Friday, July 08, 2022

'Bruxism' Laga Gigi Masa Tidur Tanda Ada Saka?


Mahu terkejut dan rasa ngilu bila mendengar bunyi laga gigi yang selalu mak-mak dengar selepas tidurkan anak. Terfikir juga kenapa boleh berlaku dan kebiasannya anak-anaklah yang kerap alaminya.

Bruxism Laga Gigi

Ada pendapat orang tua-tua, bunyi laga gigi sebab anak terlalu penat, banyak bermain waktu siang, ada juga yang kata, anak degil dan sebagainya. Kalau orang dewasa pula dikaitankan dengan memelihara saka atau jin.

Dengar penjelasan doktor ini tentang apa yang dikatakan sebagai laga gigi semasa tidur.

Laga Gigi Masa Tidur, Kaitan Gangguan Pernafasan

Bruxism atau laga gigi biasa berlaku pada kanak-kanak kerana gigi susu hendak mula tumbuh dan boleh berlaku lagi apabila gigi kekal pula hendak tumbuh.

Biasanya hilang selepas gigi kekal sudah siap semua tumbuh keluar. Kesian anak belum apa-apa sudah dikata degil.

Kalau orang dewasa pun ada laga gigi, tandanya apa pula? Dituduh ada saka dan jin!

Bruxism boleh berlaku ketika sedang tidur. Kadang-kadang orang yang ada masalah bruxism ini tidak sedar dia ada berlaga gigi (teeth grinding), sebab sedang tidur kan.

Jadi orang yang terdekat akan tahu atau sedar, kerana laga gigi akan menghasilkan bunyi dan kadang kala bunyinya kuat dan oleh kerana berlaku pada waktu malam, boleh menimbulkan rasa seram.

Agaknya di situlah timbul cerita saka.

Ia boleh berlaku ketika bukan waktu tidur juga. Tetapi kita tidak sedar. Bukanlah secara melaga gigi secara total, sebaliknya lebih kepada mengetap gigi dan rahang (jaw clenching), sehingga boleh menimbulkan rasa sakit pada rahang dan kadang kala dalam telinga.

Apa puncanya?

Kurang lebih 70% disebabkan kerisauan dan stress. Obstructive Sleep Apnea atau gangguan pernafasan ketika tidur juga boleh menyumbang kepada masalah bruxism ini.

Ubatan seperti anti-depressant dan cara hidup seperti meminum alkohol juga antara punca.

Apa yang berlaku selepas bruxism?

Anda boleh rasa sakit pada rahang apabila hendak membuka dan menutup mulut.

Gigi anda akan merasa sensitif disebabkan gigi terhakis (worn teeth) akibat daripada gigi berlaga dengan kuat. Kepala dan telinga juga sakit, begitu juga dengan otot-otot di bahagian muka (facial myalgia).

Tidur anda juga kadang kala terganggu, jika tidak pun, pasangan boleh terganggu dengan bunyi gigi anda.

Rawatan

Apa perlu dibuat? Berjumpa doktor gigi jika ada masalah gigi sensitif atau sakit pada rahang. Urus stres dengan baik. Ubah lifestyle. Berjumpa dengan pegawai perubatan untuk masalah seperti ubatan.

Tidak salah untuk berikhtiar dengan doa-doa dan ayat-ayat Al-Quran. Semua yang berlaku adalah atas izin-Nya jua.

Cuma, ketahuilah masalah laga gigi atau bruxism bukan hanya berlaku kepada orang melayu/Islam, sampai kita nak kaitkan dengan saka atau jin. Di UK, 6 juta rakyatnya ada bruxism.

Takkanlah diorang semua bela saka kot.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon