Isnin, Julai 02, 2018

Tragedi Bukit Jenalik Militan Al-Maunah Yang Menggemparkan Negara


Sudah puluhan tahun berlalu, namun sejarah hitam peristiwa Bukit Jenalik yang melibatkan kekejaman anggota kumpulan Al-Maunah masih segar dalam ingatan sesetengah masyarakat di Malaysia.

Tragedi Bukit Jenalik Militan Al-Maunah Yang Menggemparkan Negara

Kumpulan Al-Maunah merupakan sebuah organisasi militan yang berasal daripada sebuah pertubuhan persilatan.

Namun, objektif kumpulan ini salah apabila ketuanya, Mohd. Amin Razali memimpin kumpulan Al-Maunah termasuk seorang pegawai Tentera Darat Malaysia berpangkat Mejar, bertindak mahu menggulingkan kerajaan Malaysia dengan melancarkan peperangan.

Dalam peristiwa tersebut, empat orang telah menjadi tebusan iaitu tiga anggota keselamatan dan seorang orang awam.

Dua daripada mereka terselamat iaitu Sarjan Detektif (B) Mohd. Shah Ahmad dan seorang lagi anggota keselamatan telah dibunuh dengan kejam oleh kumpulan ini.

Kematian dua anggota keselamatan ini disaksikan sendiri oleh Mohd. Shah yang terselamat.

Bagaimana dia terselamat? Ikuti perkongsiannya.

***

Saya ingat lagi. Awal pagi 2 Julai tahun 2000, saya menerima arahan untuk melakukan tinjauan di Sauk.

Ketika itu, saya berkhidmat sebagai Detektif di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Perak.

Saya dimaklumkan pihak polis menerima laporan orang kampung yang terdengar bunyi tembakan dari atas Bukit Jenalik.

Pada masa yang sama kami juga menerima laporan sebuah kumpulan yang menggunakan helah berpakaian pegawai kanan tentera telah merompak senjata di Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak.

Saya diminta menyiasat kejadian tembakan di bukit tersebut. Adakah ia sekadar latihan pihak tentera, polis atau sebaliknya.

Sekiranya pihak tentera atau polis sedang melakukan latihan, saya perlu memaklumkan supaa latihan dihentikan kerana akan merisaukan penduduk kampung dengan kes rompakan senjata yang telah berlaku.

Tanpa berlengah, saya menunggang motosikal ke kawasan terbabit, seorang diri dengan berpakaian preman, menyamar sebagai penduduk kampung bersama sepucuk pistol yang diselitkan di pergelangan kaki.

Sampai di tempat kejadian, sahabat saya, Detektif Abdullah sudah menanti di kaki bukit.

"Datang dengan siapa?" tanya saya.

"Dengan Sanghadevan," jawabnya.

"Mana dia?" tanya saya lagi.

"Tu, dah naik ke atas," tunjuk Abdullah ke arah bukit.

Dari bawah saya nampak Detektif Sanghadevan sedang menunggang motosikal melalui kebun getah memanjat naik ke atas.

Saya cuba memanggilnya tapi panggilan saya tenggelam dek bunyi enjin motor yang sedang mengaum.

Lalu saya memecut mengejar Sanghadevan, sebabnya kami hanya diminta menyiasat dan bukan masuk ke kawasan itu.

"Berhenti!" jerit saya apabila memintas Sanghadevan.

Belum sempat dia menjawab, tiba-tiba bergema satu letupan. Tanah-tanah di depan saya bertebaran akibat terkena peluru yang dilepaskan.

Serentak kami mencari perlindungan di belakang motosikal apabila mendapati kami sedang ditembak.

Dalam keadaan terkejut itu, muncul beberapa seorang lelaki berpakaian tentera dengan serban putih di atas kepala dari sebalik belukar sambil mengacu sepucuk M16 ke arah kami.

"Kenapa masuk sini?" tanyanya dengan wajah bengis.

"Korang dah masuk ke kawasan latihan tentera sulit!" sambungnya lagi.

Waktu itu saya tidak mengesyaki apa-apa. Fikir saya, benarlah ada pihak tentera sedang menjalankan latihan berdasarkan kelengkapan tentera pada badannya.

Saya dan Sanghadevan kemudian ditahan lalu dibawa masuk ke dalam hutan.

Apabila sampai di lokasi, baru saya sedar mereka ini merupakan kumpulan yang merompak senjata apabila melihat ramai yang sedang berkumpul di situ.

Kesemuanya lengkap bersenjata tapi penampilan mereka tidak menggambarkan tentera.

"Buat apa masuk sini?" sergah seorang lelaki yang merupakan ketua kumpulan itu. Namanya Mohd. Amin.

"Saya datang kebun," jawab saya berdalih.

"Bohong!" jerkah Mohd Amin sebelum mengarahkan anggotanya memeriksa tubuh badan saya dan menjumpai kad kuasa yang mengesahkan saya anggota polis.

"Cari senjata!" kata Mohd. Amin yang mula menyinga.

Badan saya diperiksa, tapi tiada senjata yang ditemui. Begitu juga dengan Sanghadevan, namun Mohd. Amin belum puas hati.

Dia mengarahkan anggotanya menanggalkan pakaian kami. Habis dilondeh semuanya hingga mereka menemui pistol yang terselit di kaki.

"Aku dah kata, dia ni tali barut kerajaan" tengking Mohd. Amin yang semakin berang sebelum menghalakan M16 hinggap di belakang badan kami.

Saya dan Sanghadevan dibelasah separuh mati. Sakitnya waktu itu hanya Tuhan yang tahu. Kami tidak mampu melawan, hanya mengerang kesakitan.

Akibat dibelasah teruk, saya tersembam ke tanah. Anggota militan belum berpuas hati.

Tiga anggotanya naik berdiri di atas belakang sambil menginjak-injak. Terasa bagai mahu patah tulang belakang saya.

Dalam keadaan tersembam ke tanah, seorang anggota militan meletakkan muncung M16 ke tepi telinga kemudian, DAMMM! DAMMM!

Dia melepaskan dua das tembakan. Telinga saya berdesing. Gegendang telinga seakan mahu pecah. Kulit terasa pijar akibat bahang percikan api dari muncung M16.

Pagi itu kami menjadi tawanan kumpulan Al-Maunah.

Kami diikat pada sebatang pokok dalam keadaan hanya berseluar dalam. Pada masa yang sama kami terus disiasat.

Pukul 2 petang, Mohd. Amin mengarahkan anggotanya melepaskan ikatan kami.

"Aku nak engkau berdua gali lubang," arah Mohd. Amin dengan wajah bengis.

Arahan itu terpaksa kami turutkan sambil dikawal ketat anggota yang lengkap bersenjata.

Pada mulanya, saya fikir lubang itu sebagai kubu pertahanan mereka. Jadi saya hanya menggali separas pinggang.

Apabila Mohd. Amin tengok, dia naik angin.

"Aku nak kamu gali dalam lagi. Sampai paras kepala. Lepas tu baring, ukur sama panjang dengan engkau," jerkah Mohd. Amin.

"Ini kubur korang!" sambung Mohd. Amin.

Mendengar kata-kata itu, tubuh saya longlai kerana bermakna bila-bila masa kami akan mati dibunuh oleh militan Al-Maunah.

Sedang menggali, tiba-tiba anggotanya membawa masuk seorang lagi lelaki.

"Syeikh, kita dapat tawan seorang lagi musuh," kata anggotanya sambil mengiringi seorang lelaki ke dalam kem mereka.

Pun sama, apabila sampai lelaki itu terus diarahkan untuk menggali lubang kuburnya.

Dari pagi sampai ke petang, itulah yang kami buat tanpa henti dan apabila siap lubang kubur, kami diarah menggali lubang lain pula sebagai kubu pertahanan.

Dalam keadaan tidak berdaya, kami hanya turutkan semua arahan. Makanan pula hanya dua keping biskut tentera dan air dari parit.

Menjelang malam, kami diikat semula pada pokok dengan dikawal ketat.

Semasa diikat pada malam itu, barulah saya tahu, tahanan ketiga merupakan penduduk kampung, namanya Jaafar Puteh.

Dia datang ke kebunnya untuk mengutip durian sebelum ditahan anggota militan Al-Maunah.

Pada hari kedua, tugas kami masih sama, diarah menggali lubang sebagai kubur. Jam berapa saya tidak pasti.

Sedang sibuk menggali, saya ternampak seorang lelaki berceloreng tentera dibawa masuk.

Anggota militan lain mengekori dari belakang sambil mengacu senjata ke arahnya.

Melihat pada pakaian, saya tahu anggota itu daripada unit Komando Tentera. Tertera di dadanya, Matthews.

Saya yakin anggota keselamatan sudah mula masuk untuk menyelamatkan kami.

Apabila sampai di depan Mohd. Amin, anggota tersebut terus disiasat.

"Masuk dengan siapa? Berapa orang?" tanya Mohd. Amin dengan suara lantang.

"Datang seorang," jawab tentera itu.

Tapi Mohd. Amin tidak percaya.

"Tipu! Mana boleh datang seorang!" tengking Mohd. Amin yang mula menyinga.

Akibat tidak memberi kerjasama, Mohd. Amin mula bertindak gila.

Di depan mata saya, dia melepaskan tembakan ke kaki tentera tersebut. Darah mula mengalir keluar. Kaki Matthews menggeletar menahan sakit akibat bisa peluru.

"Bagi tau aku, masuk dengan siapa? Berapa orang?" soal Mohd. Amin lagi.

Tapi Matthews tetap dengan pendiriannya. Jawapannya sama, masuk seorang diri.

Itu membuatkan Mohd. Amin bertambah berang dan melepaskan tembakan ke sebelah kaki lagi. Darah memercik membasahi celoreng.

Pun begitu, anggota tentera tersebut masih tegap berdiri dalam keadaan kaki yang menggeletar menahan kesakitan.

"Tembak! Bunuh dia!" arah Mohd. Amin.

DAMMM!

Satu das tembakan dilepaskan dalam jarak dekat. Kali ini tepat mengenai dada. Matthews hilang imbangan sebelum tersembam ke tanah. Kemudian, dia kaku tidak bernyawa.

Pantas saya dan Sanghadevan mengangkat mayat Matthews yang sudah kaku berlumuran darah dan dalam keadaan sedih, kami masukkan ke dalam kubur yang kami gali.

Apabila hari semakin gelap, kami bertiga diikat semula pada sebatang pokok durian dan pada lewat malam itu, Sanghadevan berbisik mengajak saya melarikan diri tapi saya menolak.

Saya tahu kami akan gagal kerana berada dalam kepungan mereka.

Tragedi Bukit Jenalik Militan Al-Maunah Yang Menggemparkan Negara

Esoknya pada hari ketiga, tugas kami masih sama, menggali lubang tetapi kali ini sebagai kubu pertahanan mereka pula sekiranya diserang anggota keselamatan.

Mohd. Amin pula berada di puncak bukit iaitu kem utama mereka.

Entah pukul berapa tiba-tiba saya nampak kelibat Mohd. Amin turun ke bawah untuk membasuh muka di sebatang parit.

"Bos, tolong lepaskan kami," rayu Sanghadevan semasa Mohd. Amin lalu di depan kami.

Tapi rayuan itu tidak diendahkan, sebaliknya Mohd. Amin marah serta mula menengking dan ketika itulah tiba-tiba bergema satu letupan.

Seorang anggota militan yang bertugas sebagai pengawal Mohd. Amin jatuh terkena tembakan.

"Musuh! Musuh!" jerit Mohd. Amin berlari mencari perlindungan.

Keadaan mula kelam kabut. Bunyi tembakan membuta tuli dilepaskan oleh anggota Al-Maunah bertalu-talu. Mereka terus menembak secara rambang, tanpa arah.

Kami yang masih terikat di pokok hanya mampu berharap tiada peluru sesat yang mengenai kami.

Apabila keadaan mula tenang, Mohd. Amin keluar dari kubu. Dia mula melenting, tidak senang duduk disebabkan marah.

Mohd. Amin menghampiri dan mula menyeksa Sanghadevan yang terikat di pokok membelakangkan saya. Saya tidak nampak apa yang dilakukannya sebelum, DUMM! DUMM!

Dua das tembakan bergema. Terasa ada cecair terpercik melekat di belakang badan saya yang tidak berbaju.

Selepas itu, Mohd. Amin bergegas naik ke kubu utamanya di puncak bukit diiringi orang-orang kanannya.

"Devan.. Devan.." saya memanggil rakan saya itu tetapi tidada sahutan.

Kemudian, datang salah seorang anggota Al-Maunah meleraikan ikatan saya, "Ambik dia, tanam!" arah anggota tersebut.

Sewaktu melihat Sanghadevan, saya jadi kaku. Ngeri! Tubuhnya bermandi darah. Kepalanya hampir hancur sehingga sukar mengecam wajahnya kerana ditembak dari jarak dekat.

Bukan itu sahaja, serpihan otaknya bertebaran. Kepalanya terkopek menampakkan bahagian dalam tempurung kepala yang berkilat.

Dalam keadaan menggeletar, saya dan Jaafar Puteh mengangkat mayat Sanghadevan lalu dimasukkan ke dalam kubur yang sama dengan Matthews sebelum mengambusnya.

Selesai mengebumikan rakan saya itu, kami terus diarahkan menggali lubang lain.

Petangnya, saya dan Jaafar diarah membersihkan diri. Kami kemudiannya diberikan pakaian baru. Selepas itu, kami disuruh melakukan solat sunat taubat. Itu tandanya mereka bakal menamatkan nyawa kami.

Malam itu. saya dan Jaafar dibawa naik ke kem utama yang menempatkan Mohd. Amin.

Sesampai di atas, saya terdengar dia mengarahkan anggotanya memasang trip flare atau suar sebagai langkah berjaga-jaga jika pihak keselamatan masuk ke kawasan mereka.

Tengah malam itu, tiba-tiba trip flare meletup. Anggota Al-Maunah berlari mencari perlindungan. Mohd. Amin percaya ada musuh sudah masuk ke dalam kawasan mereka.

Pada waktu itu, anggota Al-Maunah melepaskan tembakan rambang bertalu-talu, secara melulu.

Saya yang risau terkena peluru sesat meniarap di bawah Pajero mencari perlindungan, tapi sampai ke Subuh, tiada apa yang berlaku. Tiada anggota tentera yang masuk.

Esoknya, pada hari keempat, saya mula terdengar bunyi pengumuman dibuat oleh anggota keselamatan supaya anggota Al-Maunah menyerah diri melalui pembesar suara sekolah berdekatan.

Kemudian, ia disusuli dengan lagu-lagu yang menyentuh hati, antaranya lagu dendangan P. Ramlee.

Tidak lama kemudian, terdengar pula suara keluarga anggota Al-Maunah yang terdiri daripada isteri dan anak mereka merayu-rayu supaya mereka menyerah diri.

Ketika ini, saya melihat ada anggota Al-Maunah mula termakan dengan perang psikologi ini. Ada yang menangis, ada yang mahu menyerah diri.

Moral anggota kumpulan Al-Maunah mula jatuh. Keadaan ini membuatkan Mohd. Amin semakin berang.

"Macam mana nak berjuang. Baru macam ni dah kalah," lebih kurang begitulah Mohd. Amin mengherdik anggota-anggotanya.

Padahal, saya nampak wajah Mohd. Amin sendiri berubah. Moralnya turut goyah apabila terdengar rayuan keluarganya.

Menjelang tengah hari, saya diarahkan menggali kubu dibahagian atas dan ketika sedang menggali, telinga saya terdengar seseorang memberi salam.

Apabila memandang keluar, seorang lelaki berpakaian seragam 69 Komando PDRM dari sebalik belukar.

Melihat anggota komando itu, sambil menarik nafas lega kerana saya tahu masih berpeluang hidup lagi.

Dengan keberaniannya, ASP Abdul Razak Mohd. Yusoff melangkah masuk ke kubu musuh seorang diri untuk berjumpa dengan Mphd. Amin.

Ketika itu, berlaku perbincangan dan perdebatan ilmiah antara ASP Razak dengan Mohd. Amin dan anggota-anggota Al-Maunah.

Dengan kebijanksanaan, hujah-hujah bernas yang dilontar oleh ASP Razak, membuatkan hati para militan ini mula kendur.

Setelah hampir dua jam berlaku perundingan dan perdebatan, akhirnya Mohd. Amin dan pengikut-pengikutnya bersetuju melakukan gencatan senjata.

Selepas pada itu, barulah tugas tersebut diserahkan pula kepada Lt. Gen Dati Zaini, Panglima Medan TD Malaysia untuk proses seterusnya.

Saya betul-betul bersyukur dan tidak menyangka akan terselamat daripada maut yang sudah berada di depan mata.

Semasa diiringi berjalan turun dari bukit, saya terasa seperti berjalan di awangan. Bagai mendapat nyawa kedua untuk hidup.

Sampai di bawah, semua rakan-rakan setugas terkejut dan tidak percaya saya masih hidup dan ketika itulah baru saya tahu cerita sebenar.

Mereka memang menyangka saya telah terkorban dibunuh anggota kumpulan Al-Maunah. Sebabnya?

Begini. Pada malam yang kedengaran trip flare meletup itu, ia bukanlah disebabkan oleh anggota keselamatan, sebaliknya oleh anggota Al-Maunah sendiri.

Semasa anggota diatas memasang perangkap tersebut, mereka tidak memaklumkan kepada anggota kem di bawah, jadi anggota mereka telah terpijak alat itu sehingga meletup.

Ketika suasan kelam kabut kerana menyangka kem mereka diserang, pihak keselamatan berjaya menawan dua anggota Al-Maunah.

Ketika soal siasat dijalankan, pihak musuh memaklumkan dua tawanan telah dibunuh.

Jadi, pihak keselamatan fikir yang mati itu adalah saya dan Sanghadevan sebabnya, pasukan tentera tidak tahu ada anggotanya iaitu truper Matthews telah ditawan dan dibunuh.

Pun begitu, saya bersyukur kerana terselamat dan rancangan kumpulan Al-Maunah yang terdiri daripada 29 ahli untuk menggulingkan kerajaan berjaya dipatahkan.

"Sekarang, saya sudah pencen dan baki-baki sisa hisup ini saya mahu habiskan bersama keluarga.

"Semua yang berlaku akan menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila," ujar Sarjan (B) Mohd. Shah Ahmad, 66.

Tragedi Bukit Jenalik Militan Al-Maunah Yang Menggemparkan Negara

Mahkamah Tinggi pada 28 Disember 2001 telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohd. Amin selepas mendapati dia terlibat untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan atas nama jihad.

Mohd. Amin digantung sampai mati pada 4 Ogos 2006 di penjara Sungai Buloh, manakala tiga lagi ahli kumpulan iaitu Zahit Muslim, Jamaludin Darus dan Jemari Jusoh, turut dihukum gantung sampai mati.

Nota editor: Artikel ini dipetik dari majalah mastika edisi Mei 2018.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

nasib baik aku tak tersenarai dalam 16 orang tu, al-maunah ni ada masuk dalam majalah pendekar. masa tu semangat aku berkobar-kobar nak masuk, tapi jarak nak ke tempat tu, kira-kira 142km dari rumah, telah membantutkan impianku. Yelah, mana larat kayuh basikal ke sana.
Kalau masa tu aku dah ada motor, tak tahulah apa jadi.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon