Thursday, May 14, 2026

Kenali Sejarah Nama Rumah Yang Membentuk Dunia Hartanah Hari Ini


Pelbagai jenis rumah yang kita sebut hari ini sebenarnya mempunyai sejarah dan asal-usul nama yang menarik. Ada nama yang berasal daripada bahasa asing, budaya penjajah, bentuk binaan, malah gaya hidup masyarakat pada zaman tertentu.

Kenali Jenis Nama Rumah Di Malaysia

Berikut ialah beberapa jenis rumah yang biasa digunakan di Malaysia beserta asal-usul namanya.

1. Banglo

Perkataan "Banglo" berasal daripada perkataan Hindi "bangla", yang bermaksud "gaya Bengal" atau "rumah orang Bengal".

Bengal ialah sebuah wilayah besar di Asia Selatan yang kini meliputi kawasan di Bangladesh dan India Timur.

Pada asalnya, rumah bangla dibina sebagai rumah tradisional masyarakat Bengal. Reka bentuknya sederhana, luas, mempunyai satu tingkat dan beranda besar bagi menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan lembap di rantau tersebut.

Bagaimana Nama Banglo Menjadi Popular?

Pada abad ke-18 dan ke-19, pegawai penjajah British yang berada di India mula tertarik dengan reka bentuk rumah bangla kerana pengudaraan lebih baik, sesuai untuk iklim tropika, lebih selesa berbanding rumah batu Eropah, mudah dibina di kawasan ladang dan pentadbiran.

British kemudian mengadaptasi reka bentuk tersebut dan menyebutnya sebagai "bungalow" dalam bahasa Inggeris.

Dari situlah istilah bungalow tersebar ke seluruh dunia termasuk Asia Tenggara, Afrika dan Eropah melalui pengaruh penjajahan British.

2. Apartment

Nama "apartment" berasal daripada perkataan bahasa Perancis appartement, yang bermaksud ruang kediaman yang dipisahkan dalam sebuah bangunan besar.

Ia pula berasal daripada kata kerja Itali appartare yang membawa maksud "memisahkan" atau "mengasingkan".

Dalam sejarah awal di Eropah, golongan bangsawan dan orang kaya tinggal di rumah besar yang mempunyai banyak bilik atau ruang berasingan untuk keluarga, tetamu dan pekerja.

Lama-kelamaan, konsep ruang yang "dipisahkan" ini berkembang menjadi unit kediaman tersendiri dalam satu bangunan.

Dari situlah lahir istilah "apartment".

Di negara-negara Barat seperti Perancis dan Itali, apartment mula popular sekitar abad ke-18 hingga ke-19 apabila bandar semakin padat akibat perkembangan industri dan pertambahan penduduk.

3. Flat

Perkataan flat secara literal bermaksud "rata" atau "mendatar". Ia digunakan kerana setiap unit rumah berada pada satu aras lantai yang rata dalam bangunan bertingkat, berbeza dengan rumah teres atau rumah dua tingkat yang mempunyai beberapa aras dalam satu unit.

Perkataan "flat" sebagai jenis rumah berasal daripada bahasa Inggeris British yang merujuk kepada sebuah unit kediaman dalam bangunan bertingkat.

Istilah ini mula digunakan sekitar abad ke-19 di UK ketika pembangunan bandar semakin pesat akibat Revolusi Perindustrian.

Di Amerika Syarikat, istilah yang lebih popular ialah apartment, tetapi di Malaysia dan banyak negara bekas jajahan British, istilah "flat" lebih biasa digunakan terutama bagi rumah kos rendah atau sederhana.

4. Kondominium

Perkataan "kondominium" berasal daripada bahasa Latin iaitu condominium, gabungan dua perkataan "con" bermaksud bersama dan "dominium" bermaksud hak milik atau pemilikan, yang membawa maksud "pemilikan bersama".

Konsep ini mula berkembang di negara Barat, khususnya di Amerika Syarikat sekitar pertengahan abad ke-20 apabila pembangunan bandar semakin pesat dan tanah semakin mahal.

Sistem kondominium diperkenalkan bagi membolehkan ramai individu memiliki unit kediaman masing-masing dalam satu bangunan yang sama, sambil berkongsi kemudahan bersama seperti kolam renang, lif, tempat letak kereta, taman permainan, gimnasium dan dewan serbaguna.

Di Malaysia, istilah "kondominium" mula popular sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an apabila pembangunan bandar dan projek perumahan bertingkat meningkat di kawasan seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Walaupun ramai menganggap kondominium dan apartment kedua-duanya sama, sebenarnya ada terdapat sedikit perbezaan.

Kondominium biasanya lebih mewah, ada banyak fasiliti, unit dimiliki individu dan yuran penyelenggaraan lebih tinggi, manakala apartment sebaliknya.

5. Teres

Perkataan terrace pada asalnya berasal daripada bahasa Latin, terra yang bermaksud "tanah" atau "permukaan rata".

Dalam seni bina Eropah abad ke-17 hingga ke-19, istilah terraced houses digunakan untuk merujuk kepada deretan rumah yang dibina secara berbaris dan seragam di kawasan bandar.

Rumah teres ialah sejenis rumah yang dibina secara bersambung dalam satu barisan, berkongsi dinding di kiri dan kanan dengan rumah jiran.

Nama "rumah teres" berasal daripada perkataan Inggeris terrace house.

Konsep rumah teres mula popular di UK ketika Revolusi Perindustrian. Pada waktu itu, bandar berkembang pesat dan memerlukan banyak rumah untuk pekerja kilang. Rumah dibina rapat-rapat bagi menjimatkan tanah dan kos pembinaan.

Di Malaysia, istilah "rumah teres" mula digunakan secara meluas selepas era pembangunan bandar sekitar tahun 1970-an hingga 1990-an.

Ia menjadi pilihan utama pemaju kerana penggunaan tanah lebih efisien, kos lebih murah berbanding banglo, sesuai untuk keluarga sederhana dan mudah dibina dalam jumlah besar.

Biasanya rumah teres di Malaysia mempunyai satu atau dua tingkat, halaman kecil depan dan belakang, reka bentuk memanjang dan parkir di bahagian hadapan.

Terdapat juga beberapa variasi seperti rumah teres setingkat, rumah teres dua tingkat, rumah teres hujung (end lot) dan rumah teres tengah (intermediate lot).

Di sesetengah negara, rumah jenis ini turut dipanggil row house di AS, townhouse untuk versi yang lebih moden dan mewah dan linked house di beberapa negara Asia.

6. Rumah Berkembar (Semi-D)

Konsep rumah Semi-D mula berkembang di United Kingdom ketika Revolusi Perindustrian.

Ketika itu bandar semakin padat, golongan pertengahan mahu rumah lebih besar dan privasi lebih baik dan banglo terlalu mahal untuk kebanyakan orang.

Maka lahirlah reka bentuk dua rumah dibina berpasangan, berkongsi satu struktur tengah, kos lebih murah berbanding banglo dan masih mempunyai laman sisi dan ruang lebih luas.

Di Malaysia, istilah "Semi-D" mula popular melalui industri hartanah era 1970-an hingga 1990-an.

Pemaju menggunakan istilah Inggeris kerana lebih ringkas, bunyi lebih eksklusif dan mudah dipasarkan.

Hari ini, "Semi-D" sering dikaitkan dengan rumah kelas pertengahan tinggi, tanah lebih luas, privasi lebih baik dan nilai hartanah lebih tinggi daripada rumah teres.

Ciri utama Rumah Semi-D biasanya mempunyai satu dinding berkongsi, ruang tepi rumah, halaman depan dan belakang, parkir lebih besar dan rekaan lebih moden dan luas.

7. Rumah Bandar (Townhouse)

Rumah bandar atau townhouse ialah sejenis kediaman yang dibina secara bersambung dalam satu deretan, biasanya berkongsi dinding dengan rumah di sebelah kiri dan kanan.

Ia popular di kawasan bandar kerana penggunaan tanah yang lebih efisien serta reka bentuk moden yang praktikal.

Namun, ramai tidak tahu bahawa istilah "townhouse" sebenarnya mempunyai sejarah panjang yang bermula ratusan tahun dahulu di Eropah.

Perkataan townhouse berasal daripada gabungan dua perkataan bahasa Inggeris iaitu Town bermaksud bandar atau pekan dan House iaitu rumah.

Jadi, ia bermaksud "rumah di bandar".

Pada zaman dahulu, terutama sekitar abad ke-17 hingga ke-19 di negara seperti UK dan Perancis, golongan bangsawan dan keluarga kaya biasanya memiliki dua kediaman, Rumah besar di kawasan desa (country house) dan Rumah kedua di bandar (town house).

Rumah bandar ini digunakan apabila mereka datang ke kota untuk urusan politik, perdagangan, acara sosial atau musim tertentu.

Di Malaysia, istilah townhouse tidak semestinya sama seperti di Barat.

Kebanyakan townhouse tempatan mempunyai ciri berikut, dibina bertingkat (biasanya 2 tingkat), unit atas dan bawah mempunyai pemilik berasingan, berkongsi struktur bangunan, mempunyai reka bentuk lebih moden dan kompak serta popular di kawasan pinggir bandar.

Sesetengah townhouse Malaysia juga menyerupai gabungan rumah teres, apartmen bertingkat rendah dan kondominium kecil.

Disebabkan itu, definisi townhouse di Malaysia agak unik berbanding negara Barat.

8. Apartmen Perkhidmatan (Serviced Apartment/SoHo)

Dalam dunia hartanah moden, istilah seperti Serviced Apartment, SOHO, SOFO dan SOVO semakin popular terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Namun ramai yang tidak tahu bahawa nama-nama ini sebenarnya mempunyai sejarah dan maksud tersendiri.

Apa Maksud "Serviced Apartment"?

Istilah Serviced Apartment berasal daripada gabungan dua konsep iaitu Apartment (unit kediaman bertingkat) dan Serviced (mempunyai perkhidmatan tambahan).

Konsep ini mula berkembang di New York City dan London sekitar pertengahan abad ke-20 untuk golongan profesional, pelancong jangka panjang dan ekspatriat.

Pada asalnya, serviced apartment merujuk kepada unit kediaman yang menawarkan kemudahan seperti housekeeping, concierge, keselamatan, dobi dan kemudahan hotel.

Sebab itu ia sering dianggap gabungan antara hotel dan apartmen biasa.

Di Malaysia pula, istilah ini berkembang sedikit berbeza. Banyak serviced apartment dibina di atas tanah komersial, bukan tanah kediaman.

Oleh sebab itu, bil utiliti, cukai dan yuran penyelenggaraan kadangkala lebih tinggi berbanding kondominium biasa.

Asal-Usul Istilah SOHO (Small Office Home Office)

Istilah ini berasal dari New York City sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an apabila semakin ramai individu bekerja sendiri dari rumah.

SOHO merujuk kepada unit kecil yang boleh digunakan sebagai rumah, pejabat kecil dan studio kerja.

Konsep ini menjadi popular selepas perkembangan freelancer, startup, perniagaan internet dan kerja jarak jauh.

Di Malaysia, pemaju hartanah menggunakan istilah SOHO untuk menarik golongan muda dan profesional bandar yang mahu tinggal dekat tempat kerja, menjalankan bisnes kecil dan mempunyai ruang kerja sendiri.

Biasanya unit SOHO lebih kecil, sekitar 300–700 kaki persegi.

Perbezaan SOHO, SOFO dan SOVO

Ramai orang keliru kerana ketiga-tiganya nampak hampir sama.

SOHO fokus utamanya, boleh tinggal dan boleh bekerja.

Manakala SOFO (Small Office Flexible Office), konsep lebih fleksibel untuk pejabat, startup, studio dan kadang-kadang kediaman. Biasanya lebih berorientasikan komersial.

Sementara itu, SOVO (Small Office Versatile Office), bermaksud serba guna.

Digunakan untuk pejabat, perniagaan, studio kreatif dan sesetengah kes kediaman sementara.

9. Penthouse

Istilah penthouse sering dikaitkan dengan rumah mewah di tingkat paling atas bangunan tinggi seperti kondominium, apartmen servis atau hotel.

Di Malaysia, perkataan ini menjadi simbol kemewahan, privasi dan status eksklusif, namun ramai tidak mengetahui bagaimana nama "penthouse" sebenarnya bermula.

Perkataan penthouse berasal daripada bahasa Inggeris lama iaitu "Pent", daripada perkataan lama Perancis apentis yang membawa maksud struktur tambahan atau bumbung kecil bersandar. "House" pula bermaksud rumah atau tempat tinggal.

Pada asalnya, penthouse bukan merujuk kepada rumah mewah, tetapi kepada ruang kecil tambahan yang dibina di atas bangunan.

Konsep penthouse mula popular di bandar-bandar besar seperti New York City sekitar tahun 1920-an. Ketika itu, bangunan pencakar langit mula berkembang pesat.

Pada mulanya, tingkat paling atas bangunan dianggap kurang bernilai. Orang kaya lebih suka tinggal di tingkat bawah kerana lebih mudah diakses dan bahagian atas bangunan biasanya digunakan sebagai ruang utiliti atau stor.

Namun, keadaan berubah apabila teknologi lif semakin moden, pemandangan bandar dari atas menjadi tarikan eksklusif dan golongan elit mula mahukan privasi dan ruang yang lebih tenang.

Pemaju hartanah kemudian menukar tingkat atas bangunan menjadi unit kediaman mewah yang luas dan dari situlah istilah penthouse apartment mula terkenal.

10. Duplex

Perkataan duplex berasal daripada bahasa Latin "duo" (dua) dan "plicare" (melipat atau menggandakan).

Kemudian, ia berkembang dalam bahasa Inggeris menjadi "duplex" yang membawa maksud berganda dua atau dua bahagian yang bersambung.

Dalam dunia hartanah, istilah ini digunakan untuk menggambarkan rumah yang mempunyai dua tingkat yang saling bersambung di dalam satu unit kediaman.

Bagaimana Istilah Duplex Digunakan Dalam Hartanah?

Di banyak negara Barat seperti AS dan Kanada, "duplex" asalnya merujuk kepada sebuah bangunan yang mengandungi dua unit rumah berasingan, biasanya satu di bawah dan satu di atas, kadang-kadang berkongsi satu dinding.

Namun di Malaysia, maksudnya sedikit berubah mengikut pemasaran hartanah moden.

Di Malaysia, rumah atau apartmen duplex biasanya bermaksud, satu unit kediaman, mempunyai dua tingkat di dalam unit yang sama, tingkat bawah dan atas dihubungkan dengan tangga dalaman.

Ia sering ditemui pada kondominium mewah, Serviced apartment, Penthouse moden dan SOHO premium.

11. Dwikunci

Istilah rumah Dwikunci atau Dual Key di Malaysia sebenarnya berasal daripada konsep hartanah moden antarabangsa yang mula popular di negara seperti Australia dan Singapura sebelum dibawa masuk ke pasaran hartanah Malaysia sekitar awal 2010an.

Nama "dwikunci" ialah terjemahan langsung daripada istilah Inggeris dual key, yang bermaksud "dua kunci".

Konsep ini dinamakan "dwikunci" kerana sebuah unit rumah mempunyai satu pintu masuk utama, tetapi di dalamnya terdapat dua ruang kediaman berasingan dan setiap ruang mempunyai kunci sendiri.

Sebab itu ia dipanggil rumah "dua kunci" atau "dwikunci".

Biasanya rumah dwikunci dibina dengan satu unit utama untuk pemilik, satu lagi studio atau bilik kecil lengkap dengan bilik air dan kadangkala dapur mini untuk disewa atau didiami ahli keluarga.

Di Malaysia, konsep ini mula berkembang pesat apabila pemaju hartanah melihat permintaan tinggi daripada pelabur hartanah, keluarga besar, pasangan muda yang tinggal bersama ibu bapa dan pemilik yang mahu pendapatan sewa tambahan.

Selain itu, istilah "dwikunci" juga dipilih kerana bunyinya lebih mesra Bahasa Melayu dan mudah digunakan dalam pemasaran projek perumahan tempatan berbanding istilah "dual key".

Kini kedua-dua istilah digunakan secara meluas dalam iklan hartanah Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon