Thursday, September 20, 2018

10 Kawasan Setinggan Paling Padat Di Dunia


Kepadatan populasi manusia di sesebuah kawasan memainkan peranan penting terhadap beberapa perkara, antaranya adalah pertumbuhan ekonomi, kadar jenayah dan lain-lain lagi. Semakin padat sesebuah kawasan itu, semakin tinggi persaingan di antara penduduk.

Kebiasaannya, kawasan yang mempunyai kepadatan yang sangat tinggi adalah kawasan yang didiami golongan miskin.

Kami ingin berkongsi 10 kawasan penempatan setinggan paling padat di dunia yang masih wujud sehingga kini.

1. Dharavi slums, Mumbai - India

Dharavi slums, Mumbai - India

Kawasan paling padat di dunia, terletak di negara dengan populasi kedua tertinggi di dunia iaitu India. Penempatan miskin ini dibina pada tahun 1883 ketika era penjajahan British. Dharavi mempunyai di antara 500,000 hingga 1 juta penduduk.

Dengan keluasan hanya 2.1 kilometer persegi, iaitu 112 lebih kecil dari Kuala Lumpur, kepadatan di kawasan ini sekitar 300,000 penduduk per kilometer persegi.

2. Mong Kok, Kowloon Peninsula - Hong Kong

Mong Kok, Kowloon Peninsula - Hong Kong

Mong Kok atau singkatan MK merupakan kawasan paling padat di Hong Kong ketika ini yang terletak di daerah Yau Tsim Mong, di selatan Semenanjung Kowloon, Hong Kong.

Mong Kok juga merupakan kawasan membeli-belah utama di Hong Kong yang terdiri daripada kedai-kedai, restoran dan pusat hiburan.

Mong Kok diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai kawasan paling sibuk di dunia, dengan keluasan 1.1 kilometer persegi yang didiami oleh 143,000 penduduk memberikan kepadatan setinggi 130,000 penduduk per kilometer persegi.

3. Marine Lines, Mumbai - India

Marine Lines, Mumbai - India

Terletak di Selatan Mumbai, India, merupakan sebuah kawasan penempatan yang merupakan kem tentera British yang dibina pada abad ke-19 dan namanya diperolehi daripada Marine Battalion Lines yang kemudiannya ditukarkan menjadi kuarters tentera udara.

Kira-kira 202,000 penduduk mendiami kawasan yang berkeluasan 1.8 kilometer persegi ini, memberikan kepadatan 114,001 penduduk per kilometer persegi.

4. Santa Cruz del Islote - Colombia

Santa Cruz del Islote - Colombia

Dengan keluasan yang terlalu kecil iaitu 0.012 kilometer persegi iaitu kira-kira 1.5 saiz padang bola antarabangsa dan didiami oleh kira-kira 1,200 penduduk, Santa Cruz del Islote adalah pulau paling padat di dunia.

Terletak di Bolivar, Colombia, pulau ini mula dijumpai oleh nelayan-nelayan yang pada awalnya hanya berhenti berehat.

Mendapati pulau ini tidak mempunyai nyamuk, mereka kemudiannya mula membina penempatan di sini, sehingga kini.

5. Dhaka Kotwali Thana, Dhaka - Bangladesh

Dhaka Kotwali Thana, Dhaka - Bangladesh

Kawasan paling padat di dunia juga terletak di Dhaka, Bangladesh iaitu Dhaka Kotwali Thana yang mana sebanyak 31,992 buah rumah dibina di atas kawasan berkeluasan 0.67 kilometer persegi.

Menurut banci, populasi di kawasan ini adalah seramai 210,504 di mana 133,564 daripadanya berusia 18 tahun ke atas, serta 63.21% daripada jumlah penduduk adalah lelaki.

Namun, kadar purata celik huruf di Dhaka Kotwali iaitu 62.4% adalah lebih baik berbanding purata celik huruf negara, iaitu 32.4%.

Kepadatan kawasan ini adalah 101,693 penduduk per kilometer persegi.

6. Rocinha favela, Rio de Janeiro - Brazil

Rocinha favela, Rio de Janeiro - Brazil

Di Brazil, kawasan yang didiami penduduk miskin dikenali sebagai "favela" dan Rocinha merupakan "favela" paling besar di Brazil. Ia terletak di selatan Rio de Janeiro di antara Sao Conrado dan Gavea.

Terbina di atas lereng bukit yang sangat curam, ia berkeluasan 0.86 kilometer persegi dan didiami oleh hampir 70,000 penduduk.

Kepadatan di Rocinha mencecah sehingga 80,000 penduduk per kilometer persegi membuatkan ia kawasan terpadat di Brazil.

7. Kibera, Nairobi - Kenya

Kibera, Nairobi - Kenya

Terletak kira-kira 40 kilometer dari Mathare adalah Kibera, bandar Nairobi, Kenya. Ia bukan sahaja merupakan kawasan paling padat dan miskin di Kenya, malah di seluruh benua Afrika.

Kebanyakan penduduk di sini tersangat miskin dengan pendapatan kurang daripada RM4.20 sehari dan kadar pengangguran sangat tinggi dan ramai penduduk di sini dijangkiti HIV. Kes-kes seperti serangan dan juga rogol sangat biasa di Kibera.

Banci sebelum ini yang mengatakan Kibera didiami 1 hingga 2 juta penduduk adalah tidak benar.

Kibera yang berkeluasan antara 2.3 hingga 2.5 kilometer persegi diduduki kira-kira 170,000 hingga 260,000 penduduk, dengan kepadatan antara 74,000 hingga 114,000 penduduk per kilometer persegi.

8. Mathare slums, Nairobi - Kenya

Mathare slums, Nairobi - Kenya

Tempat ke-8 paling padat di dunia terletak di Mathare, Nairobi, Kenya, merupakan sebuah kawasan yang tersangat sesak dan dipenuhi orang-orang miskin di Kenya.

Lembah Mathare yang merupakan kawasan "slums" tertua, mempunyai populasi 180,000. Jumlah itu menjadi sebahagian daripada 500,000 penduduk kawasan ini secara keseluruhan.

Keluasannya adalah 1 per 3 daripada keluasan daerah Tondo, namun populasinya yang sangat tinggi membuatkan kawasan ini mempunyai kepadatan di antara 60,000 hingga 100,000 penduduk per kilometer persegi.

9. Wilayah Tondo, Manila - Filipina

Wilayah Tondo, Manila - Filipina

Tondo adalah daerah paling besar dari segi populasi dan keluasan di antara 16 daerah di Manila, Filipina.

Menurut sumber, daerah ini telah wujud semenjak tahun 900 yang diperintah oleh Jayadewa yang memegang pangkat Senapati yang bermaksud laksamana dalam bahasa Sanksrit.

Seramai 630,604 penduduk mendiami daerah Tondo yang berkeluasan 9.10 kilometer persegi, menjadikannya sebagai penempatan ke-9 paling padat di dunia iaitu 69,297 penduduk per kilometer persegi.

10. Ap Lei Chau - Hong Kong

Ap Lei Chau - Hong Kong

Terletak di Hong Kong, pulau ini terdahulu dikenali sebagai Pulau Aberdeen kerana terletak di Pelabuhan Aberdeen dan Selat Aberdeen, merupakan sebahagian daripada Wilayah Selatan.

Dengan keluasan 1.3 kilometer persegi dan penduduk seramai 86,782 orang, Ap Lei Chau antara pulau terpadat di dunia dengan kepadatan 66,755 penduduk per kilometer persegi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

1 comment

  1. kawasan tmpt tggl sy tu pn sy dah rs sesak ni kan pula kt tmpt2 mcm ni...aduhhh x dpt nk dibayangkan...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon