Wednesday, October 24, 2018

Keindahan Maldives Ibarat Syurga Dunia


Maldives terletak di Lautan Hindi, kira-kira tiga jam setengah penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke ibu negaranya, Male, terdiri daripada gugusan pulau, pantai, resort serta hidupan lautnya, sebenarnya bukan hanya sebuah pulau tetapi terdiri daripada gugusan 1,192 kepulauan yang terbentuk hasil pergerakan muka bumi dan letusan gunung berapi sejak berjuta tahun lalu.

Amazing Maldives

Maka tidak hairanlah jika Maldives dikategorikan negara yang mempunyai paras muka bumi paling rendah di dunia, iaitu setinggi 1.5 hingga 2 meter.

Nama Maldives sememangnya tidak lagi asing bagi peminat tegar pantai pasir putih dan lautan biru yang begitu terkenal di serata dunia.

Namun begitu, Maldives turut dianggap sebagai destinasi percutian mahal maklumlah, negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi itu mempunyai pelbagai fancy resorts yang mewah dan canggih serta hotel-hotel terapung bertaraf lima bintang.

Nak menginap satu malam pun belum tentu mampu bagi golongan marhaen yang bekerja setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang.

Pulau-pulaunya mendatar, sama ada ditumbuhi pepohon pantai atau pulau pasir sahaja dan panoramanya tidak sama seperti Tioman, Redang dan Perhentian yang mempunyai muka bumi berbukit tinggi.

Terletak 700 kilometer di barat daya Sri Lanka dan 400 kilometer India, Maldives adalah republik berteras agama Islam sebagai agama rasmi.

Penduduknya bertutur dalam bahasa Dhivehi, ada persamaan dengan bahasa kuno, Sinhalese dan Elu.

Jika mendengar percakapan orang Maldives, bunyinya seakan-akan bahasa Sri Lanka dan India, tetapi sebenarnya tidak.

Dipercayai orang pertama menerokai kepulauan ini ialah nelayan dari Kerala, India dan Sri Lanka, tidak hairan jika penduduk Maldives berkulit gelap.

Setiap warga Maldives wajib beragama Islam. Ini bermakna mencari makanan halal tidak sukar. Bagaimanapun jika anda menginap di resort bertaraf antarabangsa di Maldives, arak dan makanan tidak halal tetap disaji atas alasan permintaan tetamu resort dari pelbagai negara.

Pesawat akan mendarat di sebuah pulau terbentang landasan, penghujungnya kelihatan air laut biru muda, bukan dalam bandar Male, tapi di sebuah pulau bersebelahan Male.

Pulau ini kecil dan tidak ada premis lain kecuali bangunan lapangan terbang Ibrahim Nasir.

Untuk ke lapangan terbang, semua penumpang dihubungkan dengan pengangkutan seperti feri, bot, kapal terbang kecil yang mendarat di atas air.

Tiada jambatan menghubungkan lapangan terbang ke Male, yang terletak di sebuah pulau kecil dengan tapak landasan ditambak, dikelilingi lautan biru kehijauan jernih.

Selain bot laju, di sini para pelancong akan dibawa ke pulau dan resort pilihan dengan kapal terbang kecil yang mendarat atas air, hanya untuk perjalanan melebihi tiga jam.

Setibanya disana, mata seperti tidak berkelip kerana takjub dengan kejernihan air laut hingga kelihatan batu karang di bawah permukaannya.

Sejarah

Keindahan Pantai Maldives

Maldives pernah dijajah Portugis selama 15 tahun, Belanda empat bulan dan British bermula 1887 hingga 1965.

Diperintah oleh presiden selaku ketua negara, negara ini mengamalkan undang-undang Syariah dan hukum hudud.

Kerajaan Maldives menetapkan setiap warganya wajib beragama Islam dan bukan Islam tidak layak bergelar warganegara.

Pulau paling besar dalam gugusannya hanya 8 kilometer persegi. Maldives dibahagikan kepada 21 terumbu (kawasan pentadbiran).

Setiap bahagian terumbu diketuai ketua yang dilantik presiden. Setiap pulau diketuai khatib selaku ketua pulau juga dilantik oleh presiden.

Di antara 1,192 pulau bukan semua didiami penduduk, hanya 185 yang didiami (termasuk perkampungan dan resort dan sebuah pulau yang dijadikan kompleks penjara).

Pada 2008, kepadatan penduduknya bertambah ekoran kehadiran pekerja asing di resort bertaraf antarabangsa.

Sekarang penduduk Maldives berjumlah 350,000 orang manakala pekerja asing meningkat ke 70,000 yang rata-ratanya dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal selain Eropah.

Pelancongan menjadi sumber ekonomi terbesar selain perikanan dan kini Maldives menerima kunjungan pelancong luar seramai 700,000 orang setahun.

Maldives menggunakan tulisan Thaana, yang seakan-akan tulisan jawi.

Di Maldives, mereka tidak mengamalkan konsep resort bercampur dengan penduduk dalam satu pulau, kecuali di ibu negaranya Male.

Di sebelah pulau ini ada pulau lain iaitu perkampungan nelayan, biarpun dekat, mereka tidak dibenarkan masuk ke pulau ini. Begitu juga tetamu resort, tidak boleh melawat pulau yang ada penduduk, tanpa kebenaran.

Undang-undang itu bukan sahaja di pulau ini tetapi untuk semua pulau yang mempunyai resort.

Keindahan Maldives

Uniknya, dikala panas terik tengah hari, hujan lebat akan turun dalam masa beberapa minit sebelum cuaca bertukar panas. Perkara sedemikian berlaku beberapa kali sehari.

Antara aktiviti di Maldives adalah snorkling tengah lautan, berenang di pantai, berkelah dan memancing ikan - aktiviti rutin pelancong ke Maldives.

Cenderahati hanya boleh dibeli di lapangan terbang.

Maldives menggunakan mata wang Rufiyah, bukanlah destinasi beli-belah tetapi syurga dunia bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Maldives menyediakan resort kelas mewah dan sederhana pada kadar termahal RM200,000 semalam dan termurah RM200 semalam tanpa sarapan pagi.

THE MURAKA

Keindahan Maldives Ibarat Syurga Dunia

Apa yang menjadi tumpuan ramai di Maldives adalah vila The Muraka yang bernilai hampir USD50,000 (±RM208,000) untuk satu malam, yang terletak di Conrad Maldives Rangali Resort.

Vila dua tingkat tersebut dilengkapi dengan reka bentuk moden dengan teknologi hebat yang membenarkan penginap bilik tersebut untuk menikmati pemandangan laut di tingkat atas dan pemandangan dasar laut di tingkat bawah.

Vila ini juga dikenali sebagai penginapan pertama di dunia yang menawarkan pemandangan dasar laut di dalam ruang tidur jadi, tidak hairanlah mengapa harga bilik tersebut boleh mencecah harga RM200,000 untuk satu malam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon