Sep 26, 2014

Hadis Palsu Dalam Kitab Ihya Ulumuddin Imam al-Ghazali

Al-Imam al-Ghazali adalah seorang tokoh umat Islam yang dihormati. Jasa dan sumbangannya dalam sebahagian bidang agama tidak dapat dilupakan.

Kitab Ihya Ulumuddin

Beliau adalah ahli fikir yang besar. Namun bidang hadis bukanlah pengkhususan beliau. Ini diakui oleh mereka yang alim dalam bidang hadis.

Dan bagi masyarakat Islam di negara ini yang ingin mendalami ilmu agama terutama dalam kalangan bangsa Melayu, kitab Ihya Ulumuddin karangan Sheikh Al Ghazali (Imam al-Ghazali) antara yang amat popular.

Bagaimanapun pakar hadis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datin Paduka Dr Jawiah Akhir mendedahkan, kajiannya menemui terdapat hingga 265 hadis palsu atau mawdu ditemui dalam kitab tersebut.

Dr Jawiah mendedahkan, kajiannya turut mendapati 285 daripada 825 hadis yang sering dipetik oleh masyarakat Melayu adalah mawdu.

Selain Ihya Ulumuddin, kitab lain yang dikesan mengandungi hadis palsu adalah Durrah al Nasihin oleh Al-Hindi, Irshah ‘Ibad’ Ila Sabil Al Rashad (Sheikh Zayn Al-Din Al Malabari), Matla Al Badrayn dan Al Jawhar Al Mawhub wa Munabbihat Al Qulubby (Sheikh Ali Abd Al-Rahman Al Kelantani).

Antara punca hadis palsu menyelinap masuk ke dalam kitab karangan ulama terkenal menurut Dr Jawiah adalah kepentingan politik apabila tercetus konflik antara Sunni dan Syiah bagi mencapai maksud tertentu, kepentingan peribadi penglipur lara untuk mendapatkan imbuhan apabila memperdengarkan sesuatu yang disukai pendengar dan boleh jadi juga berlaku ketika proses terjemahan Bahasa Arab ke Bahasa Melayu.

Apa yang meresahkan, hadis palsu ini telah sebati dalam masyarakat kita dan sering diungkap dengan yakin baik oleh orang yang tidak mempunyai kelayakan agama di kedai kopi mahu pun pendakwah terkenal di kaca TV sebagai mana diajarkan guru mereka.

Walau pun kedengaran agak kontroversi, sebenarnya ini bukan kali pertama kitab Ihya Ulumuddin ditegur oleh ulama seluruh dunia mempunyai hadis meragukan.

Profesor Datin Paduka Dr Jawiah Akhir

Kita lihat apa yang dikatakan oleh tokoh-tokoh hadis mengenai kitab Ihya‘ Ulumiddin, antaranya:

1. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal dunia 774H) dalam kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Baitulmaqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya ‘Ulumiddin.

Ia sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawuf dan amalan hati.

Namun dalamnya banyak hadis yang gharib, mungkar dan palsu.’’ (Rujukan: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)

2. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya Ulumiddin berdasarkan pegangan mereka.

Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis batil yang dia tidak tahu kebatilannya.’’ (Rujukan: Ibn Jauzi, Talbis Iblis, hlm 190, Beirut: Dar al-Kutub al-ilmiyyah).

3. Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H), “"Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil.

Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil daripada ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat.

Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah s.a.w. secara perkataan dan perbuatan".” (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala’, 19/339, Beirut: Dar al-Risalah.)

4. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadis-hadis Nabi dan riwayat-riwayat salaf seperti mana yang dimiliki oleh ahli-ahli yang mengetahui perkara itu.

“Mereka dapat membezakan antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu, al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadis dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya.” (Rujukan: Ibn Taimiyyah, Dar’u Ta’arud al-‘Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad: Dar al-Kunuz al-Adabiyyah.)

Sebagai langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah hadis-hadis palsu dan daif yang terlalu banyak dalam Ihya maka kitab tersebut hendaklah dibaca bersama dengan takhrij (penilaian dan semakan) yang dibuat oleh Al-Hafizd al-‘Iraqi (wafat 806H).

Al-Hafizd Abd. al-Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi telah menyemak hadis-hadis Ihya dengan menyebut sumber hadis-hadis yang disebut dalamnya serta kedudukan hadis-hadis tersebut.

Banyak hadis Ihya telah dihukum tidak ada asal-usul dalam kitab-kitab hadis.

Takhrij al-Hafizd al-‘Iraqi telah dicetak bersama dengan kitab Ihya. Maka hendaklah kita berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab tersebut dengan cara merujuk kepada takhrij berkenaan.

Kata seorang muhaqqiq yang terkenal di zaman ini, al-Syeikh Syu’ib al-Arnaud: Al-Hafizd Abu Fadl Abd al-Rahim al-‘Iraqi (wafat 806H) telah menyemak hadis-hadis Ihya ‘Ulumiddin kesemuanya dalam semua kitab yang dinamakan Al-Mughni ‘an haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya min al-Akhbar. Ia dicetak bersama dengan Ihya. Beliau telah menunjukkan setiap hadis kepada sumbernya serta menyatakan kedudukannya.

Kebanyakan hadis tersebut beliau menghukumnya sebagai daif (lemah) atau palsu, atau ia tidak ada asal daripada ucapan Rasulullah s.a.w.

Maka hendaklah para penulis, khatib, guru dan penceramah berhati-hati dalam memetik dan berhujah dengan hadis-hadis Ihya selama mereka tidak jelas tentang kesahihannya menerusi semakan al-Hafizd al-‘Iraqi.

Sesungguhnya seorang ulama hadis Syam, Badr al-Din al-Hasani telah berkata, “"Tidak harus menyandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh salah seorang huffaz (yang amat pakar dalam hadis) yang dikenali.

Sesiapa yang berkata, “Rasulullah telah bersabda” sedangkan dia tidak tahu kesahihan hadis tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadis “Sesiapa yang berdusta ke atasku apa yang aku tidak ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka".” (Rujukan: Syu’ib al-Arnaud, nota kaki tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala’, 19/340.)

Kata al-Syeikh Abu Syahbah pula, “"Aku nasihatkan kepada sesiapa yang membaca Ihya agar tidak berpegang dengan hadis-hadis yang disebutkan kecuali setelah melihat takhrij al-‘Iraqi.

Jika tidak dia akan terjatuh dalam dosa berdusta sedangkan dia tidak sedar".” (Rujukan: Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm. 254, Kaherah: Dar al-Fikr.)

Antara hadis yang al-Ghazali dikritik hebat kerana menyebutnya dalam Ihya ialah hadis Solat Raghaib iaitu solat yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab.

Hadis cara dan fadilat solat ini disebut dan digalakkan dalam Ihya sedangkan ia dinilai sebagai palsu oleh para ulama hadis.

Al-Hafiz al-‘Iraqi yang menilai hadis ini adalah pakar besar dalam bidang hadis. Beliau menyatakan beliau mendapati tiada asal usul bagi hadis ini.

Al-Imam al-Nawawi (meninggal dunia 676H) ketika mensyarah hadis Muslim daripada Abi Hurairah memetik Baginda bersabda, "Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa)".

Al-Imam al-Nawawi berkata, "“Pada hadis ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada pada malam-malam lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan".

Sepakat para ulama dalam kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadis ini mengenai kesalahan solat bidaah yang dinamakan solat al-Raghaib.

Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bidaah yang mungkar daripada jenis bidaah yang sesat dan jahil.

Padanya kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya.

Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya. (Rujukan: Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211, Beirut: Dar al-Khair.)

Beliau pernah berkata, "Bidaah yang buruk lagi sangat mungkar, jangan terpengaruh dengan ramai yang melakukannya di banyak negeri. Juga jangan terpengaruh disebabkan ia disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya Ulumiddin". (Rujukan: petikan daripada Ali Hasan Ali, Kitab al-Ihya fi Mizan al-Ulama, hlm. 21.)

Al-Imam al-Sayuti (meninggal dunia 911H) menyatakan, "Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib".

Katanya juga, ketahuilah sesungguhnya solat yang bidaah ini menyanggahi kaedah-kaedah Islam dalam beberapa bentuk. (Rujukan: Al-Sayuti: Abd al-Rahman bin Abi Bakr, Al-Amr bi al-Ittiba wa al-Nahy an al-Ibtida hlm. 52-54, Beirut: Dar al-Fikr al-Lubnan.)

Demikian juga kitab-kitab kerohanian kesufian lain yang kebanyakan penulisnya tidak mengambil berat soal kesahihan hadis-hadis.

Ini seperti kitab Tanbih al-Ghafilin yang banyak dibaca di masjid dan surau. Demikian juga Bustan al-Arifin dan lain-lain.

Kata al-Syeikh Abu Syahbah, "Kitab Tanbih al-Ghafilin karangan al-Samarqandi; wajib pembaca berhati-hati terhadap hadis-hadis palsu dan Israiliyyat di dalamnya. Juga kitab Bustan al-Arifin yang juga karangannya patut pembaca berjaga-jaga". (Rujukan: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm. 354, Kaherah: Dar al-Fikr.)

Mengkritik hadis-hadis lemah dan palsu dalam kitab Ihya Ulumiddin tidaklah bermaksud menghina atau melupakan jasa dan sumbangan al-Ghazali. Namun, kita harus berkata benar dan jujur dalam segala perkara.

Menghargai seseorang tidak boleh membawa kita mengatakan kesilapannya sebagai kebenaran. Jasanya dikenang.

Namun kesilapan dinilai agar mereka yang membaca kitab tersebut tidak membuat kesalahan dengan menganggap riwayat yang tidak layak dinilai sebagai hadis dikatakan hadis.

Firman Allah yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu". (al-Nisa’: 135)

Justeru para pembaca kitab-kitab ini hendaklah berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab-kitab tersebut.

BACA INI JUGA: Siapa Sebenarnya Golongan Anti-Hadis?

Sumber: Utusan

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

17 comments

Semog ayang pakar mengenai bidang ini mengambil tindakan sewajarnya

Sepatutnya pihak jabatan agama sentiasa memberikan penerangan sepanjang masa berkaitan masalah begini. Bukannya asyik duduk di kedai kopi..

Kita mmg kena berhati2 skrng ni dgn dakyah secara ilmiah ni.. t kasih atas perkongsian info SP.

Bukankah Imam al-Ghazali cukup terkenal sebagai seorang faqih (ahli fiqh)? Sudah tentu beliau mahir berkaitan fiqh al-hadith, atau ilmu dirayah al-hadith. Beliau tentunya memiliki ilmu yang cukup berkaitan hadis-hadis ahkam. Oleh sebab itu, beliau mampu menghasilkan kitab-kitab fiqh yang menjadi rujukan muktabar dan diiktiraf oleh para ulama, khususnya dalam mazhab al-Syafi‘i.


[*Berhubung ilmu hadis riwayah dan dirayah, saya mengikut pembahagian kebanyakan ulama, namun dengan takrifan al-Muhaddith Sayyid ‘Abdullah al-Ghumari dalam Tawjih al-‘Inayah, yang turut disepakati Prof. Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi. Iaitu ilmu riwayah al-hadith berkaitan para perawi dan riwayat mereka, manakala ilmu dirayah al-hadith hanya berkaitan matan hadis. Berlainan dengan Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali yang mengikut pembahagian Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dalam al-Manhal al-Latif]


Justeru dengan ini, kita dapat lihat Imam al-Ghazali mengetahui tentang dua cabang utama ilmu hadis, iaitu ilmu riwayah al-hadith dan ilmu dirayah al-hadith. Adapun kata-kata Imam al-Ghazali dalam Qanun al-Ta’wil (hlm. 30): “Dan barang bekalanku dalam ilmu hadis adalah sedikit”. Saya berpendapat ianya adalah dalam nada tawaduk dan merendah diri, apatah lagi kerana beliau berani mengisytiharkan dirinya begitu. Dalam erti kata lain, beliau menganggap dirinya bukanlah seorang imam dalam ilmu hadis sebagaimana imam-imam hadis yang tersohor di zamannya ataupun di zaman sebelumnya. Namun, ini tidak bermakna beliau langsung tidak mengetahui ilmu hadis.


Antara imam-imam hadis di zamannya atau di zaman sebelumnya, iaitu sekitar kurun kelima hijrah ialah al-Hakim (w. 405H), Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (w. 412H), Tammam al-Dimasyqi (w. 414H), al-Lalika’i (w. 418H), Hamzah al-Sahmi (w. 427H), Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H), al-Mustaghfiri (w. 432H), Abu Zar al-Harawi (w. 434H), al-Khallal (w. 439H), Abu ‘Amru al-Dani (w. 444H), al-Qudha‘i (w. 454H), al-Bayhaqi (w. 458H), Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463H), al-Khatib al-Baghdadi (w. 463H), Abu al-Qasim Ibn Mandah (w. 470H), al-Baji (w. 474H), al-Sam‘ani (w. 489H), al-Ruyani (w. 501H), al-Daylami (w. 509H) dan lain-lain.


Maka, dakwaan bahawa Imam al-Ghazali tidak mahir hadis perlu disemak semula. Kerana hakikatnya, ia bukan secara umum begitu. Beliau hanya tidak mendalami ilmu riwayah al-hadith dari segi kajian sanad dan praktikalnya secara lebih mendalam, dari sudut al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, serta dari segi periwayatan lautan kitab-kitab hadis secara sama’/talaqqi. Barangkali inilah maksud kenapa beliau menelaah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim di akhir hayatnya, iaitu kerana ingin mendalami rijal al-hadith dalam kedua-dua kitab sahih yang agung tersebut, dan sebagai usaha permulaan bagi mendengar dan menelaah lautan kitab-kitab hadis yang amat banyak bilangannya. Sebagaimana sebahagian ulama merekodkannya di dalam kitab-kitab sanad mereka.


Jelasnya, meskipun Imam al-Ghazali bukanlah seorang imam atau tokoh besar dalam ilmu hadis, beliau dianggap masih berkeupayaan dalam ilmu hadis, riwayah dan dirayahnya.

sedih, banyak sangat hadis palsu... hadis ni kena hati2... baca boleh, percaya jangan... kita dah dizaman jahilliyah ni bro.. hurm :)

saya lebih percaya ulama amilin yang belajar bertallaqqi dengan guru mereka ..dr golongan yang belajar sendiri.. mengkaji sendiri ..saya nak tanya orng yang mengatakan terdapat hadis 2 palsu dan direka2 ,,dlam ihya.. adakah kamu belajar kitab itu atau hanya mutolaah ... berapa hadis ribu hadis yang kamu hafal ...kamu kena igt imam ghazali.. zamannya lebih hampir kepada nabi drpd zaman kita sekarang Ni...

tapi... Klu d beri pilihan antara dr jawiah dgn imam ghazali ...saya masih pilih al imam ....

Kitab Ihya Ulumuddin yang paling ditakuti kaum wahabi.

Ini lah bila belajar agama cara barat

pihak yg bertanggungjawab kena perihatin ler.jgn duk melepaskan batuk ditangga... tindakan xada

Berapa ribu hadis yang dr.jawiah hafal secara bersanad sampai dapat title pakar hadis ni?

http://www.aswj-rg.com/2014/11/keagungan-kitab-ihya-ulumuddin.html

trimakasih ilmunya aku pelajari

Saya memilah Imam Gahzali. "Hujjatul Islam". Harap Dr. beradab bila melakukan komentar

Shit.... sejauh mana ilmu mu nak komen imam AlGhazali...berapa byk dah hadis yg telah di sembunyikan oleh pihak2 Al Wahabi???? Aku memang berpegang teguh pada imam Alghazali dlm ihya Ulumuddin

Berhati-hati dengan jarum Wahabi. Pilihlah kata-kata ulama yang muktabar berbanding ulama yang hanya pandai mendhaifkan atau memaudu'kan sesuatu hadis. Ketahuilah bahawa Imam al-Ghazali lebih alim dalam ilmu hadis berbanding dengan ulama yang menghentam Ihya' Ulumuddin. Beliau juga telah menjalani pengalaman rohani yang tidak dilalui oleh ulama lain.

Pernahkan kalian dengar "Hanya jauhari yang mengenal manikam"? Renung dan fikir-fikirkanlah...

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon