Thursday, February 18, 2016

MH370 Kekal Menjadi Misteri Yang Gagal Diselesaikan?

MH370 Kekal Menjadi Misteri Yang Gagal Diselesaikan?

Martin Dolan, Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menerajui usaha pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines Berhad (MAB).

MH370+MYSTERY

Beliau menjadi terkenal susulan kehilangan pesawat itu secara misteri pada 8 Mac 2014, namun kini mula menunjukkan rasa tekanan selepas hampir dua tahun usaha tersebut masih lagi tidak membuahkan apa-apa hasil.

Menurut Martin, beliau berasa sukar untuk tidur kerana khuatir bangkai pesawat model Boeing B777 terlepas daripada imbasan sonar pada kawasan berkeluasan kira-kira 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Kini selepas dua tahun… tinggal hanya beberapa minggu sebelum pencarian MH370 akan menjadi misteri terbesar penerbangan yang tidak dapat diselesaikan sejak kehilangan juruterbang, Amilia Earhart pada 1937.

Daripada tiga juta komponen pesawat itu, hanya satu komponen ditemui – flaperon diselaputi teritip – di Reunion sebuah pulau pentadbiran Perancis di benua Afrika, beberapa ribu kilometer daripada kawasan pencarian.

Selebihnya termasuk seramai 239 penumpang pesawat malang tersebut, bagasi mereka, jaket keselamatan MAB yang sepatutnya terapung di air langsung tidak dapat dijejaki daripada pencarian tersebut.

“Sentiasa timbul soalan: Adakah kami telah terlepas sesuatu?” soal Dolan, 58; kepada stesen Bloomberg di pejabatnya di Canberra dan menambah: “Perkara seperti ini akan menyebabkan anda tersedar daripada tidur.”

Beberapa pakar pencarian dan penyelamatan yang berpengalaman luas menerima hakikat bahawa pencarian dengan menelan belanja sebanyak A$180 juta (RM533 juta) itu mungkin menemui kegagalan pada akhirnya.

Tanpa apa-apa petunjuk baharu, pencarian sepatutnya bakal dihentikan secara rasmi pada Jun depan apabila kesemua empat buah kapal selesai mengimbas keseluruhan perairan di Australia Barat itu, kata Dolan.

Bersaiz ala segitiga Korea Utara, kapal-kapal pengesan tersebut telah melakukan pencarian dengan rapi di kebanyakan kawasan yang dipercayai lokasi pesawat tersebut mungkin terhempas namun menemui kegagalan.

Malah para penyiasat antarabangsa tidak dapat menentukan apakah yang sebenarnya berlaku dalam pesawat itu selepas ia meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing, China pada 8 Mac 2014.

“Terdapat kemungkinan kami tidak berjaya,”kata Dolan jujur. Selepas kejadian itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mula wajib pesawat komersial melaporkan kedudukan mereka setiap 15 minit.

Di bawah cadangan Kesatuan Eropah, pengesan isyarat dalam air pada kotak hitam perlu berfungsi dalam tempoh 90 hari berbanding hanya 30 hari ketika ini. Peraturan tersebut akan dilaksanakan sepenuhnya sebelum 2018.

Larry Stone, Ketua Saintis Metron Inc. di Reston, Virginia, Amerika Syarika (AS) antara nama besar yang telah berjaya menjejaki kehilangan banyak pesawat dan kapal laut di seluruh dunia sejak 50 tahun lalu.

Ini termasuk kejayaan Stone menemui kedudukan tepat pesawat AF447 milik syarikat penerbangan Perancis, Air France yang membawa 228 penumpang selepas dua tahun ia terhempas secara misteri di Lautan Altantik.

Bagaimanapun lokasi, saiz dan karakter pencarian di dasar laut untuk pesawat MH370 menjadikannya paling sukar beliau pernah lihat. “Saya tidak terperanjat jika mereka langsung tidak menemuinya,” kata Stone.

Kedalaman kawasan pencarian sehingga enam kilometer dengan jurang dan rabung dalam air. Malah kenderaan sonar pernah berlanggar gunung berapi setinggi 2,200 meter daripada dasar laut dan tenggelam di situ bulan lalu.

Kapal-kapal yang terlibat dengan percarian itu perlu mengimbas kawasan seluas 35,000 kilometer persegi – lebih besar daripada Belgium. Kapal sonar berdefinisi tinggi milik China merupakan aset pencarian terbaharu.

Dong Hai Jiu 101 dijangka memberi tumpuan khusus di kawasan dasar laut yang sukar untuk diimbas dengan alat sonar konvensional apabila kapal China tersebut tiba pada bulan ini, kata Dolan penuh yakin.

Kapal berkenaan bakal memeriksa semula kira-kira 100 kawasan yang sudah diperiksa sebelum ini, dengan beberapa kawasan berbentuk bujur di penghujung selatan lokasi pencarian ditetapkan, kata Dolan.

Kawasan titik panas ini kemungkinan besar mengandungi bangkai pesawat, menurut Kumpulan Sains dan Teknologi Pertahanan Australia, sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara.

Namun, pencarian paling komprehensif tidak memuaskan hati keluarga mangsa jika ia menemui kegagalan. “Kami akan mencuba sedaya upaya untuk melobi pencarian diteruskan selepas Jun,” kata Grace Subathirai Nathan.

Ibu kepada salah seorang penumpang pesawat itu sebaliknya dilaporkan berkata: “Saya perlukan jawapan”.

Insiden misteri kehilangan pesawat MAB tersebut didedahkan apabila pengawal trafik udara hilang hubungan dengan MH370, kurang sejam selepas pesawat itu berlepas ketika ia menghampiri perairan Vietnam.

Radar pihak tentera pula menunjukkan pesawat berkenaan seolah-olah cuba membelok ke kiri memasuki selatan Thailand dan kembali ke utara semenanjung Malaysia sebelum menghala ke barat laut Selat Melaka.

Hubungan radar kemudiannya terputus namun satelit di orbit menerima isyarat daripada pesawat itu. Analisis menunjukkan pesawat MH370 terbang menuju ke selatan di Lautan Hindi selama kira-kira enam jam.

“Mereka telah melakukan tugas yang baik untuk mendapatkan sesuatu yang berguna daripadanya,” kata Vaughan Clarkson, pakar radar dan penjejakan di University of Queensland, Australia kepada Bloomberg.

Beliau turut banyak membantu melakukan pengiraaan laluan sebenar penerbangan pesawat itu. “Anda sebenarnya cuba menjejaki pesawat komersial yang bergerak laju dengan tempoh masa setiap satu jam,”.

Gangguan daripada manusia dalam nahas ini bahkan tidak diketahui. Rakaman ayat terakhir daripada juruterbang pesawat MH370 pada pukul 1.19 pagi 8 Mac ialah: “Selamat malam Malaysia, Three Seven Zero”.

Dalam dunia moden di mana telefon pintar murah yang berharga hanya AS$100 pun boleh dijejaki secara percuma, pesawat saiz besar bernilai AS250 juta itu pula sebaliknya hilang begitu sahaja.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 pernah berkata, pesawat berkenaan dikesan tersasar daripada laluan sebenar dan kediaman juruterbang dan pembantu juruterbang digeledah.

Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI) turut melakukan analisis terhadap simulator penerbangan peribadi milik juruterbang MH370 di rumahnya, namun mereka hampa apabila tidak menemui apa-apa petunjuk baharu.

Empat bulan selepas kehilangan MH370, pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine. Syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia membeli syarikat itu pada tahun sama ketika trafik penumpang dan keuntungannya merosot.

Kegagalan pencarian akan meninggalkan gambaran yang tidak baik kepada industri secara am, khusnya kepada imej MAB, kata Christoph Mueller, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, kepada Bloomberg Television semalam.

Di Canberra, pihak ATSB pada masa sama sedang sibuk menyiasat 130 insiden pengangkutan awam – daripada insiden keretapi kargo tergelincir di Queensland sehinggalah kemalangan pesawat di timur laut Australia.

Dolan malah berkata, sepanjang berkhidmat dengan ATSB, masanya banyak dihabiskan untuk MH370. Beliau yang bersuara lembut sepanjang masa berhenti sejenak bagi memilih ayat-ayat yang akan dipertuturkan.

Di atas meja di pejabatnya sendiri, beliau merujuk kepada peta zon pencarian yang berada di hadapannya ketika beliau cuba menggariskan analisis saat-saat akhir pesawat tersebut terbang.

Enjin kanan kehabisan minyak dahulu dan dalam masa 15 minit enjin kiri kehabisan minyak. Baki bahan bakar mencukupi untuk menghidupkan semula unit data satelit dan isyarat mesej terakhir.

Selepas itu, pesawat mungkin belok ke kiri dan jatuh berpusing ke dalam laut. Berdasarkan turutan kejadian, mereka kena memberi tumpuan kepada kawasan antara 20 batu nautika di mana hubungan terakhir pesawat.

Kemungkinan lain adalah – seseorang yang mengawal pesawat dan meluncurkan pesawat yang tanpa kuasa itu sehingga ia mendarat di atas air – bermaksud menggandakan kawasan pencarian sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun kebarangkalian senario aneh tersebut sebenarnya sangat kecil, kata Dolan. Kapal pengimbas dasar laut setakat ini telah pun berjaya mengumpul kapasiti sehingga 20 petabit imbasan data.

Ia mencukupi untuk menempatkan seluruh koleksi digital Perpustakaan Kongres AS di Washington DC. Selepas mengakui kesukaran pencarian pada kawasan lautan besar, terpencil dan dalam, Dolan dengan yakin berkata:

“Pesawat MH370 akan ditemui akhirnya. Setiap pagi, saya bangun dan memeriksa apa yang telah berlaku dan saya berharap hari ini adalah harinya,” kata beliau. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

BACA INI JUGA: MH653, Pesawat Malaysia Yang Pernah Dirampas!

Tuesday, October 13, 2015

'Penemuan MH370 Di Tawi-tawi Tidak Masuk Akal'

'Penemuan MH370 Di Tawi-tawi Tidak Masuk Akal'

Pihak berkuasa Filipina telah mengesahkan bahawa tiada bangkai pesawat MH370 ditemui di selatan negara itu.

MH370 2015

Ketua Polis Negara berkata, pengesahan itu sekali gus menolak dakwaan kononnya ada bangkai pesawat yang dipercayai MH370 ditemui di negara itu.

"Tak betul... Filipina sahkan tidak ada bangkai kapal terbang," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas.

Pada Sabtu lalu, seorang lelaki bernama Jamil Omar membuat laporan di Balai Polis Sandakan mendakwa ibu saudaranya menemui bangkai pesawat di hutan
Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina awal September lepas.

Dalam laporan itu, lelaki berkenaan turut mendakwa wanita itu menemui banyak rangka manusia dalam pesawat terbabit selain menjumpai sehelai bendera Malaysia berukuran 178sm panjang dan 89sm lebar.

Tidak masuk akal MH370 di Tawi Tawi

Nik Ahmad

Dakwaan mengenai penemuan sebuah bangkai pesawat dipercayai pesawat MH370 di kepulauan Tawi Tawi, Filipina tidak masuk akal sama sekali.

Bekas Ketua Juruterbang Serantau Malaysia Berhad, Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, teori pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi masih kuat.

“Teori berkenaan turut dikuatkan dengan penemuan kepingan sayap pesawat iaitu flaperon dan disahkan milik MH370 berdasarkan rekod penyelenggaraan.

“Jika ditemui di kepulauan Tawi-Tawi, ia memang tidak masuk akal kerana teori dan bukti cukup kuat untuk katakan ia berakhir di Lautan Hindi,” katanya.

Mengulas mengenai laporan tersebut, Nik Ahmad Huzlan berkata, laporan polis boleh dibuat oleh mana-mana individu.

“Soal betul atau tidak, kita akan dapat ketahui selepas siasatan dibuat pihak berkuasa. Ini zaman teknologi tanpa sempadan, mana-mana orang pergi mereka akan bawa telefon pintar. Kalau pun betul, mengapa tidak ada gambar pesawat itu?” katanya.

MH370 Tawi-tawi

Jelasnya lagi, jika benar pesawat tersebut ditemui di Kepulauan Tawi-Tawi, mengapa individu yang menemui bangkai pesawat itu tidak membuat laporan polis kepada pihak polis Filipina.

“Kerajaan Filipina pun tidak ada umumkan mengenai penemuan bangkai pesawat yang dipercayai MH370.

“Apa-apa dakwaan mengenai MH370 tidak akan mengubah kisah MH370 yang berakhir di Lautan Hindi,” katanya.

BACA INI JUGA: MH370: Dr. Mahathir Dakwa CIA Rampas Pesawat!

Sumber: Bernama

Thursday, August 13, 2015

MH370 Dipercayai Tenggelam Ke Dalam Lautan Hindi

MH370 Dipercayai Tenggelam Ke Dalam Lautan Hindi

Pesawat MH370 yang hilang dipercayai sebahagian besarnya masih berada dalam 'bentuk asal' dan terdampar di dasar kawasan selatan Lautan Hindi, menurut pakar komunikasi satelit tempatan Zaaim Redha Abdul Rahman.

MH370

Teori beliau menyatakan kemungkinan bahawa pesawat itu 'terapung untuk seketika' sebelum tenggelam dalam kejadian malang pada hari pesawat itu jatuh.

"Saya percaya pesawat itu telah kehabisan minyak, menjunam ke lautan dengan daya tujah perlahan... dengan demikian, saya berfikiran bahawa badan pesawat kekal seperti asal," kata Zaaim Redha yang, selepas MH370 dilaporkan hilang, segera membantu untuk membaca dan membuat kesimpulan mengenai bacaan data penerbangan tersebut yang diperoleh daripada satelit dikendalikan oleh Inmarsat, sebuah firma komunikasi satelit bumi yang berpangkalan di United Kingdom.

Berdasarkan analisis data satelit Inmarsat di antara MH370 dengan stesen di bumi, para penyiasat membuat kesimpulan bahawa penerbangan itu telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Sehubungan itu, pada 24 Mac tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara berkenaan, 17 hari selepas penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu hilang daripada imbasan radar.

Kemungkinan tiada serpihan kecil pesawat

Dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Zaaim Redha berkata bahawa teori beliau yang menyatakan pesawat itu menjunam ke dalam laut disokong oleh penemuan flaperon sepanjang dua meter baru-baru ini, di Pulau Reunion yang terletak di Lautan Hindi, disahkan sebagai bahagian daripada pesawat MH370 yang hilang.

"Flaperon tersebut hanya mengalami sedikit kerosakan dan hanya diselaputi teritip. Keadaannya menunjukkan bahawa ia tidak terpisah daripada badan pesawat secara kasar... malah bekas tanggalan pada serpihan itu kelihatan seolah-olah terpisah dengan baik di bahagian tepian sayap," jelas beliau.

Zaaim Redha, yang kini merupakan perunding utama di Zeta Resources Sdn Bhd –yang menyediakan, antara lain, perkhidmatan perunding komunikasi satelit dan kejuruteraan. Beliau pernah menjadi sebahagian daripada pasukan perintis di Measat yang bertanggungjawab membangunkan dan melancarkan satelit pertama Malaysia.

Ketika berkhidmat dengan NEC Jepun, beliau mengetuai pasukan multinasional untuk mereka bentuk dan membangunkan sistem komunikasi satelit Inmarsat-P ICO System (Generation 4).

Mengulas lanjut mengenai saiz serpihan bencana udara didapati konsisten dengan impak kemalangan, Zaaim Redha memberi contoh kemalangan pesawat Germanwings Flight 9525 di Alps Perancis pada Mac tahun ini, di mana tidak ada serpihan yang melebihi satu kaki (kira-kira 0.3 meter) panjang disebabkan oleh kesan terhempas yang kuat.

"Jika MH370 telah terhempas dengan kuat, kita akan mendapati banyak serpihan kecil daripada pesawat itu terapung di atas air sebaik saja selepas kemalangan itu berlaku. Tambahan pula, flaperon yang dijumpai (dari Pulau Reunion) tidak mungkin akan berada dalam bentuk kepingan besar... kita mungkin hanya menemui serpihan-serpihan kecilnya sahaja," kata beliau.

Beliau yakin bahawa selepas menjunam ke dalam lautan, pesawat MH370 itu "terapung untuk seketika" sebelum tenggelam "dalam bentuk asalnya".

Menurut beliau, adalah tidak mustahil juga untuk sebuah kapal terbang terapung di permukaan air seperti dibuktikan oleh US Airways Flight 1549, yang terpaksa membuat pendaratan cemas di Sungai Hudson selepas bertembung sekumpulan beburung sehingga menyebabkan kedua-dua enjin jetnya gagal, pada Januari 2009.

Tenggelam di dasar lautan

"Terdapat juga kemungkinan bahawa pesawat (MH370) pesawat telah tenggelam jauh ke dasar lautan untuk beberapa lama sebelum flaperon (sebahagian daripada sayap pesawat) itu tertanggal.

"Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain yang tertanggal dan terapung akibat arus air yang kuat, sebelum dipukul ombak lalu hanyut sehingga sampai ke pantai pulau-pulau seperti Reunion," katanya.

Mengenai kemungkinan jika flaperon itu telah terapung di permukaan air selama lebih 4,000 kilometer sebelum berakhir di Pulau Reunion, Zaaim Redha berkata keadaan itu adalah munasabah berdasarkan keadaan arus semasa lautan tersebut.

"Berdasarkan corak bumi berputar, besar kemungkinan sekeping pesawat boleh terapung (lebih jauh) kerana arus lautan boleh menjadi sangat kuat.

"Kuasa arus lautan memang sukar dijangkakan... umpamanya baru-baru ini, seorang wanita Rusia yang merupakan seorang penerjun bebas terhebat sepanjang zaman, gagal untuk timbul selepas menyelam di Mediterranean dan dikhuatiri berdepan dengan arus dasar laut yang kuat ketika di dalam air."

Pada 8 Mac tahun lalu, pesawat MAS Boeing 777-200ER yang menuju ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar, kira-kira 49 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Baru-baru ini pada 29 Julai, sebahagian daripada sayap pesawat, dirujuk sebagai flaperon, ditemui di pantai Pulau Reunion di bawah pentadbiran Perancis yang terletak di Lautan Hindi.

Pada 6 Ogos, Najib mengumumkan bahawa pakar-pakar antarabangsa mengesahkan bahawa kesan materi penyelenggaraan pada bahagian pesawat itu sepadan dengan yang ada pada pesawat MH370.

Pasukan penyiasat yang melakukan pencarian di persisiran pantai pulau berkenaan selepas penemuan itu turut menemui beberapa serpihan lain termasuk kusyen tempat duduk, bingkai tingkap, serta sisa-sisa sebuah beg pakaian dan botol kosong.

Bagaimanapun, penemuan tinggalan berkenaan masih belum dikenal pasti sebagai sebahagian daripada pesawat yang hilang itu.

BACA INI JUGA: MH370: Senjata Rahsia Amerika Dalam Pesawat MAS!?

Sumber: Bernama

Friday, August 07, 2015

MH370: Apa Yang Kita Tahu Dan Apa Tidak?

MH370: Apa Yang Kita Tahu Dan Apa Tidak?

Serpihan sayap Boeing 777 yang ditemui di Pulau Reunion disahkan Malaysia dari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, membuktikan ia terhempas di Lautan Hindi. Bagaimanapun, punca nahas masih tidak diketahui.

MH370 - WHAT WE KNOW

Berikut perkara utama yang kita tahu dan masih tidak tahu mengenai misteri MH370.

Apa yang kita tahu

1. MH370 berlepas dari Kuala Lumpur dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal pada 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lalu, melalui Laut China Selatan menuju Beijing.

2. Pesawat dipandu juruterbang Zaharie Ahmad Shah, 53, yang mempunyai 33 tahun pengalaman dengan syarikat penerbangan itu manakala Fariq Abdul Hamid, 27, ialah pembantu juruterbang.

3. Sebelum MH370 memasuki kawasan trafik udara kawalan Vietnam, seseorang dalam kokpit menghantar mesej suara terakhir kepada pengawal Malaysia berbunyi: “Selamat malam, Malaysia Three Seven Zero,” pada jam 1.19 pagi.

4. Sekitar jam 1.30 pagi, sistem pengesanan, termasuk transponder pesawat ditutup tetapi pesawat itu muncul di radar tentera sehingga jam 2.15 pagi menunjukkan ia kembali ke arah Malaysia dan kemudian menuju ke Lautan Hindi.

5. Serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion selepas lebih 16 bulan pesawat hilang disahkan dari MH370 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkannya pada jam 1.30 pagi 6 Ogos 2015 dengan memetik penyiasat antarabangsa.

6. Bateri beacon perakam data penerbangan yang hayatnya 30 hari pada MH370 kemudiannya didapati telah tamat tempoh lebih setahun sebelum berlepas, menimbulkan persoalan sama ada menjejaskan usaha pencarian lokasi pesawat terhempas di Lautan Hindi.

MH370

Apa yang kita tidak tahu

1. Punca pesawat itu mengalihkan laluan kerana sama ada krew kokpit atau sistem pemantauan pesawat tidak memberi sebarang tanda masalah sebelum itu dan cuaca pada malam kejadian adalah baik.

2. Adakah ada krew kokpit terlibat kerana ramai pakar menganggap ia menjadi kemungkinan paling besar.

3. Adakah berlaku rampasan atau keganasan dalam pesawat kerana tiada sebarang tuntutan daripada sesiapa.

4. Kenapa sistem pengesanan pesawat dimatikan dan oleh siapa.

5. Di mana lokasi MH370 terhempas. Walaupun penemuan serpihan sayap membantu mengesahkan kawasan carian adalah di Lautan Hindi namun selagi kotk hitam dan perakam data penerbangan tidak ditemui, punca kehilangan MH370 kekal menjadi misteri. -AFP

BACA INI JUGA: MH370: Dr. Mahathir Dakwa CIA Rampas Pesawat!

Thursday, August 06, 2015

Waris Mangsa MH370 Sukar Terima Hakikat

Waris Mangsa MH370 Sukar Terima Hakikat

Bapa kepada salah seorang mangsa Penerbangan MAS MH370, Selamat Omar, 62, terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri Najib Razak yang mengesahkan penemuan ‘flaperon’ di Pulau Reunion, adalah milik pesawat malang itu.

MH370-Finally

Beliau berkata penemuan itu adalah di luar jangkaan kerana kedudukan flaperon itu dari lokasi sebenar pesawat itu disahkan terhempas iaitu di Selatan Lautan Hindi lebih setahun lalu adalah terlalu jauh.

“Ini memang di luar jangkaan…sebab ia terlalu jauh dari lokasi sebenar pesawat itu dikatakan terhempas.

“Namun saya tetap menerima ini sebagai takdir…Usaha pencarian bukti-bukti lain akan diteruskan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di kediamannya di Felda Bukit Mendi di sini Khamis.

Selamat adalah bapa kepada mangsa Khairul Amri Selamat, 29.

Selamat berkata dengan penemuan bukti terbaharu itu mungkin sedikit sebanyak memudahkan usaha pencarian bukti-bukti lain termasuk barangan peribadi milik mangsa.

“Sekurang-kurangnya jika jumpa sehelai baju pun jadilah, ia untuk memberi keadilan kepada keluarga mangsa yang masih berharap agar mayat atau jenazah mereka dijumpai,” katanya.

Pesawat MAS Penerbangan MH370 yang membawa Mohd Khairul Amri bersama 226 penumpang lain bersama 12 anak kapal ke Beijing, China hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Di Kuala Lumpur, Maira Elizabeth Nari, 19, pula tidak dapat mengawal perasaan sedihnya apabila menerima berita pengesahan serpihan dari MH370.

“Buat masa sekarang tiada apa yang mampu saya katakan terhadap apa yang telah terjadi kepada bapa saya,” katanya.

Maira Elizabeth merupakan anak sulung kepada ketua pramugara MH370 Andrew Nari.

Sementara itu, Azrai Izet, 39, suami kepada penumpang MH370 Fadzilah Abd Rahim, ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen. –BERNAMA

Waris Penumpang China Tidak Percaya Flaperon Milik MH370

MH370 Finally Found [2]

Kira-kira satu dozen ahli keluarga para penumpang MH370 warganegara China berkumpul di hadapan pejabat Malaysia Airlines (MAS) di Beijing bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada lewat malam Rabu bahawa serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis Julai lalu adalah daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Rata-rata waris penumpang itu enggan menerima kenyataan bahawa serpihan sayap yang dijumpai sememangnya berasal daripada kapal terbang Boeing 777 yang membawa ahli keluarga mereka.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang hilang pada 8 Mac tahun lepas semasa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Majoriti penumpang yang menaiki penerbangan tersebut merupakan warganegara China.

“Saya tidak yakin dengan informasi terbaru mengenai kapal terbang tersebut, kami tahu sebenarnya selama ini mereka telah berbohong kepada kami,” terang Zhang Yongli, yang kehilangan anak perempuannya.

“Saya yakin anak perempuan saya masih hidup namun ‘mereka’ tidak mahu menjelaskan perkara sebenarnya kepada kami. Mereka telah berbohong,” kata Bao Lanfang yang merupakan nenek salah seorang penumpang kepada para wartawan, sebelum rebah ke lantai.

“Saya akan lakukan apa sahaja untuk bertemu dengannya kembali. Beritahu apa yang perlu dilakukan, saya sanggup,” rayu perempuan berusia 63 tahun itu bersama tangisan.

BACA INI JUGA: MH370: Bukti Mossad Dan CIA Terlibat!

Akhirnya Ditemui, Serpihan Pesawat Di Pulau Reunion SAH Milik MH370!

Akhirnya Ditemui, Serpihan Pesawat Di Pulau Reunion SAH Milik MH370!

Misteri kehilangan MH370 akhirnya terungkai selepas 515 hari, apabila Perdana Menteri Najib Razak mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion di timur Lautan Hindi milik pesawat Penerbangan Malaysia MH370.

MH370 Finally Found

Mengumumkan perkara itu kira-kira jam 2 pagi ini (6/8/15), Najib menyatakan siasatan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan terbabit adalah sebahagian pesawat milik MH370 selepas 515 hari kehilangannya.

“Penemuan ini menunjukkan terdapatnya bukti fizikal pesawat MH370 terhempas di kawasan terbabit.

“Saya turut menyampaikan dukacita kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 walaupun maklumat ini agak menyedihkan. Kehilangan mereka akan terus diingati,” katanya dalam sidang media khas MH370, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Najib turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada negara, organisasi dan orang perseorangan yang banyak membantu sepanjang usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370.

Pengesahan itu hasil analisis sekumpulan pakar dari Malaysia, Perancis dan Australia, termasuk wakil dari Boeing dan China.

Kumpulan pakar itu melakukan pemeriksaan terhadap serpihan sayap pesawat di makmal DGA Technique Aeronautique di Balma, dekat Toulouse, Perancis.

Pulau Reunion menjadi tumpuan dunia apabila komponen sayap pesawat, flaperon, ditemui di pesisir pantai pulau itu pada 29 Julai lalu.

Pulau milik Perancis itu terletak di luar pantai Madagascar, kira-kira 4,000 kilometer (km) dari tempat usaha mencari pesawat MH370 dijalankan.

Pada 31 Julai lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, mengesahkan flaperon yang ditemui antara komponen pesawat Boeing 777.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua bayi, hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac tahun lalu.

Pada 29 Januari lalu, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengumumkan kehilangan pesawat itu adalah satu kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa dan semua 239 penumpang serta anak kapal di dalamnya dianggap meninggal dunia.

Lokasi+Penemuan+MH370

Kronologi Tragedi MH370

8 Mac 2014 – MH370 membawa 227 penumpang dan 12 kru berlepas dari KLIA ke Beijing pada jam 12.41 tengah malam.

8 Mac 2014 – MH370 yang sepatutnya tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama hilang dari radar sejam selepas berlepas ketika merentas Laut China Selatan.

9 Mac 2014 – Radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menunjukkan kemungkinan sebuah pesawat yang tidak dikenal pasti berpatah balik. 11 Mac 2014 – Operasi SAR dilancarkan di Selat Melaka.

12 Mac 2014 – Operasi SAR diperluas ke selatan Thailand dan Laut Andaman.

14 Mac 2014 – Operasi SAR diperluaskan ke Lautan Hindi. 15 Mac 2014 – Perdana Menteri mengesahkan pesawat yang dikesan berpatah balik oleh radar TUDM pada malam kejadian ialah MH370.

15 Mac 2014 – Operasi SAR fokus di koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand serta koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi manakala SAR di Laut China Selatan ditamatkan.

16 Mac 2014 – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menjuruskan siasatan kepada empat bidang iaitu kemungkinan rampasan, sabotaj, keadaan psikologi penumpang dan anak kapal serta masalah peribadi mereka.

17 Mac 2014 – Operasi besar-besaran SAR membabitkan 26 negara meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika dilancarkan.

24 Mac 2014 – Perdana Menteri mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

25 Mac 2014 – Operasi SAR ditumpukan di selatan Lautan Hindi berikutan petunjuk terbaharu dan pencarian di koridor utara dihentikan.

1 Mei 2014 – Kementerian Pengangkutan Malaysia mengeluarkan laporan awal kehilangan MH370, termasuk senarai kargo dan rakaman audio antara kokpit dengan ATC Kuala Lumpur.

29 Januari 2015 – Kerajaan Malaysia mengisytiharkan semua penumpang pesawat MH370 terkorban.

18 Jun 2015 – Pencarian MH370 di Lautan Hindi diperluaskan ke zon tambahan meliputi 60,000 kilometer persegi.

29 Julai 2015 – Komponen sayap dipercayai flaperon ditemui di pesisir pantai Pulau Reunion di Lautan Hindi, dikaitkan dengan MH370 oleh sekumpulan penyelidik ekologi.

31 Julai 2015 – Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengesahkan flaperon yang ditemui antara komponen pesawat Boeing 777.

BACA INI JUGA: Bukti Billionaire Zionis Dalang MH370?

Sumber: BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, July 30, 2015

2 Hari Untuk Sahkan Kod BB670 Milik MH370

2 Hari Untuk Sahkan Kod BB670 Milik MH370

LONDON – Kementerian Pengangkutan Malaysia memerlukan masa sehingga dua hari untuk mengesahkan sama ada kod BB670 yang ditemui pada satu serpihan hanyut di pantai pulau Reunion sebagai milik pesawat MH370.

MH370

Perkara itu diakui Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang dipetik akhbar berpengaruh Britain, The Guardian susulan penemuan serpihan sayap pengemudi dipercayai daripada bangkai sebuah pesawat.

“Sekumpulan pakar dari Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS) menyertai wakil dari pengeluar pesawat Boeing akan dihantar bagi menyiasat kesahihan serpihan tersebut,” jelas beliau.

Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di New York, Amerika Syarikat semalam mengenai sepasukan pakar dari Malaysia bakal dihantar ke Reunion.

“Kita mungkin ambil masa dua hari untuk melengkapkan proses pengecaman bangkai sekali gus mengesahkan sama ada BB670 itu memang benar adalah serpihan yang berasal daripada MH370,” ujar Abdul Aziz lagi.

Mengulas lanjut katanya, sebaik menerima maklumat daripada pihak berkuasa Perancis yang mentadir pulau peranginan di Lautan Hindi itu, kementerian berkenaan segera membentuk pasukan penyiasat pergi ke sana.

Malah, pasukan DCA dan MAS dijangka bekerjasama rapat dengan Bureau d’Enquetes et d’Analyses (BEA), sebuah agensi siasatan nahas udara di bawah kerajaan Perancis bagi menyemak kesahihan serpihan tersebut.

Bagaimanapun menurut laporan agensi berita antarabangsa Reuters yang tersebar luar di seluruh dunia, Abdul Aziz telah difahamkan ketua penyiasat kes berkenaan mengesahkan BB670 itu kemungkinan besar milik MH370.

Keyakinan tinggi tersebut turut berdasarkan kepada rupa bentuk serpihan itu yang disebut dalam bahasa teknikal sebagai flaperon kerana ia memang direka khas hanya untuk dipasang pada model Boeing 777-200 sahaja.

Secara kebetulan cuma ada sebuah sahaja kapal terbang jenis model itu yang terlibat dalam nahas udara di dunia sepanjang tahun lalu iaitu 9M MRO iaitu nombor pendaftaran badan untuk penerbangan MH370 milik MAS.

Serpihan sepanjang 2.7 meter itu dijumpai di pantai Saint-Andre di timur pulau Reunion dan siasatan awal pakar penerbangan Perancis, Xavier Tytelman mengesahkan ia hampir menyerupai flaperon daripada MH370.

Waris Gembira, Tunggu Serpihan Dibuktikan Dari MH370

Kaylene Mann

Kaylene Mann (kanan), salah seorang waris mangsa nahas pesawat MH370 yang kehilangannya mencetuskan misteri selama ini menyifatkan perkembangan terbaharu dipercayai ada kaitan dengan pesawat tersebut adalah berita yang menggembirakan.

Ulasan itu dibuat berikutan penemuan serpihan dipercayai ada kena mengena dengan pesawat Boeing 777 MH370 di Reunion Island.

“Berita itu sedikit menggembirakan hati tapi selagi tidak dibuktikan, ianya masih bukan apa-apa. Kita perlu tunggu sehingga apa yang difikirkan itu terbukti,” kata Kaylene yang berada di Brisbane ketika dihubungi Fairfax Media.

Kaylene kehilangan abang dan kakak iparnya, Rodney dan Mary Burrows yang berada dalam senarai penumpang MH370 ketika ianya dilaporkan terputus hubungan dari menara kawalan seterusnya hilang tanpa dapat dikesan pada 8 Mac 2014.

Ketika kejadian pesawat Boeing 777 yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal.

Selepas kehilangan waris dalam tragedi MH370 pada Mac, Kaylene sekali lagi kehilangan anak tiri dan menantunya, Maree Rizk dan Albert dalam tragedi nahas yang juga babitkan pesawat milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 pada Julai 2014.

Mary dan Rodney Burrows
Mary dan Rodney Burrows.

Kaylene kehilangan abang dan kakak iparnya, Rodney dan Mary Burrows yang berada dalam senarai penumpang MH370 ketika ianya dilaporkan terputus hubungan dari menara kawalan seterusnya hilang tanpa dapat dikesan pada 8 Mac 2014.

Ketika kejadian pesawat Boeing 777 yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal.

Selepas kehilangan waris dalam tragedi MH370 pada Mac, Kaylene sekali lagi kehilangan anak tiri dan menantunya, Maree Rizk dan Albert dalam tragedi nahas yang juga babitkan pesawat milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 pada Julai 2014.

Malaysia Hantar Pasukan Untuk Pastikan Serpihan Milik MH370

Malaysia sudah mengirim satu pasukan pakar ke Pulau Reunion di Lautan Hindi untuk memastikan sama ada serpihan pesawat yang ditemui di sana, milik Malaysia Airlines penerbangan MH370.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan itu dianggotai pakar daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Malaysia Airlines dan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia untuk MH370.

“Kami juga berhubung dengan Biro Siasatan dan Analisis (BEA) iaitu agensi penyiasat kemalangan pesawat udara Perancis mengenai penemuan ini,” tambah kenyataan itu.

Dilaporkan serpihan daripada sayap pesawat itu dihanyutkan ke pulau tersebut awal pagi ini yang berkemungkinan milik MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada awal Mac tahun lepas.

Kementerian Pengangkutan berkata ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian sehingga terdapat bukti sahih serpihan tersebut milik pesawat yang hilang itu.

Kementerian itu menjelaskan ia akan membuat pengumuman sebaik semua bukti dapat disahkan.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pada 29 Jan tahun ini, DCA mengumumkan kehilangan pesawat itu sebagai kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa, dan semua 239 orang di dalamnya dianggap terkorban.

BACA INI JUGA: Tragedi MH370, MH17 Dan QZ8501 Angkara Siapa?

Sumber: Mynewshub/BERNAMA