Thursday, October 18, 2018

iPhone XR, XS dan XS Max, Apa Kelebihan Smartphone Terbaharu Apple Ini?


Bagi pengguna Apple, mereka pastinya teruja menanti tiga model terbaharu telefon pintar itu yang terdiri daripada iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR.

iPhone XR, XS, XS Max

Apple Malaysia bakal melancarkan iPhone XR, model 64GB bernilai RM3,599, model 128GB bernilai RM3,849 dan model 256GB berharga RM4,290 yang boleh didapati dalam enam warna iaitu putih, hitam, biru, kuning, koral dan merah.

Peranti ini akan dilengkapi dengan Earpods dan penyambung kilat, penyambung kilat ke kabel USB dan penyesuai kuasa USB 5W.

Airpod tanpa wayar pula dijual berasingan pada harga RM649.

Skrin

iPhone XR mempunyai paparan 6.1 inci HD dan menggunakan cip Bionic A12 yang dikuasakan oleh iOS 12.

Kamera

Lain-lain ciri utama adalah kamera 12 megapiksel lebar (f/1.8) dengan lima kali digital zoom, kamera depan tujuh megapiksel (f/2.2), video rakaman 4K dan kekunci ID wajah dibuka.

iPhone XS

Jika anda sedang mencari iPhone XS dengan paparan 5.8 inci, bersiap sedia menyediakan RM4,999 untuk versi 64GB, RM5,699 untuk 256GB dan RM6,649 untuk 512GB.

iPhone XS Max

iPhone XS Max dengan paparan 6.5 inci pula bernilai RM5,399 untuk model 64GB, RM6,099 untuk 256GB dan RM7,049 untuk 512GB.

Apa yang menarik dengan tiga model baharu iPhone ini?

Diperkenalkan kepada dunia menerusi Apple Event 2018, ia ternyata mengikut jejak siri X yang pertama, iPhone X yang tidak mempuyai home button seperti model-model terdahulu.

Sebagai pengganti, ia menggunakan sistem pengecaman wajah yang dikenali sebagai Face ID.

Selain harga yang membuatkan anda berfikir beberapa kali untuk membelinya, agaknya apa lagi yang menarik mengenai tiga model baharu ini?

Sudah tentu kebolehan kamera menjadi aspek utama yang menjadi bualan ramai.

Kualiti Gambar

Menerusi model ini, Apple memperkenalkan pengesan imej (image sensor) bagi meningkatkan kualiti foto.

Malah, cip yang lebih berkuasa dipasang supaya peranti itu berupaya menganalisis kondisi cahaya dengan lebih tepat.

Bukan itu sahaja, fungsi bokeh atau blurred mode juga dikatakan lebih tajam dan tepat menerusi tiga model ini.

Skrin OLED

Model XS dan XS Max dihasilkan dengan paparan skrin OLED manakala XR pula dihadirkan dengan skrin yang lebih murah iaitu LCD. Ia turut ditawarkan dengan pilihan warna seperti merah, kuning dan biru.

Dual Sim

Selain itu, model XS dan XS Max turut menyokong fungsi dual-simcard membolehkan pengguna Apple buat pertama kali menggunakan dua nombor telefon dalam satu peranti sahaja.

Namun, inovasi itu ternyata mengundang ketawa sebilangan individu kerana fungsi dual-simcard sudah lama diperkenalkan menerusi telefon Android.

RAM

Dari aspek RAM pula, XS dan XS Max menawaran 4GB RAM manakala XR ditawarkan hanya 3GB RAM sahaja.

XS dan XS Max masing-masing boleh dibeli dengan pilihan storan 64, 256 atau 512GB.

Model XR pila menawarkan pilihan storan 64, 128 dan 256GB.

iOS 12

Selain pengenalan tiga model itu, pengguna Apple juga pastinya sedang berada dalam fasa peralihan apabila sistem operasi iOS 12 baru sahaja diperkenalkan.

Pembantu digital Siri, sistem notifikasi berkumpulan, kamera augmented reality (AR) merupakan antara penambahbaikan dalam sistem operasi itu.

Menerusi iOS 12, notifikasi yang bertalu-talu tidak lagi menjadi masalah kerana ia bakal dikelaskan dalam kumpulan sekali gus menjadikan peranti anda lebih sistematik.

Peminat setia jenama iPhone sebelum juga dikejutkan dengan berita bahawa iPhone X sudah dihentikan pengeluarannya oleh Apple.

Namun, stok yang masih belum terjual akan terus tersedia di mana-mana gedung Apple di seluruh dunia.

Dijangka harga untuk model-model terdahulu iPhone juga akan mengalami penurunan seiring dengan pengenalan tiga model baharu ini.

Apa kata anda? Yang mana menjadi pujaan hati? Tepuk dada tanya selera.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar | mstar2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon