Wednesday, December 26, 2018

Yasuke, Samurai Berkulit Hitam Pertama Yang Digeruni


Pada abad ke 16, Jepun masih lagi berpecah secara dalaman dan jauh daripada hubungan dengan pihak luar. Pada ketika itu, setiap kawasan diperintah oleh seorang pemerintah yang digelar daimyos dan berlarutan sehinggalah ke zaman penjelahan orang barat ke seluruh pelusuk dunia, termasuklah Jepun.

Yasuke black Samurai
Lakaran asal Yasuke.

Mengikut sejarah, orang Portugis adalah golongan pertama yang sampai Jepun. Dengan kedatangan ke Jepun ini, mereka turut membawa bersama-sama agama, bahasa dan budaya mereka ke Jepun.

Kedatangan Yasuke ke Jepun

Selain itu, orang Portugis yang mengamalkan institusi perhambaan pada ketika itu turut membawa bersama golongan hamba ke serata dunia. Golongan hamba ini kebanyakannya diseludup daripada Afrika.

Daripada golongan hamba berkulit hitam inilah lahirnya seorang samurai berkulit hitam yang pertama di Jepun.

Daripada hanya seorang hamba, beliau mula mendapat kepercayaan daripada pemerintah tempatan dan akhirnya menjadi seorang samurai yang dikenali dengan nama Yasuke.

Walau bagaimanapun, seperti kebanyakan hamba lain yang diseludup, latar belakang sebenar Yasuke tidak diketahui dengan tepat namun, terdapat sumber mengatakan beliau merupakan seorang pemuda yang berasal dari Mozambique yang telah dibawa masuk ke Jepun oleh seorang paderi bernama Alessandro Valignano.

Alessandro Valignano merupakan antara paderi terawal yang datang menyebarkan agama kristian timur.

Usahanya ini kemudian diikuti pula oleh seorang lagi paderi bernama Luis Frois. Kebanyakan kisah dan informasi mengenai Yasuke adalah berdasarkan informasi dan catatan beliau.

Menurut Luis Frois, ketibaan Yasuke ke Jepun sangat menarik perhatian orang disana memandangkan kulitnya yang gelap, tidak seperti kulit masyarakat tempatan.

Menurut beliau lagi, kediaman mereka banyak kali diceroboh oleh orang tempatan yang mahu melihat rupa paras Yasuke yang berkulit gelap itu.

Bantuan daripada Oda Nobunaga

Samurai

Kekecohan mengenai keunikan rupa paras Yasuka tersebar luas sehinggalah sampai ke pengetahuan pemerintah tempatan (daimyos) pada ketika itu, Oda Nobunaga.

Memandangkan Oda Nobunaga merupakan seorang yang sangat berminat dengan budaya Barat terutamanya daripada Eropah, maka beliau telah memberi pelbagai bantuan kepada golongan pendatang ini. Beliau turut berbesar hati membina sebuah gereja di Kyoto.

Oda Nobunaga merupakan seorang pemerintah yang sangat berpengaruh pada ketika itu malah, beliau juga merupakan orang penting yang berusaha menyatukan Jepun secara keseluruhannya. Sehigga kematiannya, hampir separuh daripada kawasan di Jepun berada di bawah penguasaannya.

Saat pertama kali bertemu dengan Yasuke, Nobunaga sangat kagum melihat fizikal Yasuke. Beliau menyatakan bahawa kekuatan Yasuke mungkin melebihi 10 orang pemuda. Dengan ketinggian 6 kaki, Yasuke sememangnya lebih tinggi daripada majoriti penduduk Jepun pada ketika itu.

Walaupun keduanya mempunyai masalah komunikasi, Yasuke berjaya mendapat kepercayaan Nobunaga, yang telah melantik Yasuke sebagai salah seorang pengawal peribadinya. Beliau telah diberikan sejumlah wang, sebuah rumah dan juga sebilah pedang katana.

Sejak daripada itu, Yasuke telah memberikan sumpah taat setianya kepada pemerintahan Oda Nobunaga dan dilatih menjadi seorang samurai yang dihormati.

Begitulah kisah bagaimana seorang hamba berkulit hitam yang akhirnya telah diangkat sebagai seorang elit di Jepun.

Kejatuhan pemerintahan Oda Nobunaga

Pemerintahan Oda Nobunaga berakhir pada tahun 1582 apabila beliau telah dikhianati oleh salah seorang pegawainya, Akechi Mitsuhide.

Semasa diserang oleh pasukan tentera Akechi Mitsuhide, Yasuke telah berlawan berhabis-habisan untuk mempertahankan istana pemerintahan Oda Nobunaga daripada ditakluki.

Oda Nobunaga yang pada ketika itu sudah cedera teruk dan hampir dikalahkan telah mengambil keputusan untuk melakukan seppuku, ritual membunuh diri untuk mengelakkan daripada menyerah kalah dan jatuh maruahnya kepada pihak musuh.

Yasuke merupakan antara beberapa orang terakhir yang tidak terbunuh dalam pertempuran itu, namun beliau akhirnya mengaku kalah dengan menyerahkan pedangnya kepada pihak musuh.

Kerana beliau bukanlah orang Jepun, Yasuke dikecualikan daripada hukuman bunuh dan telah diserahkan kembali kepada paderinya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon