Tuesday, July 23, 2013

Konflik Dramatik Artis-artis Bollywood


Mereka dipertemukan buat kali pertama dalam filem "Saawariya" arahan Sanjay Leela Bhansali ("Hum Dilde Chuke Sanam", "Black") dan cinta pun berputik.


Malangnya filem tersebut gagal di pawagam, dan hubungan tersebut turut terasa tempiasnya. Sonam Kapoor, (anak kepada pelakon Anil Kapoor) dan Ranbir Kapoor (anak kepada Rishi Kapoor dan Neetu Singh) akhirnya berpisah, namun perpisahan tersebut tidak berakhir dengan baik.

Ranbir kata Sonam tidak cukup seksi dan Sonam kata Ranbir tidak pandai berlakon. Bapa Ranbir tidak puas hati dengan kenyataan Sonam dan membabitkan dirinya dalam pergaduhan yang berlanjutan selama enam tahun itu. Namun akhirnya, pada 29 Jun lalu, semua konflik ditamatkan apabila Ranbir muncul di majlis hari jadi Arjun Kapoor yang diadakan oleh Sonam.

Sungguh drama, bukan?

Para artis Bollywood memang terkenal dengan sifat mereka yang suka berterus terang, dan adakalanya itu menimbulkan konflik di antara mereka. Malah rancangan temu bual seperti "Koffee with Karan" bagaikan memberi ruang untuk mereka saling melepas rasa dan memburukkan lagi keadaan.

Ada banyak konflik di antara para selebriti Bollywood dan ia akan jadi terlalu panjang sekiranya kami senaraikan semua. Namun, antara yang paling popular termasuk:

Shahrukh Khan vs. Farah Khan

Mereka antara pasangan kawan baik paling terkenal di Bollywood, malah Farah sendiri pernah berjanji hanya akan mengangkat SRK sebagai peneraju utama semua filemnya bila dia berjaya menaikkan dirinya menjadi pengarah dari hanya seorang jurutari. Maka SRK dijadikan watak utama dalam "Om Shanti Om" dan "Main Hoon Na".

Namun begitu, hubungan akrab mereka diuji apabila Farah memungkiri janji dan telah memilih Akshay Kumar untuk filem ketiganya, "Tees Maar Khan", sekalipun SRK banyak membantunya malah telah menghadiahkan dia sebuah pangsapuri mewah di Mumbai. SRK yang kecewa membuat keputusan untuk tidak berhubung dengan Farah lagi.

Sekalipun kedua-dua SRK dan Farah menegaskan bahawa mereka sudah berbaik, masih tiada filem terbaru gabungan kedua-duanya untuk membuktikan kenyataan tersebut.

Anubhav Singha vs. Shahrukh Khan

Anubhav Sinha merupakan seorang pengarah yang tidak begitu dikenali di luar Bollywood, tetapi dia juga merupakan seorang yang dihormati, atas beberapa projeknya yang bermutu dalam televisyen dan pembuatan video muzik. Malah dia juga berjaya menghasilkan beberapa buah filem seperti "Tum Bin" dan "Cash".

Namun begitu, SRK tidak begitu percaya pada kebolehan Sinha untuk mengarahkan filem impiannya, "Ra.One", dan cuba untuk menggunakan khidmat pengarah lain. Malah dia turut mengkritik Sinha secara tidak langsung di Twitternya, dan berkata, "sesetengah orang tak faham apa visi saya dan rancangan yang saya nak buat".

Malangnya, disebabkan filemnya, "Cash" tidak berjaya di pawagam, dan "Ra.One" akhirnya menerima kritikan hebat dan dianggap sebagai antara filem terburuk tahun 2011, tiada siapa dapat menyangkal apa yang SRK katakan.

Aishwarya Rai vs. Rani Mukherjee

Ketika muncul dalam rancangan temubual "Jeena Isi Ka Naam Hai" pada tahun 2002, Aishwarya dan Rani cuba membuktikan bahawa dua pelakon wanita boleh berkawan baik, malah mengisytiharkan bahawa mereka akan jadi kawan baik selamanya.

Tapi pada tahun 2004, yang sebaliknya berlaku, apabila Rani menerima tawaran untuk menggantikan Aishwarya dalam filem "Chalte Chalte" lakonan SRK selepas Aish disingkirkan dari filem tersebut. Aish yang kecil hati dengan tindakan Rani membuat keputusan untuk tidak lagi berhubung dengan pelakon tersebut.

Malah pada tahun 2007, ketika membuat penampilan di rancangan temubual Karan Johar, "Koffee with Karan", Rani mengaku bahawa mereka tidak lagi berkawan baik, apatah lagi apabila Aish enggan menjemput Rani ke majlis perkahwinannya dengan Abhishek Bachchan yang juga merupakan teman rapat kepada Rani.

Mallika Sherawat vs. Kareena Kapoor

Pertelingkahan antara Mallika dan Kareena bermula sejak Mallika masih seorang pelakon tambahan dalam filem Kareena, "Jeena Sirf Tere Liye" dan menggunakan nama Reema Lamba. Jelas Mallika, Kareena melayannya macam sampah hanya kerana dia masih baru dan tidak dikenali.

Jadi bila si Reema Lamba berjaya menjadi terkenal dengan nama Mallika Sherawat, dia membalas dendam dengan mengatakan dia mampu memberi persembahan yang lebih baik untuk babak tarian "Yeh Mera Dil" dalam filem "Don".

Dia kemudiannya mengkritik Kareena dan berkata Kareena cuba meniru lakonannya sebagai seorang isteri yang curang dalam "Bewafaa" sekalipun Mallika pernah melakukannya terlebih dahulu dalam filem "Murder".

Aamir Khan vs. Faisal Khan

Kedua-dua anak Tahir Hussain ini mencetus kontroversi apabila si abang, Faisal Khan dan bapanya menuduh Aamir cemburu dengan kebahagiaannya dan cuba mengawalnya melalui ubat-ubatan dan rawatan psikiatri, manakala Aamir tetap menegaskan bahawa abangnya menghidap skizofrenia dan memerlukan bantuan.

Akhirnya Aamir kehilangan hak penjagaan terhadap Faisal yang diberikan kepada bapanya, sekalipun ahli keluarga yang lain tetap menyokong Aamir. Jelas mereka, Aamir telah banyak menghabiskan wang membantu dan menyokong bapa dan abangnya selama 15 tahun.

Ram Gopal Varma vs. Karan Johar

Karan Johar sukakan drama dan percintaan, Ram Gopal Varma pula sukakan perang dan gangsterisme. Mereka memang berbeza genre dan berbeza pendapat – sesuatu yang tidak pernah dirahsiakan antara kedua-duanya yang saling balas-membalas di medan Twitter.

Namun begitu, RGV mencetus perang Twitter yang lebih besar, apabila dia menggelar filem Johar, "Kabhi Alvida Na Kehna" sebagai filem yang paling menakutkan pernah ditontonnya. Sejak itu pertembungan Twitter mereka menjadi lebih hangat, malah Johar membalas, "Awak memang kelakar, Ramu. Malangnya ia tak pernah ditonjolkan dalam filem awak!"

Sanjay Leela Bhansali vs. Salman Khan

Suatu masa dahulu, Sanjay Leela Bhansali memang pengarah yang hebat. Filem-filemnya seperti "Hum Dil De Chuke Sanam" dan "Black" menjadi film yang disukai oleh kedua-dua pihak pengkritik dan penonton. Malangnya, filemnya "Saawariya" tidak mendapat perhatian seperti yang sebelumnya.

Namun dia meneruskan tugasnya sebagai pengarah dengan menghasilkan "Guzaarish", sebuah filem tentang seorang lelaki yang lumpuh satu badan (lakonan Hrithik Roshan). Malangnya filem tersebut juga tidak mendapat sambutan.

Tapi itu tidak sama dengan kejutan yang diterima Sanjay, apabila pelakon kegemarannya, Salman Khan mengkritik "Guzaarish" dan berkata, "Filem tentang penyakit tak akan laris di India. Saya pernah berlakon filem "Phir Milenge" dan anjing sekalipun tidak menontonnya!"

Kata-katanya itu mencetus kemarahan Sanjay, apatah lagi "Hum Dil De Chuke Sanam" lakonan Salman merupakan pencetus kegemilangan pelakon tersebut pada akhir tahun 90-an.

Amisha Patel vs. Ahli Keluarganya

Amisha Patel menyaman ibu bapanya atas tuduhan menyalahgunakan kuasa kewangan sehingga dia kehilangan Rs. 12 crore. Dalam masa yang sama, ibu bapanya pula menyalahkan teman lelakinya ketika itu, Vikram Bhatt kerana tidak menyukai lelaki itu. Konflik yang hebat antara mereka tidak pernah berakhir sehingga media sendiri berhenti melaporkan!

Priyanka Chopra vs. Kareena Kapoor

Mereka tidak berbaik sejak bergandingan dalam filem "Aitraaz" pada tahun 2004. Namun konflik tersebut hanya dirasai secara peribadi antara Priyanka dan Kareena. Malangnya, tidak lama selepas itu, Kareena mengapi-apikan keadaan apabila membuat penampilan di "Koffee with Karan" dan mengatakan yang Priyanka bukan pelakon yang bagus ketika sama-sama membintangi filem "Don" pula.

Mujur Priyanka, yang tidak mahu memburukkan keadaan, tidak membalas dengan komen yang lebih buruk, sekadar mengatakan yang kritikan Kareena tidak memberi sebarang kesan terhadapnya.

Amitabh Bachchan vs Aamir Khan

Aamir Khan mencetus kemarahan Amitabh Bachchan apabila dia jujur mengatakan yang dia tidak menyukai filem "Black" yang turut dibintangi pelakon legenda 80-an tersebut. Aamir, yang dikenali dengan sifatnya yang sukakan kesempurnaan, menyatakan semua masalah dan kesilapan dalam filem tersebut.

Amitabh membalas dan berkata bahawa Aamir terlalu memikirkan tentang sesuatu yang tidak penting dan enggan bercakap dengan pelakon "Three Idiots" itu lagi, sekalipun Aamir cuba berbaik semula.

Namun, hubungan mereka kembali pulih apabila Aamir melawat keluarga Bachchan untuk menyampaikan ucapan takziahnya atas kematian ibu Amitabh, Teji.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon