Friday, February 03, 2023

Minum Arak Puncak Segala Kejahatan


Dosa manakah, minum minuman yang memabukkan, berzina atau membunuh. Itulah teka-teki sebagai inti khutbah Khalifah Uthman bin Affan r.a. seperti yang diriwayatkan oleh Az-Zuhriy, dalam khutbah Uthman itu mengingatkan umat agar berhati-hati terhadap minuman khamr atau arak. Sebab minuman yang memabukkan itu sebagai pangkal perbuatan keji dan sumber segala dosa.

Arak Puncak Segala Kejahatan

Ada sebuah riwayat daripada Al-Haris yang telah mendengar Saidina Uthman r.a. berkata:

Dulu hidup seorang ahli ibadah yang selalu tekun beribadah ke masjid, lanjut khutbah Khalifah Uthman.

Suatu hari lelaki yang soleh itu berkenalan dengan seorang wanita cantik. Kerana sudah terjatuh hati, lelaki itu menurut saja ketika disuruh memilih antara tiga permintaannya, tentang kemaksiatan.

Pertama minum khamr, kedua berzina dan ketiga membunuh bayi.

Mengira minum arak dosanya lebih kecil daripada dua pilihan lain yang diajukan wanita pujaan itu, lelaki soleh itu lalu memilih minum khamr.

Tetapi apa yang terjadi, dengan minum arak yang memabukkan itu malah dia melanggar dua kejahatan yang lain.

Dalam keadaan mabuk dan lupa diri, lelaki itu menzinai pelacur itu dan membunuh bayi di sisinya.

"Kerana itulah hindarilah khamr, kerana minuman itu sebagai biang keladi segala kejahatan dan perbuatan dosa.

"Ingatlah, iman dengan arak tidak mungkin bersatu dalam tubuh manusia. Salah satu di antaranya harus keluar. Orang yang mabuk mulutnya akan mengeluarkan kata-kata kufur dan jika menjadi kebiasaan sampai akhir ayatnya, ia akan kekal di neraka."

KISAH BARSISA

Barsisa adalah seorang abid berketurunan Bani Israil, pengikut agama Nabi Musa a.s. Dia merupakan seorang guru yang mempunyai ribuan pelajar yang boleh terbang di atas angin kerana berkatnya.

Ibadah Barsisa cukup kuat hinggakan malaikat takjub melihatnya. Allah SWT bertanya kepada para malaikat, "Mengapa kalian semua takjub melihat Barsisa beribadat? Sesungguhnya Aku amat mengetahui apa kamu tidak ketahui. Barsisa yang kamu takjub itu akan mati kafir dan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya."

Hal kematian Barsisa yang akan mati dalam keadaan kafir telah didengari oleh syaitan. Maka syaitan pun segera menuju ke tempat Barsisa sedang beribadat dengan menyamar sebagai manusia yang soleh.

Setibanya di situ syaitan lantas memanggil Barsisa, yang mendengar namanya dipanggil terus menyahut seruannya dan bertanya, "Siapakah tuan?"

Syaitan menjawab, "Saya seorang abid datang untuk menemani tuan beribadat kepada Allah SWT."

Apabila mendengar jawapan syaitan, Barsisa menjawab, "Barang siapa yang datang ke sini untuk beribadat kepada Allah, Allah akan mengadakan teman baginya, silakanlah wahai abid untuk beribadat bersama-sama saya."

Maka syaitan tadi pun beribadat 3 hari 3 malam, tidak tidur, tidak makan dan tidak pula minum, menyebabkan Barsisa berasa kagum dengan teman barunya kerana dia lebih kuat beribadat daripadanya.

Maka berkatalah Barsisa, "Aku beribadat kepada Allah SWT selama 220 tahun tetapi saya tidak pula sanggup meninggalkan tidur, makan dan minum seperti tuan. Bagaimanakah saya hendak beribadat seperti tuan?"

Kata Syaitan, "Wahai tuan, lakukanlah maksiat kepada Allah, kemudian tuan bertaubat kepada-Nya, sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

Barsisa terkejut lantas bertanya, "Mengapa pula saya mesti mengerjakan maksiat kepada Allah, sedangkan saya telah lama beribadat kepada-Nya?"

Jawab syaitan, "Manusia apabila melakukan dosa, mereka sangat berhajat untuk meminta keampunan daripada-Nya hingga tuan boleh merasai betapa lazatnya melakukan ketaatan kepada Allah SWT setelah melakukan dosa."

Barsisa bertanya lagi, "Apakah dosa yang kamu maksudkan?"

Jawab syaitan, "Cubalah berzina."

Barsisa bertegas untuk tidak melakukannya. Lantas syaitan berkata, "Kalau tidak mahu berzina, bunuhlah seorang Muslim."

Sekali lagi Barsisa menolak nasihat syaitan.

Tanpa berputus asa, syaitan meneruskan lagi, "Kalau tidak mahu membunuh, maka minumlah minuman yang memabukkan."

Barsisa menjawab, "Ya! itulah yang lebih ringan. Di manakah saya boleh dapatkan minuman itu?"

"Pergilah ke desa sekian-sekian."

Maka Barsisa pun pergi ke desa yang dimaksudkan untuk mendapatkan minuman tersebut. Di sana dia bertemu seorang wanita sedang menjual khamar (arak).

Barsisa membeli minuman tersebut dan meminumnya sehingga dia mabuk. Dalam keadaan mabuk dia memperkosa wanita penjual khamar.

Tiba-tiba suami wanita itu pulang ke rumah. Oleh kerana takut rahsianya terbongkar, Barsisa membunuh suami wanita tersebut.

Syaitan yang mengubah penampilannya menjadi manusia pergi bertemu dengan raja untuk melaporkan kesalahan Barsisa membunuh orang. Raja memerintahkan agar Barsisa ditangkap.

Setelah sabit kesalahan, Barsisa dirotan 80 kali kerana kesalahan meminum khamar, 100 kali sebatan kerana merogol dan juga dijatuhkan hukuman sula kerana membunuh suami wanita itu.

Ketika Barsisa sedang berdiri terpacak di tiang sula, syaitan mendatanginya lalu bertanya, "Wahai Barsisa, bagaimanakah keadaanmu sekarang?"

Jawab Barsisa, "Beginilah keadaanku apabila terpedaya dengan seorang teman yang jahat lagi pengkhianat."

Syaitan berkata lagi, "Ketika saat kamu mahu disula ini, mahukah kamu jika aku lepaskan dengan satu syarat?"

Jawab Barsisa, "Apakah syarat tersebut, aku sedia memenuhinya."

Jawab syaitan, "Sujudlah kepadaku satu kali."

Barsisa menjawab, "Bagaimanakah aku hendak sujud kepadamu sedangkan aku terpaku di tiang sula ini?"

Kata syaitan, "Cukuplah dengan isyarat menganggukkan kepala sahaja."

Barsisa pun patuh, dia melakukan sujud kepada syaitan (Iblis Laknatullah) dengan cara menganggukkan kepalanya kepada iblis.

Ketika itulah Raja mengarahkan hukuman dilaksanakan, maka matilah Barsisa bertuhankan syaitan yang terkutuk.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon