Ahad, Julai 21, 2019

Fakta Luar Biasa Tentang Bangsa Sparta Purba


Loading...

Apa yang kebanyakan daripada kita tahu mengenai Sparta adalah tentang Raja Leonidas dan pertempurannya di dalam filem "300" namun hakikatnya, dia yang berumur 60 tahun ketika itu bukanlah bersama 300 orang tentera semasa Pertempuran Thermopylae, tetapi bersama dengan seramai 7,000 orang tentera menentang ratusan ribu musuh.


Pernah ketika Raja Philip II of Macedon mahu menakluk Sparta, dia memberi amaran, "Jika saya menang perperangan ini, anda akan menjadi hamba selama-lamanya". Penduduk Sparta menjawab dengan satu perkataan sahaja iaitu "Jika".

Disebabkan keberanian mereka, Raja Philip II meninggalkan Sparta begitu sahaja.

Berikut adalah beberapa lagi fakta menarik mengenai Sparta.

1. Pemilihan tentera bermula sejak bayi dilahirkan

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, para ibu Sparta akan memandikan bayi mereka dengan wain bukannya air, untuk melihat betapa kuatkah bayi itu dan sekiranya selamat, bayi itu akan dibawa pula ke majlis penasihat untuk diperiksa.

Majlis penasihat akan melihat sekiranya ada apa-apa kecacatan fizikal, adakah sesuai untuk dipelihara atau layak untuk menjadi tentera Sparta kelak.

Beberapa sumber mengatakan, bayi yang tidak layak atau cacat akan dibuang ke dalam jurang Gunung Taygetos atau ditinggalkan begitu sahaja. Apa-apa jenis kelemahan tidak boleh diterima dalam masyarakat Sparta purba.

2. Latihan tentera bermula sejak kanak-kanak

Apabila berumur tujuh tahun, kanak-kanak lelaki akan memulakan sistem pendidikan yang dikenali sebagai "Agoge".

Mereka akan dibiarkan hidup dalam keadaan susah dan diberi sedikit makanan supaya tidak bermewah-mewahan.

Dalam keadaan lapar, kanak-kanak ini biasanya akan mencuri makanan dan sekiranya tertangkap, mereka akan dihukum dengan teruk.

Mereka juga akan didenda jika tidak menjawab soalan dengan sinis kerana Sparta terkenal dengan caranya yang sinis dan berani. Mereka juga diajar menulis, membaca dan lain-lain.

Anak-anak gadis Sparta juga melalui pendidikan yang serupa dengan anak lelaki, cuma kurang penekanan terhadap latihan ketenteraan.

Sparta adalah satu-satunya bandar di mana wanita menerima pendidikan rasmi di Greece purba. Mereka dilatih dalam gimnastik, muzik, sastera dan pendidikan perang.

3. Hamba menjadi alat pembelajaran

Hamba atau dikenali sebagai helot, adalah ancaman berterusan kepada Sparta kerana jumlah mereka dan bagi mencegah pemberontakan, pelbagai kaedah telah dicipta.

Mereka memaksa helot untuk minum wain sehingga mabuk dan menjadi contoh kepada remaja Sparta agar tidak memalukan diri sendiri seperti yang dilakukan hamba itu.

Dengan cara ini, ia seperti serampang dua mata apabila remaja Sparta mendapat pendidikan dan hamba pula dimalukan agar kurang keyakinan diri untuk memberontak.

Remaja Sparta akan menyertai pasukan tentera bermula dari umur 20 tahun hingga 60 tahun, disiplin yang tinggi sangat dititik beratkan dalam latihan dan pembelajaran mereka.

4. Pada zaman kemuncak, jumlah hamba 7 kali ganda melebihi penduduk

Ketika zaman kemuncak tamadun Sparta pada 479 SM, jumlah hamba di Sparta adalah tujuh kali ganda rakyat mereka.

Hamba melakukan pekerjaan seperti membajak ladang, membersih, membina dan pelbagai pekerjaan lain.

Seorang penduduk Sparta mempunyai tujuh orang hamba dan mereka amat bergantung kepada hamba-hambanya dan sesetengah lelaki Sparta akan meniduri hamba wanita bagi meningkatkan jumlah hamba di Sparta.

Namun, hamba atau helot ini tidaklah begitu miskin walaupun tidak mempunyai hak mengundi. Mereka dibenarkan menyimpan 50% hasil pendapatan, berkahwin dan bebas beragama.

250 tahun selepas itu, kira-kira 6,000 helot telah berjaya menebus kemerdekaan mereka sendiri.

5. Pengasas Sparta seorang yang bijak

Ramai ahli sejarah seperti Herodotus, Plato dan Plutarch pernah menyebut tentang Lycurgus, pengasas dan pencipta undang-undang Sparta yang telah mempromosikan penduduk Sparta dengan kesamaan, penjimatan dan kecergasan tentera.

Selepas kematian abangnya, Lycurgus dilantik menjadi raja dan disebabkan kepandaiannya mentadbir, dia dicemburui oleh kakak iparnya sendiri yang kemudian menuduh Lycurgus adalah dalang dalam pembunuhan abangnya.

Raja itu kemudian menyerahkan takhta kepada anak saudaranya dan meninggalkan Sparta.

Rakyat Sparta merayu agar Lycurgus kembali dan apabila kembali, dia telah melakukan perubahan besar dalam sistem undang-undang.

Setelah perubahannya membuahkan hasil, dia mengumpulkan rakyatnya dan membuatkan mereka bersumpah untuk mengikut undang-undangnya sehingga dia kembali dari Delphi.

Lycurgus kemudian secara sukarela meninggalkan Sparta dan tidak kembali lagi.

Selama 500 tahun mendatang, undang-undangnya menjadikan Sparta begitu terkenal dan kuat sehinggalah pemerintahan Raja Agis yang tamak telah meruntuhkan tamadun Sparta.

6. Sparta pernah diperintah oleh 2 raja

Sparta pernah mengamalkan oligarki apabila dua keturunan raja dari keluarga Agiad dan Eurypontid memerintah Sparta pada masa yang sama.

Kedua-dua keluarga ini adalah dari keturunan Heracles dan mempunyai tugas keagamaan, kehakiman dan tentera di Sparta namun, mereka sering tidak sehaluan dalam memerintah.

Majlis penasihat terdiri daripada 5 orang yang dikenali sebagai Ephor dilantik bagi mengekalkan keseimbangan antara dua raja di Sparta ini.

Ephor menangani kes-kes sivil dan jenayah manakala raja pula menangani kes-kes khas sahaja.

Namun, semakin lama kuasa raja-raja semakin melemah manakala kuasa Ephor pula meningkat, sehingga mempunyai kuasa untuk mendakwa dan mengadili raja-raja.

Selepas satu tempoh, raja-raja Sparta kehilangan sebahagian kuasa mereka termasuk kuasa mengisytiharkan perang dan hanya menjadi boneka sahaja.

Pada abad ke-7 sebelum Masihi, Ephor menjadi sangat kuat dan berkuasa.

7. Pilihanraya diundi dengan menjerit

Majlis penasihat tertinggi dan Gerousia adalah mereka yang mengetuai Sparta. Ahli majlis dipilih melalui pengundian, tetapi bukanlah seperti yang dilakukan pada hari ini.

Mereka memilih calon yang dipertandingkan dengan menjerit. Siapa yang mendapat sorakan paling kuat akan menang.

Aristotle menyebut amalan mengundi ini sebagai "kebudak-budakan".

Amalan mengundi dengan menjerit ini juga digunakan bagi membuat keputusan lain seperti keputusan ketika hendak berperang. Ephor akan mengadili sama ada jeritan "ya" atau "tidak" memenangi undian tersebut.

Penduduk Sparta percaya menjerit mempunyai kepentingan khusus pada zaman itu. Semakin kuat sesuatu kepercayaan, semakin kuat jeritan yang dihasilkan.

Jeritan juga memainkan peranan penting dalam perperangan, sebagai contoh memperkuatkan semangat tentera.

8. Sparta tidak menggalakkan kekayaan melampau

Lycurgus, pengasas Sparta telah memperkenalkan bar besi sebagai mata wang mereka seperti yang dilaporkan oleh Plutarch sekitar 825 SM.

Wang besi ini dikatakan seberat hampir 1 kg setiap satu, jadi untuk membawa wang yang sedikit sahaja mungkin anda memerlukan kereta lembu.

Mata wang ini diperkenalkan agar tidak menggalakkan penduduk Sparta untuk mengumpul kekayaan menimbun atau menjadi tamak.

Ada juga yang berpendapat bahawa pada masa itu besi adalah logam berharga yang dihasilkan oleh negeri itu dan penguasa Sparta tidak mahu mengimport logam lain seperti tembaga atau perak dari luar.

9. Sparta menggunakan senjata kimia pertama dalam sejarah

Penggunaan senjata kimia paling awal pernah dicatatkan adalah ketika Perang Peloponnesia pada kurun ke-5 SM, antara Athens dan Sparta dalam tiga fasa.

Ketika tentera Sparta ingin mengepung bandar Athens, mereka meletakkan campuran kayu, belerang dan tar yang menghasilkan asap beracun untuk melumpuhkan penduduk Athens.

Apabila penduduk Athens ingin menyerang balas, keupayaan mereka menjadi lemah secara drastik yang akhirnya Sparta menang dan menggantikan kerajaan Athens dengan Sparta.

Seorang negarawan bernama Solon pula telah menggunakan akar hellebore untuk meracuni air di dalam saluran yang membawa kepada Sungai Pleistos yang mengalir di dalam pusat Greece semasa pengepungan Kirrha, pelabuhan Delphi.

10. Hanya orang tertentu sahaja mempunyai nama pada batu nisan

Wanita Sparta menikmati kebebasan dan kuasa yang lebih berbanding lelaki dan amat dihormati kerana bakal melahirkan tentera yang hebat.

Mereka juga sangat tegas terhadap anak-anak lelaki mereka dan sering berpesan agar "pulang dengan kemenangan atau mati bermaruah".

Sparta menghormati dua golongan ini, jadi mereka hanya menulis nama pada batu nisan wanita yang mati ketika melahirkan anak dan tentera yang terkorban di medan perang sahaja, kerana dianggap telah memenuhi kewajipan kepada Sparta.

Menurut satu menuskrip yang ditulis Plutarch, wanita yang memegang jawatan penting dalam agama juga mempunyai batu nisan yang dituliskan nama mereka.

Ini dibuktikan dengan penemuan dua kubur wanita yang memegang jawatan dalam agama semasa hidup.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon