Friday, February 14, 2020

Firaun Ramses ll: Pemimpin Teragung Mesir Purba


Dalam sejarah tamadun Mesir Purba, ada beberapa kisah firaun terkenal yang kita kenali, tetapi ada satu firaun yang bukan saja melakar kegemilangan tamadun itu tetapi dikatakan ada kaitan dengan kisah Nabi Musa a.s dan Bani Israel. Firaun yang dimaksudkan ialah Ramses II.

Mumia Firaun Ramses II
Mumia Firaun Ramses II.

Ramses II merupakan putera Seti I dan Permaisuri Tuya, yang sejak dari kecil, sentiasa dibawa mengikuti ekspedisi ketenteraan ayahandanya di Libya dan Palestin pada usia 14 tahun.

Setelah mencecah usia 22 tahun, giliran Ramses II pula menjadi panglima tentera ditemani dua puteranya, Khaemweset dan Amunhirwenemef selain dinamakan sebagai pemerintah bersama dengan Seti I.

Ketika itu, Mesir mempunyai hubungan tegang dengan kerajaan Hittite dan semakin lama dahagakan kuasa untuk mendominasi rantau berkenaan.

Bukanlah satu kejutan mengapa Seti I dan Ramses II menyimpan dendam terhadap kerjaan Hittite.

Semasa pemerintahan Raja Suppiluliuma (1344-1322 Sebelum Masihi (BC)), kebanyakan pusat dagangan penting Mesir di Syria dan Canaan (Kanaan) jatuh ke tangan kerajaan berkenaan.

Seti I berjaya merampas semula Kadesh dari penguasaan kerajaan Hittite tetapi ia tidak bertahan lama selepas ditawan semula oleh Raja Muwatalli II (1295-1272 BC).

Selepas kemangkatan Seti I dan Ramses II menaiki takhta sebagai firaun yang baharu, salah satu agendanya ialah menundukkan kekuasaan Hittite.

Pada tahun kedua pemerintahannya, Ramses II menewaskan satu kelompok yang dipanggil Orang Laut di luar perairan Delta Nil.

Berdasarkan riwayat, kelompok ini dipanggil Sherdan dan mempunyai hubungan pakatan dengan kerajaan Hittite.

Bagi mengumpan mereka, Ramses II meletakkan satu kontinjen tentera laut di muara Sungai Nil untuk mengumpan kapal mereka keluar.

Sedang kapal-kapal perang Sherdan sibuk berperang dengan kapal perang Mesir Purba, tiba-tiba mereka diserang dari segenap penjuru.

Serangan mengejut Ramses II menyebabkan banyak kapal mereka tenggelam dan mana-mana orang Sherdan yang terselamat diserap masuk ke dalam angkatan tentera firaun.

Ada juga yang diserap menjadi sebahagian daripada angkatan pengawal diraja Ramses II.

Per-Ramses

Walaupun sibuk mengatur strategi memerangi kerajaan Hittite, Ramses II tidak melupakan soal dalaman kerajaannya.

Pada satu ketika sebelum 1275 SM, Ramses II memulakan pembinaan ibu kotanya Per-Ramses (Rumah Ramses/House of Ramses) di timur Delta Nil berhampiran bandar lama Avaris.

Per-Ramses bukan saja berperanan sebagai ibu kota pentadbiran semasa era pemerintahannya, tetapi juga berperanan sebagai istana persinggahan dan tapak pelancaran operasi ketenteraan di wilayah-wilayah yang berjiran dengan Mesir.

Bandar tersebut dibina dengan begitu indah sehinggakan ia dikatakan dapat menyaingi kecantikan ibu kota purba Thebes.

Tetapi, ada sesetengah sejarawan berpandangan pembinaan Per-Ramses sebenarnya dimulakan pada era Seti I kerana ia sudah digunakan sebagai tapak operasi ketenteraan Ramses II pada tahun 1275 SM.

Dan seperti dijanjikan Ramses II, Mesir menyerang Kanaan yang berperanan sebagai ibu kota utama kerajaan Hittite.

Dalam serangan tersebut, Ramses II dan angkatannya berjaya meraih sejumlah besar rampasan perang dan ramai anggota kerabat diraja Kanaan serta Hittite dijadikan tawanan perang.

Tetapi Ramses II tidak mahu berhenti di situ saja, kerana selagi Kadesh belum lagi di bawah kawalan, kejayaannya dianggap belum sempurna.

Pada akhir tahun 1275 SM, Ramses II mempersiapkan tenteranya untuk mara ke Kadesh sambil menanti peluang sesuai untuk menyerang wilayah tersebut.

Ramses II tidak mahu bersikap terburu-buru kerana sedar jika salah percaturan, angkatannya boleh tewas dengan kekuatan tentera Hittite.

Setahun selepas itu, melihat semua perkara menyebelahinya, Ramses II mengetuai 20,000 tentera dari Per-Ramses, yang dibahagikan kepada empat divisyen sempena nama dewa-dewi Mesir Purba: Amun, Ra, Ptah dan Set.

Ramses II sendiri mengetuai Divisyen Amun dengan tentera-tentera lain mengikut dari belakang.

Perang Kadesh

Lembah Ratu-Ratu
Lembah Ratu-Ratu.

Mereka bergerak selama dua bulan sebelum akhirnya tiba di satu kawasan di mana Ramses II merasa yakin untuk menyusun formasi pertempuran menyerang Kadesh dan menunggu ketibaan tiga divisyen lain.

Sementara itu, dua perisik Hittite yang dihantar mengintip kekuatan angkatan tentera Ramses II, berjaya ditahan dan diseksa untuk mendapatkan maklumat.

Selepas diseksa selama berhari-hari, mereka mendedahkan tiada tentera Hittite yang berkubu di Kadesh.

Ramses II memutuskan untuk terus berkhemah dan menanti ketibaan tiga divisyen lain.

Tatkala mereka sibuk memasang khemah, saat itu juga digunakan tentera Hittite untuk menyerang ketumbukan tentera Ramses II. Ternyatalah dua perisik Hittite dalam tawanan mereka itu hanyalah umpan semata-mata.

Akibat serangan mengejut itu, ramai tentera Ramses II terbunuh dengan kekuatan tentera berkuda mereka hampir musnah diserang tentera infantri Hittite. Mana-mana tentera yang terselamat berusaha mencari perlindungan di khemah mereka.

Sedar berhadapan situasi genting, Ramses II berdoa kepada Dewa Amun dan kembali ke medan perang.

Sejarawan menceritakan, kehadiran baginda memberi sedikit kelegaan dan ketenangan dalam kalangan anggota divisyennya.

Dan perlahan-lahan Ramses II menyerang tentera musuh seperti mana perihal panglima tentera China Li Guang membunuh pihak musuh tatkala cuba menyertai pasukan di sebelah selatan.

Dengan bantuan saki-baki anggota tentera dan beberapa pegawai, Ramses II menaiki kereta kuda tunggangannya dan menyerang pihak musuh dari sebelah timur bagi memberi peluang mana-mana tentera yang terperangkap melarikan diri.

Dengan situasi perang mula menyebelahi Ramses II, peluangnya bertambah cerah apabila Divisyen Ptah tiba di medan perang.

Ramses II memerintahkan mereka segera mengikutinya untuk menyerang secara bertubi-tubi, memaksa tentera Hittite berundur hingga ke Sungai Orontes di mana ramai yang dibunuh atau lemas dalam cubaan menyeberanginya.

Tetapi, kegopohan Ramses II hampir memakan diri kerana itu juga menyebabkan tenteranya terperangkap antara sungai dengan orang Hittite.

Jika tidak kerana Muwatalli II enggan menggerakkan saki-baki tentera yang dimilikinya memerangi tentera Ramses II, pasti baginda juga akan menjadi mangsa tentera Hittite.

Tetapi, perkara tersebut tidak berlaku dan ini memberi peluang kepada Ramses II dan tenteranya memaksa orang Hittite berundur dari medan perang.

Perang Kadesh dianggap satu kejayaan besar bagi Mesir Purba kerana berjaya menewaskan musuh ketat empayar di medan perang. Tetapi, perang tersebut juga hampir menyebabkan kematian Ramses II di tangan musuh.

Ramses II menganggap antara sebab dia terselamat adalah kerana keberanian dan ketenangannya semasa di medan perang serta restu dewa-dewi yang membolehkannya menewaskan tentera Hittite.

Sementara bagi Muwatalli II pula, walaupun tewas di medan perang, dia juga dianggap pemenang kerana tidak kehilangan kota Kadesh.

Selepas perang Kadesh, Ramses II memeterai perjanjian damai pertama di dunia dengan pengganti Muwatalli II, Hattusili III (mangkat pada 1237 SM).

Selepas perang berakhir, Ramses II mendedikasikan hidupnya menambahbaik infrastruktur Mesir, mengukuhkan sempadan dan meluluskan pelbagai projek yang memperingati kejayaannya pada tahun 1274 SM dan pelbagai pencapaian lain.

Permaisuri Nefertari

Permaisuri Nefertari

Jika pernah berkunjung ke Mesir, pasti anda akan melihat kebanyakan monumen Mesir Purba dibina semasa era Ramses II.

Antara binaan yang dibina pada era firaun Ramses II ialah Kompleks Makam Ramesseum di Thebes, Kuil Abu Simbel dan Patung Ramses II di Memphis.

Ramai sejarawan dan pakar seni menyifatkan era baginda sebagai kemuncak kebudayaan dan kesenian Mesir Purba.

Salah satu contoh dalam aspek ini ialah Makam Permaisuri Nefertari di Lembah Ratu-Ratu. Kebanyakan gambaran Nefertari muncul di dinding-dinding kuil atau dalam bentuk patung.

Tetapi tidak ramai tahu Nefertari mangkat pada tahun-tahun awal perkahwinan mereka (berkemungkinan mati semasa melahirkan anak).

Walaupun makam Nefertari dirompak oleh penjarah makam, kesan-kesan kesenian dan kebudayaan pada makam masih terpelihara dengan baik.

Selepas kemangkatan Nefertari, kedudukannya digantikan oleh isteri kedua Ramses II, Isetnefret dan seterusnya menjadi milik anak-anak perempuan selepas kemangkatannya.

Cinta Ramses II terhadap permaisurinya itu terus kekal bertahan walaupun selepas berkahwin dengan wanita lain dan mempunyai cahaya mata yang ramai.

Jika tidak, mengapa baginda tetap mahukan imej Nefertari pada dinding kuil atau dalam bentuk patung.

Malah, Ramses II juga melayan putera-puteri baginda dengan adil dan baik walaupun mempunyai bonda berbeza-beza.

Ramses II dan Nabi Musa a.s.

Berkenaan kaitan Ramses II dan Nabi Musa a.s., ia sebenarnya sudah mencetuskan perdebatan bukan saja dikalangan ahli teologi tetapi juga dikalangan sejarawan dan pengkaji Mesir Purba.

Nama Ramses II amat popular dikaitkan dengan kisah Nabi Musa a.s. dalam Al-Quran atau dalam Book of Exodus.

Kaitan Ramses II dengan kisah ini dimulakan menerusi filem The Tenth Commandments pada tahun 1956 dan diteruskan sejak itu sehinggalah filem arahan Sir Ridley Scott, Exodus: Gods and Kings (2014).

Filem tersebut menampilkan Joel Edgerton yang memegang peranan sebagai Ramses II. Tetapi, ini yang menjadi perdebatan para cendekiawan: dakwaan ini tidak disokong oleh fakta sejarah.

Memang benar nama Per-Ramses ada disebut dalam Book of Exodus atau lebih ayat 1:11 dan 12:37 dan Book of Numbers (ayat 33:3 dan 33:5), tetapi ia sebenarnya sebahagian daripada kota-kota yang dikatakan dibina Bani Israel dan tempat mereka keluar dari Mesir.

Tiada bukti menunjukkan penghijrahan beramai-ramai itu berlaku di kota-kota yang dinyatakan dan tiada bukti yang menunjukkan Per-Ramses dibina dari tangan-tangan hamba Bani Israel.

Ini berdasarkan pelbagai penemuan dari pelbagai tapak arkeologi di Mesir terutama di Giza menunjukkan kebanyakan projek monumen sudah disiapkan semasa era Ramses II.

Dan kebanyakan projek ini turut menggunakan buruh mahir dan tidak mahir sama ada dibayar gaji atau menawarkan diri sebagai sebahagian daripada tugas sivil mereka.

Adat orang Mesir menawarkan diri bekerja untuk projek-projek raja mereka banyak direkodkan dalam sejarah.

Sehinggakan di alam akhirat, roh-roh akan dipanggil bekerja oleh Osiris, Dewa Kematian untuk projek-projek pembinaan yang dimahukannya.

Amalan meletak patung-patung shabti di makam-makam dan kubur-kubur orang yang telah tiada, memenuhi tujuan ini: patung-patung mengambil tempat orang yang mati semasa bekerja di projek-projek monumen.

Selain itu, Ramses II juga terkenal kerana suka merekodkan sejarah pencapaiannya dan akan mengubahsuai sejarah sekiranya ia tidak bertepatan dengan naratif yang dikehendakinya.

Mustahil bagi seorang firaun berlaku cuai dalam merekodkan sejarah sama ada mengikut naratifnya atau tidak berkenaan wabak yang melanda Mesir atau penghijrahan beramai-ramai Bani Israel keluar dari Mesir.

Selain dari keterangan Ramses II, orang Mesir Purba juga dikatakan menyimpan rekod bertulis yang panjang dan rekod mereka langsung tidak menunjukkan populasi besar golongan hamba Bani Israel atau penghijrahan keluar mereka dari Mesir.

Teori

Antara teori berkenaan siapa Firaun yang dimaksudkan dalam Al-Quran adalah, lambakan batu-batu bersurat yang mendakwa Ramses II sebagai Tuhan dan penemuan garam dalam mumianya oleh pasukan saintis yang diketuai Dr Maurice Bucaille.

Sementara itu, ada yang berpendapat beberapa Firaun muncul semasa hayat Nabi Musa a.s.

Kemungkinan firaun yang mengejar baginda dan Bani Israel hingga ke Laut Merah ialah Thutmose III.

Sementara Firaun yang hidup ketika baginda berhijrah dari Mesir ke Madyan ialah ayahanda Thutmose III, Thutmose II dengan Hatshepsut (berkemungkinan Asiah), yang bertanggungjawab menjadikan baginda sebagai anak angkat dan dipelihara di istana.

Sementara Firaun yang bertanggungjawab mengeluarkan perintah bunuh anak-anak Bani Israel (selepas mendapat mimpi dan kelahiran Nabi Musa a.s) ialah Amenhotep I atau Thutmose I, jika proses penghijrahan berlaku ketika baginda sudah menjangkau usia tua.

Mumia Dan Pasport

Firaun Ramses II

Mumia Ramses II ditemui para pengkaji Mesir Purba pada tahun 1881 dalam makam seorang pendeta bernama Pinedjem II yang hidup 400 tahun selepas pemerintahannya.

Mumia tersebut dipindahkan dari lokasi asal makam di Lembah Raja-Raja ke makam berkenaan selepas makam asal dirompak oleh penjarah kubur.

Tidak mahu insiden berkenaan berulang, pendeta-pendeta memutuskan untuk memindahkan mumia Ramses II ke situ untuk mengelak ia dicuri atau dirosakkan.

Semasa ditemui, mumia Ramses II masih lagi dalam keadaan baik dan ini memudahkan para pengkaji mengenalpasti mumia berdasarkan ciri muka pada patungnya.

Selepas itu, ia dipindahkan ke Muzium Mesir di Kaherah untuk tujuan kajian dan pameran.

Tetapi selepas beberapa lama, akibat beberapa faktor termasuk kelembapan, keadaan mumia Ramses II mula merosot.

Pada tahun 1970-an, mumia tersebut mula diserang bakteria dan menanti masa untuk reput. Ini mendorong pihak berkuasa Mesir berusaha mendapatkan pakar-pakar terkemuka untuk memulihara mumia berkenaan.

Dan hanya satu tempat sahaja yang mampu melakukannya: Perancis.

Tetapi, sebelum ia boleh dibawa ke Perancis, mumia Ramses II tersebut perlu mempunyai dokumen pengenalan diri.

Ini berdasarkan undang-undang Perancis yang menetapkan semua individu tanpa mengira hidup atau mati perlu mempunyai dokumen pengenalan diri untuk memasuki Perancis.

Ini memaksa Kaherah mengeluarkan satu pasport khas di bawah nama Ramses II dengan bahagian pekerjaan dinyatakan sebagai raja.

Apabila mumia tersebut tiba di Paris, ia disambut dengan adat istiadat tentera dan diberi penghormatan penuh ketenteraan.

Ini juga berdasarkan satu lagi undang-undang yang menyatakan, mana-mana raja sama ada hidup atau mati yang memasuki Perancis atas urusan rasmi layak diberi sambutan berkenaan.

Ini menjadikan Ramses II, firaun pertama yang bukan saja memegang pasport rasmi Mesir, bahkan firaun pertama mendapat penghormatan penuh tentera di Perancis.

Dan selepas dikaji dan dipulihara sebaik mungkin, mumia tersebut dikembalikan ke Muzium Mesir di Kaherah.

Dan selepas ia dipulang, mumia Ramses II diperiksa sendiri oleh Presiden Anwar Sadat dan isterinya Jehan Sadat.

Mereka mahu memastikan mumia berkenaan benar-benar dipelihara dan dipulihara seperti dijanjikan Perancis dan benar-benar berpuas hati dengan proses yang dijalankan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

2 comments

  1. Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan hanya Allah yang satu, sedangkan kita dicipta oleh Allah

    ReplyDelete
  2. Kebesaran Allah maha mengetahui..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon