Monday, November 25, 2013

6,000 Hamba Abdi Masih Dikurung Di Britain?!

6,000 Hamba Abdi Masih Dikurung Di Britain?!

Menteri Dalam Negeri Britain semalam memberi amaran, mungkin ada lagi “hamba” yang disembunyikan di setiap kawasan kejiranan di bandar raya ini selepas polis membongkar kes kejadian tiga wanita dikurung selama 30 tahun.

Britain Slave

James Brokenshire berkata, kes sama seperti insiden di Lamberth itu mungkin turut terjadi di lokasi lain ibu negara Britain itu. Brokenshire menyatakan tidak mustahil jika ada 6,000 orang yang dikurung di seluruh Britain.

“Perhambaan ialah satu daripada isu yang biasanya hanya dirujuk dalam buku sejarah.

“Hakikatnya ia masih berlaku. Kita melihat laporan kes sedemikian semakin meningkat setiap tahun dan saya rasa ia akan terus bertambah.

“Saya rasa lebih banyak kes seumpama ini kian terbongkar. “Ini perkembangan yang baik kerana kita dapat menangani isu pemerdagangan manusia dan menghukum mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Komennya itu dibuat ketika polis mendedahkan bahawa tiga wanita yang dikurung sebagai hamba selama 30 tahun itu menjadi objek penderaan.

Polis memberitahu mangsa dikurung dengan tangan bergari.

Kata polis hasil siasatan rumit itu yang mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum didedahkan kepada umum.

Polis mendedahkan suspek lelaki dan wanita yang ditahan dalam kes itu pernah ditahan pada 1970-an, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai kesalahan mereka.

Pasangan berusia 67 tahun itu dibebas dengan ikat jamin, tetapi tidak dibenarkan pulang ke kediaman mereka di Lamberth lokasi polis memindahkan 2,500 peralatan dalam 22 beg baru-baru ini.

Ketiga-tiga mangsa yang menjadi hamba itu ialah wanita Britain berusia 30 tahun, wanita Irish, 57, dan rakyat Malaysia yang berusia 69 tahun.

3 ‘hamba’ kongsi ideologi politik

Maklumat terbaru mendapati dua ‘hamba’ yang dikurung melebihi 30 tahun dalam kes yang menggemparkan Britain minggu ini bertemu suspek melalui “perkongsian ideologi politik,” kata polis semalam.

Dua wanita terbabit, iaitu rakyat Malaysia yang berusia 69 tahun dan warga Ireland berusia 57 tahun diperhambakan selepas kumpulan berkenaan berkubur, kata pegawai polis yang menjalankan siasatan kes berkenaan.

Kata pegawai terbabit mangsa ketiga - wanita berusia 30 tahun yang dibebaskan polis bulan lalu - mempunyai sijil kelahiran tetapi tiada dokumen rasmi lain, serta diperhambakan sepanjang hayatnya.

Pendedahan berikut ialah antara beberapa siri perkembangan terbaru yang diperoleh pihak berkuasa:
  • Suspek ialah pasangan berusia 67 tahun dari India dan Tanzania yang datang ke Britain pada 60-an; 
  • Kediaman yang menjadi tempat tinggal suspek menimbulkan persoalan kerana ia bangunan milik majlis perbandaran yang berusia lima tahun.

Pihak berkuasa tempatan dipersoal kerana tidak mengetahui mengenai apa yang berlaku di situ;
  • Jiran menyifatkan suspek sebagai penjaga mangsa kerana mereka melihat seorang daripadanya menggunakan kerusi roda;
  • Jiran, Marius Feneck yang tinggal di blok sama mendakwa, dia pernah menerima surat cinta dan foto daripada mangsa yang berusia 30 tahun itu;
  • Pakar kumpulan keagamaan berkata, pengurungan menunjukkan bahawa ideologi politik mampu bertindak seperti kumpulan agama;
  • Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Theresa May memberikan amaran dalam akhbar menyatakan bahawa perhambaan kini kian menular di Britain.

Sementara itu, komander polis Steve Rodhouse berkata, siasatan itu menumpukan kepada waktu mangsa mula bertemu dengan suspek dan apa yang berlaku seterusnya.

BACA INI JUGA: Kisah Luar Biasa Hamba Abdi Seorang Wali Allah

Sumber: Agensi

Sunday, November 24, 2013

Gambar Ngeri Anak Dibunuh Di Google Imej Jadi Igauan Bapa

Gambar Ngeri Anak Dibunuh Di Google Imej Jadi Igauan Bapa

Seorang bapa merayu kepada peneraju aplikasi enjin carian dunia, Google membuang imej satelit yang menunjukkan mayat anaknya berusia 14 tahun sewaktu dibunuh pada tahun 2009.

Jose Barrera
Jose Barrera.

Jose Barrera berkata, gambar yang terdapat pada Google Earth menunjukkan anaknya Kevin, ditemui didera dan ditembak mati di tepi landasan kereta api di Richmond, California empat tahun lalu.

“Apabila saya melihat gambar ini, ia masih sama seperti yang berlaku semalam dan ia membawa banyak kenangan kembali,” katanya.

Barrera memerhatikan imej mengerikan itu yang menunjukkan anaknya terbaring di tanah dengan sebuah kereta polis diletakkan berhampiran dan pegawai polis terbabit berdiri berdekatan dengan mayat itu, awal minggu ini.

Dia meminta Google membuang imej yang dianggap tidak menghormati perasaan keluarganya dan merancang membuat aduan jika gergasi Internet itu gagal berbuat demikian.

Namun, Google masih belum memberi tindak balas kepada permintaan DailyMail.

Penganalisis teknologi, Rob Enderle memberitahu KTVU, Google tidak mungkin mengeluarkan imej itu daripada lamannya.

“Apabila mereka membuang imej itu untuk memenuhi permintaan seseorang bagi satu perkara, adakah mereka tidak melakukannya untuk orang lain?

“Justeru, mereka mendapati adalah lebih mudah untuk mengatakan tidak,” katanya.

Kevin Barrera ditemui mati ditembak di tepi landasan kereta api pada Ogos 2009 iaitu di kawasan yang dikenali bermasalah.

Jose Barrera

Enam orang pernah terbunuh di sana di antara Februari dan Oktober tahun yang sama.

Remaja terbabit yang dikenali polis, menghabiskan masa pada malam 14 Ogos bersama keluarganya tetapi dibiarkan berjalan bersendirian selepas menerima panggilan telefon.

Mayatnya ditemui pada jam 7 pagi keesokan harinya oleh orang ramai yang lalu-lalang di sana. Tiada tangkapan dibuat berkait kematiannya.

“Saya tidak tahu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan apa yang saya rasa. Hati saya benar-benar remuk,” ujar Barrera kepada Contra Costa Times selepas pembunuhan itu.

Ibu tiri Kevin, Leticia Marquez, memberitahu orang ramai selepas kematian anak tirinya: “Anak-anak anda yang seusia Kevin, tolonglah bantu kami.

“Tolonglah abang, kakak dan adik-adik kamu kerana mereka mencari kanak-kanak seumur anda.

“Mereka menculik anak-anak kita. Ini adalah zaman di mana orang-orang jahat melarikan anak-anak daripada kita,” katanya.

Kematian Kevin merupakan mangsa pembunuhan yang ke-33 di Richmond pada tahun 2009.

Menjelang akhir tahun ini, 47 mangsa dibunuh sekali gus meletakkannya sebagai bandar pembunuhan kedua dahsyat selepas New Orleans. -DM

Monday, November 11, 2013

Taufan Paling Kencang Di Dunia Ragut 10,000 Nyawa Di Filipina!

Taufan Paling Kencang Di Dunia Ragut 10,000 Nyawa Di Filipina!

Taufan terkuat di dunia yang memusnahkan seluruh bandar Filipina dipercayai sudah meragut lebih 10,000 nyawa, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad, sekali gus menjadikan ia bencana semula jadi paling dasyat yang pernah direkodkan negara itu.

Mayat seorang lelaki terdampar di Tacloban, Filipina pada Ahad.

Angka korban terbaru akibat Taufan Haiyan dikeluarkan ketika Amerika Syarikat berjanji menyalurkan bantuan tentera dalam usaha membantu mencari mangsa yang masih hilang dan beberapa kawasan yang terputus bekalan makanan sejak tiga hari lalu.

Ketua Polis Wilayah Leyte, Elmer Soria berkata lebih 10,000 dipercayai terkorban di wilayah paling teruk terjejas itu.

"Kami sudah mengadakan mesyuarat malam tadi dengan gabenor dan berdasarkan anggaran kerajaan, pada mulanya terdapat 10,000 mangsa terbunuh. Kira-kira 70 hingga 80 peratus rumah dan struktur bangunan di sepanjang jalan musnah akibat taufan," kata Soria.

New Zealand, Australia Salur Bantuan

New Zealand dan Australia pada Ahad menyalurkan bantuan segera sebanyak AS$490,000 (RM1.55 juta) kepada Filipina yang dilanda taufan terkuat di dunia sejak Jumaat.

Daripada jumlah itu, Willington menyumbangkan sebanyak AS$124,000 (RM394,196) manakala Canberra sebanyak AS$366,000 (RM1.16 juta).

Menteri Luar New Zealand, Murray McCully, berkata bantuan itu disalurkan ke Palang Merah bagi membantu organisasi berkenaan membekalkan rawatan kecemasan kepada mangsa Taufan Haiyan.

"New Zealand akan mempertimbangkan sokongan selanjutnya selepas jumlah kerosakan dinyatakan kelak,"

Rakan sejawatnya dari Australia, McCully Julie Bishop, berkata beliau sedih dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda penduduk di negara itu.

"Kami menyediakan bekalan kecemasan untuk tempat tinggal sementara mereka termasuk tikar, selimut, kelambu , bekas air dan kit kesihatan untuk keluarga yang terkesan akibat taufan," katanya.

Sumber: Bernama/mStar

Friday, November 08, 2013

Yasser Arafat Mati Diracun Perisik Israel?

Yasser Arafat Mati Diracun Perisik Israel?

Seorang saintis Switzerland, Profesor Francois Bochud dari Institut Radiofizik Lausanne menyatakan, terdapat bahan polonium dalam kuantiti yang tinggi pada tulang bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat.

Profesor Francois Bochud (kiri), Yasser Arafat (gambar kecil).

Menurut Bochud, bahan beracun itu juga ditemui pada barang-barang peribadi milik Arafat sekali gus menunjukkan terdapat pihak ketiga yang menyebabkan kematiannya pada tahun 2004.

"Ia menunjukkan terdapat pihak ketiga yang terlibat (yang menyebabkan kematian Arafat)," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Bagaimanapun, pasukan itu hanya memberikan sokongan pada tahap sederhana tentang idea bahawa Arafat telah diracun dengan bahan radioaktif itu

"Hasil kajian kami menyokong teori beliau diracun," tambahnya.

Menurut Pengarah Pusat Forensik Hospital Universiti Lausanne, Patrice Mangin, bahan beracun itu tidak menyerap masuk ke dalam badan Arafat secara semula jadi.

Ekoran pendedahan itu, balu Arafat, Suha menyatakan, beliau yakin terdapat orang yang dekat dengan bekas pemimpin tersebut yang meracunnya.

Beliau menganggap kematian Arafat adalah disebabkan pembunuhan politik.

Kadar kandungan polonium itu adalah 20 kali lebih tinggi daripada yang digunakan untuk tujuan penyelidikan.

Selepas pendedahan itu, seorang pegawai kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin menyatakan, tiada keraguan lagi bahawa Arafat telah mati diracun.

Pegawai itu, Wasel Abu Yusef berkata, pihaknya meminta satu jawatankuasa antarabangsa menyiasat tentang pembunuhan itu.

Arafat meninggal dunia di sebuah hospital di Perancis pada tahun 2004.

Punca kematiannya menjadi misteri dan masih belum disahkan.

Pada tahun lalu, sebuah makmal di sini menemui kesan polonium-210 pada pakaian pemimpin itu yang diserahkan oleh balunya, Soha.

Lebih banyak sampel telah diambil pada jenazahnya di Tebing Barat.

Polonium-210 merupakan bahan radio aktif beracun yang sukar dikesan menggunakan alat pengesan radio aktif kerana susunan zarahnya.

Kurang satu gram serbuk polonium-210 berwarna perak boleh menyebabkan kegagalan organ yang membawa kepada kematian.

Racun tersebut biasanya dicampur ke dalam minuman dan makanan dengan tujuan untuk membunuh mangsa.

Dalam pada itu, ramai penduduk Palestin percaya Israel telah meracun Arafat tetapi dinafikan oleh regim Zionis.

"Kami tidak pernah membuat keputusan untuk memudaratkan Arafat secara fizikal," kata Menteri Tenaga Israel, Silvan Shalom yang berkhidmat sebagai Menteri Luar pada tahun 2004 ketika diwawancara Radio Israel.

"Pada pendapat saya, tuduhan ini telah digembar-gemburkan. Namun, jika benar beliau (Arafat) diracun, ia bukan kerja Israel," kata Shalom.

"Mungkin ada orang dalam yang mempunyai niat atau kepentingan untuk membunuhnya," tambah menteri berkenaan. - Agensi

Saturday, November 02, 2013

Video 'Hantu' Hugo Chavez Muncul Di Terowong Kereta Api

Video 'Hantu' Hugo Chavez Muncul Di Terowong Kereta Api

Hugo Chavez mungkin sudah mati Mac lalu tetapi penggantinya berkata, bekas Presiden Venezuela itu masih hidup, dengan imej terbaru wajahnya didakwa dilihat di satu terowong kereta api.

Wajah dikatakan jelmaan Hugo Chavez.

Presiden Nicolas Maduro berkata, pekerja dalam terowong berkenaan melihat imej itu datang dan pergi dan beliau menunjukkan imej yang didakwanya itu di satu perhimpunan di Caracas.

“Lihat gambar ini. Satu wajah. Gambar ini dirakam oleh pekerja. Chavez berada di mana-mana,” kata Maduro yang dipilih Chavez ketika dia sakit untuk menggantikannya apabila dia mati.

Dalam kempen pilihan raya April lalu, Maduro berkata dia melihat Chavez menjelma sebagai burung.

Sejak itu, dalam beberapa ucapannya, dia sering meniru kicauan burung untuk menegur Chavez.

Pengkritik menyelarnya tetapi Maduro tidak kisah. Jun lalu, Maduro mendakwa, Chavez seolah-olah muncul di depannya di gunung di Caracas.

“Setiap kali saya melihat gunung itu, saya melihat Chavez muncul,” katanya. -AFP



Sunday, October 27, 2013

Kru-kru Filem Transformers Diperas Ugut Samseng Di Hong Kong

Kru-kru Filem Transformers Diperas Ugut Samseng Di Hong Kong

Kru-kru filem Transformers diperas ugut buat kali kedua dalam tempoh seminggu di sini, kata pihak berkuasa minggu ini.

Transformers
Beberapa kru menaiki sebuah kren di lokasi penggambaran filem 
Transformers: Age of Extinction di bandar Kowloon, Hong Kong.

Kejadian itu berlaku ketika kru-kru tersebut sedang bertugas dalam penggambaran filem terbaharu itu yang diarahkan Michael Bay.

Pihak polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki cuba melakukan peras ugut itu di kawasan bandar Kowloon kelmarin.

Lokasi itu menjadi penggambaran filem Transformers: Age of Extinction.

Seramai empat lelaki telah menakut-nakutkan kru-kru tersebut dan meminta wang di atas bumbung sebuah bangunan, menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak pentadbiran pulau tersebut.

"Pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun," tambah kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, tiga suspek lain sedang diburu kerana melakukan peras ugut.

Ketiga-tiga suspek itu disyaki anggota kumpulan kongsi gelap Sun Yee On, lapor akhbar South China Morning Post.

Pada minggu lalu, Bay telah diserang oleh seorang lelaki yang menggunakan sebuah alat penyaman udara dan meminta wang sebanyak AS$12,900 (RM40,762) kerana membuat penggambaran filem di bandar itu.

Edisi keempat filem Transformers yang dibintangi oleh Mark Wahlberg dan Nicola Peltz itu dijadualkan ditayangkan pada Jun 2014. -AFP

Thursday, October 24, 2013

Perancis Boikot Barangan Israel

Perancis Boikot Barangan Israel

Sekumpulan aktivis Perancis bertindak melancarkan kempen memboikot barang keluaran Israel di sini, kelmarin.

Boikot barangan Israel
Sekumpulan aktivis melakukan demonstrasi memboikot 
barangan keluaran Israel di hadapan pasar raya di Paris.

Media tempatan melaporkan, kempen itu berlangsung di pasar raya terkemuka di Perancis dengan disertai lebih 170 pertubuhan bukan kerajaan.

“Kempen itu bertujuan memberi tekanan ke atas Israel supaya menghentikan peneroka haram di wilayah Palestin,” memetik laporan itu.

Baru-baru ini, Kesatuan Eropah (EU) turut mengharamkan 28 negara anggota menggunakan dana EU bagi projek penempatan haram Israel di wilayah Palestin menurut Press TV.

EU juga menambahkan tekanan apabila mensyaratkan semua kontrak dua hala antara negara anggota EU dan Tel Aviv perlu memasukan klausa bahawa Baitulmuqaddis, Genting Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan bukan milik Israel.

Tolak anugerah tertinggi Israel

Mervat Hassan
Pegawai muzium, Irena Steinfeldt menunjukkan 
sijil anugerah tertinggi yang mengiktiraf Helmy.

Sementara itu, seorang ahli keluarga seorang doktor warga Mesir bertindak menolak penghormatan tertinggi yang mahu diberikan Israel pada bulan lalu atas jasanya ketika insiden pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi di Berlin pada 1933-1945.

Mervat Hassan, anak saudara kepada isteri Dr Mohamed Helmy memaklumkan mereka berbesar hati untuk menerima anugerah seumpama itu jika diberikan oleh negara lain.

"Keluarga kami enggan menerima anugerah daripada rejim Zionis. Keputusan ini juga ada kaitan dengan permusuhan berpanjangan antara Mesir dan Israel walaupun kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian damai pada 1979," katanya.

Menurut Mervat, pakciknya hanya menjalankan tugas tanpa mengira bangsa atau agama pesakit ketika insiden didalangi tentera Nazi tersebut.

Dipetik AP, kelmarin, jurucakap Muzium Yad Vashem turut mengkritik keputusan keluarga doktor tersebut yang didakwa kononnya dipengaruhi sentimen politik.

Difahamkan, Helmy yang meninggal dunia pada 1982 ketika berusia 81 tahun pernah melanjutkan pelajaran ke Berlin untuk mendalami ilmu perubatan pada 1922 dan turut berkhidmat sebagai pakar urologi di negara itu hingga 1938.