Thursday, March 22, 2018

Apa Dan Siapa Sebenarnya Cambridge Analytica?


Apabila Cambridge Analytica mendedahkan bagaimana mereka secara rahsia dan tidak beretika mempengaruhi pilihan raya di seluruh dunia, termasuklah di China, Brazil, Mexico, Malaysia, Australia dan Kenya, ia menjadi sangat kontroversi.

Apa Dan Siapa Sebenarnya Cambridge Analytica?

Siapa dalang di sebalik Cambridge Analytica? Apa matlamat sebenar mereka? Ketahui lebih lanjut tentang syarikat ini dan operasi-operasi mereka yang telah dijalankan dan kaitannya dengan maklumat peribadi di Facebook.

Siapa Individu Di Sebalik Cambridge Analytica?

Syarikat ini adalah sebahagian daripada SCL Group dan berkongsi beberapa pengarah yang sama.

Alexander Nix, 42, warganegara Estonia menyertai SCL pada tahun 2003 selepas tamat pengajian di University of Manchester dan bekerja di bahagian kewangan korporat.

Beliau adalah individu yang bertanggungjawab membangunkan sisi politik perniagaan syarikat berkenaan.

Pengarah Urusan Cambridge Analytica bahagian politik adalah Mark Turnbull, yang menghabiskan masa selama 18 tahun di firma Bell Pottinger sebelum bersama menyertai SCL Group.

Apa Matlamat Cambridge Analytica?

Cambridge Analytica adalah sebuah syarikat yang menawarkan servis kepada perniagaan dan parti-parti politik yang mahu 'mengubah sikap penyokong'.

Mereka mendakwa berupaya menganalisis sejumlah besar data pengguna dan menggabungkannya dengan sains tingkah laku bagi mengenal pasti orang-orang di sebalik organisasi yang menjadi sasaran bahan pemasaran mereka.

Mereka memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber, termasuklah laman sosial seperti Facebook dan kajian mereka sendiri.

Berpangkalan di London, syarikat Cambridge Analytica diasaskan pada tahun 2013 sebagai anak syarikat kepada SCL Group, yang menawarkan servis yang sama di seluruh dunia.

Dalam sebuah temubual antara wakil laman sesawang Contagious dengan pengasas syarikat berkenaan iaitu Alexander Nix, beliau berkata matlamat utama syarikat berkenaan adalah bertujuan memenuhi kekosongan dalam pasaran politik parti Republican di Amerika Syarikat.

Peluang perniagaan ini dilihat semakin jelas mempunyai masa depan yang cerah apabila Mitt Romney dikalahkan dalam pilihan raya presiden pada tahun 2012.

Menurut beliau lagi, parti Democrats mempunyai kelebihan dari segi revolusi teknologi, analisis data dan mempunyai penglibatan digital yang meluas dan parti Republican gagal mengejar.

"Kami nampak jurang ini sebagai peluang perniagaan untuk syarikat kami" kata Nix.

Mengapa Cambridge Analytica Tiba-Tiba Menjadi Popular?

Apa Dan Siapa Sebenarnya Cambridge Analytica?

Pada awal bulan Mac 2018 lalu, the Obsever mendedahkan bahawa pada tahun 2014, data 50 juta profil pengguna Facebook telah diguna pakai oleh seorang ahli akademik dari UK, iaitu Aleksandr Kogan dan syarikat beliau iaitu Global Science Research (GSR).

Aleksandr Kogan mengumpul maklumat berkenaan menggunakan sebuah aplikasi di laman sosial berkenaan.

Antara maklumat yang dikumpul adalah butiran rakyat Amerika Syarikat, yang dibayar untuk mengambil ujian personaliti.

Beliau turut mengambil maklumat peribadi rakan-rakan Facebook mereka.

Aleksandr Kogan mempunyai perjanjian dengan Cambridge Analytica untuk berkongsi maklumat yang dikumpul.

Menurut seorang pemberi maklumat (whistleblower), Christopher Wylie, kebanyakan maklumat peribadi ini diambil tanpa kebenaran.

Beliau berkata, Cambridge Analytica menggunakannya untuk membangunkan sebuah program perisian yang berupaya untuk membuat jangkaan dan mempengaruhi pilihan di peti undi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu lalu (17 Mac 2018), syarikat berkenaan menafikan sebarang salah laku dan berkata bahawa mereka tidak menggunakan maklumat daripada Facebook dan tiada sebarang maklumat juga digunakan ketika pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016.

Kata mereka lagi, mereka mematuhi syarat perkhidmatan Facebook dan telah membuang segala maklumat yang diterima daripada GSR.

Ini bukanlah kali pertama Cambridge Analytica terlibat dalam kontroversi sebegini. Syarikat tersebut turut dituduh menawarkan servis mereka kepada penderma luar bagi kempen Brexit di UK.

Pada November 2017 lalu, Nix telah dilaporkan berhubung dengan pengasas Wikileaks, Julian Assange bagi memohon bantuan untuk mendedahkan email kontroversi berkaitan Hillary Clinton.

Syarikat berkenaan juga telah dituduh sebagai sebuah syarikat propaganda yang membuat pemasaran secara berlebih-lebihan, sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang pengaruh dalam politik.

Apa Kata Facebook Tentang Skandal Cambridge Analytica?

Facebook telah menggantung Cambridge Analytica dan beberapa individu lain daripada laman sesawang mereka ketika siasatan sedang dijalankan.

Facebook menafikan berlakunya kebocoran maklumat kerana mereka sendiri yang memberi kebenaran kepada Kogan untuk mengakseskan maklumat tersebut.

Aleksandr Kogan melanggar syarat perjanjian apabila beliau berkongsi maklumat berkenaan dengan Cambridge Analytica untuk digunakan atas tujuan komersial.

Menurut Facebook lagi, orang ramai dengan rela hati membekalkan maklumat peribadi mereka, tiada sistem, kata laluan mahupun maklumat sensitif yang dicuri mahupun digodam.

Akibat tersebarnya video yang mengaitkan Facebook dengan aktiviti tidak beretika Cambridge Analytica, harga saham Facebook turun mendadak dalam masa beberapa jam sahaja.

Apa Kaitan Cambridge Analytica Dengan Presiden Donald Trump?

Robert Mercer, penyokong kuat Trump dan penyumbang kepada kempen beliau, telah menderma $USD15 juta kepada Cambridge Analytica.

Robert, yang turut memberi dana kepada laman sesawang berhaluan kanan iaitu Breitbart, diperkenalkan kepada syarikat berkenaan oleh Steve Bannon yang mengetuai kempen pilihan raya Trump dan memegang jawatan pegawai strategik beliau.

Cambridge Analytica bekerja untuk 3 orang calon kempen pilihan raya AS, termasuklah Trump.

Di dalam laman sesawang, mereka menyatakan melakukan analisis berjuta maklumat bagi mengenal pasti pengundi yang paling mudah dipujuk dan isu yang mereka ambil kisah, serta menghantar kepada mereka mesej ' move them to action'.

Pengundi di 17 negeri dikaji setiap hari dan pengiklanan dalam talian serta media sosial digunakan untuk mendekati mereka.

Syarikat tersebut mendakwa usaha mereka ini berhasil meningkatkan dana untuk kempen Trump dan menyumbang kepada kemenangan Trump.

Gara-Gara Ceroboh Data Pengguna, Saham Facebook Jatuh RM157 Bilion

Apa Dan Siapa Sebenarnya Cambridge Analytica?

Untuk pengetahuan anda, Cambridge Analytica merupakan firma menganalisis data pengguna yang berpeluang untuk mengetahui apa yang dilayari dan ditulis pengguna di Facebook.

Berdasarkan data yang diterima, Cambridge Analytica akan mensasarkan data pengguna ini kepada syarikat yang berminat untuk mengiklankan produk mereka berdasarkan hasil kajian pengguna yang bersesuaian dengan target market mereka.

Selain itu, Cambridge Analytica juga dikatakan berjaya menjadi dalang di dalam pilihanraya yang lalu dimana syarikat ini berpeluang mengetahui sokongan penduduk setempat berdasarakan geografi pengguna membolehkan pihak parti politik memanipulasikannya.

Kerjasama Facebook bersama Cabridge Analytica juga dilihat sebagai bantuan Facebook untuk membantu Donald Trump dimana majoriti penduduk Amerika Syarikat tidak menyukainya.

Setakat ini difahamkan Facebook secara tidak sengaja telah mendedahkan 50 juta data pengguna kepada Cambridge Analytica.

Berikutan insiden yang berlaku, sebuah kempen yang dinamakan sebagai #DeleteFacebook sedang rancak dibuat di Amerika Syarikat melibatkan beberapa individu berpengaruh.

Kempen ini dibuat selepas berpendapat apa yang dilakukan Facebook ini sudah melampaui batas pengguna.

Adakah anda bakal turut sertai sekiranya data anda juga diceroboh Facebook?

Kesimpulan

Syarikat seperti Cambridge Analytica wujud kerana terdapat permintaan daripada parti-parti politik sendiri untuk menang dan mungkin terdesak kerana nafsu ingin berkuasa selamanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sejarah Facebook Yang Anda Mungkin Belum Tahu!

sumber: iluminasi | thevocket

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon