Thursday, October 03, 2019

Festival Gendang Pampat, Paluan Perang Pahlawan Iban


Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai bentuk permainan gendang tradisional. Dipantai timur kita sudah kenal apa itu rebana ubi. Dipantai barat pula terkenal dengan paluan kompang. Kedua-duanya permainan tradisional yang dimainkan oleh masyarakat Melayu.

Gendang Pampat
Tarian Pahlawan Iban.

Namun, jika kita sebut Gendang Pampat mungkin ramai yang tidak tahu, apatah lagi melihatnya.

Gendang Pampat amat sinonim dengan masyarakat Iban di Sarawak, namun demikian permainan Gendang Pampat ini turut tersisih daripada generasi muda Iban.

Sama seperti permainan tradisi Melayu yang lain juga tidak mendapat sambutan dari generasi muda Melayu seperti permainan rebana dan sebagainya.

Seperti permainan gendang tradisional Nusantara yang lain seperti kompang dan rebana, Gendang Pampat dimainkan secara berkumpulan yang biasanya 4 orang pemain boleh bermain gendang ini pada satu-satu masa.

Namun, ada ketikanya ia boleh mencecah 11 biji gendang dalam satu pasukan dengan 11 orang pemain.

Pun begitu, tingkah gendang ini tidak seperti gendang-gendang lain yang berentak rancak, Gendang Pampat berentak keras dan padat serta nyaring tingkahnya.

Sesuai sebagai pemanggil semangat kepahlawanan gendang ini, sebelum Gendang Pampat ini dimainkan, ia didahului dengan upacara mantera dan menabur beras kunyit serta pemain-pemainnya dijamu dengan seteguk tuak.

Pemain-pemain Gendang Pampat juga turut memakai pakaian tradisi Iban seperti 'ngepan' jika pemainnya terdiri daripada wanita, manakala baju kurung atau baju perang yang diperbuat daripada kulit kambing lengkap dengan terabai (perisai) dan parang ilang dipinggang dipakai oleh lelaki.

Pada saat itulah akan terserlah penampilan berani pahlawan Iban seakan-akan mahu pergi berperang.

Gendang yang diperbuat daripada kayu keras seperti Tapang atau Mengeris dipotong berbentuk silinder panjang hingga satu meter dan disalut dengan kulit kambing atau pelanduk disamping dihias dengan bulu rusa.

Terdapat nama pada jenis-jenis gendang ini seperti Gendang Bebandong, Gendang Lanjan, Gendang Tama Pechal, Gendang Enjun Batang dan Gendang Tinggang.

Gendang Pampat ini biasanya dimainkan oleh masyarakat Iban Dai di kawasan Sri Aman pada hari keramaian seperti Gawai Dayak dan Gawai Antu.

Festival Gendang Pampat

Bagi mengekalkan kesinambungan budaya gendang ini, satu festival Gendang Pampat diadakah secara tahunan di Melugu, Sri Aman.

Selain pasukan yang dianggotai oleh orang-orang tua, terdapat juga pasukan yang mengetengahkan anggota belia yang masih muda bagi meneruskan kegemilangan muzik tradisi Iban ini.

Mungkin sudah tiba masanya anak-anak muda Iban mengambil-alih oermainan ini daripada golongan tua kerana tanggungjawab mempertahankan permainan tradisi ini terpikul di bahu generasi muda.

Demikianlah indahnya kepelbagaian budaya dan permainan tradisi masyarakat Iban yang kurang diketahui oleh rakyat Malaysia.

Dengan mengangkat seni tradisional Gendang Pampat, diharapkan agar seni ini terus dilestari seiring dengan kemajuan teknologi maklumat, agar masyarakat luar dapat mengenali masyarakat Iban yang penuh dengan warna-warninya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon