Sabtu, Mac 03, 2018

Asal-usul Tarian Barongan


Gabungan buni gendang, gong, saron, angklung, bonang, tipung dan sampret akan menghasilkan alunan yang indah, tambahan pula gabungan bunyi ini menaikkan semangat pendengarnya.

Asal-usul Tarian Barongan

Bulu roma terasa tegak apabila mendengar irama muzik itu. Ada sepuluh orang penari kuda kepang sedang beraksi.

Tiba-tiba datang masuk seorang penari dengan memakai topeng harimau. Itulah yang dinamakan 'Barongan'.

Sedang semua mata tertumpu pada Barongan, terdengar suara seorang berteriak kuat. Heppppp!!

Dia kemudian bangun dan terus masuk ke tengah laman. Mukanya kelihatan sangat garang. Matanya tepat melihat ke arah penari-penari kuda kepang. Beberapa orang cuba menenangkannya, tapi dia semakin agresif.

Apabila dia semakin tidak terkawal. Seorang lelaki bangun lalu mendekati Barongan itu. Dia memandang lelaki tersebut sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu lalu ditiup ke muka lelaki itu. Sebentar kemudian, lelaki itu terus rebah.

Namun demikian, walaupun terdapat gangguan daripada lelaki tersebut, penonton seolah-olah tidak terganggu.

Mereka seperti sudah biasa dengan keadaan begitu. Persembahan Barongan tetap berjalan.

Jarang sekali kita mendengar tentang Barongan. Tarian ini terkenal di Johor. Apa sebenarnya tarian Barongan?

Barongan adalah kesenian orang Jawa yang berasal dari daerah Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia.

Tarian Barongan membawa semangat harimau, berdasarkan satu hikayat dalam kepercayaan orang Jawa.

Kononnya, pada suatu zaman dahulu, terdapat seorang lelaki paling kaya di daerah Ponorogo.

Dia mempunyai 40 ekor kuda belaan, namun setiap hari banyak kudanya hilang. Daripada 40 ekor, akhirnya hanya tinggal empat ekor sahaja.

Dia merasa sangat hairan namun, lama-kelamaan akhirnya dia mendapat tahu kudanya hampir habis dimakan harimau.

Orang kaya itu merasa marah. Dia menguar-uarkan kepada semua penduduk kampung, sesiapa yang dapat membunuh harimau itu akan dihadiahkan ganjaran lumayan.

Ramai yang mencuba tapi semuanya tewas sehinggalah datang seorang pemuda bernama Bujang Ganong yang disebut-sebut sebagai seorang yang handal dan merupakan anak murid Kiyai Klono Sewan Dono.

Bujang Ganong yang menawarkan diri untuk menangkap harimau itu akhirnya berjaya membunuh harimau yang telah membaham kuda-kuda orang kaya itu.

Bujang Ganong kemudiannya meletakkan bangkai harimau itu diatas bahunya dan pulang ke kampung.

Orang kampung yang teruja melihat bangkai harimau turut sama mengikut dibelakang Bujang Ganong sehinggalah ia dipersembahkan kepada orang kaya tersebut.

Sebab itulah jika mengikut prinsip tarian Barongan, sesiapa pun tidak boleh duduk lebih ke depan daripada Barongan tanpa mengira pangkat dan kedudukannya.

Upacara Sebelum Persembahan

Asal-usul Tarian Barongan

Sebelum memulakan pertunjukan Barongan, perlu ada adat dan upacara harus dijalankan terlebih dahulu.

Biasanya mereka akan menyiapkan 'sajan' yang diibaratkan seperti 'makanan' untuk memanggil semangat harimau.

Sajan biasanya terdiri daripada pisang raja, daun sirih, tembakau, cengkih, telur, nasi, air kopi dan kemenyan. Semuanya akan diletakkan di dalam sebuah dulang.

Selepas itu, akan dimulakan dengan bacaan untuk memanggil semangat harimau yang dinamakan 'Joblongko'.

Tujuan semangat Joblongko diseru adalah supaya pertunjukan nampak lebih 'hidup' apabila Barongan dirasuk semangat harimau.

Menurut cerita, pisang raja yang digunakan untuk dijadikan sajan jika dimakan selepas pertunjukan Barongan, rasa manisnya hilang, rasanya tawar dan tidak sedap.

Semangat Joblongko

Pada kebiasaannya, penari yang diresapi semangat harimau akan menjadi seperti harimau. Gaya, gerak geri dan wataknya nampak seakan-akan seperti seekor harimau.

Semangat Joblongko sememangnya suka jika orang memuja dan memanggilnya.

Kalau dipanggil memang Joblongko akan datang, tapi bila nak suruh balik dikatakan sangat payah dan perlu dipujuk elok-elok.

Peralatan muzik Barongan juga dikatakan tidak boleh disimpan sembarangan kerana adakalanya ia akan berbunyi sendiri terutama jika ditinggalkan ditempat baharu.

Kini, Barongan hanyalah salah satu kesenian tradisi warisan zaman dan persembahannya lebih kepada hiburan semata-mata.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Asal-usul Tarian Kuda Kepang

-SENTIASAPANAS.COM

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon