Rabu, Disember 25, 2019

Tragedi Hari Natal, Kenapa Charlie Bunuh Mereka?


Loading...

Charlie Lawson sudah berkahwin dengan Fannie Manring selama 18 tahun, dikurniakan lapan orang anak, empat lelaki dan empat perempuan namun, anak ketiga mereka meninggal dunia semasa kecil. Pasangan keluarga golongan petani ini hidup bahagia membesarkan anak-anak mereka.

Charlie Lawson 1927

Pada tahun 1927, Charlie membeli sebuah ladang berdekatan Germanton di utara Carolina, Amerika Syarikat, dan membawa keluarganya tinggal di situ. Tetapi, tidak lama untuk mereka menikmati hidup di atas tanah sendiri.

Tanggal 24 Disember 1929, sehari sebelum perayaan hari Natal, Charlie membawa isteri dan anak-anaknya ke pekan untuk membeli pakaian baru.

Keesokan paginya, mereka mengambil gambar keluarga dengan memakai pakaian baru yang dibeli.

Jika dilihat pada gambar keluarga hitam putih di atas, berdiri dari kiri ialah anak lelaki sulung, James Arthur, 16, Marie, 7, Charlie dan disebelahnya adalah Fannie yang mendukung anak bongsu mereka, Mary Lou, berusia empat bulan. Duduk dihadapan dari kiri ialah James, 4, Maybell, 7, Raymond, 2 dan Carrie, 12.

Gambar terakhir

Rupa-rupanya, itulah potret terakhir keluarga tersebut. Hanya beberapa jam setelah mereka bergambar sekeluarga, tamatlah riwayat kesemua ahli keluarga itu kecuali anak lelaki sulung bernama Arthur.

Selepas bergambar sekeluarga, Arthur yang berusia 16 tahun disuruh oleh Charlie ke pekan untuk membeli peluru senapang patah. Tidak diketahui apa motif Charlie menyuruh anaknya berbuat demikian.

Sebaik kembali ke rumah, Arthur begitu terkejut apabila disajikan pemandangan mayat ibu, kakak dan adik-adiknya bergelimpangan berlumuran darah.

Ada diantara mayat ditembak dan dipukul dengan objek keras. Sebahagian mayat berada di dalam rumah dan ada juga yang berdekatan bangsal tembakau.

Ketika itu jiran-jiran sudah mula datang menyiasat apabila mendengar beberapa bunyi das tembakan dari rumah Charlie.

Sewaktu orang ramai sudah mula berkerumun di rumah ladang tersebut dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku, tiba-tiba mereka terdengar bunyi tembakan dari arah hutan.

Siapa yang menembak?

Bunyi tembakan itu datangnya daripada Charlie yang membunuh diri. Hasil siasatan mendapati, Charlie telah membunuh isteri dan anak-anaknya sebelum melarikan diri ke dalam hutan sebelum meragut nyawanya sendiri.

Siapa yang dibunuh terlebih dahulu oleh Charlie tidak diketahui tetapi menurut siasatan pakar forensik, jalan ceritanya begini.

Kronologi

Pada petang hari Krismas itu, dua anak Charlie iaitu Carrie, 12, dan Maybell, 7, ingin pergi ke rumah ibu saudara mereka. Kedua-duanya keluar berjalan kaki.

Malangnya, Charlie sudah menunggu berdekatan bangsal. Semasa dua anaknya lalu di situ, Charlie melepaskan tembakan.

Selepas rebah tidak bernyawa, Charlie memukul kedua-dua anaknya itu bagi memastikan kedua-duanya sudah tidak bernyawa.

Charlie kemudian menyembunyikan mayat dua anaknya itu berdekatan bangsal tembakau.

Kemudian, Charlie berjalan pulang membawa senapang patahnya sebelum menembak isterinya, Fannie, sehingga mati.

Seterusnya, Charlie masuk ke dalam rumah lalu membunuh empat anaknya yang lain, satu persatu.

Dia menembak anak gadisnya, Marie, 17. Turut menerima nasib sama ialah James dan Raymond yang berusia empat dan dua tahun.

Yang paling menyedihkan, Charlie memukul anak bongsunya, Mary Lou, yang baru berusia empat bulan sehingga mati. Kejam!

Selesai membunuh semuanya, Charlie melarikan diri ke dalam hutan sebelum membunuh diri.

Teori punca pembunuhan

Mengapa? Semua orang terkejut dengan tindakan Charlie mengakhiri hidupnya sekeluarga dengan cara yang paling sadis. Adakah kerana masalah kewangan? Mungkin tidak.

Walaupun Charlie bukan keluarga kaya, namun dia bukannya dihimpit kemiskinan, tidak juga dilanda masalah hutang.

Hendak kata kerana kepercayaan ekstrem agama pun tidak juga kerana Charlie bukan seorang yang terlalu alim.

Charlie juga tidak pernah menunjukkan sebarang perangai yang aneh atau menganuti sebarang kepercayaan pelik. Malah, Charlie merupakan seorang jiran yang disenangi penduduk.

Ada juga teori mengatakan mungkin otak Charlie 'rosak' kesan kecederaan kepala semasa bekerja di ladang beberapa bulan sebelum itu, namun pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan dalaman pada otak yang menyokong teori itu.

Muncul juga teori mengatakan Charlie mungkin terlibat dalam organisasi jenayah dan tidak mahu keluarganya menjadi buruan, tetapi juga tiada bukti kukuh menyokong teori ini.

Skandal

Kemudian, muncul satu teori yang lebih dipercayai. Kononnya Charlie telah melakukan hubungan haram dengan anak gadisnya sendiri, Marie, sehingga hamil.

Bagi menutup skandal terlarang ini daripada terbongkar, Charlie mengambil jalan mudah dengan membunuh semua keluarganya.

Fannie dilaporkan pernah menceritakan bahawa dia mengesyaki suaminya ada hubungan terlarang dengan anak gadisnya. Pengakuan itu dibuat beberapa bulan sebelum tragedi hitam itu berlaku.

Malah, salah seorang rakan baik Marie, Elly May juga mendedahkan, seminggu sebelum Charlie membunuh keluarganya, Marie mengaku sedang mengandung hasil benih ayahnya sendiri.

Mungkin Charlie membunuh semua ahli keluarganya kerana mahu menutup malu berhubung skandal itu.

Yang menjadi tanda tanya, mengapa Charlie membiarkan Arthur seorang sahaja yang terselamat? Adakah kerana dia tidak mahu keturunannya lenyap begitu saja?

Arthur, satu-satunya anak yang masih hidup dan terselamat dari tragedi 1929, akhirnya mati pada tahun 1945 dalam satu kemalangan.

Arthur berusia 31 tahun ketika itu, sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

Mayatnya dikebumikan berdekatan anggota keluarganya yang terkorban dalam peristiwa berdarah angkara ayahnya sendiri.

Misteri pembunuhan

Jika ada kajian saintifik terhadap mayat Marie yang boleh mengesahkan dia hamil dan janin itu ada kaitan DNA dengan Charlie, teori pembunuhan ini mungkin boleh dirungkai.

Jika tidak, nampaknya hanya Charlie yang tahu kenapa dia bertindak kejam sebegitu rupa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon