Friday, March 20, 2026

Kisah Nabi Samson a.s. Dan Malam Seribu Bulan

Kisah Nabi Samson a.s. Dan Malam Seribu Bulan

Kisah Nabi Samson a.s. (dalam tradisi Islam dikenali sebagai Shamshun atau Sam'un) adalah antara cerita paling terkenal tentang kekuatan luar biasa yang diberikan oleh Allah, adalah seorang pejuang dari Bani Israel yang hidup di zaman penindasan oleh bangsa Filistin.

Kisah Nabi Samson a.s. Dan Malam Seribu Bulan

Kisah Nabi Samson atau Sam'un Al-Ghazi merupakan kisah-kisah Israiliyat, sudah diceritakan secara turun temurun dalam masyarakat Arab.

Diceritakan dalam kitab Muqasyafatul Qulub karya imam Al Ghazali, pada suatu malam di bulan Ramadan, Nabi Muhammad SAW sedang berkumpul dengan para sahabat.

Tiba-tiba seorang sahabat melihat Nabi Muhammad SAW tersenyum lalu bertanya, "Apa yang membuatmu tersenyum wahai Rasulullah?"

Rasulullah menjawab, "Diperlihatkan kepadaku hari akhir ketika semua manusia dikumpulkan di padang mahsyar. Semua Nabi dan Rasul berkumpul bersama umatnya masing-masing kemudian masuk ke surga. Ada salah seorang nabi dengan membawa pedang, tidak memiliki pengikut satupun, masuk ke dalam surga. Dia adalah Sam'un."

Sam'un alias Samson alias Simson dalam bahasa ibrani merupakan salah seorang Nabi dalam ajaran agama Islam yang dikenal dengan nama Sam'un Ghozi Alaihi Salam.

Beliau adalah orang yang memiliki kekuatan luar biasa dan tak terkalahkan. Allah Swt memberikan mukjizat kepada Nabi Sam'un yang mampu melembutkan besi, memutuskan rantai yang besar serta merobohkan istana.

Nabi Sam'un berasal dari Palestin tepatnya Ghaza atau Gaza. Beliau diutus berdakwah untuk kaum Bani Israil di tanah Romawi. Nabi Sam'un memiliki sebuah senjata mirip pedang yang terbuat dari rahang unta bernama Liha Jamal.

Konon ceritanya, hanya dengan pedang tersebut, Nabi Sam'un telah membunuh ribuan kaum kafir. Ketika Nabi Sam'un haus, pedang itu dapat mengeluarkan air. Dan ketika beliau lapar, pedang itu akan menumbuhkan daging.

Pada masa itu paganisme tumbuh begitu subur di kalangan Bani Israil. Semua orang menjadi penyembah berhala dan hanya mementingkan harta benda. Maka diutuslah Nabi Sam'un untuk menyampaikan risalah Allah Swt dengan penuh ketakwaan.

Dalam berdakwah, beliau selalu menyebut 'Laa ilaaha ilallah' ertinya Tiada Tuhan Selain Allah. Namun kerana begitu sesatnya mereka, hingga Nabi Sam'un tidak memiliki seorang pengikut pun.

Namun, itu tak menjadi masalah baginya. Dengan kecekalan dan kekuatan yang dimiliki, Nabi Sam'un terus menentang pemerintah pada waktu itu bernama Raja Israil.

Nabi Sam'un Ghozi selalu memenangi pertempuran melawan kaum kafir dan tidak pernah kalah. Kaum kafir sampai ketakutan dibuatnya. Hingga akhirnya Raja Israil memikirkan cara-cara licik untuk mengalahkan Nabi Sam'un.

Sang Raja mengadakan sayembara kepada siapa saja yang berhasil mengikat dan membawa Nabi Sam'un ke istana, maka akan diberikan imbalan emas dan permata yang sangat banyak.

Raja kemudian mempunyai idea untuk menawarkan hadiah kepada isteri Nabi Sam'un.

Raja bertanya, "Wahai isteri Sam'un, adakah kamu mencintai suamimu?"

Sang isteri menjawab, "Tentu saja raja."

Kemudian Raja bertanya lagi, "Kamu tahukan bahawa suamimu membuat kita semuanya ketakutan."

Sang isteri berkata, "Tentu saya juga tahu itu Raja."

Raja lantas memberikan tawaran lumayan kepada isteri Nabi Sam'un, "Mahukah kamu menaklukkan suamimu dan membawanya ke istana? Atas kejayaanmu kelak akan diberikan imbalan berupa emas dan permata yang berlimpah."

Tergiur akan penawaran sang Raja, maka isteri Nabi Sam'un pun menyanggupinya dan berkata, "Baik Raja, saya bersedia."

Kemudian oleh Raja diberikanlah tali untuk mengikat tubuh Nabi Sam'un.

Percubaan di hari pertama, sang isteri menunggu Nabi Sam'un yang sedang solat, namun kerana terlalu lama akhirnya sang isteri mengantuk hingga tertidur.

Hari berikutnya ketika Nabi Sam'un sedang tertidur, sang isteri kemudian mengikat badannya. Nabi Sam'un lantas terbangun dan bertanya, "Wahai isteriku, adakah engkau yang mengikat tubuhku?"

Sang isteri menjawab, "Aku hanya mencuba seberapa kuatkah dirimu."

Kemudian tanpa kesukaran tali itu diputuskan oleh Nabi Sam'un dan terlepas dari tubuhnya.

Percubaan ketiga pun menemui kegagalan yang sama. Kerana selalu gagal, akhirnya sang isteri menggunakan strategi rayuan.

Dia bertanya kepada Nabi Sam'un, "Wahai suamiku, apakah gerangan yang mampu mengalahkanmu?"

Kerana cinta dan sayangnya Nabi Sam'un kepada sang isteri, beliau kemudian lantas menjawab, "Ikatlah tubuhku dengan rambut-rambutku, maka itulah yang sebenarnya membuatku lemah."

Nabi Sam'un memiliki rambut yang sangat panjang hingga menyentuh tanah. Maka keesokan harinya sang isteri pun mengikat tubuh Nabi Sam'un dengan potongan rambutnya sendiri.

Setelah lemah tak berdaya, sang isteri mengkhabarkan kepada Raja Israil kemudian dibawalah tubuh Nabi Sam'un ke istana.

Disana beliau diseksa dan akan dibunuh secara perlahan. Kedua mata dibutakan, telinga, kaki dan tangannya pun dipotong.

Atas kejadian itu Allah Swt memerintahkan malaikat Jibril turun dan menemui Nabi Sam'un lalu bertanya, "Apa yang engkau inginkan wahai nabiullah."

Nabi Sam'un menjawab, "Saya minta ampun atas kesalahan yang seharusnya tidak saya beritahukan kepada siapapun termasuk istri saya. Dan saya meminta agar kekuatan saya dikembalikan hingga mampu menggerakkan tiang istana ini."

Seketika itu juga kekuatan Nabi Sam'un dikembalikan oleh Allah Swt, hingga beliau dapat menghancurkan tiang dan merobohkan istana.

Reruntuhan istana menjatuhi masyarakat, sang Raja Israil dan bahkan isterinya sendiri, hanya Nabi Sam'un saja yang hidup.

Kemudian dikembalikan kedua kaki, tangan, telinga dan mata beliau.

Nabi Sam'un kemudian bersumpah bahawa dia akan melawan kebatilan dan beribadah selama 1000 bulan tanpa henti.

Dalam cerita nabi-nabi, Nabi Sam'un telah melaksanakan ibadah puasa di siang hari dan salat malam selama lebih kurang 1000 bulan tanpa terputus.

Setelah mendengar kisah Nabi Sam'un Al Ghaszi a.s., banyak sahabat Nabi Muhammad SAW yang terharu dan menitiskan air mata.

Lalu bertanyalah sahabat kepada Rasul, "Wahai Rasulullah betapa besar ganjaran yang diterima Nabi Sam'un Al Ghozi a.s., beliau membenteras kebatilan selama seribu bulan. Malamya beliau beribadah dan siangnya berpuasa serta berjihad. Sedangkan kami yang lemah ini tidak mampu melakukan ibadah itu."

Nabi Muhammad SAW kemudian terdiam sejenak. Disaat itulah turun wahyu dari Allah Swt surat Al Qadr ayat 1-5.

Rasulullah kemudian bersabda, "Burulah malam lailatulqadar ini, kalian hanya mengamalkan satu malam dan mendapatkan malam lailatulqadar itu, maka kamu akan mendapatkan lebih baik daripada beribadah seribu bulan seperti Nabi Sam'un Al Ghozi AS."

Tidak ada yang tahu bila malam lailatulqadar itu hadir. Malam dimana cahaya syurga menerangi bumi. Malam dimana Tuhan menyeka air mata dan dosa-dosa manusia.

Beberapa pendapat ulama menganjurkan kepada kita untuk memperbanyak ibadah di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan untuk mendapatkan malam lailatulqadar.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, March 04, 2026

Memahami Hadis Sebaik-baik Saf Wanita

Memahami Hadis Sebaik-baik Saf Wanita

Sering kali kita melihat satu pemandangan dikalangan jemaah wanita yang berpusu-pusu memenuhi bahagian belakang, sedangkan saf di hadapan dibiarkan lompang dan sepi.

Adakah kedudukan saf solat wanita ini sekadar budaya atau sememangnya tuntutan agama yang kita fahami secara literal tanpa melihat hikmah di sebaliknya?

Memahami Hadis Sebaik-baik Saf Wanita

Ketahuilah, memahami aturan saf solat wanita bukan sekadar soal kedudukan fizikal, malah ia adalah tentang meraih kesempurnaan pahala di sisi Allah SWT.

Sering kali timbul kekeliruan apabila jemaah bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang.

Memang benar, Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya, "Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf bagi lelaki adalah yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita adalah saf yang terakhir dan seburuk-buruk saf bagi wanita adalah saf yang terawal." (Riwayat Muslim)

Namun, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa kaedah ini terpakai apabila tiada pemisah (tabir atau dinding) antara lelaki dan wanita.

Dalam konteks masjid moden hari ini, saf solat wanita biasanya mempunyai ruang khas atau penghalang yang jelas.

KEUTAMAAN SAF SOLAT WANITA DI HADAPAN

Jika terdapat tabir, tirai, atau dinding yang melindungi pandangan, maka hukum saf solat wanita berubah menjadi sama seperti lelaki.

Dalam keadaan ini, memenuhi saf yang paling hadapan adalah lebih utama.

Mengapa? Kerana tujuan asal diletakkan wanita di belakang adalah untuk mengelakkan fitnah dan percampuran.

Apabila sudah ada penghalang, maka berebutlah untuk berada di saf hadapan demi mengejar fadilat yang lebih besar.

ADAB DAN KESEMPURNAAN SAF SOLAT WANITA

Menjaga saf solat wanita juga merangkumi adab-adab berikut bagi memastikan ibadah kita diterima sepenuhnya:

Penuhkan Saf Hadapan Dahulu:

Jangan biarkan ruang kosong di depan sehingga menyusahkan orang yang baru masuk terpaksa melangkah jemaah lain.

Merapatkan Saf:

Pastikan bahu bertemu bahu dan tumit sejajar dengan garisan saf. Saf solat wanita yang rapat dapat menghalang gangguan syaitan yang cuba memecahbelahkan khusyuk kita.

Memberi Ruang Kepada Jemaah Baru:

Jika anda melihat ada jemaah yang baru tiba sedang mencari ruang di hadapan, berikan laluan dengan berhemah.

Janganlah kita "memonopoli" ruang sehingga menyukarkan orang lain untuk menyempurnakan saf solat wanita di bahagian hadapan.

KEKELIRUAN TENTANG ISTILAH "SEBURUK-BURUK SAF"

Mungkin ada yang merasa bimbang jika berada di hadapan mereka termasuk dalam golongan "seburuk-buruk saf." 

Perlu difahami, istilah ini bukan bermaksud pelakunya jahat, tetapi ia merujuk kepada jumlah pahala yang diperoleh.

Dalam menentukan kedudukan saf solat wanita, ketiadaan fitnah adalah kayu ukur utama.

Jika ruang solat anda tertutup rapi daripada pandangan lelaki ajnabi, maka saf hadapan adalah "syurga" pahala buat anda.

UTAMAKAN TERTIB DALAM IBADAH

Sebagai kesimpulan, marilah kita perbetulkan amalan kita.

Jika masjid atau surau anda mempunyai tirai yang lengkap, penuhkanlah saf hadapan terlebih dahulu.

Janganlah kerana salah faham, kita membiarkan saf solat wanita menjadi tidak teratur.

Sesungguhnya, Allah mencintai hamba-Nya yang melakukan sesuatu perkara dengan penuh ihsan dan tertib.

Semoga Ramadan kali ini menjadikan solat berjemaah kita lebih sempurna dan diredhai-Nya.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Thursday, February 26, 2026

Al-Malhamah Al-Kubra Dan Keruntuhan Epik Kuasa Barat

Al-Malhamah Al-Kubra Dan Keruntuhan Epik Kuasa Barat

Apabila kita melihat keangkuhan rejim Zionis Israel membantai nyawa insan yang tidak bersalah setiap hari, dada kita pasti akan berasa sesak dan teramat marah.

Kita melihat bagaimana kuasa besar Barat dengan megahnya terus membekalkan senjata pemusnah tanpa sebarang rasa bersalah, tanpa rasa perikemanusiaan.

Al-Malhamah Al-Kubra

Mereka bertindak sangat rakus seolah-olah mereka adalah tuhan yang memegang kuasa mutlak ke atas dunia dan mustahil untuk dikalahkan oleh sesiapa pun.

Namun begitu, para penganalisis geopolitik dunia pada hari ini sedang rancak meramalkan ketegangan di Timur Tengah ini bakal mencetuskan Perang Dunia Ketiga.

Sama ada krisis ini sekadar Perang Dunia Ketiga mengikut takrifan moden ataupun ia adalah mukadimah kepada perang akhir zaman, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Tetapi hakikatnya, jauh sebelum pakar Barat membuat sebarang ramalan politik, Islam telah pun memberikan amaran mutlak tentang sebuah pertempuran berskala global.

Peperangan epik ini melangkaui dimensi politik biasa dan ia dikenali dengan nama yang jauh lebih menggerunkan.

Al-Malhamah Al-Kubra bermaksud peperangan yang teramat besar, berdarah dan menjadi titik penentuan nasib umat manusia di akhir zaman.

Peperangan ini tidak akan meletus di bumi Eropah atau di benua Amerika, sebaliknya ia akan berpusat tepat di wilayah Syam iaitu kawasan sekitar Syria pada hari ini.

Pakatan Bermula

Menurut riwayat hadis sahih yang ditinggalkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, keruntuhan kuasa besar dunia ini akan bermula dengan satu siri pakatan tentera.

Umat Islam kelak akan terpaksa mengadakan perjanjian damai dan berpakat dengan bangsa 'Rum'.

Sebahagian besar ulama menafsirkan bangsa Rum pada akhir zaman ini merujuk kepada bangsa Eropah, blok Barat atau kuasa besar penganut Kristian Ortodoks.

Pakatan tentera gabungan Islam dan Rum ini akan pergi berperang menentang satu musuh bersama yang sangat kuat dan mereka akhirnya berjaya meraih kemenangan besar.

Bayangkan situasi selepas kemenangan tersebut. Tentera gabungan ini berehat di sebuah padang yang luas dan pada waktu itulah satu provokasi yang sangat biadab akan berlaku.

Seorang lelaki daripada bangsa Rum tiba-tiba bangun dan mengangkat lambang salib tinggi-tinggi sambil menjerit gembira.

Dia dengan angkuhnya melaungkan bahawa salib telah menang dan kejayaan itu adalah milik mereka sepenuhnya.

Melihat kebiadaban tersebut, seorang pemuda Islam yang penuh dengan semangat keimanan akan bangun lalu memukul lelaki Rum berkenaan.

Bermula daripada detik pukulan itulah, perjanjian damai antara Islam dan kuasa Barat akan terbatal dan hancur berkecai.

Pengkhianatan

Bangsa Rum akan menganggap ia sebagai satu pengisytiharan perang.

Mereka akan melakukan pengkhianatan secara besar-besaran dan mula mengumpulkan satu ketumbukan tentera global yang tidak pernah disaksikan oleh sejarah manusia.

Hadis merakamkan bahawa kuasa Rum akan datang menyerang umat Islam di bawah lapan puluh panji atau lapan puluh bendera negara gabungan.

Di bawah setiap satu bendera itu, akan ada dua belas ribu orang tentera yang bersenjata lengkap.

Jika dikira secara matematik, jumlah tentera musuh yang akan mengepung umat Islam kelak hampir mencecah sejuta orang!

Mereka akan berhimpun dan berkhemah di sebuah kawasan yang bernama Dabiq atau Al-A'maq yang terletak di wilayah Syria hari ini.

Melihat tentera musuh yang datang ibarat lautan yang tidak bertepi itu, umat Islam tidak akan berundur walaupun setapak.

Sebuah pasukan tentera elit Islam yang terdiri daripada pemuda-pemuda terbaik di atas muka bumi akan dikerah dari kota Madinah untuk menuju ke Syam.

Pertempuran Bermula

Pertempuran Al-Malhamah Al-Kubra ini akan berlangsung selama berhari-hari lamanya dengan tahap keganasan yang sangat mengerikan.

Dikatakan bahawa burung yang terbang melintasi medan pertempuran itu akan jatuh mati ke bumi akibat terhidu bau darah dan debu yang terlalu pekat.

Pada hari pertama, kedua-dua belah pihak akan berlawan habis-habisan sehingga malam melabuhkan tirai tanpa ada pihak yang menang.

Satu pertiga daripada tentera Islam akan bertindak melarikan diri dari medan perang dan Allah SWT tidak akan menerima taubat mereka buat selama-lamanya.

Satu pertiga lagi tentera Islam akan gugur sebagai syuhada yang paling agung di sisi Tuhan.

Manakala satu pertiga yang terakhir inilah yang akan terus kekal bertahan dengan semangat juang yang tidak kenal erti takut.

Pada hari keempat pertempuran, sisa-sisa tentera Islam yang masih hidup akan bergabung tenaga untuk melancarkan serangan akhir yang paling dahsyat.

Pada waktu inilah Allah SWT akan menurunkan bantuan dan memenangkan umat Islam.

Kuasa Barat Di Hancurkan

Pakatan tentera kuasa besar Barat yang berjumlah hampir sejuta orang itu akan dimusnahkan dan dihancurkan sehina-hinanya di bumi Syam.

Keruntuhan epik kuasa Rum dalam pertempuran ini sangat total, sehinggakan jika ada seratus orang ahli keluarga yang pergi berperang, hanya seorang sahaja yang akan pulang bernyawa.

Begitulah hebatnya perancangan Tuhan dalam menamatkan keangkuhan kuasa besar yang selama ini merosakkan dunia.

Namun, kemenangan umat Islam ini hanyalah permulaan kepada satu ujian yang jauh lebih gelap.

Tidak lama selepas kejayaan besar di Al-Malhamah Al-Kubra, laungan amaran akan bergema di seluruh dunia menandakan musuh nombor satu manusia iaitu Dajjal telah pun melepaskan diri.

Kisah pertempuran akhir zaman ini bukanlah sekadar cerita saspens untuk menyedapkan telinga.

Ia adalah amaran keras bahawa hegemoni kuasa Barat dan kekejaman rejim Isbiol pada hari ini tidak akan kekal lama.

Mereka sedang menggali kubur mereka sendiri dan sedang berjalan laju menuju ke arah takdir keruntuhan yang telah disabdakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW.

Persoalannya, di manakah kedudukan kita dan keluarga kita apabila fitnah besar ini mula membadai dunia kelak?

Adakah iman kita cukup kuat untuk menjadi sebahagian daripada tentera yang bertahan atau kita akan menjadi golongan yang lari ketakutan?

Fikir-fikirkanlah.

Fb: Mazlan Syafie

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, February 13, 2026

Bahaya Penyakit 'Ain Dalam Islam: Tanda, Punca dan Cara Mengatasinya Menurut Sunnah

Bahaya Penyakit 'Ain Dalam Islam: Tanda, Punca dan Cara Mengatasinya Menurut Sunnah

Penyakit 'Ain ialah satu istilah yang merujuk kepada kesan buruk yang dipercayai berlaku akibat pandangan hasad, iri hati atau kekaguman tanpa menyebut nama Allah. Ia bukan penyakit perubatan secara khusus, tetapi berkait dengan kepercayaan spiritual dan psikologi dalam banyak budaya di dunia.

Bahaya Penyakit 'Ain Dalam Islam

Apa itu penyakit ain dalam Islam? Ketahui maksud sebenar, tanda-tanda terkena ain, bahaya pandangan hasad dengki serta cara mengatasinya menurut Al-Quran dan hadis.

APA ITU PENYAKIT 'AIN?

Penyakit ain (العين) merujuk kepada kesan buruk akibat pandangan hasad atau kekaguman yang disertai iri hati, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Dalam Islam, ain bukan sekadar kepercayaan budaya, tetapi disebut secara jelas dalam hadis Nabi SAW.

Rasulullah SAW bersabda: "Al-'Ain itu benar adanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan bahawa konsep ain diakui dalam Islam sebagai satu bentuk gangguan yang boleh memberi kesan kepada seseorang.

MAKSUD AIN DARI SUDUT ISLAM

Secara ringkasnya, ain berlaku apabila:
  • Seseorang melihat nikmat pada orang lain.
  • Timbul rasa iri hati atau kagum berlebihan.
  • Tidak menyebut nama Allah atau mendoakan keberkatan.

Ia boleh terjadi kepada:
  • Kanak-kanak.
  • Orang dewasa.
  • Individu berjaya.
  • Pasangan bahagia.
  • Perniagaan yang berkembang.

Pendek kata, apa sahaja nikmat boleh menjadi sasaran pandangan hasad.

BAHAYA PENYAKIT AIN YANG RAMAI TIDAK SEDAR

Walaupun ain bersifat rohani, kesannya boleh dirasai secara fizikal dan emosi.

1. Gangguan Kesihatan Fizikal

Antara tanda yang sering dikaitkan dengan penyakit ain:
  • Badan tiba-tiba lemah tanpa sebab jelas.
  • Sakit kepala berpanjangan.
  • Hilang selera makan.
  • Mudah letih.
  • Gangguan tidur.

Namun penting difahami bahawa simptom ini juga boleh berkait dengan faktor perubatan seperti stres, kurang nutrisi atau masalah kesihatan lain.

Jangan abaikan pemeriksaan doktor.

2. Gangguan Emosi dan Mental

Ain juga dikaitkan dengan perubahan emosi seperti:
  • Rasa gelisah tanpa sebab.
  • Cepat marah.
  • Rasa berat hati.
  • Hilang motivasi.
  • Murung secara tiba-tiba.

Dalam banyak kes, gangguan ini sebenarnya boleh berpunca daripada tekanan hidup, trauma atau keletihan mental. Oleh itu, pendekatan Islam menekankan keseimbangan antara rawatan rohani dan rawatan profesional.

3. Gangguan Rezeki dan Kehidupan

Menurut kefahaman tradisional Islam:
  • Urusan sering terhalang.
  • Perniagaan merosot secara mendadak.
  • Hubungan menjadi tegang.
  • Rumah tangga tidak tenang.

Namun, Islam tidak mengajar umatnya menyalahkan ain semata-mata atas setiap ujian hidup. Ujian juga boleh datang sebagai takdir, teguran atau proses pematangan diri.

PUNCA BERLAKUNYA PENYAKIT AIN

1. Hasad Dengki

Hasad adalah penyakit hati yang sangat berbahaya. Ia bukan sahaja memudaratkan orang lain, tetapi juga memakan pahala pelakunya.

2. Kekaguman Tanpa Menyebut Nama Allah

Apabila melihat sesuatu yang mengagumkan, Islam mengajar untuk menyebut: "MasyaAllah" atau "Allahumma barik lahu."

Ini sebagai bentuk doa agar nikmat tersebut diberkati dan dilindungi.

3. Terlalu Mendedahkan Nikmat

Dalam era media sosial, ramai mempamerkan:
  • Kekayaan.
  • Anak-anak.
  • Hubungan peribadi.
  • Kejayaan perniagaan.

Tanpa sedar, ia boleh mengundang rasa iri hati daripada orang lain.

CONTOH PENYAKIT 'AIN AKIBAT KEKAGUMAN TANPA MENYEBUT NAMA ALLAH

Diterangkan dalam bentuk yang mudah difahami dan selari dengan kefahaman Islam.

Penting diingat, contoh ini adalah situasi yang sering disebut dalam masyarakat dan ulama, bukan diagnosis perubatan.

Contoh 1: Memuji Anak Tanpa Doa Keberkatan

Seseorang melihat anak orang lain yang sangat comel atau bijak lalu berkata: "Cantiknya anak ini, sempurna betul!"

Tetapi tidak menyebut "MasyaAllah" atau mendoakan keberkatan.

Selepas itu, anak tersebut tiba-tiba:
  • Demam tanpa sebab jelas
  • Menangis berpanjangan
  • Menjadi tidak aktif

Dalam hadis, Rasulullah SAW pernah menegur sahabat yang memuji tanpa mendoakan keberkatan dan mengajar supaya menyebut doa agar tidak memudaratkan.

Contoh 2: Kagum Dengan Kejayaan Perniagaan

Seseorang melihat kedai atau bisnes rakannya yang sangat laris lalu berkata: "Untung besar ni, memang luar biasa!"

Tanpa menyebut nama Allah.

Tidak lama selepas itu:
  • Jualan mula merosot
  • Banyak masalah kecil berlaku
  • Pekerja sering bertukar

Dalam kefahaman tradisional, keadaan ini dikaitkan dengan ain akibat rasa kagum bercampur iri hati.

Contoh 3: Memuji Kecantikan atau Penampilan

Situasi biasa berlaku di majlis atau media sosial: "Cantik sangat sekarang, lain macam!"

Selepas itu individu tersebut mengalami:
  • Sakit kepala.
  • Rasa lemah.
  • Hilang keyakinan diri secara tiba-tiba.

Dalam Islam, dianjurkan menyebut "MasyaAllah tabarakallah" apabila melihat sesuatu yang mengagumkan.

Contoh 4: Kagum Dengan Rumah atau Harta

Seseorang melawat rumah baru rakannya dan berkata: "Rumah besar macam istana!"

Tanpa doa keberkatan.

Selepas itu berlaku:
  • Kerosakan yang kerap.
  • Tekanan kewangan.
  • Rasa tidak tenang di rumah.

Contoh ini sering disebut dalam masyarakat sebagai bentuk ain yang tidak disengajakan.

Perkara Penting Yang Perlu Difahami:
  • Ain tidak semestinya berlaku setiap kali dipuji.
  • Islam tidak mengajar kita menjadi takut kepada pujian.
  • Tujuannya adalah mendidik adab — supaya setiap kekaguman dikembalikan kepada Allah.

Amalan yang diajar:
  • "MasyaAllah"
  • "Allahumma barik lahu"
  • "Tabarakallah"

BAGAIMANA 'AIN BOLEH BERLAKU? (BERDASARKAN HADIS DAN PENJELASAN ULAMA)

"Al-'Ain Itu Benar"

Rasulullah SAW bersabda: "Al-'Ain itu benar adanya. Jika ada sesuatu yang boleh mendahului takdir, maka al-'ainlah yang boleh mendahuluinya." (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa kesan pandangan hasad atau kekaguman memang diakui dalam Islam, walaupun semuanya tetap berlaku dengan izin Allah.

Kisah Sahabat: Sahl bin Hunaif r.a.

Ini adalah kisah paling masyhur tentang bagaimana 'ain boleh berlaku.

Peristiwa:

Sahl bin Hunaif r.a. sedang mandi. Beliau mempunyai kulit yang sangat putih dan cantik.
 
Ketika itu, seorang sahabat lain, Amir bin Rabi'ah r.a., melihatnya lalu berkata: "Aku tidak pernah melihat kulit seindah ini, bahkan kulit anak dara pun tidak seperti ini."

Tidak lama selepas itu, Sahl bin Hunaif tiba-tiba rebah dan jatuh sakit.

Perkara ini dilaporkan kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda: "Mengapa salah seorang daripada kamu ingin membunuh saudaranya? Mengapa tidak kamu doakan keberkatan untuknya?"

Kemudian Nabi SAW memerintahkan Amir bin Rabi’ah berwuduk dan air wuduk itu disiramkan kepada Sahl. Dengan izin Allah, beliau sembuh.

(Hadis Riwayat Malik dalam al-Muwatta', Ahmad dan lain-lain – dinilai sahih)

Pengajaran Dari Kisah Ini:
  • Ain boleh berlaku walaupun tanpa niat jahat.
  • Kekaguman tanpa menyebut nama Allah boleh memberi kesan.
  • Orang yang menyebabkan ain disuruh berwuduk sebagai rawatan.
  • Doa keberkatan sangat penting.

Hadis Tentang Perlindungan Dari Ain

Rasulullah SAW biasa melindungi cucunya Hasan dan Husain dengan doa: "Aku memohon perlindungan untuk kamu berdua dengan kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang berbisa serta daripada setiap pandangan mata yang jahat." (Hadis Riwayat Bukhari)

Ini menunjukkan:
  • Kanak-kanak juga boleh terkena 'ain.
  • Nabi sendiri mengamalkan doa perlindungan.
Bagaimana 'Ain Boleh Berlaku?

Berdasarkan hadis dan penjelasan ulama:
  • Seseorang melihat nikmat pada orang lain.
  • Timbul rasa kagum, iri atau takjub.
  • Tidak menyebut nama Allah atau mendoakan keberkatan.
  • Dengan izin Allah, berlaku kesan mudarat kepada orang yang dipandang.

Namun perlu difahami:
  • Semua berlaku dengan izin Allah.
  • Bukan setiap pujian menyebabkan ain.
  • Tidak boleh menuduh sembarangan.

Berdasarkan hadis dan penjelasan ulama:
  • Ain bermula daripada pandangan terhadap nikmat.
  • Disertai rasa kagum atau hasad.
  • Tidak disertai doa keberkatan.
  • Berlaku kesan dengan izin Allah.

Islam mengajar umatnya supaya menjaga hati, menjaga lisan, dan sentiasa mengembalikan segala kekaguman kepada Allah.

CARA MENGATASI DAN MELINDUNGI DIRI DARI PENYAKIT AIN

1. Amalkan Ruqyah Syariah

Antara bacaan yang dianjurkan:
  • Surah Al-Fatihah.
  • Ayat Kursi.
  • Surah Al-Ikhlas.
  • Surah Al-Falaq.
  • Surah An-Nas.

Dibaca sebagai perlindungan harian.

2. Perbanyakkan Zikir Pagi dan Petang

Zikir berfungsi sebagai benteng rohani daripada gangguan zahir dan batin.

3. Jangan Abaikan Rawatan Perubatan

Jika mengalami:
  • Kemurungan berpanjangan.
  • Anxiety.
  • Sakit fizikal yang tidak sembuh.

Segera dapatkan nasihat doktor atau pakar kesihatan mental.

Islam tidak menolak rawatan moden. Malah Rasulullah SAW sendiri menggalakkan umatnya berubat.

PERBEZAAN ANTARA AIN, SIHIR DAN GANGGUAN JIN

Ramai yang keliru antara tiga perkara ini.

Ain:
  • Berlaku melalui pandangan hasad.
  • Tidak semestinya disengajakan.
  • Rawatan utama: doa & ruqyah.

Sihir:
  • Dilakukan dengan niat dan ritual tertentu.
  • Disengajakan.
  • Perlu rawatan ruqyah khusus.

Gangguan Jin:
  • Melibatkan makhluk halus.
  • Ada pelbagai sebab.
  • Bergantung kepada kes.

JANGAN TAKUT, TETAPI BERHATI-HATI

Penyakit ain adalah satu konsep yang diakui dalam Islam.

Namun, umat Islam perlu bersikap sederhana:
  • Jangan terlalu paranoid.
  • Jangan menyalahkan ain atas setiap masalah.
  • Jangan abaikan rawatan profesional.

Yang paling penting adalah:
  • Jaga hati daripada hasad.
  • Kurangkan menunjuk-nunjuk.
  • Amalkan doa perlindungan.
  • Bertawakal kepada Allah.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Thursday, February 12, 2026

Perbezaan Puasa Umat Islam Dan Ahli Kitab

Perbezaan Puasa Umat Islam Dan Ahli Kitab

Puasa merupakan ibadah yang bukan sahaja diamalkan oleh umat Islam, malah turut wujud dalam tradisi agama-agama lain seperti Yahudi dan Kristian yang dikenali sebagai Ahli Kitab.

Walaupun tujuan asasnya hampir sama iaitu mendekatkan diri kepada Tuhan dan mengawal hawa nafsu, terdapat beberapa perbezaan ketara dari segi konsep, hukum dan pelaksanaan antara puasa umat Islam dan Ahli Kitab.

Perbezaan Puasa Umat Islam Dan Ahli Kitab

Artikel ini akan menghuraikan perbezaan tersebut secara jelas dari sudut sejarah, amalan dan tujuan ibadah.

Maksud Puasa Dalam Islam

Dalam Islam, puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum, serta perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, disertai dengan niat kerana Allah SWT.

Puasa wajib dilaksanakan pada bulan Ramadan sebagaimana firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: 183)

Tujuan utama puasa dalam Islam ialah:
  • Meningkatkan ketakwaan.
  • Melatih kesabaran.
  • Membersihkan jiwa.
  • Mengawal nafsu dan keinginan.
  • Puasa Dalam Kalangan Ahli Kitab.

Puasa juga diamalkan dalam agama Yahudi dan Kristian, namun bentuk pelaksanaannya berbeza mengikut mazhab dan tradisi masing-masing.

1. Puasa Dalam Agama Yahudi

Dalam agama Yahudi, puasa yang paling terkenal ialah Yom Kippur (Hari Penebusan Dosa). Penganut Yahudi berpuasa selama kira-kira 25 jam tanpa makan dan minum sebagai tanda penyesalan dan permohonan keampunan.

Selain itu, terdapat juga beberapa hari puasa lain yang berkaitan dengan peristiwa sejarah mereka.

2. Puasa Dalam Agama Kristian

Dalam Kristian, puasa biasanya dikaitkan dengan tempoh Lent, iaitu 40 hari sebelum perayaan Easter.

Namun, kebanyakan penganut Kristian tidak berpuasa sepenuhnya seperti dalam Islam, sebaliknya:
  • Mengurangkan jenis makanan tertentu.
  • Tidak makan daging pada hari tertentu.
  • Mengorbankan sesuatu kesukaan sebagai latihan rohani.

Perbezaan Utama Puasa Islam dan Ahli Kitab

1. Tempoh Masa Puasa
  • Islam: Dari fajar hingga matahari terbenam setiap hari sepanjang Ramadan.
  • Ahli Kitab: Tempoh puasa berbeza-beza, ada yang hanya sehari atau sekadar pantang makanan tertentu.

2. Hukum dan Kewajipan
  • Islam: Puasa Ramadan adalah wajib bagi Muslim yang cukup syarat.
  • Ahli Kitab: Kebanyakannya bersifat pilihan atau amalan keagamaan tertentu sahaja.

3. Cara Pelaksanaan
  • Islam: Tidak makan, minum dan menahan diri daripada perkara membatalkan puasa.
  • Kristian: Lebih kepada pengurangan makanan atau meninggalkan jenis makanan tertentu.
  • Yahudi: Ada puasa penuh tetapi hanya pada hari tertentu.

4. Matlamat Ibadah
  • Islam: Mencapai ketakwaan dan ketaatan kepada perintah Allah.
  • Ahli Kitab: Penebusan dosa, peringatan sejarah atau latihan kerohanian.

Persamaan Antara Puasa Islam dan Ahli Kitab

Walaupun terdapat perbezaan, beberapa persamaan tetap wujud:
  • Bertujuan mendekatkan diri kepada Tuhan.
  • Melatih pengawalan diri.
  • Menginsafi kesusahan golongan miskin.
  • Membersihkan jiwa dan rohani.

Ini menunjukkan bahawa amalan berpuasa merupakan ibadah yang telah wujud sejak zaman nabi-nabi terdahulu.

Kesimpulan

Puasa dalam Islam dan Ahli Kitab mempunyai asas yang sama iaitu sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan, namun berbeza dari segi hukum, cara pelaksanaan dan matlamat utama.

Dalam Islam, puasa Ramadhan mempunyai sistem yang lebih tersusun dan menjadi rukun penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, January 16, 2026

Donald Trump Mengulangi Ayat Kesombongan Kaum 'Ad

Donald Trump Mengulangi Ayat Kesombongan Kaum 'Ad

"Adapun kaum 'Ād, maka mereka bersikap sombong di muka bumi tanpa alasan yang benar dan mereka berkata: 'Siapakah yang lebih kuat daripada kami?'" (Surah Fussilat: 15)

Kaum 'Ād merupakan salah satu kaum terdahulu yang disebut dalam Al-Qur'an sebagai contoh umat yang dibinasakan akibat kesombongan dan keingkaran mereka terhadap perintah Allah. Kaum ini tinggal di kawasan Al-Ahqaf, wilayah berpasir di antara Yaman dan Oman.

Kesombongan Donald Trump

Mereka terkenal dengan tubuh badan yang gagah, kekuatan fizikal yang luar biasa serta kemampuan membina bangunan yang besar dan kukuh.

Kemudian perhatikan ungkapan Donald Trump, "Amerika Syarikat sekali lagi membuktikan kita memiliki angkatan tentera paling berkuasa, paling mematikan, paling canggih dan paling digeruni di muka bumi. Tiada siapa mampu tandingi kita. Saya sudah lama katakan perkara ini, tiada siapa boleh lawan kita."

"The United States has once again proven that we have the most powerful, the most lethal, the most advanced, and the most feared military on Earth. Nobody can match us. I’ve been saying this for a long time—nobody can fight us, nobody comes close."

Ungkapan ini bukan sekadar kebetulan bahasa, tetapi pola keangkuhan yang berulang dalam sejarah.

Apabila seseorang atau sesebuah kuasa berada di tempat yang tinggi, masih segar dengan kejayaan baharu, maka mudah untuk melupakan kegagalan lama dan menutup mata terhadap realiti sebenar.

Selama hampir dua tahun Amerika Syarikat mencurahkan segalanya kepada Netanyahu, namun seorang tebusan pun tidak berjaya dibawa pulang dengan mudah. Malah, seorang pemimpin utama juga gagal ditangkap untuk dijadikan tebusan.

Tentera Amerika sendiri pernah beroperasi di Bait Hanun dan Khan Younis, tetapi mereka tetap gagal mencapai objektif. Kekuatan teknologi dan persenjataan tidak menjamin kemenangan apabila berhadapan dengan perjuangan yang berakar pada akidah dan kesabaran.

Gugurnya Abu Ibrahim Yahya Sinwar, Ismail Haniyeh, Muhammad Deif dan Abu Obaida (Abu Ubaidah), bukan kerana mereka pengecut, tetapi kerana mereka berada di lapangan perjuangan, berbeza dengan Netanyahu yang melarikan diri ke bunker bawah tanah setiap kali siren dibunyikan.

Dan yang lebih menggentarkan, selepas kesyahidan majoriti pimpinan utama Hamas, gerakan ini masih berdiri, masih mampu mengurus Gaza dari sudut keselamatan, kemasyarakatan dan ketahanan awam, kerana perjuangan yang berasaskan keimanan tidak mati dengan kematian individu.

Trump dan sekutunya juga seolah-olah lupa satu hakikat besar sejarah: tiada kerajaan yang kekal selamanya.

Great Britain yang suatu ketika dahulu menjajah hampir seluruh dunia, kini menyaksikan perubahan demografi dan penguasaan sektor-sektor penting negara oleh mereka yang dahulunya dijajah.

Kuasa besar itu melemah bukan kerana kekurangan senjata, tetapi kerana keangkuhan, ketidakadilan dan keretakan dalaman.

Sejarah yang sama berlaku kepada kerajaan Firaun. Di puncak kekuasaan, memiliki tentera dan kekayaan luar biasa, Firaun dengan angkuh berkata: "Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku?" Namun laut yang dilalui dengan penuh megah akhirnya menjadi kubur yang menelan seluruh keangkuhannya.

Kaum 'Ād pula memiliki kekuatan fizikal dan binaan luar biasa, sehingga menyangka tiada siapa mampu menewaskan mereka. Namun angin yang kelihatan lemah itulah yang memusnahkan seluruh tamadun mereka, sehingga al-Quran menggambarkan mereka seolah-olah tidak pernah wujud.

Kaum Thamud, dengan teknologi memahat gunung dan perancangan kota yang hebat, tetap hancur hanya dengan satu pekikan kerana kesombongan dan keingkaran mereka.

Begitu juga Empayar Rom, sama ada Rom Timur atau Barat, yang pernah menjadi simbol ketenteraan dan ketamadunan dunia. Namun kezaliman, perebutan kuasa dan kerosakan moral melemahkan mereka dari dalam sebelum mereka runtuh dari luar.

Semua kerajaan besar berkongsi penyakit yang sama; apabila kekuatan dijadikan sandaran mutlak, keadilan ditinggalkan dan Tuhan dilupakan, maka kehancuran hanya menunggu masa.

Al-Quran tidak menceritakan kisah-kisah ini sebagai nostalgia sejarah, tetapi sebagai amaran berulang kepada manusia yang menyangka diri mereka luar biasa.

Kekuatan tanpa kebenaran melahirkan kezaliman. Kejayaan tanpa kesyukuran melahirkan keangkuhan. Kekuasaan tanpa keadilan melahirkan kehancuran.

Dan sejarah sentiasa membuktikan satu hakikat yang tidak berubah; yang kekal bukan kuasa tetapi kebenaran, yang menang bukan yang paling kuat tetapi yang paling sabar dan istiqamah.

Ustaz Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Saturday, June 07, 2025

Ajaibnya Keikhlasan

Ajaibnya Keikhlasan

Apabila disebut perkataan ajaib, tentunya ada kaitan dengan sesuatu perkara yang tidak terjangkau oleh pemikiran kita yang terbatas kerana tiada penerangan saintifik mampu menjelaskan situasi berkenaan.

Kisah Amir Naik Haji
Kisah Amir.

Tidak kira sama ada mempunyai pegangan agama atau tidak, berpendidikan atau tiada, apabila berlaku keajaiban, kesemuanya cukup gembira dan terharu dengan kejadian tersebut.

Namun, ada juga yang berduka dengan kelalaiannya sendiri setelah ditarik nikmat yang dikecapi selama ini.

Sebetulnya, keajaiban boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ada ketikanya seseorang yang telah koma berpuluh tahun telah sedar dan pulih, serta dapat hidup seperti sediakala.

Ada juga yang berjaya mengandung anak pertama setelah usianya begitu lanjut dan hampir berputus harap untuk mendapatkan zuriat.

Begitu juga dengan pelajar yang begitu lambat dan cukup lemah dalam pelajaran sewaktu di sekolah rendah akhirnya boleh menjadi seorang doktor pakar.

Malah, ada juga yang bertemu jodoh dengan kekasih lama setelah begitu lama berpisah.

Selain itu, keajaiban juga boleh berlaku dalam proses perkembangan kehidupan manusia. Kalau dahulu mereka hidup susah dan miskin, namun telah menjadi kaya-raya hanya kerana bekerja sebagai tukang kebun kepada seorang jutawan yang tidak mempunyai anak untuk mewarisi hartanya.

Begitu juga dengan orang yang bergelar super jutawan boleh jatuh miskin kerana ditipu oleh rakan baik sendiri.

Kisah tentang keajaiban juga diceritakan dalam satu hadis sahih oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Seorang pelacur diampuni oleh ALLAH. Wanita itu lalu berhampiran seekor anjing di sebuah perigi. Anjing itu hampir mati kerana kelaparan. Lalu wanita itu menanggalkan seliparnya, kemudian mengikat dengan tudung kepalanya, lalu mengambil air untuk anjing tersebut. Wanita itu diampuni dosanya kerana hal tersebut." (Hadis Riwayat Bukhari)

Hakikatnya, keajaiban berlaku bukan disebabkan oleh pemberian daripada pelacur itu, namun disebabkan oleh keikhlasan yang ada dalam hati wanita itu yang menyebabkan perbuatan tersebut diangkat begitu tinggi di sisi ALLAH SWT.

Isu keikhlasan juga pernah dikongsi cerita oleh Mufti Menks dari Zimbabwe berkaitan doa seorang wanita yang dimakbulkan ALLAH untuk bertemu dengan seorang doktor di Pakistan yang mempunyai kepakaran dalam bidang neurologi.

Kesan doa wanita tersebut menyebabkan kapal terbang kecil yang dinaiki oleh doktor itu seperti 'dipaksa' untuk mendarat cemas di perkampungan beliau.

KISAH AMIR NAIK HAJI

Amir adalah seorang rakyat Libya yang pergi ke lapangan terbang untuk berangkat menunaikan haji, namun semasa dia sedang menyelesaikan urusan imigresen, pihak keselamatan mendapati ada masalah keselamatan yang berkaitan dengan namanya.

Pegawai keselamatan berkata kepadanya, "Kami akan cuba selesaikan, tapi kamu perlu tunggu sekejap."

Dalam masa itu, semua jemaah haji lain telah selesai urusan mereka, menaiki kapal terbang, pintu ditutup, dan selepas masalah Amir diselesaikan, malangnya juruterbang menolak untuk membuka pintu semula. Kapal terbang itu pun berlepas tanpanya.

Pegawai keselamatan di lapangan terbang berkata, "Apa boleh buat, nampaknya bukan rezeki kamu untuk pergi haji tahun ini."

Tapi Amir tetap bertegas dan berkata, "Saya takkan balik. Saya sudah berniat untuk haji dan insyaAllah saya akan tetap pergi."

Tiba-tiba mereka menerima laporan bahawa pesawat itu mengalami kerosakan teknikal dan terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang. Kapal terbang itu dibaiki, tetapi juruterbang masih enggan membuka pintu.

Pegawai keselamatan kembali berkata, "Nampaknya bukan rezeki kamu juga kali ini."

Namun Amir dengan penuh keyakinan menjawab, "Niat saya tetap untuk haji dan InsyaAllah saya akan tetap pergi."

Tidak lama selepas itu, pesawat yang sama mengalami kerosakan sekali lagi dan terpaksa kembali semula.

Ketika itu, juruterbang akhirnya berkata, "Saya takkan berlepas selagi Amir belum naik pesawat ini."

Akhirnya, Amir menaiki pesawat itu, berlepas ke Arab Saudi dan kemudian memuat naik video dari sana dengan wajah yang benar-benar gembira dari lubuk hati.

"Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: Jadilah! Maka jadilah ia." (Surah Yasin: 82)

Niat yang ikhlas tidak akan pernah disia-siakan oleh Allah SWT.

YAKIN PERTOLONGAN ALLAH

Justeru, niat yang benar-benar ikhlas kepada ALLAH dalam melakukan kebajikan dan sentiasa berdoa kepada ALLAH dengan penuh pengharapan akan membantu kita memperoleh apa yang tidak terfikir untuk diperoleh.

Pupuklah niat yang ikhlas dalam diri sepanjang masa agar sentiasa mendapat keberkatan ALLAH SWT.

Umar bin al-Khattab r.a. telah berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat." (Hadis Riwayat Bukhari)

Selain itu, kesabaran dan ketabahan kita mendepani setiap ujian serta cabaran akan menjadikan kita lebih kuat dan diangkat darjat yang lebih tinggi oleh ALLAH SWT.

Pun begitu, bagi mereka yang masih menganggap bahawa nikmat yang diperoleh bukannya ujian untuk mereka, menyebabkan segala nikmat yang dikecapi selama ini akan ditarik dengan begitu mudah oleh ALLAH SWT.

Keajaiban yang dikurniakan kepada kita disebabkan tiga perkara penting iaitu; sentiasa menanamkan perasaan ikhlas dalam diri, bersabar dan jangan mudah berputus harap dengan ujian yang diterima serta sentiasa menyedari bahawa segala nikmat dikurniakan ALLAH SWT, sebenarnya adalah ujian yang lebih besar kepada kita.

Biasakan lidah sentiasa menyebut ungkapan 'Cukuplah ALLAH bagiku' supaya kita sentiasa terlindung dan mendapat bimbingan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com