Friday, November 23, 2018

'Semua Doa Saya Dimakbulkan Kecuali Satu Perkara'


Pada suatu ketika, Imam Ahmad Bin Hanbal yang berasal dari Baghdad, Iraq telah berkelana ke Kota Basrah, yang jaraknya adalah sekitar 200 batu. Walaupun namanya cukup mahsyur di tanah Arab kerana ketokohannya dalam ilmu agama, Imam Ahmad memilih untuk bermusafir sendirian tanpa ditemani seorang pun muridnya.

Doa Saya Dimakbulkan Kecuali Satu

Tidak seperti biasa, kali ini beliau bermusafir tanpa sebarang sebab musabab yang jelas. Bukan untuk menuntut ilmu dan bukan juga kerana menerima jemputan daripada pembesar negeri Basrah. Beliau sendiri tidak tahu apa tujuannya.

Tapi apa yang pasti, keinginannya untuk ke Basrah begitu kuat.

Setelah beberapa hari menempuh perjalanan yang panjang, Imam Ahmad sampai ke Kota Basrah selepas matahari terbenam.

Dengan lelah kudrat tuanya yang masih tersisa, beliau membuat keputusan untuk singgah disebuah masjid yang tersergam indah di kota berkenaan.

Selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah, lelaki tua berkenaan membuat keputusan untuk bermalam di situ.

Ketika jemaah mula beredar, beliau merebahkan tubuhnya untuk menghilangkan kepenatan. Baru mahu melelapkan mata, seorang pengawal masjid datang menghampiri dan mengusir ulama besar itu. Ternyata pengawal tersebut tidak mengenali siapa lelaki dihadapannya.

"Izinkan aku untuk menumpang di sini sehingga waktu Subuh, selepas itu aku akan beredar dari sini," kata Imam Ahmad kepada pengawal tersebut tetapi permintaannya ditolak.

"Maaf wahai orang tua. Saya hanya menjalankan tugas. Masjid ini perlu dikunci atas arahan pemerintah.

"Tiada sesiapa pun dibenarkan tidur atau menumpang di dalamnya," balas pengawal itu.

Mendengarkan jawapan itu, Imam Ahmad segera bangun tanpa memperkenalkan siapa dirinya kepada pengawal tersebut sambil berlalu dengan wajah tersenyum.

"Jika di dalam masjid tidak dibenarkan, maka izinkan aku menumpang di kaki lima masjid," pintanya sekali lagi kepada pengawal itu.

Namun, sekali lagi permintaannya ditolak, malah Imam Ahmad diherdik dan tubuhnya ditarik ke jalanan.

Mendengar ada keributan yang berlaku di masjid, seorang penjual roti yang baru balik dari berniaga datang menghampiri. Dia ingin tahu apa yang telah berlaku sehingga seorang lelaki tua telah diusir oleh pengawal masjid.

Imam Ahmad kemudiannya menceritakan tentang keadaannya yang sedang bermusafir tanpa memperkenalkan siapa sebenarnya beliau.

Mendengar penjelasan itu, penjual roti tersebut kemudian mempelawa Imam Ahmad menginap dirumahnya tanpa mengetahui dia sebenarnya seorang ulama yang mahsyur.

Di rumah, lelaki tersebut melayan Imam Ahmad dengan baik sekali. Mereka berbual seketika, sebelum mempersiapkan tempat tidur kepada tetamunya itu untuk berehat.

Sementara Imam Ahmad berehat, lelaki itu masuk ke dapur dan mula menyiapkan adunan roti yang akan dijualnya pada esok hari.

Itulah kebiasaan lelaki itu. Waktu malam menyiapkan adunan roti, siang hari pula menjualnya dipasar.

Tanpa diketahui, gerak-gerinya diperhatikan oleh Imam Ahmad dan apa yang menarik perhatiannya ialah lelaki tersebut sentiasa berzikir dan beristigfar tanpa henti.

Keesokan harinya selepas menunaikan solat Subuh, Imam Ahmad bertanya sesuatu kepada pembuat roti itu.

"Semalam ketika mahu tidur, aku mendengar istighfar yang terus menerus keluar dari mulutmu ketika engkau sedang mengolah adunan roti.

"Katakanlah wahai tuan, apa yang engkau dapati daripada bacaan yang engkau baca?" soal Imam Ahmad.

Pembuat roti itu lalu menjawab, "Sungguh aku benar-benar telah mendapat faedah dari keutamaan melazimkan istighfar.

"Demi Allah, sejak lidahku selalu menyebut kalimah berkenaan, doaku sentiasa dikabulkan Allah.

"Namun, hanya ada satu yang belum termakbul sehingga saat ini."

"Sudah cukup lama saya berdoa kepada Allah untuk dipertemukan dengan seorang ulama besar yang sangat saya kagumi, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal!"

Mendengar jawapan itu, Imam Ahmad tersentak. Dia bangun dari tempat duduknya dan berkata, "Allahu akhbar! Ketahuilah saudaraku bahawa Allah telah mengabulkan doamu!"

Pembuat roti itu tercengang dan masih belum mengerti apa yang disampaikan oleh Imam Ahmad.

"Apa maksud kamu wahai orang tua? Doaku telah dikabulkan? Bagaimana caranya? Dimana saya boleh bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal?"

Dengan tenang Imam Ahmad berkata, "Ya, benar wahai orang muda. Allah telah mendengar doa-doamu.

"Ternyata apa yang aku alami sejak dari mula bermusafir dari Baghdad ke Basrah, singgah di masjid dan diusir oleh pengawal, bertemu dengan kamu dijalanan sehinggalah aku dijemput untuk menginap disini, rupanya adalah aturan Allah untuk mengabulkan doa hamba-Nya yang soleh."

"Ya, orang yang sangat ingin kamu temui selama ini telah ada dirumahmu, bahkan di depanmu sekarang.

"Wahai tuan, sayalah Ahmad bin Hanbal.

"Demi Allah, Dialah yang mengaturkan perjalananku sehingga bertemu denganmu."

***

Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah SAW bersabda, "Siapa yang selalu beristighfar (meminta ampun kepada Allah), nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya." (Hadis riwayat Abu Daud).

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

  1. sungguh bermakna kisah ini.. itulah... perancangan Allah... adalah sentiasa yang terbaik untuk kita...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon