Wednesday, November 15, 2023

SBDJ Siri 194: Terapung Di Atas Kubur


Setelah berjaya menawan anak muda dalam jumlah yang ditetapkan. Dia (wanita yang mahu mengekalkan kecantikan) akan mandi air halia pada waktu tengah malam, selama tiga bulan disamping makan jenis-jenis pucuk tertentu. Selama tiga bulan juga tidak boleh menjamah nasi kecuali buah-buahan terutama pisang, betik, mentimun bendang.

Toyol jadi-jadian


Pokoknya, jangan makan buah-buahan yang terlalu masam atau terlalu manis. Apakah simati mengamalkan semuanya ini?

Sebelum Sham, entah berapa ramai anak muda belia menjadi suaminya. Ke mana dia membawa sejumlah wang yang begitu banyak.

Barangkali wang tersebut digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mempengaruhi anak-anak muda supaya tertarik padanya yang sekaligus menjadi suaminya.

Kenapa wajahnya begitu menakutkan setelah nyawanya bercerai dengan badan. Semua persoalan yang berlegar-legar dalam kepala Datuk, tidak menemui jawapan yang khusus.

"Kita buat di sini saja. Itulah permintaan suaminya."

"Ahh..." sahut Datuk.

Dan semua yang bermain dalam tempurung kepalanya lenyap. Pak Imam segera mengatur persiapan, menentukan di mana jenazah harus diletakkan. Di mana pula para jemaah harus berdiri.

Apa yang direncana dan disusun oleh Pak Imam tidak mendapat bantahan daripada Datuk.

"Kalau sudah setuju, biar saya jenguk ke dalam, apakah jenazah sudah dimandikan dan dikafankan."

"Jangan begitu kawan," kata Pak Imam sambil merenung biji mata Datuk. Mereka segera berbalas senyum.

Tanpa membuang masa, Pak Imam segera menghilangkan diri di balik kain tabir yang memisahkan ruang tengah dan ruang dapur. Di situlah jenazah dimandikan.

"Kenapa Imam?" Suara Datuk cemas melihat kemunculan Pak Imam dari balik tabir dengan wajah yang pucat.

"Tak ada apa-apa."

"Mustahil tak ada apa-apa, muka kamu pucat. Gerak geri kamu lain macam saja nampaknya."

"Begini," Pak Imam tepuk bahu Datuk.

Kemudian, mereka bergerak ke tepi jalan jendela. Sama-sama merenung ke luar, melihat cuaca petang yang kian redup.

Orang-orang kampung duduk berserakan di halaman, bersedia memberi bantuan bila diperlukan.

"Apa yang mahu kamu cakapkan imam?" Tanya datuk.

"Begini, Hajah Safiah beritahu, semasa jenazah dimandikan, dari lubang hidungnya keluar semacam nanah. Dari lubang pusatnya pula keluar dari sejenis benda halus sebesar benang, berwarna hitam bila jatuh atas batang pisang terus bergerak-gerak macam cacing tanah masuk ke batang pisang dan keluar semula lalu menggigit kulit mayat dalam jumlah yang banyak. Bila kena air, benda aneh itu hancur menjadi air yang berwarna hitam, macam air limbah dan baunya sungguh busuk. Dari mulutnya keluar buih ombak laut. Mujurlah, semuanya berjaya di atasi oleh Hajah Safiah dan kawan-kawannya," jelas Pak Imam sambil menelan air liur.

Wajahnya nampak gusar sekali.

"Sudah dikafankan?" Tanya datuk.

"Sudah."

"Syukurlah, diharapkan selepas ini, tidak ada kejadian yang ganjil terjadi," Datuk melahirkan harapan.

"Saya harap pun begitu juga."

"Sekarang ni, bolehlah Pak Imam buat pengumuman menjemput sesiapa yang sudi ikut sembahyang jenazah."

"Terima kasih kerana mengingatkan saya." balas Pak Imam.

PELAWA

Dari muka jendela Pak Imam buat pengumuman, mempelawa sesiapa yang sudah untuk bersama-sama menyembahyangkan jenazah.

Pelawaan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dan sembahyang jenazah pun bermula.

Suami simati menangis, dia tidak menyangka orang-orang kampung masih mahu menolongnya. Selama ini, dia beranggapan orang-orang kampung memandang serong padanya dan dia datang ke masjid kerana mahu mencari dukun atau pawang bagi mengubati sakit isterinya.

"Kenapa menangis, relakan isteri kamu pergi. Dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali," Kata ketua kampung pada suami simati yang menangis tersedu.

"Iringkan pemergiannya dengan doa," sambung ketua kampung.

Suami si mati segera memeluk tubuh ketua kampung.

"Saya menjauhkan diri dari orang-orang kampung kerana menurut kata isteri saya," Suami simati mengadu pada ketua kampung.

"Apa katanya?" desak ketua kampung.

"Katanya, orang kampung memulaukan dirinya dan saya."

"Sekarang kamu lihat sendiri, siapa yang betul. Sudahlah, mari kita tunggu jenazah turun," pujuk ketua kampung. Suamisimati pun akur dengan nasihat ketua kampung.

Jenazah pun diturunkan dari rumah dan terus diletakkan dalam pengusung. Penutup pengusung yang dibalut dengan kain bertulis dengan ayat-ayat suci.

Ketua kampung memilih dua belas orang pemuda yang berbadan tegap dan sasa. Mereka akan mengusung jenazah secara bergilir-gilir hingga sampai ke liang kubur.

Suami simati tidak membantah dengan kumpulan pemuda yang dipilih oleh ketua kampung.

"Cuma ada satu permintaan saya tuk ketua," Sham mula bersuara di bawah sinar matahari yang kian mengecil.

Di kaki langit kelihatan tompok-tompok awan yang menandakan, dalam tempoh waktu kira-kira dua jam lagi, matahari akan jatuh di kaki langit dan senja pun akan berlenggang turun.

"Apa dia permintaan kamu, cakap cepat."

"Dalam jarak lebih kurang dua rantai mahu sampai ke lubang kubur, saya mahu memikul pengusung jenazah sebelah kanan."

"Kenapa dah dekat baru nak usung jenazah tidak dari mula-mula lagi."

"Itu amanat isteri saya tuk ketua. Kalau saya tak tunaikan, buruk padahnya nanti."

"Kalau itu amanat arwah isteri kamu, kami tak menghalangnya," kata ketua kampung.

Sham tersenyum panjang, kepuasan tergambar diwajahnya. Dialog antara Sham dengan ketua kampung diikuti oleh Datuk dan Haji Basilam dengan teliti.

Bagi Datuk, semacam ada sesuatu yang ganjil di atas permintaan suami simati. Mungkin ada muslihat yang tersembunyi, Datuk membuat kesimpulan tersendiri.

Pak Imam segera mendekati ketua kampung, mereka berbincang tentang sesuatu. Beberapa minit kemudian, ketua kampung mengarahkan empat pemuda gagah berdiri di empat penjuru pengusung.

Pak Imam segera mengambil tempat di kepala tangga, kedua-dua belah kelopak bibimya bergerak. Barangkali dia membaca al-Fatihah.

Sebaik saja kelopak bibir Pak Imam berhenti bergerak, ketua kampung terus bersuara.

"Angkat pengusung perlahan-lahan, jangan sampai mayat di dalamnya bergerak atau bergegar."

Serentak empat pemuda berbadan sasa terus membongkok, menjalankan tugas yang dibebankan atas bahu mereka Pengusung tidak bergerak dari tempatnya. Mereka terus mencuba dan hasilnya tidak memberangsangkan.

BERKERUT

Muka empat pemuda gagah mula berkerut, urat-urat leher timbul. Seluruh tenaga dan kekuatan telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Tetapi entah apa sialnya tiga kali mencuba dan berusaha, semuanya gagal. Muka sudah merah padam dan peluh mula membintit di dahi dan pipi.

Orang yang berada di sekeliling pengusung mula merasa pelik. Beberapa orang daripada mereka secara sukarela turut membantu. Tetapi, hasilnya tetap gagal.

"Berat sungguh Pak Imam macam ada batu gunung di dalamnya," adu seorang pemuda sambil menunjukkan telapak tangannya yang sudah merah dan terasa pedih.

"Sabar," kata Pak Imam.

Ketua kampung segera mendekatinya. Mereka berbincang sebentar. Haji Basilam dan Datuk turut dipanggil untuk untuk berbincang sama.

Keputusannya, mereka mengambil alih tugas mengusung jenazah dari empat pemuda gagah.

Orang ramai yang berada di situ menduga semuanya akan berakhir kerana empat orang tua yang kaya dengan pengalaman dan ilmu dijangka akan berhasil mengangkat pengusung.

Dugaan mereka meleset, empat orang tua tersebut nampaknya tercungap-cungap.

Malah Haji Basilam, ketua kampung dan Pak Imam nampak terhoyong hayang macam mahu pitam. Cuma datuk saja tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Macammana pun dahinya berkerut juga.

"Kita tak boleh membiarkan keadaan terus begini, kalau kita tidak bertindak, mungkin sampai maghrib jenazah tidak dikebumikan," kata Datuk.

"Habis, apa yang patut kita buat?" Tanya Haji Basilam.

"Semua yang ada di sini, sama-sama mengusungnya hingga ke tanah kubur," Datuk memberikan formula.

Ternyata saranan Datuk diterima sebulat suara tanpa ada sebab yang membangkangnya.

Setelah lebih dari seratus orang berpadu tenaga, barulah pengusung berisi mayat itu berjaya dipikul.

Semakin hampir dengan tanah perkuburan, pengusung semakin berat. Lebih dari sepuluh orang yang memikul pengusung mengadu bahu terasa sakit.

Ada juga yang mengadu tulang bahu terseliuh. Tidak kurang juga yang merasa pening dan muntah-muntah.

Ketua kampung menyuruh orang yang berhadapan dengan masalah tersebut supaya pulang saja ke rumah. Di khuatiri, bila sampai tanah perkuburan mereka akan menghadapi masalah yang lebih serius lagi.

Ketika memasuki jalan kecil menuju kawasan perkuburan, hari semakin suram. Cahaya matahari bagaikan sudah tidak ada lagi, kerana dikiri kanan jalan kecil itu ditumbuhi pokok-pokok besar yang rimbun menyebabkan keadaan sekitar agak samar-samar.

Terdengar bunyi murai tanah yang selang dengan suara gagak dan cengkerik yang seolah-olah memberitahu tidak lama lagi senjakala akan menjelma.

Dari kejauhan dalam keadaan yang samar-samar batu nisan yang tegak kaku boleh dilihat. Beberapa ekor burung malas terbang dari satu nisan ke satu nisan sambil berbunyi.

Sesungguhnya suasana begini kurang disenangi oleh ketua kampung, tetapi apakan daya jenazah wanita itu mesti dikebumikan dengan segera. Kalau dilewatkan atau ditangguhkan hingga esok akan menimbulkan masalah pada orang ramai.

Dalam jarak beberapa ela mahu sampai ke lubang kubur, ketua kampung segera memanggil suami simati yang sejak tadi mengekori dari belakang.

"Sila tunaikan amanat isteri kamu," beritahu ketua kampung.

"Terima kasih tuk ketua."

Suami simati mengambil tugasnya. Sebaik saja kayu pengandar berada di atas bahunya. Wajah suami simati yang muda nampak bertukar menjadi wajah seorang tua yang berusia antara tujuh puluh hingga lapan puluh tahun.

Tidak ada sesiapa yang berani menegur tentang perubahan yang terjadi pada suami simati.

"Turunkan di sini." Pak Imam mengarahkan supaya pengusung diletakkan agak jauh dari lubang kubur bagi mengelakkan lubang di situ rebak.

Bila pengusung diletakkan di tanah, wajah suami simati berubah seperti sediakala.

Kain penutup pengusung segera dibuka dan mayat dikeluarkan dengan hati-hati sekali.

"Sambut baik-baik," Pak Imam mengingatkan orang yang menyambut mayat di dalam lubang kubur.

"Baik Pak Imam, jawab mereka serentak.

Dan semua orang yang berada di tanah kubur berbisik sama sendiri, mereka masih memperkatakan tentang diri suami simati.

CEMAS

Setelah dipastikan oleh Pak Imam bahawa kedudukan mayat dalam kubur adalah betul, tanpa membuang masa tanah ditebing kubur pun dijatuhkan secara perlahan-lahan.

Sebaik saja tanah dijatuhkan menimpa papan keranda secara mendadak papan keranda terbuka. Dan mayat terus terangkat ke permukaan macam ada kuasa ghaib yang menolaknya dari bawah.

Semasa mayat itu terangkat, batu-batu gunung yang sebesar ibu jari kaki orang dewasa muncul dari sebelah kanan dan kiri lubang kubur, seiring dengan itu terdengar bunyi deru angin yang kuat.

Apa yang peliknya, dedaun dipepohon yang terdapat dikawasan kubur tidak bergerak.

Dalam suasana yang semakin beransur gelap itu, keadaan di tanah perkuburan menjadi agak kelam kabut. Mayat terus terapung-apung dipermukaan lubang kubur.

Sebahagian daripada orang ramai yang turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan mula cemas dan takut.

Kerana tidak mahu menanggung risiko yang lebih buruk mereka segera meninggalkan kawasan perkuburan.

Melihat keadaan yang haru biru itu, Datuk segera menyuruh Pak Imam mengepalkan tanah sebesar penumbuk. Pak Imam patuh dengan arahan Datuk. Tanah kubur yang sudah dikepalkan itu segera diserahkan kepada Datuk.

"Dari tanah asalmu kepada tanah juga kamu dikembalikan. Sesungguhnya, tiada siapa yang dapat mengatasi kuasa Allah. Tiada siapa yang berhak atas roh ini melainkan Allah jua."

Dan orang ramai yang berdekatan dapat mendengar kata-kata yang datuk ucapkan itu. Kerana mayat yang terapung di udara itu agak hampir dengannya, amat mudah bagi Datuk meletakkan tanah yang sudah dikepalkan itu ke atas pusat simati (mayat).

Dengan izin Allah, secara perlahan-lahan mayat yang terapung diudara mulai menurun. Bunyi deru angin turut berkurangan. Akhirnya, mayat kembali pada kedudukan asalnya dalam lubang kubur.

"Tutup..." kata ketua kampung.

Seorang anak muda yang secara kebetulan berada di tepi kubur segera mengambil papan (Penutup) lalu menutup mayat.

"Timbus dengan tanah cepat-cepat," Datuk mengeluarkan arahan.

"Iya, kita segerakan kalau lambat-lambat nanti ada masalah lain yang datang. Lagipun hari sudah beransur gelap, sudah senja," sahut ketua kampung sambil mengambil cangkul.

Dia turut mengkais tanah, merata kubur. Tidak sampai satu jam, kubur tersebut berjaya ditimbus. Keadaan sekitar semakin beransur gelap. Nyamuk mula menyerang, bunyi cengkerik makin menjadi jadi.

Gerak geri Haji Basilam, Datuk, ketua kampung dan Pak Imam jadi perhatian orang sekitar. Kerana wajah empat insan tersebut nampak tenang dan bersahaja, memberi keyakinan pada orang lain, bahawa tidak akan berlaku perkara yang buruk.

Tidak banyak reaksi simati yang diperlihatkan oleh suami simati. Dia hanya diam membatu.

"Sham bentangkan tikar di situ."

Tanpa membuang masa Sham terus membentangkan tikar mengkuang seperti yang diarahkan oleh ketua kampung.

"Eloklah Pak Imam membacanya," kata Haji Basilam.

"Saya pun fikir macam itu juga," sahut Datuk.

"Baiklah."

Pak Imam pun melabuhkan punggungnya di tikar mengkuang. Haji Basilam segera mengambil tempat disebelah kirinya. Datuk di sebelah kanan. Sebelah Datuk pula ialah ketua kampung.

HIMPIT

Orang yang jumlahnya sekitar lima belas orang (yang lain semuanya sudah angkat kaki, berikutan dengan peristiwa mayat terangkat) segera duduk berhimpit-himpit.

Masing-masing tidak mahu berada jauh dari tempat insan (Datuk, Haji Basilam, Pak Imam dan Ketua Kampung) yang dianggap sebagai manusia yang mempunyai kebolehan tersendiri. Boleh menyelesaikan masalah yang timbul secara mendadak.

"Sebelum talkin dibaca, saya nak pacak ranting dibahagian kepala dan kaki," suami simati mengemukakan permintaan.

"Silakan," jawab Pak Imam.

Suami simati segera mematahkan ranting kemboja di sisinya. Dengan hati-hati dipacakkan di bahagian kepala dan kaki. Tidak sampai lima minit dipacak, daun diranting terus layu terbakar.

"Jangan pedulikan, jika Sham minta buat itu, jangan dilayan."

Bisik datuk ke telinga pak Imam.

"Kenapa?"

"Banyak buruk dari baiknya," balas datuk.

"Baik," angguk Pak Imam.

Disaat pembacaan talkin mahu dimulakan, Sham segera mendekati Pak Imam. Dia mengemukakan permintaan untuk meletakkan sekuntum bunga di atas kubur isterinya.

"Minta maaf Sham," kata Pak Imam.

"Tapi ini amanat isteri saya."

Pak Imam jadi serba salah. Kalau permintaan dipenuhi, ertinya dia membelakangi pesanan Datuk.

"Bagaimana?" Pak Imam renung muka Datuk.

"Jangan dilayan, dia sengaja mahu melambat-lambatkan kerja kita, dia ada muslihat," kata datuk dengan nada suara yang tinggi.

"Kamu dengar apa yang dikatakan olehnya Sham."

"Dengar," bentak Sham sambil memandang muka Pak Imam dengan rasa benci yang amat sangat.

Pak Imam membaca talkin. Suaranya yang nyaring bagaikan berlawan dengan suara cengkerik, katak, ungka, kera, burung gagak dan puyuh yang mahu pulang kesarang.

Sebaik sahaja talkin selesai dibaca, hari sudah senja. Keadaan sekitar bertambah gelap. Nyamuk kian ganas menyerang.

"Terima kasih pada yang menolong."

Semua biji mata tertumpu ke batang tubuh suami simati yang tegak berdiri dibahagian belakang sekali. Suaranya cukup lantang.

"Terima kasih," jawab ketua kampung mewakili anak buahnya.

Sebelum meninggalkan kawasan tanah perkuburan, ketua kampung memastikan anak buahnya yang hadir ditanah perkuburan cukup bilangannya. Tidak ada yang kurang.

Bagi menghilangkan rasa takut dihati anak buahnya, ketua kampung membuat peraturan sendiri. Mereka harus berjalan sebaris.

"Saya minta Haji Basilam menolong saya," Ketua kampung cuit bahu kanan Haji Basilam.

"Bantu apa tuk ketua?"

"Jadi kepala jalan."

"Ah perkara mudah," Haji Basilam terus berdiri dihadapan.

"Pak Imam di tengah," ketua kampung renung muka Pak Imam.

"Boleh," Pak Imam segera mengambil tempatnya.

Bila semuanya selesai ketua kampung menentukan tempatnya iaitu dibelakang suami simati. Manakala Datuk berada dibelakangnya (ketua kampung), dengan erti kata lain, Datuk adalah orang yang berada di barisan terakhir.

"Sekarang kita bergerak Pak Imam," jerit ketua kampung.

"Ok," balas Pak Imam.

Barisan yang diketuai Pak Imam pun bergerak meninggalkan kawasan perkuburan. Kerana Datuk berada di belakang sekali, sebelum melangkah Datuk menoleh ke arah kubur untuk kali terakhir.

Datuk melihat pengusung jenazah yang dibuat dari buluh nampak bergerak-gerak. Kerana kurang yakin dengan apa yang dilihatnya, datuk merenung untuk kali kedua.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 194/284

BACA: Siri 193: Daging Pipinya Relai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon