Thursday, December 06, 2018

'Ayat Al-Malau al-A'la Dalam al-Quran Tiada Kena Mengena Dengan Orang Melayu'


Perkataan Al-Malau al-A'la di dalam al-Quran tidak mungkin membawa maksud Melayu kerana berasal dari dua perkataan al-Mala dan al-A'la yang merujuk kepada malaikat, kata Mufti negeri Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

ASAL-USUL MELAYU

Manakala perkataan al-Malau pula merujuk kepada pembesar yang mempunyai pengikutnya yang sombong dan menentang para rasul.

Kata beliau, perkataan itu yang banyak ditemui di dalam al-Quran juga membawa maksud yang tidak baik.

"Sehubungan itu dakwaan bahawa perkataan Melayu ada disebut di dalam al-Quran adalah tidak benar.

"Jika al-Malau (yang dirujuk seorang individu lalu tular di media sosial), maka malanglah kerana perkataan itu membawa maksud tidak baik.

"Saya fikir dia (individu itu) perlu baca balik al-Quran," katanya.

Mohd. Asri diminta mengulas dakwaan seorang individu yang tular baru-baru ini, bahawa bangsa Melayu ada disebut di dalam al-Quran, iaitu berasal daripada perkataan malaul 'ala.

TEORI ASAL-USUL MELAYU

Antara teori ilmiah tentang asal nama 'Melayu' ialah daripada nama 'Sungai Melayu', sebagaimana yang tertulis di dalam Sejarah Jambi.

Istilah Melayu pernah dicatatkan oleh pengembara Cina pada 644-645 masihi. Para sejarahwan bersepakat bahawa perkataan 'Mo-Lo-Yu' di dalam catatan tersebut ialah nisbah kepada kerajaan Jambi dan Sriwijaya.

Kerajaan Perlak menerima Islam pun pada abad ke-8 masihi. Kerajaan Pasai menerima Islam pada abad ke 12 masihi. Sementara Islam mulai kukuh di Nusantara ialah sekitar abad ke-15 masihi. Pendakwah Arab yang paling awal diketahui pula ialah pada tahun 684 masihi.

Sedangkan perkataan Melayu di dalam catatan Cina pula lebih awal kewujudannya berbanding kedatangan Islam ke Nusantara itu sendiri.

Malah, bukti artifak Islam di Nusantara yang terawal juga hanyalah seawal abad ke-11 masihi (Batu Nisan Champar). Ada ahli sejarah berpendapat, kedatangan Islam yang terawal ke Nusantara ialah oleh pendakwah Arab pada abad ke-7.

Jika istilah Melayu itu wujud sebelum kedatangan Islam, bagaimana mungkin istilah Melayu itu diambil dari "Al Mala Al A'la" (Ayat Al-Quran). Ini ialah kontradik tarikh sejarah.

Maka, jelas bahawa istilah Melayu tidaklah diilhamkan dari kalimah ayat Al-Quran namun, bersyukur kehadrat Allah kerana memilih kita, sebagai bangsa yang menerima hidayahNya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

1 comment

  1. Hujah 'Mala U' ada dalam al Quran tu hanya hujah orang gila isim je. Saja nak menipu penyokong yang dah tertipu.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon