Saturday, May 01, 2021

Ketua Polis Negara Mohon SPRM Siasat 'Katak'! Ahli Politik Membudayakan Rasuah

Ketua Polis Negara Mohon SPRM Siasat 'Katak'! Ahli Politik Membudayakan Rasuah

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat unsur rasuah berhubungan perbuatan melompat parti di negara ini kerana menurutnya, dia menentang rasuah dalam PDRM, namun pemimpin politik telah membudayakan rasuah.

Rasuah

"Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik mabuk kuasa.

"Sekejap 'katak' melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu? Rasuah," katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Sebelum ini, sejumlah ahli Parlimen pembangkang keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, setelah mendakwa ada anggota Parlimen daripada PKR yang mengaku ditawar sogokan untuk lompat parti.

Sementara itu, tambah Abdul Hamid, SPRM tidak boleh membiarkan perkara itu berleluasa umpama negara tidak mempunyai undang-undang.

"Saya minta SPRM masuk (siasat). Seolah-olah dalam negara kita tidak ada undang-undang," katanya.

Abdul Hamid turut mempersoalkan sumber diperolehi bagi seseorang ahli politik menggunakan jet peribadi. Dia bagaimanapun tidak menamakan pemimpin politik yang dimaksudkan.

"Mana dapat duit naik 'private jet'. Kita minta SPRM siasat orang-orang politik," katanya.

Untuk rekod, sidang media hari ini (30/4/2021) merupakan sidang media terakhir Abdul Hamid sebelum melepaskan jawatan sebagai ketua polis negara.

KETUA POLIS NEGARA LANTIKAN POLITIK!

Sementara itu, perbuatan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang memetik nama "Tuanku" sebagai justifikasi bagi menaikkan pangkat pegawai anggota polis pilihannya, adalah satu perbuatan biadab, sekali gus mengheret istana dalam kancah politik.

Ini kerana, jika diamati butir demi butir audio yang tular, jelas bahawa Hamzah Zainuddin telah memetik nama 'Tuanku' sebagai justifikasi untuk beliau menaikkan pangkat anggota polis yang mahu dipilihnya.

Tanpa segan silu menggunakan panggilan 'budak kita', Hamzah jelas telah berlaku biadab dengan menyalahgunakan nama 'Tuanku', sekali gus menghina dan mengheret institusi Raja Berperlembagaan untuk kepentingan politik beliau.

Ada pihak merasakan bahawa tindakan menteri dalam negeri ini telah melampaui batas.

Terdahulu, Hamzah Zainuddin mengakui bahawa suara dalam klip audio viral yang membincangkan pemilihan ketua polis baru untuk negara itu adalah miliknya.

Ahli Parlimen Larut itu memberitahu sidang media bahawa dia bersedia mengakui hakikatnya kerana dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Saya percaya itu benar-benar suara saya. Dan saya tidak melakukan kesalahan. Apa kesalahan di sini?

"Satu-satunya kesalahan (dengan klip audio) adalah orang yang merakam perbualan saya dengan seseorang. Itu salah. Apa yang saya buat tidak salah," kata Hamzah.

Malangnya, pengakuan Hamzah itu penuh keangkuhan selain mengakui apa yang dilakukan adalah mengikut skop kerjanya, apatah lagi dijaja seolah-olah perlakuan salah itu direstui payung negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Monday, January 11, 2021

IQ Ahmad Maslan

IQ Ahmad Maslan

Kita sudah membaca kenyataan Lim Guan Eng, Khairy Jamaludin dan A Kadir Jasin mengenai kenyataan Ahmad Maslan yang mengulas isu desakan parti Umno untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) dengan membuat perbandingan di antara tukang parut kelapa dengan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).

Ahmad Maslan

Kenyataan Ahmad dianggap suatu kesombongan dan menghina pekerja biasa yang menolak idea agar PRU diadakan semasa Covid-19 masih menyerang.

Ahmad ditunjukkan temu bual media dengan seorang pemarut kelapa yang tidak bersetuju PRU diadakan kerana Covid-19.

"Saya dipertontonkan dengan Astro Awani atau TV3, tidak pasti, dia ada temu bual seorang pemarut kelapa. Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana COVID-19.

"Tapi saya jawab kenapa perlu PRU, kerana banyak negara yang sudah lakukan, antaranya di Amerika Syarikat, Singapura dan kita juga dah laksana pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

"Sabah itu kes tinggi pun punca mereka kerana orang-orang pulau naik motorbot masuk tanpa saringan dan sebagainya. Itu antara punca saya difahamkan, dan ia merebak di pulau sekitar itu.

"Kita perlukan PRU kerana kerajaan ini juga merupakan kerajaan yang paling tipis (majoriti) di dunia. Kerusi parlimen ada 222, kalau nak jadi kerajaan kena ada 111 campur satu (kerusi) lagi minima. Haa, dan itu yang kerajaan Malaysia ada sekarang.

"Rasanya yang parut kelapa tadi itu dia tidak perasan, yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah hanya lepasan sekolah tinggi kot. Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD, saya rasa dia boleh ulas dengan lebih tepat."

Begitu kata-kata Ahmad Maslan. Program TV dianjurkan oleh Umno Tanjung Malim.

Ucapan Ahmad terus dibidas ramai pengguna media sosial secara lantang dan terbuka.

Kerajaan Penyamun

Sebelum itu, Ahmad Maslan mendakwa salah satu sebab utama Umno tidak berpuas hati dengan kerajaan PN sebab langkah gabungan itu meneruskan kes mahkamah. Kes untuk Umno dan para pemimpinnya.

Ahmad Maslan menekankan faktor itu mengatasi faktor tidak puas hati ahli UMNO terhadap pengagihan jawatan yang sudah terasa, memperlihatkan kes-kes tersebut merupakan kezaliman zaman PH.

Kes diteruskan di mahkamah maka kata Ahmad Maslan, PRU perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru supaya tiada lagi pendakwaan.

Khairy Jamaluddin juga mengkritik kenyataan Ahmad Maslan dan menggesanya tidak menggambarkan Umno kecewa dengan kerajaan PN kerana isu mahkamah.

Khairy berkata kenyataan itu memberi gambaran Umno ingin melihat berlaku campur tangan pihak eksekutif dalam proses kehakiman yang tidak sepatutnya berlaku.

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin juga mengatakan Ahmad tidak berfikiran 'pisang goreng' namun lebih sesuai kalau dikatakan 'pecal basi'.

Menurut A Kadir, pisang goreng sangat digemari ramai dan sudah menjadi hidangan ikonik Nusantara, berbanding dengan pecal basi jika dimakan sakit perut.

"Kalau Khairy sifatkan pemikiran Ahmad Maslan sebagai pecal basi lain ceritalah. Pecal sangat sedap. Tapi kalau basi amat mengecewakan orang yang meminatinya dan boleh menyebabkan cirit-birit," kata Kadir menerusi tulisan di dalam Facebook.

"Kita kena faham pasal apa otak YB Pontian lulusan Victoria University, Wellington, New Zealand ini jadi macam pecal basi. Harapan dia kalau PRU diadakan awal dan Umno/BN menang lepaslah dia daripada tuduhan."

New Zealand 'Negara Islam' Terbaik

Bagi Kadir, Ahmad Maslan ini mengaji saja di New Zealand tapi nampaknya dia tak belajar apa-apa yang baik daripada negara itu.

Di New Zealand, menteri dan ahli politik buat salah sikit pun mereka cepat-cepat minta maaf dan letak jawatan.

Tapi mereka bukan Melayu-Islam macam Ahmad Maslan. Bukan Melayu dan bukan orang Islam.

Sesungguhnya Malaysia dan New Zealand adalah dua negara berbeda dalam segala hal, termasuk dari segi politik.

Ahli politik di sana lebih berkredibiliti dan dipercayai daripada hampir semua kepimpinan politik di Malaysia.

Namun di New Zealand, ragbi dianggap sukan utama yang lebih dahsyat dari politik dan dianggap sebagai agama.

Orang New Zealand tidak bersolat, berpuasa, berzakat, naik haji tetapi selain itu, tindakan dan perbuatan mereka lebih kepada amalan orang Islam.

Semua itu menjadi ukuran bagaimana kita harus melakukan pembaharuan sewajarnya untuk memastikan perubahan politik selepas 2020 di mana orang tua terus memimpin.

Kita mahukan orang baru untuk memimpin Malaysia dan mungkin parti baru yang tiada isu korupsi dan rasuah.

Sebagai wahana untuk melakukan reformasi secara damai dan membawa perubahan yang bermakna untuk rakyat Malaysia tidak bergantung kepada parti, namun kita masih dengan parti lama untuk sekian kali.

Kita tidak nampak perubahan menjelang PRU 15 ini dan dengan wabak Covid-19 terus mengancam negara, orang politik terus sibuk berpolitik untuk melepaskan diri dari mahkamah.

Sehingga itu, New Zealand, tetap menduduki tempat tertinggi sebagai 'negara Islam no 1 di dunia'!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Monday, November 16, 2020

Apa Akan Berlaku Jika Belanjawan 2021 Tidak Di Luluskan? Darurat Atau Pilihanraya Baharu?

Apa Akan Berlaku Jika Belanjawan 2021 Tidak Di Luluskan? Darurat Atau Pilihanraya Baharu?

Belanjawan Negara Malaysia bagi tahun 2021 yang dibentang pada 6 November 2020 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz masih dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat di peringkat dasar, dengan pengundian di peringkat dasar dijangka akan berlaku pada 25hb November 2020.

Belanjawan

Belanjawan 2021 ini membawa dilema, tidak sahaja kepada Kerajaan Perikataan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) tetapi juga kepada Blok Pembangkang.

Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang telah berucap membahas Belanjawan 2021. Najib Razak, Pengerusi Backbencer Barisan Nasional juga telah berucap. Presiden Amanah Mohamad Sabu, Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP serta Tun Mahathir Mohamad semuanya telah berucap.

Ketua parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusi Parti Pejuang semuanya telah mengisytiharkan secara terbuka di dalam Dewan Rakyat bahawa mereka hanya akan menyokong Belanjawan 2021 itu sekiranya cadangan dan pindaan yang mereka tuntut diterima oleh Kerajaan PN.

Ini dilema yang dialami oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Tunduk akur menerima tuntutan dan desakan PH, BN dan Pejuang akan menampakkan kelemahan kerajaan PN pimpinan beliau.

Jika Muhyiddin Yassin berkeras enggan meminda Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangannya itu, maka besar kemungkinan proses pengundian belah bahagi akan berlaku di Dewan Rakyat.

Ada kemungkinan Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 itu tidak dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Perkara 68(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Rang Undang-Undang Belanjawan tahunan negara mestilah diluluskan oleh Dewan Rakyat, kerana Rang Undang-Undang berkenaan kewangan tidak boleh datang dari Dewan Negara.

PROSES KELULUSAN BELANJAWAN NEGARA

Sebelum itu, kami ingin mengambil kesempatan ruangan ini untuk menjelaskan aturcara proses perbahasan dan kelulusan bagi Belanjawan 2021 supaya boleh difahami dengan mudah oleh rakyat.

Umum telah ikuti bahawa Belanjawan 2021 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 6 November lalu. Daripada sekarang hingga sekitar 25 November, wakil-wakil rakyat akan membahaskan belanjawan tersebut di peringkat dasar.

Ini bermaksud wakil rakyat boleh membahaskan perkara-perkara dasar berkaitan Belanjawan tanpa merujuk kepada mana-mana butiran. Contohnya, seseorang wakil rakyat boleh membahaskan berkenaan falsafah dan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2021. Juga yang terkait dengan angka-angka unjuran hasil dan ekonomi serta jumlah perbelanjaan yang mungkin besar atau kecil bagi sesebuah kementerian. Isu-isu di kawasan juga boleh dibangkitkan.

Perhatian tertumpu kepada ucapan perbahasan sama ada seseorang wakil rakyat itu menyokong, menolak atau menyokong dengan syarat, Belanjawan 2021.

Belanjawan boleh dipinda

Ia kemudian akan dijawab oleh Menteri Kewangan semasa sesi penggulungan sebelum Dewan Rakyat mengundi untuk kelulusan di peringkat dasar. Pada ketika ini Menteri Kewangan boleh mengulas kritikan, teguran dan cadangan wakil rakyat. Malah Menteri boleh membuat usul pindaan belanjawan untuk dibawa dalam perbahasan dan kelulusan peringkat jawatankuasa.

Pengundian boleh dijalankan dengan suara sama ada bersetuju atau tidak iaitu sekiranya lebih suara bersetuju maka masalah (dalam konteks ini Belanjawan 2021 peringkat dasar) adalah diluluskan. Ini terkandung dalam peraturan mesyuarat 46.

Tetapi, jika ada daripada kalangan wakil rakyat seramai 15 orang atau lebih yang bangun meminta untuk diadakan belah bahagian maka Yang Dipertua (atau dipanggil Pengerusi ketika peringkat Jawatankuasa) hendaklah memerintahkan diadakan belah bahagian.

Dalam belah bahagian ini penghitung undi hendaklah bertanya kepada setiap wakil rakyat sama ada bersetuju, tidak bersetuju atau tidak mahu mengundi. Ini terkandung dalam peraturan mesyuarat 47.

32 kali undian

Sekiranya diluluskan maka sesi perbahasan peringkat jawatankuasa pula akan menyusul. Dalam sesi ini, wakil rakyat akan membahaskan butiran belanja mengurus dan pembangunan bagi setiap Kementerian. Ini dijadualkan berlangsung selama 8 hari. Setiap kali selesai satu kementerian, ia akan diikuti dengan jawapan Menteri dan undian untuk kelulusan.

Sekali lagi proses undian boleh berlaku seperti semasa peringkat dasar. Bezanya ialah proses ini boleh berlaku sebanyak 32 kali memandangkan terdapat sebanyak 32 kementerian di bawah kerajaan sekarang. Masing-masing wakil rakyat kerajaan dan pembangkang perlu bersedia pada setiap masa apabila proses undian berlaku.

Begitulah prosesnya. Apa yang benar-benar bakal berlaku hanya akan diketahui apabila tiba masanya. Sebab itu kehadiran wakil rakyat amat penting terutamanya dalam proses undian.

Had 80 orang wakil rakyat pada satu satu masa yang diputuskan oleh dewan tidak terpakai ketika proses undian. Semua wakil rakyat dibenarkan masuk ke dewan ketika proses undian.

Jika Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat, apa akan terjadi?

Rang Undang-Undang yang tidak lulus itu tidak boleh dibawa ke Dewan Negara. Ia juga tidak boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan diraja.

Dalam keadaan sedemikian, apa implikasinya?

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin tidak ada wang untuk menguruskan negara bagi tahun 2021, kerana sesebuah Kerajaan hanya boleh berbelanja dengan menggunakan peruntukan kewangan yang telah diluluskan oleh Parlimen.

Apa pilihan yang Muhyiddin Yasin ada, jika beliau menghadapi senario sedemikian?

Pilihan pertama ialah Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri bersama-sama seluruh anggota kabinet Kerajaan PN. Dalam erti kata lain Kerajaan PN tumbang.

Persoalannya, adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan pimpinannya mesti meletak jawatan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen?

Jika diteliti di dalam Perlembagaan Persekutuan, bahawa tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri dan Kabinet mesti meletak jawatan jika kalah dalam undian berkenaan Belanjawan Tahunan di Dewan Rakyat.

Malaysia sejak Merdeka tidak pernah mengalami situasi di mana Rang Undang-Undang Belanjawan ditolak oleh Dewan Rakyat.

Yang ada ialah amalan lazim atau disebut konvensyen yang diamalpakai di negara-negara demokrasi khususnya di dalam Komanwel bahawa Perdana Menteri dan kabinet hendaklah meletak jawatan apabila kalah dalam undian Belanjawan tahunan.

Kekalahan sedemikian dianggap kerajaan berkenaan khusus Perdana Menteri, tidak mendapat kepercayaan yang cukup di kalangan ahli parlimen.

Jadi, secara andaian yang mungkin, apa pilihan lain yang PM Muhyiddin Yassin ada, jika beliau enggan meletak jawatan?

Muhyiddin boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya Dharurat seluruh negara diiystiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan atas alasan wujud keadaan dharurat yang besar di mana kehidupan ekonomi terancam akibat Belanjawan Negara tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Tetapi, adakah Muhyiddin Yassin sanggup menghadap Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, untuk memohon perisytiharan Dharurat selepas permohonannya kali pertama ditolak oleh Baginda?

Pilihan lain yang ada pada Muhyiddin Yassin jika Belanjawan ditolak ialah beliau terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya Parlimen Penggal ke-14 ini dibubarkan dan satu Pilihanraya Umum diadakan.

Apa risiko yang Muhyiddin mungkin hadapi jika berbuat demikian?

Ada kemungkinan bahawa permohonan Perdana Menteri itu ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Apakah pilihan yang lazimnya dipakai di negara-negara demokrasi lain apabila Rang Undang-Undang Belanjawan Negara ditolak oleh Parlimen yang patut konvesyen ini dicontohi di Malaysia?

Pilihannya ialah, Perdana Menteri itu wajar menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan surat perletakan jawatan.

Dengan berbuat demikian Kabinetnya juga gugur, kerajaannya tumbang dan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan kuasa Baginda berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dengan melantik Perdana Menteri baharu berdasarkan Perkara 43(2)(a).

Sebuah Kabinet baru akan dibentuk dan sebuah Kerajaan baharu ditubuhkan dengan tugas pertamanya ialah membentangkan Belanjawan tahun 2021.

Dilema Pembangkang

Pemimpin-pemimpin blok pembangkang juga menyedari dilema yang mereka hadapi kerana tidak dapat menerima Belanjawan seperti apa yang telah dibentangkan di parlimen.

Jika mereka tolak secara keseluruhan mungkin akan berlaku pergolakan politik yang hebat seperti yang dinyatakan di atas.

Blok pembangkang tentu tidak bersetuju Perisytiharan Dharurat diisytiharkan kerana Belanjawan Kerajaan PN tewas diparlimen.

Blok Pembangkang juga tentu berpandangan bahawa Pilihanraya Umum tidak patut diadakan dalam masa terdekat di mana Pandemik Covid-19 masih di peringkat bahaya dan Perintah PKPB dikuatkuasakan di banyak negeri.

Blok pembangkang juga dalam dilema kerana mereka tidak pasti apakah langkah yang akan diambil oleh Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN jika pada 25 November nanti Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 ditolak oleh Dewan Rakyat.

Sama-sama kita nantikan.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Monday, November 09, 2020

Moratorium Dan KWSP: Muhyiddin Lebih Teruk Dari Najib?

Moratorium Dan KWSP: Muhyiddin Lebih Teruk Dari Najib?

Majoriti tampak tidak gembira dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerana tiada perkara menarik yang boleh membuatkan rakyat tersenyum dengan pembentangan belanjawan kali ini.

Muhyiddin

Yang sinis berkata, kalau ada pun yang menarik hanyalah tentang kejayaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang berjaya membuatkan Speaker, Azhar Azizan Harun terpaksa membuat U-Turn dengan membenarkan kesemua 222 Ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat mendengar pembentangan Belanjawan 2021.

Jika sebelum itu beliau mengeluarkan arahan hanya 80 Ahli Parlimen saja dibenarkan berada di Dewan Rakyat, berikutan desakan Anwar yang kemudian disokong empat Ahli Parlimen UMNO, Azhar terpaksa mengubah keputusannya dengan rasa yang cukup kecewa.

Kekecewaannya jelas terpancar apabila beliau kemudian menyatakan agar di lain kali permohonan seperti itu seharusnya diberi notis awal terlebih dahulu kepadanya.

Apakah ini petanda awal Belanjawan 2021 akan berdepan masalah ketika pengundian nanti?

Dua perkara yang paling membuatkan rakyat kecewa dan tidak puas hati ialah berkaitan pengeluaran wang daripada KWSP dan perlanjutan tempoh moratorium pinjaman bank.

UMNO, khususnya melalui Najib Razak, sejak dua tiga minggu sebelumnya, giat mendesak kerajaan agar membenarkan rakyat mengeluarkan wang caruman sebanyak RM10 ribu daripada Akaun 1 KWSP.

Pengeluaran wang itu adalah untuk tujuan mereka menyelesaikan urusan kehidupan berikutan pandemik Covid19 yang membuatkan ramai hilang pekerjaan dan tiada pendapatan.

Dengan RM10 ribu dapat dikeluarkan dan jika pasangan turut berbuat demikian, bermakna jumlah RM20 ribu yang ada dalam tangan mampu menyelesaikan banyak urusan kehidupan, antaranya tentang bil-bil yang tertunggak.

Jika kebenaran itu diberikan, ia dianggarkan mampu memberi manfaat dan keselesaan kepada kira-kira 4.7 juta pencarum.

Malangnya, desakan dan permintaan UMNO itu tidak dipedulikan oleh Tengku Zafrul.

Dalam pembentangannya, beliau mengumumkan hanya pencarum hilang pekerjaan dibenarkan mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dengan jumlah RM500 sebulan selama setahun.

Dalam erti kata lain, jumlah dibenar dikeluarkan adalah RM6,000 sahaja, tetapi dengan RM500 sebulan, apa yang boleh diselesaikan?

Itu pun, oleh kerana ia terhad kepada mereka yang hilang pekerjaan, manfaatnya hanya untuk 600 ribu pencarum semata-mata berbanding sasaran daripada cadangan asal ialah 4.7 juta pencarum.

Bagi moratorium pinjaman bank, kedua-pihak iaitu UMNO dan PH telah membuat desakan agar ia dilanjutkan selama tiga atau enam bulan lagi bagi tujuan meringankan beban hidup rakyat akibat Covid19.

Desakan ini juga tidak diterima, sebaliknya Tengku Zafrul sekadar mengumumkan moratorium bersasar untuk golongan B40 di mana mereka yang berkenaan perlu berurusan dengan pihak bank untuk memohonnya.

Selain itu, mereka juga diberi pilihan sama ada mengambil moratorium selama tiga bulan atau mengurangkan jumlah bayaran bagi tempoh enam bulan dengan membuat perisytiharan bahawa pendapatan mereka telah berkurangan.

Yang nyata di sini, desakan UMNO dan PH langsung tidak diberi perhatian oleh Muhyiddin Yassin, walaupun ia adalah untuk manfaat majoriti rakyat.

Baik UMNO atau PH, terutama berkaitan dua aspek di atas iaitu pengeluaran wang KWSP dan moratorium pinjaman bank, adalah bahaya bagi masa depan mereka jika menyokong kelulusan Belanjawan 2021 ketika pengundian nanti.

Menyokongnya bererti tidak peduli terhadap keperluan rakyat yang majoritinya benar-benar memerlukan wang daripada KWSP dan moratorium dilanjutkan lagi.

Sebaliknya, dengan menolak belanjawan dan menunjukkan kebersamaan terhadap keperluan hidup rakyat, peluang pembangkang memenangi PRU akan datang adalah lebih cerah, terutama jika PRU15 diadakan seawal tahun depan.

Muhyiddin Lebih Teruk Dari Najib?

Hari demi hari yang berlalu, Muhyiddin Yassin kini bukannya makin disukai, tetapi nampaknya semakin dibenci dan dihamburkan kata-kata nista terhadapnya.

Jika selepas pembentangan Belanjawan 2021, beliau lebih teruk dikecam daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sendiri, terutama berkaitan isu KWSP dan moratorium pinjaman bank, ketika muncul dalam wawancara Astro Awani, keadaannya jauh lebih parah lagi.

Dalam semua platform media sosial yang berkongsi siaran langsung tersebut, boleh dikata lebih 90 peratus yang memberi komen telah meluahkan kata-kata kecaman, kebencian dan nistaan terhadapnya.

Malah, dalam Facebook Muhyiddin sendiri yang turut berkongsi wawancara itu, ia penuh dengan komen-komen yang bernada kebencian dan gambaran meluat kepadanya.

Di laman Facebook beberapa penyokong Muhyiddin yang cuba memuji Perdana Menteri berikutan wawancara tersebut, turut dijadikan sasaran kecaman netizen dengan kata-kata makian dan serangan.

Pendek kata, apa saja berkaitan Muhyiddin sekarang ini, lebih banyak atau lebih 90 peratus akan dibalas dengan nada kebencian berbanding suka kepadanya.

Baru lapan bulan jadi Perdana Menteri, kenapa keadaan ini berlaku?

Tidak dinafikan, semua keadaan ini bermula dengan kedudukan Muhyiddin sendiri yang naik jadi Perdana Menteri melalui jalan pengkhianatan atau pintu belakang dan bukan melalui pilihanraya.

Pada mulanya, hanya penyokong PH yang banyak mengkritik dan membalunnya, tetapi lama-kelamaan ia merebak kepada rakyat biasa, mereka yang berkecuali hanyalah penyokong PN sendiri, khususnya daripada UMNO.

Selain beberapa tindakan dan pendekatannya sendiri yang menyumbang ke arah itu, ia kemudian diperkukuhkan lagi apabila beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dilihat tidak mesra kepada kehendak rakyat, terutama dalam isu pengeluaran Akaun 1 KWSP berjumlah RM10 ribu dan lanjutan moratorium pinjaman bank di ketika PKPB terus dipanjangkan lagi tempohnya.

Satu dua perkara lagi yang dilakukannya sebelum itu seperti melindungi Azmin Ali dan dikatakan hanya mendengar nasihat beberapa menteri serta orang kanan di sekelilingnya, kata-kata tidak berpolitik di musim PKP hanya ungkapan tak serupa bikin, menekan serta membuli rakan sendiri iaitu UMNO, memberi peruntukan besar untuk unit propaganda Jasa, semua itu secara tidak lamgsung telah menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap Muhyiddin yang sejak dalam UMNO lagi memang diketahui tidak mesra alam, sejuk dan lebih banyak masam daripada senyum yang dipapar di wajahnya.

Jika Najib Razak sebelum PRU14 begitu dibenci oleh rakyat dan netizen, kebencian mereka terhadap Muhyiddin sekarang ini, jika diteliti, jauh lebih parah daripada itu.

Najib sekurang-kurangnya dibenci ke tahap itu setelah lapan tahun menjadi Perdana Menteri, namun Muhyiddin menerima keadaan yang sama hanya dalam lapan bulan saja tempohnya.

Apa mesti Muhyiddin lakukan sekarang?

Muhyiddin boleh saja mengabaikan semua luahan hati netizen itu, tetapi suatu perkara yang harus disedarinya ialah jika Najib yang lebih kuat kedudukannya pun boleh dijatuhkan oleh suara keramat rakyat, tentu tidak mustahil beliau yang berada di dahan rapuh sekarang ini untuk ditumbangkan sama.

Hanya masa dan ketikanya saja lagi belum tiba, tetapi ibarat durian yang sudah masak – lambat atau cepat, Muhyiddin tetap akan ke tanah akhirnya.

Untuk itu, jika beliau ada masa meneliti komen-komen netizen terhadapnya atau isterinya sendiri menyampaikan perkara itu kepadanya, keinsafan dan penyesalan pasti menerpa ke lubuk jiwanya sekarang.

Apa guna jadi ketua jika hanya 10 peratus saja yang ternampak suka?

Yang terbaik ialah beliau memilih jalan sejahtera seperti Pak Lah dahulu yang cepat-cepat berhenti sebelum kebencian makin melaut terhadapnya.

Apa lagi, jika menjadi Perdana Menteri melalui jalan pengkhianatan, lebih terpuji jika segera kembali ke pangkal jalan dan mengembalikan hak itu kepada yang berhak dan sepatutnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: 1 | 2

Monday, August 03, 2020

Sejarah 'Lompat Katak' Parti Politik Di Sabah

Sejarah 'Lompat Katak' Parti Politik Di Sabah

Isu melompat parti atau nama jijiknya 'lompat katak' dan percubaan untuk menukar kerajaan negeri bukanlah fenomena baharu dalam politik di Sabah, kerana kejadian serupa pernah berlaku sebelum ini termasuklah pada pilihan raya umum ke 14 tahun 2018 dahulu.

Lompat Katak Tiada Maruah

Malah, kejadian bekas ketua menteri Musa Aman terkandas di pintu istana, ketika dia berusaha untuk bertemu dengan Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin untuk merayu agar DUN tidak dibubarkan dan seterusnya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, juga mengimbau kejadian serupa sebelum ini.

Walaupun dalam konteks berbeza, kejadian itu mempunyai persamaan dengan pengalaman pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan susulan pilihan raya pada 1985 dan 1994.

Pilihan raya 1985 dan 1986

Pilihan raya negeri pada April 1985 menyaksikan parti berusia 47 hari yang dipimpin Joseph Pairin Kitingan memenangi pilihan raya.

PBS berjaya mengalahkan Parti Bersatu Jelata Sabah (Berjaya) dipimpin Harris Salleh yang mendapat sokongan Umno.

Sebelum itu, Pairin, yang banyak mengetengahkan isu masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah berselisih dengan Harris menyebabkan dia digugurkan dari kabinet pada tahun 1982.

Turut bertanding pada pilihan raya negeri 1985 itu ialah Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), yang dipimpin oleh bekas ketua menteri Mustapha Harun, yang turut berselisih dengan Harris.

PBS dan Usno ketika itu bekerjasama bagi memastikan Berjaya tidak menjadi kerajaan. Sebelum pilihan raya, kedua-dua parti itu dikatakan mencapai persefahaman untuk menubuhkan kerajaan gabungan sekiranya tidak berjaya mendapat majoriti.

PBS menang dengan memperoleh 25 daripada 48 kerusi. Ia kemudian menjadi 26 selepas wakil rakyat Pasok memihak kepada PBS. USNO memenangi 16 kerusi sementara Berjaya hanya memperoleh enam kerusi.

Namun, pemimpin Berjaya dikatakan telah bertemu Mustapha dan meyakinkan beliau berjumpa dan memaksa Yang Di-Pertua Negeri ketika itu, Adnan Roberts untuk membenarkannya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Mahkamah Tinggi akhirnya berpihak kepada Pairin dalam saman yang dikemukakan Mustapha.

Dalam tempoh ini juga siri demonstrasi dan rusuhan yang melibatkan letupan bom di Kota Kinabalu serta beberapa bandar lain di Sabah berlaku.

Menurut penganalisis politik, James Chin, demonstrasi dan rusuhan dalam tempoh itu dispekulasikan sebagai usaha untuk mengisytiharkan darurat dan secara tidak langsung mengenepikan Pairin dan PBS.

Tidak sampai setahun selepas pilihan raya negeri 1985, susulan situasi politik yang tegang ketika itu, Pairin mengumumkan pilihan raya mengejut.

Pada pilihan raya itu, Pairin dan PBS mengukuhkan mandat dengan memenangi 34 kerusi.

Pada tahun itu, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menerima PBS menjadi parti komponen BN.

Pilihan raya 1994

Di bawah BN, PBS memenangi 36 kerusi dalam pilihan raya negeri 1990, namun gabungan PBS-BN berdepan pelbagai isu termasuk dakwaan layanan tidak adil oleh kerajaan persekutuan.

Pada Oktober 1990, sebaik pencalonan untuk pilihan raya umum selesai, Pairin mengumumkan PBS meninggalkan BN untuk memilih Gagasan Rakyat yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah.

Langkah politik itu menyebabkan BN yang diterajui Mahathir mengubah strategi dengan melantik calon baru pada saat akhir dan akhirnya membawa masuk wakil Umno ke negeri itu dan bertanding dalam pilihan raya 1994.

Pada pilihan raya Februari 1994, Pairin menang dengan hanya majoriti dua kerusi walaupun telah membentuk pakatan dengan Usno. Sementara itu, Umno Sabah memperoleh hampir semua kerusi majoriti Muslim.

Antara yang menang ialah calon yang bertanding pertama kali, Mohamad Salleh, anak Yang Di-Pertua Negeri itu ketika itu, Mohammad Said Keruak, yang memenangi kerusi DUN Usukan untuk Umno.

Pairin ketika itu bergegas ke istana untuk mengesahkan kedudukan dan kemenangannya, bagaimanapun terpaksa menunggu selama 36 jam di depan pintu istana.

Menurut penganalisis Mohammad Agus Yusoff, Yang-di-Pertua Negeri ketika itu tidak sihat.

"Pairin menunggu di depan pintu istana, mengatakan dia ingin mengelakkan kejadian memalukan yang telah terjadi pada tahun 1985," tulis Agus dalam makalah tahun 2001 mengenai topik tersebut.

Namun, kejadian wakil rakyat melompat parti yang didakwa diatur oleh timbalan perdana menteri ketika itu, Anwar Ibrahim, berjaya menjatuhkan kerajaan Pairin.

Yang Di-Pertua Negeri ketika itu menolak permintaan Pairin untuk membubarkan DUN.

Ini adalah kali pertama lompat parti secara besar-besaran menyebabkan kejatuhan sebuah kerajaan negeri dan dalam tempoh dua minggu, Pairin akhirnya diganti.

Seperti yang dijanjikan sebelumnya oleh Umno, negeri itu kemudian mengamalkan sistem giliran untuk menentukan ketua menteri, bergilir setiap dua tahun antara Muslim-bumiputera, dan bukan Muslim-bumiputera atau Cina.

Namun, amalan ini dihentikan setelah Musa Aman mengambil alih teraju kerajaan negeri pada 2003.

Pilihan raya umum 2018

Penyamun Di Sanjung

Pada pilihan raya umum 2018, kejadian wakil rakyat lompat parti berlaku sekali lagi, yang menyaksikan Warisan dan sekutunya Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan negeri dari Umno-BN setelah sekian lama.

Pada pilihan raya itu, BN Sabah dan Warisan, yang diketuai oleh bekas menteri BN Mohd Shafie Apdal, masing-masing memenangi 29 kerusi daripada 60 kerusi DUN.

Parti Solidariti Tanah Airku (Star), di bawah presiden Jeffrey Pairin Kitinggan, yang merupakan adik kepada Joseph Pairin, menjadi kingmaker.

Star yang memenangi dua kerusi berjanji akan menyokong Musa, yang kemudiannya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei 2018.

Namun, hanya sehari kemudian, enam wakil rakyat BN lompat parti menyokong Warisan dan seterusnya memberi laluan kepada Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Musa mengemukakan cabaran undang-undang di Mahkamah Tinggi terhadap Yang Di-Pertua Negeri dan Shafie untuk membatalkan presiden Warisan itu, namun keputusan mahkamah tidak berpihak kepada Musa.

Yang Di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin, kemudiannya membuat laporan polis terhadap Musa atas dakwaan ugutan jenayah, tetapi beliau menafikan dakwaan itu.

Mungkin sebab itu jugalah Juhar membuat keputusan menyebelahi Shafie untuk pembubaran DUN.

"Kita mesti memberi penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri. Rakyat diberi peluang untuk memilih kali ini, bukan hanya membenarkan ketua menteri baru angkat sumpah (seperti pada tahun 1994 dan 2018).

"Ini adalah demokrasi. Sekiranya mereka hanya angkat sumpah sebagai kerajaan negeri baru, akan timbul tuntutan undang-undang seperti sebelumnya," kata Yang di-Pertua Negeri.

Pilihan raya mengejut juga membolehkan rakyat mempertimbangkan keadaan politik semasa, bukan hanya di Sabah tetapi di peringkat persekutuan, seperti perubahan kerajaan pusat pada Februari 2020 yang lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Wednesday, June 24, 2020

Buat Tun Mahathir, 'Don't Overstay Your Welcome'

Buat Tun Mahathir, 'Don't Overstay Your Welcome'

Don't overstay your welcome, demikian kata-kata yang pernah diucapkan oleh Tun Mahathir Mohamad ketika kehangatan musim pertandingan antara Anwar Ibrahim dengan Tun Ghafar Baba (kini arwah) bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993 dahulu.

Don't Overstay Your Welcome

Tun Mahathir melafazkan kata-kata tersebut di Kuala Terengganu yang dipercayai ditujukan kepada Tun Ghafar yang ketika itu juga adalah Timbalan Perdana Menteri.

Berikutan kata-kata tersebut, pencalonan untuk Anwar mencanak-canak naiknya, sementara pencalonan untuk Tun Ghafar terus ketinggalan jauh di belakang.

Walaupun difahami oleh semua orang bahawa ungkapan pedih itu ditujukan kepada Tun Ghafar, tetapi Tun Mahathir tidak pernah mengia atau menafikannya sehingga kata-kata tersebut didendangkan dengan meluas sebagai gambaran Tun Ghafar tidak diperlukan lagi di dalam parti dan kerajaan.

Sebagai seorang yang berjiwa besar, walaupun tidak bersekolah tinggi, Tun Ghafar akhirnya mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO dan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tujuan Tun Ghafar berbuat demikian adalah untuk memudahkan Tun Mahathir mentadbir parti dan kerajaan dengan bebas berdasarkan kehendaknya selepas itu.

Susulan itu, Anwar telah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO dan seterusnya dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Bagi kebanyakan orang yang mengikuti perjalanan politik dan sumbangan Tun Ghafar, terutama dalam menstabilkan parti berikutan perletakan jawatan Tun Musa Hitam pada 1986, pertandingan 1987 serta berbagai krisis lainnya dalam negara, tindakan Tun Mahathir mengucapkan kata-kata demikian dilihat tidak wajar sama sekali.

Beliau seolah-olah tidak menghargai, malah tidak mengenang sama sekali jasa serta sumbangan Tun Ghafar terhadapnya.

Hari ini, setelah 27 tahun berlalu, apa yang diucapkan Tun Mahathir kepada Tun Ghafar itu sebiji terkena kepada dirinya.

Di dalam PH, beliau jelas tidak diperlukan lagi, tetapi tetap bersungguh-sungguh mahu jadi Perdana Menteri lagi buat kali ketiga.

Anwar yang merupakan Pengerusi PH dan Presiden PKR telah secara mutlak menolak hasrat Tun Mahathir yang mencadangkan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.

Di dalam Bersatu pula, beliau telah terbuang dan terlucut kedudukannya sebagai Pengerusi parti tersebut.

Dalam kelompok rakyat pelbagai kaum di seluruh negara, rata-rata telah menolak Tun Mahathir untuk kembali lagi sebagai Perdana Menteri, bukan saja kerana beliau telah dua kali menduduki jawatan tersebut, malah disebabkan usia tuanya sudah mencecah 95 tahun.

Manakala budak-budak sekolah, apabila mereka terdengar perbualan yang menyebut nama Tun Mahathir, spontan ada yang bertanya, "Bila lagi Atuk ni mahu berhenti?"

Kepada Tun Mahathir – don't overstay your welcome – isyarat yang sepatutnya beliau berundur sudah sangat jelas sekarang ini, bahkan lebih jelas daripada apa yang dialami oleh Tun Ghafar pada 1993 dahulu.

Kalau Tun Ghafar boleh berjiwa besar untuk berundur, apakah Tun Mahathir lebih memilih untuk "berjiwa tikus", walaupun berpendidikan lebih tinggi daripada arwah?

BACA INI JUGA:

sumber: shahbudindotcom

Saturday, June 13, 2020

'Parti Apa Aku Dapat' Sindiran Sinis Tun Mahathir Kepada Rasuah 'Halal' Di Malaysia

'Parti Apa Aku Dapat' Sindiran Sinis Tun Mahathir Kepada Rasuah 'Halal' Di Malaysia

Di tengah perpecahan berterusan dalam BERSATU, bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad secara sinis mencetuskan idea untuk membentuk sebuah lagi parti berasaskan Melayu, yang  akan dinamakan "Parti Apa Aku Dapat" dan terbuka kepada semua orang Melayu yang belum diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Pakatan Nasional Parti Apa Aku Dapat

Tun Mahathir dipercayai merujuk kepada dakwaan yang mengatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan kepada anggota parlimen Umno bagi mendapatkan sokongan mereka.

"PARTI APA AKU DAPAT"

1. Saya bercadang untuk tubuh sebuah parti politik.

2. Banyak orang Melayu suka tubuh parti politik. Dahulu saya tubuh parti Pribumi Bersatu Malaysia. Sekarang parti sudah berpecah dua.

3. Sebab itu saya ingin tubuh satu lagi parti politik Melayu.

4. Nama parti ini ialah Parti AAD atau "Parti Apa Aku Dapat".
  • Tujuan: Memperkaya orang Melayu yang belum dapat.
  • Cara: Melantik sebagai pegawai dalam badan-badan yang akan ditubuh khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada mereka yang belum dapat dan yang ingin dapat banyak lagi.
  • Jemputan: Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan
  • untuk jadi ahli, atau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan dll.
  • Yuran: Tidak perlu.

Tulisan Tun Mahathir itu muncul berikutan spekulasi PH dan sekutunya kini mendapat sokongan lebih ramai anggota parlimen termasuk mereka yang berada dalam kerajaan.

Tun Mahathir dan lima yang lain baru-baru ini memfailkan tindakan mahkamah terhadap Muhyiddin dan tiga yang lain berhubung apa yang mereka dakwa sebagai pemecatan salah daripada parti itu.

Muhyiddin terperangkap dalam kontroversi selepas sebuah laman Facebook yang memihak kepada Tun Mahathir mengeluarkan siri rakaman audio yang dikatakan dirakam pada mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Feb 2020 lalu.

Dalam salah satu audio yang bocor, seorang individu yang suaranya mirip Muhyiddin didengar mengatakan bahawa anggota parlimen Umno boleh dipikat untuk menyertai Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Setakat 21 Mei, dilaporkan 82.3 peratus daripada 113 anggota Parlimen PN dilantik dalam kabinet, menjadi timbalan menteri, dilantik dalam GLC mahupun diplomat khas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Tuesday, June 09, 2020

Musa Aman Bebas 46 Tuduhan Rasuah, Pengubahan Wang Haram

Musa Aman Bebas 46 Tuduhan Rasuah, Pengubahan Wang Haram

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersyukur kerana telah diberikan keadilan(?) untuk membersihkan segala tuduhan yang dibuat ke atas dirinya berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Musa Aman bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Musa, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, atas 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Musa berkata, permohonan bagi membatalkan pendakwaan yang telah difailkan awal tahun 2020 ini, telah dibuat secara teliti dengan disokong oleh keterangan serta dokumen bukti cukup jelas dan nyata yang tidak dapat dipertikaikan.

“Terima kasih kepada barisan peguam saya bersama pembantu mereka yang telah memberi perkhidmatan cukup baik dan berdedikasi sepanjang tempoh ini.

”Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan penghargaan kepada badan pendakwaan dan badan kehakiman negara terutama mereka yang telah bertindak secara objektif, profesional, berkecuali dan tanpa prejudis dalam menilai fakta kes ini sejak dua tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Musa berkata apa yang telah berlaku terhadap diri dan keluarganya, biarpun dilihat terjadi kerana perbezaan politik, namun, beliau menganggap ia sebagai satu ujian serta dugaan buat mereka sekeluarga.

Pada prosiding mahkamah itu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Musa Aman daripada semua pertuduhan setelah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dalam kedua-dua kes (rasuah dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Musa.

Bagi kes rasuah, Musa, 69, yang diwakili Peguam Francis Ng Aik Guan, menghadapi 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$50.1 juta.

Beliau juga menghadapi 16 pertuduhan wang haram iaitu secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram daripada beberapa individu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini