Friday, May 12, 2023

100 Tahun Kemunculan Mujaddid, Pemimpin Besar Islam Akan Muncul Pada 2024

100 Tahun Kemunculan Mujaddid, Pemimpin Besar Islam Akan Muncul Pada 2024

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)."

Apa Maksud Mujaddid

Riwayat Abu Daud (3740) dalam Kitab al-Malahim, Bab Apa yang Disebut pada Kurun ke-100 dan al-Hakim (4:522) dalam al-Mustadrak. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani (599) dalam Silsilah-nya.

KESAHIHAN

Daripada hadis ini, kita memahami bahawa Allah SWT akan mengutuskan kepada umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan membantu masyarakat agar mereka tidak tersesat dan terpesong daripada agama ini dan dalam masa yang sama akan menjaga kesucian agama ini daripada unsur-unsur yang boleh mencemarkan ketulenan agama Islam.

Oleh itu, setiap orang muslim yang mengaku beriman perlu mempercayai hadis ini.

BAGAIMANA MUJADDID DITENTUKAN?

Walaupun Al Quran dan Hadis tidak menyebutnya tetapi ulama-ulama telah pun menetap dan menentukan siapa mereka itu.

Namun, terdapat khilaf ulama dalam menentukan mujaddid setiap kurun, hanya mereka sepakat terhadap mujaddid kurun pertama - Saiyidina Umar bin Abd. Aziz, mujaddid kurun kedua - Imam Syafie dan mujaddid kurun kelima - Imam Ghazali.

Walaupun perjuangan mereka berbeza waktunya satu dengan yang lain tetapi mempunyai syarat atau faktor penentu kemenangan (taqwa) dan ciri perjuangan yang sama.

Sejak Rasulullah SAW, sudah tiga belas kurun berlalu yang bemakna tiga belas mujaddid sudah berlalu. Ini mesti kita yakini sebab ianya sudah disabdakan oleh Rasulullah SAW.

Jadi, ulama-ulama telah menentukan siapa mereka itu.

Berdasarkan pendapat mereka seramai tiga belas mujaddid telah berlalu untuk tiga belas kurun.

Di antara mereka adalah:

Mujaddid kurun 1: Khalifah Umar bin Abdul Aziz
Mujaddid kurun 2: Imam Syafie
Mujaddid kurun 3: Abul Hassan As-Syaari, Ibnu Suraij A1 Iraqi
Mujaddid kurun 4: Imam Al Baihaqi, Syeikh Abu Hamid Isfaraini As Shafie
Mujaddid kurun 5: Imam Al Ghazali
Mujaddid kurun 6: Imam Fakhrurrazi
Mujaddid kurun 7: Ibnu Daqiqi’Id
Mujaddid kurun 8: Albalqini
Mujaddid kurun 9: Imam As Sayuti
Mujaddid kurun 10: Imam Muhammad Ar Ramli
Mujaddid kurun 11: Abdullah Salim Al Basri
Mujaddid kurun 12: Ad Dardiri
Mujaddid kurun 13: Al-Syarqawi
Mujaddid kurun 14: -
Mujaddid kurun 15: -

Mujaddid kurun ini belum disebut dalam kitab sewaktu ditulis.

Biasanya yang menentukan siapa mujaddid setiap 100 tahun adalah ulama yang sezaman dengannya, memandangkan dia mempunyai kelebihan-kelebihan dibandingkan dengan ulama-ulama yang lain terutamanya dari segi perjuangannya, keberaniannya, ketaqwaannya dan kepemimpinannya, sehingga orang dapat taat dengan kepemimpinannya dan memberi kesan besar kepada masyarakat.

Tetapi ada juga di kalangan mereka sendiri yang mengaku dirinya sebagai mujaddid, diantaranya ada dua orang iaitu Imam Ghazali dan Imam Sayuti.

Imam Sayuti pernah memberitahu, "Saya rasa di kurun ini sayalah mujaddidnya."

Imam Ghazali juga pernah mengaku.

Apakah mereka ini salah? Tidak salah! Kalau realitinya memang begitu.

Ada dua cara mengapa mereka menentukan diri mereka sendiri mujaddid di zamannya.

Pertama, mereka layak untuk berijtihad sendiri, bila dibandingkan dengan ulama-ulama yang sezaman dan mereka merasakan ALLAH telah memberi mereka kelebihan berbanding orang lain. Maka merekapun mengisytiharkannya.

Kedua, secara kerohanian atau secara ilham mereka mendapat pengesahan dari Rasulullah SAW, bahawa merekalah mujaddid di kurun tersebut.

Ini tidak hairan kerana Imam Sayuti mengaku telah bertemu dengan Rasulullah secara yakazah (jaga) sebanyak 75 kali.

Begitu juga dengan Imam Al Ghazali sewaktu ingin mengarang kitab, Rasulullah SAW selalu berada di samping kanannya.

Mereka berijtihad, mengaku dan mengisytiharkan dirinya sebagai mujaddid. Mereka tidak dikatakan sombong dan takabur. Mengapa? Sebab tidak bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAW.

KURUN KE 14-15

Kita sekarang ini berada di kurun ke-15. Mengapa tiada mujaddid yang muncul pada kurun ke-14? Bukankah ini satu petunjuk tentang mujaddid yang akan muncul pada kurun ke-15 ini?

Petunjuknya ialah akan muncul mujaddid secara berkembar pada kurun ke-15. Perkara ini telah berlaku pada masa dahulu sewaktu zaman Nabi Musa. Beliau telah muncul bersama Nabi Harun. Kisah Nabi Musa ini diceritakan dalam Al-Quran dalam surah TaHa.

Persoalannya, siapakah mujaddid berkembar yang akan muncul pada kurun ke-15? Kedua-dua orang mujaddid ini telah diberitahu oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya 1400 tahun dahulu.

Mereka ialah Imam Mahdi dan Putera Bani Tamim.

3 MAC 1924 KEJATUHAN KERAJAAN ISLAM TERAKHIR

Tahun 2024, maka genaplah satu abad umat Islam hidup tanpa naungan khalifah, berpunca daripada peristiwa yang berlaku lebih 100 tahun yang lalu dalam peristiwa Al-Thawra Al-Arabiyya Al-Kubra atau "The Great Arab Revolt."

Sekitar Oktober 1916, Kapten T.E. Lawrence atau "Lawrence of Arabia" tiba di Madinah dan bertemu dengan Amir Faisal, putera sulung kepada Sharif Hussein, pemerintah Haramain (Penjaga Dua Kota Suci lantikan Khalifah) yang berketurunan Banu Hashim.

Misi Lawrence sebagai wakil Empayar Britain adalah untuk merancang strategi bersama keluarga Sharif untuk menyerang kubu Madinah yang dipertahankan oleh Fakhri Pasha, seorang jeneral Khilafah Turki Uthmaniyyah (Ottoman) yang handal.

Kehadiran Lawrence menyusuli persetujuan Sharif Hussein dan Henry McMahon, Pesuruhjaya Tinggi Britain di Mesir, untuk bersama-sama menentang Khilafah Uthmaniyyah.

Ketika itu Perang Dunia Pertama (WW1) telah berlangsung dua tahun lebih di antara Pakatan Britain-Perancis-Rusia dan Pakatan Jerman-Austria.

Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah yang ketika itu dikuasai oleh Tiga Pasha (Talaat Pasha, Enver Pasha, Djemal Pasha) telah menyertai pakatan Jerman, walaupun tidak dipersetujui oleh Khalifah Mahmud V (Mehmed V).

Keluarga Sharif yang telah lama tidak berpuas hati dengan pemerintahan Turki, membuat keputusan untuk berpakat dengan Britain demi membebaskan bangsa Arab daripada pemerintahan Turki (sebenarnya, tidak ramai pun Arab yang menyokong keluarga Sharif).

Britain telah memberi janji yang lumayan bahawa mereka akan menyokong Sharif untuk menjadi khalifah kepada dunia Arab.

Namun, apa yang tidak diketahui oleh Sharif ialah perjanjian rahsia di antara Britain dan Perancis iaitu Perjanjian Sykes-Picot.

Menurut perjanjian tersebut, wilayah Uthmaniyah selepas perang akan dibahagikan di antara Britain dan Perancis.

Setahun kemudian (1917), Britain juga mengadakan Perjanjian Balfour dengan keluarga Rothschild, penaja gerakan Zionisme bahawa Britain akan mewujudkan sebuah negara Yahudi (Jewish national home) di Palestin.

Selepas tamatnya WW1, wilayah Turki Uthmaniyyah dibelah bahagi menurut Perjanjian Sykes-Picot.

Perancis mendapat Syria dan Lebanon; Britain mendapat Palestin, Jordan dan Iraq.

Malangnya, Britain tidak mengotakan janji McMahon terhadap Sharif, malah Britain telah memberikan bantuan senjata kepada musuh Banu Hashim iaitu Bani As-Saud untuk memerangi Sharif.

Sebelum sempat Sharif menubuhkan khilafah, keluarga As-Saud telah pun menawan Mekah dan Madinah pada tahun 1924, lalu terpaksalah keluarga Sharif meninggalkan Haramain. Keluarga As-Saud kemudiannya menubuhkan kerajaan bernama Arab Saudi.

Manakala di Turki, para pemenang WW1 (Britain, Itali, Greece) cuba menguasai Turki, namun Mustafa Kemal telah bangkit menentang penceroboh-penceroboh asing.

Mustafa Kemal menubuhkan Republik Turki dan dihormati sebagai Ataturk (Bapa Bangsa Turki). Pada 3 Mac 1924, Khilafah dimansuhkan. Khalifah ke-101, Sultan Abdul Majid II (Abdul Mecid II) dibuang negeri.

PENGAJARAN (IBRAH) DISEBALIK SEJARAH KELAM

Kedua-dua Turki Uthmaniyyah dan keluarga Sharif dan umat Islam secara keseluruhan ialah mangsa geopolitik oleh percaturan kuasa-kuasa besar dunia.

Britain sebenarnya hanya menganggap keluarga Sharif sebagai satu anak catur untuk menjatuhkan Uthmaniyyah dan membolehkan Britain menguasai Mashriq (kawasan di antara Laut Mediterranean dan Sungai Euphrates) yang strategik.

Begitu juga dengan Jerman yang membuat pakatan dengan Turki kerana ada musuh yang sama iaitu Rusia; dan kerana mahu mencari titik pivot di Teluk Parsi untuk melancarkan kuasa (projecting power) ke Lautan Hindi yang dikuasai Britain.

Begitu juga dengan Hitler semasa Perang Dunia Kedua, bukannya Hitler anti Yahudi yang menyokong perjuangan Palestin, tetapi hanya menggunakan anti-Semitisme untuk mencari sokongan di kalangan negara-negara Arab.

LIMA PERINGKAT PEMERINTAHAN SEJAK DARI ZAMAN RASULULLAH SAW

Seorang mujaddid tentunya orang yang sangat berpengaruh pada masanya, ia mesti memiliki syarat khusus sebagaimana yang disebutkan Ibnu Ziyâd dalam kitab Ghayah Talkhis al-Murâd fî Fatawa Ibn Ziyâd, iaitu:

"Di antara syarat-syarat seorang mujaddid iaitu melampaui seratus tahun, menolong sunnah serta kalamnya, menguasai seluruh fann ilmu dan dia tunggal sebagaimana pendapat yang masyhur dalam hadis menurut jumhur ulama."

Hadis di atas yang menyebut tentang tempoh seratus tahun boleh di kaitkan dengan hadis lima peringkat pemerintahan yang pernah disabdakan baginda Rasulullah SAW yang maksudnya:

"Telah berlaku zaman pemerintahan Nubuwwah ke atas kamu, maka berlakulah zaman pemerintahan nubuwwah sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki. Kemudian belakulah zaman pemerintahan Khulafa Ar Rasyidin yang berjalan sepertimana zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Lalu berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Zaman Fitnah - keamiran/beraja/zaman kesultanan). Berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya pula. Kemudian berlakulah zaman penindasan dan zaman penzaliman (Zaman pemerintahan diktator dan demokrasi) dan berlakulah zaman itu seperti mana yang Allah kehendaki. Kemudian berlakulah pula zaman kekhalifahan (Imam Mahdi dan Nabi Isa as) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian. Kemudian Rasulullah SAW pun diam... (Kiamat)."

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal r.a. dari sahabat Rasulullah SAW, Nuaman bin Basyir r.a. dari Huzaifah r.a. di dalam kitabnya Musnad Al Imam Ahmad bin Hanbal, Juzuk 4, halaman 273. Juga terdapat dalam kitab As-Silsilatus Sahihah, Jilid 1,hadis nombor 5)

Pemerintahan Pertama Hingga Ke 3

Dalam hadis di atas memaklumkan bahawa tiga pemerintahan telahpun berlalu, iaitu pemerintahan nubuwwah, pemerintahan Khulafa Ar Rasyidin dan pemerintahaan yang menggigit.

Pemerintahan Nubuwwah bermaksud pemerintahan baginda Rasulullah SAW yang berakhir dengan kewafatan baginda pada tahun 11 Hijrah.

Pemerintahan ke 2 ialah pemerintahan sahabat yang empat, iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman dan berakhir dengan Khalifah Ali r.a.

Pemerintahan ke 3, ialah pemerintahan yang menggigit, bermaksud pemerintah-pemerintah di peringkat ini masih lagi memerintah negara masing-masing dengan undang-undang al Quran. Tempohnya hingga jatuhnya kerajaan Uthmaniyah pada tahun 1924.

Pemerintahan Keempat & Kelima

Pemerintahan keempat yang digelar dalam hadis tersebut pemerintahan yang menyombong.

Digelar dengan gelaran tersebut kerana pemerintah-pemerintah peringkat ini meninggalkan perlaksanaan hukum-hukum Al Quran dan As Sunnah. Peringkat keempat ini sedang berlangsung sekarang.

Ramai juga ulama yang mengatakan peringkat keempat ini bermula dari jatuhnya Khilafah Uthmaniah di Turki iaitu dari tahun 1924.

Jika dikaitkan dengan hadis 100 tahun di atas, maka jumlahnya tahun 2024.

Berdasarkan hadis 100 tahun di atas menunjukkan bahawa tempoh pemerintahan ke 5 sudah sangat hampir yang memberi kita satu fahaman bahawa Mujaddid bagi hujung 100 tahun ketika zaman ini bakal muncul dalam masa terdekat dan kemungkinan mujaddid tersebut ialah Imam Mahdi.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, March 10, 2023

Kisah Asal Usul Bekas Tapak Kaki Di Makam Nabi Ibrahim a.s.

Kisah Asal Usul Bekas Tapak Kaki Di Makam Nabi Ibrahim a.s.

Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah SWT menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu.

Asal usul Makam Ibrahim

Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa Allah SWT meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, sehinggakan tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda.

Satu riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang memulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah SWT yang bermaksud, "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya.

Maka dengan kehendak Allah SWT, sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini di Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah SWT.

Apabila agama Islam datang, Allah SWT mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang makam Ibrahim sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan jadikanlah oleh kamu makam Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).

Yang dikatakan makam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.

Setelah selesai pembinaan Baitullah, maka Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh." (surah al-Haj ayat 27).

Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan baitullah dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah SWT, "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana."

Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan.

Allah SWT menyampaikan seruan Nabi Ibrahim a.s. pada setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua orang yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan sah tanpa talbiah.

Bacaan talbiah antara lainnya, "Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, "Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah."

Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya.

Banyak orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji.

Oleh itu, hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.

Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia sahaja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat.

Bagi mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah SWT sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna.

Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Monday, March 06, 2023

Ayat Kursi Pendinding Diri Dari Kejahatan Iblis, Syaitan Dan Manusia

Ayat Kursi Pendinding Diri Dari Kejahatan Iblis, Syaitan Dan Manusia

Dalam menghadapi hidup setiap hari, kita memerlukan satu kaedah yang jitu bagi menjaga keselamatan diri kita, anak isteri, rumah dan harta benda, perniagaan serta urusan dan pekerjaan yang kita jalankan.

Setiap hari berlaku rompakan, penipuan, perkosaan, pukau, kemalangan, pembunuhan, penzaliman, penindasan serta pelbagai musibah keatas umat Islam serata dunia.

Ayat Kursi pendinding diri

Tiada daya dan kekuatan yang dapat memberikan perlindungan kecuali dari Allah SWT.

Amalkan kaedah ini:
  • Baca Istiqfar - 3 kali.
  • Baca Selawat - 3 kali.
  • Baca Fatihah - 1 kali.
  • PASANG NIAT untuk memagar: "Sahaja aku membaca Ayat-Kursi untuk memagar diri, keluarga, rumah dan urusanku kerana Allah."

1. Baca Ayat Al-Kursi 1 kali

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI HADAPAN diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

2. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-2

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI BELAKANG diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

3. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-3

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI KANAN diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

4. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-4

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI KIRI diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

5. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-5

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI ATAS diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

6. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-6

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI BAWAH diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

7. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-7

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah segenap sendi dan liang bulu roma hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat ditembusi nafsu amarah yang didalangi oleh syaitan dan iblis.

8. Baca Selawat keatas Rasulullah SAW

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur'an sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia."

Berkata Anas bin Malik, "Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?"

Sabda Rasulullah SAW, " Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat."

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, March 03, 2023

Kerana Sombong Iblis Terbuang Dari Syurga

Kerana Sombong Iblis Terbuang Dari Syurga

Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang kedua disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam, namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil, manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Khutbah iblis

Dia (iblis) lupa akibat urusannya, maka Allah SWT telah memerintahkannya sujud kepada Adam.

Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah."

Lalu Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki."

Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana bangga dan sombong.

Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu dan ketika para malaikat mengangkat kepala, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud.

Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir."

Kemudian Allah SWT merubah wajahnya daripada asal yang sangat indah kepada bentuk seperti babi hutan.

Allah SWT membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya.

Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi.

"Maka keluarlah kamu dari syurga; sesungguhnya kamu adalah makhluk yang terkutuk." (QS Shaad: 77)

Allah SWT melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir.

Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai empat sayap, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggaan para malaikat dan pemukanya, dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah SWT membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril dan Mikail.

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?"

Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu."

Firman Allah bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku."

Setelah diusir, maka iblis pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum."

Berkata lagi iblis, "Tambahkanlah lagi untukku."

Allah berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya."

Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Lalu Allah berfirman yang maksudnya, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah."

Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, (ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang menaiki kuda mahupun yang berjalan kaki). Dan bersekutulah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusaha dan mengarahkannya ke jalan yang haram."

"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah dengan mereka."

Perkara ini ada disebutkan dalam surah al-Isra ayat 64 yang bermaksud, "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tidak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."

Ambil Pengajaran

Kita selalu membayangkan iblis dengan hal-hal yang negatif, padahal ada perkara positif yang boleh kita ambil pengajaran darinya.

Salah satu yang sangat penting adalah, ibadah tidak menjamin kita masuk ke dalam syurga, makanya kita harus berhati-hati dan selalu berdoa kepada Allah SWT supaya meninggal dunia dalam keadaan khusnul khotimah.

Sabda Rasulullah SAW, "Tidak ada amalan seorangpun yang dapat memasukkannya ke dalam syurga dan menyelamatkannya dari neraka. Tidak juga dengan ku, kecuali dengan rahmat Allah SWT." (HR Muslim).

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, February 24, 2023

Kisah Wali Allah Yang Solat Di Atas Air

Kisah Wali Allah Yang Solat Di Atas Air

Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang temasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah ribut petir dengan ombak yang kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan hampir tenggelam.

Siapa Wali Allah

Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha mereka sia-sia saja. Kesemua orang yang berada di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal dan diri mereka.

Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang sambil berzikir kepada Allah SWT.

Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang terunbang-ambing dan berjalanlah dia di atas air dan mengerjakan solat di atas air.

Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!"

Lelaki itu tidak memandang ke arah orang yang memanggilnya.

Para peniaga itu memanggil lagi, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"

Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan berkata, "Apa hal?"

Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa.

Peniaga itu berkata, "Wahai wali Allah, tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?"

Wali itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada Allah."

Para penumpang itu berkata, "Apa yang mesti kami buat?"

Wali Allah itu berkata, "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat."

Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta mereka. Asalkan jiwa mereka selamat.

Kemudian mereka berkata, "Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami semua selamat."

Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca Bismillah."

Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan berjalan menghampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir.

Tidak berapa lama kemudian, kapal yang mengandungi muatan berharga itu pun tenggelam ke dasar laut.

Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang mahal-mahal terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu.

Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi, "Siapakah kamu wahai wali Allah?"

Wali Allah itu berkata, "Saya ialah Awais Al-Qarni."

Peniaga itu berkata lagi, "Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir."

Wali Allah berkata, "Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?"

Peniaga itu berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah."

Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada Allah SWT agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.

Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang.

Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju.

Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagi-bahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal.

SIAPA WALI ALLAH?

Wali Allah (auliya) adalah orang-orang yang memiliki hubungan dekat dengan Allah Taala. Mereka memiliki keistimewaan dan kekhususan di sisi-Nya. Al-Quran menjelaskan para waliyullah ini adalah orang beriman dan bertakwa dalam surah Yunus ayat 62-63.

"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa." (QS Yunus: 62-63)

Dalam satu hadis turut disebut golongan inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah kepada Saidina Umar Ibnu Al Khattab r.a.

Rasulullah: Para Nabi dan para syuhada akan cemburu kepada segolongan hamba Allah kelak di akhirat kerana kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah, pada hal mereka bukan para Nabi.

Umar r.a.: Siapakah mereka wahai Rasul?

Rasulullah: Mereka ialah satu kaum yang saling mengasihi sesama mereka semata-mata kerana Allah, bukan kerana hubungan silaturrahim atau kerana harta. Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka bercahaya, mereka di atas mimbar yang bercahaya. Mereka tidak takut di kala manusia lain merasa takut dan mereka tidak sedih di kala manusia lain merasa sedih. Lalu Rasulullah pun membaca ayat 62-63 dari surah Yunus.

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (QS Yunus: 62-63).

Keistimewaan Wali Allah

Salah satu keistimewaan Wali Allah ini ada diterangkan oleh Baginda Nabi, dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhya Allah Ta'ala berfirman: "Siapa yang memusuhi wali-Ku maka telah Aku umumkan perang terhadapnya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku cintai kecuali beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan atasnya. Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnah di luar yang fardhu) maka Aku akan mencintainya. Dan jika Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi." (Riwayat Al-Bukhari).

3 Wirid Para Wali Allah

Ada tiga wirid yang tidak pernah berpisah dengan para auliya (solihin) kerana faedah membaca wirid ini sangat besar fadilatnya di dunia mahupun di akhirat.

1. Membaca 100 Kali sebelum solat Subuh

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم ،استغفرالله

Subhanallahi wa Bihamdihi Subhanallahil 'Azhiimi, Astaghfirullaah.

Ertinya: Maha suci Allah dan segala pujian kepada-Nya, Maha suci Allah yang Maha Besar aku mohon keampunan kepadaMu ya Allah.

Wirid ini juga terkenal dengan sebutan istighfarnya para Malaikat.

Membaca 100 kali sesudah solat Zuhur

لاإله إلا الله الملك الحق المبين

Laa ilaha illallah Al-Malikul haqqul Mubiin.

Membaca zikir ini sebelum tidur

سبحان الله

Subhanallah 33x

الحمدلله

Alhamdulillah 33x

الله اكبر

Allahu Akbar 34x

Dan menutupnya dengan kalimat:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Laa ilaaha illallah wahdahu laa Syarika lah, Lahul Mulku wa Lahul hamdu Yuhyii wa Yumiitu wa Huwa 'Alaa kulli Syai-in Qadiir.

Inilah juga kalimah yang diajarkan Rasulullah kepada puteri dikasihinya Saidatul Fatimah radhiyallahu ‘anha dan juga kepada menantunya, Saidina Ali.

Para ulama mengatakan ada rahsia yang sangat besar dalam tasbih zikir ini.

Semoga bermanfaat dan kita dimudahkan dalam mengamalkannya. Aamiin.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, February 17, 2023

'Allah Senantiasa Menolong Seorang Hamba Selama Hamba Itu Menolong Saudaranya'

'Allah Senantiasa Menolong Seorang Hamba Selama Hamba Itu Menolong Saudaranya'

Suatu hari Rasulullah SAW mahu berbelanja. Dengan bekal wang sebanyak 8 dirham, beliau hendak membeli pakaian dan kelengkapan rumah. Belum juga sampai di pasar, beliau mendapati seorang wanita sedang menangis.

Allah Senantiasa Menolong Seorang Hamba Selama Hamba Itu Menolong Saudaranya

Beliau bertanya kenapa menangis. Apakah sedang ditimpa musibah? Perempuan itu menyampaikan bahawa ia adalah seorang hamba yang kehilangan wang sebanyak 2 dirham. Dia menangis kerana takut didera oleh majikannya.

Dua dirham dikeluarkan dari saku Rasulullah untuk menghibur hamba yang malang tersebut. Kini tinggal 6 dirham. Beliau bergegas membeli gamis, pakaian kesukaanya.

Akan tetapi baru beberapa langkah dari pasar, seorang tua lagi miskin sambil berteriak berkata, "Barang siapa yang memberiku pakaian, Allah akan mendandaninya kelak."

Rasulullah memeriksa lelaki tersebut. Pakaiannya lusuh, tak pantas lagi dipakai. Gamis yang baru dibelinya dilepas dan diberikan dengan sukarela kepadanya. Beliau tak jadi memakai baju baru.

Dengan langkah ringan beliau hendak segera pulang. Akan tetapi lagi-lagi Baginda harus bersabar.

Kali ini beliau kembali menemui hamba perempuan yang diberi dua dirham tadi yang mengadukan persoalan, bahawa dia takut pulang. Ia khuatir akan dihukum oleh majikannya kerana terlambat.

Sebagai seorang hamba, saat itu nilainya tidak lebih dari seekor binatang. Hukuman fizikal sudah sangat lazim diterima.

Rasulullah diutus ke dunia untuk memberikan pembelaan terhadap rakyat jelata. Dengan senang hati Baginda menghantarkan hamba perempuan tersebut ke rumah majikannya.

Sesampainya di rumah, beliau ucapkan salam. Sekali, dua kali belum ada jawapan. Baru salam yang ketiga dijawab oleh penghuni rumah. Nampaknya semua penghuni rumah tersebut adalah perempuan.

Ketika ditanya kenapa salam beliau tidak dijawab, pemilik rumah itu mengatakan sengaja melakukannya dengan maksud di doakan Rasulullah dengan salam tiga kali.

Selanjutnya Rasulullah menyampaikan maksud kedatangannya. Beliau menghantar perempuan yang menjadi hamba tersebut kerana takut mendapat hukuman.

Rasulullah kemudian menyampaikan, "Jika perempuan hamba ini salah dan perlu dihukum, biarlah aku yang menerima hukumannya."

Mendengar ucapan Rasulullah itu, penghuni rumah terkesima. Mereka merasa mendapat pengajaran yang sangat berharga dari baginda Rasulullah.

Lalu mereka menyampaikan, "Hamba belian ini merdeka kerana Allah."

Betapa bahagianya Rasulullah mendengar pernyataan itu. Beliau sangat bersyukur dengan wang 8 dirham mendapat keuntungan ribuan dirham, yakni harga hamba itu sendiri.

Beliau berkata, "Tiadalah aku melihat lapan dirham demikian besar berkatnya daripada lapan dirham yang ini.

Allah telah memberi ketenteraman bagi orang yang ketakutan, memberi pakaian orang yang telanjang, dan membebaskan seorang hamba belian."

Akhirnya, rahmat dan kasih sayang, bantuan dan pertolongan kepada masyarakat akan mendatangkan kesejahteraan dan kemajuan.

Allah berfirman dalam sebuah hadits Qudsyi, "Bahawanya Allah menolong hamba-Nya, selama ia menolong saudaranya."

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Bangga Dan Menayang Amalan Menghilangkan Pahala

Bangga Dan Menayang Amalan Menghilangkan Pahala

Keikhlasan itu sesuatu yang sangat berharga. Bayangkan anda sedang menjunjung sebuah peti emas yang terbuka dan berjalan di sekitar bandar raya yang sesak. Sudah pasti anda akan bersungguh-sungguh menjaganya. Begitu juga segala amal kita lakukan. Kita tidak mahu segala pahala kita dirompak begitu saja bukan?

Bahaya Takjub Riak Ujub

Seorang itu bangun solat Tahajud di malam hari dan kemudian dalam hatinya merasa seronok dan bangga selepas dia bersolat, itu adalah tanda-tanda kewujudan sifat ujub dan riak kepada Allah.

Dia yang beramal itu menyangka apa yang dilakukannya (walaupun dia merahsiakannya dari manusia) akan menyelamatkan dirinya dari azab api neraka sedangkan manusia yang soleh itu sebenarnya memenuhi syurga Allah hanya kerana RAHMAT dari ALLAH dan bukan apa yang diusahakannya untuk merasa selamat.

Syidad bin Ausi berkata, "Suatu hari saya melihat Rasulullah SAW sedang menangis, lalu saya pun bertanya beliau, Ya Rasulullah, mengapa anda menangis?"

Sabda Rasulullah SAW, "Ya Syidad, aku menangis kerana khuatir terhadap umatku akan perbuatan syirik, ketahuilah bahawa mereka itu tidak menyembah berhala tetapi mereka berlaku riak dengan amalan perbuatan mereka."

Rasulullah SAW bersabda lagi, "Para malaikat penjaga akan naik membawa amal perbuatan para hamba dari puasanya, solatnya, dermanya dan sebagainya. Para malaikat itu mempunyai suara seperti suara lebah dan mempunyai sinar matahari dan bersama mereka itu 3,000 malaikat dan mereka membawa ke langit ketujuh."

Malaikat yang diserahi ke langit berkata kepada para malaikat penjaga, "Berdirilah kamu semua dan pukulkanlah amal perbuatan ini ke muka pemiliknya dan semua anggotanya dan tutuplah hatinya, sungguh saya menghalangi sampainya kepada Tuhan saya setiap amal perbuatan yang tidak dikehendaki untuk Tuhan selain daripada Allah (membuat sesuatu amal bukan kerana Allah)."

"Berlaku riak di kalangan ahli fiqh adalah kerana inginkan ketinggian supaya mereka menjadi sebutan. Di kalangan para ulama pula untuk menjadi popular di kota dan di kalangan umum. Allah SWT telah memerintahkan agar saya tidak membiarkan amalnya melewati saya akan sampai selain kepada saya."

Malaikat penjaga membawa amal orang-orang soleh dan kemudian dibawa oleh malaikat di langit sehingga sampai kepada Allah SWT.

Mereka berhenti di hariban Allah dan memberikan persaksian terhadap amal orang tersebut yang betul-betul soleh dan ikhlas kerana Allah.

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Kamu semua adalah para malaikat Hafazdah (malaikat penjaga) pada amal-amal perbuatan hamba-Ku, sedang Aku-lah yang mengawasi dan mengetahui hatinya, bahawa sesungguhnya dia menghendaki amal ini bukan untuk-Ku, laknat para malaikat dan laknat segala sesuatu di langit."

BURUKNYA SIFAT RIYA' (RIAK)

Perlu kita fahami apa yang dimaksudkan dengan riya' supaya tidak tersalah faham tentang maknanya yang sebenar.

"(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya)." (Surah al-Ma'un: 5-6)

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa riya' ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama. (Rujuk Mafatih al-Ghaib (32/301))

"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (Surah al-Kahfi: 110)

"Aku bebas dari segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikan-Ku dengan yang lain. Maka aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu." Riwayat Muslim (7666)

Al-Qadhi Iyadh menyebut, "Hadis ini membawa makna (seakan-akan Allah menyebut) Aku menolak amalannya. Sifat riya' itu adalah dalil kebodohan, pandangan yang teruk dan juga tanda buruknya amalan." Rujuk Faid al-Qadir (4/483)

Sheikh Farid al-Ansari membahagikan riya' kepada beberapa bahagian, iaitu riya' pada agama, tubuh badan, percakapan, percakapan dan lain-lain.

Contoh Riya' pada agama dan badan ialah menzahirkan kekurusan dan ketidak kemasan supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat.

Riya' pada percakapan ialah memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang islam ataupun berzikir kuat-kuat di hadapan orang ramai.

Riya' pada amalan seperti contoh menzahirkan qiyam dan ruku' yang panjang ketika bersolat di hadapan orang ramai.

Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata, "Hei kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah."

SIFAT RIAK DI MEDIA SOSIAL

Sebenarnya ada yang sudah mengetahui bahawa riak itu berdosa, tetapi masih juga menunjuk-nunjuk kerana rasa diri lebih baik dari orang lain. Mengapa begitu? Tidak percaya akan azab ALLAH SWT?

Rahsiakan ibadat

Ramai sangat insan suka mengucapkan salam subuh setiap kali selesai menunaikan solat pagi setiap hari.

Amalan seperti solat, puasa Isnin dan Khamis dan apa juga sedekah yang kita lakukan seharusnya disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat supaya keikhlasan itu dapat dijaga.

Kita harus pandai menggunakan peluang yang ada untuk mengajak orang ramai untuk melakukan perkara yang baik tetapi pada masa sama, merahsiakan amal ibadat. Ia adalah rahsia antara kita dan Allah SWT sahaja.

Puji anak berlebihan

Boleh dikatakan setiap hari update pasal anak, anak cantik la, anak bijak la di facebook, instagram, sampaikan orang naik menyampah. Sepatutnya anda peka dengan rakan-rakan anda yang mungkin belum berpeluang merasa ada anak, pasti mereka rasa sedih.

Check in hospital mahal

Snap gambar dalam hospital, suruh ralan-rakan doakan anak supaya cepat sembuh. Tetapi caption hastag nama hospital-hospital terkenal, hospital yang mahal-mahal. Sebenarnya dalam hati nak beritahu yang dia mampu pergi hospital mahal. Bukan nak suruh doakan anak tu sangat.

Bersyukur tak habis-habis

Tak habis-habis update pasal duit yang banyak. Bersyukur katanya. Selang seminit update Alahmdulillah. "Alhamdulillah duit masuk lagi."

Sebenarnya bersyukur itu perbuatan yang baik, tetapi salah caranya. Jika betul hendak besyukur, solat dan buat sujud syukur. Bukan hebohkan di laman sosial.

Tunjuk kereta mahal

Tangkap gambar dalam kereta, nampak stereng sekali. Captionnya ‘teruk jam jalan hari ni’. Sebenarnya nak bagitau yang dia bawa kereta mahal. Orang yang ada kereta lebih mahal dari dia pun tak riak!

Shopping

Suka shopping lepas tu ambil gambar dan update di laman sosial, caption pulak 'letih shopping hari ini, sikit-sikit je keluar duit hari ni' tapi dalam gambar bukan main banyak barang yang dibeli. Nak berlagak pun tak payah nak menunjuk sangat kan?

Serba baru

Dekat nak raya nanti ada la yang update pasal sofa baru, langsir baru, baju baru. Sila jaga perasaan orang yang tak mampu. Dah beli barang baru tu senyap saja, jangan nak heboh.

Muka lawa

Suka ambil gambar sendiri dan upload di Facebook, caption 'tak lawa macam makwe awak-awak semua' tetapi sebenarnya nak orang komen pujian. Nanti kalau orang komen cakap memang tak lawa pun, marah pulak. Pelik kan!

TIPU DAYA IBLIS

Riak adalah permainan iblis untuk menggoda manusia. Ia adalah masalah hati yang sukar dilihat dengan mata kasar.

Disebabkan itu, tiada sesiapa pun yang dikecualikan daripada terjerumus ke dalam sifat tersebut kerana alim ulama sekalipun cenderung untuk bersifat begini jika hatinya terpesong walaupun sesaat.

Iblis telah mengaku di hadapan ALLAH SWT bahawa hanya satu golongan manusia sahaja yang akan selamat iaitu mereka yang ikhlas dalam amalannya.

"Wahai Tuhanku (kata Iblis), oleh kerana ENGKAU telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka (umat manusia) memandang baik (kepada perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya (melakukan kemungkaran termasuk riak dalam beramal), kecuali hamba-hamba ENGKAU yang ikhlas di antara mereka." Surah al-Hijr, ayat 39 hingga 40

Kesimpulan

Riak adalah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu.

Sifat riak boleh memakan diri sendiri. Ia berbeza jika sesuatu yang dilaksanakan bertujuan untuk mendidik.

Sebagai contoh, seorang ayah menderma ke dalam tabung masjid dan dilihat oleh anaknya, lalu si ayah berpesan agar mencontohi amalan yang dilakukannya itu. Perbuatan ini tidak dipanggil sebagai riak.

Oleh itu, sentiasalah beristighfar. Sebaik-baiknya sembunyikanlah segala amalan dan perbuatan kita. Sentiasa luruskan niat kerana ALLAH SWT. Amalan yang dibuat kerana manusia tidak akan mendatangkan pahala dan manfaat di sisi-NYA.

Daripada Sa’ad Abi Waqqas r.a., Rasullullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, hamba yang hatinya selalu merasa cukup dan yang suka mengasingkan diri." (HR Muslim)

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, February 03, 2023

Minum Arak Puncak Segala Kejahatan

Minum Arak Puncak Segala Kejahatan

Dosa manakah, minum minuman yang memabukkan, berzina atau membunuh. Itulah teka-teki sebagai inti khutbah Khalifah Uthman bin Affan r.a. seperti yang diriwayatkan oleh Az-Zuhriy, dalam khutbah Uthman itu mengingatkan umat agar berhati-hati terhadap minuman khamr atau arak. Sebab minuman yang memabukkan itu sebagai pangkal perbuatan keji dan sumber segala dosa.

Arak Puncak Segala Kejahatan

Ada sebuah riwayat daripada Al-Haris yang telah mendengar Saidina Uthman r.a. berkata:

Dulu hidup seorang ahli ibadah yang selalu tekun beribadah ke masjid, lanjut khutbah Khalifah Uthman.

Suatu hari lelaki yang soleh itu berkenalan dengan seorang wanita cantik. Kerana sudah terjatuh hati, lelaki itu menurut saja ketika disuruh memilih antara tiga permintaannya, tentang kemaksiatan.

Pertama minum khamr, kedua berzina dan ketiga membunuh bayi.

Mengira minum arak dosanya lebih kecil daripada dua pilihan lain yang diajukan wanita pujaan itu, lelaki soleh itu lalu memilih minum khamr.

Tetapi apa yang terjadi, dengan minum arak yang memabukkan itu malah dia melanggar dua kejahatan yang lain.

Dalam keadaan mabuk dan lupa diri, lelaki itu menzinai pelacur itu dan membunuh bayi di sisinya.

"Kerana itulah hindarilah khamr, kerana minuman itu sebagai biang keladi segala kejahatan dan perbuatan dosa.

"Ingatlah, iman dengan arak tidak mungkin bersatu dalam tubuh manusia. Salah satu di antaranya harus keluar. Orang yang mabuk mulutnya akan mengeluarkan kata-kata kufur dan jika menjadi kebiasaan sampai akhir ayatnya, ia akan kekal di neraka."

KISAH BARSISA

Barsisa adalah seorang abid berketurunan Bani Israil, pengikut agama Nabi Musa a.s. Dia merupakan seorang guru yang mempunyai ribuan pelajar yang boleh terbang di atas angin kerana berkatnya.

Ibadah Barsisa cukup kuat hinggakan malaikat takjub melihatnya. Allah SWT bertanya kepada para malaikat, "Mengapa kalian semua takjub melihat Barsisa beribadat? Sesungguhnya Aku amat mengetahui apa kamu tidak ketahui. Barsisa yang kamu takjub itu akan mati kafir dan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya."

Hal kematian Barsisa yang akan mati dalam keadaan kafir telah didengari oleh syaitan. Maka syaitan pun segera menuju ke tempat Barsisa sedang beribadat dengan menyamar sebagai manusia yang soleh.

Setibanya di situ syaitan lantas memanggil Barsisa, yang mendengar namanya dipanggil terus menyahut seruannya dan bertanya, "Siapakah tuan?"

Syaitan menjawab, "Saya seorang abid datang untuk menemani tuan beribadat kepada Allah SWT."

Apabila mendengar jawapan syaitan, Barsisa menjawab, "Barang siapa yang datang ke sini untuk beribadat kepada Allah, Allah akan mengadakan teman baginya, silakanlah wahai abid untuk beribadat bersama-sama saya."

Maka syaitan tadi pun beribadat 3 hari 3 malam, tidak tidur, tidak makan dan tidak pula minum, menyebabkan Barsisa berasa kagum dengan teman barunya kerana dia lebih kuat beribadat daripadanya.

Maka berkatalah Barsisa, "Aku beribadat kepada Allah SWT selama 220 tahun tetapi saya tidak pula sanggup meninggalkan tidur, makan dan minum seperti tuan. Bagaimanakah saya hendak beribadat seperti tuan?"

Kata Syaitan, "Wahai tuan, lakukanlah maksiat kepada Allah, kemudian tuan bertaubat kepada-Nya, sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

Barsisa terkejut lantas bertanya, "Mengapa pula saya mesti mengerjakan maksiat kepada Allah, sedangkan saya telah lama beribadat kepada-Nya?"

Jawab syaitan, "Manusia apabila melakukan dosa, mereka sangat berhajat untuk meminta keampunan daripada-Nya hingga tuan boleh merasai betapa lazatnya melakukan ketaatan kepada Allah SWT setelah melakukan dosa."

Barsisa bertanya lagi, "Apakah dosa yang kamu maksudkan?"

Jawab syaitan, "Cubalah berzina."

Barsisa bertegas untuk tidak melakukannya. Lantas syaitan berkata, "Kalau tidak mahu berzina, bunuhlah seorang Muslim."

Sekali lagi Barsisa menolak nasihat syaitan.

Tanpa berputus asa, syaitan meneruskan lagi, "Kalau tidak mahu membunuh, maka minumlah minuman yang memabukkan."

Barsisa menjawab, "Ya! itulah yang lebih ringan. Di manakah saya boleh dapatkan minuman itu?"

"Pergilah ke desa sekian-sekian."

Maka Barsisa pun pergi ke desa yang dimaksudkan untuk mendapatkan minuman tersebut. Di sana dia bertemu seorang wanita sedang menjual khamar (arak).

Barsisa membeli minuman tersebut dan meminumnya sehingga dia mabuk. Dalam keadaan mabuk dia memperkosa wanita penjual khamar.

Tiba-tiba suami wanita itu pulang ke rumah. Oleh kerana takut rahsianya terbongkar, Barsisa membunuh suami wanita tersebut.

Syaitan yang mengubah penampilannya menjadi manusia pergi bertemu dengan raja untuk melaporkan kesalahan Barsisa membunuh orang. Raja memerintahkan agar Barsisa ditangkap.

Setelah sabit kesalahan, Barsisa dirotan 80 kali kerana kesalahan meminum khamar, 100 kali sebatan kerana merogol dan juga dijatuhkan hukuman sula kerana membunuh suami wanita itu.

Ketika Barsisa sedang berdiri terpacak di tiang sula, syaitan mendatanginya lalu bertanya, "Wahai Barsisa, bagaimanakah keadaanmu sekarang?"

Jawab Barsisa, "Beginilah keadaanku apabila terpedaya dengan seorang teman yang jahat lagi pengkhianat."

Syaitan berkata lagi, "Ketika saat kamu mahu disula ini, mahukah kamu jika aku lepaskan dengan satu syarat?"

Jawab Barsisa, "Apakah syarat tersebut, aku sedia memenuhinya."

Jawab syaitan, "Sujudlah kepadaku satu kali."

Barsisa menjawab, "Bagaimanakah aku hendak sujud kepadamu sedangkan aku terpaku di tiang sula ini?"

Kata syaitan, "Cukuplah dengan isyarat menganggukkan kepala sahaja."

Barsisa pun patuh, dia melakukan sujud kepada syaitan (Iblis Laknatullah) dengan cara menganggukkan kepalanya kepada iblis.

Ketika itulah Raja mengarahkan hukuman dilaksanakan, maka matilah Barsisa bertuhankan syaitan yang terkutuk.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, January 31, 2023

Kisah Kota LGBT Yang Di Lenyapkan Dari Muka Bumi!

Kisah Kota LGBT Yang Di Lenyapkan Dari Muka Bumi!

Sejarah Laut Mati menyimpan peristiwa bencana yang amat dahsyat, sehingga bukan sahaja menimpa seluruh penduduknya malah melenyapkan terus sebuah negeri dan peradaban. Peristiwa tersebut dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Kaum yang dimaksudkan itu ialah penduduk Sodom dan Amurah.

Kisah Valley of Salt

Laut Mati ialah laut yang mempunyai air yang sangat masin, sehingga tiada suatu hidupan yang mampu hidup. Jika mandi di laut ini, kita akan mendapati badan kita terapung-apung dan tidak tenggelam, lantaran kepekatan garamnya.

Firman-Nya yang bermaksud, "Maka ketika datang azab Kami, Kami balikkan negeri itu, bahagian atas menjadi bahagian bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang (batu-batu itu) ditandakan (diarahkan) oleh Tuhanmu dan Ia tidaklah jauh daripada orang yang zalim itu." (Surah Hud 11: 8283)

Lokasi bandar Sodom dan Amurah (dalam bible disebut Gommorah) dikenal pasti oleh ahli sejarah di barat daya Laut Mati. Beberapa penemuan sejarah ditemui di kawasan itu kini suatu lembah yang digelar Valley of Salt.

Bumi di situ didapati mengandungi kandungan sulfur dan garam yang tinggi. Dipercayai azab yang diturunkan ke atas mereka daripada hunjaman batu-batu belerang, yang mana selain membunuh manusia, ia membakar bangunan batu-batu kapur (limestone), yakni bahan membina bangunan pada waktu itu.

Tanah dan abu yang dijumpai di kawasan itu mengandungi kalsium sulfat dan kalsium karbonat, hasil daripada batu kapur dan sulfur (batu belerang) yang terbakar.

Kedegilan Kaum Nabi Lut Mengundang Azab Allah

Kaum ini dalam kehidupan mereka mengamalkan perkara yang sangat keji iaitu hubungan homoseksual atau liwat dikalangan lelaki dan lesbian dalam kalangan wanita.

Rata-rata mereka berminat sesama kaum sejenis. Ditambah dengan pelbagai maksiat dan kemungkaran lain seperti penindasan, rompakan, kecurian serta rampasan harta benda dan sebagainya.

Yang kuat mendapat kuasa, manakala yang lemah menjadi korban penindasan serta penganiayaan.

Allah SWT mengutus Nabi Lut a.s. untuk berdakwah dan menyeru kaum Sodom agar kembali menyembah Allah dan meninggalkan perkara keji itu, tetapi mereka mengingkari dakwah Nabi Lut a.s.

Malah mereka suka memperolok-olokkan Nabi Lut sehingga mencabar beliau meminta didatangkan azab daripada Tuhan.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan (Kami utus) Nabi Lut. Ingatlah ketika ia berseru kepada kaumnya: 'Kenapa kamu lakukan pekerjaan keji (homoseks) yang tidak pernah dikerjakan oleh seorang jua pun sebelum kamu di muka bumi ini? Sesungguhnya kamu menyalurkan syahwatmu (nafsu seks kamu) kepada lelaki, bukan kepada wanita. Nyatalah kamu kaum yang melampaui batas.' Jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan, 'Halau mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya) dari negeri kamu ini. Sesungguhnya mereka ialah orang yang berpura-pura menyucikan diri.'" (Surah al-A’raf 7: 80-82)

"Maka jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: 'Datangkan kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.'" (Surah al-Ankabut 29: 29)

Utusan Allah SWT Datang Kepada Kaum Lut

Kemudian Allah SWT mengutus dua malaikat menjelma sebagai pemuda tampan ke negeri kaum Lut.

Ibn Kathir menyebut: Dalam kalangan ahli tafsir menyebut: Setelah para malaikat iaitu Jibril, Mikail, dan Israfil meninggalkan Ibrahim a.s., maka mereka mendatangi negeri Sodom dalam rupa pemuda yang sangat tampan, sebagai bentuk ujian dari Allah SWT atas kaum Lut dan untuk menegakkan hujjah atas diri mereka.

Sebelum itu, malaikat ini pernah bertamu ke rumah Nabi Ibrahim a.s. untuk menyampaikan berita gembira bahawa isteri baginda akan hamil dan dikurniakan cahaya mata. Malaikat itu juga telah menyatakan bahawa mereka akan ke negeri kaum Lut untuk membinasakan mereka.

Nabi Lut a.s. ialah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Ayahnya bernama Hasan bin Tareh, saudara kandung Nabi Ibrahim a.s.

Firman Allah SWT, "Dan ketika utusan Kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa khabar gembira, mereka mengatakan: 'Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk (Sodom) ini. Sesungguhnya penduduknya ialah orang yang zalim.'" (Surah al-Ankabut 29: 31)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Berkata Ibrahim: 'Sesungguhnya di kota itu ada Lut.' Para malaikat berkata: 'Kami lebih mengetahui siapa di kota itu. Kami akan selamatkan dia dan pengikutnya kecuali isterinya. Dia termasuk orang yang dibinasakan.'" (Surah al-Ankabut 29: 32)

Para malaikat itu kemudiannya meninggalkan Ibrahim dan menuju ke Sodom.

Al-Suddi berkata: Para malaikat tersebut pergi daripada tempat Nabi Ibrahim menuju ke negeri Lut. Mereka datang ke negeri tersebut pada waktu tengah hari.

Sesampainya mereka di sungai negeri Sodom, mereka bertemu dengan puteri Lut yang sedang mengambil air untuk keluarganya. Ketika itu, Lut memiliki dua anak perempuan. Puteri yang pertama bernama Raitsa dan yang kecil bernama Zaghrata.

Para malaikat tersebut berkata kepadanya, "Wahai anak perempuan, apakah ada tempat untuk singgah?" Dia menjawab: "Ya, ada tempat bagi kamu. Namun, janganlah kamu masuk sebelum aku datang lagi kepada kamu."

Dia merasa kasihan jika kaumnya memperlakukan mereka dengan tidak wajar. Lalu dia menemui ayahnya dan berkata, "Wahai ayah! Ada beberapa pemuda yang ingin bertemu denganmu di pintu masuk kota. Aku belum pernah melihat wajah yang lebih tampan dari wajah mereka. Jangan engkau biarkan kaummu mengganggu mereka dan mempermalukan mereka."

Pada waktu itu, kaum Lut telah melarangnya untuk menerima tetamu. Mereka berkata, "Biarkan kami menerima tetamu lelaki."

Mereka pun bertamu kepada Lut ketika matahari tenggelam. Lut merasa khuatir sekiranya tidak menyambut mereka, maka akan didahului oleh orang lain kerana menyangka bahawa mereka adalah manusia biasa.

Lut membawa mereka – para malaikat tersebut – tanpa diketahui oleh seorang pun kecuali isterinya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan." Surah Hud (77)

Malangnya, isteri Lut keluar menemui kaumnya dan berkata, "Di rumah Lut ada beberapa lelaki yang sangat tampan yang belum pernah aku lihat sebelumnya."

Lalu tersebarlah berita dikalangan kaumnya kedatangan lelaki-lelaki tampan di rumah Lut. Lalu mereka berkumpul di hadapan rumah baginda.

Berteriaklah mereka memanggil Lut untuk melepaskan anak-anak muda itu, agar diberi kepada mereka untuk memuaskan nafsu.

Nabi Lut tidak membuka pintu bagi mereka dan berseru agar mereka kembali ke rumah masing-masing dan jangan menggunggu tetamu yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan.

Lalu berkatalah Nabi Lut a.s. kepada para tamunya, "Sesungguhnya aku tidak berdaya menahan orang-orang itu menyerbu ke dalam. Aku tidak memiliki senjata dan kekuatan fizikal yang dapat menolak kekerasan mereka, tidak pula mempunyai keluarga atau sanak saudara yang disegani mereka yang dapat aku minta pertolongannya, maka aku merasa sangat kecewa, bahawa sebagai tuan rumah aku tidak dapat menghalau gangguan terhadap tetamu dirumahku sendiri."

"Para utusan malaikat berkata, 'Hai Lut, sesungguhnya kami ialah utusan-utusan Tuhanmu. Mereka sekali-kali tidak akan mengganggumu. Sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikutmu pada akhir malam dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, kecuali isterimu.'" (Surah Hud 11: 81)

Pengakhiran Kaum LGBT

Nabi Lut a.s. keluar dari kampungnya bersama keluarganya iaitu kedua anak perempuannya dan tidak ada seorang pun yang mengikutinya.

Lalu ketika matahari menyingsing maka azab pun menimpa kaumnya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu." Surah Hud (82-83)

Jibril memporak-porandakan tempat tinggal mereka yang berjumlah tujuh kota, dengan hujung sayapnya. Mereka menyebut bahawa jumlah mereka adalah empat ratus orang. Ada yang mengatakan jumlah mereka empat ribu orang ditambah dengan haiwan-haiwan. Tempat-tempat dan daerah-daerah di sekitar itu juga diporak-porandakan. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 274)

Mujahid berkata, "Yang mula-mula terjatuh adalah para pembesar dari kalangan kaum Lut."

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Al-Baghawi berkata: Tatkala datang azab Kami, nescaya Kami jadikan yang di atas ke bawah. Ini kerana, Jibril memasukkan sayapnya di bawah perkampungan kaum Lut yang mengandungi lima tempat.

Padanya terdapat empat ratus ribu orang. Ada pendapat menyatakan empat ribu orang. Maka diangkat kota-kota semuanya sehingga kedengaran ahli langit bunyi kokokan ayam dan salakan anjing.

Dan tiada berubah ketika itu bekasan mereka dan tidak tersedar orang yang sedang tidur. Kemudian dibalikkannya sehingga yang di atas diterbalikkan ke bawah. (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 4/193)

Firman Allah SWT, iaitu pada setiap batu tersebut tertulis nama orang yang akan dikenakan kepalanya sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT yang maksudnya, "Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)." Surah al-Zariyat (34)

Al-Suhaili berkata, "Ketika mereka telah pergi dari negerinya dan matahari telah terbit, turunlah kepada kaumnya azab yang dahsyat. Jibril dengan hujung sayapnya membalikkan tujuh kota. Dia jadikan bahagian atas kota itu menjadi bahagian bawah. Tempat tinggal mereka menjadi laksana laut berbau busuk yang bergelombang dengan air yang sangat masin sehingga pahit. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 260-284)

"Mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur, ketika matahari akan terbit. Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras." (Surah al-Hijr 15: 74)

Pendapat Ahli Penyelidik

Terdapat satu bab dalam Majalah al-Siyasah al-Usbu’iyyah yang menyebut: Beberapa kitab samawi menceritakan, Allah SWT telah membinasakan dua buah kota, iaitu Sodom dan Amurah, serta tiga kota lain yang berhampiran.

Allah SWT telah menghujani mereka dengan api dan belerang dari langit, sehingga tidak ada seorang pun penduduk di situ selamat, kecuali Nabi Ibrahim a.s. bersama ahli keluarganya serta Nabi Lut a.s. dan kedua-dua anak perempuannya.

Nabi Ibrahim a.s. bukan penduduk asal kota itu, tetapi secara kebetulan Baginda sedang melalui kota tersebut dari arah utara untuk mencari rumput, yang biasa dilakukan oleh kelompok nomad pada waktu itu.

Hinanya Perlakuan LGBT

Begitulah kesudahan kaum Lut yang dibinasakan dan dilenyapkan dari muka bumi yang menjadi pengajaran kepada manusia hingga ke hari kiamat.

"Dan sesungguhnya kota itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (di lalui manusia). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman." (Surah al-Hijr 15: 76-77).

Wallahu a'lam.

sumber: (1)(2)

Thursday, January 26, 2023

Dahsyatnya Kelebihan Ayat Kursi

Dahsyatnya Kelebihan Ayat Kursi

Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncul seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun kepintaran Abu Hurairah r.a. memang patut dipuji, kemudian pencuri itu kemudian berjaya ditangkapnya.

Kelebihan ayat Kursi

"Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah SAW," gertak Abu Hurairah.

Bukan main takut pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, hingga kemudian ia pun merengek-rengek, "Saya ini orang miskin, tanggungan saya banyak, sementara saya sangat memerlukan makanan."

Maka pencuri itu pun dilepaskan. Bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin? Hanya saja caranya memang mengelirukan. Mestinya jangan keliru.

Keesokan harinya, Abu Hurairah r.a. melaporkan kepada Rasulullah SAW. Maka bertanyalah beliau, "Apa yang dilakukan kepada tawananmu semalam, ya Abu Hurairah?"

Ia mengeluh, "Ya Rasulullah, bahawa ia orang miskin, keluarganya ramai dan sangat memerlukan makanan," jawab Abu Hurairah r.a.

Lalu diterangkan olehnya bahawa ia kasihan kepada pencuri itu, lalu dilepaskannya.

"Dia bohong," kata Nabi SAW.

"Malam ini dia akan datang lagi."

Kerana Rasulullah SAW berkata begitu, maka penjagaannya diperketat dan kewaspadaan pun ditingkatkan. Dan benar, pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti semalam. Dan kali ini ia pun tertangkap.

"Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah SAW," ancam Abu Hurairah, sama seperti kelmarin.

Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun, "Saya orang miskin, keluarga saya ramai. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi."

Kasihan Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu dan kali ini pun ia kembali dilepaskan.

Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah SAW dan beliau pun bertanya seperti kelmarin. Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah menegaskan, "Pencuri itu bohong dan nanti malam ia akan kembali lagi."

Malam itu Abu Hurairah r.a. berjaga-jaga dengan kewaspadaan penuh. Mata, telinga dan perasaannya dipasang baik-baik. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri disekelilingnya. Sudah dua kali dia dibohongi oleh pencuri.

Jika pencuri itu benar-benar datang seperti dikatakan Rasulullah SAW dan ia berjaya menangkapnya, dia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali lagi.

Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri itu. Ia kesal. Kenapa pencuri kelmarin itu dilepaskan begitu saja sebelum diseret ke hadapan Rasulullah SAW? Kenapa mahu saja ia ditipu olehnya?

"Awas!" katanya dalam hati.

"Kali ini tidak akan kuberikan ampun."

Malam semakin larut, jalanan sudah sepi, ketika tiba-tiba muncul sesosok bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dia jaga.

"Nah, benar, ia datang lagi," katanya dalam hati.

Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah ketakutan. Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya.

"Kali ini kau pastinya aku adukan kepada Rasulullah. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga.

"Lepaskan saya," pencuri itu memohon.

Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini dia tidak akan dilepaskan lagi.

Maka dengan rasa putus asa akhirnya pencuri itu berkata, "Lepaskan saya, akan saya ajari tuan beberapa kalimat yang sangat berguna."

"Kalimat-kalimat apakah itu?" tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu.

"Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi, "Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu... dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan dipelihara oleh Allah dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi."

Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah. Agaknya naluri keilmuannya lebih menguasai jiwanya sebagai penjaga gudang.

Dan keesokan harinya, ia kembali menghadap Rasulullah SAW untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa malam tadi. Ada seorang pencuri yang mengajarinya kelebihan ayat Kursi.

"Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?" tanya Rasul sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan segalanya.

"Ia mengajariku beberapa kalimat yang katanya sangat berguna, lalu ia saya lepaskan," jawab Abu Hurairah.

"Kalimat apakah itu?" tanya Nabi.

Katanya, "Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi, "Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu... dan seterusnya sampai akhir ayat."

Dan ia katakan pula, "Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari."

Menanggapi cerita Abu Hurairah r.a., Nabi SAW berkata, "Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya ia tetap seorang pendusta."

Kemudian Nabi SAW bertanya pula, "Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap malam itu?"

"Entahlah," jawab Abu Hurairah.

"Itulah syaitan."

Batu loncatan ke syurga

Membaca ayat al-Kursi mempunyai kelebihan tersendiri sebagaimana disebut dalam hadis daripada Abi Umamah RA.

Hadis itu menyatakan, kita disunatkan membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas menunaikan solat fardu.

Abi Umamah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati." (Riwayat al-Thabarani dan al-Nasa'ie - dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban)

Imam al-San'ani juga pernah berkata mengenai kelebihan ayat al-Kursi.

Menurut kitab Subul al-Salam, kelebihan ayat Kursi adalah disebabkan padanya terhimpun segala nama dan sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-'Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).

Ia adalah sebahagian ayat al-Quran. Jika membacanya dengan niat membaca al-Quran, maka sudah pasti terkumpul pada bacaan itu kelebihan membaca al-Quran yang sangat banyak.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, January 20, 2023

Kisah Lima Perkara Aneh

Kisah Lima Perkara Aneh

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Kisah Lima Perkara Aneh

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.

"Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.

Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti.

Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanam mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya.

Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamnya semula sehingga tiga kali berturut-turut.

Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.

Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu.

Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.

Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.

Pada malam itu, Nabi pun berdoa, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah SWT bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.

Pengajaran

Kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya.

Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah SWT, "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."

Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, January 13, 2023

Al-Qur'an Sebagai Pembela Di Hari Akhirat

Al-Qur'an Sebagai Pembela Di Hari Akhirat

Abu Umamah r.a. berkata: "Rasulullah SAW telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah SAW memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."

Telah bersabda Rasulullah SAW: "Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

Mukjizat Al-Quran

Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?"

Maka orang yang pernah membaca akan menjawab: "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Qur'an: "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu: "Adakah kamu Al-Qur'an?"

Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T.

Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.

Pada kedua ayanh dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya: "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"

Lalu dijawab: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Friday, November 11, 2022

Benarkah Bulan Sabit Dan Bintang Adalah Simbol Islam?

Benarkah Bulan Sabit Dan Bintang Adalah Simbol Islam?

Adakah simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam kerana kebanyakan masjid atau surau di Malaysia menggunakan simbol bulan sabit di atas kubah. Bahkan, di bendera Malaysia juga terdapat bulan sabit dan bintang yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan negara.

Bulan bintang simbol Islam

Maklum dan masyhur bahawa seni pembinaan masjid di Malaysia akan meletakkan simbol bulan sabit dan bintang di atas kubah atau menara. Ini juga tidak terkecuali bagi pembinaan masjid di negara-negara Islam yang lain.

Bahkan menara-menara di Tanah Haram dan Madinah juga menggunakan simbol bulan dan bintang. Simbol ini telah menjadikan ia sinonim bagi agama Islam.

Di dalam Bahasa Arab bulan sabit adalah Hilal هلال manakala bintang pula adalah Najm النَّجْم.

Di dalam Al-Quran juga terdapat surah khusus berkenaan bintang dan terdapat beberapa ayat yang menyatakan berkenaan bulan sabit.

Namun begitu, simbol bulan sabit dan bintang tidak ada dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai simbol rasmi bagi agama Islam.

ASAL USUL SIMBOL BULAN SABIT DAN BINTANG

Mengikut sejarah yang dinukilkan di dalam kitab Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, pengarang kitab menyatakan bahawa:

"Pada asalnya Philip II of Macedon (beliau adalah raja Macedon atau Macedonia yang kini dikenali sebagai Greece yang hidup pada tahun 359 sebelum masihi dan telah dibunuh pada tahun 336 sebelum masihi).

Beliau adalah ayah kepada Alexander the Great atau Alexander III of Macedon atau Iskandar Zulkarnain.

Ketika dia menyerang bersama tenteranya ke atas Empayar Byzantium iaitu Kota konstantinopel (salah satu kota jajahan bagi empayar Byzantium). Selepas beberapa malam tenteranya bertahan, mereka berjaya mengalahkan dan mengusir tentera empayar Byzantium dari kota tersebut.

Kejadian tersebut berlaku pada waktu sahur, lalu mereka mengambil gambar bulan sabit sebagai lambang rasmi dan pemberi semangat juga peringatan terhadap peristiwa tersebut.

Maka daripada lambang ini ia diguna pakai pada istana-istana, kemudian kerajaan Utsmaniyah berjaya mengalahkan mereka dan simbol ini telah masuk ke negara Qazan (kini dikenali sebagai Rusia)."

ISLAM TIADA SIMBOL RASMI

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, adakah bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam? Sebenarnya tidak ada simbol yang wajib dan rasmi bagi agama Islam seperti bulan sabit dan bintang atau sebagainya.

Bahkan perkara ini telah dibincangkan oleh Sheikh Muhammad Abdul al-Hayy al-Kattani di dalam kitabnya yang menyatakan bahawa:

"Meletakkan gambar bulan sabit pada puncak menara-menara masjid adalah perbuatan yang baru di dalam agama (bidaah), tetapi sebaliknya ia digunakan oleh pemerintah Utsmaniyah simbol bulan sabit sebagai simbol rasmi yang diambil daripada lambang istana di Romawi." (Rujuk Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, jld. 1, m/s 265).

Namun begitu, al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah ada menukilkan sebuah hadis berkenaan bendera yang terdapat simbol bulan sabit padanya:

"Saad bin Malik bin al-Aqyasar bin Malik bin Qari’ bin Zuhal bin Dail bin Malik al-Azdi Abu al-Kanud berkata Ibnu Yunus beliau pernah bertemu Rasulullah SAW. Kemudian Nabi SAW memasangkan sebuah bendera untuk dia bawa kepada kaumnya yang berwarna hitam dan padanya terdapat simbol bulan sabit berwarna putih dan berikutnya dilihat pada pembukaan Mesir, riwayat anak kepada Qasim bin Abi Kanud riwayat Said Afir dari Amru bin Zahir bin Asmar bin Abi Kanud berjumpa dan mengingatinya." (Rujuk kitab al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah, jld.3, m/s 72, No. 3194)

Khabar ini menyatakan bahawa pada zaman Nabi SAW telah wujudnya penggunaan bulan sabit sebagai simbol bagi agama Islam.

Namun begitu, khabar ini telah dikritik oleh para Ulama sebagai khabar yang tidak sahih kerana ia merupakan khabar yang Mu'dhal (iaitu apa yang gugur daripada sanad dua orang perawi dan ke atas secara berturut-turut sama ada gugur itu pada awal dan akhir sanad) dan ia tidak boleh dijadikan hujah.

Simbol bulan bintang ini tidak pernah digunakan pada bendera di zaman Rasulullah SAW.

Menerusi Kitab Fathul Bari karangan al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa: "Bendera Nabi SAW bertuliskan kalimah tauhid." (Rujuk Kitab Fathul Bari, Jld. 6, m/s 147)

Kesimpulan

Penggunaan simbol bagi sesuatu perkara adalah bertujuan untuk memudahkan atau memberi pengenalan identiti bagi sesuatu, begitu juga agama lain seperti Kristian menggunakan simbol salib sebagai simbol bagi agamanya dan Yahudi menggunakan simbol bintang sebagai simbol agama mereka.

Bahkan di dalam Islam, simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol yang ghalib bagi agama Islam.

Adapun begitu, simbol ini tidak pernah dianggap sebagai simbol yang disembah atau simbol mewakili bagi Allah SWT.

Menggunakan simbol tersebut merupakan satu perkara yang tidak menyalahi dari sudut syara' bahkan ia merupakan uruf yang boleh diterima dan digunakan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, November 09, 2022

Ketahui 8 Ciri-ciri Rumah Yang Disukai Jin!

Ketahui 8 Ciri-ciri Rumah Yang Disukai Jin!

Kali ini kami ingin berkongsikan pengalaman Ustaz Shams, seorang pensyarah di sebuah universiti berkaitan ciri-ciri rumah yang disukai Jin, agar dapat kita beringat dan sentiasa menjaga keamanan tempat kediaman kita.

Rumah Yang Disukai Jin
Gambar hiasan.

Difahamkan bahawa dalam pemerhatian melalui pengalaman Ustaz Shams menghalau jin di rumah, makhluk itu gemar berada di beberapa tempat seperti berikut:

1. Di depan pintu tandas dan di dapur

Kenapa dengan tandas, itukan tempat dia. Kenapa di dapur? Kerana sumber makanannya di situ ialah tulang-tulang dan bau busuk yang merupakan bau yang sangat disukainya.

Sebab itu, sisa-sisa makanan harus diikat dalam plastik dan terus buang kecuali kalau memang tuan rumah nak bela jin!

2. Depan Televisyen

Apa hubungan jin dengan Televisyen (TV)? Kerana syaitan atau jin dan maksiat bagaikan lagu dan irama yang tak dapat dipisahkan.

Kalau ahli rumahnya selalu melihat maksiat melalui TV malah berpesta maksiat maka itulah tempat yang disukainya.

Ada sebuah rumah saya dipanggil untuk halau gangguan jin, apabila saya tanya pembantu rumahnya, dia selalu melihat puntianak yang berjubah putih terbang dalam rumah dari dapur ke ruang tamu yang ada TV!

3. Jin akan tinggal di dalam bilik yang tidak selalu digunakan

Kes sebegini banyak saya temui. Di sebuah rumah dua tingkat, hanya tingkat bawah sahaja digunakan manakala tingkat atas tidak dibersihkan. Maka jin akan tinggal di situ.

Ada satu kes di sebuah rumah berdekatan Batu Caves, Selangor, rumah tersebut tidak diduduki sehingga lima tahun. Apabila saya masuk, saya mendapati ada jin di dalam sebuah bilik di rumah tersebut.

Oleh kerana itu, penyewa atau pembeli enggan menduduki rumah itu kerana berasa takut sedangkan perhiasan dalamannya cantik.

4. Tempat yang ada alat muzik

Ada beberapa buah rumah yang saya pergi apabila ada gitar dan piano maka jin akan berada di situ kerana hubungan maksiat dengan jin terpisah tiada.

5. Di tempat yang ada gambar dan patung manusia atau binatang

Banyak hadis nabi SAW menegaskan bahawa malaikat rahmat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada gambar dan patung, walaupun gambar keluarga yang digantung.

Pernah satu masa saya melakukan rukyah terhadap seorang pesakit yang menglami ‘slip disc’ yang mana pada kebiasaan, bagi saya tidak sukar melakukannya tetapi kurang berkesan semasa pengubatan kali ini dilakukan.

Selepas diperiksa rupa-rupanya terdapat patung dinasour atas almari di rumah itu. Sesudah buang patung itu, penyakit pesakit tersebut pulih dengan izin Allah selepas sesi rukyah diadakan semula.

6. Penghuni rumah menggunakan tangkal, azimat, buluh perindu

Dalam satu peristiwa di Gombak, saya pernah melakukan rukyah terhadap anak kecil yang kerap menangis.

Apabila saya periksa, di dalam rumahnya memang ada jin tetapi apabila dihalau, ia tak mahu keluar.

Saya bertanya kepada ayah anak itu, ada apa-apa yang dipakainya? Akhirnya, dia menyerahkan kepada saya buluh perindu miliknya.

Kemudian saya neutralkan buluh perindu itu dan saya bakar. Barulah jin keluar dari rumah dan anaknya berhenti menangis.

7. Rumah yang disimpan barang-barang lama

Ada satu kes di mana seluruh ahli rumah tersebut sakit-sakit disebabkan gangguan jin di dalam rumah yang disimpan barang-barang dipuja seperti barang-barang lama tinggalan nenek moyang atau barang pusaka.

8. Tinggal berdekatan rumah yang ditinggalkan kosong

Banyak rumah yang ditinggalkan kosong dan penghuninya bukan lagi manusia tetapi jin dan syaitan sebagaimana sabda nabi SAW yang mana pada akhir zaman ini terdapat banyak rumah syaitan.

Mudah-mudahan kita semua tidak terpedaya dengan tipu daya jin, iblis dan syaitan.

Kita hendaklah yakin bahawa Allah berfirman: "Dan kami turunkan al-Quran sebagai ubat kesembuhan dan rahmat bagi orang-orang yang beriman." [al-Isra’:82].

Silakan kongsi sebanyak mungkin semoga menjadi sebahagian amalan soleh kita.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)