saya fikirkan kenapa si pemuda itu secara mendadak saja mencari datuk."

"Semuanya terjadi secara kebetulan."

"Cara kebetulan?" Andi Kamarool seperti terkejut.

"Iya," angguk Haji Basilam serius.

"Cuba ceritakan pak aji," saya mendesak.

Sepasang tangan Haji Basilam menekan pangkal belikat kiri dan kanan. Dia kembali mengaru pipi kiri. Kesempatan itu saya manfaatkan untuk menghilangkan rasa lenguh dipunggung.

Saya bangun dan bergerak ke jendela, merenung keadaan diluar dan kemudian kembali duduk untuk mendengar cerita selanjut dari Haji Basilam.

"Waktu aku dan datuk kamu berjemah Isyak di masjid, seorang jemaah mengadu pada aku yang anak lelakinya baru berusia setahun, menangis sepanjang malam.

"Tangisan itu bermula dari waktu maghrib hingga matahari terbit, perkara itu sudah berlanjutan selama tiga bulan.

"Sudah puas berikhtiar, tidak juga mahu baik, apa yang peliknya bila waktu siang, budak tu tidur lena."

"Jadi Pak aji minta datuk si Tamar menolongnya?" Tanya kamarool.

"Iya," angguk Haji Basilam.

"Datuk setuju?" Muncul lagi pertanyaan dari saya.

"Setuju, ikhtiar dan usaha datuk kamu diperkenankan oleh Allah. Dengan segelas air dingin yang disapu ke muka budak tu, dia tidak lagi menangis malam. Dari situlah si pemuda tu mendapat tahu tentang kebolehan datuk kamu. Lalu dia mencuba."

"Memang perangai datuk kamu suka menolong orang sakit." sambil komentar, Andi Kamarool menepuk bahu saya.

"Itu amal jariahnya," tingkah Haji Basilam yang kamu sambut dengan ketawa.

CERITA

Bagi saya cerita dari Haji Basilam sudah berakhir. Tetapi, bagi Andi Kamarool masih belum berakhir.

Dia mahu tahu apakah punca atau jenis penyakit yang dideritai oleh janda kaya yang dianggapnya sebagai manusia tamak.

Andi Kamarool mahu tahu macamana bentuk dan rupa penyakit yang ditanggungnya.

Kerana faktor-faktor tersebut, tidak hairanlah dia terus mendesak Haji Basilam untuk menyambung cerita tersebut.

Pada peringkat awalnya, Haji Basilam agak keberatan untuk melanjutkannya. Desakan yang kuat dari Andi Kamarool membuat Haji Basilam mengaku kalah.

"Menceritakan kisah orang yang sudah meninggal dunia kepada orang lain yang masih hidup, bukanlah perbuatan yang baik, ditegah oleh ajaran agama kerana bila disebut-sebut roh simati tidak selesa," Haji Basilam menggunakan senjata terakhir untuk menolak hajat Andi Kamarool.

"Tujuan kita baik untuk mengingatkan orang yang hidup supaya jangan mengikuti jalan yang silap. Saya sekadar ingin tahu saja, setidak-tidaknya saya boleh beringat supaya jangan terkena macam dia," itu alasan Andi Kamarool, kenapa Haji meneruskan ceritanya.

Alasan yang diutarakan oleh Andi Kamarool dapat diterima oleh Haji Basilam. Dan dia pun berusaha memperlengkapkan cerita seperti apa yang dihajati oleh Andi Kamarool.

"Ada syaratnya," wajah Andi Kamarool ditatap oleh Haji Basilam.

"Apa syaratnya," tanya Andi Kamarool.

"Jangan dipanjangkan kepada orang lain.

"Saya berjanji," ikrar Andi Kamarool yang disambut oleh Haji Basilam dengan senyum. Penuh yakin dengan ikrar yang diluahakan oleh Andi Kamarool.

"Sebaik saja si sakit melihat wajah datuk kamu, dia pun menangis semahu-mahunya dan menyatakan hasratnya untuk balik ke tanah semenanjung.

"Dia mahu jumpa penghulu, Ketua kampung, pak imam dan tuk kadi. Dia juga nak jumpa dengan anak buah arwah suaminya," Haji Basilam memulakan cerita yang terputus dengan penuh keyakinan. Saya terus pasang telinga.

"Buat apa dia nak jumpa orang-orang tu pak aji?" Pertanyaan yang diajukan oleh Andi Kamarool membuat Haji Basilam tersenyum sinis. Ekor matanya mengerling tajam ke arah saya.

"Kamu tak dapat tangkap maksudnya, Andi."

"Tidak."

"Mudah saja. Dia mahu minta maaf atas perbuatannya yang lalu. Dia bersedia menebus kembali tanah yang dijual, bersedia menyempurnakan wasiat suaminya."

"Apa yang datuk beritahu padanya?"

"Datuk kamu beritahu, penghulu sudah bertukar ke tempat lain, Pak Imam meninggal dunia di Mekah, ketua kampung sudah pindah ke Sanglang Perlis. Tanah yang dijual terbiar begitu saja. Dia terus menangis."

TANAH

Menurut Haji Basilam, kerana tanah tersebut dipercayai menyimpan bijih yang banyak, pembeli (pemiliknya) mula menjalankan kerja¬kerja melombong ditanah tersebut.

Semua jentera berat yang bakal digunakan dalam kegiatan melombong yang ditempatkan dikawasan tersebut habis diterbalikkan oleh makhluk halus.

Para pekerja yang ditempatkan dirumah panjang (yang dibuat dari papan lapis) tidak dapat tidur dengan lena.

Setiap malam, mereka didatangi oleh sejenis makhluk yang menyerupai mayat yang sudah dikafankan dalam jumlah yang besar, kira-kira hampir seratus orang, mereka mengusung keranda mayat sambil mengetuk dan menerajang pintu rumah panjang.

Bila ada penghuni yang membuka pintu, mereka menghadiahkan secebis kain kafan berserta tulang yang dikeluarkan dari keranda usang yang dipikul.

Bila azan subuh dilaungkan kegiatan dilakukan oleh makhluk ganjil segera berakhir.

Cebisan kain kafan segera bertukar menjadi kulit binatang yang mengeluarkan bau busuk. Tulang menjadi daging yang dikerumuni ulat bersama bau yang boleh membuat seorang muntah tahi.

Jentara berat yang tidak dirosakkan segera dimanfaatkan oleh para pemandu yang mendakwa dirinya handal, tidak percaya dengan hal-hal ganjil atau ghaib.

Tetapi, apa yang pasti mereka terpaksa melalui pengalaman yang getir. Ketika mereka menggunakan jentolak untuk menumbangkan pokok, injin jentolak tiba-tiba mereka mati atau terbalik secara mengejut.

Jika tidak terbalik, si pemandu akan mengalami kecelakaan dalam bentuk lain, secara tidak semena-mena seperti dipatuk ular hitam, dihempap pokok atau dahan terjatuh dalam lubang yang mengakibatkan kaki mereka patah.

Pendek kata, setiap pohon yang terdapat dikawasan tanah yang sudah diwasiatkan itu, tidak boleh diusik sebarangan.

Kerana kejadian-kejadian yang dianggap aneh dan tidak masuk akal itu menyebabkan para pekerja lari. Walau diberi upah yang tinggi atau mahal, tidak ada siapa yang mahu bekerja.

"Semua cerita-cerita aneh yang berlaku, tidak disampaikan oleh datuk kamu kepadanya," Haji Basilam renung muka saya.

"Apa muslihatnya?"

"Tak ada apa-apa muslihatnya, kalau diberitahu mungkin sakitnya bertambah," jelas Haji Basilam.

Serentak saya dan Andi Kamarool anggukkan kepala.

"Wanita tu, masih beruntung kerana ada jiran yang mahu ambil tahu tentang dirinya, kalau tidak, keadaannya tentu lebih teruk lagi," Andi Kamarool sengaja mengemukakan pertanyaan agar Haji Basilam tidak berhenti bercerita.

Ternyata teknik yang digunakan itu berhasil. Haji Basilam seperti mendapat kekuatan baru untuk melanjutkan perbualan.

"Setelah bersoal jawab, pemuda yang menjemput kami itu mengaku yang dia adalah suami si sakit yang dikahwini secara senyap-senyap. Umur budak lelaki itu dalam lingkungan tiga puluhan, sedangkan umur si sakit sudah hampir lapan puluhan."

"Itulah sebabnya, bila dia menjemput datuk dan Pak aji dia memperkenalkan dirinya sebagai jiran. Dia malu riak mengaku sebagai suami pada wanita tua," saya luahkan pendapat.

"Mungkin cakap kamu ada benarnya," balas Andi Kamarool.

Saya lihat Haji Basilam anggukkan kepala. Saya kira dia setuju dengan pendapat yang saya katakan.

"Seperti biasa, sebelum melakukan sesuatu, datuk kamu akan bertanya tentang perkara agak ganjil yang selalu dibuat oleh orang yang sedang sakit," tidak saya nafikan kebiasaan datuk seperti apa yang dikatakan oleh Haji Basilam itu.

Bila keterangan yang diberi memuaskan hati, barulah datuk bersedia menolong orang yang terlantar sakit.

"Menurut kata budak lelaki tu.." kali ini tekanan nada suara Haji Basilam agak meninggi seperti memperolehi kekuatan tersendiri.

"Dalam masa-masa tertentu terutama waktu malam, wanita itu akan menjerit dan meracau tidak tentu arah, tidak mahu makan, tidak boleh melihat wang. Kalau melihat wang, badannya menggeletar dan berpeluh kemudian terus jatuh pengsan," sambung Haji Basilam.

"Kasihan dia pak aji?" Andi Kamarool bersuara lemah.

"Kami juga diberitahu, sudah hampir setahun dia tidak boleh berdiri dan terpaksa baring menanggung sakit."

BANGUN

Secara mendadak Andi Kamarool bangun, berlari ke muka pintu. Berdiri disitu, merenung ke setiap sudut halaman macam ada sesuatu yang dicarinya.

Andi Kamarool kembali mendekati saya lalu memberitahu, yang dia seperti terdengar ada suara orang yang memanggil namanya.

"Lupakan saja, perkara yang kamu dengar," Haji Basilam bagaikan tahu apa yang dirasai oleh Andi Kamarool.

"Berbalik pada cerita kita tadi pak aji, apa tindakan datuk saya selanjutnya."

"Dia agak keberatan, tetapi kerana dirayu oleh si pemuda berkali-kali hatinya menjadi lembut."

"Syukurlah kerana datuk mahu menolongnya," tanpa disedari terkeluar kata-kata itu dari kelopak bibir.

Haji Basilam ketawa kecil, saya tidak tahu apakah ketawa itu terjadi secara kebetulan atau ketawa menyindir.

Kata Haji Basilam lagi, sebagai memenuhi harapan budak lelaki yang menjemputnya, datuk segera menyuruh si pemuda menyediakan segelas air tawar dan sehelai daun kunyit yang sudah tua.

Permintaan datuk segera dipenuhi. Daun kunyit tua segera digosok oleh datuk dengan belakang tangan beberapa kali.

Tujuannnya berbuat demikian untuk menghilangkan habuk, ulat atau sebarang kekotoran yang melekat pada daun kunyit.

Bila sudah dipasti dan diyakini yang daun kunyit itu sudah bersih lalu bahagian hujung daun dibenamkan dalam air putih. Dibiarkan beberapa minit sebelum dipusingkan berkali-kali.

Semasa melakukan perbuatan itu datuk bagaikan menafikan kehadiran Haji Basilam dan si pemuda yang berada dekatnya. Dia seolah-olah hanya berdepan dengan si sakit saja.

Daun kunyit tua yang masih dilekati air terus dilekapkan ke pangkal telinga sebelah kanan. Manakala air putih dijaramkan ke bahagian kepala yang seluruhnya sudah dikuasai rambut putih yang kusut masi.

Bila semua kerja tersebut selesai dilakukan, datuk terus berdiri. Kemudian perlahan-lahan dia merendahkan tubuhnya hingga dia duduk dalam keadaan mencangkung untuk beberapa saat saja. Setelah itu barulah dia duduk dalam keadaan biasa.

Tiba-tiba datuk terus memegang ibu jari kaki kanan pesakit. Secara mendadak seluruh tubuh pesakit tersintak-sintak macam terkena kejutan letrik sambil mengerang seolah-olah mengalami sakit yang amat sangat.

"Kesian dia, lepaskan ibu jari. Dia menangis pakcik." Rayu si pemuda dengan wajah yang sedih.

Datuk anggukkan kepala dan ibu jari kaki kanan yang dipegang segera dilepaskan.

"Beri dia minum air ini." Datuk segera menghulurk'an gelas berisi air putih yang ditawar kepada si pemuda.

Arahan datuk segera dilaksanakan. Setelah meneguk air tersebut, pesakit nampak lemah sekali dan akhimya terus terlena.

Datuk pun beralih tempat duduk, menyandarkan belakang pada tiang seri.

"Bila dia terjaga, beri minum air dalam gelas. Cuma ini saja ikhtiar yang mampu saya buat. Semoga Allah memberkati usaha ikhtiar saya. Marilah kita berdoa supaya dia cepat sembuh." Si pemuda mengikuti gerak bibir datuk dengan penuh teliti.

"Apakah dia ada harapan untuk sembuh pakcik?" tanya si pemuda.

Datuk termenung sebentar dan menetap wajah sipemuda dengan penuh rasa simpati.

"Susah nak cakap, pada zahirnya harapan tu tak ada," nada suara datuk lemah, wajahnya nampak sayu sekali.

"Itu penclapat zahir saja. Tetapi, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Bersabar dan berdoalah, mudah-mudahan dengan izin Allah dia akan sembuh." Haji Basilam segera memujuk si pemuda yang nampak resah. Dan datuk segera mendekati sipemuda.

"Sabarlah anak, biarlah kami pulang dulu," datuk membisikkan kata¬kata ke telinga pemuda sambil jari-jarinya menepuk belakangnya kemesraan.

"Kami balik dulu," ulang datuk.

Si pemuda anggukkan kepala. Dia merestui kepulangan datuk dan Haji Basilam hingga ke kaki tangga.

"Kalau ada apa-apa masalah, datang jumpa kami bila-bila masa," pesan datuk.

"Baik, terima kasih."

Si pemuda anggukkan kepala dan terus masuk ke rumah. Datuk dan Haji Basilam meneruskan perjalanan pulang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 192/284

BACA: SBDJSiri 191: Kubur Di Panah Petir
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com