Tuesday, September 03, 2019

Sejarah Penciptaan Vespa Dan Kenapa Skuter Ini Sangat Istimewa


Skuter telah diperkenalkan sebagai alternatif dunia automobil sekitar tahun 1947 di Eropah yang teruk mengalami kemusnahan akibat Perang Dunia. Ia dihasilkan untuk kegunaan orang ramai dan dengan cepat menjadi salah satu fenomena dunia pengangkutan sehingga abad ke 20.

Paperino MP 5
Paperino MP 5.

Vespa bermaksud “tebuan” dalam bahasa Itali dan ia adalah hasil keazaman Enrico Piaggio yang mahu menghasilkan pengangkutan alternatif untuk orang ramai. Bila peperangan mencapai detik penghujungnya, beliau mula memikirkan langkah untuk menghidupkan kembali kilang-kilangnya yang telah terjejas akibat perang.

KISAH BERMULA

Piaggio telah diasaskan di Genoa pada tahun 1884 oleh Rinaldo Piaggio yang sewaktu itu berusia dua puluh tahun.

Aktiviti pertama syarikat ini ialah membuat kemasan untuk kapal-kapal persiaran mewah. Piaggio juga menghasilkan gerabak kereta api, van barangan, bas-bas mewah, enjin, tram dan badan trak kegunaan khas.

Perang Dunia l telah mengubah hala tuju banyak syarikat termasuk Piaggio. Syarikat ini mula menghasilkan pesawat terbang.

Piaggio telah membeli kilang baru di Pisa, dan empat tahun kemudian mengambil alih sebuah kilang kecil di Pontedera yang kemudiannya menjadi pusat pengeluaran aeronatikal (kipas, enjin dan pesawat), selepas Perang Dunia ll menyaksikan kelahiran Vespa.

DARI INDUSTRI AERONATIK KE PENGANGKUTAN PERIBADI

Perang telah mengubah banyak perkara dalam ekonomi Itali juga kepada Piaggio. Fasiliti pembuatan Pontedera menghasilkan pesawat P 108 yang dilengkapi dengan empat enjin 1,500bhp keluaran Piaggio. Ia dikeluarkan dalam versi penumpang dan juga pengebom.

Namun kemudahan di Tuscany (Pontedera dan Pisa) juga merupakan sasaran penting ketenteraan dan pada 31 Ogos 1943 ia telah dimusnahkan oleh pasukan pengebom udara Tentera Bersekutu.

Sebelum pihak Jerman berundur, mereka juga telah memasang bom pada struktur tiang-tiang bangunan bagi memastikan ia musnah sepenuhnya.

Bagi membina semula kilang di Pontedera, Enrico Piaggio meminta pihak bersekutu yang berpangkalan di sebahagian kilang Piaggio membawa balik peralatan kilang yang ada di Jerman dan Biella, di utara Itali.

Ia dijalankan dengan pantas dan Armanado serta Enrico memulakan usaha memulihkan seluruh fasiliti. Tugas getir terpaksa dihadapi oleh Enrico yang bertanggungjawab terhadap kilang di Pontedera dan Pisa.

Keputusan Enrico untuk menceburi perniagaan mobiliti ringan adalah berdasarkan penilaian beliau terhadap keadaan ekonomi dan sosiologi semasa. Ia juga hasil kerjasama jurutera penerbangan dan pereka terkenal, Corradino D’Ascanio (1891-1981).

ASAL-USUL SKUTER

Skuter mula dihasilkan berdasarkan motosikal kecil untuk kegunaan pasukan payung terjun. Prototaip pertama dikenali dengan nama MP 5, juga digelar “Paperino” (Donald Duck dalam bahasa Itali), kerana bentuknya yang ganjil. Enrico bagaimanapun tidak menyukainya dan meminta Corradino merekanya semula.

Jurutera pesawat itu bagaimanapun tidak sukakan motosikal. Beliau berpendapat ianya terlalu gemuk dan tidak selesa ditunggang, juga kesukaran menukar tayar jika bocor. Lebih teruk penggunaan rantai untuk pacuan menjadikannya cukup kotor.

Sebagai jurutera pesawat beliau berusaha untuk menukar sistem rantai kepada sistem yang lebih efisien, tuil gear pula diletakkan di bar hendal untuk kemudahan dan penukaran tayar yang lebih mudah dengan menggunakan lengan khas seperti kegunaan pesawat menggantikan fork.

Akhir sekali beliau merekabentuk bahagian badan yang mampu melindungi penunggang dari kotoran dan angin yang menjadikan Vespa sebuah skuter yang boleh ditunggang dengan selesa dan selamat berbanding motosikal biasa yang lebih tinggi.

Corradino cuma memerlukan beberapa hari sahaja untuk menghasilkan lakaran idea beliau dan Vespa pertama dihasilkan di Pontederaa April 1946.

Kali pertama Enrico melihat prototaip MP 6 ini beliau mengatakan yang skuter ini kelihatan seperti tebuan dengan bahagian yang kecil di tengah. Nah, hasilnya lahirlah Vespa.

Ia dipatenkan oleh Piaggio pada 23 April 1946 sebagai sebuah motosikal dengan organ yang kompleks dan elemen badan yang menutup sepenuhnya semua komponen mekanikal.

Dalam masa yang singkat ia diperkenalkan kepada umum dengan reaksi yang pelbagai. Tanpa ragu-ragu Enrico memulakan pengeluaran pertama sebanyak 2,000 unit Vespa 98cc.

Penampilan pertama Vespa ini dilakukan di kelab Golf Rome yang elegan disaksikan oleh pemerintah tentera bersekutu, Jeneral Stone dari Amerika Syarikat.

KERAGUAN BERTUKAR KEPADA KEYAKINAN

Vespa 125
Vespa 125.

Pengeluar-pengeluar lain dan pakar ekonomi mempunyai dua pendapat berbeza. Satu pihak menyatakan yang Vespa merupakan satu idea yang bijak manakala satu pihak lagi dalam keadaaan ragu-ragu, tetapi hanya untuk seketika bila Vespa terbukti cukup laris di pasaran.

Tahun berikutnya, Vespa 125 pula muncul dan menjadi cukup popular sekaligus mengambil tempat Vespa 98cc sebelumnya.

Keajaiban Vespa menjadi kenyataan dengan peningkatan jumlah pasaran. Dalam tahun 1946, Piaggio memasarkan sebanyak 2,484 unit skuter baru ini. Tahun berikutnya ia meningkat kepada 10,535 unit, dan pada tahun 1948 ia telah mencapai angka 19,822 unit!

Bila pemegang lesen di Jerman mula menghasilkan Vespa pada tahun 1950, keluaran meningkat kepada 60,000 unit dan tiga tahun selepas itu 171,200 unit telah dikeluarkan dari kilang pemasangan.

Pasaran luar negara mula menyedari kehadiran Vespa dan mengikuti perkembangannya dengan penuh minat. Begitu juga dengan penggiat media. The Times menggelarkannya “Produk Itali yang sebenarnya, sesuatu yang tidak pernah dilihat sejak dari zaman Pedati Rom”.

Enrico Piaggio menggiatkan lagi usaha mempopularkan Vespa di Eropah dan seluruh dunia dengan mewujudkan jaringan pengedar dan pusat servis yang efisien. Antara inisiatif yang penting ialah mewujudkan kelab-kelab Vespa.

Menjelang tahun 1953, terdapat lebih dari sepuluh ribu pusat servis Vespa di seluruh dunia. Ahli kelab Vespa pula mencecah 50,000 orang. Pada tahun 1951, 20,000 ahli telah menghadiri Vespa Day di Itali.

Vespa juga cukup sinonim dengan kebebasan sosial dana ruang. Ia menjadi simbol gaya hidup dan telah menjadi bintang baik di dunia perfileman, sastera mahupun pengiklanan. Ia muncul di saat masyarakat sedang mengalami perubahan di seluruh dunia.

Pada 1950, Vespa mula membuka kilang baru di Jerman diikuti Sepanyol pada tahun 1953. Vespa terus membuka kilang-kilang baru seluruh dunia sehingga mencapai jumlah 13 negara kesemuanya.

Antaranya ialah Amerika Syarikat, India dan Brazil. Ia juga dipasarkan di 114 negara termasuklah Australia, Afrika Selatan, Iran, China dan banyak lagi.

1957, Kesatuan Soviet telah mengeluarkan skuter mereka yang bernama Viatka, yang merupakan klon kepada Vespa.

Vespa juga ditempah untuk pelbagai kegunaan termasuklah ketenteraan. Tentera Perancis pernah menempah Vespa khas yang dilengkapi senjata dan juga bazooka, sebahagian lagi pula untuk kegunaan pasukan payung terjun. Tentera Itali juga mempunyai Vespa untuk kegunaan yang sama.

KEJAYAAN DEMI KEJAYAAN

Piaggio Vespa LX
Piaggio Vespa LX.

Kejayaan demi kejayaan ditempa oleh Vespa. Pada November 1953, 500,000 unit Vespa telah dihasilkan, diikuti dengan pengeluaran sejuta unit pada Jun 1956. 1960 ia berganda kepada 2 juta unit dan meningkat kepada 4 juta unit dalam tahun 1970.

Sebagai rekod dari tahun pengeluaran pertama 1946 hinggalah 1965 (tahun Enrico Piaggio meninggal dunia), 3,350,000 unit Vespa telah dihasilkan di Itali sahaja: nisbah satu unit untuk 50 penduduk Itali.

Vespa juga pernah mengharungi pelbagai pengembaraan di seluruh dunia termasuklah perlumbaan Paris-Dakar yang terkenal dan juga perlumbaan 24-jam Le Man.

Ia juga muncul bersama berpuluh bintang filem dalam filem-filem terkenal di Hollywood seperti “American Grafitti”, “The Talented Mr. Ripley”, “102 Dalmatians”dan banyak lagi.

Hari ini, Vespa tidak lagi dianggap sebuah motosikal biasa. Ia adalah ikon 2 roda yang dimiliki kerana sentuhan dan arca seni. Ia dianggap sebuah skuter “gaya hidup” yang mungkin tidak laju, ia mungkin mahal kata anda tetapi selepas mengharungi sejarah ikonik yang panjang, Vespa adalah jenama istimewa yang tak sama dengan yang lain.

Walaupun banyak jenama yang cuba untuk menghasilkan sesuatu sepertinya ternyata ia tidak dapat menyamai apa yang telah dicorakkan oleh tamadun skuter moden ini. Ia cukup berbeza.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mekanika

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon