Saturday, August 12, 2017

Senarai Filem Terbaru Wajib Tonton Ogos 2017

Senarai Filem Terbaru Wajib Tonton Ogos 2017

Filem terbaharu bagi bulan Ogos nampaknya bakal dikuasai oleh filem seram yang awal-awal lagi sudah mencetus 'histeria' dikalangan penonton.

Untuk filem-filem terbaru sebelum ini, anda boleh menyemak senarai filem wajib tonton bulan Julai.

Berikut adalah senarai filem-filem terbaru di pawagam yang anda boleh tonton bersama pasangan mahupun keluarga.

Dark Tower

Dark Tower

  • Tarikh Tayangan: 3 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Fantasi, Seram, Fiksyen Sains
  • Pelakon: Idris Elba, Matthew McConaughey, Tom Taylor, Jackie Earle Haley, Katheryn Winnick

Selepas mendapat tahu mengenai dimensi lain yang dipanggil Mid-World, seorang budak lelaki berusia 11 tahun bernama Jake Chambers telah pergi ke dimensi tersebut.

Dia kemudian bertemu dengan seorang pahlawan, Roland Deschain, dan menyertainya dalam misi mencari `Dark Tower` yang berada di Hujung Dunia.

Deschain berharap dapat sampai ke `Dark Tower` itu supaya dia dapat menghalang dunia yang sedang nazak daripada musnah, tetapi pengembaraan mereka tidak mudah kerana mereka perlu berdepan pelbagai jenis raksasa dan juga seorang ahli sihir bernama Walter Padick.

Ghost House

Ghost House

  • Tarikh Tayangan: 3 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Seram
  • Pelakon: Scout Taylor-Compton, James Landry Hébert, Mark Boone Junior

Berkisarkan tentang pasangan muda yang pergi bercuti di Thailand. Apabila mereka tiba di sana, mereka telah bersikap biadap terhadap Ghost House. Kini mereka diburu oleh roh yang mahu memberi pengajaran kepada mereka.

Fairy Tail: Dragon Cry

Fairy Tail - Dragon Cry

  • Tarikh Tayangan: 3 Ogos 2017
  • Bahasa: Jepun
  • Genre: Anime

Berdasarkan manga popular oleh Hiro Mashima dengan judul sama, Dragon Cry adalah artifak magik berbahaya yang mana dengan kuasa secukupnya ia mampu memusnahkan dunia.

Ia telah dicuri dari kuil dan kini berada di tangan raja Kingdom of Stella, Animus. Pasukan Natsu of Fairy Tail telah ditugaskan untuk mendapatkan semula Dragon Cry.

Mereka menyeludup masuk ke Kingdom of Stella dan bertemu gadis misteri bernama Sonia dan mereka perlu berdepan pelbagai cabaran dan bahaya untuk menyelesaikan misi mereka.

The Osiris Child: Science Fiction Volume One

The Osiris Child - Science Fiction Volume One

  • Tarikh Tayangan: 3 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Aksi, Pengembaraan
  • Pelakon: Kellan Lutz, Daniel MacPherson, Isabel Lucas, Luke Ford

Kane adalah Leftenan di Exor, sebuah syarikat terraform planet untuk manusia di Bumi. Satu hari dia mendapati syarikat tersebut secara rahsia mencipta makhluk yang dikenali sebagai Raggeds yang akan menghapuskan populasi di planet-planet.

Makhluk ini kemudian telah terlepas dan Exor membuat rancangan untuk mengebom planet untuk menutup perkara sebenar.

Kane kini perlu bekerjasama dengan bekas jururawat bernama Sy untuk mencari dan menyelamatkan anak perempuannya daripada kemusnahan global.

Revolt

Revolt

  • Tarikh Tayangan: 10 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Fiksyen Sains
  • Pelakon: Lee Pace, Berenice Marlohe, Amy Louise Wilson

Manusia berada di puncak kehancuran selepas makhluk asing menjajah bumi dan mengancam untuk menghapuskan semua manusia.

Ketika perang tercetus di negara Afrika, seorang askar Amerika dan pekerja bantuan dari Perancis terpaksa bekerjasama dan membantu antara satu sama lain demi menyelamatkan diri.

Sepanjang perjalanan mereka melalui medan perang, askar itu mula menyedari identiti sebenarnya yang boleh menjejaskan hubungan mereka.

Jailangkung: Datang Gendong Pulang Bopong

Jailangkung - Datang Gendong Pulang Bopong

  • Tarikh Tayangan: 10 Ogos 2017
  • Bahasa: Indonesia
  • Genre: Seram
  • Pelakon: Jefri Nichol, Amanda Rawles, Hannah Al Rashid, Lukman Sardi, Wulan Guritno, Gabriella Quinlyn

Tiga beradik iaitu Bella, Angel dan Tasya cuba merungkai misteri yang terjadi kepada bapa mereka yang tiba-tiba koma.

Mereka mendapat bantuan daripada Rama dan Kapten Wardana yang telah membawa mereka ke sebuah tempat di mana mereka menemui Jailangkung, patung yang boleh memanggil kembali roh orang mati.

Pencuri Hati Mr. Cinderella

Pencuri Hati Mr. Cinderella

  • Tarikh Tayangan: 10 Ogos 2017
  • Bahasa: Melayu
  • Genre: Romantik
  • Pelakon: Ahmad Idham, Atikah Suhaimie, Eizlan Yusof, Cat Farish, Faye Kusairi, Hairul Azreen, Haliza Misbun

Filem drama romantik ini mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan berjaya hidup kesunyian. Dia kemudian telah mengupah wanita GRO muda untuk menemaninya melakukan aktiviti hariannya.

Bagaimanapun tanpa disedari kedua-dua mereka mula jatuh cinta antara satu sama lain.

Annabelle: Creation

Annabelle - Creation

  • Tarikh Tayangan: 10 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Seram, Ngeri
  • Pelakon: Stephanie Sigman, Miranda Otto, Alicia Vela-Bailey, Anthony LaPaglia, Talitha Bateman

Ia mengisahkan tentang seorang pembuat patung dan isterinya. Selepas beberapa tahun kejadian maut anak perempuan mereka, mereka mengambil keputusan untuk membenarkan seorang biara dan beberapa anak yatim tinggal di kediaman mereka.

Tidak lama kemudian, mereka menjadi sasaran patung yang dirasuk, Annabelle.

The Hitman's Bodyguard

The Hitman's Bodyguard

  • Tarikh Tayangan: 17 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Aksi, Pengembaraan
  • Pelakon: Ryan Reynolds, Samuel L. Jackson, Gary Oldman, Elodie Yung, Salma Hayek

Seorang pengawal peribadi terhebat terpaksa bekerjasama dengan bekas musuhnya, seorang pembunuh upahan yang perlu memberi keterangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Mereka perlu membuang perbezaan masing-masing bagi menumpaskan seorang diktator dalam masa 24 jam.

The Battleship Island

The Battleship Island

  • Tarikh Tayangan: 17 Ogos 2017
  • Bahasa: Korean
  • Genre: Aksi, Sejarah
  • Pelakon: Hwang Jung-Min, So Ji-Sub, Song Joong-Ki, Lee Jung-Hyun, Yoon Dae-Yool, Kim Soo-Ahn

Lee Kang-OK adalah seorang kondukter muzik di hotel Kyungsung. Dia telah meninggalkan Jepun untuk melindungi anak perempuannya, tetapi mereka telah dihantar ke Hashima (Pulau Peperangan) iaitu kem buruh, di mana mereka dipenjara dan dipaksa untuk bekerja di lombong arang.

Turut menerima nasib sama adalah Choi Chil Seong, seorang pelawan jalanan terbaik di Kyungsung yang sering menimbulkan masalah ketika di kem buruh, dan Park Moo-Yeong, pejuang kebebasan yang berjaya menyelinap masuk untuk menyelamatkan individu penting dalam pergerakan kebebasan yang dipenjara di sana.

Mereka adalah antara 400 pekerja Korea yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk melarikan diri dari Hashima.

Amityville: The Awakening

Amityville - The Awakening

  • Tarikh Tayangan: 17 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Seram, Ngeri
  • Pelakon: Bella Thorne, Cameron Monaghan, Jennifer Jason Leigh, Thomas Mann, Jennifer Morrison

Belle, adik perempuannya Juliet dan kembarnya James telah berpindah ke sebuah rumah baru bersama ibu mereka, Joan, bertujuan untuk menjimatkan wang untuk membantu kos perubatan abangnya.

Tetapi apabila perkara aneh mula berlaku di rumah, termasuk abangnya pulih dengan cepat dan Belle sering diganggu mimpi ngeri, Belle mula mengesyaki ibunya tidak memberitahu perkara sebenar.

Dia kemudian mendapat tahu yang mereka berpindah ke rumah Amityville yang mempunyai sejarah berdarah.

Abang Long Fadil 2

Abang Long Fadil 2

  • Tarikh Tayangan: 24 Ogos 2017
  • Bahasa: Melayu
  • Genre: Aksi, Komedi
  • Pelakon: Zizan Razak, Syamsul Yusof, Tania Hudson, Wak Doyok, Achey Bocey, Shuib Sepahtu

Fadil mendapati dirinya terjerumus ke dunia mafia yang didalangi oleh Taji Samprit dan anaknya Wak Doyok.

Namun masalah mula timbul apabila Fadil telah disalah anggap oleh Inspektor Wahab dan Inspektor Shuib sebagai pembunuh upahan yang dikenali sebagai Tiger.

Masalah makin bertambah teruk apabila ia turut melibatkan seorang wartawan TVKL bernama Yana yang membuat liputan kes-kes pembunuhan yang dilakukan oleh Tiger.

Kini Fadil terpaksa menjalani kehidupan sebagai pembunuh upahan walaupun dia bukanlah seorang pembunuh.

Untuk membersihkan namanya dan membuktikan dia tidak bersalah, Fadil perlu mencari identiti sebenar Tiger.

Renegades

Renegades

  • Tarikh Tayangan: 31 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Aksi, Ngeri
  • Pelakon: Sullivan Stapleton, J.K. Simmons, Charlie Bewley

Filem arahan Steve Quale ini mengisahkan tentang sepasukan Navy SEALs telah menjumpai harta karun di dasar tasik Bosnia.

Inhumans

Inhumans

  • Tarikh Tayangan: 31 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Aksi, Pengembaraan, Fiksyen Sains
  • Pelakon: Anson Mount, Iwan Rheon, Serinda Swan, Eme Ikwuakor, Isabelle Cornish, Ken Leung

Black Bolt adalah King of the Inhumans, dia mempunyai suara yang sangat berkuasa yang mana dengan hanya berbisik sahaja ia mampu memusnahkan bandar.

Berikutan berlaku rampasan kuasa oleh tentera, raja itu perlu membawa keluarganya melarikan diri dari Bumi demi menyelamatkan mereka.

Mereka telah tiba di Hawaii di mana mereka merasai pengalaman dengan kehidupan dunia dan manusia.

American Made

American Made

  • Tarikh Tayangan: 31 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Jenayah, Ngeri
  • Pelakon: Tom Cruise, Domhnall Gleeson, Jesse Plemons, Sarah Wright

Barry Seal adalah seorang juruterbang TWA yang direkrut oleh CIA untuk mengawal ancaman komunis di Pusat Amerika.

Seal menjadi seorang ejen dalam satu misi rahsia, tetapi berikutan skandal Iran telah membawa kepada malu besar terhadap Rumah Putih Reagan.

The Son Of Bigfoot

The Son Of Bigfoot

  • Tarikh Tayangan: 31 Ogos 2017
  • Bahasa: Inggeris
  • Genre: Animasi
  • Pelakon: Bob Barlen, Cal Brunker

Seorang remaja bernama Adam keluar untuk mencari bapanya yang sudah lama hilang, tetapi kemudian dia mendapati bapanya sebenarnya adalah Bigfoot, yang telah bersembunyi di hutan untuk beberapa tahun demi melindungi dirinya dan keluarga daripad HairCo, sebuah organisasi yang mahu menggunakan DNA-nya untuk melakukan eksperimen saintifik.

Apabila bapa dan anak mula berhubung semula, HairCo mula menjejaki mereka.

Malay Regiment

Malay Regiment

  • Tarikh Tayangan: 31 Ogos 2017
  • Bahasa: Melayu
  • Genre: Aksi, Sejarah
  • Pelakon: Yus Waisar, Nad Zainal, Z.Zamri, Dato' Ahmad Tarmimi Siregar

Filem perang ini diangkat dari kisah sebenar pada 16 April 1976 dan 15 Julai 1946 semasa Ops Kota Gubir I & II yang mana pasukan kesalamatan dari unit 17 RAMD telah menggempur beberapa kem pengganas komunis di sempadan Malaysia-Thai berhampiran Gubir di Kedah.

Dalam operasi kedua menyaksikan Kapten Zainal bin Abd Rashid telah gugur selepas berjaya membunuh tiga orang pengganas komunis.

Operasi tersebut telah berjaya membunuh enam daripada 15 pengganas komunis selain berjaya merampas pelbagai jenis senjata dan bom.

Selamat menonton.

BACA INI JUGA: 5 Filem Seram Terbaik Asia

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, July 07, 2017

Kisah Bagaimana P. Ramlee Menyelamatkan Kerjaya Seni Nordin Ahmad

Kisah Bagaimana P. Ramlee Menyelamatkan Kerjaya Seni Nordin Ahmad

Satu kepuasan besar dikecapi P. Ramlee apabila berjaya menarik Nordin Ahmad keluar dari keadaan yang mengaibkan berikutan dengan kegagalan filem PERMATA DI PERLIMBAHAN arahan Hj Mahadi terbitan tahun 1952.

P Ramlee dan Nordin Ahmad

P. Ramlee bukan sahaja berjaya mengeluarkan Nordin Ahmad dari keaiban itu malahan berjaya meletakkannya di satu tempat yang sangat tinggi sebagai seorang pelakon yang berwatak dan berkarisma besar serta disanjung tinggi oleh rakan-rakan dan peminatnya.

PERMATA DI PERLIMBAHAN merupakan filem pertama Nordin Ahmad membawa peranan hero yang menggandingkannya bersama Maria Menado.

Filem itu juga membolehkan Hj Mahadi bergelar sebagai anak Melayu pertama menjadi pengarah filem.

Malang sekali filem itu gagal di pasaran dan ini bermakna tertutup ruang untuk Nordin Ahmad terus menjadi hero. Begitu juga dengan Hj Mahadi yang tertutup terus pintu untuk terus menduduki bangku pengarah.

Nordin Ahmad selalu mengadu kepada P. Ramlee mengenai betapa malu dan tertekan perasaannya.

Malahan Nordin Ahmad juga pernah membayangkan kepada P. Ramlee untuk meninggalkan bidang lakonan dan ingin pulang ke Pulau Pinang.

Tetapi P. Ramlee meminta sahabatnya itu supaya bersabar dan menganggap ianya sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi.

Hati Nordin Ahmad bertambah tenang apabila P. Ramlee mengakui bahawa Nordin Ahmad adalah seorang pelakon yang berwatak besar tetapi hanya belum menemui peluang untuk membuktikan keupayaan tingginya itu.

Peluang Nordin Ahmad untuk membuktikan kehandalan lakonannya dibuka oleh P. Ramlee melalui filem SEMERAH PADI pada tahun 1956.

Dalam filem itu P. Ramlee menjadikan Nordin Ahmad sebagai hero utama dan P. Ramlee sendiri sanggup memainkan peranan sebagai hero kedua.

Semasa ingin meletakkan “kredit tittle” filem ini, nama Nordin Ahmad diletakkan dikedudukan paling atas. Nama Sa’adiah dibawahnya kemudian baru nama P. Ramlee.

Apabila Nordin Ahmad mendapat tahu, beliau tidak bersetuju dan meminta P. Ramlee mengubah kedudukan namanya dibawah nama P. Ramlee.

Dengan tenang P. Ramlee menjawab, “Din, aku buat filem ini untuk hang. Aku ingin menaikkan nama hang, jadi gunakanlah kesempatan ini dengan sebaik-baiknya wahai sahabatku”.

Apabila Nordin Ahmad mendengar kata-kata P. Ramlee itu beliau terdiam dan terus berlalu meninggalkan P. Ramlee seolah-olah faham apa disebalik kata-kata P. Ramlee itu.

Nordin Ahmad telah mengejutkan semua peminat filem Melayu di zaman itu dengan lakonannya yang mantap dan bermutu tinggi dalam filem SEMERAH PADI.

Pujian besar telah diberikan kepadanya dan dengan sekelip mata Nordin Ahmad telah menjadi seorang pelakon yang berwatak besar setanding P. Ramlee.

P. Ramlee menitiskan air mata melihat kejayaan sahabatnya itu. Begitu juga Nordin Ahmad sebak dadanya mengenangkan jasa yang terlalu besar telah di tabur oleh P. Ramlee kepadanya.

“Segala-galanya berubah kepada kegemilangan selepas P. Ramlee mengambil dan memberi kepercayaan kepada saya untuk berlakon di dalam filem Semerah Padi,” demikian kata Nordin Ahmad kepada wartawan yang menemubual beliau.

Bertolak dari kejayaan Nordin Ahmad di dalam SEMERAH PADI masa depannya sebagai pelakon terus bersinar.

Apabila Nordin Ahmad berhijrah ke studio Cathay-Keris pada penghujung tahun 1957, beliau merupakan hero paling utama di studio berkenaan dan pelakon yang menerima bayaran dan bonus paling tinggi sekali.

Nordin Ahmad adalah daya kekuatan kepada filem keluaran Cathay-Keris dalam memberi saingan kepada filem-filem keluaran MFP.

Jikalau filem itu pelakon utamanya Nordin Ahmad ianya sudah pasti mendapat jaminan box office apabila ditayangkan di pawagam.

Disamping pula gandingan Nordin Ahmad dan LATIFAH OMAR sebagai pasangan paling serasi di layar perak telah berjaya membuatkan ianya sebagai satu fenomena kepada peminat filem Melayu di zaman itu.

Apabila Nordin Ahmad sudah berada di puncak kemahsyuran di Cathay-Keris beliau tidak pernah lupa kepada P. Ramlee dan rakan-rakannya di Jalan Ampas.

Sesekali beliau akan menziarahi rakan-rakannya disana yang pernah bersama-sama bersahabat dengannya antaranya, S. SUDARMADJI, A. RAHIM, S. SHAMSUDIN, AZIZ SATTAR dan P. Ramlee sendiri.

Nordin Ahmad selalu berkata kepada wartawan yang menebualnya apabila merujuk kepada kejayaan dalam kerjayanya, “Apabila setiap kali orang memperkatakan tentang kejayaan lakonan saya, P. Ramlee orang yang berhak berkongsi kejayaan itu bersama-sama saya, kerana P. Ramlee yang merubah keadaan saya, dari gelap menjadi terang.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

sumber: thepatriots

Thursday, July 06, 2017

Senarai Filem Wajib Tonton Julai 2017

Senarai Filem Wajib Tonton Julai 2017

Nampaknya senarai filem yang anda wajib tonton bagi bulan Julai ini semakin berterusan dengan penerbit tidak henti-henti menayangkan senarai hebat.

Bagi peminat-peminat tegar filem, berikut kami senaraikan filem-filem wajib tonton sepanjang bulan Julai 2017 ini.

House Of The Disappeared
Bahasa: Korean
Tarikh Tayangan: 6 Julai 2017
Genre: Misteri, Ngeri

House Of The Disappeared

Min-hee seorang suri rumah yang telah ditangkap dan dipenjara selama 25 tahun atas tuduhan membunuh suaminya. Anak lelakinya juga telah hilang selepas insiden itu.

Selepas dibebaskan dari penjara, Min-hee pulang ke rumah di mana insiden tersebut berlaku bagi merungkai misteri di sebalik kematian suaminya dan kehilangan anak lelakinya.

Spider-Man: Homecoming
Bahasa: Inggeris
Tarikh Tayangan: 6 Julai 2017
Genre: Aksi, Pengembaraan, Superhero

Spider-Man: Homecoming

Susulan daripada kejadian dalam "Captain America: Civil War", Peter Parker pulang ke rumah di mana dia tinggal dengan Aunt May.

Di bawah mentornya, Tony Stark, dia mula mempelajari untuk mengimbangi dunianya sebagai seorang pelajar dan juga adiwira.

Peter cuba kembali kepada rutin harian normalnya tetapi apabila penjahat bernama Vulture muncul, semuanya terjejas.

War For The Planet Of The Apes
Bahasa: Inggeris
Tarikh Tayangan: 13 Julai 2017
Genre: Aksi, Drama, Fiksyen Sains

War For The Planet Of The Apes

Filem ini mengikuti konflik di antara Caesar serta rakan beruknya dan tentera manusia yang diketuai oleh Kolonel yang kejam.

Caesar yang bergelut dengan naluri gelapnya memulakan misi untuk membalas dendam selepas mereka kehilangan banyak nyawa dalam konflik itu.

Dia kemudian mendapati dirinya bersemuka dengan Kolonel dalam satu pertempuran epik, yang akan menentukan bukan sahaja nasib kedua-dua spesis, tetapi juga masa depan planet Bumi.

Crayon Shin-Chan: Invasion!! Alien Shiriri
Bahasa: Jepun
Tarikh Tayangan: 13 Julai 2017
Genre: Anime

Crayon Shin-Chan: Invasion!! Alien Shiriri

Satu hari, makhluk asing dari angkasa lepas bernama Shiriri tiba di Bumi dan bertemu dengan keluarga Nohara.

Shiriri kemudian telah menukar ibu bapa Shin-chan, Hiroshi dan Misae, menjadi kanak-kanak.

Untuk menukar mereka semula kepada bentuk asal, Shin-chan dan ibu bapanya perlu mencari bapa Shiriri yang berada di Jepun.

Wu Kong
Bahasa: Mandarin
Tarikh Tayangan: 13 Julai 2017
Genre: Aksi, Drama, Fantasi

Wu Kong

Sun Wu Kong dilahirkan di Huaguo Mountain dengan mempunyai hati batu. Salah satu general berkuasa di Heaven, Hua Ji, mahu membunuhnya.

Wu Kong telah diselamatkan oleh seorang sami, Bodhi, yang kemudian mengambilnya sebagai pengikut.

Sementara itu, Yang Jian telah ditawarkan untuk menjadi tuhan - tetapi ada harga. Dia perlu membunuh Zixia, anak perempuan kepada musuh Maharaja Heaven, tetapi dia jatuh cinta dengan gadis itu.

Tian Peng pula pengawal Hua Ji yang telah diarahkan untuk menyiasat Wu Kong.

Ketiga-tiga mereka telah dihantar ke sekolah Heaven, dengan masing-masing mempunyai misi berbeza. Ketika di sana hidup mereka mula berubah.

Valerian And The City Of A Thousand Planets
Bahasa: Inggeris
Tarikh Tayangan: 20 Julai 2017
Genre: Aksi, Pengembaraan, Fiksyen Sains

Valerian And The City Of A Thousand Planets

Ejen pengembara masa Valerian dan Laureline telah dihantar untuk satu misi ke bandar galaksi Alpha. Beribu jenis spesis dari empat sudut alam semesta hidup di metropolis itu.

Sebanyak 17 juta penduduk hidup bersama dan bergabung bakat, teknologi dan sumber untuk kebaikan semua.

Bagaimanapun, tidak semua di Alpha berkongsi objektif sama, kerana terdapat kuasa yang akan membuatkan hidup manusia dalam bahaya.

Kini ia terletak pada Valerian dan Laureline untuk melindungi spesis manusia.

Wish Upon
Bahasa: Inggeris
Tarikh Tayangan: 20 Julai 2017
Genre: Fantasi, Seram, Ngeri

Wish Upon

Seorang pelajar sekolah tinggi, Claire Shannon, tidak mempunyai kehidupan yang senang; ibunya telah membunuh diri 12 tahun lalu, bapanya seorang pengutip barangan buangan dan dia sering dibuli di sekolah.

Satu hari, bapanya telah membawa balik sebuah kotak muzik misteri.

Apabila Claire mendapati ia adalah kotak magik yang boleh menunaikan impiannya, dia mula menggunakannya untuk mencapai kehidupan sempurna seperti yang diinginkan.

Sebagaimana permintaannya membawa kegembiraan dan kejayaan, orang di sekelilingnya mula mati dalam keadaan ngeri setiap kali dia membuat permintaan.

Dunkirk
Bahasa: Inggeris
Tarikh Tayangan: 20 Julai 2017
Genre: Aksi, Drama, Sejarah

Dunkirk

Diarahkan oleh Christopher Nolan, "Dunkirk" berkisarkan tentang sejarah Pemindahan Dunkirk yang berlaku ketika Perang Dunia II.

Ia menceritakan bahaya yang dihadapi ketika memindahkan tentera Bersekutu dari pantai ke pelabuhan Dunkirk, Perancis ketika dikepung oleh tentera Jerman pada Mei 1940.

Menggunakan kapal perkhidmatan dan kapal awam, lebih 300,000 tentera British dan Perancis dipindahkan secara perlahan-lahan dari pantai.

Baby Driver
Bahasa: Inggeris
Tarikh Tayangan: 20 Julai 2017
Genre: Aksi, Komedi, Jenayah

Baby Driver

Seorang pemuda yang mempunyai skil memandu yang bagus dipaksa untuk bekerja dengan seorang ketua penjenayah.

Dia kemudian mendapati dirinya telah terlibat dalam satu rompakan yang mengancam hidup, cinta dan kebebasannya.

Atomic Blonde
Bahasa: Inggeris
Tarikh Tayangan: 27 Julai 2017
Genre: Ngeri

Atomic Blonde

Lorraine Broughton, pengintip terhebat untuk MI6, telah dihantar ke Berlin ketika Perang Dingin untuk menyiasat dan menumpaskan rangkaian pengintip kejam yang telah membunuh ejen penyamaran untuk alasan yang tidak diketahui.

Dia juga perlu mendapatkan semula senarai `double agent` yang hilang. Menerusi pengembaraannya, dia telah diminta untuk bekerjasama dengan ketua balai Berlin, David Percival.

Overdrive
Bahasa: Inggeris
Tarikh Tayangan: 27 Julai 2017
Genre: Aksi, Ngeri

Overdrive

Andrew dan Garrett Foster adalah dua beradik yang mempunyai kepakaran dalam mencuri kereta mewah. Mereka telah mengembara ke selatan Perancis untuk mencari peluang baru.

Mereka kemudian diupah untuk mencuri kereta Bugatti 1937, tetapi mereka tertangkap.

Pemilik kereta tersebut, ketua penjenayah Jacomo Morier, mahu dua beradik ini mencuri kereta daripada musuhnya Max Klemp sebagai pertukaran dengan nyawa mereka.

Bukan kereta biasa yang dia mahu dua beradik itu curi, sebaliknya dia mahukan kereta paling berharga buat Kemp iaitu Ferrari 250 GTO 1962.

Shot Caller
Bahasa: Inggeris
Tarikh Tayangan: 27 Julai 2017
Genre: Jenayah, Ngeri

Shot Caller

Ia berkisarkan tentang seorang gangster yang baru keluar dari penjara. Bekas banduan itu telah dipaksa oleh ketuanya untuk kembali melakukan jenayah besar bersama geng musuh di jalanan Southern California.

The Doll 2
Bahasa: Indonesia
Tarikh Tayangan: 27 Julai 2017
Genre: Seram

The Doll 2

Maira dan Aldo hidup gembira bersama anak perempuan mereka bernama Kayla dan pembantu rumah mereka bernama Yani. Tetapi satu kemalangan telah meragut nyawa Kayla dan ini telah mengubah hidup kedua-dua mereka.

Miara bertukar menjadi seorang yang murung dan Aldo sentiasa menyibukkan dirinya dengan kerja tetapi 6 bulan kemudian, sehari sebelum hari jadi Kayla, Maira merasakan seperti dirinya tidak bersendirian.

Bunyi pintu terbuka pada waktu malam, TV buruk terpasang sendiri, dan suara kanak-kanak memanggilnya. Patung kegemaran Kayla bernama Sabrina juga sering berubah tempat.

Rakan baik Maira, Elsa kemudian mencadangkan supaya dia cuba berkomunikasi dengan Kayla menggunakan Sabrina sebagai orang tengah.

Sejak dari itu, Maira mula merasa tidak selesa dan percaya Kayla yang menganggunya.

Aldo tidak percaya, tetapi Maira yakin Kayla sekarang berada dalam patung Sabrina juga berkomunikasi dengannya.

Selamat menonton.

BACA INI JUGA: Filem Bajet Rendah Yang Mencapai Kejayaan Besar!

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, April 03, 2017

Filem Animasi ‘The Boss Baby’ Sarat Dengan Keseronokan Untuk Tontonan Seisi Keluarga

Filem Animasi ‘The Boss Baby’ Sarat Dengan Keseronokan Untuk Tontonan Seisi Keluarga

Kalau sebut sahaja nama DreamWorks Animation, pasti ramai akan terus ingat dengan filem Shrek, Kung Fu Panda, Madagascar dan banyak lagi.

The Boss Baby

Jadi DreamWorks menambah satu lagi portfolio hebat dalam senarai mereka menerusi filem The Boss Baby ini.

Direktor filem ini pula adalah Tom McGrath, direktor yang sama di sebalik kejayaan filem-filem hebat DreamWorks sebelum ini seperti Madagascar dan Megamind.

Kalau anda pernah tonton animasi-animasi ini, anda pasti boleh agak betapa fun-nya filem The Boss Baby ini nanti!

Jalan filem The Boss Baby ini berkisahkan Tim Templeton (Tobey Maguire) yang menceritakan dirinya ketika berusia tujuh tahun sebagai seorang yang kuat cemburu, kuat bercakap dan perlu menjaga adiknya, ‘Boss Baby’ (Alec Baldwin).

Tim mahu mendapatkan kembali kasih sayang ibu bapanya (Jimmy Kimmel dan Lisa Kudrow) daripada adik barunya tetapi ketika mengintip adiknya pada satu malam, Tim mendapat tahu adiknya itu adalah lebih dari sekadar baby.

The Boss Baby mempunyai satu misi penting iaitu untuk menggagalkan pelan jahat Puppy Co, yang ingin melancarkan satu produk unggul yang akan melenyapkan rasa cinta manusia terhadap bayi comel.

Jadi kita terus ke kupasan filem ini.

Paling menarik tentang filem ini adalah tentang bagaimana DreamWorks berjaya mengadun lawak di dalam filem ini supaya ianya boleh diterima oleh kanak-kanak dan orang dewasa.

Ada lawak di dalam filem ini yang hanya akan difahami oleh orang dewasa. Contohnya dalam babak Boss Baby sedang bermesyuarat dengan baby yang lain. Ada dialognya berbunyi begini,”Cookies are for closers!”.

Kalau anda yang kerja bahagian sales, mesti anda faham terma close sale kan? Haha.

Sindrom anak pertama turut diterapkan dalam filem ini.

Sebelum kehadiran Boss Baby, Tim dicurahi dengan kasih sayang dan sangat gembira dengan perhatian yang diberikan oleh ibu bapanya.

Tetapi selepas kehadiran adiknya, Tim merasakan beliau kurang disayangi dan kini dilayan dengan teruk oleh ibu bapanya.

Rasanya ramai yang boleh relate dengan perasaan Tim ini terutamanya jika anda anak sulung dalam keluarga.

Cerita ini juga straight-forward dan mudah untuk difahami oleh setiap generasi. Cerita ini dari awal sehingga tamat, happy sahaja dan penuh gelak tawa.

Tetapi ada juga bahagian sedih dalam filem ini yang terasa sampai ke hati. Nak tahu bahagian mana? Itu anda kena tengok sendiri.

Pada pendapat saya, DreamWorks Animation sekali lagi berjaya dalam membuat penonton gembira dengan enjoy every minutes filem ini.

Tiada ruang untuk anda berasa bosan kerana adengan aksi dan lucu diadun dengan baik sepanjang filem ini.

Untuk filem The Boss Baby, saya beri rating 8/10.

Kecomelan overload sungguh dalam filem Boss Baby ini. Kalau anda mahu belanja anak, adik kecil anda tengok wayang hujung minggu ini, anda boleh KIV filem Boss Baby ini.

Adios!

BACA INI JUGA: Animasi Mulan Adaptasi Kisah Benar!

sumber: thevocket

Thursday, March 30, 2017

Filem Beauty and The Beast Boleh Tayang Babak Gay!

Filem Beauty and The Beast Boleh Tayang Babak Gay!

Kelulusan tayangan filem ‘Beauty and The Beast’ di bawah klasifikasi P13 tanpa ditapis diputuskan Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) dan bukannya oleh Lembaga Penapis Filem (LPF), menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beauty & The Beast Gay

KDN dalam kenyataan itu menjelaskan JKRF adalah sebuah jawatankuasa yang bebas daripada LPF yang ditubuhkan berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 dan tidak terikat dengan keputusan LPF.

“JKRF diperuntukkan kuasa untuk mengesahkan, mengubah atau mengakas keputusan LPF,” tambahnya.

KDN menyatakan pandangan bahawa LPF membuat ‘u-turn’ atau mengubah keputusannya dalam menapis filem Beauty and The Beast adalah tidak berasas.

KDN turut menyatakan LPF menapis filem Beauty and the Beast itu pada 17 Februari dan memberi keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) melibatkan tiga potongan dan satu dialog disenyapkan atas asas ia mengandungi elemen mempromosi gaya hidup gay.

Menurut KDN, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan LPF boleh mengemukakan rayuan kepada JKRF dalam masa 30 hari dari tarikh keputusan LPF.

Menurut KDN lagi, pihak pengeluar filem iaitu Walt Disney Pictures, Amerika Syarikat melalui syarikat Buena Vista Columbia Tristar Films (M) Sdn. Bhd. mengemukakan rayuan kepada JKRF pada 20 Mac.

JKRF menapis filem itu dan menimbang rayuan pihak pengeluar filem pada 21 Mac serta memutuskan untuk beri kelulusan untuk tayangan di Malaysia di bawah klasifikasi P13 tanpa ditapis (Lulus Bersih dengan klasifikasi P13), katanya.

Ia atas alasan elemen gay dalam filem tersebut adalah ringan dan tidak menjejas elemen positif yang dipaparkan dalam filem tersebut, tambahnya.

“Kewujudan LPF dan JKRF secara berasingan berdasarkan undang-undang iaitu Akta Penapisan Filem (2002) menunjukkan terdapatnya elemen semak dan imbang dalam proses penapisan filem di negara ini,” menurut KDN.

Mengenai penangguhan tayangan filem itu di Malaysia, KDN menjelaskan ia adalah keputusan pihak pengeluar iaitu Walt Disney Pictures dan pengedar filem, Buena Vista Columbia Tristar Films.

“Keputusan penangguhan tayangan filem berkenaan tiada kaitan dengan LPF,” menurut KDN. Naskhah bercorak muzikal dan fantasi itu akan ditayangkan di pawagam di Malaysia 30 Mac.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Friday, March 17, 2017

Senarai Filem Wajib Tonton Mac 2017

Senarai Filem Wajib Tonton Mac 2017

Bagi peminat-peminat filem hebat dipawagam, berikut merupakan senarai filem-filem terbaharu yang telah dan bakal ditayangkan wajib anda tonton bersama keluarga mahupun pasangan masing-masing.

Bagi yang belum menonton senarai filem terbaharu bulan Januari, anda boleh melihat senarainya disini, Senarai Filem Wajib Tonton Januari 2017!

Senarai filem-filem baru wajib tonton bulan Mac 2017:

Logan
Tarikh Tayangan: 2 Mac 2017
Genre: Aksi/Pengembaraan
Bahasa: Inggeris

Logan

Logan perlu menjaga Professor X yang sedang dalam keadaan tenat dan kedua-dua mereka bersembunyi di sempadan Mexico.

Tetapi apabila seorang mutan muda baru tiba, diburu oleh kuasa gelap, Logan mendapati cubaannya untuk menyembunyikan diri dari dunia gagal dan dia perlu sekali lagi menggunakan kuasanya sebagai Wolverine.

School Tales
Tarikh Tayangan: 9 Mac 2017
Genre: Seram
Bahasa: Thailand

School Tales

Ahli pancaragam sebuah sekolah sedang melakukan latihan akhir di kawasan sekolah dan kerana latihan mereka tamat lewat, mereka mengambil keputusan untuk bermalam di sana.

Sekumpulan pelajar nakal kemudian berkumpul dan mula bercerita mengenai kisah hantu, iaitu kisah mengenai sekolah mereka yang telah diwarisi sejak beberapa generasi.

Selepas selesai bercerita, beberapa pelajar mengambil keputusan untuk mencabar sama ada kisah itu betul atau tidak.

Bagaimanapun, apabila kumpulan pelajar itu pulang, ada di antara mereka telah hilang.

Kong: Skull Island
Tarikh Tayangan: 9 Mac 2017
Genre: Aksi/Pengembaraan
Bahasa: Inggeris

Kong: Skull Island

Sepasukan pengembara telah menemui sebuah pulau prasejarah yang mana mereka bertemu dengan King Kong.

Mereka kemudian menyedari Kong bukanlah satu-satunya makhluk misteri di pulau itu.

Don't Kill It
Tarikh Tayangan: 9 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Fantasi/Seram

Don't Kill It

Apabila syaitan purba secara tidak sengaja terlepas di pekan Mississippi, Chickory Creek, pemburu syaitan Jebediah Woodley bekerjasama dengan seorang ejen FBI, Evelyn Pierce, untuk menentang kuasa paranormal itu demi menyelamatkan manusia.

Therapist
Tarikh Tayangan: 16 Mac 2017
Bahasa: Mandarin
Genre: Seram/Ngeri

Therapist

Yan adalah seorang gadis biasa yang mempunyai masalah yang banyak dalam hidupnya. Satu hari dia telah mengalami batuk teruk sehingga tidak dapat bernafas.

Apabila dia berhenti batuk, dia mendapati terdapat cecair pekat berwarna hijau di tangannya. Dia mula panik dan pergi berjumpa dengan doktor, tetapi dilanggar ketika dalam perjalanan ke sana.

Apabila sedar, dia mendapati dirinya tidak berasa sakit dan berada dalam keadaan sempurna.

Doktornya melakukan pemeriksaan dan mendapati Yan tidak mempunyai degupan jantung tetapi masih lagi sihat.

Apabila dia diculik dan dibawa ke makmal Profesor Xu untuk pemeriksaan, Yan diberitahu yang rohnya telah meninggalkan tubuhnya dan dia mempunyai tiga hari sahaja untuk mendapatkannya kembali.

Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior
Tarikh Tayangan: 16 Mac 2017
Bahasa: Melayu/Iban
Genre: Aksi

Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior

Filem biografi ini mengisahkan tentang seorang Pahlawan Iban yang juga merupakan anggota Tentera Darat Malaysia, yang berjuang demi bangsa dan negara semasa ancaman komunis pada era 70an.

Attraction
Tarikh Tayangan: 16 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Drama/Romantik/Fiksyen Sains

Attraction

Berikutan kemalangan di angkasa lepas dan kerosakan akibat diserang jet pejuang Rusia, kapal angkasa makhluk asing telah terhempas di tengah-tengah bandar Moscow dan menyebabkan kematian beratus manusia.

Seorang gadis kehilangan rakan baiknya ketika insiden itu dan berazam untuk membunuh semua makhluk asing yang dapat dicarinya.

Bagaimanapun dia akhirnya menyelamatkan salah satu makhluk asing dan telah jatuh hati kepadanya.

Sementara itu, bekas teman lelakinya dan sekumpulan perusuh memburu mereka menyebabkan keganasan di sekitar kapal angkasa itu.

Sekarang gadis dan makhluk asing itu perlu menyelamatkan manusia daripada kemusnahan.

The Housemaid
Tarikh Tayangan: 16 Mac 2017
Bahasa: Vietnamese
Genre: Seram

The Housemaid

Selepas kehilangan keluarganya dalam satu insiden pengeboman pada 1953, seorang gadis yatim, Linh, telah pergi ke ladang getah Sa Cat untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Pemilik rumah agam itu adalah kapten Perancis bernama Sebastien Laurent yang juga merupakan pemilik ladang itu.

Sudah bertahun rumah agam itu dikatakan dihantui oleh mendiang isteri Sebastien, Camille, dan juga oleh pekerja ladang.

Walaupun rumah agam itu besar, ia hanya mempunyai tiga orang pekerja sahaja, penjaga rumah Ms Han, cef Mrs Ngo dan penjaga ladang Mr Chau.

Selepas Linh banyak meluangkan masa bersama Sebastien, cinta di antara mereka mula berputik, tetapi ia juga telah membangunkan roh jahat ladang Sa Cat.

The Last Vampire Princess
Tarikh Tayangan: 16 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Aksi/Fantasi/Ngeri

The Last Vampire Princess

Budak penghantar Pasha bekerja di perkhidmatan penghantaran ekspres di Moscow. Satu malam, ketika dia sedang menghantar bungkusan ke hotel, dia telah menyaksikan seorang gadis diserang oleh sekumpulan orang.

Dia kemudian telah menyelamatkan gadis itu tetapi menyedari bahawa penyerang gadis tersebut mempunyai kuasa luar biasa.

Sebagaimana serangan itu berterusan, seorang wakil dari agensi risikan rahsia tiba di lokasi untuk menghentikan pergaduhan itu.

Selepas itu, Pasha telah ditawarkan bekerja di Jabatan rahsia yang digelar `D`, tugasnya termasuk menghapuskan roh jahat dan mengawal populasi bukan manusia yang tinggal di bandar seperti Poltergeist, goblins dan ikan duyung.

Cerita-Cerita Didi And Friends (Family Friendly)
Tarikh Tayangan: 16 Mac 2017
Bahasa: Melayu
Genre: Animasi

Cerita-Cerita Didi And Friends (Family Friendly)

Diangkat dari siri animasi popular tempatan, filem ini akan memaparkan 12 buah episod yang mana setiap satu cerita berdurasi 7 minit berserta dengan lagu.

Antara tajuk episod yang terdapat dalam filem tersebut adalah "Mon Ke Sekolah", "Jom Kitar Semula", "Pulau Hokey Pokey", "Jom ke Dunia Teko", "Lembu Pak Atan" dan banyak lagi.

Power Rangers
Tarikh Tayangan: 23 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Aksi/Fiksyen Sains

Power Rangers 2017

Selepas mendapat tahu pekan kecil mereka, Angel Grove, dan juga dunia bakal hancur dimusnahkan oleh makhluk asing, lima pelajar sekolah tinggi perlu mengatasi masalah peribadi mereka kerana hanya mereka mampu menyelamatkan planet.

Mereka perlu menumpaskan Rita Repulsa dengan bertukar menjadi Power Rangers.

Life
Tarikh Tayangan: 23 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Fiksyen Sains/Ngeri

Life 2017

Filem ini mengisahkan tentang sepasukan kru angkasawan di planet Marikh. Mereka telah berjaya menemui benda hidup di planet itu.

The Night Watchmen
Tarikh Tayangan: 23 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Komedi/Seram

The Night Watchmen

Apabila satu penghantaran salah menyebabkan pontianak ganas terlepas, tiga orang penjaga malam amatur bersama seorang pemuda dan seorang wartawan berani menjadi hero.

Mereka terpaksa bertarung bukan sahaja untuk menyelamatkan diri mereka sendiri tetapi juga untuk menghentikan pontianak daripada mengambil alih bandar Baltimore.

Behind The Walls
Tarikh Tayangan: 30 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Seram

Behind The Walls

Sebuah keluarga bermasalah terdesak untuk memulakan hidup baru di sebuah rumah baru, tetapi rumah tersebut berpenunggu yang mana ia melihat dan mahu mereka tinggal di rumah itu buat selama-lamanya.

Beyond The Gates
Tarikh Tayangan: 30 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Pengembaraan/Seram

Beyond The Gates

Selepas bapa mereka hilang secara misteri, Gordon kembali bertemu dengan abangnya John di kedai video bapa mereka untuk menjual kedai tersebut.

Ketika mereka sedang memunggah stok, mereka menemui permainan VCR interaktif yang dipanggil "Beyond the Gates" dan mengambil keputusan untuk mencubanya.

Tetapi apabila mereka mula bermain, mereka menyedari ia adalah portal kepada mimpi ngeri yang menjadi kenyataan dan permainan yang sudah dimain perlu dihabiskan atau mereka akan mati.

Demon House On Willow Street
Tarikh Tayangan: 30 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Seram/Ngeri

Demon House On Willow Street

Sekumpulan penculik yang diketuai oleh seorang wanita bernama Hazel telah mensasarkan Katherine, seorang anak orang kaya, sebagai mangsa seterus mereka.

Tetapi apabila mereka memecah masuk ke rumah itu, pintu tidak berkunci dan alat penggera sudah dimatikan.

Bagaimanapun, mereka tetap menangkap Katherine dan membawanya ke sebuah gudang menyeramkan.

Mereka kemudian menyedari dia dirasuk oleh roh jahat dan roh tersebut mampu menjadikan mimpi ngeri mangsanya menjadi kenyataan.

The Whole Truth
Tarikh Tayangan: 30 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Drama/Ngeri

The Whole Truth

Seorang peguambela, Richard Ramsay, telah bersumpah kepada rakannya Loretta Lassiter yang dia akan memastikan anak Loretta, Mike, tidak akan masuk ke penjara walau apa sekali pun.

Apabila Mike didakwa atas kesalahan membunuh bapanya, Ramsay cuba melucutkan dakwaan tersebut tetapi bukti mengenai bapa Mike, Boone Lassiter, mula timbul dan mendedahkan sisi gelapnya.

Sementara Ramsay menggunakan bukti untuk melepaskan Mike daripada tuduhan itu, rakannya Janelle cuba menyiasat kes tersebut dengan lebih mendalam dan mendapati hanya dia seorang boleh merungkaikan seluruh kebenaran.

Ghost In The Shell
Tarikh Tayangan: 30 Mac 2017
Bahasa: Inggeris
Genre: Aksi/Jenayah/Drama

Ghost In The Shell

Filem sains fiksyen ini diangkat dari siri manga popular yang menggunakan judul sama, "Ghost In The Shell" nukilan Masamune Shirow.

Ia berlatarkan zaman 2029 yang mana dunia mempunyai akses tubuh sibernatik yang dipanggil `shells` membolehkan mereka mempunyai kuasa luar biasa.

Mejar Motoko Kusanagi adalah ketua pasukan untuk Public Security Section 9 yang telah ditugaskan untuk menangkap penggodam yang dikenali sebagai Puppet Master.

Selamat menonton.

BACA INI JUGA: 13 Filem Zombie Terbaik Pernah Ditayangkan!

-SENTIASAPANAS.COM