Wednesday, April 04, 2018

1984: Menteri Kebenaran Yang Menulis Semula Dan Memutar Belit Kebenaran


Saya paling teruja dengan buku bertajuk, 1984, berkisar mengenai Winston Smith yang menjadi ahli sebuah rejim totallitarian (Outer Party) yang bekerja di jabatan rekod bawah Menteri Kebenaran (Ministry of Truth), menulis semula dan memutar belit sejarah.

1984: Menteri Kebenaran Yang Menulis Semula Dan Memutar Belit Kebenaran

Setiap fikiran dan aksi warganegara sentiasa dipantau dan kerajaan mempunyai kuasa mutlak dalam apa sahaja. Tidak pernah terfikir imaginasi George Orwell merentas zaman dan sesuatu yang boleh berlaku.

Untuk melarikan diri dari kekejaman 'Big Brother', paling kurang dalam mindanya sahaja, Winston menulis sebuah diari, sesuatu yang dianggap 'subversif' dan boleh dihukum mati.

1984 telah ditulis sebagai peringatan keras untuk kita terus berhati-hati terhadap kuasa yang ada pada kerajaan dan untuk melindungi kebebasan warganegara sebelum menjadi abu dan habuk semata-mata.

Buku yang ditulis dalam tahun 1949 itu, malangnya masih lagi relevan pada hari ini, kerana gambaran kerajaan totalitarian dan tema universal mengenai manipulasi media dan kehebatan teknologi untuk memantau, mengawasi dan mempengaruhi setiap warganegara secara total.

Bermula dari ungkapan 'fake news' yang dipopularkan oleh Presiden Donald Trump (yang tentu ada agenda politik), ironi, kalau tidak sadis, suasana 1984 telah tiba di tanah air melalui Akta Antiberita Palsu (AABP) yang dibentangkan dan diluluskan di parlimen.

Pemikiran jenayah

Dalam dunia 1984 yang tiada warna, kelam, suram, monotonous, terdapat "pemikiran jenayah" (thoughtcrime).

Semua ahli parti dan warganegara tidak dibenarkan untuk memiliki atau menyatakan apa-apa pemikiran yang tidak sesuai dengan parti dan kerajaan.

Maka kalau mengikut AABP, apa sahaja maklumat yang bercanggah dengan 'kebenaran' yang hanya boleh disahkan oleh kerajaan, adalah berita palsu yang boleh dihukum berat, denda RM500,000 dan penjara 6 tahun.

Seperti imaginasi George Orwell, kerajaan membasuh minda pemikiran rakyat melalui propaganda berulang, kitar semula, fitnah dan serangan maklumat palsu bertubi-tubi melalui media yang dipunyai 100 peratus.

Parti yang memerintah kerajaan dalam 1984 bukan sekadar memusnahkan musuhnya; malah mentransformasi sebahagian lain, mungkin melalui bantuan dana dan perjuangan demi agama dengan para lebai. Itu contoh dan tidak kena mengena dengan mana-mana parti yang 'ana dan ente tahu'.

Setelah membaca AABP dan semua bantahan dari pelbagai pihak, termasuk Majlis Peguam, sesuatu yang tentunya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri untuk pihak yang sedang berkuasa. Agenda lebih besar untuk terus memenangi pilihan raya.

Pedulikan hak-hak demokrasi dan kesucian dewan rakyat untuk para 'wakil rakyat' berbahas serta mengundi untuk kepentingan negara.

Apalagi 'drama swasta' yang memaparkan lakonan terbaik ramai pihak yang begitu superfisial setelah mengangkat sumpah dengan nama tuhan.

Tidak juga pasti mereka yang kita panggil 'wakil rakyat', tetapi sebetulnya 'wakil parti' atau lebih tepat lagi 'macai Big Brother' memahami sedalamnya, terperinci AABP dan kesan akibat dari pelaksanaan sebuah akta drakonian yang tidak perlu ini.

Seperti mana suasana dalam negara 1984, pembohongan, fitnah, putarbelit fakta menjadi 'kebenaran'.

Pemerintah terus melakukan proses transformasi kepada media, surat khabar, buku, majalah, risalah, poster, risalah, filem, teater, lagu dan lain-lain lagi.

Tujuannya adalah untuk memastikan kekuatan ideologi sehala pemerintah dikekalkan dengan membersihkan semua ideologi yang bercanggah. Hanya satu kebenaran - dari parti yang memerintah.

Berlakulah fenomena yang disebut sebagai "doublethink", yang rakyat terpaksa menerima dua jenis maklumat yang bertentangan sekaligus - kebenaran sebenar dan "kebenaran" pihak yang berkuasa.

Secara beransur-ansur, lama kelamaan, rakyat pun akur dan membuang proses analisis asas mereka sekali gus taat, patuh dan setia kepada Big Brother atau Big Momma.

Rakyat juga membina keupayaan, kemampuan untuk beralah atau "crimestop" iaitu dengan memadam idea sendiri sebaik sahaja menyedari idea, pendapat, visi dan mimpi-mimpi yang boleh dianggap menentang kerajaan.

Apalagi ada timbalan menteri yang berkata, apa sahaja berita dari luar negara dianggap berita palsu oleh kerajaan walau seluruh dunia telah memaparkan hitam putih skandal tersebut.

Versi 'kebenaran'

Versi 'kebenaran' kerajaan yang mesti diperakui sebagai maklumat sahih walau tidak dibahaskan di parlimen.

Seperti buku 1984, hukuman atas kesalahan melawan pemerintah begitu teruk. Sesiapa yang melakukan "jenayah pemikiran" akan dipenjara, diseksa, dicuci otak atau dileburkan (mati).

Begitulah yang terjadi kepada Winston. Dia dihukum, dipenjarakan, sentiasa kelaparan, dipukul secara fizikal, diseksa secara psikologi dan akhirnya tercungap dalam igauan terburuk - dikelilingi tikus besar.

Kita lihat bawah AABP, Seksyen 4 menetapkan had hukuman penjara enam tahun dan atau denda RM500,000. Hukuman yang berat untuk pesalah.

Malah, sesiapa yang menyokong secara kewangan kepada pesalah tersebut menghadapi hukuman yang sama bawah Seksyen 5; yang dianggap bersubahat boleh menerima hukuman yang sama seperti pesalah Seksyen 13 dan Seksyen 10.

Selain denda RM100,000 kerana gagal memadamkan "berita palsu" sebaik sahaja diketahui atau mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai ia mengandungi "berita palsu".

Penjara enam tahun dengan denda berjumlah RM500,000 seadanya menafikan kebebasan dan membebankan rakyat.

Undang-undang kejam ini mengabaikan dasar undang-undang jenayah asas seimbang dalam justifikasi keadilan. Hukuman begitu berat dan tidak sesuai dengan kadar jenayah.

Apakah para 'wakil parti' memahami dan menyedari kesan, implikasi dari tindakan yang hanya untuk menyelamatkan 'Big Brother' ini?

Mungkin solat lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, bayar zakat, pergi haji dan umrah berulang kali belum dapat menjadikan mereka lebih wasatiyyah dalam tindakan terhadap rakyat?

AABP dan persempadanan semula kawasan pilihan raya bakal menjadi taruhan untuk kerajaan kleptokrat terus berkuasa. Ledakan propaganda menjelang pilihan raya akan menyaksikan demokrasi sekadar hiasan. Begitu palsu dan superfisial.

Untuk para 'wakil parti' yang mengangkat sumpah atas nama Tuhan bagi memegang amanah rakyat tetapi mengkhianati rakyat dengan menyokong 'Big Brother' dan 'Big Momma', semoga kalian terus tidur lena, makan kenyang, kencing berak lawas dan bergembira sebagai wira-wira yang akan dimaki hamun oleh generasi akan datang!

2+2=5

Dalam novel distopian George Orwell, 1984, watak utama Winston Smith diseksa oleh polis rahsia dan dihantar untuk "pendidikan semula".

Matlamatnya untuk memaksa warga menolak bukti yang sudah berada depan mata. Ia adalah pemerintahan diktator dengan apa yang benar menjadi palsu dan apa yang palsu menjadi benar.

Salah seorang polis berkata kepada Winston, "Kau pelajar lembap, Winston."

Jawab Winston, "Bagaimana aku mampu elak apa yang sudah di depan mata? Dua campur dua sama dengan empat."

"Adakala, Winston, dua campur dua sama dengan lima. Adakala jumlahnya tiga. Dan mungkin juga semua sekali. Kau perlu cuba lagi. Bukan mudah untuk jadi orang waras."

Untuk rakyat Malaysia, 2018 mungkin '1984' yang baru.

Kecuali kita mengumpul keberanian untuk memberitahu 'Abang Besar no 1' bahawa jawapan kepada dua campur dua hanyalah empat. Bukan lima, tiga atau kesemuanya sekali.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Akta Antiberita Tidak Benar 2018 Dan Definisi Berita Palsu Yang Anda Wajib Tahu

sumber: malaysiakini

2 comments

  1. tunggu apa lagi bro..? pergi sg buluh - hisap kote - cepat!!

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon