Sunday, July 07, 2019

'Aku Berhenti Belajar Kerana Seorang Guru Yang Berasa Dirinya Mulia'


Nama aku Nur (nama samaran) dan saya nak luahkan sesuatu yang sudah lama di pendam sejak aku berumur 15 tahun lagi. Ini tentang cikgu ku. Biarlah aku gelarkan dia sebagai cikgu H. Aku tergerak hati untuk mencoret kisah ini kerana aku terkesan dengan kisah seorang guru yang viral kerana merotan seorang pelajar yang biadap. Aku sangat menyokong tindakan cikgu itu.

Aku Berhenti Belajar Kerana Seorang Guru
Gambar hiasan.

Anak murid yang kurang sopan harus dididik jika tidak kelak masa depanya akan hancur. Tapi aku tidak.

Aku anak murid yang sangat takut akan cikgu. Sehinggakan cikgu sendiri telah mematahkan semangat aku untuk belajar.

Sekolah aku terletak di utara tanah air. Ketika aku di tingkatan satu, semuanya berjalan dengan baik. Aku belajar dengan tenang, aku ceburi banyak bidang kokurikulum. Aku aktif dalam sukan. Aku merupakan pelajar dalam kalangan yang menyerlah.

Aku ingat lagi pada waktu itu cikgu wanita itu mengajar kami sekelas mata pelajaran sejarah. Aku pernah membentang kerja kumpulan di hadapan kelas.

Cikgu H pada ketika itu selalu memuji kepetahan aku berkata-kata. Aku sangat seronok belajar dalam kelas cikgu H.

Namun, semuanya berubah apabila aku melangkah kaki ke tingkatan 2, segalanya berubah sekelip mata. Cikgu H selalu cari kesalahan aku. Dia merupakan guru kelas aku.

Aku ingat lagi ketika kami semua berbincang untuk melantik penolong ketua kelas, semua majoriti kelas menyokong aku, tapi cikgu H membangkang sekeras kerasnya. Pelik bukan, kenapa perangai cikgu H berubah sekelip mata.

Ini semua kerana, status aku sebagai anak luar nikah. Bagaimana dia tahu aku anak luar nikah?

Selepas adik aku menjejakkan kaki ke tingkatan satu, bin kami tak sama. Menjadi kemusykilan buat semua guru guru.

Sejak dari itu, cikgu H selalu memandang jelek pada aku. Ilmu yang dia curahkan buat kami sekelas tidak pernah lekat dalam jiwa dan minda aku. Mungkin kerana dia tidak ikhlas mendidik aku.

Dia bukan saja pulaukan aku, sesiapa yang berkawan baik dengan aku juga dipulaukan olehnya.

Sehinggakan ramai yang menjauhkan diri dari aku. Aku malu. Aku segan. Allah saja yang tahu keadaan hati aku ketika itu.

Aku merupakan pengawas pusat sumber. Aku jalankan tugas seperti biasa, seperti yang termaktub di dalam jadual yang disediakan.

Kebetulan, cikgu H merupakan cikgu pusat sumber, jadi aku sekali lagi menerima pelbagai kritikan dari cikgu H. Sehinggakan aku tidak tahan dan ingin menarik diri dari menjadi pengawas.

Aku maklumkan pada cikgu H. Dia hanya tersengih. Aku ingatkan segalanya akan terhenti di situ, rupanya tidak.

Dia memanggil aku berjumpa dia di kantin sekolah, pelbagai kata kata kesat di hamburkan kepada aku dihadapan pelajar dan guru guru lain. Sehinggakan seorang guru disitu juga ikut memerli aku.

Ya allah, apa dosa aku. Aku tak minta dilahirkan menjadi anak haram. Aku tak minta.

Segalanya tidak terhenti di situ, sehinggalah pada suatu hari hati aku betul-betul remuk dan sakit menerima segala perkataan sarkastik yang keluar dari mulutnya.

Aku nekad. Aku pulang ke rumah. Berlakon sakit, tidak mahu ke sekolah.

Badan aku penuh birat dibalun mak tapi aku tetap berdegil. Aku ingin berhenti belajar, akhirnya mak akur.

Dan ya, aku berhenti belajar hanya kerana seorang guru yang berasa diri dia mulia. Tidak hina. Yang berasa keturunannya juga akan mulia.

Cikgu, seandainya cikgu baca confession ini, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih untuk semua ilmu yang cikgu curahkan. Kerana kau yang bergelar cikgu masa depanku hancur, gelap gelita.

Tapi, sang pencipta itu maha kaya. Sungguhpun aku tidak berjaya mengengam segulung sijil spm, tapi aku masih mampu mencari rezeki yang halal.

Masih mampu membeli kereta. Makan pakaiku masih cukup. Tidak seperti yang cikgu hamburkan pada aku pada tarikh 4.5.14 cikgu mengelarkan aku tak guna, tapi aku masih berguna cikgu, aku masih mampu berbakti buat ibu ayah aku walaupun aku tidak bergelar cikgu.

Aku sayang semua cikgu yang pernah menabur ilmu buat aku. Aku menjadi manusia sekarang kerana cikgu-cikgu aku yang lain, yang sentiasa mendoakan dan menyokong aku, yang sentiasa memberi kata-kata semangat untuk aku terus melangkah maju.

Cikgu H, semoga cikgu diampunkan oleh Allah atas semua kata-kata dan perilaku cikgu kepada aku.

Sesungguhnya aku telah memaafkanmu. Kerana aku tahu. Cikgu juga masih bergelar MANUSIA.

Buat guru-guru diluar sana, didiklah pelajar anda dengan ikhlas. Tidak kira apa saja latar belakang mereka, didiklah dengan sebetulnya supaya kami menjadi bangsa yang bermaruah dan berilmu.

–Nur (Bukan nama sebenar)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iiumc

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon