Monday, May 15, 2017

Jasa Guru Hingga Ke Syurga

Tanggal 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari bagi memperingati jasa guru di seluruh negara namun begitu, bukanlah bermakna guru hanya diingati pada hari tertentu sahaja malah jasa guru perlu sentiasa dikenang dalam doa kita setiap hari.

Guru

Kerjaya sebagai guru adalah mulia. Mereka ibarat matahari yang menyuluh kegelapan alam ini. Jasa mereka yang istiqamah mendidik dan menyampaikan ilmu demi membangunkan ummah amatlah besar kepada setiap anak bangsa.

Justeru, kedudukan guru atau orang yang berilmu amat tinggi di sisi ALLAH berbanding orang lain, lantaran ilmu yang ditekuni dan dicurahkan, lebih-lebih lagi jika dia seorang yang beriman.

Firman ALLAH dalam Surah az-Zumar, ayat 9, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

Malah mereka juga akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan sehingga hari kiamat selagi ilmu yang disampaikan itu dimanfaatkan dan diamalkan oleh setiap anak didik mereka, walaupun jasad sudah tiada lagi di dunia ini. Benarlah sabda Nabi Junjungan SAW:

“Apabila meninggal dunia seseorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakannya”. Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun perlu difahami bahawa kerjaya guru atau pendidik bukanlah semata-mata terhad kepada mereka yang bekerja di sekolah atau di universiti, atau di mana-mana pusat pengajian.

Hakikatnya, semua mereka yang tekun mengajar apa sahaja kebaikan dan mendidik anak bangsa menjadi orang yang berguna adalah termasuk dalam kategori “guru”, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW berkenaan kelebihan orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain: “Sesungguhnya ALLAH, para malaikat-Nya, penduduk langit dan bumi sehinggakan semut dalam lubangnya dan sehinggakan ikan (di laut) berselawat (mendoakan rahmat) ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. Hadith hasan riwayat at-Tirmizi.

Bahkan, dalam kehidupan setiap daripada kita, guru utama yang tidak dapat dilupakan jasanya adalah kedua ibu bapa kita sendiri yang mengajar, mendidik, mentarbiah dan membesarkan kita sejak kita dilahirkan.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Tidak ada bayi yang dilahirkan kecuali dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia sebagai seorang Yahudi, atau seorang Kristian, atau seorang Majusi”. Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalam sejarah Islam, peranan guru amatlah besar. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjadi contoh terbaik sebagai seorang pelajar yang berguru dengan malaikat Jibril AS, walaupun ALLAH boleh sahaja memberikan ilmu kepada baginda tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

Begitu juga dengan para sahabat yang berguru dengan Baginda, seterusnya para tabiin dan tabi’ tabiin sehinggalah ke hari ini.

Justeru, bagi mereka yang bergelar pelajar, perlulah beradab dan menunjukkan akhlak yang mulia terhadap guru mereka, kerana hakikat kejayaan dan keberkatan seseorang pelajar itu adalah bergantung kepada sejauh mana adab dan akhlak dia dengan gurunya, dan bukan bergantung pada semata-mata kebijaksanaan pelajar itu atau sejauh mana usahanya mendapatkan ilmu.

Lihatlah kepada mereka yang berjaya pada hari ini, tidak kira siapa, pasti di sebalik kejayaan itu, ada guru yang mendidik dan mentarbiah mereka, di samping adab dan hubungan dengan guru-guru mereka.

Mengakhiri artikel, suka penulis untuk mengungkap sajak daripada sasterawan negara, Usman Awang berkenaan guru:
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Selamat menyambut Hari Guru.

BACA INI JUGA: Kisah Benar Cikgu Idayu Dan Kerenah Birokrasi Yang Memualkan!

sumber: sinarharian

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

Selamat hari guru buat semua warga pendidik.

Jasa para guru terus dikenang sehingga akhir hayat :)

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon