Jumaat, Februari 28, 2014

Siapa Sebenarnya Golongan Anti-Hadis?


Loading...

Isu Kassim Ahmad hangat diperkatakan akhir-akhir ini. Ramai mengulas di media arus perdana dan media sosial. Sebelum mengulas isu Kassim, secara ringkasnya, apa itu hadis?

Golongan-anti-hadis

Pengertian hadis seperti dijelaskan oleh ahli ilmu, antaranya Ibnu Hajar, dan ulama lain sebagai sesuatu diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW sama ada perkataan, perbuatan, perakuan, ataupun sifat yang merujuk kepada akhlak atau sesuatu yang ALLAH ciptakan pada tubuh badan Baginda SAW.

Sejarah quraniyyun

Dalam penerimaan hadis, manusia terbahagi kepada empat kelompok; Pertama, Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpegang dan beramal dengan hadis Nabi Muhammad SAW sebagai sebagai sumber agama bersama al-Quran al-Karim.

Nabi Muhamad SAW bersabda: “Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, kalian tidak akan sesat selama mana kalian berpegang teguh dengan keduanya; iaitu Kitabullah dan sunnah NabiNya.” (Riwayat Malik, Al-Muwattha)

ALLAH SWT berfirman: “Sekiranya kamu berselisih dalam apa jua perkara, kembalikanlah ia kepada ALLAH dan Rasul (yakni al-Quran dan Sunnah).” (Surah Al-Nisa: 59)

Ulama tafsir, antaranya Ibn Abbas RA mentafsirkan, "kembali kepada ALLAH" dalam ayat ini merujuk kepada al-Quran, manakala "kembali kepada Rasul" itu merujuk kepada hadis. Ini adalah pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Kelompok kedua, mereka menolak hadis dan hanya menggunakan al-Quran sahaja. Jika dilihat melalui penulisan Kassim, dan umum bercakap tentangnya pada hari ini, mendapati dia membawa ideologi anti hadis yakni menolak hadis dan menyeru manusia beramal dengan al-Quran sahaja.

Contoh pandangan dan pendapat dibawa adalah ‘memadai kita dengan al-Quranul Karim’, ‘al-Quran sudah cukup manakala hadis Nabi SAW datang daripada mulut manusia’, ‘dalam al-Quran mengatakan “Kami tidak meninggalkan suatu pun dalam al-Quran” maknanya al-Quran merangkumi dan menjelaskan segala-galanya’, juga firman ALLAH “Dia (Muhammad) tidak bercakap sesuatu mengikut hawa nafsunya, melainkan adalah wahyu yang diwahyukan ALLAH ke atasnya” (Surah Al-Najm: 3-4).

Atas asas ini dia mengatakan apa yang dikatakan oleh Nabi SAW adalah wahyu yakni al-Quran sahaja. Manakala hadis tidak boleh dipakai.

Kelompok ketiga, mereka juga anti hadis, dari segi menolak hadis sahih sama ada daripada Sahih Bukhari, Muslim dan selainnya, tapi dalam masa sama mencipta hadis baharu lagi palsu. Ini merujuk kepada Syiah.

Masalah Syiah adalah lebih besar daripada isu Kassim walaupun tidak dinafikan kedua-duanya bahaya dan merosakkan agama Islam.

Keempat, adalah golongan orang mengiktiraf kedudukan al-Quran dan sunnah, tetapi tidak beramal dengannya. Mereka mengambil separuh, tinggal separuh, ataupun tidak beramal.

Ini mungkin kerana malas, suka melakukan maksiat dan fasik. Jadi ini adalah empat kategori manusia secara amnya dalam berurusan dengan hadis Nabi SAW.

Sejarah orang menolak hadis sebenarnya sudah panjang lebar, maksudnya ia sudah lama berlaku. Antara yang popular dalam sejarah penolakan hadis antaranya adalah golongan Muktazilah.

Mereka mengambil pendekatan menolak hadis yang bukan dalam kategori mutawatir. Maksud mutawatir adalah riwayat itu disampaikan satu kelompok yang besar/ramai kepada satu kelompok ramai yang mana mustahil dengan jumlah tersebut mereka berpakat untuk berbohong.

Al-Quran sampai kepada kita secara mutawatir. Maka mustahil untuk orang berbohong dalam menyampaikan ayat al-Quran kepada kita.

Maka mereka terima al-Quran. Sebaliknya, mereka menolak hadis yang bukan mutawatir khususnya dalam bidang akidah, kerana akidah/kepercayaan memerlukan keyakinan penuh dan pasti menurut pendirian muktazilah.

Muktazilah sebenarnya ideologi asas kepada anti-hadis. Tetapi kemudian datang pemikiran yang lebih teruk lagi sehingga membentuk satu pemikiran quraniyyun ini.

Terbentuknya ideologi quraniyun ini sehingga menolak semua hadis dengan hujah yang disebutkan tadi. Antaranya firman ALLAH, “Dia (Muhammad) tidak bercakap ikut hawa nafsu, melainkan apa yang disampaikan adalah wahyu yang ALLAH wahyukan kepadanya”, “ALLAH tidak tinggalkan sesuatu pun penjelasan dalam al-Quran” maknanya semua telah dijelaskan.

Metodologi periwayatan

Kita ingin lontarkan beberapa persoalan kepada golongan anti hadis, dan perlu mereka jawab; dari mana mereka mendapat tafsiran terhadap ayat al-Quran yang mereka gunakan itu?

Itu isunya. Jika hendak dibandingkan tafsiran mereka dengan tafsiran Nabi Muhammad SAW, lebih baik kita mengambil tafsiran Nabi SAW.

Ini kerana ALLAH berikan wahyu kepada Muhammad, dan Baginda sampaikan kepada kita kitab al-Quran. Jadi siapakah yang paling faham wahyu? Adakah Baginda atau kita?

Persoalan kedua, mengapa anti hadis menerima al-Quran, dan apa bukti mereka al-Quran itu benar? Tidak ada anti hadis yang boleh membuktikannya melainkan dengan metodologi sama yang diguna pakai ahli hadis dan ahli tafsir.

Maka jika mereka hendak mempertikaikan kedudukan hadis, mereka perlu mempertikaikan al-Quran juga. Bagaimana mereka membuktikan al-Quran itu benar?

Ini kerana kita membenarkan hadis Nabi SAW kerana metodologi, kaedah dan proses periwayatan. Kita juga membenarkan al-Quran kerana metodologi periwayatannya yang sama.

Kalau al-Quran diterima kerana metodologi periwayatan, mengapa tidak boleh diterima hadis kerana metodologi periwayatan juga? Mereka sebenarnya mencanggahi pendirian mereka sendiri.

Adapun teori yang mereka timbulkan, adakah teori mereka itu benar? Adakah teori mereka itu boleh didahulukan dan diiktiraf jika dibandingkan dengan metodologi ulama Islam terdahulu dan jika hendak dibandingkan dengan Nabi SAW sendiri?

Kemudian dia mengatakan kita meletakkan ulama itu seperti kasta paderi, mendewakan ulama seperti golongan nabi yang tidak salah dan tidak silap.

Beginilah, dalam kalangan kita sendiri pun ada orang yang kita percaya dan ada orang kita tidak percaya. Maka begitu jugalah dalam periwayatan hadis.

Ada orang boleh dipercayai dalam periwayatan hadis, dan ada orang yang tidak dipercayai dan hadis tidak diambil daripadanya. Semua itu ditetapkan kaedah di atas landasan ilmu yang teliti dan ketat.

Pendirian terhadap Kassim

Isu anti hadis ini satu isu yang panjang lebar dan perlu dibahaskan. Apabila bercakap mengenai Kassim secara khasnya, saya secara peribadi belum pernah berjumpa dan berbincang dengannya.

Saya hanya membaca bukunya, kemudian membaca beberapa kenyataannya dalam blognya dan beberapa isu yang berkisar dengannya yang berlegar di maya. Jakim juga mengeluarkan fatwa tentang beliau sendiri secara khususnya.

Setakat ini saya lihat pandangan dan tulisannya itu cenderung ke arah menolak hadis (fahaman Quraniyyun), di mana dia mengajak orang mengamalkan al-Quran sahaja dan meninggalkan hadis.

Walaupun dia tidak mengatakan dia menolak Nabi Muhammad SAW secara langsung, tetapi ahli sunnah secara prinsipnya melihat apabila seseorang itu menolak hadis, itu bererti dia menolak Baginda SAW, walaupun dia menafikan secara perkataan dia menolak Nabi Muhammad SAW.

Saya suka bertemu dan berbincang dengan beliau bagi melihat pandangan beliau secara langsung, walaupun sudah ada dari sudut penilaiannya terhadap hadis dan sebagainya, tetapi siapakah yang telah berdiskusi dan berbicara dengan beliau.

Ini kerana kita kena ingat, hatta seseorang itu dikaitkan dengan Syiah, dan kita lihat dia memang pro-Syiah, tetapi untuk menghukum seseorang individu itu adalah Syiah totok, itu sudah tentu memerlukan bukti yang jelas serta ditegakkan hujah ke atasnya terlebih dahulu.

Maka begitu juga sewajarnya perlu diadakan pertemuan dengan kasim supaya kita boleh melihat isu ini dengan lebih jelas dan dekat.

Adapun setakat ini melalui pembacaan dan penilaian saya terhadap kenyataan beliau, saya melihat beliau adalah termasuk golongan Quraniyyun/anti hadis. Wallahu a’lam.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis (Dr Fathul Bari Mat Jahya) yang dipetik dari blog beliau.

BACA INI JUGA: Percanggahan Syiah Dengan Ajaran Islam

Sumber: Sinar Harian Online

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

2 comments

Salam,

Jika tak silap saya, KA menerima 40% riwayat hadis dan menolak 60% riwayat hadis nilaiannya menyebabkan dia dilabel ANTI HADIS, bagaimana pula status Imam Bukhari dan 5 yg lain yang hanya merima riwayat hadis 1% dan menolak 99% riwayat hadis yg mereka temui atas nilaian mereka sendiri..... apakah Imam Bukhari dan 5 yg lain jugak patut dilabel ANTI HADIS?

Fahaman anti-Hadis adalah kafir. Sejak 25 tahun yang lalu, fahaman ini telah dan sedang berkembang pesat di kalangan umat Islam di Malaysia kita ini kerana kerajaan kita yang mendorong dan memberi laluan mudah kepada mereka.


Pengasas ajaran sesat ini ialah Rashad Khalifa dpd Mesir. Beliau belajar fahaman ini dpd Goldhizer, seorang Yahudi dpd Germany. Dpd Mesir, Rashad Khalifa berhijrah ke Amerika dan dpd sana beliau mengembangkan fahaman ini ke seluruh dunia termasuk ke Malaysia kita ini.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon