Rabu, Oktober 10, 2018

Khasiat Buah Camu Camu Tinggi Vitamin C


Camu Camu atau nama botaninya, Myrciaria dubia, genus Myrciaria, dari kerabat Myrtaceae dengan nama lain, Cacari, Camocamo, ‎Araca d'agua, Araza de Agua, Guapuro Blanco dan pelbagai nama lagi adalah buah superfood yang diiktiraf diperingkat dunia kerana khasiatnya.

Buah Camu Camu

Spesis yang terdekat dengannya ialah Jaboticaba (Myrciaria cauliflora), Guavaberry/Rumberry (Myrciaria ‎floribunda) dan Gowok/Kupa/Kepa (Syzygium polycephalum).‎

Pohon Camu Camu tumbuh bertaburan di merata lembah kehutanan Amazon; Peru, Brazil, Colombia, Ecuador, ‎Bolivia, Venezuela dan negara persekitarannya.


Seperti juga pokok Acerola, Camu Camu juga pohon rendang, tidak ‎begitu tinggi, hanya sekitar 3-5 meter dan kebanyakan pohon ini bercambah ‎ melalui biji.

Ia mudah tumbuh, mampu hidup dalam iklim panas, lembab tropika dan dingin sub-tropika. Ia perlu banyak air; banyak tumbuh meliar di tepi-tepi sungai, kawasan bertasik berpaya, bahkan di lembah banjir. Ia ‎hidup tegar, mampu bertahan terendam di dalam air sehingga 4-5 bulan.

Sekiranya tumbuh dari biji, mula berbuah ketika berusia 3 tahun ke atas. Berbuah jenis ‎bermusim. Buahnya bewarna merah-kehijauan, merah-keunguan sepertimana ceri Acerola. Bunganya pula berwarna putih, harum aroma.

TINGGI VITAMIN C

Keistimewaan Camu Camu terletak pada kandungan vitamin C yang sangat tinggi pada buahnya yang mana buah mentahnya mengandungi lebih kurang 2,880 mg vitamin C setiap ‎‎100 gm, melebihi Acerola (1,790 mg).

Camu Camu berada pada ranking ke-2 dunia selepas Kakadu Plum (terminalia ‎ferdinandiana) dari Australia. Sepertimana Acerola, kandungan Vitamin C di dalam buah Camu Camu semakin berkurangan apabila ia semakin matang atau masak ranum.

Analisa Nutrien Camu Camu

Banyak analisa telah dilakukan tentang kandungan nutrien Camu Camu, namun setiap satunya berbeza, terutamanya pada kandungan vitamin C.

Ini ‎mungkin disebabkan keadaan iklim dan tanah tempat pokok Camu Camu tumbuh tetapi secara amnya, Camu Camu tetap unggul dengan tinggi kandungan vitamin C!

Analisa di bawah ini adalah dari makmal bebas, disiarkan oleh “Whole World Botanicals”, satu badan pengkaji flora dan ‎fauna di belantara Amazon.

Analisa dilakukan ke atas Serbuk Camu Camu (Royal Camu ‎Camu Powder): ‎

Kandungan Nutrisi Camu Camu

Dan ini pula analisa buah Camu Camu mentah (100 gm) dilakukan oleh Jabatan Perhutanan, "Food and Agriculture Organisation of the United Nations", 1965:

Analisa Camu Camu mentah

Buah Camu Camu padat dengan vitamin C, juga kaya dengan zat kimia phyto dan “flavonoid”; anthocyanin, flavonol dan flavanol, catechin, ‎delphinidin 3-glucoside, cyanidin 3-glucoside, asid ellagik dan gallik dan rutin. ‎Vitamin C akan lebih berkesan apabila disertai zat-zat kimia phyto.

Dr. Szent-Gyorgi, Pemenang "Nobel Prize" Perubatan 1937 kerana berjaya memisahkan asid askorbik (vitamin C), mengaku bahawa vitamin C lebih bermanfaat apabila di makan ‎ dari bahan makanan semulajadi.

Makanan semulajadi yang mengandungi vitamin C juga mengandungi nutrien lain yang bertindak sebagai gandingan kepada vitamin C.

Dengan demikian, vitamin C tersebut akan lebih mudah dimanfaatkan oleh tubuh justeru, vitamin C dari Camu Camu menjadi lebih berkesan dengan tindak-balas bio dari zat-zat gizi dan asid amino yang sama berada di dalam buah tersebut.

Antara zat gizi yang terkandung di dalam Camu Camu ialah kalsium, phosphorus, potassium dan besi.

Dan vitaminnya: beta-karotin, thiamin (B1), riboflavin (B2), dan niacin (B3), juga mengandungi protein; terutama asid amino valine, leucine dan serine. ‎

Manfaat Camu Camu

1. Kolagen

Kepadatan vitamin C di dalam Camu Camu merupakan unsur aktif bagi menghasil dan menyihatkan kolagen tubuh.

Sebenarnya, vitamin C terlibat secara lansung dalam setiap peringkat penghasilan kolagen, sejenis protein yang paling banyak di dalam tubuh dan terdapat pada setiap anggota tubuh, berupa serat putih yang liat dan teguh, lebih teguh dari kawat/dawai logam yang sama ukuran.

Juga sebagai "elatin" berwarna kuning (lapisan pelindung pada urat saraf), kolagen merupakan komponen utama pada serat-serat tisu yang saling berhubung; seperti kulit, tendon, ligamen, cartilage, jantung, cornea mata, tulang, gigi, usus, pembuluh-pembuluh dan saluran-saluran darah, bahkan pada setiap bahagian tubuh. Semuanya terikat rapi mengukuhkan seluruh tubuh.

Oleh yang demikian, vitamin C sangat penting untuk tumbesaran bayi dan kanak-kanak dan dengan bergandingan bersama asid amino "leucine" dalam Camu Camu, hormon tumbesaran dan aktiviti kanak-kanak akan lebih semarak.

Kekurangan vitamin C akan melemahkan kolagen yang apabila lemah, semua fungsi-fungsi utama di dalam tubuh akan terjejas.

Akibatnya, jantung, pembuluh darah dan organ-organ lain tidak mampu menjadi sihat. Sistem-sistem di dalam tubuh tidak mampu berfungsi dengan sempurna, pelbagai jenis penyakit akan muncul; seperti biri-biri, gusi berdarah, gusi mengecut dan gigi rosak, tulang mudah retak, tulang rapuh, keradangan sendi, kerosakan cartilage pada sendi-sendi “osteoarthritis” dll.

Kolagen juga tidak dapat dihasilkan tanpa vitamin C justeru, bekalan vitamin C yang berterusan pada tubuh adalah penting bagi manghasilkan kolagen agar sentiasa sihat, struktur tubuh akan sentiasa utuh, tidak goyah atau uzur.

2. Anti-Oksidan

Vitamin C adalah salah satu anti-oksidan yang sangat berkesan dan perlu bagi membasmi sisa pengoksidanan.

Pengoksidaan adalah proses metabolisma semulajadi di dalam tubuh yang mana nutrien dari pemakanan dan minuman dicerna kemudian di serap untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk terus hidup.

Tanpa proses metabolisma, tubuh akan lemah dan mati jadi, pengoksidaan adalah perlu untuk tubuh. Akan tetapi, pengoksidaan juga menghasilkan radikal bebas yang membahayakan kesihatan tubuh.

Radikal bebas adalah sisa dari proses metabolisma, merupakan atom yang kehilangan pasangan elektronnya, menjadikan atom tersebut tidak stabil, lalu merampas mana-mana elektron dari atom-atom lain yang menghampirinya.

Sekiranya kejadian sebegini berterusan dan tidak terkawal, akan mencetuskan rangkaian radikal-radikal bebas yang lain. Lama-kelamaan, kerosakan akan berlaku pada mana-mana bahagian organ tubuh seperti jantung, kulit, tisu, otot, selaput otot dan juga DNA seseorang.

Radikal bebas yang berleluasa akan menyebabkan kedutan, penuaan, kanser, penyakit jantung, darah tinggi, radangan kronik, kencing manis, katarak, arthritis, masalah gusi-gigi gingivitis, periodontitis dan pelbagai penyakit-penyakit lain.

Untuk menghalang atau melambatkan cetusan radikal bebas tersebut dari terus merebak, anti-oksidan diperlukan.

Ciri-ciri anti-oksidan pada vitamin C dapat melindungi sel-sel tubuh dari rebakan, cetusan dan kesan negatif radikal bebas.

Vitamin C adalah anti-oksidan yang terserap air, ifat yang membolehkan ia memberi tindak-balas segera dan efektif terhadap radikal bebas.

Jadi, Vitamin C adalah penggempur radikal bebas; meringankan bebanan pengoksidanan di dalam tubuh; penghalang kedutan sel-sel, tisu-tisu, kulit-kulit dan organ-organ; pelindung tubuh dari beberapa jenis penyakit yang berkait-rapat dengan radikal bebas.

3. Anti-Penuaan dan Kesihatan Kulit

Vitamin C sebagai anti-oksidan berkesan menghalang penuaan (oksidasi pra-matang sel-sel tubuh).

Camu Camu tinggi vitamin C boleh membantu tubuh menghalang tanda dan gejala penuaan pada lapisan kulit.

Kulit menjadi kurang berminyak, lebih sihat dan segar, lebih bersinar dan lembut, tegang dan anjal, lalu melambatkan proses penuaan.

Vitamin C juga mempunyai peranan penting dalam menyembuhkan luka dan kecederaan, dengan bekalan vitamin C yang sentiasa mencukupi, tubuh lebih mudah melawan jangkitan dari bakteria, kulat dan virus.

Tanda-tanda kekurangan vitamin C; termasuklah rambut menjadi kering dan pecah, kulit menjadi kasar, kering dan mengelupas, kulit mudah luka atau tercalar, luka lambat sembuh, eczema, hidung berdarah, panau, kurap, jeragat dan rosacea, campak, gejala alergi seperti asma, ‎selsema, jangkitan paru-paru dll.

4. Anti-Keradangan

Vitamin C adalah anti-keradangan yang pada dasarnya, keradangan adalah sebahagian dari tindak-balas sistem kekebalan tubuh.

Tubuh yang cuba melindungi diri dari sebarang unsur-unsur tidak sihat; seperti bakteria, virus, kulat, sisa-sisa toksik, sel-sel yang mati dll.

Apabila unsur-unsur mudarat ini menjangkiti pada mana-mana bahagian tubuh, sistem kekebalan bertindak-balas untuk cuba menyahkan unsur-unsur tersebut, sekali gus memulakan proses penyembuhan pada bahagian tubuh yang terjejas. Kesan tindak-balas ini dapat dilihat melalui gejala keradangan yang timbul atau dialami.

Kadangkala, keradangan merebak, menjadi parah/kronik, apabila proses penyembuhan di dalam tubuh tidak berlaku sewajarnya.

Keadaan ini boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan, penyakit; seperti "rheumatoid arthritis", sistem kekebalan tubuh terjejas dan keliru, risiko sakit jantung dll.

Apabila keradangan berlaku, collagen di dalam cartilage boleh rosak, penyebab terjadinya “osteoarthritis”.

Keadaan ini membuat tulang bergeseran, menyebabkan rasa ngilu dan sangat menyakitkan, namun dengan bekalan vitamin C yang sentiasa mencukupi, dapat mempertahan cartilage dan tisu-tisu penghubung yang lain dan mengurangkan beban kesakitan yang dialami.

Gejala-gejala keradangan lain juga dapat dihindari; termasuk angina (sakit menyucuk/memulas di dada jantung seperti tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi), bisul mulut dan bibir, gusi berdarah, gingivitis (bengkak gusi), gigi longgar, sengal dan sakit sendi, mudah terseliuh, bronchitis, sakit kerongkong (tenggorokan), jangkitan saluran air kencing dll. Ada kajian menunjukkan bahawa vitamin C juga adalah anti-Parkinson.‎

Vitamin C, sebagai anti-keradangan, sangat penting pada tubuh yang memberi kesan positif pada keseluruhan tubuh.

Ia berperanan melindungi sendi-sendi tulang, kulit dan sebagainya, membantu tubuh merawat dan menghalang keradangan dari terus merebak menjadi kronik, melawan sebarang penyakit yang disebabkan keradangan, juga bermanfaat bagi menangani masalah keradangan.

5. Pemampan Sistem Kekebalan Tubuh

Vitamin C berperanan membantu memelihara sistem kekebalan tubuh agar sentiasa mampu berfungsi dengan berkesan.

Fungsi sistem kekebalan ialah melindungi tubuh dari sebarang serangan atau jangkitan mikro-organisma yang boleh menjejaskan kesihatan; seperti bakteria, virus, dan kulat/jamur dll.

Sistem ini menghasilkan sel-sel darah putih (sel-sel kekebalan); terutama “phagocytes” dan “T-lymphocytes” serta jenis sel-sel kekebalan yang lain, sebagai penggempur dan penghapus mikro-organisma tersebut.

Vitamin C membantu sistem kekebalan dengan memperbanyak penghasilan sel-sel kekebalan ini.

Vitamin C sangat cepat digunakan apabila berlaku serangan atau jangkitan mikro-organisma, juga melindungi sel-sel kekebalan dari serangan radikal bebas ketika bertindak-balas dengan mikro-organisma.

Kekurangan vitamin C bukan hanya menjejaskan fungsi sel-sel kekebalan, juga akan cepat lemah dan musnah yang akhirnya, memberi kesan buruk kepada sistem kekebalan tubuh, mengurangkan daya tahan tubuh dari serangan mikro-organisma.

Jadi, pengambilan Camu Camu setiap hari adalah terbaik untuk kemampanan sistem kekebalan tubuh.

6. Sistem Pengaliran Darah

Vitamin C berpengaruh pada sistem pengaliran darah kerana sifat anti-oksidan yang dimiliki oleh vitamin C, apabila terserap ke dalam darah, mampu meleraikan gumpalan "plaque" dan kolestrol merbahaya (LDL) pada dinding-dinding pembuluh arteri dan veina, pada masa yang sama menambah kolestrol bermanfaat (HDL).

Ia mencuci pembuluh arteri, menghalang arteri dari tersumbat, mengembalikan keanjalan arteri, mengurangkan tekanan darah tinggi atau "hypertension" dan melancarkan pengaliran darah ke jantung, mampu mengurangkan risiko tekanan darah tinggi, menghindar atau melambatkan perkembangan penyakit "atherosclerosis" (saluran dan pembuluh darah arteri menjadi keras), “peripheral artery disease” (penyakit pembuluh/saluran darah tersimpul di kawasan kaki/betis) dan serangan sakit jantung.

Salah satu ciri vitamin C, ialah membantu tubuh menyerap zat besi, maka sangat bermanfaat pada pesakit “anemia” (kekurangan darah).

Camu Camu yang disertai kandungan zat-zat gizi didalamnya sangat bermanfaat untuk kelancaran sistem pengaliran darah di dalam tubuh.

7. Anti-Stres

Migrain yang sering berlaku sehingga kebanyakan orang menganggapnya perkara biasa dalam hidup sebenarnya berkaitan dengan sistem saraf yang di serang oleh kimia toksin dari makanan serta dipengaruhi oleh cuaca yang tercemar.

Camu Camu adalah buah yang mengandungi nutrien perlindungan saraf, mampu mengurangi masalah migrain.

Asid amino "serine" baik untuk membantu menyihatkan fungsi otak dan sistem saraf, mempertingkat daya ingatan dan kepekaan.

Gary Null, Ph.D., seorang pengkaji dan pakar permakanan, dalam bukunya "Clinician’s Handbook of Natural Healing, (1998)", menyatakan Camu Camu mengandungi kimia phyto yang tinggi.

Ia sangat berkesan menangani masalah tekanan perasaan atau stres melalui tindak-balas bio-kimia Vitamin C yang mencetuskan penghasilan "serotonin" di dalam otak.

Serotonin adalah sejenis kimia di dalam otak yang mengawal "mood" berkaitan rasa bahagia atau sebaliknya. Vitamin C adalah terapi anti-stres yang berkesan.

8. Anti-Virus

Camu Camu banyak mengandungi kimia phyto. Kajian menunjukkan bahan kimia ini mampu menanggani virus "Herpes Simplex" dan "Eppstein-Barr" yang selalu menyerang tubuh.

Virus ini boleh menyebabkan Herpes Simplex dalam bentuk bintik-bintik lepuhan pada mulut, gatal-gatal pada kulit.

Penyakit Eppstein-Barr pula dalam bentuk demam, selsema, sakit kerongkong (tenggorokan), keletihan, kelenjar bengkak di bahagian leher atau ketiak.

Virus ini selalunya tidak aktif di dalam tubuh, namun menjadi semakin aktif apabila seseorang itu kurang tidur dan selalu tertekan. ‎Virus jenis ini acapkali berulang menyerang apabila jiwa tertekan.

Camu Camu didapati berkesan menanggani virus ini dengan pengambilan vitamin C dalam dos yang tinggi dan berterusan dapat membantu tubuh menanggani stres dan melumpuhkan serangan virus jenis ini.

9. Kesuburan

Pokok Camu Camu

Camu Camu lazim di makan oleh warga Amerika Selatan kerana dipercayai boleh menambah kesuburan. Banyak juga kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan vitamin C yang tinggi dan berterusan mampu menambah syahwat dan merawat mati pucuk "impotensi."

10. Penyakit Kanser

Vitamin C mampu melambatkan rebakan dari keradangan kepada kanser. Beberapa ujikaji sains telah menunjukkan bahawa permakanan vitamin C boleh menghindar dari dijangkiti penyakit kanser; termasuk kanser kulit, kanser rahim, kanser payudara, kanser esophagus dan kanser pancreas.

11. Penyakit Mata

Vitamin C membantu mengurangkan risiko cataracts dengan melindungi lensa mata dari kerosakan akibat dari oksidasi dan radikal bebas dan melindungi enzim di dalam kanta mata, juga memperbaiki penglihatan pesakit “uveitis” (keradangan pada bahagian tengah mata)‎.

Vitamin C bersama dengan anti-oksidan yang lain, termasuk zat zinc, beta-carotene, dan vitamin E dapat melindungi mata dari mengalami AMD yang menjadi penyebab kepada buta.

12. Pre-eclampsia

Vitamin C bersama dengan vitamin E boleh menghalang “pre-eclampsia” pada wanita, iaitu gejala tekanan darah tinggi dan terlalu banyak protein di dalam air kencing yang juga menjadi penyebab utama kepada keguguran.

13. Perlindungan dari Kencing Manis

Menurut kajian 2010 yang tersiar dalam “Journal of Agricultural and Food Chemistry”, Camu Camu ‎mengandungi "Asid Ellagik" yang tinggi, sejenis flavonoid anti-diabetes.

PRODUK CAMU CAMU

Kerana kandungan vitamin C yang sangat tinggi, Camu Camu telah menjadi bahan buruan ‎dalam pasaran antarabangsa dengan Jepun menjadi pengguna utama; menjadikan Camu Camu sebagai ‎bahan komoditi eksotik yang hampir di monopoli.

Camu-Camu sangat terkenal dan sangat berharga di Jepun, manakala di Amerika dan Eropah, Camu Camu semakin mendapat perhatian.

Buah Camu Camu segar sangat masam. Ia dinikmati dalam resepi jus, di blender dan di adun dengan gula atau susu, dan/ atau bersama buah-buahan lain, juga dijadikan bahan tambahan pada ais krim, gula-gula, jem dan pelbagai resepi lagi.

Buah Camu Camu segar tidak mampu di eksport ke serata dunia justeru, kebanyakan pengeluar menghasilkannya dalam bentuk kapsul, serbuk dan juga jus.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: dharmakesuma

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon