Sunday, August 18, 2013

Video Kezaliman Firaun Mesir Zaman Moden!

Video Kezaliman Firaun Mesir Zaman Moden!

Lihatlah bagaimana tentera Firaun alaf baru ini membunuh ratusan nyawa dan menzalimi ribuan rakyatnya yang tidak berdosa dengan bom dan senjata berat.


Darah mengalir di sana sini, otak berhambur di lantai, jeritan kesakitan memecah keheningan.

‘Dosa’ mereka hanya satu – untuk tidak tunduk pada kezaliman berabad lamanya terhadap sebuah kerajaan syaitan yang bertopengkan manusia.

Wanita Berniqab Ditembak Sniper Firaun

Sebuah video rakaman amatur yang kini sedang viral di laman sosial Facebook menunjukkan seorang wanita berniqab ditembak mati oleh penembak tepat.

Video 48 saat itu menunjukkan seorang wanita berniqab bertindak berani merakam serangan video serangan terhadap penyokong Morsi.

Merujuk kepada saat ke 14 rakaman tersebut, wanita itu sedang asyik membuat rakaman.

Secara tiba-tiba, wanita tersebut rebah dan dia diangkat oleh saksi-saksi yang berada di tempat kejadian untuk dibantu.

Kelihatan kesan tembakan di hadapan dada wanita tersebut.

Apabila diterbalikkan mangsa, darah telah membasahi baju wanita tersebut.

Jelas, tembakan tersebut dibuat oleh penembak tepat dan tembakan tersebut menembusi jantung wanita itu.

Umum beranggapan bahawa tindakan penembak tepat menembak wanita itu disebabkan mereka tidak mahu situasi sebenar di Mesir tersebar kepada media.

Para wartawan juga dikatakan menjadi mangsa kepada sasaran penembak tepat disebabkan yang menjadi sebahagian daripada amaran supaya tragedi di Mesir itu tidak disebarkan kepada dunia.

Memetik laporan Al-Jazeera, selain menggunakan jentolak dan kenderaan berat yang lain, tentera memasuki kawasan perhimpunan dengan dibantu helikopter yang menembak dari udara.

Bunyi tembakan terus bergema di kawasan ini ketika ambulan tidak dibenarkan masuk untuk membawa keluar mereka yang tercedera.

Akibat daripada itu, penyokong Morsi mengisytiharkan mogok awam dan menutup pejabat awam tempat mereka bekerja di seluruh negara bergolak itu.

Siaran TV secara langsung dari Dataran Rabaah juga dihentikan manakala penembak tepat dikatakan menembak pihak yang mengambil gambar dari helikopter mereka.

Takziah kepada wanita itu dan semua umat Islam yang terbunuh dalam pertempuran yang sangat menyayat hati ini.

Saksikan video tragik itu.



Pada yang beragama Islam, marilah kita berdoa kepada Allah yang Maha Esa agar firaun-firaun yang zalim ini mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan terkutuk mereka membunuh jiwa-jiwa yang tidak berdosa ini.


Video keganasan Firaun Mesir zaman moden.

Bersamalah kita sedekahkan Al-Fatihah pada para syuhada ini…InsyaAllah tempat mereka nanti kalau bukan pun di bumi Mesir, tetapi di Jannah. Amiin. -Mynewshub

Thursday, August 15, 2013

Dunia Mengutuk Pembunuhan Beramai-ramai Di Mesir!

Dunia Mengutuk Pembunuhan Beramai-ramai Di Mesir!

Ketika angka korban keganasan pasukan keselamatan Mesir terus meningkat komuniti antarabangsa menggesa pihak yang bertelagah segera menamatkan pertumpahan darah.

Seorang pemuda menangis melihat mayat yang disusun di sebuah rumah mayat.

Turki yang selama ini tidak mengiktiraf kerajaan sementara Mesir mengutuk Kaherah kerana menggunakan keganasan bagi membersihkan kubu penyokong Mohamed Mursi dan Ikhwanul Muslimin.

Pejabat Perdana Menteri Turki berkata, komuniti antarabangsa mesti bertindak serta-merta selepas polis mengganasi penunjuk perasaan yang menuntut Mohamed Mursi dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden Mesir.

“Komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab mesti menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.

WANITA tempatan menunjukkan mayat yang belum diangkat selepas polis memulakan keganasan menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya.

Presiden Turki Abdullah Gul mengingatkan Mesir mungkin terjebak dalam huru-hara dan membandingkan situasi itu dengan tindakan rejim Syria menekan kebangkitan rakyat mereka sehingga memerangkap negara itu dalam perang saudara.

Jurucakap Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Peter Stano berkata perkembangan di Mesir diikuti dengan “kebimbangan mendalam.”

“Konfrontasi dan keganasan bukan jalan untuk maju dan laporan mengenai kematian serta kecederaan sangat membimbangkan,” katanya.

Sehingga awal malam tadi sekurang-kurangnya 124 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan menyuraikan penunjuk perasaan yang berkubu di dua tempat utama di Kaherah.

Seorang daripada mangsa yang terbunuh ialah seorang remaja perempuan, Asmaa, 17, yang juga anak pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed el-Beltagy.

Stesen al-Jazeera pula melaporkan seorang jurugambar Sky News Michael Douglas terbunuh ketika membuat laporan di Rabaa al-Adaweya.

Ketua Parlimen Eropah, Martin Schulz berkata kematian yang berlaku “tidak dapat diterima.”

Kementerian Luar Iran pula mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu dan menggesa semua pihak menahan diri daripada terus menumpahkan darah.

“Pendekatan ini mungkin mencetuskan perang saudara di Mesir,” katanya.

Turut mengutuk keras keganasan pasukan keselamatan Mesir ialah Qatar dan Britain. -AFP

Tuesday, August 06, 2013

"Kembalikan Mursi Atau Bunuh Saya!"

"Kembalikan Mursi Atau Bunuh Saya!"

“Demi ALLAH, saya bersumpah tidak akan meninggalkan dataran ini sehingga Mursi kembali atau mereka membunuh saya. Saya bukan ahli Ikwanul Muslimin tetapi saya datang ke sini bagi menyampaikan suara saya kepada dunia supaya mereka tahu siapa Mursi sebenarnya,” kata seorang penyokong tegar Presiden yang digulingkan Muhammed Mursi di Dataran An-Nahdhah, Giza, Kaherah, Mesir.

Jutaan penyokong Mursi bersepakat menolak rampasan kuasa 
dan terus berkumpul di dataran An-Nahdhah, Giza, kaherah.

Hajjah Ilham Abdul Hadi, 65, berkata, beliau bersama jutaan penyokong yang lain sebulat suara menolak rampasan kuasa yang tercetus sejak 3 Julai lalu.

Bagi Hajah Ilham, jasa Mursi terhadapnya tidak ternilai apabila beliau pernah diselamatkan dari hidup gelandangan hingga berpeluang tinggal di sebuah rumah secara percuma.

“Pada kejadian tahun lalu, rumah kami di kawasan Buluq Dukrur runtuh. Kejadian itu turut mengorbankan suami dan anak saya. Mulai dari itu, saya hanya mampu berteduh di bawah jambatan dan tidur di tepi jalan,“ katanya.

Menurutnya, pada Disember tahun lalu, ketika sedang tidur di tepi jalan, dia didatangi tiga lelaki dan alangkah terkejutnya salah seorang daripada mereka adalah Mursi.

“Sukar untuk saya mempercayainya ketika itu. Presiden bertanya kepada saya, mengapa saya tidur di jalanan, selepas saya menceritakan nasib yang melanda saya melihat beliau bergenang,” katanya.

Hajjah Ilham berkata, keesokannya,dua wakil Mursi datang kepadanya dengan membawa surat perjanjian rumah sewa di bandar Al Nujum berserta sampul surat berisi wang EGP500 (RM230).

“Wakil Presiden turut berpesan kepada saya supaya tidak tidur lagi di tepi jalan dan sedia menambah jumlah wang tersebut sekiranya tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, sejak tinggal di rumah sewa itu, setiap bulan wakil Mursi menyampaikan wang EGP500 (RM230) dengan resit pembayaran sewa yang telah dijelaskan.

“Kini segalanya berubah, selepas rampasan kuasa berlaku, saya dihalau dari rumah itu dan kini saya kembali hidup gelandangan bersama ratusan penduduk Mesir yang lain,” katanya dipetik dari Ikwan Online.

-SinarOnline

Sunday, July 21, 2013

Tiga Wanita Terbunuh Protes Penyokong Morsi Bertukar Ganas

Tiga Wanita Terbunuh Protes Penyokong Morsi Bertukar Ganas

Penyokong Mohammed Morsi terus mengadakan protes semalam bagi menuntut beliau dilantik semula sebagai Presiden Mesir.

Penyokong Mohammed Morsi berarak di Kaherah.

Perkembangan tersebut berlaku selepas puluhan ribu penyokong Presiden yang digulingkan tentera itu bertempur dengan penentang mereka sejak malam kelmarin.

Beribu-ribu penyokong setia Morsi berhimpun di hadapan Masjid Rabaa Al-Adawiya di ibu kota Mesir, di sini pada pagi semalam sambil membawa potret pemimpin mereka dan bendera Mesir.

Perhimpunan itu diadakan ketika ketegangan politik di Mesir memuncak selepas sehari kumpulan penyokong dan anti-Morsi saling mengadakan protes di seluruh negara.

Tunjuk perasaan itu bertukar ganas di bandar raya Mansura di Delta Sungai Nil.

"Tiga orang terbunuh manakala tujuh lagi cedera akibat ditembak dan ditikam dalam beberapa pertempuran antara penyokong dan penentang Morsi," kata seorang pegawai hospital di Mansura, Adel Said.

Beberapa pegawai semalam mengesahkan bahawa tiga orang yang terbunuh itu adalah wanita.

Mereka memberitahu, angka kecederaan di Mansura pula sebanyak 34 orang.

Protes oleh puluhan ribu penyokong Morsi yang bermula kelmarin dan dinamakan "Mematahkan Rampasan Kuasa" berlaku tiga hari selepas pemangku Presiden Adly Mansour menubuhkan Kabinet baharu Mesir.

Bagaimanapun, Kabinet tersebut ditolak oleh penyokong Morsi.

Kebanyakan penyokong pemimpin itu terdiri daripada anggota pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin.

Kelmarin turut menyaksikan beribu-ribu penentang Morsi turut membanjiri Dataran Tahrir di sini.

Sehingga kini, Morsi masih ditahan oleh tentera Mesir dengan pihak berkuasa turut menangkap beberapa pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin dan membekukan aset mereka.

Setakat ini, protes pro-Morsi telah meragut lebih 100 nyawa dengan 53 orang terbunuh di luar ibu pejabat Pengawal Republikan di sini pada 8 Julai lalu. -AFP

Saturday, July 13, 2013

Tragedi Penghinaan Sistem Demokrasi Di Mesir

Tragedi Penghinaan Sistem Demokrasi Di Mesir

Ketibaan bulan Ramadan yang sepatutnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran bertukar tragedi berdarah di Mesir apabila sekumpulan penyokong Presiden Dr. Mohammed Morsi yang digulingkan daripada jawatannya terkorban.


Seramai 51 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang dikatakan cuba menceroboh Kompleks Pengawal Republikan, lokasi Morsi ditahan pada awal pagi 8 Julai lalu.

Lebih menyedihkan 35 daripada jumlah mangsa yang terbunuh ketika itu sedang menunaikan solat Subuh berjemaah di satu kawasan terbuka berdekatan Masjid Rabiatul Adawiyah yang menjadi tempat perhimpunan para penyokong Morsi.

Selain itu, lebih 400 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran antara peserta demonstrasi jalanan dan pihak tentera sekali gus menjadikan krisis pergolakan di Mesir semakin membimbangkan.

Kejadian itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat para penyokong untuk terus menegakkan keadilan terhadap Morsi yang dipilih secara sah melalui pilihan raya presiden pada Jun 2012.

Mereka bertegas untuk terus mengadakan demonstrasi di jalanan sehingga Morsi yang kini ditahan oleh pihak tentera dikembalikan semula jawatannya sebagai Presiden.

Sebagai Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi, Morsi telah dikritik sebagai diktator dan tidak berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin negara tersebut. Namun, di mata penyokongnya, beliau dianggap sebagai seorang wira.

"Saya sanggup menempuh perjalanan sejauh 600 kilometer semata-mata untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Beliau adalah presiden yang telah diundi secara sah," ujar Essam al-Hawany, seorang guru sekolah tinggi yang menyertai demonstrasi tersebut.

Tambah Essam, pihak tentera telah melakukan penghinaan terhadap demokrasi di Mesir. Justeru, dia tidak akan gentar untuk terus memperjuangkan keadilan buat Morsi.

"Biarlah darah kami tumpah kerana kami sanggup mati dalam perjuangan menentang kebatilan. Jika tidak, kami tidak akan datang ke sini," tegasnya.

Sementara itu, jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad melalui laman sosial Twitter, menggesa rakyat Mesir yang patriotik dan berani agar keluar beramai-ramai untuk mempertahankan negara daripada pengkhianat konspirasi rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Demonstrasi jalanan

"Setiap wilayah akan mengadakan majlis pengkebumian dan demonstrasi. Kami tidak akan mengalah," ujarnya.

Apa yang pasti, pergolakan terus berlaku di Mesir bermula pada 30 Jun lalu iaitu antara puak yang menyokong dan menolak kepimpinan Morsi. Ia menyaksikan beberapa buah bandar utama menjadi lokasi perhimpunan penganjuran demonstrasi jalanan untuk meluahkan pendapat masing-masing.

Bagi ribuan penyokong Morsi, mereka berhimpun di Rabiatul Adawiyah, Nasr City manakala Dataran Tahrir di Kaherah menjadi tempat perhimpunan rakyat yang menolak kepimpinan Morsi.

Menurut pemerhati politik tanah air, Dr. Maszlee Malik, penggulingan Morsi merupakan satu pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat Mesir pascarevolusi 25 Januari 2011 yang telah menjatuhkan diktator Hosni Mubarak.

"Apa yang jelas, pihak tentera telah mencabuli demokrasi serta menghina keluhuran undang-undang di bumi Mesir. Keadaan ini boleh dianggap satu tindakan melangkah semula ke belakang iaitu ke tahun 1952.

"Ketika itu, Mesir telah diperintah oleh pihak tentera akibat rampasan kuasa sambil membelakangkan pilihan rakyat melalui kerangka demokrasi. Malangnya, apabila perkara sebegini berlaku, negara-negara Barat yang selama ini melaungkan dan memperjuangkan demokrasi terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) bersikap hipokrit.

"Mereka yang sepatutnya mengecam dan tidak mengiktiraf rampasan kuasa itu, sebaliknya hanya mendiamkan diri dan cuba menyalahkan Morsi," jelas Maszlee sambil memuji sikap Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani mengutuk rampasan kuasa tersebut.

Tambah beliau, apa yang merisaukan adalah mengenai masa depan rakyat Gaza di Palestin memandangkan pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dan Gaza serta antara Gaza dengan dunia luar telah ditutup sejak tentera mengambil alih pemerintahan Mesir.

Mengakui Morsi mempunyai kelemahan terutama dalam aspek memulihkan keselamatan dan ekonomi negara, namun ia bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan sewenang-wenangnya.

"Morsi bekerja dalam keadaan kedua tangannya 'digari'. Saki-baki rejim telah menyukarkan pentadbiran beliau yang baru berusia setahun. Beliau juga tidak mendapat kerjasama daripada pihak keselamatan dan media yang sentiasa memfitnahnya.

"Malah, pihak yang memonopoli perniagaan dan bekalan bahan api sengaja melakukan sabotaj terhadap rakyat. Tetapi, dalam keadaan serba terikat itu, Morsi masih dapat melakukan banyak perubahan walaupun tidak secara menyeluruh. Jadi, mengapa menghukum beliau terlalu awal?

"Hakikatnya, tiada presiden yang mampu mengubah sebuah negara pascarevolusi dalam tempoh sekelip mata," ungkap beliau yang merupakan Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selain itu, Maszlee juga berharap rakyat Malaysia dapat mengambil iktibar berhubung isu yang berlaku di Mesir. Ujarnya, sistem demokrasi yang bertujuan menjadi mekanisme untuk menguruskan perbezaan pandangan dan perbezaan ideologi politik perlu dihormati.

"Demokrasi bukan semata-mata keputusan rakyat yang menentukan kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya, bahkan lebih daripada itu.

"Mekanisme untuk semak dan imbang melalui kebebasan media, kebebasan bersuara serta ruang-ruang untuk rakyat melalui masyarakat sivil berpartisipasi dalam proses politik juga adalah sebahagian daripada demokrasi," kata Ma szlee.

Rakyat Malaysia perlu berusaha mempertingkatkan tahap pemikiran dan pendidikan mereka.

Pilihan raya

"Kadar keciciran pelajaran dan buta huruf dalam kalangan rakyat Mesir merupakan antara penyumbang kepada tidak stabilnya negara berkenaan," tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Mesir sementara, Adly Mansour berikrar akan mengadakan pilihan raya menjelang awal tahun hadapan sebagai respons terhadap situasi di negara itu.

Mansour telah mengeluarkan dekri yang menetapkan jadual untuk satu referendum terhadap perlembagaan yang telah digubal, sebelum pilihan raya presiden dilaksanakan.

Keseluruhan proses tersebut dikatakan tidak akan mengambil masa melebihi 210 hari. Menurut dekri itu, satu panel yang mewakili parti politik, agama dan perkhidmatan keselamatan akan bersetuju dengan penggubalan akhir perlembagaan dan menjadikan ia sebagai satu referendum dalam tempoh lima bulan.

Di samping itu, Mansour turut menamakan mantan Menteri Kewangan, Hazem el-Bablawi sebagai Perdana Menteri sementara dan melantik bekas Ketua Agensi Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamed El-Baradei sebagai timbalan presiden yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal luar negara.

Apa yang pasti, di sebalik kekacauan yang berlaku, para penyokong Morsi tidak melepaskan peluang menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan di Dataran Rabiatul Adawiyah.

Foto yang memaparkan ribuan umat Islam pro-Morsi menunaikan solat tarawih dan solat tahajud pada malam pertama Ramadan itu telah dimuat naik oleh laman sosial Facebook Mesir Kini.

BACA INI JUGA: Siapa Dalang Di Sebalik Tunjuk Perasaan Di Seluruh Dunia Islam?

[Sumber]

Negara Arab Paling Gembira Dengan Penggulingan Demokrasi Di Mesir!

Negara Arab Paling Gembira Dengan Penggulingan Demokrasi Di Mesir!

Sikap beberapa buah negara Arab terhadap pemerintahan Dr Muhammad Mursi di Mesir mencurigakan. Kenapa mereka bersikap demikian?


Sama-samalah kita perhatikan tindak tanduk mereka selepas kejatuhan Muirsi, ketika kejatuhannya dan semasa pemerintahannya.

Berita terbaharu mengatakan bahawa Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Imarat telah bersetuju memberi bantuan kepada Kerajaan Baru Mesir masing-masing sebanyak 5 dan 3 bilion dolar. Di mana mereka selama ini ketika Kerajaan Presiden Muhammad Mursi berhempas pulas untuk mengatasi kegawatan ekonomi Mesir dan mendapat tekanan dalam perundingan dengan Bank Dunia dan IMF?

Ketika itu hanya Qatar yang bersedia membantu dengan menyuntik pelaburan dan memberi bantuan kepada  Mesir. Tetapi semua ini tidaklah menghairankan.

Sebaik sahaja Mursi digulingkan oleh tentera dan sebelum Presiden Sementara, Adli Mansur, mengangkat sumpah, Raja Arab Saudi telah mengutuskan ucapan tahniah kepada beliau.

Menteri Luar Imarat pula terus terang menyatakan kegembiraan yang tidak terhingga dengan kejatuhan Presiden Mursi. Inilah wajah-wajah kepimpinan kononnya negara Islam yang tidak tahu malu.

Mereka sebenarnya bimbang dengan kemunculan sebuah pemerintahan berlandaskan Islam yang sederhana melalui proses demokrasi yang berlawanan sama sekali dengan sistem pemerintahan mereka yang beraja mutlak dan kolot.

Mereka bimbang kalau-kalau rakyat mereka akan terpengaruh dengan angin perubahan yang melanda Mesir dan negara-negara Afrika Utara dan bangkit menuntut perubahan yang sama dilakukan di negara-negara mereka.

Terdapat berita mengatakan bahawa negara-negara Teluk membiayai tunjuk perasaan menentang Mursi di Mesir dengan menyalurkan bantuan kewangan berjuta ringgit kepada puak-puak liberal-sekular dan siapa sahaja yang memusuhi Mursi dan pemerintahannya.

Tidaklah mustahil bahawa penunjuk-penunjuk perasaan yang menyertai gerakan "Tamarrud", "Jabhat al-Inqaz" dan seumpamanya dibayar untuk berkumpul beramai-ramai di Medan al-Tahir.

Melihat kepada bantuan yang disalurkan negara-negara tersebut kepada Kerajaan Sementara Mesir dengan sokongan Tentera serta sikap negara-negara itu menyambut kejatuhan Mursi, berita bahawa negara-negara berkenaan berperanan disebalik peristiwa yang memalukan itu ternyata ada kebenarannya.

[Sumber]

Wednesday, July 10, 2013

AS Paksa Ikhwan Muslimin Terima Penggulingan Morsi!

AS Paksa Ikhwan Muslimin Terima Penggulingan Morsi!

Amerika Syarikat (AS) meminta parti gerakan bekas pemerintah Mesir, Ikhwan Muslimin menerima penggulingan Presiden Mohammed Mursi sejak lima hari lalu.

Penyokong berhimpun mendesak tentera 
membebaskan Mursi di Dataran Rabia al-Adawiya

Media tempatan melaporkan, seorang ahli tertinggi dari parti gerakan itu berkata, diplomat AS menghubungi pemimpin-pemimpin parti itu untuk memujuk mereka menyertai semula proses politik di Mesir.

“Mereka meminta kami menghalalkan rampasan kuasa. Desakan itu seperti pukulan maut buat kami,” katanya.

Beliau berkata, AS juga cuba melobi dan meracuni fikiran pemimpin Ikhwanul Muslimin dengan menuduh, Mursi hanya ingin memonopoli kuasa dan melebarkan pengaruhnya sahaja.

Dalam perkembangan lain, kerajaan sementara Mesir masih buntu untuk memilih Perdana Menteri sementara selepas Parti al Nour menolak kedua-dua calon dipilih oleh tentera untuk mengisi jawatan tersebut.

Pentadbiran sementara dibentuk tentera untuk membawa negara itu ke pilihan raya awal, mencalonkan peguam Demokratik Sosial; Ziad Bahaa el-Din dan ahli politik liberal; Mohamed ElBaradei.

Namun, kedua-dua calon itu ditolak dan mereka enggan menandatangani pelan tindakan tentera untuk peralihan kuasa.

Mereka juga menarik diri untuk mengadakan rundingan lanjut sebagai tindak balas terhadap tindakan tentera menembak mati puluhan penunjuk perasaan di Ibu Pejabat Pengawal Republikan.

Jurucakap Parti al Nour Nadder Bakkar berkata, semua rundingan ditarik serta merta selepas lebih 35 maut dan ratusan yang lain cedera di luar bangunan berkenaan, kelmarin.

“Ketua tentera Abdel Fattah al-Sisi kini bertanggungjawab terhadap semua kekecohan dan kematian ini.

Sementara itu, Ikhwanul Muslimin melaporkan, sekurang-kurangnya 50 penyokong terbunuh selepas tentera menggunakan senjata api dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Mursi.

“Jumlah anggota keselamatan bertambah dua kali ganda dari kelmarin. Mereka menyasarkan tembakan terhadap penyokong,” katanya dipetik PressTV

Saksi berkata, beliau melihat ramai orang ditembak askar dan polis selepas beberapa das tembakan dilepaskan ke udara di bandar Nasr, timur Kaherah.

Dataran Rabia al-Adawiya dan Dataran Al-Nahda berhampiran Universiti Kaherah kini menjadi lokasi perhimpunan penyokong Mursi bagi mendesak pemimpin itu dibebaskan kerana sehingga kini ‘kehilangan’ Mursi terus cetus
tanda tanya selepas ditahan unit komando sejak Khamis lalu.

Mereka juga menyekat jalan utama menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Bagi kumpulan anti Morsi mereka berkumpul di Dataran Tahrir, sekitar Istana Ittihadiya dan Iskandariah serta bandar-bandar utama yang lain di seluruh Mesir.

-Bharian