Sunday, February 03, 2019

Ratan Tata Manusia Terkaya Di Dunia Tetapi Tidak Tersenarai Dalam Forbes

Ratan Tata Manusia Terkaya Di Dunia Tetapi Tidak Tersenarai Dalam Forbes

Senarai manusia terkaya atas muka bumi masih kekal diungguli oleh Bill Gates dengan kekayaan RM364 billion, diikuti oleh Warren Buffet dengan dan nama-nama lain seperti Jeff Bezos dan Mark Zuckerberg.

Ratan Tata Manusia Terkaya

Namun, apa yang mengejutkan adalah ada sebuah syarikat multinasional yang mempunyai kekayaan melebihi nama-nama di atas dan tidak disenaraikan dalam manusia paling kaya di dunia.

Syarikat tersebut tak lain dan tak bukan adalah Kumpulan Tata, dari India.

Sejarah Kumpulan Tata

Kumpulan Tata ditubuhkan pada 1868 oleh pengasasnya, Jamsetji Tata. Nama Tata mula menjadi bualan dan mendapat perhatian antarabangsa selepas bekerjasama dengan jenama terkenal dunia.

Dan Kumpulan Tata kini mengendalikan 96 buah syarikat yang mana 30 daripadanya disenarai awam termasuklah Tata Steel, Tata Motors, Tata Consultancy Services, Tata Power, Tata Chemicals, Tata Global Beverages, Tata Teleservices, Titan, Tata Communications, Taj Group dan banyak lagi.

Dan jumlah permodalan pasaran keseluruhan syarikat ini bernilai RM719 billion. Jadi, dengan nilai sebanyak ini, mengapa bekas Pengerusi Kumpulan Tata, Ratan Tata dan pewaris Tata tak pernah dinamakan dalam senarai manusia terkaya di dunia?

Keuntungan dan kekayaan didermakan

Sebabnya adalah, 65% daripada keuntungan dan kekayaan keluarga dan syarikat ini diberikan kepada organisasi amal, dan bukan ditambahkan kepada kekayaan peribadi Ratan Tata. Malah, kekayaan Ratan Tata sebagai individu tidak melebihi USD1 billion.

Ratan Tata yang dilahirkan pada 28 Disember 1937, merupakan anak kepada Naval Tata. Naval Tata pula merupakan anak angkat kepada Navajbai Tata, dan cucu angkat kepada pengasas syarikat Tata, Jamsetji Tata yang diambil dari Rumah Anak Yatim J.N. Petit Parsi. Pendek kata, Ratan Tata merupakan cicit angkat kepada pengasas syarikat ini.

Ratan Tata menamatkan pendidikannya di Universiti Cornell dalam kursus seni bina dan kemudiannya menyambungkan pelajaran di Harvard Business School pada tahun 1975 dalam Program Pengurusan Lanjutan. Pada tahun 1991, Ratan diberikan tanggungjawab menggalas tugas sebagai pengerusi Kumpulan Tata.

Dengan bakat yang ada, keuntungan yang dijana Kumpulan Tata meningkat dari 40% kepada 50% di bawah pentadbiran beliau.

Terlibat dalam kerja amal sejak mula

Sejak awal penubuhan lagi keluarga Tata memang sudah terlibat dalam kerja amal dan sangat dermawan. Mereka telah menyumbang dalam banyak perkara dalam membaikpulih kehidupan masyarakat setempat.

Antaranya adalah membaikpulih fasiliti penjagaan kesihatan, meningkatkan taraf sistem pendidikan, memperjuangkan kesaksamaan hak, sukan dan memelihara seni di India.

Antara institut yang ditubuhkan oleh Kumpulan Tata untuk kebajikan termasuklah:
  1. The Energy and Resources Institute.
  2. The JRD Tata Ecotechnology Centre
  3. National Centre for Arts
  4. Tata Centre for Technology and Design at Massachusettes Institute of Technology
  5. Tata Institutes if Social Sciences
  6. Tata Football Academy
  7. Tata Cricket Academy
  8. Tata Centre for Technology and Design at IIT Bombay
  9. Tata Management Training Centre
  10. Tata Medical Centre.
  11. Tata Memorial Hospital
  12. Tata Trusts
  13. Tata Cancer Hospitals

Pada tahun 2007, Kumpulan Tata dianugerahkan penghargaan Carnegie Medal of Philanthropy di atas sumbangan amal mereka. Namun kerja-kerja amal mereka tidak terhenti di India sahaja, malah di peringkat antarabangsa juga.

Kumpulan Tata telah menjadi penderma antarabangsa yang menyumbang dalam bentuk wang terbanyak kepada Harvard Business School iaitu RM210 juta.

Wang tersebut didermakan untuk digunakan dalam pembinaan blok akademik dan bangunan asrama di kampus Boston, Massachusetts. Selain itu, Tata Chemicals juga telah melancarkan peranti pembersih air dalam rumah yang diberi nama Tata swach, dan dijual dengan harga yang sangat murah iaitu RM88.

Ia membolehkan rakyat India yang kurang berkemampuan mendapat bekalan air yang bersih.

"Apa yang saya mahu lakukan adalah meninggalkan syarikat yang mampan yang beroperasi dengan teladan dari segi etika, nilai dan meneruskan apa yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita," - Ratan Tata

Hasilkan perisian untuk golongan buta huruf

Anak syarikat Kumpulan Tata, Tata Consultancy Services Limited (TCS) telah menghasilkan perisian komputer yang dikatakan mampu mengajar individu buta huruf untuk membaca, dalam hanya 40 jam pembelajaran.

Selain itu, syarikat ini juga sentiasa memastikan para pekerjanya terbela dengan memperkenalkan sistem pencen, fasiliti perubatan, cuti bersalin dan banyak lagi di setiap pejabat Tata di seluruh India.

Hotel Taj, anak syarikat Kumpulan Tata pernah diserang menyebabkan kerosakan pada bangunannya dan menyebabkan para pekerja terpaksa berhenti seketika menunggu ia dibaikpulih. Kumpulan Tata tidak membiarkan kakitangan ini dengan tetap memberikan gaji, dan membayar pampasan kepada pekerja landasan kereta api, kakitangan polis, pejalan kaki, penjual pasaran, dan penjaga kedai yang terjejas akibat serangan itu.

Usaha menghapuskan malaria di India

Pengumuman terbaru oleh Kumpulan Tata adalah mereka sedang dalam usaha menghapuskan malaria sepenuhnya dari India dan sedang membina The Tata Institute of Genetics and Society dengan kos RM294 juta.

Tujuan pembinaan institut ini adalah untuk mengkaji dan mengubahsuai DNA nyamuk di India bagi membebaskan negara itu daripada penyakit maut tersebut.

Kerana kerja-kerja amal yang tiada penamatnya membuatkan mereka tidak menjadi antara salah seorang manusia terkaya di dunia.

Matlamat utama mereka bukan untuk menjadi manusia terkaya di dunia tetapi menyumbang kepada masyarakat menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk didiami.

Kasih sayang dan penghormatan yang diterima oleh Ratan Tata daripada masyarakat cukup untuk membuatkan beliau manusia paling kaya, gembira dan puas di dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Monday, October 15, 2018

27 Tahun Gali Kolam Tadahan Hujan, Dulu Dianggap 'Gila' Kini Jadi Wira

27 Tahun Gali Kolam Tadahan Hujan, Dulu Dianggap 'Gila' Kini Jadi Wira

Kampung Saja Pahad adalah satu komuniti terpencil di negeri Chhattisgarh yang mengalami masalah kekurangan sumber air sejak sekian lama.

27 Tahun Gali Kolam Tadahan Hujan

Memiliki hanya dua perigi, penduduk tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk ternakan mereka apatah lagi untuk mengairi tanaman.

Penduduk tidak tahu apa patut dilakukan dan kerajaan pula mengabaikan rayuan mereka tetapi seorang remaja ‘gila’ menangani masalah itu seorang diri.

Shyam Lal baru berusia 15 tahun apabila dia mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Dia mencari satu kawasan sesuai berhampiran hutan dan mula menggali kolam bagi menjadi lokasi tadahan air untuk digunakan seluruh kampung.

Pada mulanya, penduduk kampung mentertawakan usaha anak muda itu dan mereka menganggap tindakan Lal sebagai gila.

Selepas 27 tahun, Lal yang kini berusia 42 tahun dianggap sebagai wira oleh penduduk kampungnya.

Lubang kecil yang digali Lal menggunakan alat tradisional itu kini berkeluasan 0.4 hektar dan sedalam lima meter yang penuh dengan air, cukup untuk digunakan penduduk kampungnya.

“Tiada siapa yang membantu saya, sama ada kerajaan atau penduduk kampung,” kata Lal kepada Hindustan Times.

Kisah Lal menjadi inspirasi selepas tular di Internet sehingga kerajaan menghargai sumbangannya dan menghadiahkan wang tunai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Friday, June 08, 2018

Kisah Bagaimana Siaran Piala Dunia 1982 RTM 'Di Taja Oleh Rakyat Malaysia'

Kisah Bagaimana Siaran Piala Dunia 1982 RTM 'Di Taja Oleh Rakyat Malaysia'

Mungkin ramai yang tidak tahu Piala Dunia 1982 ternyata turut mempunyai sejarah yang manis buat Rakyat Malaysia. Segalanya bermula apabila RTM mengumumkan pihak mereka cuma mampu menyiarkan perlawanan separuh akhir, penentuan tempat ketiga dan final berikutan dana yang tidak mencukupi.

Kisah Bagaimana Siaran Piala Dunia 1982 RTM 'Di Taja Oleh Rakyat Malaysia'

Dalam usaha untuk merealisasikan impian menonton Piala Dunia 1982 secara keseluruhan, seorang individu yang dikenali dengan nama Peter Teo telah membuat panggilan ke RTM untuk mencadangkan sebuah solusi yang menyatukan Rakyat Malaysia.

Solusi yang diumumkan adalah cadangan untuk menghasilkan sebuah tabung khas dimana Rakyat Malaysia boleh menderma bagi menjayakan misi menonton Piala Dunia 1982.

Dengan persetujuan RTM sebuah tabung telah dilancarkan yang dinamakan sebagai ‘People’s Live Telecast Fund (PLTF)’.

Siap sangka, tabung yang dicadangkan hasil peminat bola sepak ini menjadi kenyataan apabila Rakyat Malaysia berjaya mengumpul dana yang diperlukan iaitu sebanyak RM300,000.

Akhirnya hasrat Rakyat Malaysia untuk menonton Piala Dunia 1982 berjaya menjadi kenyataan.

Difahamkan, antara penyumbang terbesar di dalam tabung PLTF terdiri daripada Tun Mahathir dan juga Agong Ke-7, Sultan Ahmad Shah.

Perkara yang paling nostalgia dan ikonik pada Piala Dunia 1982 yang ditayangkan RTM pastinya slogan ‘Di Taja Oleh Rakyat Malaysia’ yang disertakan semasa piala dunia ini berlangsung.

Demam Piala Dunia Melanda, Tetapi Rakyat Tiada Cara Untuk Mengubatinya

Piala Dunia hampir bermula di Espanyol, tetapi di Malaysia, semua orang resah. RTM telah mengumumkan bahawa hanya empat perlawanan akan disiarkan secara langsung: perlawanan pembukaan, separuh akhir dan akhir. Siaran empat perlawanan ini ditaja oleh syarikat minyak besar, Shell tetapi RTM tidak ada duit yang cukup untuk siarkan perlawanan-perlawanan lain.

Pada 13 Jun 1982, rakyat Malaysia menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia 1982 di antara Belgium dan Argentina (dengan seorang pemain muda bernama Diego Maradona). Belgium telah berjaya menewaskan gergasi antarabangsa 1-0.

Di mana-mana anda lihat, rakyat Malaysia bersama-sama terpegun dan bersorak selama 90 minit itu.

Tetapi sebaik sahaja wisel referee menandakan akhirnya perlawanan itu berbunyi, semua orang bagaikan tak dapat percaya bahawa – untuk beberapa minggu lagi – mereka tidak akan dapat menyaksikan perlawanan hebat lain yang pasti akan dimainkan di Espanyol.

Demam Piala Dunia telah melanda, tetapi RTM tidak ada cukup duit untuk mengubatinya.

Di dalam situasi ini, seorang ejen insurans bernama Peter Teo, 27 tahun, mendapat sebuah idea yang akan menyatukan seluruh rakyat Malaysia, demi cinta kepada sukan bola sepak.

The People’s Live Telecast Fund (PLTF) – Setiap Rakyat, RM1, Mesti Cukup.

Pada hari esoknya, Peter Teo mebuat satu panggilan telefon kepada suratkhabar Malay Mail yang akan menyatukan seluruh rakyat Malaysia bersama dalam cinta mereka untuk bola sepak.

Rancangan Peter Teo begitu mudah. Mengikut kira-kiranya, jika setiap rakyat Malaysia menyumbang hanya RM1, pasti akan dapat mengumpul cukup duit untuk siarkan Piala Dunia 1982 bagi seluruh Malaysia.

RTM membalas dan bersedia menyiarkan satu perlawanan secara langsung jika RM60,000 dikumpul.

Dengan satu tujuan yang jelas dan persetujuaan di antara RTM dan rakyat, usaha siaran yang ditaja oleh rakyat pun bermula.

Kempen ini diberikan nama People’s Live Telecast Fund atau Dana Rakyat Siaran Langsung (PLTF).

Ini dikatakan sebagai kempen crowdfunding pertama sekali yang telah dimulakan oleh rakyat Malaysia, pada tahun 1982.

Menurut Bola Sepak Retro (FB), kempen crowdfunding tersebut bermula secara perlahan, tetapi menarik perhatian dengan cepat. Ini jumlah yang dikumpul oleh PLTF pada hari-hari permulaan kempen itu.

19 Jun: RM228

20 Jun: RM730

21 Jun: RM5,000

22 Jun: RM20,000

Pada hari ini, suratkhabar New Nation di Singapura melaporkan bahawa pembantu pengarang (assistant editor) di The Malay Mail telah mengatakan:
“The paper has been inundated with telephone calls from generous individuals as well as companies.”

“The fund is gaining momentum,” he said.

Pelbagai cara kreatif dimulakan untuk menyumbang kepada dana PLTF ini oleh individu dan syarikat seluruh Malaysia.

Sebagai contoh, satu syarikat tempatan menyumbangkan secara percuma t-shirt kepada Malay Mail untuk dijual, dengan hasilnya sehingga RM3,000.

Setiap hari, The Malay Mail menyenaraikan setiap nama penderma di dalam halaman-halaman suratkhabar mereka.

Senarai ini semakin panjang setiap hari, termasuk nama-nama individu terkenal seperti Yang-Dipertuan Agong Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad.

23 Jun: RM40,000.

24 Jun: lebih kurang RM66,116.45

Dalam hanya 6 hari, rakyat Malaysia telah berjaya mengumpul RM60,000 yang diperlukan untuk siaran langsung satu perlawanan Piala Dunia 1982.

Tetapi usaha itu tidak berhenti dengan capaian itu sebaliknya, ia berterusan dengan lebih pantas.

25 Jun: RM156,000 (dengan sumbangan RM50,000 daripada Caltex Malaysia)

Pada 26 Jun, sebuah perlawanan bola sepak amal diadakan yang melibatkan artis-artis Malaysia dan wartawan daripada The Malay Mail.

5,000 tiket dijual untuk perlawanan ini dengan harga RM5 dan RM10. Semua hasilnya ditujukan kepada Dana Tajaan Rakyat PLTF.

Dengan semua usaha ini, RM300,000 dikumpulkan oleh rakyat Malaysia.

Kisah Bagaimana Siaran Piala Dunia 1982 RTM 'Di Taja Oleh Rakyat Malaysia'

Akhirnya, dengan semua usaha ini, lebih kurang RM300,000 telah dikumpulkan oleh rakyat Malaysia.

Jika ini merupakan kempen crowdfunding pertama di Malaysia, rakyat Malaysia telah berjaya mengumpul %500 daripada jumlah asal RM60,000.

Dan paling penting sekali, demam Piala Dunia rakyat Malaysia akhirnya akan diubati. Dengan duit yang dikumpul, RTM siarkan secara langsung 4 perlawanan berikut:
  • England 0 – 0 German Barat
  • Soviet Union 0 – 0 Poland
  • Itali 3 – 2 Brazil: Perlawanan yang diiktiraf oleh Esquire UK sebagai perlawanan bola sepak terbaik yang pernah disaksikan dunia. Itali akan terus muncul sebagai juara Piala Dunia 1982.
  • England 0 – 0 Sepanyol

Dengan perlawanan pembukaan, separuh akhir dan akhir yang telah dijanjikan oleh RTM sebelum ini, rakyat Malaysia dapat menyaksikan 8 perlawanan hebat di Piala Dunia 1982, Espanyol.

Dengan baki duit yang ada di PLTF, RTM membuat keputusan untuk siarkan perlawanan amal UNICEF Match All-Star pada 7 Ogos 1982 yang berakhir FIFA World Star 2 – 3 Europe.

Pada setiap dari 5 perlawanan yang disaksikan, tertera di kaca TV: “Ditaja Oleh Rakyat Malaysia.”

Pada setiap dari 5 perlawanan yang disaksikan, tertera di kaca televisyen “Siaran Langung Ini Ditaja Oleh Rakyat Malaysia.”

Segalanya bermula daripada satu panggilan telefon.

Segalanya berjaya dengan semangat dan usaha individu, syarikat dan rakyat Malaysia tanpa kira bangsa, agama dan pangkat.

Untuk mereka yang dapat mengambil bahagian dalam usaha ini, melihat perkataan-perkaatan itu pasti akan menimbulkan perasaan bahagia dan bangga di dalam hati.

Seringgit, seorang. Demam Piala Dunia. Panggilan yang menyatukan rakyat.

Semoga kisah ini terus menjadi inspirasi untuk rakyat Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket | skolafund

Monday, December 25, 2017

Hari Krismas Yang Menyatukan Dua Musuh!

Hari Krismas Yang Menyatukan Dua Musuh!

Sambutan hari Krismas atau juga dikenali sebagai hari Natal yang diraikan penganut Kristian merupakan salah satu sambutan yang sinonim dalam kalendar dunia. Majoriti sambutan ini berlangsung pada 25 Disember setiap tahun walaupun dibeberapa tempat lain ada yang merayakannya pada 7 Januari kerana mengikut kalendar berbeza.

Hari Krismas Yang Menyatukan Dua Musuh!

Namun, tahukah anda, pada 24 Disember 1914, telah bermula 'Hari gencatan Senjata Krismas' atau Christmas Truce of 1914 antara dua blok sekutu yang sedang berperang di Eropah ketika itu.

Blok pertama, terdiri daripada gabungan Perancis, British, Rusia, Amerika Syarikat dan negara-negara Komanwel.

Manakala blok kedua, terdiri dari Jerman dan rakan sekutunya seperti Austria-Hungary, Empayar Turki Uthmaniyah dan Bulgaria.

Semasa hari Krismas mula menjelang pada Disember tahun 1914, ramai tentera yang merindukan kampung halaman, terbayang hidangan enak di malam perayaan.

Oleh yang demikian dimedan perang, apabila hari Krismas hampir tiba, mula kedengaran ura-ura 'gencatan-senjata' buat sementara waktu antara kedua-dua pihak yang berperang.

Disebuah kawasan yang bernama Ypres di Belgium, hampir 100,000 tentera British dan Jerman yang sedang berperang, masing-masing berada di kubu pertahanan sendiri.

Sungguhpun tiada pengumuman rasmi tentang gencatan senjata itu, kedua-dua pihak telah menghentikan segala bentuk serangan menjelang Krismas.

Hari Krismas Yang Menyatukan Dua Musuh!

Askar-askar yang bertugas dibahagian semboyan ditugaskan untuk menyampaikan mesej dan nota tentang cadangan gencatan senjata sempena hari krismas.

Mesej-mesej saling dihantar antara kedua-dua pihak.

Antara mesej yang dihantar pihak Jerman berbunyi, "Jerman tidak akan melepaskan tembakan selagi British juga tidak berbuat demikian."

Parit, kubu dan benteng pertahanan dihias dengan cahaya lilin. Hidangan istimewa turut disajikan meskipun ia sebenarnya serba ringkas. Muzik-muzik hiburan turut kedengaran.

Pagi 25 Disember 1914, tentera Jerman dan British bertemu di sebuah kawasan lapang dan saling mengucapkan selamat antara satu sama lain.

Mereka sama-sama menjamu hidangan dan minuman seperti biasa, bagaikan bukan berada dalam situasi peperangan.

Malah, kedua-dua pihak meraikan Krismas dengan bermain bola sepak, sukan kegilaan masyarakat Inggeris dan Jerman.

Hari Krismas Yang Menyatukan Dua Musuh!

Mereka melupakan seketika permusuhan dalam perang dan lebih menarik, perlawanan bola sepak tersebut adalah 50 sebelah, dengan lebih kurang 100 orang pemain berebut sebiji bola.

Malah, salah seorang daripada tentera Jerman yang turut sama pada waktu itu adalah seorang askar berpangkat Koperal yang bertugas sebagai 'penghantar-mesej' iaitu Adolf Hitler!

Ada juga kisah menyebut bahawa usaha kearah gencatan senjata sempena Hari Krismas itu dipelopori oleh majoriti anggota berpangkar rendah, tidak kira dari pihak British mahupun Jerman.

Sedangkan pegawai-pegawai tinggi dari kedua-dua belah pihak seakan tidak menyenangi tindakan itu.

Gencatan senjata sejak Krismas tahun 1914 itu dilihat berpanjangan melewati bulan Februari 1915.

Banyak insiden diperbatasan perang dimana hanya 'tembakan angin' yang dilancarkan dari kedua-dua pihak, sekadar melepaskan tembakan di udara ekoran peristiwa gencatan senjata Krismas 1914.

Kisah ini kemudiannya kekal dalam sejarah. Apa yang boleh dipelajari, manusia mampu bersatu dalam hal-hal tertentu terutamanya dalam perkara yang punyai persamaan.

Hari Krismas Yang Menyatukan Dua Musuh!

Lihat saja kisah diatas, elemen bola sepak dan Krismas ternyata mampu menyatukan pengikut dua kuasa yang sedang berperang.

Tapi, kita di Malaysia?

Bola sepak atau hari raya apatah lagi politik, tetap bertelagah sesama sendiri.

Buat semua pembaca yang beragama Kristian, Selamat Menyambut Hari Natal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Asal-usul Sambutan Hari Krismas

-SENTIASAPANAS.COM