Saturday, January 11, 2014

Memori Terhangat Bollywood 2013

Memori Terhangat Bollywood 2013

2013 merupakan ulangtahun ke 100 dunia perfileman Bollywood. 2013 juga menyaksikan pelbagai kejayaan, kegagalan, pertemuan, perpisahan, kelahiran dan kematian.

Antara yang terhangat di dunia Bollywood 2013;

Misteri bunuh diri Jiah Khan

Misteri bunuh diri Jiah Khan

Pada 3 Jun lalu, Bollywood dikejutkan dengan kematian pelakon "Ghajini", Jiah Khan yang ditemui mati di pangsapurinya di Juhu. Kes tersebut kemudiannya disahkan sebagai kes bunuh diri.

Namun begitu, ibunya Rabiya tidak mahu mempercayainya dan ketekadannya itu disebabkan oleh sepucuk surat tulisan pelakon tersebut yang ditemui saudara perempuan Jiah pada 7 Jun, di mana isinya menjelaskan bahawa Jiah memang berniat membunuh diri dan menyebut tentang kehamilan yang telah digugurkannya.

Pada 10 Jun, anak lelaki Aditya Pancholi, Suraj yang merupakan teman lelaki Jiah, telah ditahan polis untuk sesi soal siasat dan hanya dibebaskan oleh mahkamah pada bulan Julai atas ikat jamin. Sehingga kini, Rabiya masih yakin bahawa anaknya telah 'dibunuh' dan kes tersebut masih belum selesai.

Pran meninggal dunia

Pran meninggal dunia

Bintang veteran Bollywood terkemuka, Pran Sikhand (lebih dikenali sebagai Pran), yang terkenal dengan watak-watak antagonis dalam filem-filem seperti "Zanjeer", "Upkar" dan "Madhumati" meninggal dunia pada 12 Julai pada usia 93 tahun, meninggalkan kesan mendalam terhadap dunia perfileman Bollywood. Para selebriti termasuk Anupam Kher, Karan Johar, Jackie Schroff, Amitabh Bachchan dan yang lain-lain turut hadir ke upacara terakhirnya.

Selain Pran, beberapa pemain utama dunia perfileman Bollywood turut menghembus nafas terakhir. Penyanyi Shamshad Begum, antara penyanyi latar pertama Bollywood meninggal dunia pada 23 April, penyanyi prolifik Manna Dey meninggal dunia pada bulan Oktober, manakala kematian pelakon legenda Farooq Sheikh pula mengejutkan ramai apabila dia meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung pada 27 Disember lalu.

Sanjay Dutt kembali ke penjara

Sanjay Dutt kembali ke penjara

Sanjay Dutt, yang sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan memiliki senjata haram yang dibeli daripada para penjenayah yang terlibat dalam pengeboman di Mumbai pada tahun 1993 (yang mengorbankan 257 nyawa).

Selepas menghabiskan 18 bulan di penjara pada tahun 1995, dan dikenakan hukuman enam tahun penjara pada tahun 2007, Mahkamah Agung India akhirnya memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya pada Mac 2013. Selepas bermain tarik tali dengan pihak mahkamah, Dutt akhirnya menyerah diri pada Mei 2013.

Salman Khan dibicarakan semula

Salman Khan dibicarakan semula

Seorang lagi bintang yang berdepan dengan hukuman penjara, Salman Khan yang sebelum ini terselamat apabila kes langgar larinya pada tahun 2002 digugurkan oleh Mahkamah Majistret, mendapati dirinya berdepan dengan kes yang sama pada Julai 2013 apabila Mahkamah Tinggi membuka semula kes tersebut. Jika didapati bersalah, Salman boleh dihukum penjara 10 tahun.

Pada September 2002, Salman Khan telah terlibat dalam kes langgar lari apabila kereta yang dipandunya melanggar sebuah bakeri di Mumbai dan menyebabkan kematian seorang gelandangan manakala tiga lagi tercedera.

Pada bulan November, wakil guaman Salman merayu agar mahkamah mengadakan perbicaraan baru untuk kes tersebut tetapi ditentang pihak pendakwa yang menganggap itu cuma percubaan Salman untuk menangguhkan perbicaraan. Rayuan tersebut diterima dan perbicaraan bakal dimulakan Januari 2014.

Hrithik Roshan dan isteri bercerai

Hrithik Roshan dan isteri bercerai

Pasangan romantis Hrithik dan Suzanne sekali lagi mengejutkan ramai pada Disember 2013, apabila pelakon tersebut mengumumkan bahawa isterinya yang dikahwini selama 13 tahun itu telah memutuskan untuk berpisah.

Sekalipun desas-desus mengatakan perceraian tersebut disebabkan skandal Hrithik dengan model Barbara Mori dan hubungan antara Suzanne dan pelakon Arjun Rampal, kedua-dua pihak telah menafikan hal tersebut dan enggan berkongsi punca perpisahan mereka.

Hrithik dan Suzanne sebelum ini merupakan antara pasangan suami isteri yang paling diraikan di Bollywood. Dalam temuramahnya sebelum ini, Hrithik mengatakan yang dia mengenali Suzanne sejak dia berusia 12 tahun dan sudah lama jatuh cinta kepada anak pelakon Sanjay Khan tersebut. Mereka dikurniakan dua orang anak, Hrehaan dan Hridhaan.

SRK dan Salman berbaik semula

SRK dan Salman berbaik semula

Keajaiban Ramadhan? Pada bulan puasa lalu yang jatuh pada bulan Julai, Bollywood kecoh dengan khabar bahawa Salman Khan dan Shahrukh Khan telah menamatkan konfik mereka bertahun lamanya di dalam majlis berbuka puasa yang diadakan oleh pemimpin Kongres, Baba Siddique.

Dalam foto yang menjadi muka depan kebanyakan majalah dan akhbar cetak dan internet keesokan harinya, Salman dilaporkan terlebih dahulu menghulur tangan sekaligus memeluk pelakon "Chennai Express" tersebut.

Keesokan harinya, SRK menulis di Twitter, "Akhirnya, anda sedar bahawa perasaan yang paling indah adalah bila anda membuka lembaran baru, kerana ada banyak lagi isi dalam buku tersebut berbanding muka surat yang sama."

SRK dan isteri sambut AbRam

SRK dan isteri sambut AbRam

Pada bulan Julai, Shahrukh Khan dan isterinya Gauri menyambut kehadiran seorang lagi ahli baru keluarga mereka, seorang bayi lelaki yang diberi nama AbRam yang dilahirkan melalui kaedah ibu tumpang

Namun begitu, kegembiraan tersebut dicemari tuduhan bahawa SRK dan isterinya telah membuat ujian penentuan jantina terlebih dahulu kerana mahukan seorang anak lelaki, sekalipun dinafikan pasangan tersebut.

AbRam merupakan anak ketiga pasangan tersebut yang sudah pun memiliki dua orang anak, Aryan, 16, dan Suhana, 13.

"The Good Road" tewaskan "The Lunchbox"

"The Good Road" tewaskan "The Lunchbox"

Bollywood kecoh seketika apabila Persekutuan Filem India (FFI) memilih filem arahan Gyan Arora, "The Good Road" sebagai wakil India untuk kategori Filem Asing Terbaik Anugerah Academy. Pemilihan tersebut mendatangkan kemarahan ramai apatah lagi bila sebuah lagi filem, "The Lunchbox" arahan Riteish Batra sebelum ini telah menerima banyak pujian para pengkritik filem antarabangsa dan memenangi banyak anugerah. Malah "The Lunchbox" juga dikatakan lebih berkemungkinan untuk masuk ke pusingan lima terakhir Oscar kerana turut didukung oleh Sony Pictures yang dipercayai boleh membantu dalam melobi pihak Oscar.

Antara yang vokal menunjukkan rasa tidak puas hati adalah penerbit Karan Johar dan Anurag Kashyap. Malah Kashyap turut menunjukkan protesnya dengan mengumumkan yang dia mahu bersara seketika dari industri perfileman.

Malangnya, "The Good Road" tidak berjaya membuktikan bahawa ia pilihan terbaik apabila gagal melepasi pusingan semi-final kategori Filem Asing Terbaik Oscar ketika ia diumumkan Disember lalu, jadi ada kemungkinan Karan Johar dan Anurag Kashyap bertambah bengang!

Ranbir dan Katrina bercuti bersama

Ranbir dan Katrina bercuti bersama

Protagonis generasi baru Bollywood, Ranbir Kapoor dan bintang seksi Katrina Kaif sudah lama digosipkan bercinta, sejak hubungan Ranbir dan Deepika Padukone berakhir pada tahun 2008 dan hubungan Katrina dengan Salman Khan pula putus pada tahun 2010. Namun kedua-duanya enggan membincangkan gosip tersebut dan bersikap mendiamkan diri.

Namun begitu, khabar angin tersebut terbukti nyata apabila gambar kedua-duanya sedang bercuti di Ibiza, Sepanyol diterbitkan di taboid "Stardust" pada Ogos lalu.

Rumah Sridevi terbakar

Rumah Sridevi terbakar

Pada 22 Disember, rumah kediaman aktres Sridevi dan suaminya Boney Kapoor di Andheri mengalami kebakaran yang berpunca daripada litar pintas di biliknya. Ketika kejadian berlaku, Sri, anak-anak perempuannya berserta ibu mertuanya berada di rumah.

Disebabkan kebakaran yang memusnahkan sebahagian daripada asetnya, Boney Kapoor membawa keluarganya berpindah ke sebuah hotel sementara hal tersebut diuruskan. Namun begitu, mereka terus berpindah randah dari satu hotel ke hotel yang lain kerana tidak menemui tempat tinggal yang cukup baik untuk didiami.

Selepas mendengar tentang masalah Sri dan keluarganya, pelakon dan pengarah Prabhu Deva, yang selama ini menyewa di pangsapuri milik Sridevi di Andheri, membuat keputusan untuk berpindah keluar agar Sri boleh tinggal semula di rumah miliknya sendiri. Namun begitu, disebabkan Prabhu sendiri tidak memiliki rumah sendiri di Mumbai, dia terpaksa pulang seketika ke Chennai sementara teman-teman yang lain mencarikannya tempat tinggal yang baru.

Sumber: Tupai.com.my

Thursday, January 02, 2014

Tahukah Anda Berapa Gaji Pertama Diterima Selebriti Terkenal Bollywood?

Tahukah Anda Berapa Gaji Pertama Diterima Selebriti Terkenal Bollywood?

Tahukah Anda? Mereka kini bergelar selebriti kelas A malah ada antara mereka disenaraikan bintang paling kaya India. Namun tahukah anda berapa gaji pertama diterima mereka?

Artis-artis Bollywood

Ada yang mendapat gaji terlalu menyedihkan pada awal karier, namun tetap menyimpan gaji pertama itu sebagai kenangan.

Rohit Shetty mula bekerja pada usia 16 tahun sebagai pembantu pengarah filem Kuku Kohli dengan gaji 31 rupee (RM1.64) sehari – sekadar cukup untuk membeli makanan kudapan setiap hari.

Sementara itu, Sonam Kapoor juga menjadi pembantu pengarah pada usia 18 tahun dengan pendapatan 30 rupee (RM1.58), sehingga terpaksa berjalan puluhan kilometer ke tempat kerja untuk menjimatkan wang.

Seorang lagi pelakon, Emran Hashmi pertama kali dikenali sebagai bintang cilik iklan jenama Goodnight dengan bayaran 2,493 rupee (RM132).

Dia yang kini antara bintang paling menyerlah Bollywood bagaimanapun tidak pernah mendedahkan berapa bayaran yang kini diterimanya bagi setiap filem dilakonkan.

Aktres jelita Priyanka Chopra pula mendapat gaji pertama berjumlah 4,987 rupee (RM264). Bagaimanapun, disebabkan berasal daripada keluarga berada, dia menyerahkan sepenuhnya gaji itu kepada ibunya yang masih disimpan sebagai kenangan.

Pelakon kacak John Abraham mendapat bayaran 12,215 rupee (RM647) namun tidak langsung dibelanjakan, sebaliknya di simpan di bank sehingga kini.

Seorang lagi pelakon tampan, Hrithik Roshan kali pertama berlakon dalam filem Aasha pada 1980 ketika masih kecil manakala bayaran diterimanya sebanyak 96 rupee (RM5) – yang semuanya dihabiskan dengan membeli kereta mainan.

Aktor Akshay Kumar pula pelayan restoran di Bangkok, Thailand sebelum berkecimpung dalam bidang lakonan, malah mendapat gaji 1,526 rupee (RM81), jauh kecil daripada pendapatannya sekarang yang meletakkannya sebagai antara 10 selebriti terkaya India.

Pelakon veteran Amitabh Bachchan pula hanya mendapat bayaran 458 rupee (RM24) ketika pertama kali bekerja di Bird & Co di Kolkata.

Nyata kehidupannya sebagai bintang seni membuahkan hasil jauh lebih lumayan.

Dharmendra pula mendapat bayaran pertama 51 rupee (RM2.70) sehari bagi lakonan dalam filem Dil Bhi Tera Hum Bhi Tere pada 1960 – jumlah yang mungkin dikira cukup besar ketika itu.

Akhir sekali, bintang terkenal Shah Rukh Khan hanya menerima 50 rupee (RM2.70) sehari ketika menjadi pekerja di lokasi konsert di Delhi.

Walaupun terlalu kecil, dia memilih menghabiskan gajinya untuk bercuti ke Taj Mahal di Agra. -Agensi

BACA INI JUGA: Setiap Cerita Kejayaan Bermula Dengan Impian - Bill Gates

Wednesday, September 18, 2013

Top 10 Pelakon Lelaki Bollywood Paling Kaya

Top 10 Pelakon Lelaki Bollywood Paling Kaya

Industri perfileman Bollywood ada pasang surutnya. Ia mungkin amat popular di era 60-an dan 70-an, tetapi jatuh di era 80-an dan awal 90-an.

Bollywood

Tidak lama kemudian, ia kembali mencetus fenomena baru pada pengakhiran 90-an dan awal milenium dengan kemunculan artis-artis hebat seperti Khan Bertiga (Shahrukh, Aamir dan Salman), Deol Bersaudara (Sunny dan Bobby), Adik-beradik Kapoor (Karisma dan Kareena) waris-waris keturunan pelakon veteran seperti Abhishek Bachchan, Hrithik Roshan dan Sonam Kapoor, dan wajah-wajah baru yang menghiasi layar perak. Dan kemudian ia mengalami sedikit kejatuhan semula pada pengakhiran dekad 2000.

Jatuh atau tidak, Bollywood mempunyai jutaan pengikutnya sendiri dan para peminat yang setia bersama para penghibur ini tetap juga setia menonton filem-filem mereka dan mengambil tahu perkembangan industri perfileman Bollywood.

Kerana itulah, apabila senarai sepuluh artis paling kaya di Bollywood dikeluarkan, hampir semuanya melibatkan pelakon-pelakon lama yang sudah berkecimpung lebih 10 tahun dalam industri ini.

10 artis terkaya Bollywood pada tahun 2013 adalah seperti berikut:

Shahrukh Khan

Shahrukh Khan

Raja filem Bollywood ini tentu sekali berada di tangga teratas dengan jumlah nilai aset bersih sebanyak AS$600 juta (RM1,968 juta). Filem-filem Khan sentiasa mengutip kutipan pecah panggung sama ada menarik atau tidak, dan peminatnya pula berbilion ramainya, menyebabkan hampir semua syarikat mahukan dia sebagai duta produk mereka.

Sementara pelakon lain membuka satu produksi, SRK mempunyai dua produksi, Red Chillies Entertainment, dan juga Dreamz Unlimited yang dikongsi bersama rakan karibnya, Juhi Chawla. Antara filem yang diterbitkannya termasuk "Phir Bhi Dil Hai Hindustani", "Asoka", dan "Chalte Chalte".

Selain itu, SRK juga terlibat dalam beberapa projek televisyen, termasuk drama bersiri "Fauji" di mana dia berlakon sebagai Komandi Abhimanyu Rai. Dia juga pernah menjadi hos "Kaun Banega Crorepati?", "Kya Aap Paanchvi Pass Se Tez Hain" ("Are You Smarter than a Fifth Grader" versi India), dan "Zor Ka Jhatka" ("Wipeout" versi India).

Amitabh Bachchan

Amitabh Bachchan

Antara pelakon veteran yang masih relevan sehingga kini, bekas hero Bollywood paling popular lewat 70-an ini sudah melakonkan ratusan buah filem, sama ada berjaya atau tidak. Malah Amitabh boleh berbangga kerana selain filem, dia juga menjadi pilihan utama untuk mengacarakan rancangan televisyen seperti "Kaun Banega Crorepati?" dan "Bigg Boss".

Nilai bersih harta kekayaan Big B ini adalah sebanyak AS$400 juta (RM1,312 juta) dan jika anda kumpulkan sekali dengan pendapatan ahli keluarganya yang lain termasuk isterinya Jaya Bachchan, anaknya Abhishek dan menantunya Aishwarya Rai, keluarga Bachchan merupakan keluarga terkaya di Bollywood.

Salman Khan

Salman Khan

Dia lebih terkenal kerana badan berbanding bakatnya, tetapi dalam masa yang sama Salman merupakan antara pelakon yang paling banyak menerima tawaran filem. Selama 25 tahun pembabitannya dalam dunia lakonan, dia telah berlakon dalam lebih 80 buah filem termasuk filem-filem hitnya, "Dabangg" (2008), "Hum Dil De Chuke Sanam" (1999) dan "Har Dil Jo Pyar Karega" (2000).

Abang kepada Arbaaz dan Sohail Khan ini juga merupakan pemilik syarikat produksi SKBH Productions (Salman Khan Being Human Productions) yang berkolaborasi dengan tabung dana rasminya, Being Human. Dan tidak kisahlah kalau pun dia bakal dibicarakan semula untuk kes langgar lari suatu masa dahulu, Salman mempunyai AS$200 juta (RM656 juta) dalam nilai asetnya!

Aamir Khan

Aamir Khan

Dia terkenal dengan sifat cerewetnya dalam memastikan filem-filem lakonannya merupakan filem bermutu. Tak mengapa kalau sedikit, yang penting berkualiti. Kerana itu hampir semua filem lakonan Aamir berhasil menjadi filem pecah panggung.

Namun, pelakon "3 Idiots" ini lebih veteran berbanding yang lain, kerana dia telah muncul di skrin seawal tahun 1973 dalam filem "Yaadon Ki Baaraat". Malah, selain filem, Aamir juga mempunyai syarikat produksinya sendiri, Aamir Khan Productions, menjadi duta jenama menentang malnutrisi di bawah UNICEF, malah mengacarakan siri televisyen sendiri, "Satyamev Jayte", yang lebih tertumpu kepada isu sosial dan politik.

Semua ini dijumlahkan dan menjadikan nilai aset bersih Aamir sebanyak AS$180 juta (RM590 juta).

Akshay Kumar

Akshay Kumar

Berbeza dengan artis lain yang kebanyakannya datang dari keluarga seni, Akshay merupakan anak seorang tentera yang memulakan kerjayanya dari bawah. Selepas memasuki Bollywood dengan bakatnya dalam seni bela diri dan menjadi pelakon lagak ngeri, dia ditawarkan membintangi francais filem "Khiladi", sekaligus menaikkan namanya.

Kini, pelakon, ahli seni bela diri, penerbit filem dan suami kepada aktres Twinkle Khanna ini telah melakonkan lebih puluhan filem, rata-ratanya filem aksi, dan mengumpul nilai aset sebanyak AS$65 juta (RM213 juta).

Saif Ali Khan

Saif Ali Khan

Dia mungkin bukan antara 'Khan' yang paling berpengaruh, tapi Saif Ali Khan yang juga anak kepada pelakon terkenal lewat 60-an, Sharmila Tagore dan pemain kriket Mansoor Ali Khan ini merupakan satu-satunya pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Komedi Terbaik, Antagonis Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik.

Saif juga mempunyai syarikat produksinya sendiri, Iluminati Films dan filem pertama terbitannya, "Love Aaj Kal" berjaya mengaut kutipan pecah panggung. Nilai kekayaan suami Kareena Kpoor ini pada tahun 2013 adalah sebanyak AS$40 juta (RM131 juta).

Ajay Devgan

Ajay Devgan

Dia mungkin bukan anak pelakon terkenal atau pengarah tersohor, tapi Ajay mewarisi bakat dalam filem-filem aksinya dari bapanya Veeru yang juga bekas koreografer aksi filem. Sepanjang pembabitannya dalam industri perfileman Bollywood selama lebih satu dekad, Ajay sudah banyak menghasilkan filem-filem aksi dan juga komedi, termasuk filem-filem dengan isterinya Kajol seperti "Pyaar To Hona Hi Tha" (1998), "Dil Kya Kare" (1999) dan "Raju Chacha" (2000).

Ajay juga ada mengarahkan filem sendiri, "U, Me Aur Hum" pada tahun 2008, dan menerbitkan beberapa filem lain seperti "Raju Chacha", "U, Me Aur Hum" dan "Son of Sardar" (2012). Nilai bersih asetnya adalah sebanyak AS$30 juta (RM98 juta).

Hrithik Roshan

Hrithik Roshan

Antara pelakon terkacak Bollywood, anak kepada pengarah filem Rakesh Roshan dan anak saudara kepada komposer Rajesh Roshan ini mula berlakon sejak masih kanak-kanak lagi, tapi hanya menjadi kegilaan ramai apabila dia muncul dalam "Kaho Na... Pyaar Hai" pada tahun 2000 sebagai lelaki dewasa.

Hampir kebanyakan filem Hrithik seperti "Krrish" (2006), "Koi Mil Gaya" (2003), "Dhoom" (2006) dan "Jodha Akbar" (2008) mendapat sambutan hangat di pawagam dan menjadikan Hrithik antara pelakon yang paling kaya di Bollywood dengan nilai bersih AS$30 juta (RM98 juta).

Ranbir Kapoor

Ranbir Kapoor

Sebagai satu-satunya bintang baru dalam senarai (bermula dengan "Saawariya" pada tahun 2007), anak kepada pelakon Rishi Kapoor dan Neetu Singh ini turut dinamakan sebagai 'bintang paling bernilai generasi ini' oleh The Economic Times.

Nilai kekayaan pelakon "Yeh Jawaani Hai Deewani" ini? AS$30 juta (RM98 juta).

Sanjay Dutt

Sanjay Dutt

Anak kepada pelakon veteran Sunil Dut dan Nargis ini mungkin berada di penjara atas penglibatan tidak langsungnya dalam kes pengeboman di Mumbai pada tahun 1993, tapi Sanjay merupakan antara jumlah kecil para pelakon era 80an yang masih mampu memegang peranan utama dalam filem.

Malah, sekalipun dia kini dipenjarakan, produksi filemnya terus bergerak di bawah pengurusan isterinya, Manyata dan asetnya yang bernilai AS$10 juta (RM33 juta) itu tidak ke mana.

[Sumber]

Friday, August 09, 2013

Kematian Jiah Khan Terus Dilanda Kontroversi

Kematian Jiah Khan Terus Dilanda Kontroversi

Teman lelaki kepada mendiang aktress Bollywood , Jiah Khan yang membunuh diri baru-baru ini, muncul di muka depan majalah Society untuk keluaran Ogos 2013.


Suraj Pancholi digandingkan dengan bapanya iaitu Aditya.

Namun kemunculan mereka mencetuskan kontroversi selepas Aditya menyatakan dia tidak langsung berasa simpati dengan ibu Jiah, Rabiya Khan susulan kematian anak perempuannya itu.

“Saya tidak bersimpati dengan Rabiya,’’ kata Aditya.

Kenyataan Aditya itu sebagai membalas kenyataan yang dibuat oleh Rabiya sebelum ini yang mendakwa bahawa dia mempunyai bukti bahawa Suraj telah membunuh Jiah.

Suraj telah dilepaskan selepas polis mendapati dia tidak boleh dipertanggungjawabkan di atas kematian Jiah, yang membunuh diri dengan menggantung diri di apartmentnya di Mumbai pada 3 Jun lalu.

Jiah meninggalkan sekeping bahawa dia telah didera dan dirogol.

Namun surat itu tidak merujuk kepada sesiapa pu.

Selepas dibebaskan, Suraj telah memfokus kepada bidang lakonan dan muncul dalam filem Hero bersama Athiya Shetty.

-Mynewshub

Tuesday, July 23, 2013

Konflik Dramatik Artis-artis Bollywood

Konflik Dramatik Artis-artis Bollywood

Mereka dipertemukan buat kali pertama dalam filem "Saawariya" arahan Sanjay Leela Bhansali ("Hum Dilde Chuke Sanam", "Black") dan cinta pun berputik.


Malangnya filem tersebut gagal di pawagam, dan hubungan tersebut turut terasa tempiasnya. Sonam Kapoor, (anak kepada pelakon Anil Kapoor) dan Ranbir Kapoor (anak kepada Rishi Kapoor dan Neetu Singh) akhirnya berpisah, namun perpisahan tersebut tidak berakhir dengan baik.

Ranbir kata Sonam tidak cukup seksi dan Sonam kata Ranbir tidak pandai berlakon. Bapa Ranbir tidak puas hati dengan kenyataan Sonam dan membabitkan dirinya dalam pergaduhan yang berlanjutan selama enam tahun itu. Namun akhirnya, pada 29 Jun lalu, semua konflik ditamatkan apabila Ranbir muncul di majlis hari jadi Arjun Kapoor yang diadakan oleh Sonam.

Sungguh drama, bukan?

Para artis Bollywood memang terkenal dengan sifat mereka yang suka berterus terang, dan adakalanya itu menimbulkan konflik di antara mereka. Malah rancangan temu bual seperti "Koffee with Karan" bagaikan memberi ruang untuk mereka saling melepas rasa dan memburukkan lagi keadaan.

Ada banyak konflik di antara para selebriti Bollywood dan ia akan jadi terlalu panjang sekiranya kami senaraikan semua. Namun, antara yang paling popular termasuk:

Shahrukh Khan vs. Farah Khan

Mereka antara pasangan kawan baik paling terkenal di Bollywood, malah Farah sendiri pernah berjanji hanya akan mengangkat SRK sebagai peneraju utama semua filemnya bila dia berjaya menaikkan dirinya menjadi pengarah dari hanya seorang jurutari. Maka SRK dijadikan watak utama dalam "Om Shanti Om" dan "Main Hoon Na".

Namun begitu, hubungan akrab mereka diuji apabila Farah memungkiri janji dan telah memilih Akshay Kumar untuk filem ketiganya, "Tees Maar Khan", sekalipun SRK banyak membantunya malah telah menghadiahkan dia sebuah pangsapuri mewah di Mumbai. SRK yang kecewa membuat keputusan untuk tidak berhubung dengan Farah lagi.

Sekalipun kedua-dua SRK dan Farah menegaskan bahawa mereka sudah berbaik, masih tiada filem terbaru gabungan kedua-duanya untuk membuktikan kenyataan tersebut.

Anubhav Singha vs. Shahrukh Khan

Anubhav Sinha merupakan seorang pengarah yang tidak begitu dikenali di luar Bollywood, tetapi dia juga merupakan seorang yang dihormati, atas beberapa projeknya yang bermutu dalam televisyen dan pembuatan video muzik. Malah dia juga berjaya menghasilkan beberapa buah filem seperti "Tum Bin" dan "Cash".

Namun begitu, SRK tidak begitu percaya pada kebolehan Sinha untuk mengarahkan filem impiannya, "Ra.One", dan cuba untuk menggunakan khidmat pengarah lain. Malah dia turut mengkritik Sinha secara tidak langsung di Twitternya, dan berkata, "sesetengah orang tak faham apa visi saya dan rancangan yang saya nak buat".

Malangnya, disebabkan filemnya, "Cash" tidak berjaya di pawagam, dan "Ra.One" akhirnya menerima kritikan hebat dan dianggap sebagai antara filem terburuk tahun 2011, tiada siapa dapat menyangkal apa yang SRK katakan.

Aishwarya Rai vs. Rani Mukherjee

Ketika muncul dalam rancangan temubual "Jeena Isi Ka Naam Hai" pada tahun 2002, Aishwarya dan Rani cuba membuktikan bahawa dua pelakon wanita boleh berkawan baik, malah mengisytiharkan bahawa mereka akan jadi kawan baik selamanya.

Tapi pada tahun 2004, yang sebaliknya berlaku, apabila Rani menerima tawaran untuk menggantikan Aishwarya dalam filem "Chalte Chalte" lakonan SRK selepas Aish disingkirkan dari filem tersebut. Aish yang kecil hati dengan tindakan Rani membuat keputusan untuk tidak lagi berhubung dengan pelakon tersebut.

Malah pada tahun 2007, ketika membuat penampilan di rancangan temubual Karan Johar, "Koffee with Karan", Rani mengaku bahawa mereka tidak lagi berkawan baik, apatah lagi apabila Aish enggan menjemput Rani ke majlis perkahwinannya dengan Abhishek Bachchan yang juga merupakan teman rapat kepada Rani.

Mallika Sherawat vs. Kareena Kapoor

Pertelingkahan antara Mallika dan Kareena bermula sejak Mallika masih seorang pelakon tambahan dalam filem Kareena, "Jeena Sirf Tere Liye" dan menggunakan nama Reema Lamba. Jelas Mallika, Kareena melayannya macam sampah hanya kerana dia masih baru dan tidak dikenali.

Jadi bila si Reema Lamba berjaya menjadi terkenal dengan nama Mallika Sherawat, dia membalas dendam dengan mengatakan dia mampu memberi persembahan yang lebih baik untuk babak tarian "Yeh Mera Dil" dalam filem "Don".

Dia kemudiannya mengkritik Kareena dan berkata Kareena cuba meniru lakonannya sebagai seorang isteri yang curang dalam "Bewafaa" sekalipun Mallika pernah melakukannya terlebih dahulu dalam filem "Murder".

Aamir Khan vs. Faisal Khan

Kedua-dua anak Tahir Hussain ini mencetus kontroversi apabila si abang, Faisal Khan dan bapanya menuduh Aamir cemburu dengan kebahagiaannya dan cuba mengawalnya melalui ubat-ubatan dan rawatan psikiatri, manakala Aamir tetap menegaskan bahawa abangnya menghidap skizofrenia dan memerlukan bantuan.

Akhirnya Aamir kehilangan hak penjagaan terhadap Faisal yang diberikan kepada bapanya, sekalipun ahli keluarga yang lain tetap menyokong Aamir. Jelas mereka, Aamir telah banyak menghabiskan wang membantu dan menyokong bapa dan abangnya selama 15 tahun.

Ram Gopal Varma vs. Karan Johar

Karan Johar sukakan drama dan percintaan, Ram Gopal Varma pula sukakan perang dan gangsterisme. Mereka memang berbeza genre dan berbeza pendapat – sesuatu yang tidak pernah dirahsiakan antara kedua-duanya yang saling balas-membalas di medan Twitter.

Namun begitu, RGV mencetus perang Twitter yang lebih besar, apabila dia menggelar filem Johar, "Kabhi Alvida Na Kehna" sebagai filem yang paling menakutkan pernah ditontonnya. Sejak itu pertembungan Twitter mereka menjadi lebih hangat, malah Johar membalas, "Awak memang kelakar, Ramu. Malangnya ia tak pernah ditonjolkan dalam filem awak!"

Sanjay Leela Bhansali vs. Salman Khan

Suatu masa dahulu, Sanjay Leela Bhansali memang pengarah yang hebat. Filem-filemnya seperti "Hum Dil De Chuke Sanam" dan "Black" menjadi film yang disukai oleh kedua-dua pihak pengkritik dan penonton. Malangnya, filemnya "Saawariya" tidak mendapat perhatian seperti yang sebelumnya.

Namun dia meneruskan tugasnya sebagai pengarah dengan menghasilkan "Guzaarish", sebuah filem tentang seorang lelaki yang lumpuh satu badan (lakonan Hrithik Roshan). Malangnya filem tersebut juga tidak mendapat sambutan.

Tapi itu tidak sama dengan kejutan yang diterima Sanjay, apabila pelakon kegemarannya, Salman Khan mengkritik "Guzaarish" dan berkata, "Filem tentang penyakit tak akan laris di India. Saya pernah berlakon filem "Phir Milenge" dan anjing sekalipun tidak menontonnya!"

Kata-katanya itu mencetus kemarahan Sanjay, apatah lagi "Hum Dil De Chuke Sanam" lakonan Salman merupakan pencetus kegemilangan pelakon tersebut pada akhir tahun 90-an.

Amisha Patel vs. Ahli Keluarganya

Amisha Patel menyaman ibu bapanya atas tuduhan menyalahgunakan kuasa kewangan sehingga dia kehilangan Rs. 12 crore. Dalam masa yang sama, ibu bapanya pula menyalahkan teman lelakinya ketika itu, Vikram Bhatt kerana tidak menyukai lelaki itu. Konflik yang hebat antara mereka tidak pernah berakhir sehingga media sendiri berhenti melaporkan!

Priyanka Chopra vs. Kareena Kapoor

Mereka tidak berbaik sejak bergandingan dalam filem "Aitraaz" pada tahun 2004. Namun konflik tersebut hanya dirasai secara peribadi antara Priyanka dan Kareena. Malangnya, tidak lama selepas itu, Kareena mengapi-apikan keadaan apabila membuat penampilan di "Koffee with Karan" dan mengatakan yang Priyanka bukan pelakon yang bagus ketika sama-sama membintangi filem "Don" pula.

Mujur Priyanka, yang tidak mahu memburukkan keadaan, tidak membalas dengan komen yang lebih buruk, sekadar mengatakan yang kritikan Kareena tidak memberi sebarang kesan terhadapnya.

Amitabh Bachchan vs Aamir Khan

Aamir Khan mencetus kemarahan Amitabh Bachchan apabila dia jujur mengatakan yang dia tidak menyukai filem "Black" yang turut dibintangi pelakon legenda 80-an tersebut. Aamir, yang dikenali dengan sifatnya yang sukakan kesempurnaan, menyatakan semua masalah dan kesilapan dalam filem tersebut.

Amitabh membalas dan berkata bahawa Aamir terlalu memikirkan tentang sesuatu yang tidak penting dan enggan bercakap dengan pelakon "Three Idiots" itu lagi, sekalipun Aamir cuba berbaik semula.

Namun, hubungan mereka kembali pulih apabila Aamir melawat keluarga Bachchan untuk menyampaikan ucapan takziahnya atas kematian ibu Amitabh, Teji.

[Sumber]

Thursday, June 06, 2013

Aktres Cantik Bollywood Bunuh Diri Kerana Tiada Tawaran Berlakon

Aktres Cantik Bollywood Bunuh Diri Kerana Tiada Tawaran Berlakon

Aktres Bollywood, Jiah Khan, 25, yang ditemui mati tergantung di apartmennya Isnin lalu dikatakan tertekan dan kecewa dengan hubungan cintanya.


Polis memberitahu wartawan, teman lelaki Jiah, Suraj Pancholi, anak pasangan pelakon Aditya Pancholi dan Zarina Wahab disoal selama tiga jam, semalam.

Suraj orang terakhir berbual dengan Jiah pada malam 3 Jun lalu. Polis mengesahkan mereka berbual menerusi telefon berulang kali dengan panggilan terakhir pada 22.53 malam (waktu tempatan, selama dua minit.

Bedah siasat menunjukkan Jiah menggantung diri antara jam 11 dan 11.30 malam sejurus selepas bercakap dengan Suraj. Mayatnya ditemui ibunya. Suraj dilapor memberitahu polis, mereka bahagia dengan hubungan cinta mereka selama setahun selepas berkenalan menerusi laman sosial.

Ibu Jiah, Rabea Khan dipetik polis sebagai berkata, anaknya tertekan sejak dua bulan lalu kerana hubungan dengan Suraj memandangkan dia tidak mempunyai sumber kewangan.

Pengarah filem, Ram Gopal Varma, yang memberi peluang kepada Nafisah atau nama sebenar Jiah untuk melancarkan karier lakonannya di Bollywood menerusi filem Nishabd pada 2007 berkata, dia terkejut dengan berita kematian itu.

“Dia tertekan mengenai kariernya dan takut mengenai masa depannya kerana tidak berlakon sejak tiga tahun lalu,” kata Ram.

“Kali terakhir saya bertemu Jiah dia berkata, setiap orang di sekelilingnya membuat dia merasakan dirinya gagal. Meskipun mendapat sanjungan dalam Nishabd dan berjaya dalam filem Ghazni dan Houseful, dia tidak bekerja.

“Saya tidak pasti alasan yang menyebabkan perkara itu. Tetapi Jiah begitu tertekan mengenai kariernya dan takut menghadapi masa depannya,” kata Ram dalam laman Twitternya.

-Reuters

Monday, April 22, 2013

Kenapa Shah Rukh Khan Delete Laman Twitter?

Kenapa Shah Rukh Khan Delete Laman Twitter?

Siapa yang tidak kenal, Raja Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) yang pernah menjadi kegilaan ramai wanita. Namun berita terbaru ini pastinya mengecewakan seluruh peminatnya.


Menurut SRK, dia terpaksa membatalkan laman sosialnya, Twitter kerana ia hanya memudaratkan karier dan imejnya.

"Pengguna Twitter ada baik dan buruknya. Baiknya, saya dapat berkomunikasi dengan peminat di seluruh dunia, tapi yang buruknya, saya terpaksa menerima pelbagai cemuhan daripada orang yang saya tidak kenali.

"Maka saya rasa lebih baik laman sosial saya dibatalkan saja," katanya.

-Sinarharian