Ahad, November 25, 2018

'Perang' Azmin-Rafizi, Apa Yang Tersirat Pada Pemilihan PKR 2018?


After the grueling 36-day Florida recount battle, Al Gore finally conceded the presidency to George W. Bush on December 13, 2000. But the controversy surrounding this unprecedented election and its aftermath did not end there. - CNN, 31 Oktober 2015

'Perang' Azmin-Rafizi

Selama 36 hari keputusan pemilihan presiden Amerika di Florida tertangguh. Politik Amerika panas bergelora. Kira dan ulang kira berlaku. Akhirnya George W Bush menewaskan Al Gore untuk menjadi presiden Amerika ke-43. Al Gore pasrah menerima keputusan.

Ini berlaku 18 tahun dahulu. Hingga ke hari ini kontroversi pemilihan tahun 2000 ini masih berterusan. Pada tahun 2015 kajian telah dilakukan oleh kumpulan media. Hasil kajian - keputusan masih tidak sekata dan tidak tuntas.

Ada pendapat mengatakan Al Gore menang dengan kelebihan 171 undi. Ada pendapat yang merumuskan Bush menang dengan 225 undi.

Kajian ini dilakukan bukan kerana Al Gore meroyan, tetapi untuk melihat dan mengumpul pengalaman agar dapat memperbaiki sistem pengundian di masa depan.

Kajian itu untuk melihat reka bentuk kertas undi, peraturan pengundian yang tidak tuntas, kesilapan pengundi dan menyemak tuduhan penipuan.

Ia untuk melihat kekuatan atau kelemahan mengundi cara lama dan kekuatan dan kelemahan mengundi cara e-undi yang pertama digunakan di Florida.

Mengundi cara eletronik ini baru sahaja selesai dilakukan oleh PKR. Dari September 22 hingga 11 November anggota PKR telah keluar mengundi untuk memilih kepimpinan parti daripada cabang hingga ke peringkat nasional.

PKR menjalankan sistem satu ahli satu undi.

Pada tahun 2000 Florida adalah wilayah termaju, tercanggih dan tereletronik dalam dunia. E-undi di Florida pada tahun 2000 masih dipersoalkan dan dihantui oleh masalah.

Bayangkan Malaysia, di mana sistem teknologi pengkomputeran masih lemah di Semenanjung. Bayangkan bagaimana agaknya kelajuan internet di Sabah dan Sarawak. Justeru e-undi PKR pasti membawa banyak masalah.

PKR menjadi pemula e-undi di Malaysia. PKR pemecah ruyung. Salut kita ucapkan. Kita angkat topi tanda hormat kepada PKR.

Tapi, apakah e-undi ini jawapan untuk pendemokrasian. Atau ada tembakau dibalut ganja. Atau ada jet di belakang taukeh.

Pemilihan PKR berjalan hampir tiga bulan - panas, hujan, banjir, ribut - dan e-undi diteruskan. Banyak dawai elektrik telah dipasang. Banyak air telah melintasi jambatan. Banyak sampah telah masuk ke dalam tong. Banyak air liur telah terhambur. Banyak sumpah telah diseranah. Yang meroyan masih meroyan.

Al Gore pasrah menerima kekalahan dan daripada laporan media kita membaca bahawa Rafizi terus meroyan tapi menerima keputusan hanya kerana mahu Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Hanya Azmin dan Rafizi

Rafizi telah mempersoalkan jumlah undi kemenangan majoriti yang kecil. Jumlah majoriti kecil mengikut pandangan Rafizi bukan tanda sokongan mutlak yang boleh dibanggakan.

Berapa jumlah mutlak yang dihormati sebagai 'betul-betul menang' hanya Rafizi dan yang tahu.

Azmin mendapat hampir 5,000 undi majoriti. Apakah jumlah ini dianggap ‘menang’ oleh Rafizi? Wallahu a'lam bissawab.

Rakyat Malaysia wajib bersimpati kepada Akmal yang menang kerusi ketua pemuda PKR. Si Akmal ini hanya mendapat majoriti 50 undi. Muka Akmal basah oleh tempias air liur Rafizi.

Hakikatnya - semua bangsa melihat dan membaca pemilihan PKR 2018 ini sebagai pertarungan antara Rafizi dengan Azmin. Dua protagonis ini bertarung untuk menduduki kerusi timbalan presiden.

Nama-nama pemimpin lain yang bertanding hilang tenggelam. Yang menaikkan sheikh dan syahwat media dan orang ramai hanyalah nama Rafizi dan Azmin.

Azmin mempertahankan kerusi timbalan presiden manakala Rafizi cuba merampas. Azmin bekas menteri besar dan kini menteri dalam kabinet Pakatan Harapan. Manakala Rafizi hanya seorang penanam anggur.

Semua ini adalah garam masala dan ajinomoto yang menjadikan pertempuran dua protoganis ini menarik.

Berdasarkan kenyataan Rafizi, kita rasa mereka akan bertumbuk, bergocoh dan bergumpal sekali lagi. Mungkin tiga tahun dari sekarang. Kenapa ini berlaku?

Semua yang tidak mengikuti perlawanan ini pasti tertanya-tanya apa pentingnya perlawanan ini dalam arus politik negara. Ada cencaluk apa di belakang semua ini?

Awas dan waspada. Di belakang pertarungan ini ialah perebutan kuasa. Ini kuasa kerajaan bukan lagi kuasa pembangkang.

Bukti telah menunjukkan bagaimana sebelum dapat kuasa telah ada para cukong yang bersedia meminjamkan jet peribadi untuk ke sana ke sini berkempen. Telah ada cukong memfaraidkan bangunan sebagai pejabat.

Malah Pak Samseng pun tunduk berkumpul menyembah kuasa. Jangan lupa kisah Pak Samseng menganjurkan jamuan makan malam ketika pilihan raya kecil di Port Dickson. Semua ini adalah contoh kuasa yang maha kuasa.

Bila ada 'tapi'

Wajib kita rakamkan di sini secara ringkas bahawa latar belakang pemilihan PKR 2018 ialah keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri. Politik yang berlaku ketika ini adalah manifestasi daripada keberahian Anwar ini.

Tapi bukankah keberahian ini telah dimuktamad? Dihebohkan bahawa ada perjanjian Anwar akan menggantikan Mahathir? Malah dihebohkan dan Mahathir ditanya berkali-kali oleh wartawan - tak putus-putus menanya tentang siapa akan menggantikannya.

Perkara kerisauan dalam keberahian ini timbul kerana sejarah lalu. Malah umum tahu siapa Anwar, malah Mahathir pun tahu siapa sabenarnya Anwar. Tapi paling afdal ialah Anwar lagi tahu siapa sebenarnya Anwar Ibrahim.

Ini ditambah pula oleh kenyataan daripada mulut Mahathir yang menggerunkan Anwar. Mahathir kerap dilaporkan berkata "pengganti saya ialah Anwar Ibrahim tapi semuanya terpulang kepada rakyat".

Bila ada perkataan ‘tapi’ ini bermakna empangan Aswan di Mesir pun boleh runtuh.

Ayat "tapi terpulang kepada rakyat" ini menjadikan Rafizi gelabah. Ayat ini juga menjadikan Anwar Ibrahim bertambah gelojoh. Apakah Rafizi dan Anwar tidak yakin yang rakyat akan memilihnya sebagai ganti Mahathir?

Pada hemat saya Anwar makin sedar tentang perasaan rakyat terhadap susuk yang dipanggil Anwar Ibrahim. Ini ditambah lagi dengan pengalaman 1998.

Justeru - dalam pemilihan PKR 2018 - Rafizi yang dikatakan setia kepada Anwar telah memunculkan slogan atau garis kempen: Siapa mahu Anwar jadi perdana menteri undi Rafizi.

Rafizi juga mempersoalkan bahawa wujud 'kepala angin' dalam PKR yang tidak meminati dan memperlekeh Anwar untuk menjadi perdana menteri ke-8.

Malah ini adalah sebahagian daripada ucapan Rafizi dalam kongres pada 18 November 2018 lalu.

Dalam kempen pemilihan kita selalu terdengar ungkapan Rafizi tentang kesetiaan. Seolah-olah ahli PKR wajib setia. Setia kepada apa dan siapa? Ini juga tidak jelas.

Apakah setia kepada garis politik atau setia kepada perjuangan parti tidak pula dituntas. Apa yang jelas ialah kesetiaan untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri.

Siapa mahu Anwar jadi Perdana Menteri undi Rafizi?

Pada 17 Oktober 2018 - diumumkan bahawa Rafizi kalah. Rafizi gagal untuk merebut jawatan timbalan presiden. Azmin mendapat 51.82% undi. Rafizi mendapat 48.18%. Majoriti anggota PKR telah menyokong Azmin Ali. Apa maknanya ini?

Kalau mengikut lojik garis kempen Rafizi - hampir setengah daripada anggota PKR yang mengundi telah menolak Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri. Bila mereka tidak menyokong Rafizi bermakna mereka tidak menyokong Anwar.

Kalau saya Anwar - bila saya melihat ini berlaku saya akan gelabah marah. Segala usaha untuk memastikan Rafizi menang telah gagal.

Keputusan Azmin menang ini pasti diteliti Mak Cik Kiah anggota PKR dari Rantau. Penelitian dan komen Mak Cik Kiah ini tidak menggerunkan Anwar. Tapi penelitian Mahathir dan pandangan kepimpinan Pakatan Harapan membawa makna tersirat yang berlainan.

Apakah ini bermakna pemilihan PKR 2018 telah selesai dan tuntas?

Betul ianya telah selesai. Dari segi kira-kira jumlah undi ia telah selesai. Apa yang belum selesai ialah garis kempen Rafizi yang mengkaitkan undi dirinya sebagai tanda sokongan kepada Anwar.

Slogan si Rafizi - siapa mahu Anwar jadi perdana menteri undi Rafizi - kini membawa mudarat. Bukan kepada Rafizi yang jelas telah kalah. Yang menanggung seksa daripada garis kempen Rafizi ini ialah Anwar Ibrahim sendiri.

Tapi saya yakin Anwar akan bersilat lidah. Anwar akan menukar songkok dan jubah. Anwar akan memetik gitar untuk menyanyikan lagu baru. Kali ini lagu yang akan didendangkan oleh Anwar bukan lagi oh nonaku Azizah.

Ketuk tetawak, tiup bangsi. Petik gitar dan gesek biola. Anwar Ibrahim akan mendendangkan lagu dan irama baru - oh Azmin timbalanku. Apakah dengan lagu baru ini biduk lalu kiambang bertaut?

Hanya masa akan menentukan.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini


Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon