Sep 19, 2014

Kisah Luar Biasa Hamba Abdi Seorang Wali Allah

Pada suatu hari Syeikh Abdul Wahid bin Zaid penganti kepada ahli sufi terkenal Hassan Al-Basri dan mempunyai salsilah Fudhail Bin Iyadh serta pernah mendapat didikan dan berguru dengan Imam Abu Hanifah,pengasas mazhab hanafi berjalan di pasar

Wali Allah

Tiba-tiba ia terlihat seorang hamba yang sedang dijual di pasar. Syeikh Abdul Wahid ingin membeli hamba untuk membantunya kerja-kerja di rumahnya.

Hamba yang dibelinya itu seorang yang sangat rajin dan taat melakukan kerja-kerja yang diarahkan oleh Syeikh Abdul Wahid dengan tekun sekali.

Syeikh Abdul Wahid merasa hairan tentang perilaku pelik luar biasa hambanya, iaitu di waktu malam tidak ada di rumah walaupun Syeikh Abdul Wahid puas mencarinya sedangkan pintu rumahnya tertutup dan tiada tanda-tanda pintu dibuka.

Pada waktu pagi, hamba tersebut memberikannya sekeping wang dirham yang terukir di atasnya surah Al-Ikhlas. Hamba tersebut, menyatakan jangan ditanya kemana dia pergi. Syeikh Abdul Wahid menerimanya dan tidak mahu mengetahui apa yang dilakukan dan kemana hambanya pergi pada malam hari.

Setelah sekian lama, pada satu hari datang seseorang mengadukan kepada Syeikh Abdul Wahid tentang perilaku hambanya kerjanya mengali kubur orang meninggal dunia.

Syeikh Abdul Wahid terkejut tentang apa yang telah diberitahu oleh kenalannya dan berjanji akan menyiasatnya terlebih dahulu.

Pada suatu malam, Syeikh Abdul Wahid mengintai gerak-geri hambanya tanpa diketahui olehnya. Syeikh Abdul Wahid melihat dengan jelas dan pelik bagaimana pintu bilik hamba itu dibuka dan ditutup hanya dengan menghala jarinya sahaja.

Syeikh Abdul Wahid terus mengekori hambanya sampai ke suatu tempat lapang di padang pasir. Hambanya menukar pakaiannya kepada pakaian yang diperbuat daripada guni.

Hambanya menunaikan solat sehingga terbit fajar. Setelah selesai solat hambanya terus berdoa dan memohon kepada Allah, "Wahai tuanku yang besar berilah upah kepada tuanku yang kecil."

Luar biasa, selesai berdoa jatuhlah sekeping wang dirham dari langit. Syeikh Abdul Wahid memerhatikannya dengan perasaan hairan dan takjub sekali.

Oleh kerana hari hampir siang, Syeikh Abdul Wahid mencari air disekitarnya untuk berwuduk dan menunaikan solat subuh. Kemudian, selesai solat subuh Syeikh Abdul Wahid berdoa bahawa dia berjanji akan memerdekakan hambanya, kerana hambanya seorang yang soleh.

Selesai berdoa, Syeikh Abdul Wahid berusaha mencari hambanya tetapi tidak berjumpa kerana dia menghilangkan diri dengan begitu cepat sekali. Syeikh Abdul Wahid mencari jalan untuk pulang ke rumahnya tetapi tidak berjumpa ini kerana tempat tersebut terlalu asing baginya.

Dengan perasaan cemas dan menyesal atas tindakannya mengekori hambanya. Ketika Syeikh Abdul Wahid mundar mandir mencari bantuan beliau ternampak seseorang berkuda sedang menuju ke arah beliau.

Dengan perasaan tidak sabar menunggu orang itu sampai ke arahnya, lantas orang berkuda itu bertanya, "Apakah yang sedang dibuat olehmu wahai Abdul Wahid."

Syeikh Abdul Wahid kehairanan dan berkata di dalam hatinya bagaimana orang berkuda itu mengetahui namanya. Lantas, Syeikh Abdul Wahid memberitahu apa yang terjadi.

Orang yang berkuda itu memberitahu, "Janganlah kamu berasa curiga tentang apa yang berlaku."

Lantas orang yang berkuda memberitahu lagi, "Tahukah kamu berapa jauh jarak rumah kamu dengan tempat ini?".

Jawab Syeikh Abdul Wahid, "Saya tidak tahu."

Jaraknya adalah dua tahun perjalanan dengan kuda yang berlari laju kata orang berkuda itu kepada Syeikh Abdul Wahid, kehairanan dan berkata dalam hati semasa aku mengikut hambaku malam tadi hanya beberapa minit sahaja perjalanan kemari.

Orang berkuda telah berpesan kepada Syeikh Abdul Wahid jangan pergi kemana-mana tunggu sahaja di sini sampai hambamu datang dan mengikuti pulang ke rumah.

Semasa menunggu Syeikh Abdul Wahid telah beberapa kali tertidur dan terjaga kerana keletihan dan kehausan. Apabila Syeikh Abdul Wahid tersedar daripada tidurnya didapati disisi terdapat makanan dan minuman yang telah terhidang dan hambanya juga berada disitu.

Hambanya mempelawa Syeikh Abdul Wahid makan makanan yang telah terhidang. Syeikh tanpa berkata-kata hanya menurut sahaja perintah dan makan dengan selera sekali. Hambanya berpesan kepada Syeikh Abdul Wahid agar tidak mengulangi perbuatan ini lagi dan tunggu sehingga hambanya selesai solat.

Seperti biasa selesai solat hambanya berdoa dan sekeping dirham diberikan kepada Syeikh Abdul Wahid, "Ini wang dirham malam tadi."

Setelah itu hambanya memimpin Syeikh Abdul Wahid berjalan dan tidak sampai beberapa saat sahaja mereka telah tiba di hadapan rumah Syeikh Abdul Wahid.

Hambanya bertanya kepada Syeikh Abdul Wahid benarkah Syeikh memerdekakannya kerana Allah SWT. Lalu hambanya, menunjukkan batu penyedal pintu dan menyatakan bahawa ia adalah wang tebusan pembebasannya.

Syeikh Abdul Wahid sangat hairan bagaimana batu tersebut boleh bertukar menjadi seketul emas.

Keesokkannya, Syeikh Abdul Wahid pergi ke rumah kenalannya yang menuduh hambanya seorang penggali kubur untuk menceritakan perkara yang sebenar.

Sementara di rumahnya, anak perempuan Syeikh Abdul Wahid memarahi hambanya tentang kehilangan ayahnya selama dua malam sambil menuduh membunuh ayahnya kerana mengintip perbuatan jahatnya menggali kubur orang.

Anak perempuan Syeikh telah mengambil batu dan membalingnya ke arah hambanya lalu terkena pada matanya yang menyebabkan mata hamba terkeluar dan dia jatuh pengsan.

Setelah itu, ketika Syeikh Abdul Wahid balik dan mengetahui tentang apa yang berlaku. Dengan perasaan marah Syeikh Abdul Wahid mengambil pedang lalu memotong tangan anaknya sehingga putus. Syeikh Abdul Wahid sangat menyesal atas apa yang berlaku tentang tuduhan yang dibuat oleh anaknya sedangkan mereka tidak mengetahui hal yang sebenar.

Setelah itu, apabila hambanya sedar daripada pengsan dia bingkas bangun serta mengambil mata yang terjatuh tadi lalu dimasukkan kembali ke tempat asalnya sambil berdoa.

Dengan izin Allah matanya elok seperti sediakala. Kemudian, dia mengambil tangan anak Syeikh Abdul Wahid yang putus seraya membaca sesuatu dengan izin Allah tangan anak Syeikh pulih seperti sediakala.

Orang ramai kehairanan melihat kejadian luar biasa yang telah berlaku.

Begitulah, besarnya darjat orang-orang yang taat beribadah dan patuh kepada Allah semata-mata, sehinggakan memperolehi darjat kemuliaan yang tinggi dan luar biasa dari Alllah Subhanallahu Wataala.

Semoga kisah para wali allah ini menginsafi diri ini, bahawa Allah berhak memberikan 'kelebihan' kepada sesiapa sahaja hamba yang dipilih olehNya.

Bersama-samalah kita memperelok dan meningkatkan amalan kita semata-mata hanya kepadaNya.

BACA INI JUGA: Tidak Tahu Membaca Al-Quran Tapi Kuburnya Bercahaya

Sumber: mSelim3

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon