Wednesday, July 04, 2018

Najib Razak Mengaku Tidak Bersalah Kes SRC, Perbicaraan Bermula 18 Februari 2019


Pentadbiran Pakatan Harapan menunaikan janjinya untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB apabila bekas presiden Umno itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib Razak Mengaku Tidak Bersalah Kes SRC, Perbicaraan Bermula 18 Februari 2019

Semua mata kini tertumpu ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di mana Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Kes Najib disebut di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Datuk Zainal Abidin Kamaruddin dan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah.

Pendakwaan diketuai oleh peguam negara yang baru dilantik Tommy Thomas, manakala Najib diwakili pasukan peguam bela yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Penyokong Najib mahu AG cakap Melayu

12.54 PM: Sidang media yang dijangka akan disampaikan oleh Ketua Peguam Negara Tommy Tomas kecoh apabila penyokong Najib menjerit mahu sidang media itu disampaikan dalam bahasa Melayu.

Kejadian yang berlaku di lobi kompleks mahkamah itu bermula apabila kira-kira 50 penyokong Najib menjerit "Melayu" berulang kali menyebabkan sidang media itu dibatalkan.

Mereka turut melaungkan “Hidup Najib” dan bertakbir.

Pihak polis mengarahkan kumpulan itu untuk keluar dari lobi berkenaan.

Turut kelihatan dalam kumpulan itu adalah pelakon Ellie Suriaty dan Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam.

Bicara 19 hari

12.49 PM: Mahkamah Tinggi 3 – Perbicaraan ditetapkan selama 19 hari, iaitu pada 18-28 Februari, 4-8 Mac dan 11-15 Mac 2019.

12.35 PM: Mahkamah Tinggi 3 – Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Ogos depan. Kekangan daripada mengulas sementara itu itu berkuat kuasa sehingga tarikh itu.

Arahan itu turut tertakluk kepada media daripada mengulas isu berkaitan empat pertuduhan terhadap Najib, selain daripada merit fakta kes.

12.25 PM: Peguam bela utama Shafee Abdullah dan ketua pendakwaan Tommy Thomas berbalah mengenai penyerahan dokumen kes sebelum perbicaraan bermula.

Tommy berkata permintaan Shafee untuk mendapatkan dokumen sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan munasabah.

Shafee menjawab, “Jika kami dakwa dia hari ni bermakna kamu sudah sedia! Saya tak boleh bayangkan kami akan dakwa seseorang tetapi dokumen masih tidak tersedia.

“Fotostat saja dan serahkan pada kami.”

Mahkamah benarkan permohonan perintah interim

12.10 PM: Mahkamah Tinggi - Hakim Mahkamah Tinggi Sophian Abdul Razak membenarkan permohonan peguam bela untuk mendapatkan perintah interim (sementara).

Ini selepas peguam Shafee Abdullah memohon hakim memberikan perintah interim terhadap sebarang kenyataan yang berpotensi mempengaruhi kes anak guamnya dalam empat pertuduhan itu.

Beliau merujuk kejadian yang didakwa sebagai "perbicaraan oleh pihak media" terhadap Najib.

Pendakwa Tommy Thomas membantah permohonan itu dengan menyatakan prinsip-prinsip kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan harus dipelihara.

Beliau berkata Shafee perlu membuat permohonan rasmi dan bukan perintah interim dan pihak pendakwaan akan "menentang kuat" permohonan itu.

11.55 AM: Hakim Mahkamah Tinggi, Sophian Abdul Razak menetapkan jaminan RM1 juta untuk semua empat pertuduhan dengan dua penjamin.

Beliau juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya.

"Mahkamah berpendapat RM1 juta tunai dengan dua penjamin adalah adil dan saksama.

"Tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya."

Shafee Abdullah berkata anak guamnya hanya dapat membayar separuh daripada jumlah itu hari ini.

"Pada Isnin, saya akan berusaha mendapat RM500,000 lagi," peguam itu memberitahu mahkamah.

11.10 AM: Mahkamah Tinggi - Seorang pegawai polis memarahi mereka yang menunggu di luar bilik mahkamah kerana mengganggu prosiding.

"Jika kamu nak bercakap, bercakap di bawah," katanya.

Najib mengaku tidak bersalah

10.50 AM: Mahkamah Tinggi - Peguam bela utama Shafee Abdullah membantah ikat jamin yang diminta pendakwa raya dengan menyatakan jumlahnya terlalu tinggi.

"Anak guam saya melalui anak-anak dan isterinya perlu meminta dari saudara-saudara mereka untuk mendapatkan wang.

"Mereka mempunyai sejumlah wang tetapi setakat ini tidak sampai RM4 juta."

Shafee sebaliknya meminta ikat jamin dikurangkan kepada RM500,000 hingga RM800,000, dengan dua penjamin bagi semua empat pertuduhan dan untuk tertuduh menyerahkan pasportnya.

Malah, beliau menyatakan anak guamnnya bersedia menyerahkan geran rumah kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada jaminan, memandangkan semua akaun banknya telah dibekukan.

10.45 AM: Mahkamah Tinggi - Najib mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan atas empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Najib dilihat mengangguk selepas setiap pertuduhan dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Tommy Thomas memohon ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi setiap pertuduhan.

10.35 AM: Mahkamah Tinggi - Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bekas perdana menteri merekodkan pengakuan di hadapan hakim Sophian Abdul Razak.

Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pasukan pendakwa raya, meminta supaya pertuduhan dibacakan sekali lagi kepada tertuduh sebelum pengakuannya direkodkan.

Najib berdepan hukuman penjara

10.30 AM: Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Najib bakal menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan.

Sekiranya disabitkan dengan tuduhan pecah amanah, Najib boleh dipenjarakan antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan kemungkinan dikenakan denda.

Bagaimanapun, hukuman sebat hanya dijatuhkan kepada individu di bawah umur 50 tahun dan oleh itu Najib, 64 terlepas hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

10 AM: Kompleks Mahkamah, Jalan Duta - Timbul kekeliruan apabila tidak jelas di mana Najib dibawa.

Sebelum itu ditetapkan bahawa Najib dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1, yang berada di tingkat keempat.

Bagaimanapun, beliau sekarang dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3, yang berada di tingkat lima.

Kes dibawa ke Mahkamah Tinggi

9.20 AM: Mahkamah Sesyen - Peguam Negara Tommy Thomas berhasrat memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Beliau meminta agar rayuan tertuduh, Datuk Seri Najib Razak, tidak direkodkan.

Ketua peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah dengan menyatakan rayuan perlu direkodkan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

Najib didakwa di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin kemudian memutuskan pengakuan Najib dicatatkan di Mahkamah Tinggi.

Tommy kemudian menyerahkan sijil pemindahan untuk kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Shafee berkata beliau tidak mempunyai bantahan tetapi akan membangkitkan perkara itu di Mahkamah Tinggi sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Pertuduhan dibacakan

9.13 AM: Mahkamah Sesyen - Pertuduhan keempat dibacakan. Beliau didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertuduhan keempat

Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

9.09 AM: Mahkamah Sesyen - Tertuduh, Najib Razak menghadapi tiga tuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah.

Pertuduhan pertama

Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Pertuduhan kedua

Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga

Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

9.05 AM: Ketua Pemuda Umno yang baru Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberi keadilan sewajarnya.

Beliau turut mahukan mahkamah menjalankan proses perbicaraan dengan adil dan telus.

"Jangan kita menghukum sebelum mahkamah menghukum, jangan kita aibkan dia sebelum dia dikenakan apa-apa hukuman.

"Masalahnya hari ini beliau diadili di mahkamah media bukan di kamar mahkamah sebenar," katanya kepada pemberita di lobi Kompelks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Asyraf juga berkata seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah tidak memutuskan perkara itu.

Pasukan peguam, pendakwa tiba

8.55 AM: Mahkamah Sesyen - Shafee tiba bersama pasukan pembelaan termasuk Harvinderjeet Singh, Farhan Read, dan Farhan Shafee.

8.42 AM: Peguam Negara Tommy Thomas tiba bersama pasukan pendakwa raya termasuk Manoj Kurup, Mohd Hanafiah Zakaria dan Mohd Ishak Yusof

Anak-anak Najib, Najwa dan suaminya Daniyar serta Ashman juga masuk ke bilik mahkamah.

Berikut senarai pegawai pendakwa yang diketuai peguam negara:
  1. Tommy Thomas
  2. Mohamad Hanafiah Zakaria
  3. Manoj Kurup
  4. Suhaimi Ibrahim
  5. Umar Saifuddin Jaafar
  6. Ishak Mohd Yusoff
  7. Donald Joseph Franklin
  8. Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi
  9. Budiman Lutfi Mohammed
  10. Sulaiman Kho Kheng Fuei
  11. Mohd Ashrof Adrin Kamarul
  12. Muhammad Izzat Fauziah

Sementara itu, anggota Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dilihat berada di luar mahkamah.

"Perjuangan belum selesai, lihat Anwar Ibrahim.

"Dia masuk dan keluar dari penjara tetapi perjuangannya berterusan," kata bekas timbalan menteri itu kepada pemberita.

8.30 AM: Bekas perdana menteri diiringi ke bilik saksi. Isterinya, Rosmah Mansor juga dijangka hadir.

Seperti dijangka, kawalan keselamatan ketat di dalam mahkamah. Wartawan hanya dibenarkan menduduki dua bangku terakhir.

Salah seorang anak Najib dari perkahwinan pertamanya, yang dipercayai Nazifuddin, juga dilihat berada dalam mahkamah.

Najib tiba di mahkamah

8.18 AM: Datuk Seri Najib Razak tiba di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dan dilihat memakai kemeja biru.

Kira-kira 50 penyokong Najib melaungkan "Hidup Najib" dan takbir "Allahuakbar"

Berlaku tolak menolak ketika Najib memasuki pintu utama mahkamah.

8.15 AM: Peguam Rosmah, K Kumaraendran tiba di mahkamah dan memasuki bilik saksi.

Menurut sumber, difahamkan bekas perdana menteri itu akan menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah hari ini dan bukan 10 pertuduhan seperti dilaporkan lebih awal.

Terdapat satu atau dua lagi pertuduhan akan dikenakan di bawah Akta SPRM 2009.

Najib juga mungkin menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) pada hari yang lain.

8.10 AM: Pemimpin Umno Tun Faisal Ismail Aziz yang mengetuai himpunan solidariti terhadap Najib berbalah dengan anggota polis yang bertugas.

"Ini bukan karaoke, ini mahkamah!" kata seorang pegawai polis kepada Tun Faisal ketika beliau cuba mengajak orang ramai menyanyi lagu "Allah Selamatkan Kamu".

Tun Faisal membantah dengan mengatakan tiada halangan untuk bercakap atau menyanyi di luar lobi mahkamah tetapi pihak polis menegaskan bahawa orang ramai harus bergerak ke luar dari pintu utama.

"Di mana arrest team? Bertindak macam budak-budak," kata pegawai itu lagi.

Di kalangan orang ramai, ada yang berteriak "jangan provoke!" ke arah polis.

8.05 AM: Bernama melaporkan kenderaan yang membawa Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7.37 pagi ini.

Kenderaan Proton Inspira merah yang membawa Najib diiringi enam kenderaan lain termasuk dua kereta peronda polis dan dua motosikal pengiring.

8.00 AM: Laungan "bebas Najib" bergema di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Sekumpulan penyokong Najib melaungkan "bebas Najib" sebanyak tiga kali bagi membakar semangat sebelum ketibaan bekas perdana menteri itu.

Mereka turut menyanyikan lagu "Allah selamatkan kamu".

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Sentul R Munusamy mengarahkan mereka beredar ke luar kompleks mahkamah kerana menghalang laluan kenderaan untuk masuk.

"Jangan ganggu perjalanan mahkamah, kalau nak menyanyi di luar," katanya.

7.50 AM: Kompleks Mahkamah, Jalan Duta - Antara pemimpin Umno yang dilihat menunjukkan sokongan kepada Najib termasuk ketua Umno bahagian Batu Pahat Datuk Puad Zarkashi, Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad dan anggota exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai blogger Papagomo.

"Kami datang untuk menunjukkan sokongan kerana beliau (Najib) bukan sahaja bekas presiden Umno tetapi juga bekas perdana menteri kita.

"Kami mahu menunjukkan bahawa kami akan terus mempertahankannya," kata Puad kepada pemberita.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy juga dilihat berada di lobi bersama sekumpulan pegawai dan anggota polis yang lain.

Ketibaan pegawai-pegawai SPRM

7.35 AM: Mahkamah Sesyen - Pegawai dari SPRM kelihatan memeriksa bilik mahkamah.

Salah seorang daripada mereka dilihat membawa beg besar dan satu lagi membawa dokumen yang tebal.

Beberapa pegawai polis berpakaian biasa juga dilihat bersama mereka.

7.25 AM: Kompleks Mahkamah, Jalan Duta - Empat trak FRU dan sebuah trak polis memasuki kompleks mahkamah.

7.35 AM: Mahkamah Sesyen - Pegawai dari SPRM kelihatan memeriksa bilik mahkamah.

Salah seorang daripada mereka dilihat membawa beg besar dan satu lagi membawa dokumen yang tebal.

Beberapa pegawai polis berpakaian biasa juga dilihat bersama mereka.

Sementara itu, peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka mengetuai pasukan peguam Najib.

Laluan ke kawasan lobi dipenuhi dengan petugas media tempatan dan antarabangsa yang menunggu ketibaan Najib.

Di tingkat atas di bilik mahkamah, wartawan juga sedang menunggu prosiding bermula.

Sementara itu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka mengetuai pasukan peguam Najib.

7.05 AM: Jurugambar berkumpul di lobi. Najib dijangka dibawa masuk ke lobi dan dikawal ke tingkat keempat.

Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pendakwaan dijangka mengadakan sidang akhbar selepas Najib didakwah.

7 AM: Kumpulan sekitar 50 orang yang terdiri daripada petugas media dan yang lain-lain sudah berkumpul di kompleks mahkamah/ Mereka tiba sebelum matahari terbit.

Anggota polis turut meningkatkan kawalan dengan anjing pengesan kelihatan digunakan untuk memeriksa kenderaan yang memasuki kawasan bangunan melalui pondok utama pengawal.

Semua mata tertumpu di mahkamah

6.55 AM: Kurang dari dua bulan selepas pilihan raya umum 9 Mei, sejarah dicatat lagi apabila bekas perdana menteri Malaysia dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk menghadapi tuduhan jenayah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon