Friday, August 10, 2018

Gay Itu Aneh

Gay Itu Aneh

Seorang anak buah saya, warga Amerika, umurnya 12 tahun. Dia bercuti sebulan setengah, pulang ke Malaysia. Dia pulang ke Malaysia ketika ada cerita panas tentang LBGT. Dia tak tahu itu. Dia tidak membaca berita tentang negara ini. Baginya, bagi abang dan kakaknya yang berbeza empat dan tiga tahun lebih tua, “family first”: keluargalah yang perlu diutamakan.

Gay Itu Aneh
Gambar hiasan.

Selepas keluarga, barulah negara mereka, Amerika Syarikat. “Family first” adalah “nilai Amerika” yang ketiga-tiganya belajar di sekolah.

Dan memang sistem pendidikan AS—bagi sesetengah orang mengecamnya sebagai ‘sistem Barat’ atau ‘kafir’ itu—mengajarkan bahawa keluarga adalah perkara utama waima dalam hidup bernegara.

Dalam kata lain, negara pun tidak boleh menandingi keluarga. Apatah lagi hal-hal lain. Begitulah asas patriotisme Amerika dibentuk. Seolah-olah keluarga adalah negara, negara adalah keluarga.

Umurnya 12 tahun seperti yang saya tuliskan tadi. Sehinggalah dalam satu perbualan kami, dia memberi komen tentang maksud “gay”. Katanya, gay mempunyai dua makna dalam perbendaharaan kata bahasa Inggeris.

Makna pertama adalah makna yang dikecam ramai orang. Gay, jelasnya, bermaksud seseorang lelaki yang suka kepada pasangan sejenis. Sementara maksud kedua, jelasnya lagi, “gembira” (“happy”).

Maksud kedua itu adalah pengertian yang lebih lama dipakai bagi tamadun manusia. Bukan pengertian pertama. Dan dia pun memberikan contoh ayat, “Hey Uncle Hasmi, I am so gay for you!”

Terjemahan dalam bahasa Melayu, “Hei Pakcik Hasmi, saya gembira untuk anda!”

Di waktu lain, anak buah saya itu ngobrol dengan kakaknya. Dia merasa aneh dengan lelaki yang menyukai kaum sejenis. Jawab sang kakak, “jangan tindas dan bersikap berat sebelah terhadap mereka.”

Jawab sang adik, “ya, tetapi tetap aneh!”

Di dalam masyarakat yang terbuka seperti Amerika Syarikat itu pun, menyukai kaum sejenis tetap dilihat aneh.

Aneh bukan kerana sesiapa yang menyebut atau mengajarkannya sebagai aneh, tetapi daripada rasa awalnya sendiri sudah pun begitu. Perasaan awal itulah barangkali yang disebut dalam Islam sebagai “fitrah”.

Tetapi Amerika tidak memakai hujah agama bagi berhadapan dengan individu LBGT. Terutama begitu rencam dan banyaknya agama di sana.

LBGT pun ‘mati’

Kalau dipakai hujah Islam, maka tidak sampai ke hati penganut agama lain. Begitulah kalau diguna pun hujah dari Kristian, misalnya, juga terhad kepada penganut Kristian sahaja.

Oleh itu, bagi pemerintah Amerika Syarikat, apa yang mustahak perlu diajarkan di sekolah ialah keluargalah yang pertama: family first.

Mencintai keluarga dan darah daging sendiri. Sementara mana-mana kelompok LBGT, mustahil mereka dapat melahirkan zuriat sebagai unit asas yang membentuk sistem kekeluargaan.

LBGT pun ‘mati’. Mati tanpa dibunuh.

Anak-anak saudara saya itu, dalam hatinya pun tahu, tanpa keluarga, ibu-ayah atau datuk-neneknya, maka mereka takkan lahir di dunia ini.

Bagaimanakah sistem ibu-ayah, datuk-nenek, lelaki-perempuan boleh menjadi pilihan kedua atau serata dengan sistem sejenis manusia?

Tanpa ‘dihasut’ atau didakwah lebih lanjut pun, mereka yang sedang menjalani proses remaja tidak akan sanggup menjadi mana-mana kelompok dalam kategori LBGT.

Namun, sekali lagi tidak pula sampai mahu memalukan, menindas atau memukul golongan itu.

Di sini, kita harus bergembira atau dalam bahasa Inggerisnya, “gay” terhadap menteri agama, Dr Mujahid Yusuf Rawa yang hampir jelas jalan pemikirannya dengan anak-anak saudara saya.

Maksud saya, dengan sistem pendidikan di Amerika yang maju, yang perlu kembali mengajarkan anak-anak kita bahawa keluarga adalah yang terpentingnya dalam sistem sosial.

Sejauh mana pun atuk-nenek mereka dan walaupun berbeza warganegara, mereka pasti akan pulang. Menjejak manusia yang kerananya mereka ada di muka dunia.

Menafikan kenyataan ini adalah kebiadapan. Bukan kepada negara—Malaysia atau Amerika—tetapi kepada diri mereka sendiri.

Selepas habis berbual, kami perlu berlalu. Dia membuka pintu kereta kepada saya, sambil katanya, “Uncle Hasmi, ladies first!”

Begitulah dia berjenaka. Terbahak saya ketawa.

***
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Wednesday, July 18, 2018

Rakyat Atau Raja, Siapa Yang Lebih Berkuasa?

Rakyat Atau Raja, Siapa Yang Lebih Berkuasa?

Tiada rakyat maka tiada Raja, inilah keadaan yang sebenarnya dan jika kita kembali kepada sejarah, ia jelas menampakkan bahawa rakyatlah di suatu masa dahulu yang memilih siapa di kalangan mereka untuk diangkat sebagai Ketua yang kemudiannya ditukar gelaran sebagai Raja atau Sultan.

Rakyat Atau Raja, Siapa Yang Lebih Berkuasa?

Apabila tiada persefahaman, maka jalan terbaik ialah menjemput mereka sama ada dari Sumatra (Minangkabau) mahu pun dari Kepulauan Sulawesi atau lebih tepat orang Bugis sebagai Ketua atau Raja mereka.

Raja atau Sultan Negeri Sembilan berasal dari Pagar Ruyong, Sumatra, sementara Sultan Selangor dan Johor pula berasal dari keturunan Bugis, di Sulawesi, Indonesia.

Ibu Sultan Perak berasal dari keturunan rakyat biasa Pulau Pinang sementara ibu Sultan Ibrahim Johor pula adalah seorang rakyat biasa keturunan Inggeris dari England, beliau baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini.

Raja Muda Selangor pula adalah kacukan Bugis dan rakyat biasa dari Amerika Syarikat.

Keturunan apa pun mereka ini, yang sahih mereka telah diberi peluang diangkat sebagai Raja atau Sultan oleh rakyat.

Hanya ADAT sahaja yang mengizinkan keturunan mereka dari asal ke cucu cicit untuk terus mewarisi tempat tersebut tanpa disoal oleh rakyat kini.

Istilah Raja berasal dari perkataan Sanskrit, India, yang bermaksud Rajan atau Ketua Puak. Sultan pula merupakan istilah Bahasa Arab yang berasal daripada perkataan ‘Salatha’ yang bererti yang berkuasa.

Sejak Merdeka, keadaan mula berubah. Raja atau Sultan TIDAK lagi bertindak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. ‘Sekali air bah, sekali pantai berubah’.

Mengikut hikayat lama, Laksamana Bentan, Megat Sri Rama telah melafazkan kata–kata yang sehingga kini masih bermain di kepala sebahagian rakyat iaitu ‘Raja Adil Raja DiSembah, Raja Zalim Raja DiSanggah’.

Kezaliman Sultan membunuh Dang Anum, isteri Laksamana Bentan itu berakhir dengan apa yang dikenang sehingga sekarang sebagai – ‘Sultan Mahmud Mangkat Di Julang’.

Peristiwa tersebut mengingatkan kita khasnya Sultan bahawa mereka tidak boleh bertindak sesuka hati.

Rakyat Atau Raja, Siapa Yang Lebih Berkuasa?

Menjelang PRU 14 yang berlangsung pada 9hb Mei 2018 yang baru lepas, beberapa orang Sultan telah bertindak diluar batasan.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menarik Darjah DK daripada Tun Mahathir. Darjah ini dianugerahkan kepada Tun oleh ayahanda beliau, Sultan Ismail Petra.

Sebelum arahan diberi atau dikeluarkan, Tun Mahathir sendiri telah memulangkan pingat yang sama taraf kepada Sultan Selangor.

Di Johor pula Sultan Ibrahim dan anaknya Tunku Ismail bersungguh–sungguh berkempen bagi mengalahkan Tun Mahathir dan parti beliau dengan alasan- alasan yang tak masuk akal.

Sultan harus menerima hakikat bahawa usaha mereka telah ditolak oleh majoriti rakyat, justeru ia dengan sendiri membawa makna bahawa rakyat lebih cerdik dari mereka.

Rakyat berasa lega apabila Pakatan Harapan yang diberi amanah memerintah telah melaksanakan beberapa perubahan atau reform apabila beberapa agensi seperti SPRM, SPR dan lain-lain yang selama ini berada dibawah kawalan Pejabat Perdana Menteri (PMO) diletakkan terus dibawah kawalan Parlimen.

Banyak lagi Akta yang akan dimansuhkan dalam masa terdekat ini.

Bagi menguatkan lagi Institusi Raja Berperlembagaan dan dalam masa yang sama bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham antara Raja dan Rakyat, maka perkara berikut adalah dicadangkan:-

1. Setiap tahun semasa Pembentangan Belanjawan sama ada di peringkat Parlimen (Agong) dan Negeri (Sultan), segala kos perkhidmatan, perbelanjaan dan penyelenggaraan mereka dan keluarga MESTI dibentang bagi mendapat kelulusan. Ini kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah hasil titik peluh rakyat, maka rakyat berhak diberitahu ke mana wang mereka dibelanjakan.

2. Parlimen MESTI meluluskan garis panduan yang jelas berkenaan perkara–perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh mereka, sebagai contoh jumlah kereta yang dikecualikan dari sebarang cukai, tidak boleh berniaga dan menggunakan pengaruh untuk sebarang projek, tidak boleh ‘menjual’ sebarang Darjah Kebesaran, tidak boleh mencampuri hal ehwal politik sama ada secara tersurat dan tersirat. Begitu juga tidak boleh terlibat dalam urusan pentadbiran seperti hal ehwal tanah dan pembangunan seperti yang dilakukan di Johor. Kuasa ini MESTI dibatalkan serta merta.

Cadangan diatas adalah amalan biasa yang dilaksanakan di England dan di beberapa negara yang mempunyai Raja di Eropah.

Semoga ‘Reformasi’ ini berani dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.

Tindakan ini tidak sekali–kali menjejaskan kedudukan Sultan, malah ia akan memastikan mereka terus hidup di istana yang disumbangkan oleh rakyat jelata tanpa perlu menitiskan walau setitik peluh pun.

Sila kongsi bersama pandangan saya ini.

Penulis
Tamrin Tun Ghafar Baba

BACA INI JUGA:

sumber: malaysia-today

Tuesday, May 08, 2018

Memilih Pemimpin Politik Tidak Sama Seperti Memilih Imam Solat

Memilih Pemimpin Politik Tidak Sama Seperti Memilih Imam Solat

Memilih pemimpin negara atau negeri tidak sama seperti memilih imam solat, walaupun kedua-dua kedudukan itu untuk diikuti oleh makmun ataupun rakyat di belakang mereka, tapi siyasah ataupun urustadbir negara tidak seperti solat.

Memilih Pemimpin Politik Tidak Sama Seperti Memilih Imam Solat
Gambar hiasan.

Imam solat diukur kelayakan di sudut bacaan dan pengetahuan mengenai solat.

Hukum-hakam solat pula kebanyakannya sudah tetap dan tidak memerlukan kesungguhan untuk berfikir menangani kerumitan.

Ia satu ilmu yang sangat terbatas.

Sementara pemimpin dalam urustadbir negara memerlukan kemampuan di sudut siyasah dan ketangkasan dalam menguruskan situasi rakyat.

Ia memerlukan keupayaan berinteraksi dengan suasana semasa dalam dan luar negara.

Dalam Islam, bab politik hanya diberikan garis panduan umum sahaja, di mana kebanyakan urusan politik diserahkan kepada ijtihad manusia berdasarkan situasi yang mereka hadapi.

Nas-nas agama tidak begitu mengikat manusia dalam politik sedangkan nas-nas itu begitu mengikat muslim dalam hukum-hakam solat.

Justeru itu kita melihat, sahabat Nabi SAW yang sangat bagus bacaan al-Quran ialah Ubai bin Ka'ab tidak dilantik dalam urustadbir politik.

Kelebihan beliau di sudut bacaan al-Quran diakui dan dipuji oleh Nabi SAW sendiri.

Namun, beliau tidak dicadangkan menjadi khalifah ataupun pemerintah ataupun gabenor.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab beliau dilantik menjadi imam untuk mengepalai solat tarawikh.

Umar sangat menghormati keilmuan dan pegangan agamanya.

Dalam Tabaqat Ibn Saad, ada riwayat yang Ubai bin Ka'ab pernah bertanya Umar, "Mengapa engkau tidak melantikku (sebagai anggota pentadbiran)."

Jawab Umar, "Aku tidak suka dicemari agamamu."

Ini kerana, pengurusan politik mempunyai seni dan bidangnya yang tersendiri, bukan semua orang mampu mengharunginya.

Inilah juga yang Nabi SAW jawab kepada sahabat yang dikasihi baginda Abu Zar, apabila beliau meminta jawatan politik daripada Nabi SAW.

Jawapan baginda kepadanya, "Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim).

Abu Zar bukan lemah iman, tapi lemah dalam kemampuan politik.

Justeru itu Nabi SAW menyatakan ia nanti satu kerugian di akhirat disebabkan kegagalan memikul tanggungjawab politik sekalipun baik di sudut amalan peribadi.

Dalam bahasa tempatan kita, bukan semua yang bergelar ustaz tahu berpolitik.

Bahkan dalam Sirah, Rasulullah SAW melantik muka-muka baru yang mungkin ‘tidak terkenal dengan warak’ tetapi tangkas dan memenuhi sasaran kepimpinan.

Ini seperti melantik ‘Amr bin al-As menjadi gabenor Oman walaupun beliau masih baru menganut Islam dibandingkan sahabat-sahabat yang lain.

Bahkan Nabi SAW mengiktiraf mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tertonjol semasa zaman jahiliah.

Apabila mereka menganut Islam dan dapat memahami Islam dengan baik, maka mereka yang terpilih semasa zaman jahiliah akan terpilih juga semasa Islam.

Senioriti dalam menganut agama bukan penentu kepada kepimpinan. Ini disebut dalam hadis Nabi SAW, "Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, pandangan sesetengah pihak supaya pilih calon pilihanraya orang yang kelihatan kuat atau ada pengetahuan agama TANPA menilai kemampuan individu itu dalam urustadbir politik merupakan satu kesilapan yang menyanggah petunjuk Nabi SAW dan para sahabat baginda.

Namun, jika ada tokoh yang kuat beragama dan tangkas dalam urustadbir politik maka pasti itulah yang terbaik.

Inilah sebabnya Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali dipilih. Bukan kerana sekadar kuat beribadah, tetapi kukuh pengetahuan agama dan tangkas dalam bidang politik.

Namun, jika sekadar imam dan ustaz semata terus kita lantik tanpa menilai kemampuan urustadbir yang baik (good governance) maka itu merupakan satu kesilapan di sudut agama dan juga kebijaksanaan hidup.

Maka kenyataan sesetengah pihak yang menyamakan pilihan imam solat dengan pilihan calon pilihanraya merupakan satu kesilapan.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Perlis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: shahbudindotcom

Friday, May 04, 2018

Sejarah Bagaimana Bidaah Menghancurkan Umat Islam

Sejarah Bagaimana Bidaah Menghancurkan Umat Islam

Dalam kitab Hadis 40 Imam Nawawi, Nabi SAW memberi amaran tentang bahaya bidaah, amaran yang diberi dalam konteks Nabi suruh 'gigit' Sunnahnya dan Sunnah Khulafa Rashidun dengan gigi geraham, tetapi tahukah anda ‘tragic ending’ sejarah Khulafa Rashidun?

Sejarah Bagaimana Bidaah Menghancurkan Umat Islam

Untuk kenal bahaya bidaah, kita kena tanya apakah yang menjatuhkan kegemilangan Khulafa Rashidun.

Dalam masa 13 tahun sahaja sejak Saidina Abu Bakar menjadi Khalifah yang pertama, Khulafa Rashidun berjaya menakluk dunia Timur dan Barat.

Seluruh empayar Parsi dan kota-kota besar empayar Rom seperti Mesir dan Palestin jatuh ke tangan Khulafa Rashidun!

Bukan sekadar menguasai darat, Khulafa Rashidun di bawah Saidina Uthman juga berjaya menguasai laut.

Orang Arab memang tak terfikir bahawa mereka akan menewaskan tentera Rom di laut.

Orang Arab selama ini hanya berperang di darat. Tak pernah di laut.

Bagaimana mungkin tewaskan tentera laut Rom yang begitu berpengalaman? Unsangkarable!

Nampaknya tiada kuasa dunia bukan Muslim yang mampu bersaing dengan kewibawaan Khulafa Rashidun yang hanya sekelip mata menjadi Kuasa Dunia Nombor Satu.

Order Baru Dunia adalah di bawah genggaman Khulafa Rashidun.

Tetapi, Khulafa Rashidun berakhir dengan tragis bila Saidina Uthman dipancung kepala dan Saidina Ali ditikam mati.

Yang lebih tragis ialah umat Muslim saling bunuh-membunuh.

Punca kepada perpecahan umat Islam ketika itu bukan kerana cabaran Kristianisasi, liberalisme atau LGBT.

Umat Muslim pada zaman Nabi SAW dan Khulafa Rashidun sudah biasa menewaskan musuh yang jumlahnya dua, tiga, empat kali ganda lebih daripada mujahidin.

Bukan musuh Islam yang menghancurkan Khulafa Rashidun tapi musuh dalaman yang menyebarkan bidaah.

Apakah itu bidaah?

Kebanyakan agamawan melihat isu bidaah dari segi ibadah. Kita pula melihat bidaah dari segi politik kerana hadis Nabi SAW mengaitkan bidaah dengan Sunnah Khulafa Rashidun.

Konsep khulafa di sini jelas mengaitkan bidaah dengan politik.

Pembunuhan Saidina Uthman adalah konspirasi politik yang difitnah mengamalkan kronisme melantik saudara-maranya menjawat jawatan tinggi dalam pemerintahannya.

Khilafah Uthman juga difitnah tidak berlaku adil dalam polisi tanah di Iraq.

Kedua-dua dakwaan ini menguatkan semangat ‘jihad’ membunuh Saidina Uthman yang kononnya khalifah yang menzalimi rakyat.

Akhirnya, golongan ‘mujahidin’ ini menceroboh masuk ke rumah Saidina Uthman dan memancung kepalanya.

Saidina Uthman langsung tidak menyediakan tentera untuk berperang dengan pemberontak-pemberontak Muslimin ini.

Inilah pengorbanan demokrasi yang paling bersejarah.

Saidina Uthman begitu menghormati suara rakyat sehingga mengorbankan nyawa dirinya.

Biar seorang pemimpin mati daripada ribuan rakyat yang menderita akibat perang saudara.

Inilah logik demokrasi Saidina Uthman.

Apakah ada pemimpin Muslim yang berkuasa sanggup menggigit sunnah mengorbankan diri demi maslahat rakyat?

Bidaahnya ialah perang saudara.

Bidaahnya ialah bila pemimpin lebih mengutamakan dirinya atas maslahat rakyat.

Bidaahnya ialah bila rakyat sudah buta kemanusiaan sampai sanggup memancung kepala seorang tua berumur 80-an.

Bila Uthman telah dibunuh, musuh-musuh dalaman beralih kepada strategi menggunakan nama agama untuk membunuh Saidina Ali.

Tokoh-tokoh agamawan mengkafirkan Saidina Ali dengan menuduh beliau tidak melaksanakan hukuman hudud ke atas pembunuh-pembunuh Uthman.

Agamawan ini melaungkan slogan "Tiada Hukum Kecuali Hukum ALLAH".

Akhirnya mereka bertakbir atas pembunuhan Saidina Ali.

Bidaahnya ialah taksub kepada tokoh agamawan mereka sampai mereka menganggap jemaah mereka adalah Islam dan Islam adalah jemaah mereka.

Barang siapa menentang mereka bererti menentang Islam, lalu menjadi kafir.

Liberalisme, Kristianisasi, LGBT adalah jelas cabaran asing.

Tapi cabaran yang lebih besar ialah bidaah politik dalam kalangan pemimpin dan agamawan kerana ancaman ini tersembunyi, kabur dan nampak seolah-olah ‘Islamik’.

Duri dalam selimut jauh lebih bahaya.

Lebih bahaya lagi bila duri dibalut dengan janji syurga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Sunday, April 15, 2018

Politik Adalah Untuk Memilih Parti Yang Paling 'Kurang Najisnya'

Politik Adalah Untuk Memilih Parti Yang Paling 'Kurang Najisnya'

Dalam persaingan politik kepartian yang sedang kita saksikan sekarang di Malaysia, sebenarnya bukanlah percaturan untuk memilih dan mengundi antara parti yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Politik di malaysia

Sebaliknya, kita diberi ruang untuk memilih parti politik yang paling kurang mudarat di antara yang sangat mudarat. Itulah realiti yang ada.

Jika kita cuba 'beriman' dengan segala dakwaan dan janji mereka, maka itu sebenarnya satu kesilapan yang besar.

Cumanya, kita sedang mencari antara yang kurang temberang dalam kalangan yang temberang.

Sesiapa yang bersemangat mempercayai sepenuhnya apa yang dibawa mana-mana parti, maka dia akan kecewa.

Apa yang sedang kita saksikan dari ahli politik yang berserban sehingga yang ke kelab malam, berbohong itu seakan rukun mereka dalam berpolitik.

Tuntutan agama ialah kita hendaklah berpegang dan berdiri atas prinsip, sementara orang politik bicara mereka berubah berdasarkan musim undian dan kuasa yang ingin diperolehi.

Semalam mereka halalkan, hari ini mereka haramkan.

Semalam mereka nerakakan , hari ini mereka beri lebel syurga.

Semalam mereka bantah, hari ini mereka sokong.

Bukan sahaja berita media mereka putar, nas-nas agama juga mereka pusing mengikut kehendak semasa mereka.

Justeru, apa yang kita perlu lakukan ialah memilih yang paling kurang bahaya iaitu yang lebih dekat untuk mencapai urustadbir negara yang lebih cekap dan telus.

Memang, sepatutnya kita mencari yang paling cemerlang dalam kalangan yang terbilang untuk diberikan tanggungjawab pentadbiran negara.

Malangnya, yang tinggal kini ialah kita terpaksa mencari siapakah yang dijangka kurang merosakkan urustadbir negara jika diberikan kuasa.

Parti-parti yang kita lihat bergegar dengan pelbagai slogan dan manifesto itu, jika kita selami dalaman mereka, kesemuanya sarat dengan pelbagai ketidaktelusan dan kerakusan terhadap kuasa.

Individu-individu yang memimpin setiap parti itu mempunyai pelbagai kehendak dan kepentingan diri.

Walaupun kita tidak menafikan di sana ramai juga yang ikhlas dalam pelbagai parti yang ada namun, mereka itu 'ghuraba' (orang asing) dalam lautan cita-cita politik yang sering kali mempunyai 'kehendak peribadi' yang dihiasi dengan ungkapan 'demi kepentingan rakyat'.

Kepada Allah kita mengadu.

Semoga Allah pelihara kita dari ketaksuban yang bodoh.

Semoga Allah mengurniakan kita mata nurani yang dapat membuat pemilihan yang betul.

Kita kena memilih yang paling cekap dan amanah.

Jika tiada, yang mendekati kecekapan dan yang lebih dekat kepada amanah.

Jika tiada, yang paling kurang korupsi dan paling kurang dangkal dalam urustadbir.

Namun, dalam masa yang sama, kita tidak akan mempercayai segala slogan mereka dengan sepenuh hati.

Kita tahu di musim ini, bukan sahaja harta dunia mereka janjikan, syurga dan neraka pun mereka beri jaminan seperti mana mereka menjamin geran tanah di dunia!

Pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat.

Jadilah insan yang berprinsip dan dapat membezakan apa yang kita lihat di pentas kehidupan ini.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA)
Mufti Perlis

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 'Wang Nadi Politik Yang Menjengkelkan'

sumber: fb/DrMAZA

Sunday, March 11, 2018

Bom Atom Senjata Utama Perang Dunia Ke 3

Bom Atom Senjata Utama Perang Dunia Ke 3

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bercakap di sana sini akhir-akhir ini bahawa ia akan menghapuskan Iran jika negara Islam itu dibiarkan terus mengembangkan tenaga atomnya.

Bom Atom Senjata Utama Perang Dunia Ke 3

Ini bererti Israel tidak mempedulikan apa yang telah dipersetujui oleh AS di bawah Presiden Obama dan beberapa buah negara besar dunia, termasuk Rusia, UK, China dan Perancis.

Walaupun tidak disebut secara tepat, maksud Benjamin Netanyahu ialah, dia hendak menggugurkan bom atom ke atas Iran sekiranya didapati peperangan biasa tidak mencukupi.

Walaupun Israel mempunyai banyak kereta kebal dan pelbagai senjata kecil besar, dengan bala tentera kononnya paling terlatih, namun dia bimbang peperangan biasa tidak menjamin kemenangan baginya.

Kemungkinan Iraq dan Turki menyertai Iran melawan Israel sentiasa wujud.

Israel berpenduduk kurang 10 juta sedangkan Iran, Iraq dan Turki mempunyai hampir 200 juta penduduk.

Jika hanya 20 juta orang merempuh masuk Israel, ia sudah cukup untuk memacetkannya. Tidak mungkin bom atom digugurkan Israel di bumi sendiri yang memungkinkan kematian sebahagian besar orangnya sendiri.

Atas dalil itulah Israel akan menggugurkan bom-bom atomnya ke atas Iran.

Sesuai diulangi, menurut Presiden Carter, presiden AS 1977-81, Israel mempunyai lebih kurang 300 buah bom atom. AS hanya buat tidak tahu bom atom Israel itu tetapi benar ada.

Hakikat ini tidak disebut oleh AS dan ia melarang sekutu-sekutu dari mengungkitnya. Tidak ada penyiasatan dilakukan terhadap Israel.

Konon sebabnya ialah Israel tidak menyertai perjanjian antarabangsa yang membataskan pemilikan bom atom. Itu pun atas anggukan AS.

Jelaslah Israel dan AS tidak mahu Iran mempunyai potensi memiliki bom atom waimma sebiji pun.

Maka dipercayai jika berlaku kemungkinan terburuk ke atasnya yang dilakukan Israel, Iran tidak ada pilihan melainkan membuat rempuhan itu.

Sekiranya Iran ada bom atom sulit yang terletak di dasar gunung, ia akan menggunakannya sebagai langkah terakhir terhadap Israel.

Ini dengan sendirinya menyeret Pakistan, jiran sempadannya yang mempunyai bom atom, demi menjaga keselamatannya.

Rusia pula yang begitu lama menjadi sahabat baik Iran tidak akan berdiam diri dari memetik suis bom atomnya, sebagai satu peluang yang ditunggu-tunggu sejak era perang dingin lagi.

Sudah tiba masanya untuk Rusia menguji lebih 1,000 bom atomnya – lebih banyak daripada pemilikan AS – yang telah mengalami kos tersangat mahal membuatnya selama berpuluh tahun.

Negara China pula pasti tidak hanya berdiam diri apabila bekas Laluan Sutera, kini dipanggil kawasan ‘Belt and Road’, yang merosakkan perdagangannya yang bernilai trilion dolar.

Ini belum dikira Korea Utara yang amat gatal tangan hendak melancarkan bom-bom atomnya ke bumi sekutu-sekutu AS di lereng lautan Pacifik, malah di kontinen AS sendiri.

Dalam buku sejarah, banyak diceritakan tentang pelbagai peperangan entah di mana di alam Melayu, apabila berlalu peperangan hebat yang melibatkan lembing, tombak, keris dan parang panjang, selalu saja kita mendengar ungkapan ‘berlaksa-laksa’ orang terbunuh sedangkan tempat peperangan menjadi ‘padang jarak padang tekukur’.

Kita kini tahu satu laksa ialah 10,000. Matematik orang zaman dulu tidak begitu baik tentang pengiraan jumlah, maka apabila tidak terkira lagi, ia hanya disebut beribu laksa.

Bumi yang berdarah, pokok-pokok kecil dan besar ranap dan patah, binatang dan burung yang bergelimpangan. Kini kiranya berlaku perang atom, satu pemerian seperti itu boleh dipakai.

Mungkin diungkap ‘bumi yang begitu terbakar kini hangus berdebu dan keracunan udaranya mencacatkan tubuh badan manusia, segala kehidupan dan tumbuhan’.

Bom atom yang digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima, Jepun, mematikan lebih kurang 300,000 orang. Sebutir bom sekarang berkekuatan 30 kali ganda.

Bayangkan jika Israel yang ada 300 biji menggugurkan semuanya ke atas jiran-jirannya.

Darabkan pula dengan ribu-ribu bom dalam tangan AS, Perancis, Rusia, China, India, Pakistan dan Korea Utara dan kita pasti tidak terbayang apa yang akan jadi kepada bumi Tuhan ini.

Jika hanya 10 peratus digugurkan, seluruh dunia akan hancur. Dalam sains, dunia sudah kiamat beratus-ratus juta tahun dulu apabila semua mergastua penting seperti dinosaur pupus.

Manusia menurut sains merupakan makhluk terakhir dan selepas tamadun demi tamadun, bumi dan manusia menjadi seperti sekarang.

Menurut agama, keadaan maha hodoh akan wujud sebelum dunia kiamat. Semoga Israel yang sudah mengancam Iran tidak mencetuskan kehodohan itu. Ya Rabbi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Yahudi Perancang Perang Dunia Pertama!

sumber: sinarharian

Saturday, March 10, 2018

Apabila 'Anu' Keras!

Apabila 'Anu' Keras!

Ting! "Malam Jumaat, tak boleh tunggu lama. Anu keras dah tunggu, lama sangat. Naik dululah." Mata Saleha terbeliak memandang skrin telefon genggamnya. Dia seakan tidak percaya Saadon selamba menghantar mesej sebegitu kepadanya melalui WhatsApp.

Apabila 'Anu' Keras!

Hati Saleha berbelah bahagi antara mahu mencampakkan telefon genggamnya atau membalas mesej Saadon dengan caci maki.

Mukanya terasa memanas. Bukan kerana simbahan lampu di kaki lima rumah kedai di kawasan berkenaan, atau dia berdiri di tepi unggun api.

Mukanya memerah antara marah, benci dan aib. Bagi Saleha, pada malam itu Saadon sudah bergurau melebihi hadnya. Mereka memang berkawan tetapi janganlah sampai bergurau dengan benda yang lucah.

Mengikut persepsi Saleha, Saadon kurang ajar dan mesti diajar. Maruahnya sebagai wanita perlu dihormati. Bergurau boleh, tapi jangan sampai melampau.

Adakah persepsi penting?

Mungkin ya, tapi mungkin juga tidak. Ia bergantung kepada nilaian seseorang. Dalam masyarakat yang tebal rasa malu, persepsi itu wajib dipelihara dan tiada kompromi kerana ia membabitkan nama baik.

Justeru ada menteri yang mengumumkan peletakan jawatan hanya kerana terlewat tiba di parlimen bagi menjawab soalan wakil rakyat.

Ia ditawarkan secara spontan - tetapi mengejutkan - oleh Michael Bates di United Kingdom.

Ketua Pegawai Operasi Ryanair Michael Hickey pula berundur daripada jawatannya selepas puluhan ribu penerbangan dibatalkan ekoran kesilapan susunan aturan kerja juruterbang.

Cho Hyun-ah pula mengemukakan peletakan jawatan selepas didapati bersikap angkuh kepada kakitangan syarikat penerbangan Korean Air.

Aib jadi lebih besar

Hyun-ah ialah naib presiden eksekutif Korean Air dan bapanya, Cho Yang-ho adalah pengerusi syarikat penerbangan itu.

Di Belanda Menteri Luar Halbe Zijlstra berundur dalam keaiban selepas terbukti dia menipu kononnya bertemu Vladimir Putin dan mendakwa kononnya terdengar perbualan Presiden Russia berkenaan pada 2006.

Padahal dia mendapat maklumat mengenai kata-kata Putin daripada sumber lain.

Dia gagal mempertahankan pembohongan yang dikisahkannya itu pada 2016 dan meletak jawatan pada 13 Feb lalu.

Apa yang mendorong tokoh-tokoh di atas - serta ramai lagi yang lain - meletak jawatan? Ia adalah kerana maruah diri diletakkan lebih tinggi berbanding materi.

Tanpa tindakan itu persepsi masyarakat kepada mereka - serta pertubuhan yang diwakili - pasti menjunam. Ia tidak boleh dikompromi sama sekali.

Malu yang ditanggung memang besar tetapi aib itu akan menjadi lebih besar jika mereka kekal dengan jawatan sedia ada.

Hickey, Hyun-ah dan Zijlstra tidak melafazkan kalimah beriktikad bahawa Allah adalah tuhan mereka dan Muhammad sebagai nabi.

Pada masa sama Islam yang menegaskan bahawa sifat malu itu adalah sebahagian daripada cabang iman.

Tetapi di Malaysia segalanya adalah istimewa. Persepsi tentang aib bukan sesuatu yang vital atau mesti menjadi teras dalam kehidupan. Pedulilah apa pun, kalau sekadar persepsi ia adalah banal yang tidak perlu dihiraukan.

Jadi, ada apa dengan Indeks Persepsi Rasuah yang dibentangkan saban tahun itu?

Di negara lain ia mungkin penting tetapi di tanah bertuah ini, ia sekadar pembangkit kesedaran bahawa kita tidak perlukan campur tangan asing.

Ia mungkin satu gesaan supaya bangkit satu kesedaran menyeluruh. Tidak semestinya bangun mengubah keadaan dan memperbaiki persepsi.

Kesedaran yang ada ialah untuk membina indeks persepsi sendiri. Barulah anak jantan. Nasib kita, biar kita tentukan sendiri.

Masa kini dan masa depan wajib dicorakkan oleh warganegara yang patriotik, bukan oleh ekspatriat.

Justeru idea mewujudkan indeks persepsi rasuah domestik wajar diwujudkan. Cubalah dulu dan lihat keberkesanannya.

Jika ada yang tidak berkenan di hati, boleh saja ditambah baik sehingga ia benar-benar mengikut 'acuan' yang kita suka.

Lagi pun ia sekadar persepsi, bukan realiti.

Serampang banyak mata

Persepsi rasuah di negara ini ternyata sesat lagi menyesatkan. Segalanya adalah sempurna dan baik-baik saja. Memang adalah seorang dua yang ditahan, tetapi semuanya adalah terkawal.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya boleh menjadi agensi suri teladan bukan saja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Kecekapan dan kelicikan pegawai-pegawainya dari segenap peringkat menjalankan tugas masing-masing memang mengagumkan.

Lambakan idea yang dikemukakan SPRM bagi memerangi rasuah serta salah guna kuasa begitu luar biasa. Jika seseorang mahu memahami makna sebenar amalan pemikiran kreatif serta di luar kotak, SPRM adalah contoh terbaik.

Pelbagai strategi serampang banyak mata yang dilaksanakan pegawai atasan SPRM -sama ada secara terbuka atau tertutup - ternyata begitu berkesan dan membanggakan kita semua.

Malaysia kini sudah menjadi neraka kepada pengamal rasuah. Jika berangan-angan mahu menumbuk rusuk, Malaysia bukanlah tempatnya.

Dalam keadaan begitu mana mungkin indeks persepsi rasuah negara boleh berada pada tahap seperti didakwa Transparency International?

Maka dari perspektif ini persepsi tidaklah begitu penting di negara ini. Jika ada pihak yang berpendapat sebaliknya, ia sudah pasti didorong oleh sifat dengki.

Hari Jumaat. Saadon menghampiri meja Saleha dengan senyum mekar di wajahnya. Saleha menjuihkan mulut dan berpaling sebelum berlalu pergi.

Saadon berasa hairan. Dia cuma mahu bertanya mengapa rakan sepejabatnya itu terlewat sangat datang pada malam sebelumnya. Saadon menunggu lebih dua jam sebelum naik ke rumahnya di tingkat sembilan.

Dia mahu tahu alasan Saleha. Marah, memanglah marah tapi pada hari itu rasa berkenaan sudah reda. Saadon cuma mahu tahu alasan Saleha.

Kecewa dengan sikap Saleha, Saadon berjalan semula ke mejanya sambil membelek-beleh telefon genggam. Dia mahu menghantar mesej kepada Saleha untuk bertanya.

Dia melihat mesej yang dihantar malam tadi. Dia ternganga sambil menepuk dahi.

"Allah!"

Mata Saadon berpinar-pinar. Baru dia sedar jarinya 'tersasul' menekan huruf "n" dan bukan "k" semasa menulis mesej kepada Saleha.

Sepatutnya "aku" bukannya "anu".

Saadon tidak pasti sama ada persepsi Saleha kepadanya seumpama apa sekarang.

BACA INI JUGA: 5 Negara Polis Paling Rasuah Di Dunia

sumber: mk

Saturday, March 03, 2018

10 Tanda Mengenali Berita Palsu

10 Tanda Mengenali Berita Palsu

Berita palsu ialah maklumat yang tidak benar tetapi dibuat seolah-olah benar, yang tidak dipetik dari mana-mana sumber atau fakta tetapi direka cipta.

10 Tanda Mengenali Berita Palsu

Sesetengah pengamal media menafsirkannya dengan lebih luas iaitu berita satira, sindiran atau sendaan yang kadangkala menokok tambah dan memperkenalkan fakta dengan niat untuk jenaka atau untuk menegaskan sesuatu perkara tetapi tidak untuk memperdaya.

Claire Wardle, penyelidik di First Draft News, sebuah pusat yang ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran, melaksanakan penyelidikan dan menangani cabaran berkait kepercayaan dan kebenaran dalam media digital, mengenalpasti tujuh jenis berita palsu.

7 JENIS BERITA PALSU
  1. Satira atau parodi.
  2. Perkaitan palsu (seperti judul berita yang tidak selari dengan kandungan).
  3. Kandungan yang mengelirukan (penggunaan maklumat yang mengelirukan untuk merangka isu).
  4. Konteks yang palsu (kandungan yang tulen dikongsi dengan maklumat konteks yang palsu).
  5. Penyamaran kandungan (sumber yang tulen disamari dengan sumber yang palsu atau dibuat-buat).
  6. Kandungan yang diputar belit (maklumat atau imej benar tetapi diputar belit untuk memperdaya).
  7. Kandungan yang direkacipta (kandungan yang 100 peratus palsu dan direka untuk perdaya dan membawa mudarat).

Bagaimanakah cara mengenal pasti berita palsu?

1. Perhatikan sumber

Organisasi berita mempunyai laman web yang boleh dirujuk dan telah lama beroperasi. Berita palsu selalunya disalurkan melalui laman yang tidak dikenali atau cuba meniru sedia ada.

Sekiranya ia datang dari laman web yang tidak pernah anda dengar atau cuba meniru nama dan URL organisasi media sedia ada, besar kemungkinan ia berita palsu.

2. Pergi kepada sumber asal

Usah terima bulat-bulat berita yang anda terima. Ada orang menggunakan masthead media ternama bagi meyakinkan pembaca bahawa berita itu asli. Pergi kepada sumber berkenaan.

Sekiranya anda lihat masthead pada berita itu, pergi ke laman web atau blog asal untuk baca berita itu. Sekiranya berita itu tidak ada di situ, maka itu berita palsu.

3. Siapakah sumber berita

Adalah menjadi amalan yang diterima untuk media melaporkan berita tanpa menyebutkan sumber. Ini bertujuan melindungi kerahsiaan sumber tersebut dalam berita yang mungkin boleh memberikan kemudaratan kepadanya.

Bagaimanapun, dalam keadaan biasa, wartawan bertanggungjawab menyebutkan sumber maklumat itu.

Dia ialah seorang yang tidak beretika jika keseluruhan berita bersandarkan laporan “sumber” tanpa menyebut sumber tersebut.

Berita sedemikian ada kemungkinan palsu, walaupun ia disiarkan oleh media ternama.

4. Gaya penulisan

Wartawan dilatih menulis berita dengan gaya piramid terbalik atau inverted pyramid. Dalam bahasa mudah, penulisan berita ada kaedah dan cara yang betul. Begitu juga, organisasi media mempunyai house rules bagaimana mereka menulis.

Cara menulis di sesuatu organisasi media tidak sama dengan organisasi lain. Amatur yang menulis berita palsu mungkin tidak menguasai kaedah ini.

Sekiranya anda lihat gaya penulisan yang “pelik,” besar kemungkinan itu berita palsu.

5. Adakah berita masuk akal?

Sekiranya berita yang anda baca itu tidak masuk akal, besar kemungkinan ia berita palsu. Apabila kita baca tajuk berita tak masuk akal, elok baca tulisan itu sampai habis.

6. Baca sampai habis

Kebanyakan orang terus menghantar sesuatu print screen tajuk berita tanpa baca habis. Kadangkala tajuk dan berita tak sama.

Sering kali, berita palsu hanya ada tajuk tanpa laporan penuh. Usah ghairah menghantar print screen tajuk sekiranya kita belum baca keseluruhan tulisan itu.

7. Semak tarikh

Sesetengah berita itu bukan palsu, tetapi berita lama yang diedarkan semula. Berita sedemikian sudah keluar konteks dan boleh menjadikan pembaca membuat rumusan yang salah mengenai sesuatu isu.

Berhati-hati dengan “surat khabar lama.”

8. Rujuk kepada pakar

Apabila kita baca sesuatu yang nampak tak masuk akal, bertanyalah kepada mereka yang pakar.

Sebagai contoh apabila ditunjukkan laporan kesihatan yang mendakwa pil tertentu boleh jadikan kita panjang umur, tanya doktor. Mereka boleh memberikan maklum balas.

Begitu juga apabila ada orang kata ekonomi kita sedang menuju kemusnahan, rujuk kepada pakar ekonomi (pakar luar yang bebas dari campur tangan politik).

9. Satira

Ada orang tak dapat membezakan antara satira dan berita benar. Satira politik ialah perbuatan mengubah berita sebenar sebagai bahan jenaka.

Dalam Islam, satira ada batasnya.

Apabila kita mengetawakan seseorang disebabkan bentuk badan, cara bercakap atau keluarganya, maka itu diharamkan.

Elakkan ketawa kerana seseorang gemuk atau kurus. Usah permainkan apa yang ALLAH SWT berikan kepadanya.

10. Berhati-hati sebarkan berita

Anda di pihak sebelah manapun, jangan menyebar berita palsu.

ALLAH SWT murka orang yang suka sebarkan berita palsu. Dalam Surah al-Hujurat, ALLAH SWT ingatkan apabila kita menerima sesuatu berita, maka semaklah berita itu terlebih dahulu.

Usahlah kerana perbuatan kita menyebarkan berita itu, maka keluarga, masyarakat atau negara berpecah-belah.

TIPS ELAK SEBAR BERITA PALSU

1. Perhatikan individu yang menyebarkan berita berkenaan. Adakah menggunakan akaun fake? Sudah berjumpakah? Pernah kenalkah? Ada wajahnya dan disahkan itu memang wajah dan identitinyakah?

2. Berapa kali dia terkantoi menyebarkan berita palsu?

3. Adakah dikalangan kawan kita yang ori seringkali mempromosi, berkongsi dan menyebarkan berita-berita palsu dari akaun fake?

4. Sekali dua mungkin kesilapan. Tiga empat kali mungkin kecuaian. Lima enam kali mungkin terlupa. Tetapi jika terlalu kerap ia bermakna akaun tersebut dengan sengaja menyebarkan berita palsu atas tujuan propaganda.

5. Ada beza sebaran berita palsu oleh cybertroopers BN dan PH. Cybertroopers BN hampir pasti tidak didakwa dan disiasat tetapi ini berbeza dengan penyokong PH yang selalunya berakhir dengan mengambil keterangan dan siasatan.

6. Jangan jadi penyumbang kepada maklumat palsu dan agen penyebar propaganda fitnah.

7. Sesiapa sahaja boleh mengakui sebagai penyokong parti tertentu dan menyebarkan apa-apa berita tetapi untuk mengesahkan ketulenan berita tersebut, anda perlu keluarkan usaha untuk menyemaknya sendiri.

8. Dan dari sekarang, mulalah mencatit dalam otak, siapakah yang anda sering perhatikan suka menyebarkan maklumat palsu.

9. Boleh jadi ia adalah akaun sandiwara yang menyokong parti anda tetapi hakikatnya mereka hanya mempropaganda untuk memperdayakan kepercayaan anda.

10. Menjelang PRU lebih banyak maklumat palsu akan disebarkan oleh pelbagai pihak dan kita jangan sesekali menjadi agen percuma mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Menjana Dosa Multi Level Marketing Melalui WhatsApp!

sumber: sinarharian

Wednesday, February 14, 2018

'Saya Tidak Menyambut Hari Kekasih Tetapi Saya Meraikan Cinta'

'Saya Tidak Menyambut Hari Kekasih Tetapi Saya Meraikan Cinta'

Cinta  adalah suatu ketakjuban kemanusiaan yang hebat dan Nabi SAW dalam hadis sahih al-Bukhari telah menarik perhatian umat Islam tentang cinta seorang sahabat bernama Mughits terhadap seorang wanita bernama Barirah.

Meraikan Cinta Hari Kekasih

Nabi SAW takjub melihat bagaimana Mughits menangis kerana terlalu mencintai Barirah walaupun Barirah menolak cinta Mughits.

Ibn Hajar al-Asqalani telah mensyarahkan hadis ini dalam Kitab Fathul Bari dan memberi isyarat bahawa ia menunjukkan tidak haram untuk mencintai seseorang yang bukan suami atau isterinya kerana cinta adalah fitrah kemanusiaan.

Hari Kekasih atau Valentine’s Day akan berulang pada 14 Februari setiap tahun, namun di sini saya ingin mengkritik falsafah cinta di sebalik Hari Kekasih.

Hari Kekasih ini dikatakan berasal daripada masyarakat Rom yang menyembah tuhan mereka dengan cara menyembelih binatang.

Upacara keagamaan ini dikenali sebagai Lupercalia. Tujuannya ialah untuk memohon pada tuhan supaya perempuan-perempuan menjadi subur, mudah mendapat anak dan supaya yang bujang mendapat jodoh yang serasi.

Pada kurun ke-5 selepas agama Kristian menjadi agama rasmi empayar Rom, dikatakan gereja berusaha mengkristiankan Hari Kekasih dengan mempromosi legenda seorang paderi bernama St Valentine.

Tersebut alkisah bahawa Maharaja Roma, Claudius Gothicus mendapat tahu bahawa tenteranya menjadi lemah kerana masalah rumah tangga maka, Claudius pun mengharamkan askar-askar daripada berkahwin.

St Valentine pun mengahwinkan askar-askar Rom secara senyap tanpa pengetahuan Maharaja Claudius.

Bila rahsia ini terbongkar, St Valentine telah dihukum bunuh. Agama Kristian mengharamkan zina dan menghalalkan perkahwinan.

Menurut versi Kristian, Hari Kekasih adalah dorongan untuk berkahwin dan menjauhi zina. St Valentine mengorbankan nyawanya demi untuk mengahwinkan pasangan-pasangan cinta.

Falsafah cinta mengikut Islam dan Kristian adalah berkaitan dengan konsep fitrah kemanusiaan dan kewajiban perkahwinan.

Tetapi, Hari Kekasih zaman moden mengaitkan cinta dengan pemberian hadiah-hadiah seperti kad, bunga, coklat dan cincin.

Di Amerika, Hari Kekasih diraikan besar-besaran penuh gemilang. Sebanyak 40 bilion akan dibelanjakan oleh rakyat di Barat dalam sehari hanya demi untuk meraikan Hari Kekasih.

Hari Kekasih bukan lagi dikaitkan dengan fitrah manusia tetapi ia adalah simbol ketamakan manusia kerana ia mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Konsep Cinta Hari Kekasih sudah dikomersialkan dan tidak ada lagi kaitan dengan institusi perkahwinan.

Cinta 'dijual' melalui lagu-lagu dan filem-filem yang menggoda para kekasih untuk berbelanja sebanyak yang mungkin pada Hari Kekasih.

Entiti-entiti perniagaan berlumba-lumba mengiklankan produk-produk cinta mereka dengan apa cara sekalipun selagi dapat mencuri hati pembeli-pembeli untuk membeli produk cinta yang mereka hasilkan.

Ada kad cinta, ada coklat cinta, ada bunga cinta dan lain-lain. Cinta kini menjadi produk.

Pemuda-pemudi disogokkan dengan candu cinta melalui filem-filem yang mendefinisikan cinta untuk mereka.

Tetapi, adakah ini benar-benar cinta? Atau hanya sekadar fantasi cinta yang dicipta dan dipromosikan oleh penjual-penjual produk cinta?

Cuba tanya diri anda ini, Mengapa saya perlu menjadi buta apabila meraikan cinta pada Hari Kekasih? Mengapa pasangan saya kecil hati pula kalau saya tidak raikannya? Mengapa ia menjadi satu kewajiban? Adakah kalau saya tidak meraikannya, maka kekasih saya akan menganggap cinta saya terhadapnya berkurangan? Apakah kalau saya meraikannya, maka kekasih saya akan semakin mencintai saya pula?

Dalam setahun ada 365 hari. Kalau sehari saya tidak raikan Hari Kekasih tetapi 364 hari lain saya meraikan cinta saya kepadanya, adakah dia masih menganggap saya tidak atau kurang mencintainya?

Ini seolah-olah kekasih mencintai Hari Kekasih lebih daripada mencintai saya!

Tetapi, bagi yang terkena sihir produk cinta, Hari Kekasih adalah hari pembuktian cinta sejati. Kalau wujud perasaan marah pada Hari Kekasih, pendamkan dulu. Jangan cemarkan kesucian Hari Kekasih! Tunggu lain hari!

Bagi mereka yang tidak meraikan Hari Kekasih, anda akan dianggap jahil cinta. Tidak romantis. Kolot.

Kita tidak meraikan HARI kekasih, tetapi kita setiap hari meraikan CINTA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Monday, November 20, 2017

Nasib Malang Kerjaya Wanita Bertudung Di Malaysia

Nasib Malang Kerjaya Wanita Bertudung Di Malaysia

Jika dilihat dari sudut mana pun, tidak ada apa yang luarbiasa mengenai wanita Islam bertudung. Ia tidak sedikit pun mengehadkan pergerakan, tidak juga menjejaskan keupayaan pemakainya.

Nasib Malang Kerjaya Wanita Bertudung Di Malaysia
Gambar hiasan.

Sebagai fesyen dan trend masa kini, menutup bahagian kepala membuat seseorang gadis @ wanita kelihatan lebih sopan, malah lebih ayu.

Namun apa yang lebih penting, bertudung atau menutup kepala bagi wanita Islam tidak sekadar satu fesyen atau gaya hidup. Ia adalah tuntutan agama.

Hukum syarak menetapkan rambut wanita adalah sebahagian daripada aurat, dan oleh itu haram didedahkan kepada umum. Aurat wajib ditutup tidak kira masa, di mana juga, termasuk di hotel.

Sila ambil perhatian bahawa hukum ALLAH adalah lebih tinggi – perlu sentiasa dipatuhi dan dihormati – dari hukum dan peraturan-peraturan lain, termasuk SOP Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Adalah malang sekali, dan amat dikesali, apabila persatuan tersebut tidak peka terhadap sensitiviti agama dan tidak menimbangkan perasaan umat Islam. Seperti yang dilaporkan media, MAH melarang memakai tudung bagi wanita Islam yang bekerja di hotel.

Wanita bertudung tidak dibenarkan bertugas di barisan hadapan @ frontdesk, konon hanya sesuai ditempatkan di bahagian tersorok, termasuk di dapur.

Menurut MAH itu adalah SOP yang ditetapkan oleh operator hotel bertaraf antarabangsa seluruh dunia. Alangkah angkuhnya! Berani melarang pekerja Islam yang hendak mematuhi hukum agama.

Sebenarnya ini bukan isu baharu. Sejak sekian lama wanita bertudung dinafikan hak untuk mengamalkan hukum agama.

Pernah di ruang ini saya menulis perihal seorang petugas hotel yang cekap dan berkebolehan, selama lima tahun hanya diletakkan di bahagian dapur. Ada ijazah, ada rupa, ada upaya, tetapi tidak naik pangkat, gara-gara dia enggan membuka tudung.

Pernah juga didedahkan sesetengah pusat membeli-belah terkenal melarang kakitangan memakai tudung, konon menutup kepala adalah kolot. Pemilik-pemilik bukan Islam itu menggalakkan buka paha, buka dada, daripada menutup kepala.

Pernah juga dihebahkan anak seorang selebriti telah dihalang menjalani temuduga kerja di sebuah syarikat antarabangsa, hanya kerana dia memakai tudung.

Malah, ada pelajar Islam tidak dibenarkan mendaftar diri di sekolah swasta kerana pentadbiran sekolah melarang pelajar memakai tudung.

Kita semua tahu prejudis terhadap wanita Islam bertudung sudah lama wujud di negara kita. Sudah banyak aduan dibuat, sudah kerap kali pula dilaporkan media.

Tetapi semua memandang sepi macam tidak peduli. Selama ini tidak ada sebarang tindakan untuk menyekat dan melawan prejudis yang terang-terang berlaku di hadapan mata.

Hatta pihak berkuasa agama Islam pun seolah-olah tiada kuasa langsung untuk membetulkan keadaan ini. Umat Islam disekat melaksanakan hukum agama, dan pihak berkuasa agama berdiam diri, menutup mata, tidak berani berkata. Apa ertinya ini?

Negara ini majoriti penduduknya Islam, para pemimpin ramai Islam, tampuk kuasa pun di tangan Islam, tetapi dalam isu tudung, ramai yang membisu, kaku dan beku. Tiada yang berani lepas laku.

Berbeza betul dengan isu dobi untuk pelanggan Islam. Walaupun hanya sebuah dua, semua pihak menyatakan tentangan, heboh ‘satu Malaya’. Padahal apa hak kita untuk menyekat mana-mana peniaga yang hendak menegakkan hukum Islam?

Isu tudung lebih besar dari kedai dobi tetapi, selama ini tidak ada kesepakatan untuk melawan MAH. Pada hal kalau semua bertegas, hotel antarabangsa pun akan menghormati dan patuh kepada peraturan kita.

Ambil Pulau Pinang sebagai contoh. Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertegas bahawa larangan bertudung adalah satu diskriminasi. Beliau tidak bersetuju dengan dasar dan SOP persatuan hotel.

Apakah pendirian menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri lain? Jangan takut bersuara sehingga orang pijak kepala kita!

Tabik saya kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menentang keras peraturan MAH. Menteri yang terkenal dengan kelantangan itu bertanya sinis, “Adakah berbogel lebih baik dari bertudung?”

Kalau pun tidak kerana tuntutan agama, mengenakan apa juga pakaian yang menutup aurat, adalah hak peribadi yang dijamin dalam Perlembagaan.

Apabila ada peraturan supaya wanita dilarang berseluar pendek atau berskirt singkat semasa berurusan di kaunter kerajaan, ramai yang menentang atas alasan itu adalah hak perlembagaan setiap individu.

Kenapa membisu dan takut untuk menentang SOP larangan bertudung? Menutup kepala juga adalah hak Muslimah yang dijamin dalam Perlembagaan. Ini negara kita, tegakkan hak kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Wednesday, November 15, 2017

Sejarah 9 Dragon Dunia Kongsi Gelap Dan Gengster Di Malaysia

Sejarah 9 Dragon Dunia Kongsi Gelap Dan Gengster Di Malaysia

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, pihak British menghadapi masalah kewangan dan ditambah pula dengan boikot kaum pekerja yang dipengaruhi gerakan komunis.

Sejarah 9 Dragon Dunia Kongsi Gelap Dan Gengster Di Malaysia
Gambar hiasan.

British kemudiannya menggunakan konsep perjudian sebagai salah satu modus operandi dalam menarik sokongan masyarakat Malaya dalam gerakan penentangan ke atas komunis antara tahun 1948 hingga 1960.

Maka sebagai alternatif dalam menarik sokongan kaum pekerja yang rata-ratanya memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan.

British telah memperkenalkan konsep perloterian dan perjudian lumba kuda. Melalui modus operandi ini sebahagian kaum pekerja menjadi ketagih dan mula menjauhkan diri daripada anasir-anasir komunis.

Akhirnya muncul konsep kongsi gelap yang baharu dan disokong British dalam menghadapi peperangan menentang komunis. Ini terbukti dalam kes gerakan komunis sangat memusuhi kongsi gelap di Shanghai dan berjaya memusnahkannya pada tahun 1949.

Konsep kongsi gelap ini mulai berubah apabila berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 dan peperangan Vietnam pada tahun 70-an.

Perubahan ini disebabkan modus operandi kongsi gelap telah beralih kepada perniagaan dadah dan pelacuran.

Pembukaan kelab malam dan pengenalan budaya hipster atau budaya A-go-go telah merancakkan lagi perniagaan dunia gelap.

Akhirnya pada lewat 80-an telah muncul beberapa ketua kongsi gelap yang dikenali 4 Raja Syurga yang berkuasa dalam dunia gelap.

Ini disebabkan beberapa kumpulan kongsi gelap kecil yang dikenali sebagai Naga telah bergabung untuk menyokong Raja Syurga dan dibantu 9 individu yang digelar Harimau Kawasan.

Modus operandi dunia gelap pada zaman 80-an dan 90-an bertumpu kepada perjudian, pelacuran, dadah dan peras ugut untuk wang perlindungan.

Sejak tahun 2000, modus operandi dunia gelap mula beralih kepada perniagaan yang sah melalui industri hiburan, perhotelan, makanan, rokok dan peruncitan.

Melalui dana pusingan modal yang berbilion ini dalam dunia gelap telah disucikan menjadi wang sah dalam perniagaan yang diiktiraf undang-undang.

Mereka juga telah bekerjasama dengan kartel-kartel perniagaan untuk mengawal harga sesuatu barangan di pasaran. Ini disebabkan terdapat penglibatan pemimpin-pemimpin masyarakat dalam Dunia Gelap.

Bantuan dunia gelap ini boleh difahami kerana mereka turut sama menyokong sesetengah pemimpin masyarakat dalam pilihan raya umum terutamanya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan sebagainya.

Sokongan mereka juga dapat memastikan keamanan dan keharmonian hubungan etnik dalam sesuatu kawasan.

Ini disebabkan pada hari ini, penglibatan kongsi gelap Melayu, kongsi gelap India, kongsi gelap Sabah dan Sarawak telah berada bersama dalam sokongan kewujudan dunia gelap.

Hubungan kongsi gelap dan gengster berbagai etnik dalam dunia gelap lebih harmoni, saling menghormati dan berdasarkan muafakat bersama.

Maka tidak menghairankan adalah sukar berlakunya pergaduhan kongsi gelap antara etnik di negara ini.

Walaupun begitu, dunia gelap ini masih didominasi oleh kongsi gelap dan corak struktur kepimpinan organisasi dunia gelap hampir sama dengan corak dunia gelap Timur Jauh.

Rasuah dan ugutan adalah satu kebiasaan dalam modus operandi dengan pihak berwajib seperti amalan kongsi gelap dunia gelap Timur Jauh.

Cuma kini pemerdagangan manusia dan senjata menjadikan Malaysia sebagai hab persinggahan sementara sebelum bergerak ke negara sasaran.

Hab persinggahan sementara ini menjadikan 9 Naga dalam dunia gelap diperlukan oleh dunia gelap negara lain.

Sebagai balasan, mereka mampu menjalankan perniagaan pesisir pantai yang dapat mengelakkan percukaian.

Melalui cara ini, perniagaan yang sah tersebut dapat mengelakkan dikenakan cukai jutaan ringgit. Ada kalanya mencecah ratusan juta ringgit.

Wang tersebut digunakan balik untuk pinjaman tanpa berlesen atau berlesen kepada sesiapa yang memerlukannya.

Putaran wang modal ini akhirnya berjaya dicuci dan digunakan untuk pembelian aset seperti tanah dan bangunan di luar negara.

Kejayaan dunia gelap merekrut ahli-ahli baharu untuk terlibat sama ada sebagai pekerja atau penggerak disebabkan faktor ekonomi.

Ditambah pula, dengan kesukaran untuk mendapat kerja bagi mereka yang tercicir daripada alam persekolahan menyebabkan penglibatan ini menjadi mudah.

Tekanan kos sara hidup dan ingin bermewah turut menyumbangkan kepada pengukuhan dunia gelap.

Pada masa kini kumpulan-kumpulan Harimau Kawasan terdiri daripada pelbagai etnik dan jantina termasuklah wanita.

Mereka mempunyai sistem pemerintahan dan undang-undang tersendiri. Setiap kepimpinan tidak diwarisi daripada seorang ayah atau ibu kepada anak, tetapi ditentukan oleh sokongan harimau-harimau kawasan.

Inilah kehidupan dalam dunia gelap. Tidak jauh berbeza dengan dunia cerah yang seperti kita lihat dalam dunia realiti.

Cuma yang memisahkan adalah pekerjaan dan kehidupan kita dengan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 9 'Dragon' Kawal Aktiviti Judi Malaysia Bernilai 5 Bilion Setahun?

sumber: sinarharian

Thursday, October 12, 2017

Demokrasi Hanya Untuk Golongan Kaya Dan Berkuasa

Demokrasi Hanya Untuk Golongan Kaya Dan Berkuasa

Malaysia adalah negara Dunia Ketiga yang diheboh-hebohkan sebagai negara contoh yang mengamalkan Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Demokrasi

Kita tidak menafikan tentang demokrasi Parlimen Beraja Malaysia. Tetapi takrifan yang lebih tepat dan betul adalah, Malaysia ini sebenarnya hanyalah negara pengamal prosedur demokrasi.

Takrifan ini memberi makna Malaysia memiliki tanda-tanda dan lembaga demokrasi. Malaysia ada Perlembagaan Beraja, ada gedung parlimen, ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ada wakil rakyat.

Warga Malaysia boleh mengundi lima tahun sekali untuk memilih wakil mereka ke parlimen. Semua ini adalah lembaga, tanda-tanda dan prosedur demokrasi.

Sebenarnya prosedur demokrasi mengambil tempat di semua negara Dunia Ketiga bukan hanya di Malaysia. Ia berlaku di Myanmar atau Indonesia atau Sri Langka atau Kenya di Afrika atau Colombia di Amerika Latin.

Dalam negara Dunia Ketiga yang mengamalkan prosedur demokrasi, yang wujud hanyalah prosedur. Intipati semangat dan nilai hakiki demokrasi tidak wujud.

Atau lebih tepat bukan demokrasi yang wujud tapi hanya hampeh demokrasi yang wujud.

Manifestasi demokrasi

Bagaimana pula demokrasi di negara maju saperti di Eropah atau di Amerika Utara? Bukankah di Eropah ada pilihan raya? Apakah suara hati warga Eropah betul-betul bebas untuk ditakrif sebagai demokratik?

Pada saat ini dan perkembangan terakhir ini membuatkan kita berani mengatakan bahawa di Eropah juga demokrasi sedang menuju ke jalan gagal.

Sayugia diingatkan bahawa wujud pilihan raya dan adanya pemilihan wakil melalui undian bukan ertinya demokratik. Pengundian atau membuang undi itu hanya sebahagian daripada proses demokrasi.

Saya memiliki pandangan bahawa pilihan raya itu bukan bererti demokrasi. Atau jika ada pilihan raya ertinya ada demokrasi.

Pilihan raya dan hak mengundi hanya manifestasi dalam satu proses demokrasi untuk memilih perwakilan.

Ada banyak cara demokratik yang boleh dijadikan lembaga untuk memilih perwakilan. Angkat tangan pun boleh, berbincang kemudian melantik wakil pun boleh, seperti pemilihan ketua adat atau ketua kampung.

Hakikatnya, demokrasi secara kasar difahami sebagai menghormati suara ramai. Ertinya suara ramailah yang akan menjadi nakhoda untuk mengemudikan arah syarikat, arah jemaah atau arah negara.

Apa yang sedang berlaku?

Kita sedang melihat bagaimana suara ramai makin dipinggir malah diinjak-injak.

Justeru pada ketika dan saat ini saya memperkukukan lagi pandangan bahawa mengundi itu jika boleh mengubah apa-apa, maka mengundi itu akan diharamkan. Pilihan raya jika boleh mengubah apa-apa maka pilihan raya akan diharamkan.

Apakah kata-kata dan pandangan saya ini betul? Apakah ini pandangan yang rasional dan masuk akal? Mana nas, mana surah dan hadis yang boleh menyokong pandangan saya ini?

Untuk memperkuat dan mensahihkan pandangan ini maka saya akan membawa pembaca ke politik terkini.

Situasi yang berlaku hari ini juga akan dibantu oleh babak-babak sejarah yang lalu untuk membuktikan bahawa jika undi boleh mengubah apa-apa maka mengundi itu akan diharamkan.

Pungutan suara Catalan

Surah Catalan. Sepanyol adalah negara persekutuan sama saperti Malaysia, Raja Berperlembagaan.

Ada 17 wilayah autonomi dalam Sepanyol. Ada wilayah Basque, Catalan, Galicia selain dari Sepanyol. Mereka semua memiliki bahasa dan budaya yang berbeza.

Pada 1 Oktober 2017 yang lalu warga Catalan, salah satu wilayah Sepanyol telah mengadakan pungutan suara. Warga Catalan, ibu kotanya adalah Barcelona, mahu berpisah daripada Sepanyol.

Ertinya rakyat Catalan mahu bebas merdeka. Jalan yang sopan dan paling demokratik ialah membuat pungutan suara.

Niat untuk berpisah daripada Sepanyol juga wujud di wilayah Basque. Tahun-tahun 70an dahulu hingga akhir 90an kita melihat gerila Basque ETA (Euskadi Tak Askatasuna) berjuang menuntut merdeka.

Hari ini telah ada penjanjian damai antara ETA dengan kerajaan Sepanyol. Basque masih belum merdeka. Hakikatnya cara warga Catalan menuntut merdeka ialah dengan pungutan suara, bukan dengan serangan gerila.

Sebelum pungutan suara dilakukan perdana menteri Sepanyol telah melarang pungutan suara ini dijalankan. Kuasa politik dari Madrid telah menentang apa saja bentuk pungutan suara.

Pada minggu sebelum mengundi polis dan soldadu telah dihatar untuk ‘membedil’ tempat-tempat membuang undi. Kawasan dan bilik mengundi telah dikepung soldadu Sepanyol.

Tetapi warga Catalan tetap keluar mengundi. Seramai 2.3 juta pengundi telah datang mengundi. Ini adalah 97% dari jumlah pengundi Catalan. Seramai 177,547 atau 7.99% telah menentang Catalan untuk merdeka.

Sebanyak 2,044,038 atau 92.01% pula telah mengundi untuk kemerdekaan Catalan. Ini fakta bukan propaganda anti-pilihan raya.

Angka 92.01% ini adalah suara majoriti. Seharusnya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi - sistem suara ramai - maka minggu lalu Catalan telah merdeka.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu seharusnya telah menerima masuk sebuah lagi negara baru. Tidak. Ini tidak berlaku. Catalan masih lagi menjadi tanah jajahan Sepanyol.

Keadaan masih bergolak. Raja Sepanyol mula masuk campur. Undang-undang darurat mungkin dikenakan ke atas Catalan. Malah Ketua Menteri Catalan dan para pemimpin pro-Merdeka mungkin ditangkap.

Inilah surah pertama untuk membuktikan jika undi boleh mengubah apa-apa maka undi akan diharamkan.

Brexit di Eropah

Surah Brexit. Mari kita beralih ke United Kingdom. Negara ini dikatakan telah mengamalkan 700 tahun demokrasi berparlimen.

United Kingdom negara Raja Berperlembagan. Negara inilah yang telah melakar Perlembagaan di Malaysia.

Pada 23 Jun 2016 yang lalu United Kingdom (UK) telah mengadakan pungut suara. Agendanya, UK keluar dari Kesatuan Eropah. Warga UK diminta memilih untuk terus bersama Kesatuan Eropah dibawah Brussels atau keluar bersendirian.

Sejumlah 72.02 % warga UK telah turun membuat pilihan. Seramai 51.9% telah membuat keputusan membawa UK keluar dari Kesatuan Eropah. Nampaknya cukup jelas bahawa warga UK tidak mahu dipimpin oleh Brussel. Rakyat UK mahu hak kedaulatan sendiri.

UK telah diberi masa untuk mengurus perjalanan keluar. Pada 29 Mac 2019, mengikut tarikh yang telah dipersetujui, maka UK secara rasmi bukan lagi ahli Kesatuan Eropah.

Betulkah ini akan berlaku? Apakah suara orang ramai ini akan dikotakan?

Kita kurang yakin suara ramai warga UK ini akan dihormati. Saya telah mula terbaca bagaimana elit politik dan para peguam secara gelap dengan berahsia telah mula mencari jalan untuk memandulkan niat dan cita-cita 51% suara majori warga UK.

Komplot dan cabal-cabal yang pro Kesatuan Eropah sedang giat berusaha melalui undang-undang serta melalui hukum-hakam untuk membatalkan Brexit.

Elit politik, elit ekonomi dan kelas pemerintah UK tidak sekasar Madrid yang melarang pungutan suara dilakukan. Kelas pemerintah UK tidak menggunakan soldadu. Kelas pemerentah UK lebih licik, lebih berpengalaman dan tahu akibat apabila rakyat bangun memberontak.

Jangan sesekali kita lupakan Raja Charles Pertama telah dipenggal kepalanya pada 30 Januari 1649 sebelum kepala Louis ke-14 dipenggal pada 21 Januari 1793.

Justeru, kelas pemerintah di UK - kuasa kolonial terakhir - telah mengumpul pengalaman dan tahu cara untuk mengurus kuasa dalam negara dan juga di tanah jajahan.

PRU14 di Malaysia

Jadi apa yang dapat kita fahami dari Surah Catalan dan Surah Brexit?

Dua surah ini membuktikan bahawa jika undi dapat mengubah apa-apa, maka undi itu akan diharamkan. Lalu timbul persoalan - bagaimana dengan pilihan raya yang sering dijalankan di UK dan di Sepanyol?

Jawabnya cukup senang. Pilihan raya yang dijalankan di UK dan di Sepanyol itu tidak mengubah apa-apa. Pilihan raya itu tidak mengubah sistem yang sedia wujud. Yang berubah hanya parti politik mana yang akan menguruskan sistem yang sama.

Bank of England masih Bank of England. Kaum kapitalis masih membuat untung. Ratu Elizebeth masih menjadi Raja United Kingdom. Raja Filipe V1 masih lagi raja Sepanyol. Elit politik, kaum feudal dan kelas pemerintah masih saperti sediakala. Tidak ada yang berubah.

Di UK ada Parti Buruh dan Parti Konservatif. Di Sepanyol pula ada Parti Popular dan Parti Buruh. Setiap kali ada pilihan raya, rakyat di UK atau di Sepanyol dibenarkan memilih Coca Cola atau Pepsi Cola.

Pilih mana sahaja parti kerana tidak ada apa-apa perubahan hakiki. Sistem lama - sistem ekonomi kapitalis tetap selamat.

Pilihan raya jenis ini, mengundi jenis ini tidak akan dihalang - malah digalakkan. Ini bertujuan untuk memberi ilusi kepada orang ramai bahawa mereka telah membuat pilihan. Memilih Coca Cola atau Pepsi Cola dan merayakan pilihan raya.

Tetapi kali ini ada perbezaan. Warga Catalan mahu merdeka - mahu berpisah daripada Sepanyol. Warga UK mahu UK keluar daripada Kesatuan Eropah - berpisah daripada Brussels.

Pemilihan dan undi yang seperti ini akan diharamkan. Akan ditentang. Inilah yang sedang berlaku di Catalan dan di UK.

Undi yang membawa perubahan ini pasti akan diharamkan. Pemilihan yang menghasilakan perubahan akan dibatalkan. Elit politik dan elit ekonomi dan kelas pemerintah tidak akan membenarkan perubahan berlaku.

Perubahan yang akan menjejaskan kepentingan ekonomi mereka akan ditentang. Akan diharamkan.

Maka persoalan timbul untuk kita warga Malaysia yang akan berhadapan dengan PRU14.

Dalam pilihan raya ini nanti rakyat Malaysia akan dibenarkan memilih antara dua kumpulan parti politik - Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

Adakah kita rakyat Malaysia akan dibenarkan untuk membuat pilihan ini?

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, September 22, 2017

Apabila Ilmu Agama Yang Hebat Hanya Jasad Tanpa Roh

Apabila Ilmu Agama Yang Hebat Hanya Jasad Tanpa Roh

Bila seseorang mencuri, ada undang-undang yang boleh menghukum perbuatan mencuri. Bila seseorang itu berzina, ada undang-undang juga untuk menghukum perbuatan berzina.

Agama

Tetapi bila seseorang itu taasub buta pada aliran tafsiran hukum agama tertentu yang akan cemarkan nama baik agama, yang akan membuatnya begitu mudah untuk menghukum sesat pendapat-pendapat yang lain daripada alirannya, tiada hukuman undang-undang ke atas perbuatan taasub buta yang negatif ini.

Ada sebuah masjid di PJ yang dimasuki beberapa ekor anjing semasa hujan. Anjing-anjing basah ini telah masuk ke ruangan solat.
Perbincangan dan khilaf telah berlaku antara ahli-ahli masjid. Akhirnya kerana ingin menjaga hati penduduk kariah yang berdekatan, pihak masjid telah mengambil keputusan untuk menyamak ruangan solat masjid dengan tanah dan air.

Selepas proses menyamak berjam-jam berlangsung, karpet berbau busuk dan terpaksa dibuang. Mengapa tidak guna pencuci karpet? Yang pelik, bila mereka ini beli kereta second hand dari bukan Muslim, tidak pula mereka menyamak kusyen kereta mereka!

Inilah taksub dan ekstremisme yang tiada hukuman ke atasnya walaupun mencemarkan maruah Islam sebagai agama yang mudah dan tidak menyusahkan manusia.

Disebut dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 185 dengan maksud, "bahawa ALLAH SWT menghendaki bagi kamu kemudahan dan tidak menghendaki bagi kamu kesukaran."

Bila seseorang melanggar roh ayat ini, tiada hukuman ke atasnya. Dia terlepas daripada hudud dan ta’zir.

Begitu juga di media sosial, apabila sebuah parti Islam berkempen tentang menegakkan undang-undang Islam, bersemangat pejuang-pejuang berkumpul ratusan ribu untuk laungan takbir.

Hujah kita mudah: bukan kita tidak menyokong hudud, tetapi mengapa pejuang-pejuang ini tidak menjaga kebersihan tandas!

Kita lihat kebersihan tandas dan hygien adalah masalah yang besar dan berterusan di pondok dan negeri yang ditadbir sebuah parti Islamik.

Ramai yang kritik bahawa hudud adalah isu negara dan kebersihan tandas masalah individu!

Inilah yang kita katakan bahawa berkhalwat boleh dikenakan tindakan undang-undang tetapi tiada hukuman bagi yang tidak menjaga air kencing dan meninggalkan najis tanpa flush di tandas walaupun ini akan mencemarkan nama agama.

Seorang bukan Muslim telah didenda penjara di sebuah negara Islam hanya kerana dia makan di kedai makanan bukan Muslim ketika Ramadhan. Alasannya ialah dia telah mencemarkan kesucian bulan Ramadhan. Tetapi tandas kotor ketika Ramadhan tidak pula mencemarkan kesucian bulan Ramadhan!

Bila dakwah kita taksub penuh pada reformasi undang-undang, kita hilang roh dan jiwa Islam.

Ramai yang tidak sedar bahawa kitab masterpiece karangan Imam al-Ghazali iaitu Ihya’ Ulumiddin ditujukan khas untuk para fuqaha yang taksub dengan isu-isu perundangan dan halal haram.

Tajuk ihya ulumiddin bermakna menghidupkan ilmu-ilmu agama. Bagi Imam al-Ghazali, ilmu agama pada zamannya memang hebat tetapi telah hilang jiwanya. Jasad tanpa roh.

Kata al-Ghazali bahawa, ulama zamannya mampu memberi takrif mabuk dan iman dengan ilmiah dan tepat tetapi diri sendiri tidak mabuk dan tidak rasa kemanisan iman.

Tiada hukuman hudud atau ta’zir bagi umat bersifat ilmiah tinggi tetapi tidak rasa kemanisan iman walaupun umat ini pasti akan membawa kehancuran kepada Islam dan mencemarkan maruah Islam

Bila Nabi SAW mulakan dakwah di Makkah, tiada hudud. Nabi SAW fokus pada pembinaan iman dan akhlak selama 13 tahun.

Selepas 13 tahun, umat Islam tidak mendekati zina bukan kerana ada hukuman hudud, tetapi kerana cintanya pada ALLAH SWT.

Adakah anda membantu seorang buta melintas jalan kerana takut kalau anda tidak bantu, anda akan dihukum oleh undang-undang syariah? Roh dakwah bermula pada hati.

Rosak hati, maka rosaklah jasad dan segalanya.

BACA INI JUGA: Pengertian Dan Pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah

sumber: sinarharian

Monday, September 11, 2017

Islam Di Benci Gila-gila

Islam Di Benci Gila-gila

Segala tindakan dan kejadian buruk yang dilakukan Muslim sejak dulu hingga sekarang, dari timur dunia ke barat dunia, dikutip dan dirangkaikan menjadi satu.

Islamofobia

Kebencian dikatakan begitu lantang dan kasar, seolah-olah Muslim tidak membuat kerja lain melainkan mengebom, membunuh, menyerang di semua tempat, tidak kira tempat itu dihuni Kristian atau penganut agama lain.

Antara yang dikutip ialah pengeboman menara kembar World Trade Center, New York tahun 2001 dan letupan beberapa buah kapal terbang dan bangunan-bangunan di Eropah, Afrika, Amerika dan di bumi Arab, apalagi mengorbankan banyak nyawa.

Islam fobia atau kebencian Islam sudah lama berlaku secara senyap-senyap sebelum Donald Trump menjadi Presiden lagi dan kini setelah beliau menjadi Presiden, fobia itu sudah jadi terbuka dan lebih lantang.

Fobia bererti ketakutan tegar terhadap sesuatu atau kebencian tegar terhadap sesuatu yang tertentu. Pengertian yang kedua itu menepati fobia terhadap Islam.

Disebabkan terkejut dengan fobia begitu, umat Islam terpaksa menjawab dengan bahasa terus terang yang sama.

Kutipan kejadian-kejadian yang tidak ada kaitan antara satu sama lain, masa yang lain dan tempat yang lain.

Samalah jika disebutkan bahawa Kristian yang menyebabkan dua perang dunia yang mengorbankan 50 juta nyawa; membunuh 1.5 juta orang Iraq, Afghanistan, Libya, Syria dan lain-lain dalam abad ke-21 di bumi mereka sendiri.

Mengapa diulangi Iran mengurung staf kedutaan AS di Teheran, kemudiannya dibebaskan tanpa cedera, sedangkan 280 orang Iran yang tidak berdosa terkorban apabila Kristian AS menembak jatuh kapal terbang Iran Air A300 pada tahun 1988.

Bukan itu saja, pada tahun 1511, Portugis Kristian menyerang dan menakluki Melaka, dan 10 tahun kemudian Filipina (masa itu namanya lain) mengalami kezaliman yang sama di tangan Sepanyol Kristian.

Selepas itu, Kristian Belanda pula mengulangi perbuatan Portugis dan Sepanyol itu di Hindia Timur (kini Indonesia), sebelum Francis Light mencekup Pulau Pinang dan Stamford Raffles memperdayakan Kesultanan Johor-Riau dengan menggenggam Singapura.

Dosa Kristian yang paling besar ialah memecah belahkan dunia Melayu, bukan saja melalui sempadan tetapi juga melalui agama.

Di Malaysia dan Indonesia kini banyak terdapat orang bernama Muhammad, Malik, Hidayat, Ali dan Kamarudin; di Filipina pula terdapat Ramos, Marcos, Carlos, Aguinaldo dan Carpio.

Banyak sekali penjajah Kristian mengkristiankan orang Islam secara paksa.

Tentunya ada yang masih ingat filem The Passage to India yang dibuat di England.

Filem itu menunjukkan bagaimana bos-bos Kristian di India sebelum merdeka memerintah orang-orang Hindu di bawah mereka menembak beribu-ribu orang India di bumi mereka sendiri kerana mereka enggan terus ditekan.

Di negara China pula, Kristian dari jarak 10,000 batu sengaja campur tangan di negara China sehingga meletusnya Perang Candu yang mengakibatkan China terpaksa menyerahkan bumi mereka bernama Hong Kong.

Iskandar Zulkarnain dan Genghis Khan bukan Muslim, masing-masing menyerang dan menakluki setengah dunia, mengakibatkan malapetaka yang tidak terhingga kepada berjuta manusia.

Di seluruh Amerika pula, dari sut Argentina selatan ke birai Kanada, kejadian membunuh anak watan berlaku berleluasa jika mereka enggan memasuki agama Kristian.

Dua puluh juta orang Aztec di Mexico terkorban di tangan Kristian Sepanyol. Apa yang dipanggil Indian atau Red Indian adalah wataniah di sana.

Seteruk-teruk kezaliman Kristian Potugis, Brazil yang dijajahnya dibuka untuk mereka berkulit hitam dan ciku masak; tetapi Kristian Sepanyol di Argentina menutup pintu kepada mereka.

Wataniah di situ dibunuh habis-habis. Itulah sebabnya maka boleh dikatakan tidak ada pemain kulit berwarna dalam pasukan Argentina.

Bagi orang Kristian, cakna utamanya ialah Muslim, hanya susun-galur dunia ada yang kita ada, mereka tak ada; ada yang mereka ada, kita tak ada – menimbulkan sikap live and let’s live atau hiduplah kita sama-sama hidup.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Thursday, September 07, 2017

3.7 Juta 'Enggan' Daftar Mengundi, Adakah Kerana Politik Terlalu Najis?

3.7 Juta 'Enggan' Daftar Mengundi, Adakah Kerana Politik Terlalu Najis?

Sesetengah orang kita memang ‘cakap tak serupa bikin’. Cakap berdegar-degar, tetapi ‘habuk pun tarak’. Mereka boleh bertegang urat sambil tumbuk-tumbuk meja di kedai kopi, tetapi tindakan mereka kosong.

Kenapa Perlu Mengundi

Contoh paling mudah ialah politik. Ada orang kita yang pagi-petang, siang-malam tidak habis-habis cakap tentang politik. Sebut sahaja politik semangat mereka terus membara.

Minum secawan kopi – itu pun orang belanja! – mereka boleh duduk berjam-jam di kedai kopi, bercakap fasal politik.

Kalau bab politik orang lain tidak boleh lawan, mereka sahaja yang terror. Pantang ada ceramah politik, mereka akan berbondongan datang.

Sanggup habis minyak kereta pergi ke utara, selatan, timur, barat, untuk mendengar ceramah politik.

Hatta, mereka sanggup berdiri tengah panas, mengangkat sepanduk dan menjerit tidak keruan, berdemonstrasi secara haram, sanggup masuk penjara, sanggup disemburi gas pemedih mata, sanggup ditangkap dan digari kerana demonstrasi haram untuk politik, tetapi tidak sanggup mendaftarkan diri sebagai pengundi @ pemilih dalam pilihan raya. Ini yang dikatakan hangat-hangat tahi ayam.

Golongan tahi ayam ini hanya pandai menjadi tukang karut, tetapi tidak ada kesan dan sumbangan terhadap politik.

Walaupun dipujuk dan disediakan hadiah menarik, mereka tetap enggan mendaftar sebagai tukang pangkah semasa pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sibuk berkempen, tetapi masih ramai tidak mahu mendaftar sebagai pemilih.

Seperti dijelaskan suruhanjaya tersebut, kesedaran mengenai tanggungjawab mengundi masih rendah dalam kalangan mereka yang layak.

Perangkaan dari SPR menunjukkan setakat 31 Mac 2017, lebih 3.7 juta individu berumur 21 tahun dan ke atas masih belum mendaftar sebagai pengundi berbanding 18 juta jumlah keseluruhan rakyat yang layak mendaftar.

Bukannya susah mendaftar sebagai pemilih, tak ada bayaran. Hanya bawa kad pengenalan dan proses pendaftaran di mana-mana pejabat pos mengambil masa tak sampai lima minit.
Mudah seperti ABC.
Tetapi hairan mengapa ada hampir 4 juta yang layak masih liat untuk mendaftar sebagai pemilih, pada hal semua tahu ini adalah hak yang tidak boleh disia-siakan setiap orang.
Ada beberapa andaian diberi geng kopitiam dan ahli jemaah surau. mengapa orang yang layak tidak mahu menjadi pemilih pada PRU14:

Pertama, golongan tua yang layak enggan menjadi pemilih sebab mereka bosan dengan keadaan politik negara sekarang.

Pemimpin politik tidak kira parti asyik bercakaran pagi-petang, siang malam. Ada yang asyik berebut hendak jadi perdana menteri.

Ada yang suka menyingkap keburukan dalam kain orang lain, hinggakan asal usul keturunan, termasuk isu ‘anak lelaki Kutty’ pun dijadikan bahan politik.

Dalam kalangan sesama pemimpin politik Melayu @ Islam pun saling selak-menyelak kain sehinggakan kudis buta, panau, kurap, pekong, sopak, kayap dan lain-lain penyakit kronik semua didedahkan.

Melayu sama Melayu kelahi, orang bukan Melayu tersengih nampak gusi. Maka apa guna menjadi pemilih sekiranya yang hendak dipilih semua haprak.

Kedua, kalau mereka mengundi pun, tidak akan mengubah keadaan. Negara kita sudah teruk dilanda rasuah.

Ada yang kata indeks rasuah menurun, tetapi hari-hari ada sahaja orang ditangkap kerana rasuah. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap hari menangkap bapak jerung, bapak yu, bapak buaya tembaga, bapak dugong, semua kerana songlap duit negara.

Kerana bosan dan sakit hati terhadap bapak rasuah, lebih baik mereka jangan menjadi pemilih. Tidak ada faedah langsung mengundi, jika yang dipilih nanti akan meneruskan tradisi rasuah dan kebas duit rakyat.

Ketiga, dalam kalangan anak muda 21 tahun pula, mereka meluat melihat gelagat sesetengah orang politik. Mereka nampak orang politik sibuk membesarkan tembolok dan perut sendiri.

Orang politik pakai kereta besar, rumah besar, makan angin luar negara, berjoli sakan. Pada hal anak-anak muda amat terdera membayar hutang PTPTN, mengeluh kerana harga rumah mahal, menangis kerana tidak dapat kerja.

Semua ini membuatkan golongan muda tidak mahu menjadi pengundi PRU14.

Mereka lebih suka – dan gila-gila – menjadi pengundi menerusi SMS untuk menentukan siapa juara Maharaja Lawak, siapa juara Gegar Vaganza.

Bagi mereka lupakan sahaja mengundi calon-calon politik haprak pada PRU14; lebih seronok mengundi idola mereka menerusi program-program Realiti TV.

BACA INI JUGA: Cara Daftar Mengundi Dan Semakan Lokasi Pengundian Online

sumber: sinarharian