Tuesday, April 12, 2022

Apa Sebenarnya Israiliyyat, Bolehkah Kita Mempercayainya?


Menurut istilah ahli tafsir, Israiliyyat ialah periwayatan dan kisah-kisah yang bersumberkan dari Ahlul Kitab pada umumnya dan Yahudi pada khususnya yang telah menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam dan digunapakai dalam sebahagian tafsir al-Quran.

Apa Sebenarnya Israiliyyat

Israi'liyyat dari sudut bahasa dinisbahkan kepada Bani Israil yang bermaksud anak-anak dari keturunan Nabi Ya'qub a.s. Ia adalah kata jama' yang merujuk kepada Bani Israil.

Israil ialah nama yang diberi kepada Nabi Ya'qub a.s. yang bermaksud hamba Allah, manakala Bani Israil ialah anak-anak Nabi Ya'kub a.s. dan keturunan seterusnya yang lahir daripada mereka sehingga ke zaman Nabi Musa a.s. dan para Nabi seterusnya sehingga zaman Nabi Isa a.s. dan zaman Nabi Muhammad SAW (Abu Syahbah, 2006).

Namun, istilah Israiliyyat digunakan oleh ulama tafsir dan hadith terhadap perkara-perkara yang lebih luas, iaitu setiap kisah termasuk cerita lama yang diadakan, dimasukkan ke dalam tafsir.

Bahkan sesetengah ulama tafsir dan hadith menganggap Israiliyyat adalah setiap kisah yang dicipta dan disebarkan oleh musuh-musuh Islam sehinggalah masuk ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosakkan kesucian Islam (Al-Dhahabi, 1990).

Kemasukan Israiliyyat ke dalam tafsir bermula dari kemasukan kebudayaan kaum Yahudi yang berhijrah ke semenanjung Arab ke dalam kebudayaan Arab di zaman Jahiliyyah.

Kaum Yahudi membawa bersama-sama mereka ilmu-ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka dan segala perkara yang berkaitan dengannya daripada huraian-huraian pendeta-pendeta mereka yang kemudian mereka pindah wariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya.

Mereka mempunyai tempat yang dinamakan al-Midras iaitu sekolah-sekolah dimana mereka mempelajari ajaran agama yang diwarisi dan juga tempat-tempat ibadah dimana mereka menjalankan ibadah-ibadah yang diajarkan oleh agama mereka. (Muhammad Yati, 2015)

Kemudian, datang ajaran Islam dan kitab Allah SWT yang terkandung di dalamnya ilmu dan ajaran agama. Seruan Islam lahir dan tersebar di kalangan penduduk semenanjung Arab. Pada zaman Rasulullah SAW, pusat negara Islam adalah Madinah al-Munawwarah.

Untuk mendidik para sahabat, majlis-majlis ilmu pada zaman Rasulullah SAW ini diadakan di Masjid Madinah.

Di kota Madinah dan sekitarnya tinggal bermukim beberapa kabilah Yahudi seperti Bani Qainuqa', Bani Quraizah, Bani al-Nadir, Yahudi Khaibar, Taima' dan Fadak. Terdapat sebahagian daripada kalangan ulama mereka atau Ahlul Kitab di Madinah yang memeluk Islam seperti Abdullah bin Salam.

Beliau dan orang sepertinya menjadi tempat rujukan kepada sahabat untuk bertanya secara terperinci tentang kisah-kisah al-Quran yang sama disebut di dalam kitab-kitab Taurat dan Injil.

Namun, para sahabat tidak menerima bulat-bulat apa yang diceritakan kepada mereka, akan tetapi mereka menapisnya dengan pemahaman akal dan juga petunjuk syarak.

Mereka hanya menerima apa yang diterima oleh akal dan syarak dan menolak sekiranya apa yang diceritakan bercanggah dengan keduanya. (Muhammad Yati, 2015)

Adapun tentang perkara-perkara yang tidak jelas sisi benar atau salahnya, maka mereka mengambil pendirian tawaqquf iaitu berdiam diri tidak menerima dan tidak menolak terhadap perkara-perkara yang tidak jelas tentang benar dan salahnya tersebut.

Ibn Khaldun menyatakan: "Apabila timbul keinginan di kalangan orang-orang Arab untuk mengetahui tentang permulaan kejadian makhluk dan rahasia kejadian alam, mereka cenderung bertanya kepada Ahlul Kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Penganut Taurat di sebahagian kawasan pada masa itu ada yang berkehidupan badui dan masih sangat awam pengetahuanya, majoriti mereka dari kalangan suku bangsa Himyar yang telah menganut ajaran yahudi, maka setelah mereka memeluk Islam pengaruh ajaran agama asal mereka yang berkaitan dengan asal kejadian makhluk, cerita-cerita generasi lampau sama ada yang berkenaan dengan peperangan dan sebagainya yang tidak memiliki kaitan dengan hukum hakam, masih kuat dalam diri mereka. Diantara orang-orang yang berasal dari golongan mereka ialah Ka'b b. al-Ahbar (m.32H), Wahab b. Munabbih (m.ll0H) dan Abdullah bin Salam (m.43H) dan bermula dari merekalah riwayat-riwayat Israiliyyat tersampaikan dan tersebar sehingga akhirnya masuk pula dalam kitab-kitab tafsir yang ada hingga sekarang." (Ibn Khaldun, 1968).

EKSISTENSINYA DALAM TAFSIR AL-QURAN

Pada zaman Rasulullah SAW, informasi dari kaum Yahudi yang dikenal sebagai israiliyyah tidak berkembang dalam penafsiran al-Quran, sebab hanya beliau satu-satunya penjelas (mubayyin) berbagai masalah atau pengertian yang berkaitan dengan ayat-ayat al-Quran, umpamanya saja apabila para sahabat mengalami kesulitan mengenai pengertian yang berkaitan dengan sebuah ayat al-Quran sama ada makna atau kandungannya, mereka langsung bertanya kepada Rasulullah SAW. (Rifa’i, 1992)

Walau demikian, Rasulullah SAW juga telah memberi kebenaran untuk menerima maklumat daripada Ahlul Kitab yang berasal dari Bani Israil sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis:

Maksudnya: "Sampaikanlah yang datang dariku walaupun satu ayat, dan ceritakan (apa yang kamu dengar) dari Bani Israil dan hal itu tidak ada salahnya. Barang siapa yang berdusta ayatku, maka siap-siaplah untuk menempati tempatnya di neraka." (Sahih al-Bukhari)

Demikian pula dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Janganlah kamu benarkan orang-orang Ahlul Kitab dan jangan pula kamu dustakan mereka. Berkatalah kamu sekalian, kami beriman kepada apapun yang diturunkan kepada kami." (Sahih al-Bukhari)

Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa terdapat peluang atau kebenaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya untuk mengambil atau menerima sebahagian riwayat-riwayat dari Ahlul Kitab.

Walaupun begitu, hadis-hadis tersebut juga mengandungi peringatan untuk berhati-hati terhadap riwayat Ahlul Kitab, malah terdapat balasan bagi mereka yang cuba untuk mendustakan Rasulullah SAW.

Selain daripada itu hadis-hadis tersebut juga meyimpulkan bahawa riwayat Israilliyyat sebenarnya sudah lama muncul dan berkembang di kalangan bangsa Arab jauh sebelum Rasulullah SAW, yang kemudian terus bertahan pada era Rasulullah SAW, hanya saja ia belum merambah dan merayap kedalam proses penafsiran al-Quran.

Akan tetapi setelah kewafatan baginda dan para sahabat menjadi pakar rujuk dalam mentafsirkan ayat al-Quran, sekiranya tidak ditemui dalam hadis-hadis Rasulullah SAW, mereka akan berijtihad dengan sesekali mengutip riwayat dari Ahlul Kitab yang kemudian juga dianggap perlu dijadikan sebagai salah satu rujukan sebatas keperluan dan hanya kepada riwayat-riwayat yang diyakini keshahihanya.

Hal ini berlaku kerana ada persamaan antara al-Quran, Taurat dan Injil. Pada zaman sahabat, penerapan riwayat Israiliyyat dalam kitab tafsir telah pun bermula.

Secara umumnya, para sahabat sangat ketat dalam menerima riwayat daripada kaum Yahudi dan Nasrani. Mereka hanya membataskan kisah-kisah dalam al-Quran kepada apa yang dijelaskanya sahaja secara global, Nabi SAW sendiri pun tidak banyak menerangkan kepada mereka perihal kisah-kisah tersebut. (Usman, 2011)

Disamping itu para sahabat dikenali sebagai orang-orang yang konsisten kepada ajaran yang diterima dari Rasulullah SAW, dan mereka akan menolak kisah-kisah Israiliyyat yang bertentangan dengan syari'at Islam.

Al-Dhahabi mengatakan: Keterlibatan para sahabat dalam meriwayatkan Israiliyyat tidak berlebih-lebihan dan masih dalam batas kewajaran. (Al-Dhahabi, 1986)

Pada zaman tabi'in, penukilan dari Ahlul Kitab semakin meluas dan cerita-cerita Israiliyyat dalam tafsir semakin berkembang.

Sumber daripada cerita-cerita ini adalah daripada kalangan Ahlul Kitab, ditunjang oleh keinginan yang kuat dari orang-orang untuk mendengar kisah-kisah ajaib daripada kitab mereka.

Oleh kerana itu, telah muncul sekelompok mufassir yang ingin mengisi kekosongan fakta pada tafsir dengan memasukkan kisah-kisah yang bersumberkan daripada orang-orang Yahudi dan Nasrani.

Akibat daripada itu, kitab tafsir mengandungi pelbagai kisah yang bercampur dengan kisah yang mempunyai sumber yang tidak tepat.

Metodologi penulisan tafsir pada zaman tabi'in juga tidak menitikberatkan kepentingan dan kualiti isnad al-Hadith yang menjadi sumber rujukan di dalam tafsir bi al-mathur menambahkan lagi faktor perkembangan Israiliyyat.



Ramai di kalangan ahli tafsir pada masa itu mengabaikan metodologi sanad al-Hadith sehingga corak penafsiran mereka diwarnai dengan unsur-unsur Israi'liyyat. (Ishak Sulaiman, 1998)

Di antara contoh mufassir tersebut ialah Muqatil bin Sulaiman.

Pada zaman ini juga, banyak hadis-hadis palsu, kedustaan dan kebohongan yang disandarkan kepada Rasulullah SAW tersebar luas. (Al-Dhahabi, 1986)

Sikap selektif dalam periwayatan menjadi hilang. Banyak periwayatan yang tidak melalui jalur "etika metodologi penelitian" ilmu hadis dengan tidak menulis sanadnya secara lengkap.

Setelah zaman tabi'in berakhir, kisah-kisah Israiliyyat semakin mendapat tempat di hati masyarakat sehinggakan mereka tidak mampu membezakan adakah ianya dari sumber yang sahih ataupun batil.

Lebih buruk lagi apabila ada sebahagian yang tidak lagi merujuk kepada isi yang terdapat di dalam al-Quran, kerana berpendapat bahawa riwayat Israiliyyat penting untuk penafsiran ayat-ayat al-Quran.

Justeru di kalangan sarjana ada yang mengambil kesempatan untuk menyandarkan sumber-sumber Israiliyyat hanya kepada mereka sahaja tanpa penelitian yang rapi, yang menyebabkan makin bertambahnya riwayat-riwayat Israiliyyat dalam khazanah keilmuan mereka sehinggalah sampai kepada generasi selanjutnya.

Riwayat Israiliyyat yang wujud pada zaman kini merupakan penyambung kepada riwayat Israiliyyat yang telah pun muncul sejak zaman para sahabat lagi.

Peranan para ulama pada zaman moden ini sangat besar untuk mewujudkan kesedaran tentang impak negatif daripada riwayat Isrialiyyat.

Walaupun tidak semuanya memberi kesan kepada Aqidah, tetapi sikap berhati-hati perlu dipupuk sebelum mempercayai riwayat Israiliyyat terutama yang boleh ditemui dalam Tafsir al-Quran.

Sebenarnya sejak dahulu lagi pelbagai usaha telah dilakukan oleh para Ulama dalam memilih dan membersihkan kisah Israiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab terdahulu.

Namun, usaha ini amat sukar dan memerlukan kesungguhan kerana perlu dilakukan dalam tempoh yang lama.

Tanpa disedari kisah-kisah ini mudah disebarkan kepada masyarakat awam tanpa kawalan yang menyebabkan ia terus diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.

Hadith Nabi S.A.W. ada menyebutkan yang maksudnya: "Ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari Bani Isra'il dan itu tidak apa (dosa)." (Sahih al-Bukhari)

Dalam memahami hadis tersebut kita perlu memahaminya sesuai dengan apa disampaikan oleh Imam As-Syafie dalam mengomentari hadits ini.

Beliau berkata: "Baginda SAW melarang berbicara dusta, jadi maksud hadis ialah ceritakanlah daripada Bani Israel pada perkara yang kamu tidak ketahui bahawa ia adalah dusta (mengandungi kebatilan), adapun perkara yang dibenarkan (kerana ia tidak bercanggah dengan penjelasan al-Quran dan Sunnah) maka tidak menjadi suatu dosa kepada kamu untuk meriwayatkannya.

Inilah petanda kepada hadis baginda yang maksudnya: "Apa yang diceritakan oleh orang-orang ahli kitab kepada kalian maka janganlah kalian percayai atau kalian dustakan." (Sahih al-Bukhari) (Abu Syahbah, 2006)

Kesimpulan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa kisah-kisah Israiliiyat boleh disampaikan hanya apabila diyakini kesahihannya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka beranggapan bahawa kisah-kisah mereka tidak mempunyai manfaat yang penting apabila disampaikan kerana sifatnya yang bersifat dongeng dan sekadar penceritaan yang umum.

Wallahu a'alam.

BACA INI JUGA:
sumber: researchgate

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon